Rabu, 24 April 2013

KALAU LONGGOKKAN SAMPAH YANG BIASA MELETUP NI ...TIN UBAT NYAMUK...LEBIH2 JIKA DIBAKAR

PAS kecam letupan di ceramah BN

Anis Nazri, 24 Apr 2013
KUALA LUMPUR: PAS mengecam sekeras-kerasnya perbuatan khianat serta provokasi murahan yang cuba diamalkan oleh pihak tertentu sejak sebelum kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bermula lagi.

Yang DiPertua PAS Nibong Tebal, Abdul Rahman Ramjan, berkata sehingga kini beberapa kes di seluruh negara telah dilaporkan berlaku perbuatan khianat termasuk merosakkan markas pilihan raya PAS, merosakkan bendera, menyerang ceramah Pakatan Rakyat dan sebagainya.

Malam tadi pula katanya, dilaporkan berlaku letupan ketika majlis ceramah perdana anjuran BN Nibong Tebal, yang menyebabkan seorang petugas keselamatan cedera di kaki.

"Kita bimbang, ada pihak lain yang sengaja membuat provokasi, kemudian cuba memburuk-burukkan Pakatan Rakyat," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Menurut Abdul Rahman lagi, jentera Pakatan Rakyat tidak mempunyai banyak masa selain fokus bertemu pengundi bagi menyampaikan maklumat kepada mereka.

Apatah lagi untuk membuat sebarang tindakan provokasi ke atas mana-mana program anjuran parti-parti politik yang bertanding pada pilihan raya kali ini.

Menurutnya, sepanjang kempen ini jentera Pakatan Rakyat khususnya di Nibong Tebal menjalankan kempen secara berhemah, selain mengelakkan sebarang tindakan provokasi yang boleh menimbulkan ketegangan.

Tambah beliau, rakyat di negara ini juga sudah bijak menilai pihak yang sering menimbulkan provokasi di mana-mana majlis politik tertentu.

Dalam pada itu, Rahman memberikan jaminan sekiranya Pakatan Rakyat memenangi PRU13 ini, Malaysia akan kekal aman dan sejahtera dan tidak akan berlaku huru-hara seperti yang dimomokkan pemimpin BN.

"Jaminan kami, Pakatan Rakyat, Insya-Allah Malaysia kan terus aman jika memerintah nanti. Sedangkan kita tewas berkali-kali pun kita masih kekal aman, apatah lagi jika kita menang nanti," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua jentera parti yang bertanding, sama ada BN mahupun Pakatan Rakyat serta bebas untuk berkempen secara berhemah dalam usaha memikat pengundi.

Pada PRU13 ini, kerusi parlimen P047 Nibong Tebal yang dianggap kerusi panas akan bertembung tiga penjuru membabitkan BN, PKR dan bebas.

PKR mencalonkan Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman, manakala BN meletakkan Zainal Abidin Osman, sementara bebas diwakili Teng Kok Pheng.

Berhubung insiden letupan malam tadi itu, polis dilaporkan sedang menyiasat punca sebenar kejadian dan tidak menolak kemungkinan ia perbuatan khianat

Gamis anjur debat Tuan Ibrahim dan Adnan Yaakob

Harakahdaily, 24 Apr 2013


KUANTAN: Dalam usaha membina serta mencorak budaya politik baru yang berpaksi kepada politik nilai, idea dan hujah,  Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia Negeri Pahang  (Gamis Pahang) hari ini mengumumkan akan menganjurkan debat manifesto antara dua tokoh besar Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

Inisiatif positif daripada Gamis Pahang mempertemukan dua tokoh besar yang mewakili Barisan Nasional serta Pakatan Rakyat dari negeri Tok Gajah yang dilihat  bakal diangkat sebagai Menteri Besar Pahang dalam satu debat manifesto yang julung-julung kali diadakan di negeri ini.

Dalam Debat  Manifesto ini, Gamis memilih Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selaku calon MB PR dan Menteri Besar kerajaan sementara Pahanag Datuk Sri Adnan Yaakob selaku calon MB BN.

Di PRU13, Tuan Ibrahim bertanding di N29 DUN Jengka manakala Adnan pula bertanding di N36 DUN Pelangai.

“Debat ini menjadi medan utama kedua-dua belah pihak mengemukakan segala manifesto, tawaran mahupun janji politik yang memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat yang adil dan seimbang agar rakyat mampu membuat pilihan yang tepat dalam memilih pemimpin yang benar-benar mewakili suara dan harapan mereka,” kata Gamis Pahang dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Debat ini kata Gamis Pahang, akan memberi peluang dan ruang kepada kedua-dua belah pihak mengupas segala isu-isu kebajikan rakyat.

Tuan Ibrahim dan Adnan, katanya, boleh menjawab segala persoalan berbangkit agar segala keraguan dan kebimbangan rakyat mendapat maklum balas secara berfakta dan jelas daripada pihak yang berautoriti tanpa wujud sebarang ketidakadilan dan penipuan.

“Tuan Ibrahim sudah memberi persetujuan untuk menghadiri debat. Kami masih cuba mendapatkan masa daripada Datuk Seri Adnan. Kami diberitahu jadual beliau penuh. Namun kami tetap akan mencuba demi rakyat Pahang supaya debat ini berlaku. Diharap pihak BN akan menerima jemputan,” kata Pengerusi Gamis Pahang Ahmad Fatihi Mathtar.

Sementara itu, Fatihi juga berkata Gamis Pahang juga akan berusaha mempertemukan beberapa tokoh-tokoh lain terutama bagi kawasan yang menjadi tumpuan ramai seperti di P088, Parlimen Temerloh yang menjadi pertembungan dua tokoh anak muda terkenal antara Datuk Saifuddin Abdullah dan Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi.

“Semoga segala perancangan yang bakal direncanakan dapat direalisasikan dengan baik demi mewujudkan budaya politik baru yang lebih segar, adil dan saksama yang bebas daripada budaya politik samseng, fitnah dan lucah,” kata beliau.

Beliau juga berharap tokoh-tokoh yang bertanding di Pahang akan menyambut inisiatif baik Gamis Pahang untuk menaikkan martabat politik negara daripada politik lucah ke hujah.

Media baru jadi faktor penting PRU13

Harakahdaily, 24 Apr 2013


KUALA LUMPUR: Ketika ICT mula diperkenalkan di Malaysia pada awal tahun 1990-an, tidak ramai orang yang melihatnya sebagai satu senjata yang boleh merubah gerak kerja penerangan ahli parti yang sebelum itu banyak bergantung kepada ceramah dan media cetak sebagai bahan penerangan.

"Kita ketahui globalisasi sebenarnya cukup serasi dengan Islam. Islam itu sendiri adalah agama sejagat dari segi sifat kesyumulan ajarannya sama ada dari aspek masa, tempat, bangsa dan setiap bidang kehidupan," kata Exco Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Yusof Hadhari.

Katanya, PAS hari ini sudah melangkah jauh dalam survival politiknya dan kini PAS merupakan Gerakan Islam yang mampu memanfaatkan ICT dan Media Baru sebagai satu “alat” memperkasakan kerja-kerja penerangan dan dakwah dalam dunia moden sekarang ini.

Tambahnya, kesemua parti politik sedar akan bilangan pengundi di bawah umur 40 tahun menghampiri 48 peratus jumlah pengundi dalam pilihan raya ke 13 ini dan jumlah ini mungkin akan meningkat kepada 52 peratus menjelang pilihan raya.

Secara umumnya, kata beliau boleh dirumuskan parti yang menguasai minda anak muda akan menentukan parti mana yang akan menang dalam pilihan raya umum ke-13 ini. Hampir 70 peratus dari pengundi muda ini dipengaruhi oleh media baru.

Beliau berkata, ini bermakna media baru bakal menjadi faktor penting dalam pilihan raya umum kali ini.

Oleh itu, katanya jentera parti perlu perlu memberi perhatian khusus dalam menguasai media baru, di samping ceramah dan media cetak sebagai bahan penerangan, dan sebarkan bahan-bahan penerangan menggunakan media baru.

Perlu diingatkan tentang bahan dan kebenaran fakta dan isu yang disebarkan.

"Kita bimbang, ahli-ahli yang ikhlas bekerja siang dan malam bagi memenangkan gerakan Islam ini, terpedaya dengan mainan musuh dengan menyebarkan isu dan artikel-artikel berbentuk fitnah dan direka-reka pihak lawan.

"Oleh itu, saya sarankan supaya bahan-bahan penerangan diambil dari sumber yang diketahui ianya benar dan sahih," katanya

Selain Harakahdaily, kita mempunyai page facebook Pemuda PAS Malaysia yang mengumpulkan perbagai isu dan artikel-artikel kempen yang ditapis sebelum dipaparkan di media baru.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua untuk pergi ke laman facebook DPP Malaysia [Official] dan menjadi antara individu yang sentiasa menyebarkan maklumat kepada rakan-rakan facebook masing-masing, supaya penyebaran maklumat yang tepat dan benar dapat di buat dengan lebih meluas.

Disebabkan 5 Mei sudah amat hampir, maka kita sebagai petugas dan pendokong PAS untuk menegakkan Islam di negara kita harus melipatgandakan usaha mengenengahkan ICT dan Media Baru sebagai alat dan media penerangan yang berkesan dalam perang siber yang berlaku dalam dunia maya sekarang ini.

Royalti, pembangunan wanita dalam 9 tawaran PAS K'tan

Harakahdaily, 24 Apr 2013
(TG Nik Aziz menunjukkan dokumen manifesto PAS Kelantan yang dilancar malam tadi)

PASIR PUTEH: PAS Kelantan menawarkan sembilan tawaran kepada rakyat negeri itu sebagai manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Antara lain, manifesto bertemakan 'Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan' itu menawarkan pemerkasaan rohani, memperjuangankan secara berterusan royalti hak rakyat negeri itu, melaksanakan keadilan untuk semua rakyat serta meningkatkan kemakmuran ekonomi rakyat secara adil dan saksama.

Manifesto tersebut dibentangkan Pengarah Pilihanraya PAS Negeri, Wan Nik Wan Yusof dalam satu program di sini malam tadi.

Turut serta pada majlis itu, Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selain itu, PAS turut akan memajukan sosiobudaya di negeri itu dengan berteraskan iman, ilmu dan amalan serta merakyatkan hasil negeri Kelantan.

PAS juga komited untuk meningkatkan mutu taraf hidup masyarakat yang berkonsepkan masyarakat Madani, memakmurkan kehidupan sosial, harmoni dan berkebajikan serta akan memberi fokus kepada pembangunan wanita dan anak muda di negeri itu.

Wan Nik berkata, tawaran parti itu adalah untuk dinilai oleh rakyat Kelantan sebagai kesinambungan kecemerlangan di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

"Kita mengemukakan program ini (tawaran) yang bertemakan 'Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan' di mana tiga konsep ini seiring dengan tema 'K' iaitu 'Kekal Kelantan'.

"Tawaran itu adalah suatu yang baik untuk dinilai oleh rakyat Kelantan, supaya kita lebih yakin dan percaya bahawa suatu urus tadbir terbaik berdasarkan pemikiran-pemikiran berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah yang diterjemahkan para ulama dalam misi bagi perjuangan PAS," katanya.

Abim cadang 6 Mei cuti umum

Harakahdaily, 24 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Merujuk kepada pilihanraya yang bakal menjelma pada 5 Mei ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) ingin memohon agar satu hari kelepasan am diberikan kepada semua golongan pekerja pada hari berikutnya, 6 Mei.

"Pilihanraya adalah hari kebesaran rakyat di mana hak serta kebebasan mereka diraikan," kata Presiden Abim, Amidi Abdul Rahman (gambar).

Abim menilai pelbagai pertimbangan seharusnya diambil kira untuk membenarkan rakyat menentukan masa depan negara ini tanpa sebarang kekangan dan halangan.

Pertimbangan ini termasuk untuk memudahkan para pengundi yang duduk di luar lokaliti mereka untuk menunaikan hak mereka, katanya.

Tambahan pula pilihanraya ini menarik perhatian yang luar biasa dari pelbagai pihak serta perlu diraikan menerusi lunas-lunas demokrasi yang telah ditetapkan.

Jika hari kelepasan am ini diberikan ia akan membantu mengelakkan sebarang kesulitan logistik seperti kesesakan jalanraya, ketiadaan tiket penerbangan serta keretapi.

Bagi beliau, jika perkara ini berlaku, dikhuatiri ia akan merencatkan jumlah kehadiran pengundi semasa pilihanraya diadakan.

Adalah sesuatu yang mendukacitakan sekiranya mandat bakal diperolehi tidak menggambarkan refleksi suara rakyat sehingga ke akar umbi.

Bagi Abim, gesaan ini selari dengan semangat meraikan demokrasi yang dinyatakan dalam Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 ( Akta 5 ) Bahagian IV,Perkara 25: yang berbunyi

Majikan hendaklah membenarkan tempoh yang berpatutan bagi pekerja-pekerja mengundi

(1) Tiap-tiap majikan hendaklah,pada hari mengundi membenarkan satu tempoh yang berpatutan bagi tiap-tiap pemilih yang bekerja dengannya mengundi,dan tiada seorang majikan boleh membuat apa-apa potongan dari gaji atau mengenakan ke atasnya atau menuntut daripadanya apa-apa penalti oleh sebab ia tidak hadir bekerja dalam tempoh itu

(3) Seseorang majikan yang,secara langsung atau secara tak langsung,enggan memberi atau dengan menakut-nakutkan dengan pengaruh yang tak berpatutan, atau dengan apa-apa cara lain,mengganggu pemberian suatu tempoh yang berpatutan untuk seorang pemilih yang bekerja dengannya mengundi,sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen ini,boleh apabila disabitkan secara terus dikenakan denda sebanyak RM500 atau penjara 1 tahun.

Berdasarkan kepada kenyataan ini adalah menjadi harapan agar pihak kerajaan dapat  mengumumkan segeri pemberian cuti khas sempena PRU 13 untuk memudahkan rakyat serta pihak-pihak berkenaan membuat perancangan seperti perancangan perjalanan dan pengurusan organisasi (untuk agensi awam serta swasta).

"Semoga gesaan ini mendapat perhatian daripada pihak yang sewajarnya ke arah memartabatkan Karamah Insaniah menerusi lunas-lunas demokrasi yang memenuhi citra penyataan kesaksian suara rakyat," kata Amidi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan