Rabu, 12 Jun 2013

JANGAN KITA JADI ORANG JAHAT SANGAT...JAHAT2 KITA...AKHIR MATI JUGA

Pakatan tak pernah bincang boikot angkat sumpah

Anis Nazri, 11 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Isu ahli parlimen Pakatan Rakyat yang didakwa akan memboikot majlis angkat sumpah dan persidangan Dewan Rakyat pada sesi kali ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat, kata Datuk Mahfuz Omar.

Sebaliknya kata Naib Presiden PAS itu, Pakatan Rakyat hanya memutuskan untuk tidak hadir pada majlis taklimat Dewan Rakyat, yang diadakan hari ini.

Justeru, beliau yang juga Ketua Whip Parlimen PAS menjangkakan semua ahli parlimen Pakatan Rakyat akan hadir pada majlis angkat sumpah pada 24 Jun ini, dan seterusnya mengikuti titah ucapan DiRaja pada 25 Jun ini.

"Tidak timbul soal kita memboikot sidang Dewan Rakyat sesi ini, ia akan berjalan seperti biasa. Cuma taklimat hari ini yang kita putuskan untuk tidak hadir," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat dikatakan akan memboikot sidang Dewan Rakyat sebagai tanda protes terhadap sistem pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang didakwa dicemari penipuan.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini dilaporkan berkata, kehadiran hari pertama pada sesi Parlimen adalah penting kerana mengikut peraturan mesyuarat.

Beliau juga berkata ahli parlimen yang tidak hadir pada hari pertama tanpa sebab munasabah dianggap sebagai penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat serta negara ini.

Sementara itu, majlis taklimat yang diadakan hari ini di parlimen hanya dihadiri Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa (gambar), manakala 88 ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain tidak menghadirinya.

Er Teck Hwa dalam kenyataannya kepada media memohon maaf kerana beliau pergi ke majlis hari ini kerana tidak tahu akan arahan untuk memboikot majlis itu.

Beliau yang merasa terpingga-pingga selepas hanya kesaorang di majlis itu berkata, "Saya memohon maaf dengan sejujur-jujurnya dan akan menerima sebarang tindakan dari parti."

"Saya tidak menerima sebarang notis rasmi sama ada melalui SMS dan e-mel daripada Jawatankuasa Pusat.

"Biasanya, arahan daripada Majlis Kepimpinan PR akan diberikan dalam dua kaedah iaitu SMS dan e-mel, Jika tidak, ia tidak akan dianggap sebagai perintah dan terpulang kepada individu untuk membuat pilihan sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut sebagai menjelaskan berhubung kehadirannya ke sesi taklimat parlimen hari ini biarpun 88 ahli parlimen Pakatan Rakyat lain tidak hadir.

Beliau bagaimanapun mengakui kesilapannya kerana tidak teliti dengan semua SMS dan emel berhubung arahan boikot tersebut sehingga menimbulkan kontroversi.

"Saya mahu memohon maaf untuk tindakan yang tidak wajar tersebut dan saya dengan rendah diri bersedia menerima apa-apa tindakan disiplin yang mungkin diambil terhadap saya," katanya.

Wan Ahmad hasut rakyat kumpul bukti - pengundi

Harakahdaily, 11 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Seorang pengundi, Mohd Azlan Sharif ke balai polis sekali lagi bagi membuat laporan, kali ini beliau mendakwa Timbalan Pengerusi SPR, Datuk wan Ahmad Wan Omar menghasut rakyat mengumpul bukti.

Bagi beliau yang membuat laporan polis yang ke 8 hari ini, menghasut menyuruh rakyat mengambil bukti adalah menyuruh rakyat melakukan sesuatu yang tidak boleh dilakukannya yang sekaligus membawa maksud menyuruh rakyat melakukan sesuatu yang melanggar undang undang.

Dan ini bukan kali pertama kenyataan sedemikian dikeluarkan oleh beliau, SPR dan media, katanya.

"Saya membuat repot polis ini supaya pihak polis boleh menyiasat dan mengambil tindakan undang undang terhadap Datuk Wan Ahmad Wan Omar, SPR, Berita Harian dan Haspaizi Mohd Zain.

"Ini agar hasutan sedemikian tidak dikeluarkan atau disiarkan lagi oleh mana mana pihak," kata Azlan dalam laporan polisnya.

Beliau membuat repot polis merujuk kepada apa yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian bertarikh 11 Jun 2013 di muka surat 17 oleh Haspaizi Mohd Zain dengan tajuk ‘tak puas hati, fail petisyen’.

Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam berita itu berkata:

“Jika ada pihak yang tidak berpuas hati, kumpul bukti dan failkan petisyen. Tempoh untuk memfailkan petisyen akan berakhir esok(12 Jun 2013) iaitu 21 hari selepas keputusan pilihan raya di wartakan SPR pada 22 Mei lalu."

Azlan mendakwa, kenyataan Datuk Wan Ahmad Wan Omar tersebut jelas memberikan kenyataan maklumat yang salah menerusi media.

Kononnya akan memberikan gambaran bahawa beliau dan SPR adalah betul dan benar serta tidak melakukan kesilapan kerana tidak ada pihak yang berjaya membawa atau mengemukakan bukti.

"Saya tidak percaya seseorang yang berkedudukan sepertinya tidak tahu mengenainya. Saya juga tidak percaya beliau tidak dapat mendapat atau menerima nasihat daripada bahagian perundangan SPR," katanya.

23 petani penyokong Pakatan dinafi dapat subsidi

Rizal Tahir, 11 Jun 2013

(Para petani membuat laporan polis ekoran mereka disekat dari mendapat sabsidi pertanian dari Kerajaan Persekutuan)

TUMPAT: Seramai 23 orang petani yang menjadi ahli Pertubuhan Peladang Kawasan Tumpat, membuat laporan polis terhadap Pengerusi JKKKP Bendang Pak Yong.

Laporan itu dibuat oleh seorang wakil petani Mat Daud Mat Ail, terhadap Pengerusi JKKKP itu kerana tidak mahu ‘mengecop’ serta menandatangani borang pendaftaran pesawah terhadap petani berkenaan.

Alasan yang diberikan Pengerusi JKKKP itu beliau belum menerima arahan dari pihak atasan berhubung urusan cop borang pendaftaran pesawah.

Dengan tindakan terhadap petani yang juga penyokong Pakatan Rakyat berkenaan, mereka tidak akan mendapat kemudahan insentif subsidi dari pihak kerajaan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaburan, Mohd Zaki Ibrahim (gambar), ketika ditemui media berkata, antara kemudahan subsidi yang ternafi dengan tindakan itu adalah baja padi, skim racun, subsidi membajak dan subsidi jualan padi.

“Apabila JKKKP tidak menandatangani borang berkenaan, bererti tiga keistimewaan berkenaan tidak akan diperolehi oleh petani pro Pakatan Rakyat,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media semalam selepas laporan polis dibuat.

Zaki bagaimanapun berkata, masaalah petani lain yang diberi sokongan oleh pihak Umno khususnya Dun Pengkalan Kubur, belum tentu dapat menanam padi dengan baik.

Ini kerana, dengan menyekat petani seramai 23 orang itu menyukarkan petani lain untuk menanam padi mereka.

“Kerumitan akan berlaku contohnya aliran air, apa lagi petani yang diluluskan oleh kerajaan tanahnya di bahagian tengah,”ujarnya.

Sehubungan itu beliau menyeru Adun Pengkalan Kubur, Datuk Nor Zahidi Omar menyelesaikan masaalah berkenaan seberapa segera.

Jelasnya, sebagai seorang wakil rakyat yang berwibawa seharusnya Zahidi tidak bersikap sedemikian.

Sementara itu Penghulu Bendang Pak Yong, Mohd Azmi Ibrahim, ketika ditemui pula melahirkan kebimbangan perakara yang sama akan berlaku pada petani di kampung sekitar di bawah seliaan Kada.

Jelasnya, mereka juga adalah petani dari penyokong Pakatan Rakyat.

“Saya mendapat maklumat dari petani pihak pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan Tumpat memaklumkan hanya dapat memproses borang petani setelah ianya dicap dan ditandangani oleh JKKKP Mukim,”ujarnya.

Pembangunan desa dan agama jadi fokus

Khaulah Azwar, 11 Jun 2013


Rakyat Malaysia terutamanya umat Islam begitu bimbang sekali apabila melihat golongan belia dan remaja kini semakin jauh tersasar dalam membina kehidupan lebih-lebih lagi apabila semakin banyaknya pusat hiburan di samping pengambilan arak yang tidak di sekat untuk golongan tertentu.  Hal ini sekaligus memberi kesan buruk kepada negara seperti ramainya anak luar nikah, pembuangan bayi, rompakan dan sebagainya.

Begitulah juga dalam membantu menaiktaraf kehidupan masyarakat tanpa mengira kaum dan bangsa bagi memastikan masyarakat di negeri Selangor ini mempunyai pendapatan yang stabil.

Apatah lagi keadaan ekonomi negara yang semakin melonjak sekaligus memberi tekanan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bukan sekadar di negeri Selangor bahkan di seluruh negeri. Tekanan demi tekanan di berikan kerajaan persekutuan kepada rakyat.

Dalam menangani isu berkenaan, maka ikutilah wawacara wartawan bersama Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian, Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi.

Sallehen Mukhyi anak kelahiran Kampung Panchang Pedena telah mendirikan rumah tangga dengan Wan Rosdah Wan Hassan dengan di kurniakan cahaya mata Muhammad Syamil yang kini melanjutkan pelajaran di Jordan.

Pada Pilihan Raya umum 13 (PRU13) baru-baru ini beliau  yang bertanding  di kawasan N2 Sabak yang mempunyai Jumlah pengundi seramai 22,131.

Sallehen yang menjadi calon PAS  telah menang menerima 9,421 Undi dengan menewas calon (BN) Abdul Halim  yang memperolehi 9,022 undi. Majoriti 399. Jumlah Undi 18,742 Peratus Mengundi 84.69 peratus dan undi rosak 299.


Portfolio Pembangunan Desa


Dengan kemenangan Pakatan Rakyat (PR) Selangor dalam PRU13 apakah perancangan yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri khususnya dalam portfolio yang disandang oleh YB?


Sallehen Mukhyi: Alhamdullilah, dengan kemenangan PR Selangor  penggal kedua maka ia telah memberi peluang kepada seluruh pimpinan kerajaan negeri di peringkat Exco, ADUN, Penghulu, Ketua kampong, meneruskan perancangan seterusnya dalam membantu menaiktaraf ekonomi Selangor demi membela nasib rakyat. Perancangan demi perancangan telah disusun dengan rapi setiap exco untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan Selangor yang diterajui oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada penggal pertama lalu mampu membuat perubahan sekaligus telah meyakinkan rakyat untuk memberi undi yang besar pada seluruh pimpinan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor. Dengan itu saya merakamkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Selangor dengan memberi peluang, kepercayaan kepada kami dan insya-Allah peluang kedua ini akan kami buat yang terbaik dalam menerajui negeri untuk rakyat.

Dengan kemenangan PR Selangor, Kerajaan Negeri telah merancang mengutamakan pembangunan luar Bandar pada penggal ini. Adakah bermakna pembangunan dalam Bandar akan di kurangkan?


Walaupun kerajaan negeri Selangor merancang untuk mengutamakan  pembangunan luar Bandar pada penggal ini, tidak sama sekali akan mengurangkan pembangunan dalam Bandar. Hal ini kerana kerajaan negeri telah merancang beberapa agenda untuk menambahbaik program bagi membantu  masyarakat tanpa kira kaum dan parti.
Untuk agenda ini berapa ramai exco yang terlibat?

Seramai Dua orang Exco akan melaksanakan program Pembangunan Desa iaitu yang pertama di terajui oleh Menteri Besar Selagor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  dan saya sendiri.

Apakah tujuan penglibatan MB Selangor dalam portfolio pembangunan Desa ini?

Saya melihat tujuan penglibatan keinginan Menteri Besar Selangor untuk serta dalam pembangunan desa ini yang pertama adalah untuk mencakna bagi memfokuskan pembangunan desa di setiap kawasan negeri Selangor.

Kedua adalah untuk memastikan semua exco menyertai pembangunan desa bagi menjaga kebajikan masyarakat tanpa kira parti dan kaum di setiap kawasan. Kerajaan negeri sentiasa memikirkan keperluan masyarakat lebih-lebih lagi bagi menjaga kebajikan wanita terutamanya kebajikan ibu tunggal dan golongan belia.

Untuk memastikan agenda menaiktaraf pembangunan desa ini, badan-badan apakah yang akan terlibat?
Untuk menaiktaraf pembangunan desa bagi kawasan pekan-pekan kecil terdapat beberapa badan berwajib akan terlibat antaranya Majlis Daerah, ketua kampung dan penghulu mukim. Hal ini kerana, untuk menaiktaraf kawasan pekan kepada pembangunan desa adalah fokus yang amat besar, maka dengan itu seharusnya mempunyai perancangan yang terperinci dan memerlukan penglibatan semua pihak.

Apakah YB rasa pekan kecil  luar bandar perlu dikasanakan pembangunan desa?
Ya, sudah pasti. Untuk pekan kecil luar bandar pembangunan desa perlu dilaksanakan kerana persaingan ekonomi amat ketara memandangkan kos kehidupan luar bandar memberi tekanan yang hebat. Maka sewajarnya pembangunan desa perlu dilaksanakan bagi memastikan masyarat kampung turut serta dalam dunia perniagaan.

Pada masa yang sama kita akan memilih  sekurang-kurangnya 10 buah kampung  pada satu kawasan untuk dijadikan contoh bagi melihat program  pembangunan desa yang di anjurkan kerajaan negeri Selangor  mencapai sasaran dan berjaya  dilaksanakan . Setelah berjaya, kita akan  bawa program ini ke desa-desa kawasan lain pula. Terdapat lebih kurang 300 desa antaranya kawasan kampung tradisi dan kampung baru.  Saya kira ia adalah amat penting untuk memberi fokus pembagunan desa Ini .

Terdahulu kerajaan negeri telah menganjurkan satu kampung satu produk, apakah program ini telah berjaya di laksanakan?


Di Malaysia khususnya negeri Selangor, kerajaan negeri telah merancang satu  kampung satu produk. Namun, kita dapati program ini kurang sambutan mungkin akibat masyarakat perlu memikirkan apakah produk-produk yang perlu dilakukan dan ia memerlukan kemahiran yang tinggi. Selain itu tidak semua masyarakat berminat dalam dunia perniagaan walaupun dalam Islam amat menggalakkan umatnya mengcuburi bidang perniagaan.

Namun  di negeri Jepun program ini berjaya dilasanakan kerana minat dan penglibatan semua pihak dalam perniagaan.

Ekoran daripada itu, bagi saya untuk penggal kedua ini kerajaan negeri perlu memikirkan apakah asas utama di perlukan bagi menjayakan setiap program sebelum  melaksanakannya. Ini adalah tujuan bagi memastikan semua masyarakat tanpa kira parti perlu terlibat dalam program yang dilaksanakan. Apabila asas utama dapat kita cari maka hasrat kerajaan negeri memperkukuhkan ekonomi masyarakat berjaya di laksanakan dengan mewujudkan Homestay, dan sebagainya. Saya yakin ia akan memberi manfaat kepada semua pihak bagi memperkukuhkan ekonomi masyarakat itu sendiri.

Apakah keputusan kerajaan negeri untuk mewujudkan pembangunan desa tidak akan menjejaskan kawasan hijau?


MB telah putuskan bahawa kawasan hijau perlu dikekalkan walaupun pembangunan desa dibangunkan. Kita akan pastikan ada kawasan zon yang sesuai, pengunaan baja, bahan-bahan lain agar tidak menjejaskan masyarakat dan udara.

Apakah usaha kerajaan negeri bagi membantu golongan belia  untuk mendapat ruang pekerjaan yang baik di desa?

Kerajaan negeri akan membantu golongan belia mencari pekerjaan di desa agar mereka tidak melibatkan diri dalam aktiviti kurang sihat dan mencari kerja di bandar.

Antara perancangan saya adalah untuk memperkasakan industri kecil. Ini adalah tujuan  bagi memastikan golongan belia khususnya dapat pekerjaan di kawasan desa dengan melibatkan diri dalam pertanian moden.

Apakah faktor utama yang menyebabkan ramai belia sanggup bekerja di bandar sedangkan peluang pekerjaan di desa begitu luas untuk mereka?


Antara faktor utama kerana  kawasan desa tidak sediakan peluang pekerjaan yang baik.

Justeru apakah tindakan kerajaan negeri perlu lakukan bagi memastikan belia terlibat dalam perniagaan pertanian moden di desa ?


Apabila kita bercakap tentang pertanian moden kerajaan negeri akan memikirkan usaha menambahbaik program yang perlu dilakukan untuk belia. Ini adalah tujuan bagi memastikan belia tertarik dalam pertanian moden.

Antara program yang sesuai  dilaksanakan mewujudkan zon pertanian. Apabila zon pertanian ini di tubuhkan saya percaya belia akan terikat dengan desa dan dapat  keluar daripada suasana Bandar yang penuh dengan  tekanan. Untuk mencari peluang pekerjaan di bandar belia perlu kelulusan yang tinggi, kemahiran, pengalaman dan sebagainya. Dengan adanya program penambahbaikkan belia lebih tertarik untuk bekerja di desa.

Bagi kawasan desa jika terdapat tanah-tanah terbiar yang tidak di usahakan maka kita akan berbincang dengan pejabat tanah dan badan berwajib bagi menaiktaraf kawasan tersebut. Dengan usaha ini akan memberi peluang kepada masyarakat dan belia membangunkan kawasan berkenaan.

Dengan kerjasama dilaksanakan semua pihak bukan bermakna kerajaan negeri mengaut  keuntungan tetapi hasil tersebut akan dimanfaatkan kepada rakyat seperti yang dilaksanakan kerajaan negeri Selangor  sebelum ini iaitu “Hasil Negeri Untuk Rakyat”.

Kerajaan negeri bukan sekdar membantu petani namun Nelayan juga. Nelayan akan diberi lesen dan peruntukan. Dengan bantuan diberikan kepada nelayan kerajaan negeri akan sentiasa mengikuti perkembangan kemajuan yang dilakukan oleh nelayan. Ini adalah tujuan bagi memastikan para nelayan  tidak  salah guna dengan lesen dan peruntukan diberikan.


Portfolio Agama

Apakah program yang telah di rancang bagi portfolio Hal Ehwal Islam dalam  masa terdekat ini?


Dalam masa terdekat ini saya akan memanggil pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membincangkan program pengimarahan masjid. Ini adalah tujuan bagi memastikan program yang terdekat ini seperti ketibaan bulan Ramadhan akan berjalan dengan lancar.

Antara program pada bulan Ramadhan, kita akan adakan forum, tazkirah, kuliah, berzanji, khatam quran dan sebagainya. Setiap program dirancang kita akan menjemput penceramah terkenal seperti Utz Azhar Idrus, Ismail Kamus, dan ramai lagi bagi mengikat hati rakyat khususnya golongan belia dengan program masjid.  Kita akan modulkan pengisian pendalaman masjid.

Apakah kerajaan negeri telah merancang bekerjasama pihak JAIS, Masjid  untuk memberi Tauliah kepada penceramah bagi memasti mereka menyampaikan ilmu dengan betul?


Ya, sebelum kita memanggil penceramah menjalankan tugasnya, kita pastikan penceraman mempunyai sijil tauliah. Pihak JAIS, Masjid  sewajarnya memberi sijil tauliah kepada penceramah bagi memastikan penceramah menghayati kuliah yang disampaikan.

Pihak masjid perlu ada kerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk mengeluarkan sijil tauliah. Setiap modul yang disampaikan akan diberi ujian ini bagi memastikan mereka lebih fokus menghayati yang diberi.

Kita lihat keruntuhan akhlak remaja belia semakin menular dan membimbang semua pihak apakah tindakan yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri dan Exco Hal Ehwal islam untuk dekati golongan tersebut?


Akhlak remaja dan belia yang buruk perlu diatasi dengan mendapat kerjasama semua pihak. Ia bukan terletak pada Exco, ustaz, ulama tetapi semua pihak harus mainkan peranan. Kerajaan negeri telah berusaha mengadakan berbagai program untuk remaja dan belia bagi mengatasi masalah akhlak yang semakin dirisaukan oleh ibu bapa. Contohnya Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Dr Halimah Ali telah mengadakan berbagai program untuk mendekati remaja dan belia. Kita mendapati ia dapat sambutan yang baik.

Pada saya, golongan remaja belia perlukan perhatian  agar mereka tidak rasa di pinggirkan. Kita akan adakan berbagai-bagai program agama disamping itu mengajak golongan tersebut mendekati alim ulama. Apabila golongan alim ulama dekati mereka sudah pasti jiwa remaja belia  akan tersentuh dengan kata-kata yang berhikmah. Program penerangan secara santai agar belia dan remaja mudah dekati alim ulama perlu dilaksanakan.

Kerajaan negeri telah berjaya menjemput penceramah seperti Utz Azhar Idrus dan ramai lagi. Yang kita lihat mereka mudah mendekati semua golongan dan diterima semua peringkat usia.

Apakah punca remaja belia rosak akhlak, dan bagaimana YB tangani masalah ini ?


Keruntuhan rumah tangga, ibu bapa abai tanggungjawab kepada anak-anak kerana terlalu sibuk dengan kerjaya, pergaulan bebas, wujudkan cybercafé yang tidak terkawal  dan sebagainya.

Bagi atasi isu ini, ibu bapa yang ada masalah rumahtangga sewajarnya mendapat kaunseling daripada Pejabat Agama dan para ustaz. Ibu bapa sewajarnya meluangkan masa untuk anak-anak agar mereka tidak dipinggirkan dengan mencari hiburan luar. Bagi Cybercafe yang melanggar syarat operasi sewajarnya diambil tindakan demi keselamatan anak-anak.

Bantahan di kedutaan Syria Jumaat ini

Harakahdaily, 11 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan bantahan di hadapan kedutaan Syria, Kuala Lumpur pada 14 Jun ini berikutan kekejaman tentera regim Bashar Assad terhadap rakyat negara itu.

Ketuanya Nasruddin Hassan berkata, bantahan tersebut akan diadakan sejurus selesai solat Jumaat.

"Saya menyeru agar seluruh rakyat dan warga prihatin di negara ini tanpa mengira perbedaan agama, kaum dan politik berkumpul dihadapan Kedutaan Syria pada hari jumaat ini bagi menyatakan bantahan dan kutukan keras kita terhadap campurtangan asing, keganasan, pertumpahan darah dan kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Syria

"Sewajarnya kita menunjukkan solidariti kita terhadap insan yang tertindas menjadi mangsa kekejaman dan gas beracun. Sungguhpun Syria nun beribu kilometer, namun kekejaman dan keganasan yang berlaku tidak mungkin membuatkan kita kaku membatu diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Krisis Syria yang berlanjutan sudah lebih dua tahun telah mengakibatkan 100 ribu rakyatnya terbunuh manakala 1.6 juta menjadi pelarian.

Para alim ulama' dunia menegaskan kebangkitan rakyat Syria adalah jihad dan mati mereka kerananya adalah syahid.

Sementara itu, Ahli Parlimen Temerloh itu juga turut menggesa seluruh masjid mengadakan solat hajat memohon pertolongan Allah swt dan sekaligus memusnahkan mereka yang kejam, ganas dan tidak berhati perut.

"Kita juga mendesak agar kerajaan Malaysia segera menyatakan sikap untuk mengutuk kekejaman ini dan mengadakan Sidang Khas Parlimen bagi membincang dan mengambil keputusan dan tindakan rasmi kerajaan Malaysia terhadap krisis kemanusiaan yang berlaku di bumi Syam itu.

Tidak hadir sesi taklimat parlimen bukan boikot

Harakahdaily, 11 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak menganggap Ahli Parlimen yang tidak hadir ke sesi taklimat pagi tadi sebagai memboikot sesi tersebut.

Beliau sebaliknya menganggap mereka mempunyai alasan yang tersendiri untuk tidak hadir.

"Kita mengamalkan demokrasi. Orang yang datang, datang. Yang tidak datang, tidak datang.

"Saya menganggap semua yang tidak hadir mempunyai alasan mereka tersendiri dan bukan untuk memboikot," katanya pada sidang media selepas sesi taklimat tersebut.

Beliau turut menjelaskan, kehadiran ke sesi taklimat tersebut adalah tidak wajib.

"(Sesi) ini adalah untuk Ahli Parlimen yang baru. Bagi yang senior, mereka akan hadir jika mereka menghormati tempat di mana mereka bekerja. Tetapi kita faham yang ada sesetengah daripada mereka mempunyai alasan kenapa mereka tidak datang," katanya lagi.

Hanya seorang daripada 89 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang hadir ke sesi taklimat tersebut iaitu Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa.

Sementara itu, bercakap kepada Free Malaysia Today, Teck Hwa berkata, kehadiran ke sesi taklimat tersebut merupakan keputusannya sendiri.

Beliau berkata, beliau hadir untuk mengetahui peraturan sidang parlimen yang akan bermula pada 24 Jun ini.

Minggu lalu, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat memutuskan untuk tidak hadir ke sesi taklimat tersebut sebagai tanda kesinambungan protes menuntut reformasi pilihan raya yang didakwa berlangsung dengan penuh penipuan pada PRU13 lalu.

PAS Johor fail 4 petisyen PRU13

Harakahdaily, 11 Jun 2013
JOHOR BAHARU: PAS Johor memfailkan empat petisyen mahkamah bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi empat kerusi di negeri itu.


(Dr Mahfodz buat petisyen di Gambir, Salahudin di Pulai dan Nusa Jaya)

Empat kerusi tersebut masing-masing satu bagi parlimen iaitu Pulai dan tiga untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Gambir, Mahkota dan Nusajaya.

Hadir bagi memfailkan petisyen tersebut di Mahkamah Tinggi di sini semalam termasuklah Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Setiausaha PAS Johor Onn Jaafar, dan Yang Dipertua PAS Kluang Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Kesemua petisyen tersebut difailkan menerusi peguam Mohd Fikah Sanusi dan Mohd Zulkhairi Ab Aziz.

Pada PRU13 lalu, kerusi parlimen Pulai dimenangi BN menerusi calonnya Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau menang dengan majoriti majoriti 3,226 undi menewaskan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Bagi Dun Nusajaya, Salahudin tewas kepada calon BN Dr Zaini Abu Bakar dengan majoriti 2,201 undi.

Di Dun Gambir, calon PAS Dr Mahfodz tewas kepada calon BN, M Asojan dengan majoriti 310 undi, manakala di Mahkota calon PAS Khairul Faizi tewas kepada calon BN Md Jais Sarday dengan majoriti 1,108 undi.

Harga rumah di Bintulu terlalu mahal

Jofri Jaraiee, 11 Jun 2013

(Pelabuhan Bintulu...pesat membangun dan memerlukan perhatian)

BINTULU: Rumah merupakan salah satu keperluan asas bagi setiap individu yang hidup di dunia ini. Tidak kira di mana manusia berada, pasti rumah akan dijadikan tempat untuk berteduh dan berlindung dari panas siang dan sejuknya malam.

Boleh dikatakan jumlah rumah di Malaysia dari masa ke masa bertambah dengan semakin bertambahnya populasi rakyat Malaysia.  Jika jumlah rumah tidak cukup menampung populasi rakyat yang semakin bertambah, maka timbullah pelbagai masalah seperti tiada tempat tinggal dan kenaikan harga rumah.

Perkara inilah yang berlaku di Bintulu, sebuah bandar di Sarawak yang terkenal dengan hasil petroleumnya. Semakin hari semakin banyak projek yang akan dibangunkan di sekitar Sarawak ini. Seperti projek di MLNG, projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di Taman Perindustrian Samalaju dan lain-lain.

Secara sifirnya, penambahan projek-projek baru akan meningkatkan jumlah kemasukan pekerja-pekerja baru bagi melaksanakan projek yang dibangunkan. Sudah pasti pekerja yang baru datang ke Bintulu ingin mencari tempat berteduh sementara mereka bekerja disini.

Namun begitu, jumlah rumah yang sedia ada tidak cukup banyak untuk menampung situasi ini. Projek perumahan baru juga disifatkan baru bermula dan tidak cukup banyak bagi menampung keperluan mereka yang ingin tinggal disini.

Rumah yang dijual pula terlalu mahal dimana harga jualan yang dimaklumkan adalah sekitar RM380,000 ke atas bagi rumah teres tengah dua tingkat.

Harga ini tidak munasabah bagi mereka yang baru bekerja selama 5 ke 10 tahun dengan berpendapatan RM2000 ke RM3500 sebulan. Ini kerana, bagi sebuah rumah yang berharga sebegini, wang pendahuluan yang harus dikeluarkan adalah RM40,000 dan bayaran bulanan adalah sebanyak RM1900 ke atas baki pinjaman selama 30 tahun.

Bagi mereka yang ingin menyewa rumah pula, masalah yang dihadapi adalah harga sewa rumah juga sangat mahal. Bila disebut ‘rumah sewa’, perkara pertama yang menghantui minda adalah harga sewa yang sangat tinggi.  Tuan rumah terpaksa menaikkan harga sewa ke RM1000 dan ke atas sebulan bagi menampung bayaran rumah yang mereka miliki.

Rumah sewa yang berharga sedemikian bukanlah berperabot lengkap, bahkan ada yang kosong dan tiada perabot. Harga sebegini jika dibandingkan dengan harga sewa rumah di Semenanjung amatlah jauh bezanya. Dengan harga RM1000, rumah teres dua tingkat berserta dengan perabot mampu dimiliki sementara.


(Industri minyak dan gas menghasilkan peluang pekerjaan yang banyak dan memerlukan perumahan yang baik)

Rata-rata yang baru mula bekerja disini mengalami kesulitan untuk mencari rumah sewa. Itu baru cerita berkenaan harga sewa rumah. Masalah harga sewa bilik juga tidak jauh beza iaitu diantara RM300 ke RM500 merupakan harga ‘standard’ bagi satu bilik disini.

Tidak dinafikan isu ini menjadi berita hangat sehingga terpampang di salah sebuah akhbar tempatan baru-baru ini. Di dalam berita yang bertajuk “Harga rumah di Bintulu paling mahal di Sarawak”, Menteri Perumahan Sarawak ada menyebutkan beberapa tindakan susulan akan diambil bagi mengatasi masalah ini. Namun, sehingga kini masalah ini masih berlarutan seolah-olah tiada penghujungnya.

Beliau juga ada menyatakan bahawa perkara ini hanya sementara sahaja kerana projek perindustrian yang akan dimajukan masih dalam fasa pembinaan dan ia kembali pada kadar biasa dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Justeru itu, kita ingin mendesak pihak yang berwajib untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan dengan kadar segera bagi mengatasi masalah harga rumah yang semakin melambung tinggi ini. Jika harga rumah yang dijual adalah rendah, sudah pasti penyewa tidak akan menaikkan harga sewa rumah dengan sewenang-wenangnya.

Pihak kementerian sewajarnya campur tangan dalam urusan menetapkan harga maksimum pada setiap satu jenis rumah yang dimajukan. Jika pihak kementerian hanya menyatakan masalah ini hanya akan berlarutan 2 hingga 4 tahun sahaja, bererti kerajaan Barisan Nasional memang tidak memperdulikan nasib rakyat dan sanggup mengorbankan kehidupan rakyat demi kepentingan projek yang sedia ada. Jelas, keperihatinan kerajaan BN terhadap pengundi yang mengundi mereka selama ini tidak diendahkan.

Impak atau kesan kenaikan harga rumah ini bukan sahaja terkesan kepada warga bukan Bintulu, bahkan rakyat jati 'vaee' atau Bintulu juga merana kerana kesusahan yang mereka hadapi untuk memiliki rumah sendiri.

Tenaga pengajar juga turut terkesan dengan situasi yang membebankan ini. Bagi warga guru yang datang jauh dari semenanjung dan sanggup berkorban untuk mengajar anak bangsa di Bintulu, pihak Kementerian Pelajaran wajib mengambil perhatian yang secukupnya kepada mereka dengan menjaga kebajikan mereka dengan sebaiknya.

Dalam keadaan Bintulu yang kekurangan guru di Sarawak dan masih memerlukan tenaga guru dari Semenanjung, pihak kementerian harus memberi yang terbaik bukan hanya dengan elaun perumahan untuk mereka, bahkan pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Bintulu mencadangkan agar dibina kuarters atau perumahan guru yang secukupnya. Ini penting supaya tenaga pengajar merasa dihargai atas pengorbanan mereka dalam mendidik anak bangsa di sini. Jangan dibezakan antara warga Semenanjung dan Sarawak dalam isu ini.

Kita tidak mahu slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” yang sering dilaungkan kerajaan hanya menjadi omongan kosong dalam keadaan rakyat Bintulu masih dibelenggu dengan masalah-masalah ini.

Walaupun pihak kerajaan ada bercadang membina perumahan mampu milik tetapi harganya masih lagi menjadi isu kerana siapakah pemilik sebenarnya yang mampu memiliki rumah tersebut kerana kalau harga rumah mampu milik dibina dengan banyak sudah pasti harga perumahan swasta dengan sendirinya akan menurun.

Kita mengesa agar perkara ini mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak kerajaan kerana masalah ini bukan sahaja berlaku di Bintulu bahkan hampir seluruh kawasan bandar di Sarawak.


* Penulis adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak.

Acara MOM 23 Jun tidak guna Padang Merbok

Harakahdaily, 11 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Sekretariat Pakatan mendapat makluman bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan menggunakan Padang Merbok pada 22 Jun 2013, melalui surat yang difakskan semalam.

“Melalui sidang media dan laporan berita berikutnya, saya mendapat tahu alasan-alasan kenapa permohonan itu ditolak, termasuklah alasan bahawa Padang Merbok diperlukan pada 22 Jun 2013 sebagai persiapan kepada satu acara yang dianjurkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada keesokan harinya iaitu 23 Jun 2013,” ujar Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli.

Beliau telah membuat semakan seperti berikut untuk menentukan apakah acara yang akan dianjurkan oleh MOM seperti yang disebut oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur:

1.      Menyemak kalendar acara MOM di laman rasmi MOM www.olympic.org.my seperti paparan skrin yang disertakan. Mengikut kalendar acara MOM, pada 23 Jun 2013 MOM akan menganjurkan Larian Olimpik McDonald. (McDonald’s Olympic Run)



2.      Menyemak laman Facebook MOM untuk mendapat maklumat lanjut mengenai Larian Olimpik McDonald ini. Didapati bahawa larian ini bukanlah berlangsung di Padang Merbok tetapi bermula dan berakhir di Dataran Merdeka. (sila rujuk paparan skrin di bawah)

3.      Untuk memastikan acara ini benar-benar diadakan di Dataran Merdeka dan bukannya Padang Merbok, saya menyemak pula laman Pacesetters Athletic Club Malaysia (PACM) yang turut sama akan terlibat di laman rasminya www.pacesetters.com.my (sila rujuk paparan skrin). Disahkan bahawa acara anjuran MOM ini akan diadakan di Dataran Merdeka, bukannya Padang Merbok.



4.      Akhir sekali, saya menyemak sendiri laluan larian dari borang pendaftaran yang disertakan. Berdasarkan laluan larian seperti yang ditunjukan di paparan skrin, jelas bahawa larian tersebut tidak menggunakan Padang Merbok sebagai tapak dan ia bermula dan berakhir di Dataran Merdeka.

“Saya kesal dengan tindakan DBKL yang tidak memberikan jawapan yang jelas mengenai kepenggunaan Padang Merbok pada 23 Jun 2013 semata-mata kerana terpaksa tunduk kepada tekanan politik Umno/Barisan Nasional,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam satu kenyataan.

Jelasnya, kata beliau acara pada 23 Jun 2013 tidak melibatkan Padang Merbok dan bermula/berakhir di Dataran Merdeka – maka tidak ada alasan untuk tidak membenarkan himpunan aman #black505 berlangsung di Padang Merbok pada 22 Jun 2013.

Beliau juga ingin menjawab alasan-alasan lain yang diberikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur terutamanya ekoran pendedahan bahawa acara pada 23 Jun 2013 anjuran MOM tidak menggunakan Padang Merbok:

1.      Pendirian pimpinan Umno/Barisan Nasional bahawa perhimpunan aman hanya boleh diadakan di tempat tertutup seperti stadium adalah tidak masuk akal dan bertentangan dengan hak berhimpun secara aman di semua tempat-tempat awam mengikut peruntukan Akta Perhimpunan Aman. Jika pendirian pimpinan Umno/Barisan Nasional ini digunapakai, maka tidak ada apa-apa majlis atau acara yang boleh dibuat di tempat terbuka dan akta perlulah ditukar namanya menjadi “Akta Perhimpunan Aman Dalam Stadium Sahaja”.

2.      Alasan bahawa penggunaan stadium akan memudahkan penjaja juga tidak masuk akal kerana semua perhimpunan aman yang dibuat di tempat terbuka sebelum ini berjaya menempat penjaja dengan baik. Malah, penggunaan stadium menyempit ruang untuk penjaja berniaga.

3.      Alasan bahawa perhimpunan di Padang Merbok akan menjejaskan perhiasan sekitar kawasan sudah tentu tidak masuk akal kerana acara Larian Olimpik McDonald mengambil ruang yang lebih besar dan melalui semua kawasan-kawasan berhampiran Parlimen.

4.      Alasan bahawa perhimpunan akan menyebabkan kesesakan jalan raya tidak boleh dipakai kerana Larian Olimpik McDonald akan menyebabkan jalan-jalan ditutup di sekitar kawasan. Jika pihak berkuasa boleh menutup jalan untuk mempermudahkan larian itu, saya pasti pihak berkuasa juga boleh menutup jalan untuk perhimpunan aman #black505 pada 22 Jun 2013.

“Saya dan rakan-rakan Pakatan Rakyat akan hadir berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 14 Jun 2013 tetapi kami tidak akan berganjak dari keputusan mengadakannya di Padang Merbok pada 22 Jun 2013, apatah lagi apabila terbukti padang itu tidak digunakan pada hari Sabtu dan Ahad minggu itu,” tegasnya.

Tiada ulasan: