Ahad, 28 April 2013

INSYAALAH MENANG...PENIPUAN YANG DIBIMBANGKAN...PENIPUAN BERLAKU JIKA ADA IZIN ALLAH...DOA UNTUK MENGATASI PENIPUAN...PENIPUAN AMALAN SYAITAN

Kartun Zunar: Dari buku ke papan iklan besar

Harakahdaily, 28 Apr 2013


(Kartun yang dihasilkan Zunar kini menghiasi papan-papan iklan di tepi jalan)

KUALA LUMPUR: Dari berjuang melalui lukisan di dalam akhbar, laman web dan pameran lukisan, kini lukisan kartun yang dihasilkan oleh kartunis Zunar terpampang di papan-papan besar.

Pelbagai jenis lukisan yang dibuat Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anwar Ulhaq, kini di pasang di tepi-tepi jalan dan pusat perhimpunan orang ramai.

Zunar membuat perkara ini bersama dengan rakan -rakannya yang bertungkus lumus mahu memenangkan perjuangan rakyat dalam pilihan raya umum kali ini.

"Saya buat ini untuk rakyat," kata Zunar dalam satu majlis.

Nama Zunar mula popular melalui majalah kartun Gila-gila. Kemudiannya beliau menjadi kartunis utama akhbar Berita Harian.

Apabila reformasi meletus 1998, Zunar menyertai Harakah menjadi kartunis dengan akhbar milik PAS itu.

"Sumbangan utama Zunar adalah semasa pilihan raya umum 1999. Ketika itu Zunar bersama redaksi Harakah membuat keluaran khas untuk pilihan raya tersebut," kata Zulkifli Sulong Ketua Pengarang Harakah ketika itu.

Ketika itulah Harakah berada di kemuncaknya apabila diedarkan 350,000 naskah setiap keluaran dan kemuncaknya 380,000 naskah menjelang hari mengundi pilihan raya umum 1999.

Hasilnya, dalam pilihan raya itu PAS mendapat dua buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu di samping dapat menghantar 27 pemimpinnya ke Parlimen.

Kini Zunar bergerak bersama rakan-rakan kartunis mengasilkan pelbagai jenis kartun untuk pelbagai jenis media.

Beliau pernah membuat kartun pameran solo di London. Tahun lepas, beliau juga membuat pameran solo kartun di Shah Alam.

Presiden PAS, Mat Taib gempur Perlis 29 April

Bashir Ishak, 28 Apr 2013
KANGAR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama-sama dengan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib akan berada di Perlis pada 29 April dalam rangka lawatan sempena Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Abdul Hadi dijangka tiba di Perlis pada jam 12.00 tengahari di Simpang Tiga Guar Sanji dekat Arau dalam program kenduri rakyat. Ini diikuti program minum petang bertempat di Pusat Tarbiah Islamiyah Kayang (Putik) di Dun Kayang pada jam 5.00 petang.

Beliau kemudiannya akan bersama-sama dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam program ramah mesra bersama pengundi kaum Cina di bandar Kangar (berhampiran panggung lama Sri Mahkota).

Seterusnya, Tuan Guru akan menunaikan solat maghrib di Masjid Guar Syed Alwi sebelum menyampiakan ceramah di Kampung Jawi Seratus di Dun Sanglang pada jam 9.00 malam dan diikuti ceramah di Markas PAS Paya di Dun Santan pada jam 11.00 malam.

Manakala Muhammad pula akan tiba di Perlis untuk program minum petang di Dataran Purnama, Beseri pada jam 5.00 petang. Kemudiannya beliau akan berceramah di Markas PAS Paya pada jam 9.00 malam sebelum berceramah di Kampung Jawi Seratus.

Pada 30 April, Presiden PAS akan menyampaikan kuliah subuh di Maahad Tahfiz Imam An-Nawawi (Matin) di Abi Padang Machang sebelum mengakhiri progam di Perlis dengan sarapan pagi bersama rakyat di Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Sementara itu, Muhammad pula akan berada bersama rakyat di pasar sehari di Pekan Simpang Empat.

Calon BN tumpang pupulariti Najib yang tak popular

Harakahdaily, 28 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Tujuh hari menjelang tarikh pengundian 5 Mei ini, nampaknya ketakutan luar biasa mula kelihatan pada wajah pimpinan utama BN sehingga menampakkan langkah mereka makin sumbang.

Bagai tidak percaya dengan kebolehan dan populariti diri sendiri, ramai calon-calon BN kini gelisah berdepan penolakan rakyat sehingga terpaksa mencari bosnya Datuk Seri Najib Razak untuk menempel kekuatan.


Jika hendak membandingkan sokongan dengan jumlah kehadiran yang ramai, dalam beberapa siri ceramah nampaknya BN sudahpun tewas.

(Gambar: Kehadiran pada ceramah Husam dan TG Nik Aziz di Putrajaya malam semalam)

Jikapun berjaya menarik orang ramai, BN tetap terpalit dengan persepsi rakyat bahawa yang hadir itu adalah diupah dan diberi duit poket, berbeza dengan ceramah Pakatan Rakyat yang hadir adalah secara sukarela.

Di Putrajaya, calon BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilihat paling ketara menggunakan teknik 'menempel' populariti orang lain.

Jika meronda di sekitar Putrajaya ketika ini, bukan poster muka Tengku Adnan yang banyak kelihatan, tetapi muka Najib mendominasi kempen BN seolah-olah Najib yang bertanding di Parlimen itu.

Dengan tagline "bersama Najib dahulukan rakyat", secara jelas faktor Najib digunakan sepenuhnya oleh calon ini untuk berkempen.

Semalam Tengku Adnan juga membawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir turun ke Putrajaya bagi membantu kempen beliau dengan harapan boleh menunjukkan sokongan warga putrajaya terhadapnya.

Ianya dibuat sehari selepas Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turun membantu kempen Husam di Putrajaya yang menyaksikan lautan manusia hadir pada ceramah di belakang bangunan Istana Kehakiman malam semalam.

Bagaimanapun mungkin sedikit malang buat Tengku Adnan apabila kehadiran Dr Mahathir di Presint 9 malam tadi itu bertembung dengan kehadiran pendakwah popular Ustaz Azhar Idrus di Presint 19 bersama calon PAS.

Gambar-gambar yang dirakam dan dimuat naik ke laman sosial Facebook menyaksikan sekali lagi lautan manusia di ceramah PAS malam tadi.

Tengku Adnan pernah berkata, "Saya berkeyakinan bahawa Husam akan ditolak, 'total rejection' sebab beliau datang dari luar Putrajaya".

Biarpun dalam kenyataan-kenyataannya di media perdana, dia dilihat lantang dan dengan angkuh merendah-rendahkan calon PAS Datuk Husam Musa, namun hakikatnya hati kecil beliau sebenarnya 'berpeluh dingin' akibat ketakutan.

Tidak dinafikan, Najib memang mempunyai popularitinya tersendiri sebagai seorang perdana menteri, apatah lagi setiap hari ditonjolkan dalam media arus perdana.

Bermakna, menempel dengan populariti Najib sedikit sebanyak mampu menarik sokongan pengundi terhadap calon yang dilihat 'bersama' Najib.

Konsep yang digunakan Tengku Adnan, jika berkawan dengan penjual minyak wangi, kita akan terpalit bau wangi sama.

Namun Tengku Adnan lupa, tidak semua pada Najib itu 'wangi' belaka.

Terbaru hasil kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) mendapati populariti Najib dari aspek siapa lebih layak jadi perdana menteri kali ini sudah diatasi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Peratusan keseluruhan siapa yang layak menjadi perdana menteri menunjukkan Anwar (dapat) 43 peratus manakala Najib 39 peratus," kata Pengarah Umcedel, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman pada sidang media kelmarin.

Biarpun kajian tersebut mendapati bahawa Najib masih lagi popular dari sudut 'seorang yang mesra rakyat', namun ianya terhapus apabila rata-rata responden bersetuju bahawa Najib adalah pemimpin yang tidak mampu membuat keputusan tanpa dipengaruhi orang lain.

Jika mengambil kesimpulan dari kajian itu, Najib sebenarnya sudah tidak lagi sepopular sebelum ini.

Menumpang populariti Najib mungkin hanya memberi kesan minimum, malah tidak keterlaluan dikatakan ianya mungkin juga boleh membuatkan sesetengah pengundi makin rasa meluat.

Namun adakah pilihan lain buat calon-calon BN untuk menumpang populariti selain Najib yang boleh dikatakan paling popular dalam BN setakat ini?

Bak kata pepatah "tiada rotan, akar pun berguna".

BN resah, peluang PAS cerah di Kuala Kangsar

Johari Jaafar, 28 Apr 2013
KUALA KANGSAR: Kerja kuat daripada seluruh petugas parti dan ahli PAS di seluruh kawasan serta pertolongan daripada Allah, pada 5 Mei nanti PAS mampu melakar sejarah untuk menawan kerusi Parlimen Kuala Kangsar

Demikian dinyatakan oleh calon PAS bagi Parlimen P.067 Kuala Kangsar, Drs Khalil Idham Lim yang ditemui di sini semalam.

Pada pilihan raya umum kali ini, Khalil Idham Lim ditentang oleh calon BN, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Datuk Kamilia Ibrahim (Bebas)

Menurut beliau walaupun berlaku perpecahan dalam Umno Kuala Kangsar berikutan Datuk Kamalia bertanding atas tiket Bebas, PAS perlu kepada kekuatan tersendiri untuk menang, bukannya kemenangan itu atas dasar lemahnya BN.

"Sedikit sebanyak penyertaaan Datuk Kamalia ada memberi sedikit kesan kepada BN, kerana itulah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak datang berkempen di sini, sebelum itu Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Shahrizad Abdul Jalil datang, ini menunjukkan BN cukup bimbang dan cemas di kawasan ini," ujar beliau.

Pada pilihanraya umum kali ini beliau mengutarakjan lima tawaran kepada para pengundi di Parlimen Kuala Kangsar, pertamanya berhubung pembinaan Jambatan Manong ke Seberang Manong yang sehingga kini sudah tiga kali diadakan majlis pecah tanah, jambatan tidak juga siap.

"Saya berjanji dalam masa setahun, saya akan tahu jawapannya bagi meneruskan pembinaan jambatan tersebut," katanya.

Kedua, ujarnya berhubung pengangkutan awam yang digunakan untuk orang ramai dari Kuala Kangsar ke Simpang Tiga yang sekarang ini begitu daif dan uzur akan digantikan dengan yang lebih baik sekiranya Pakatan Rakyat kembali berkuasa di Perak.

"Kita akan usahakan bas yang lebih baru dan selesa kepada rakyat bagi laluan Kuala Kangsar ke Simpang Tiga Beruas," ujar beliau.

Menurutnya dengan bantuan dari kementerian dan agensi yang berkaitan beliau akan usahakan bas yang lebih selesa kepada masyarakat di kalangan pelajar, ibu tunggal dan berbagai lapisan masyarakat yang menggunakan bas itu.

Sebelum ini beliau pernah mendedahkan bagaimana daifnya bas yang digunakan di kawasan itu dan beliau sendiri telah menaiki bas syarikat tersebut yang disifatkan terlalu uzur dan merbahayakan penumpang terutama pelajar sekolah.

"Bas tersebut sudah berusia 50 tahun dan selayaknya sudah berada di muzium," katanya.

Beliau turut menyentuh penempatan di dua kampung iaitu Kampung Baru Jerlun dan Kampung Tersusun Senggang yang sehingga kini penghuninya tidak mendapat hak milik kekal.

Dalam manifesto Pakatan Rakyat telah dinyatakan untuk memberikan geran tanah kekal untuk Kampung Tersusun dan Kampung Baru, Kerajaan Pakatan Rakyat akan menunaikan janjinya, kata beliau.

Menurut beliau Kampung Baru Jerlun didiami kaum Cina, manakala di Kampung Tersusun Senggang dihuni oleh orang Melayu.

"Terdapat 112 lot tanah yang didiami oleh orang Melayu di Kampung Tersusun Senggang yang hingga kini tidak apa apa status tanah, bila berlaku kematian, menjadi masalah kepada pewaris kerana tanah itu tidak ada apa apa status tanah.

“Begitu juga terdapatnya penempatan kecil orang Melayu, Cina dan India yang tinggal di rezab sungai dan jalanraya, kita akan menyelesaikan massalah ini nanti bila Pakatan Rakyat berjaya mengambilalih negeri ini," katanya lagi.

Tawaran keempat yang ditengahkan kepada pengundi di sini, mahu menyelesaiakan masalah perparitan yang serius di Kampung Bendang Kering.

Pada tahun 2007 lalu, jelasnya kerajaan telah membina longkang bagi menyelesaikan masalah perparitan di kampung tersebut, tetapi longkang tersebut tidak cukup besar dan panjang, sekarang ini longkang tersebut ada yang sudah pecah dan runtuh.

"Sistem perparitan di sini akan kita perbetulkaan balik bila Pakatan Rakyat berkuasa nanti," ujar beliau.

Tawaran terakhir berhubung industri Labu Sayung yang ada sekarang akan ditingkatkan lagi menjadi lebih baik sejajar dengan perkembangan semasa demi mempertingkatkan industri tersebut, katanya.

Pada Pilihan raya Umum ke-12 lalu calon BN, Datuk Seri Rafidah Aziz berjaya mengalahkan calon PAS, Dr Khairudin Datuk Abdul Malik dengan majoriti 1,458 undi.

Khalil Idham Lim mampu menarik para pengundi Cina di kawasan itu memandangkan beliau keturunan Cina dan boleh berinteraksi dengan mereka, ini satu kelebihan kepada beliau.

Jumlah pengundi di kawasan Parlimen Kuala Kangsar ialah 33,607 orang yang pengundi Melayu berjumlah 67.96 peratus, Cina (23.94%), India (6.96%) dan lain-lain (1.14%).

PRU13: Peluang untuk merdekakan bangsa Melayu

Harakahdaily, 28 Apr 2013

KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyeru para pengundi Melayu jadikan PRU13 ini sebagai peluang untuk memerdekakan bangsa dari politik sempit dan politik kotor yang selama ini disemai oleh parti politik yang berasaskan nasionalisme dan sekular.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, jika bangsa Melayu mahu merasai erti kebebasan tulen dan kemerdekaan yang sebenar, maka memenangkan calon yang menjiwai prinsip agama dari parti yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar iaitu PAS adalah satu-satunya pilihan.

"Di bawah perintahan sekular sekarang, demokrasi telah disalahguna oleh penguasa sewenangnya untuk mengekalkan kuasa sehingga bangsa Melayu menjadi mangsa kepada politik kotor," ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimanan di bawah.

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyeru para pengundi Melayu jadikan PRU13 ini sebagai peluang untuk memerdekakan bangsa dari politik sempit dan politik kotor yang selama ini disemai oleh parti politik yang berasaskan nasionalisme dan sekular.

Jika bangsa Melayu mahu merasai erti kebebasan tulen dan kemerdekaan yang sebenar, maka memenangkan calon yang menjiwai prinsip agama dari parti yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar iaitu PAS adalah satu-satunya pilihan.

Di bawah perintahan sekular sekarang, demokrasi telah disalahguna oleh penguasa sewenangnya untuk mengekalkan kuasa sehingga bangsa Melayu menjadi mangsa kepada politik kotor.
Bangsa Melayu perlu insaf betapa parti nasionalisme sekular Umno tidak boleh menjamin keselamatan bangsa kerana ia telah sarat dijangkiti kuman perkauman assobiyah yang ditolak oleh Islam akibat dasar sekular parti tersebut.

Malah ia adalah parti yang bahaya kerana menanam budaya politik "matlamat menghalalkan cara". Budaya politik lucah dan fitnah serta politik samseng jelas kini berleluasa adalah kerana parti Melayu yang tidak berasaskan Islam.

Bangsa Melayu berhak untuk mendapat sebuah kerajaan yang berhasrat menjadikan landasan Islam sebagai pilihan daripada mengekalkan kerajaan yang sekular.

Teras berpendapat bangsa Melayu sudah terlalu lama berkerajaankan parti yang sekular dan berlandaskan nasionalisme sempit sebagai pegangan.

PRU 13 ini harus memberi peluang bangsa Melayu melakukan ‘hurriyah siasiyyah’(pembebasan politik) untuk menubuhkan kerajaan yang sah dan bertunjangkan Islam.

Kerajaan yang membendung rakyat dengan ugutan, memanipulasi pilihanraya dan mengguna undang-undang yang menindas rakyat wajib diubah supaya dapat menghapuskan segala kezaliman.

Kezaliman ekonomi, politik, budaya, sosial, media, undang-undang dan atas nama keselamatan telah menyebabkan orang Melayu terbelenggu dalam minda feudal yang merosakkan.

Hanya dengan perubahan politik dalam PRU13 ini, kehormatan dan maruah bangsa dapat dipulih.

Bangsa Melayu tidak harus ragu-ragu  untuk menilai prestasi pemerintah dengan kritikal dan membuat keputusan menukar kerajaan tanpa rasa takut.

Pada asasnya orang Melayu mesti diberi kuasa memilih dengan bebas siapa yang mereka mahu untuk mengurus urusan mereka.

Pengundi Melayu berhak untuk memilih, mengkritik dan menamatkan kuasa pemerintah yang sedia ada jika terbukti parti yang memerintah melakukan pengkhianatan dan salahguna kuasa.

Cukuplah bangsa Melayu dihina dengan sogokan wang untuk memberi undi kepada parti yang hanya mengkayakan beberapa kerat Melayu elit.

Teras menegaskan bangsa Melayu memikul amanah menjaga kemuliaan agama dengan berusaha  melaksanakan hukum Allah dan bukan menurut hawa nafsu memesongkan rakyat dari hukum Allah.

Inilah yang diperintah oleh Al-Quran yang bermaksud: "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan Allah dan janganlah engkau menurut hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari suatu hukum yang telah diturunkan Allah kepadamu.” (al-Maidah, 5:49)

Soalnya setelah sedemikian lama parti nasionalis memerintah, hukum Allah bukan sahaja diketepikan malah telah ditohmah dan dimomokkan sebagai tidak sesuai dengan zaman dan dituduh sebagai hukum parti pembangkang.

Dengan memilih mereka yang tidak berhasrat melaksanakan hukum Allah bermakna menjadi pembela kepada orang-orang yang khianat.

Ketegasan Al-Quran tidak dapat dimungkiri, yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu wahai Muhammad kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” (an-Nisa’, 4:105)

Sebab itu Teras menegaskan PRU13 hendaklah memenangkan calon Muslim dari parti yang beriltizam untuk menegakkan hukum  kebenaran dan keadilan.

Menolak mereka untuk dipilih dalam pilihanraya akan menyebabkan suara Islam dalam Parlimen dan Dun akan tersisih. Pengundi Muslim hendaklah turut menyokong parti Islam yang menambah bilangan calon Islam sebagai wakil rakyat.

Parti Islam yang berteraskan Islam wajib diterima sebagai alternatif kepada parti sekular yang menolak dasar Islam.

Memilih dan menyerahkan amanah kepimpinan kepada mereka yang bertjuan menegakkan agama Allah adalah amal besar dalam Islam. Bangsa Melayu hanya selamat dengan Islam, tidak dengan yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan