Selasa, 30 April 2013

BUKAN SETAKAT INTAI....DOA...USAHA SEKERAS2NYA DISAMPING JAGA SOPAN-SANTUN DAN ADAB...FULUS DIPOKET JANGAN TAK KELUAR...KELUAR SEMUA TERMASUK IDEA2 YANG BERNAS BAGI MENCAPAI KEMENANGAN DIDUNIA DAN DIAKHIRAT

Perjuangan Rasulullah membentuk negara berasaskan keimanan

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, 29 Apr 2013
Generasi yang dipimpin dan dibentuk oleh Rasulullah SAW, adalah generasi yang telah menempa sejarah awal kegemilangan umat Islam, lahir (tumbuh) dan berkembang di tempat yang jauh daripada unsur-unsur kebendaan dan kekuatan lahiriyyah yang dipandang oleh manusia semata-mata. Generasi yang subur jiwanya di tanah gersang yang kering kontang. Generasi yang mekar keperibadiannya di tengah-tengah ketandusan kebendaan.

Sejarah kegemilangan umat Islam yang pertama bukan sahaja mengemukakan suasana itu dalam kalangan individu dan jamaah Islam, tetapi kegemilangan itu berlaku juga dalam hubungan umat Islam dengan orang-orang yang bukan Islam. Umat Islam yang sedikit bilangannya itu dapat menguasai orang-orang bukan Islam yang menerajui pemerintahan.

Penguasaan ini bukan bererti kompromi buta dalam bentuk kerjasama dengan orang-orang bukan Islam atau persyarikatan dalam pemerintahan di satu negara ataupun wala’, ketaatan dan kepatuhan yang diberikan oleh umat Islam kepada pemerintah yang bukan Islam. Penguasaan ini ialah menerusi kerjasama dalam melaksanakan perinsip-prinsip pemerintahan Islam.

Sikap dan semangat inilah yang dibawa oleh umat Islam yang berkuasa di negara-negara Islam, sama ada menyangkut hal-ehwal hubungan dalam negeri atau antarabangsa. Sikap dan semangat yang bertitik tolak daripada konsep keadilan Islam yang hakiki. Kita dapat melihat dalam kenyataan sejarah bagaimana orang-orang Islam menghormati prinsip oleh orang-orang yang bukan Islam walaupun pada saat mereka bermusuh dengan orang-orang kafir. Prinsip keadilan yang berkuatkuasa ke atas setiap orang Islam di sepanjang zaman. Prinsip keadilan yang mesti dilaksanakan sama ada di waktu damai atau perang, sama ada di peringkat diri individu atau jamaah, masyarakat atau negara.

Buktinya dapat petik daripada kata-kata khulafa’ yang menjelmakan konsep keadilan ini, “Jangan kamu membunuh perempuan, jangan kamu membunuh kanak-kanak, jangan kamu memotong pokok kayu yang berbuah, jangan kamu membunuh (mengganggu) paderi-paderi yang beribadat di gereja-gereja mereka, jangan kamu membunuh orang-orang tua yang tidak terlibat di dalam peperangan, dan jangan kamu membunuh orang-orang awam yang tidak terlibat di dalam peperangan.”

Walaupun pada saat peperangan itu berlaku, prinsip keadilan ini mesti terus dijulang dan dilaksanakan tanpa soal. Menjunjung keadilan ini hanya boleh dilaksanakan oleh umat yang beriman dan tidak mungkin dapat dilakukan oleh umat yang kufur. Prinsip keadilan ini bukanlah merupakan butiran catatan bertulis di atas kertas, tetapi prinsip keadilan ini dinyatakan menerusi pelaksanaannya yang sebenarnya. Hal ini dapat dibuktikan apabila orang-orang yang bukan Islam yang membayar jizyah, tetapi nilai jizyah yang dibayar itu tidak mampu disamakan dengan tanggungjawab pemerintah Islam untuk memelihara dan melindungi hak dan kepentingan mereka di dalam negara Islam.

Perkara ini terbukti ketika tentera Islam yang dipimpin oleh Abu Ubaidah Al-Jarrah menguasai wilayah sebelah Timur. Pada waktu teraju pemerintahan berada di bawah kuasa umat Islam, berlakunya suatu peristiwa di mana tentera Rom telah berkumpul dengan jumlah yang besar untuk menyerang wilayah yang dikuasai oleh umat Islam itu. Justeru kerana Abu Ubaidah merasa sulit untuk menghadapi tentera Rom dan merasai tidak dapat menunaikan hak dan kewajipan untuk melindungi orang-orang bukan Islam yang berada di bawah pemerintahannya, maka Abu Ubaidah mengambil tindakan memulangkan kembali jizyah yang diambil daripada orang-orang bukan Islam.

Pengembalian jizyah ini adalah sebagai tanda bahawa orang Islam tidak dapat menunaikan tanggungjawab untuk memelihara keselamatan mereka dalam ancaman yang berat itu. Dan bagaimana orang yang bukan Islam enggan untuk menerima jizyah yang dipulangkan itu. Mereka lebih cenderung dan merasakan lebih baik berada di bawah pemerintahan Islam kerana keadilan Islam mampu untuk menjamin hak dan kepentingan mereka. Hal ini dapat dilihat dengan jelas ketika negara Islam menguasai Mesir, Afrika Utara, Parsi dan di sebelah utara benua India. Kita dapat menyaksikan betapa unggulnya sistem pemerintahan Islam dalam segala aspek dan manifestasinya.

Sistem pemerintahan yang hanya dikendalikan oleh segolongan minoriti umat Islam di dalam negara yang majoritinya bukan Islam. Keunggulan Islam yang tegak menaungi masyarakat ini berupaya pula membuka hati orang-orang bukan Islam untuk memeluk dan menerima agama Islam. Sebahagian besar daripada mereka menganut Islam bukan menerusi pemaksaan daripada golongan minoriti yang memerintah, atau daripada ugutan kekuatan ketenteraan, tetapi melalui penerapan prinsip keadilan yang sebenarnya. Prinsip keadilan yang membela hak dan kepentingan setiap warga-negaranya secara praktis dan dapat disaksikan sendiri oleh orang-orang bukan Islam.

Era generasi gemilang yang dicetuskan oleh Para Sahabat Rasulullah SAW ini bukan sahaja dirasai oleh orang-orang Islam bahkan juga dapat dinikmati oleh orang-orang bukan Islam. Di dalam era kegemilangan ini, pembelaan hak dan kepentingan yang diberikan oleh pemerintah Islam kepada orang-orang bukan Islam adalah jauh lebih baik daripada pembelaan orang-orang bukan sesama mereka. Prinsip keadilan yang diasaskan di atas dasar keimanan adalah jauh lebih murni dan berkesan daripada prinsip keadilan yang dibikin-bikin oleh manusia sendiri.

Inilah dia kejayaan yang gemilang dalam sejarah Islam. Oleh sebab itu, dalam rangka melaksanakan Islam ini, maka tidak timbul masalah masyarakat majmuk, masalah majoriti ataupun minoriti kerana ia telah dilaksanakan pada zaman kegemilangan umat Islam serta telah membuktikan kejayaannya. Peristiwa-peristiwa yang dapat menjadi hujah yang kuat bagi mereka yang meneliti sejarah Islam dengan cara yang adil dan benar.

Kegemilangan umat Islam dalam sejarah mereka dapat dilihat antaranya melalui kejayaan perundangan Islam dan syariat Islam yang dilaksanakan. Pelaksanaan konsep perundangan dan syariat Islam yang tidak mungkin dapat digambarkan dan difikirkan oleh manusia secara teori sahaja, tetapi terbukti secara praktikal.

Sebagai contohnya, peraturan al-hisbah yang diajar oleh Rasulullah SAW dan dilaksanakan oleh Para Sahabatnya yang taat. Peraturan al-hisbah ini neraca pengawal umat Islam dalam melaksanakan tugas amal makruf nahi munkar, peraturan yang menjadi salah satu daripada intisari pelaksanaan syariat Islam. Dengan berkuat-kuasanya peraturan al-hisbah ini, orang tidak berani hendak melakukan rasuah, penipuan, penyelewengan atau pemutar-belitan bukan kerana undang-undang yang zahir itu sahaja, tetapi kerana keimanan generasi Islam yang pertama itu terhadap Tuhan yang menciptakan undang-undang itu sendiri.

Sejarah telah mencatatkan suatu peristiwa berkenaan dengan seorang wanita Islam yang ingin melakukan penipuan di dalam jualan susu. Ketika yang sama juga Khalifah Umar al Khattab yang dikenali sebagai khalifah berjalan dan menyiasat hal ehwal rakyatnya, dan mendengar keinginan wanita tadi untuk mencampurkan susu dengan air supaya mendapat keuntungan yang lebih. Apabila si anak yang ada bersama-sama melarang ibunya jangan melakukan kerja menipu itu, lalu si ibu berkata, “Kalau saya buat kerja ini, Saidina Umar tidak akan tahu?”.

Tetapi anak itu mengatakan bahawasanya walaupun Saidina Umar tidak tahu, tetapi "Tuhan" Saidina Umar akan tahu. Peristiwa ini menjadi bukti yang nyata kepada mereka yang beriman bahawa pelaksanaan hukum dan undang-undang itu bukan sahaja berteraskan kepada konsepsi lahiriyyahnya, tetapi menunjangi keimanan mendalam dan pengabdian setulus murni ummat Islam kepada Allah yang mencipta hukum dan undang-undang itu sendiri.

Sejarah juga pernah merakamkan tentang sikap Saidina Ali bin Abi Talib dalam menghadapi kes dengan seorang Yahudi mengenai masalah baju besi yang terkenal itu, sehingga sanggup menegakkan keadilan walaupun baju yang dicuri oleh Yahudi itu tidak dapat diambil kembali. Dengan keadilan dan manifestasi keimanan ini jugalah yang telah menyebabkan si Yahudi tadi mengucapkan kalimah syahadah tanda iqrar untuk menghayati Islam.

Begitu juga dalam masalah hamba abdi dan masalah undang-undang jenayah. Orang yang memikirkan bahawa sekiranya dilaksanakan undang-undang potong tangan akan ramailah orang yang kudung dalam negara Islam. Mereka tidak memikirkan tentang kehebatan undang-undang potong tangan yang dapat dan mampu secara berkesan mengurangkan kadar kecurian. Undang-undang ini akan menyekat orang daripada melakukan pencurian. Demikian pula halnya dalam kes-kes yang lain. Semuanya dapat diatasi dengan cara sebaiknya pada zaman kegemilangan umat Islam.

Dalam masalah pembelaan hamba abdi pula, jika dibandingkan apa yang ada di dalam kitab Fiqh Islam dengan peraturan yang dikeluarkan oleh Abraham Lincoln di Amerika, maka kita akan dapat menarik beberapa kesimpulan. Dalam masalah hamba abdi, sudah tentu sistem Islam ini kelihatan terlalu longgar kerana masih membenarkan penggunaan hamba sahaya dalam sejarah perkembangannya, dengan sebab-sebab dan keadaan-keadaan tertentu, tetapi kukuh menetapi dasar-dasar dan peraturan-peraturan yang berlandaskan keimanan kepada Allah Taala. Barangsiapa yang membebaskan hamba abdi akan mendapat ganjaran yang tinggi daripada Allah dan sesiapa yang melakukan kesalahan dikehendaki membebaskan hamba abdi.

Walaupun Abraham Lincoln mengeluarkan suatu peraturan yang keras menghukum sesiapa yang memakai hamba abdi, tetapi sejarah telah membuktikan bahawa di dalam masyarakat Islam hari ini tidak wujud lagi hamba abdi, sedangkan dunia Barat yang berbangga dengan Abraham Lincoln masih tidak dapat membela hak-hak asasi manusia dan melakukan paksaan terhadap hamba-hamba abdi dengan cara yang lebih dahsyat dan liar daripada masa-masa lalu.

Ini adalah di antara kejayaan umat Islam pada zaman kegemilangan mereka yang merupakan hasil natijah setelah menjalankan sistem Islam secara praktis. Hakikat yang menunjukkan kepada kita bahawa Islam bukanlah merupakan teori yang baru hendak diuji dan dicuba dan yang belum tentu berjaya atau gagalnya. Tetapi ajaran-ajaran yang telah terbukti kejayaannya dalam era yang gilang-gemilang itu.

Di samping itu, musuh-musuh umat Islam tidak dapat menguasai negara dan bumi Islam walaupun di saat ummat Islam berada di dalam keadaan yang paling lemah, kecuali setelah mereka berjaya melancarkan serangan pemikiran atau al-ghazwul fikri yang mengikis keyakinan ummat Islam terhadap ajaran-ajaran Islam. Suatu bukti yang memperlihatkan hakikat bahawa zaman gemilang itu ialah zaman keimanan yang mendalam terhadap Allah.

Bukti kegemilangan itu dapat dengan jelas disaksikan jika kita bandingkan dengan zaman yang mutakhir ini dalam kalangan umat Islam. Zaman kegemilangan itu bukanlah kerana orang-orang zaman dahulu lebih intelektual daripada kita atau lebih mendalam pengkajian mereka daripada kita, tetapi kegemilangan itu dicapai menerusi keimanan, keyakinan dan pelaksanaan Islam yang sebenar-benarnya. Hal ini juga membawa erti bahawa kegemilangan umat Islam di zaman dahulu tidak dapat berulang kembali justeru berpunca daripada gelagat umat Islam kini yang meninggalkan ajaran Islam. Zaman kegemilangan itu berlaku apabila Islam itu diyakini, diimani dan dilaksanakan dengan cara yang sepenuhnya.

Sejarah Islam yang telah dilipat disembunyikan daripada generasi yang terkemudian dan sejarah yang diberi gambaran yang tidak jelas itu, bukanlah merupakan suatu kisah yang dibaca atau suatu bahan cerita yang menjadi hiburan semata-mata, tetapi merupakan suatu perkara yang menjadi pengiktibaran yang diulang-ulang oleh umat Islam untuk mengembalikan syakhsiyyah mereka sebagai umat yang diamanahkan oleh Allah.

Ia bukan bererti penghayatan Islam dalam kalangan individu atau sekadar menyampaikan Islam di sekitar anggota jamaah kita sahaja, tetapi suatu tanggungjawab yang lebih luas daripada itu. Suatu amanah yang berat dan sarat untuk menyampaikan risalah Islam kepada segenap penjuru alam secara terus-terusan. Kita janganlah menjadi seperti seorang cucu yang hanya berbangga dengan pedang sakti yang ditinggalkan oleh nenek-moyangnya dan diletakkan di dalam muzium sambil menggembar-gembur di sana sini tentang pedang nenek-moyangnya yang telah menempa sejarah gemilang. Sedangkan pada hakikatnya, dia sendiri pengecut dan dia sendiri tidak dapat menunaikan tanggungjawab untuk menempa sejarah yang sama.

Namun begitu, terdapatnya suatu petanda cerah yang membutir di tengah-tengah kelesuan umat Islam kini. Suatu petanda yang diterbitkan hasil daripada kegagalan sistem jahiliyyah yang dilaksanakan di dalam wilayah pemerintahan umat Islam. Suatu petanda yang memperlihatkan hasrat umat Islam untuk kembali merenung dan menyelami sejarah kegemilangan mereka.

Di sana sini, terdapatnya individu Islam yang memikirkan betapa perlunya dia untuk menghayati Islam dalam diri masing-masing, dan terdapat pula yang memikirkan betapa perlunya wujud jamaah Islam yang dapat melaksanakan seluruh ajaran dan ciri-ciri Hizbullah seperti yang disebut dalam ayat Allah Taala :

"Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya." (Surah Al-Mujaadilah:22)


Ciri-ciri yang terpancar cemerlang daripada diri Rasulullah SAW dan Para Sahabatnya yang gemilang. Sehingga ada pula kalangan yang menganggap bahawa abad ini merupakan abad kebangkitan umat Islam serta ditulis dalam ruangan yang banyak dan medan bacaan yang luas.

Dalam menyambut kecerahan masa depan ummat Islam ini, kita jangan pula menjadi seperti ayam jantan yang berkokok dan menganggap bahawa matahari itu naik kerana kokoknya sahaja, kerana kita bukanlah orang yang memulakan perjuangan ini dan juga bukan pula orang yang akan mengakhirkannya.

Marilah kita melaksanakan Islam dan menghayati Islam dalam kalangan individu dalam anggota jamaah kita, sehingga dapat membentuk masyarakat dan negara yang diamanahkan kepada kita. Amanah untuk membentuk masyarakat dan negara Islam yang tiada mungkin gugur daripada penanggungjawaban setiap diri yang mengakui dia Islam. Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk menggerakkan umat Islam supaya kembali kepada era kegemilangan mereka. Dan marilah kita menganggap bahawa di mana bumi dipijak dan disitulah tempat kita akan bergerak untuk mencipta kegemilangan sejarah itu.

Yakinlah Allah sentiasa memberikan kekuatan Islam untuk menghadapi cabaran-cabaran yang terlalu banyak melanda umat Islam kini. Cabaran-cabaran itu merupakan muqaddimah daripada ujian yang membentuk jiwa kita untuk memenuhi ciri-ciri pejuang dan pembela agama Allah dan persediaan sebelum kita memikul amanah Islam yang besar itu.

http://www.tarbawi.my

Protes: MCA sokong calon PAS Kuala Krai

Muhammad Faizal, 30 Apr 2013

Dr Hatta menyantuni warga emas.

KUALA KRAI: Seperti semua maklum, protes dalaman Barisan Nasional kini berlaku di mana-mana ekoran rasa tidak puas hati terhadap calon pilihan Datuk Seri Najib Razak.

Di Kuala Kerai, Parti komponen BN, MCA menunjukkan protes mereka dengan menyokong calon PAS Dr Mohd Hatta Ramli.

Sehinggakan beberapa bilik gerakan PAS yang dikendalikan warga Tioghua di sini ditaja MCA.

Menurut Mohd Hatta, MCA di Kuala Krai menyatakan sokongan mereka kepada beliau kerana sudah bosan dengan sikap Umno yang suka membuli MCA sehingga merugikan kaum Cina.

"Saya melihat sokongan kepada kita (PAS) semakin meningkat terutamanya kaum Cina dan yang paling mengejutkan apabila MCA turut memberi sokongan kepada kita.

"Malah mereka (MCA) turut menaja beberapa bilik gerakan khususnya yang dikendalikan oleh kaum Cina," kata beliau kepada Harakahdaily.

Jelasnya, beliau yakin dapat mempertahankan undi kaum Melayu sebelum ini, walaupun terdapat serangan yang kuat dilakukan Umno.

Malah katanya, perkara yang paling menarik apabila kaum Cina memihak kepada calon Pakatan Rakyat turut menunjukkan peningkatan jika dibandingkan pada tahun 2008.

"Ini kali kedua saya bertanding, lima tahun lalu kali pertama saya datang dan ia agak asing kepada saya.

"Jadi untuk kali kedua, saya boleh buat perbandingan bahawa gerak kerja jentera PAS bertambah baik dan semakin tersusun jika dibandingkan dulu, selain itu juga penerimaan penduduk terhadap saya juga tidak mempunyai masalah," kata beliau.

Malah menurut beliau juga, penglibatan anak-anak muda semakin ketara dan mereka menjalankan tugas tanpa perlu diarah.

"Pengundi muda menaruh keyakinan kepada Pakatan Rakyat dan saya yakin kita dapat menanbah pengundi melalui sokongan anak-anak muda," katanya.

Beliau juga berkata, gelombang kebangkitan anak muda khususnya di Putrajaya memberi semangat kepada anak-anak muda untuk balik mengundi seterusnya memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Mengintai Putrajaya di Perak: Cerah masa depan!

Ahmad Lutfi Othman, 29 Apr 2013
Saya cuba bersikap terbuka dan berlapang dada apabila menonton TV, bukan  terhad hanya kepada slot berita tetapi juga rancangan bualbicara selepasnya, diselangi iklan-iklan politik tidak berbayar. Saya juga terpaksa berusaha menenangkan diri sendiri ketika menatap akhbar-akhbar harian berbahasa Melayu dan Inggeris.

Walaupun menyedari degup jantung tambah kencang berdepan siri "pembelasahan" media, saya gagahi juga. Selepas tujuh hari berkempen, saya belum sempat turun mendengar ceramah, merasai situasi sebenar di lapangan. Selain laporan internet -- melalui portal berita, blog dan juga Facebook -- saya terpaksa melanggan akhbar-akhbar utama dan memasang telinga mendengar (bukan menonton) Buletin Utama TV3, bagi mengetahui pendekatan kempen BN yang tidak beretika itu.

Untuk mempertahankan survival BN yang terancam, peneraju media menjadi tidak rasional lagi. Proses "pembodohan" umat  berlangsung secara besar-besaran. Berduyun-duyun sang profesor (termasuk dari disiplin sains politik) membentangkan sudut pandangan, sedangkan yang diluahkan tidak lebih daripada pengulas bertaraf jurucakap parti.


Apabila saya singgung isu-isu yang dimainkan media di bawah kawalan mutlak Umno-BN itu dalam FB, segera reaksi rakan-rakan yang mengaku mereka sudah lama tidak membaca Utusan Malaysia dan menonton TV3.

"Aku juga dah tak baca The Star, yang cuba berlagak bebas tapi semasa kempen PRU13 bertukar tukang propaganda murahan," ujar kawan lama dari Alor Setar. "Buang masa, membazir duit hang beli Utusan atau Berita Harian, juga menonton berita TV3," tambahnya meminta saya menjaga kesihatan dengan tidak memudaratkan diri menatap media talibarut Umno itu!

Sukar untuk memastikan sama ada  media konvensional yang terjajah ini masih mempunyai pengaruh besar, namun saya yakin kewibawaan dan integritinya menjunam teruk.

"Lutfi, tak payah susah hatilah dengan pemberitaan songsang mereka,  hanya satu jalan untuk mengubah keadaan, rehatkan saja BN. Buang masa saja kau bersama KAMI timbulkan isu akses media semasa kempen ini, tumpukan saja hari-hari terakhir ini untuk Harakah jelaskan kekeliruan yang dicetuskan media Umno dan fokuskan tawaran Pakatan," tegur seorang bekas editor kanan.

Menginsafi rangkaian Harakah masih terbatas, saya dan rakan-rakan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) bertindak melancarkan promosi di beberapa lokasi, di seluruh negara, sambil mengedarkan sisipan Bangkit secara percuma.

Khamis lalu, semasa saya melakukan tinjauan singkat ke Bukit Gantang dan Kuala Kangsar -- dua kerusi Parlimen  yang ditandingi PAS -- saya menitipkan sejumlah T-shirt khas buat wartawan sambilan Harakah di Perak, Muhd Faeez Azahar.

"Sambil edar Bangkit dan tabloid Inikalilah, jangan lupa berkempen untuk Harakah, terutama di kawasan strategik dekat Ipoh ini," ingatan saya kepada Faeez, anak muda yang berkampung di Pejabat Perhubungan Negeri sepanjang kempen PRU13.

Alhamdulillah, berkat sumbangan pembaca Harakah untuk dana projek penerbitan kempen PRU13 KAMI, hampir 200,000 naskhah Bangkit berjaya diedarkan ke lokasi tertentu. Mungkin ia tidak mampu menyaingi edaran percuma edisi petang Berita Harian dan Utusan Malaysia tetapi sekurang-kurangnya berjaya menawarkan sumber maklumat alternatif.

Di sebelah tengahari 25 April itu, saya ditemani wartawan senior, Johari Jaafar, bertemu Ustaz Idris Ahmad, di pejabat Pusat Khidmat (bekas) Ahli Parlimen Bukit Gantang, dekat Changkat Jering. Rakan sepejabat, Khairul Hartimi Tajudin memandu dari Kuala Lumpur, memudahkan urusan saya.

Idris yang juga penasihat editorial Harakah menyambut kami. Agak keletihan, tetapi tetap menyerlahkan keyakinannya. Saya tidak banyak bertanya peluangnya untuk mengekalkan kemenangan Nizar Jamaluddin -- dan sebelumnya Allahyarham Roslan Shahrom -- tetapi cuba merisik pandangan AJK PAS Pusat ini terhadap potensi Pakatan Rakyat untuk "membebaskan" Putrajaya.

Selama ini, termasuk ketika bermesyuarat setiap Selasa dan JUmaaat  di Harakah,  Idris seperti juga saya, cukup berhati-hati dengan peluang ke Putrajaya. Kami berkongsi kerisauan tentang sikap pengundi Melayu, terutama di kampung-kampung, dalam usia melebihi 40 tahun, yang dilihat masih terpengaruh dengan dakyah perkauman Umno.

"Ustaz, rata-rata ana pergi, ramai bercakap Pakatan boleh menang, malah ada sahabat menggesa ana membuat persiapan operasi Harakah selepas 5 Mei nanti, apa jadi Harakah selepas kita menang?" saya mengintai ulasan Idris.

Dia tersenyum lebar. "Ana pun rasa begitu," katanya tanpa teragak-agak. Segera saya teringat beberapa hari sebelum itu, Dr Mohamad Agus Yusoff semasa saya mengunjunginya di Bandar Baru Bangi juga melahirkan keyakinan sama.

Seorang lelaki melewati usia 60 tahun yang bersama kami dari awal segera bangun, bersalam erat dengan Idris, tanda puas dengan reaksinya. Kami sama-sama ketawa.

"Semalam, seorang kawan di UKM telefon, beritahu Majlis Profesor Negara bermesyuarat tergempar di Putrajaya,  ekoran situasi bayangan membimbangkan bakal melucutkan takhta BN," maklum saya kepada Idris. "Khabarnya banyak lagi meeting serupa semalam di Putrajaya, bincang isu sama."

"Apa pun kita jangan leka, usah pandang rendah jentera kempen BN terutama melalui media dan agensi kerajaan sejak lama dulu," kata Idris, sambil merujuk sikap penyokong tegar Umno yang ditemuinya sepanjang kempen. "Ada yang langsung tak makan dengan hujah, kita hanya harapkan perubahan anak-anak mereka, yang lebih terdedah dan terbuka," tambahnya.

"Apa yang menarik minat pengundi, Ustaz?" tanya saya. "Tawaran kita, seperti hapuskan tol dan PTPN, rendahkan harga kereta, mekanisme turun kos sara hidup. Ana tak letak banyak tawaran kita, tumpu yang utama saja," katanya sambil menunjukkan booklet pengenalan dirinya. "Harakah patut jelaskan lebih terperinci dengan sokongan fakta meyakinkan," ujar Idris.

Sebelum kami beredar, Idris memperkenalkan wartawan Malaysiakini, Zulaikha Zulkifli, yang menunggu di luar. Zulaikha dari Kuala Lumpur turun ke Perak membuat liputan di "kerusi panas" seperti Kuala Kangsar, Lumut, Larut, Sungai Siput dan Bukit Gantang sendiri.


Calon PAS Kuala Kangsar, Drs Khalil Idham Lim sedang sibuk berkempen dari rumah ke rumah di Kampung  Ulu Kenas ketika Johari Jaafar menghubungi beliau untuk menentukan tempat sesuai kami menyapanya.

Kami solat jamak di Masjid Ridzwaniah, bersebelahan Kolej Melayu Kuala Kangsar sementara menunggunya. Dua kenalan baru yang saya jumpa petang itu kelihatan yakin dengan mood pengundi Perak.

"Kami hanya mahukan kerajaan yang pernah kami pilih pada 2008," kata seorang darinya. "Saya jangka peluang PAS cerah di Kuala Kangsar ini, bukan kerana faktor calon Bebas, Kamilia Ibrahim tetapi masanya sudah sampai untuk rakyat berubah. Larut juga berpotensi tetapi saya lebih yakin Dato' Seri Nizar akan jadi MB selepas 5 Mei nanti," katanya sambil membilang jumlah kerusi Dun yang bakal dimenangi Pakatan. "Insya-Allah, boleh sampai 35 kerusi Dun," katanya.

Hujan mulai turun ketika kami melewati bulatan untuk keluar dari bandar Kuala Kangsar, menuju tempat Idham Lim. "Biar kita ke sana, jangan ganggu calon bertemu penduduk," kata saya kepada Munizam Zamri, jurufoto sambilan yang berkejar dari Seberang Perai.

Saya perhatikan Idham berkulit cerah tambah bercahaya wajahnya semasa menceritakan cabarannya bertanding di Kuala Kangsar. "Saya lebih suka berbicara soal cabaran dan bukannya peluang," katanya.

Dia nampak komited dan yakin dengan keupayaan diri untuk bersama-sama melakukan perubahan, dan lebih penting "membantu penduduk setempat" yang dihimpit pelbagai masalah.

Dia menggariskan lima tawarannya, termasuk berkaitan pembinaan Jambatan Manong, yang sudah melalui tiga kali majlis pecah tanah tetapi belum siap juga. Kedua, pengangkutan awam dari Kuala Kangsar ke Simpang Tiga yang daif dan uzur. Juga mengenai penempatan kampung baru dan kampung tersusun yang tidak mendapat hak milik kekal, selain masalah perparitan.

Walaupun "orang baru" tetapi Idham kelihatan amat arif dan masak dengan masalah masyarakat yang bakal diwakilinya nanti. Saya yakin  Idham dan juga calon PAS Dun Manong. Haji Jamil Dzulkarnain, bekas Ketua Zon Bank Simpanan Nasional Kawasan Kuala Kangsar yang turut bersama kami petang itu mempunyai peluang cerah.

Alkisah raja dengan anjingnya...

-, 29 Apr 2013

Ketika Putera Ismail berusia 17 tahun, beliau menyelamatkan seekor anak anjing yang hampir lemas. Anjing itu diberi nama Si Perang.

Ketika itu, hujan lebat, tempat di mana anak anjing yang baru dilahirkan ini ditenggelami air.

Ketika Putera Ismail tiba, semua anak anjing sudah meninggal, hanya tinggal Si Perang.

Si Perang seekor anjing yang cantik. Putera Ismail sangat menyukainya. Beliau mengarahkan seorang budak suruhannya untuk menjaga Si Perang – makan, minum, mandi dan membawa Si Perang keluar untuk membuang air tiga hari sekali.

Oleh kerana sayang pada Si Perang, Putera Ismail setiap petang datang menjenguk Si Perang untuk bermain dengannya sekejap. Putera Ismail tidak dapat meluangkan masa yang banyak kerana terpaksa membantu pentadbiran ayahnya yang kini uzur.

Pada usia 18 tahun, Putera Ismail ditabalkan sebagai Raja ekoran kematian bapanya.

Masa yang diluangkan bersama Si Perang semakin berkurang.

Ada satu ketika, Raja Ismail terpaksa keluar berperang – 6 bulan baginda tidak kembali.

Setelah kembali dari perang, Raja Ismail meluangkan masa pergi menjenguk Si Perang. Baginda menjenguk Si Perang dari jauh, sedang gembira bermain dengan budak suruhannya yang dikerah menjaganya.

Raja Ismail tidak lagi turun bermain dengan Si Perang kerana kesibukan. Baginda hanya melihat dari jauh. Si Perang membesar dengan cantik.

Pada satu hari, selepas tamatnya perang, Raja Ismail teringatkan Si Perang dan ingin bermain bersamanya.

Sampai ke kandang Si Perang, baginda melihat bekas makanan Si Perang bersepah. Budak suruhannya tidak kelihatan. Si Perang turut tidak kelihatan.

Ketika Raja Ismail melutut untuk mengambil bekas makanan Si Perang untuk dibersihkan, baginda diterkam dari belakang.

Si Perang menyerangnya. Baginda terkejut.

Baginda cuba melawan dan melepaskan gigitan Si Perang. Kedengaran bunyi kuat, budak suruhan baginda cepat-cepat lari datang untuk menyelamatkan keadaan.

Si Perang melihat kedatangan budak suruhan terus melepaskan gigitan dan menghayunkan ekornya.

“Beta tuan dia. Dia berani gigit beta. Dia sini sudah tak tahu siapa tuan dia sebenar. Bagaimana kamu ajar dia?” jerit Raja Ismail dengan nada yang kuat.

Budak suruhan itu mengigil dan memohon ampun.

Selepas seketika, kemarahan Raja Ismail pun reda.

“Sebab budak suruhan yang beri makan kepadanya tiap-tiap hari, oleh itu Si Perang menganggap budak suruhan itu sebagai tuannya walhal duit makanan datang daripada baginda. Tapi Si Perang tak tahu,” bisik Raja Ismail di hati.

Raja Ismail bertindak menukarkan budak suruhan kepada budak suruhan yang baru. Si Perang sangat garang dengan budak suruhan yang baru sehingga budak suruhan baru tidak berani memberikannya makan.

Si Perang dibiarkan kelaparan dua hari. Kemudian, Raja Ismail menyuruh budak suruhan baru memberikannya makan. Si Perang mula berjinak dengan budak suruhan yang baru dan kini menganggapnya sebagai tuan.

Akan tetapi, Si Perang masih terlupa siapa tuannya yang sebenar. Raja Ismail memahami sesuatu sambil tersenyum.

Ketika berbicara dengan para pegawainya, baginda berkata:

“Kita hanya diamanahkan untuk menjaga rakyat. Jangan belot amanah yang diberikan Tuhan. Jangan kita jadikan diri seperti Tuhan. Jangan biar rakyat menganggap kita pula sebagai Tuhan. Tuhan ialah Tuhan, kita hanyalah posmen untuk menyampaikan rezeki kepada rakyat.

"Kerajaan boleh ditukar bila-bila masa. Jangan buat rakyat seperti anjing, membiarkannya lapar dan tidak cukup makan, dan kemudian menganggap kita sebagai Tuhan kerana kita mengambil sedikit duit keluar untuk mengurang kesengsaraan dan kelaparan mereka. Itu zalim dan tidak betul. Rakyat bukan anjing. Kita sekadar budak suruhan Tuhan untuk menjaga rakyat. Jangan pula kita buat rakyat sebagai anjing, dan mereka menganggap kita, budak suruhan ini sebagai Tuhan.”

Semua pegawainya tabik hormat pada pandangan Raja Ismail. Raja Ismail pula berterima kasih kerana gigitan Si Perang membuatnya menyedari sesuatu yang cukup berharga dalam mentadbir negara.

Dapat isi tersirat?

Senyum pagi Isnin.

6 hari sahaja lagi! INI KALILAH!
Jadilah agen perubahan dan kongsi cerita ini kepada mereka yang memerlukannya.

Apa salah billboard Tun Musa Hitam? - Asmuni

Muhammad Faeez Azahar, 30 Apr 2013
IPOH: Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi menggesa semua jentera parti mengabaikan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurunkan billboard berkaitan kenyataan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Menurutnya, billboard yang memaparkan kenyataan Tun Musa Hitam yang mengatakan bahawa “Negara tidak akan bangkrap jika Pakatan Rakyat memerintah” itu tidak melanggar sebarang etika pilihanraya yang dikeluarkan oleh SPR.

Jelas beliau, PAS persoalkan etika mana yang SPR gunakan untuk menghalang PAS menaikkan billboard kenyataan Tun Musa Hitam tersebut.

Asmuni berkata, Peraturan 7.6 (a) Tata Etika Pilihanraya hanya melarang pemasangan billboard yang mengandungi slogan, karikatur atau apa-apa bentuk penyampaian mesej yang berbentuk sindiran dan mengejek sahaja.

“Tetapi apa yang dinyatakan oleh Tun Musa Hitam itu merupakan satu kenyataan fakta. Kenyataan tersebut merupakan satu bentuk pengakuan dan pengiktirafan beliau terhadap kebaikan tawaran-tawaran yang kita tawarkan di dalam Manifesto Pakatan Rakyat”, jelas beliau.

“Kenyataan itu juga bukanlah satu kenyataan fitnah dan menyerang serta tidak menyakitkan hati mana-mana pihak kerana kita tidak paparkan pun nama Umno dalam Billboard itu”, jelas beliau lagi.

Tegas Calon PAS Dun Manjoi itu, kenyataan Tun Musa Hitam itu merupakan satu sangkalan terhadap dakwaan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno BN termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyidin Yasin yang sebelum ini pernah menyatakan bahawa sekiranya Pakatan Rakyat diberikan mandat untuk memerintah, negara akan menjadi bangkrup.

Tambahnya lagi, SPR tidak mempunyai sebab untuk mengarahkan agar billboard tersebut dicabut kerana kenyataan yang dipaparkan tersebut merupakan kenyataan ahli politik dan dibuat kepada awam. 

“Tun Musa Hitam adalah seorang ahli politik dan merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri, maka kenyataannya itu boleh diambil oleh mana-mana pihak.

Tegas Asmuni, kenyataan Tun Musa Hitam itu bukanlah kenyataan yang dibuat secara tertutup tetapi dibuat dalam majlis umum yang dihadiri oleh orang awam dan telah disebar luas termasuk oleh akhbar Sinar Harian.

“Oleh itu, mana-mana pihak berhak untuk mengambil kenyataannya itu terutamanya Pakatan Rakyat kerana ia merupakan satu pengiktirafan terhadap Manifesto Pakatan Rakyat.

“Perkara seperti ini turut dilakukan oleh BN misalnya di pilihanraya kecil Galas dan Bagan Pinang yang mana BN telah menggunakan secara meluas gambar Najib menziarahi Tok Guru Nik Aziz di hospital sebagai bahan kempen pilihanraya mereka di sana.

"Kita tidak boleh menghalang perbuatan mereka itu kerana ia merupakan kejadian yang benar,” jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan