Khamis, 18 April 2013

BILA TELAH KETANDUSAN CALON

Calon BN Pasir Mas akan terbatal kerana masalah teknikal?

Harakahdaily, 17 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Sebaik sahaja Datuk Ibrahim Ali (gambar) disahkan tidak termasuk dalam senarai calon BN, sms bertebaran memaklumkan ia hanya wayang Umno untuk memujuk rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN).

Menurut sms itu, Ibrahim Ali akan disahkan sebagai calon BN apabila calon BN yang diumumkan, Datuk Johan Che Pa akan ditolak dengan beberapa masalah teknikal.

"Ketika itu, bila calon BN tidak sah kerana masalah teknikal, para penyokong BN akan diminta menyokong Ibrahim Ali.

"Itulah rancangan Umno, jadi orang-orang  Cina dan India dan lain-lain tak boleh kata Ibrahim adalah tajaan Umno," kata SMs itu.

Ia disebarkan di merata kawasan bahkan di Pasir Mas sendiri.

Sebelum ini, ketika tidak diumumkan sebagai calon, Ibrahim Ali melahirkan rasa kesalnya.

Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) berkata tidak mengetahui mengapa dirinya tidak terpilih sebagai calon PRU Barisan Nasional (BN).

"Saya tidak disenaraikan maknanya saya tidak diberi peluang, sebab-sebabnya saya tak tahu. Mungkin rupa paras saya tak cantik atau sebagainya," katanya dipetik dari laman sesawang Astro Awani.

Ekoran itu, beliau mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas di Pasir Mas.

UiTM batal kelas, paksa pelajar tonton Tanda Putera

Harakahdaily, 17 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Badan pemikir Kajian Perubahan untuk Politik (KPRU) menggesa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor memberi penjelasan kenapa kelas dibatalkan untuk memberi laluan kepada tayangan filem kontroversi Tanda Putera kepada pelajar universiti tersebut.

Dalam langkah yang berbaur mencemari pendidikan dengan politik kotor, sebuah memo bertajuk “Program Wajib Hadir untuk Pelajar Sarjana Muda: Program Tayangan Perdana Filem Tanda Putera” telah diedarkan kepada para pensyarah untuk meluluskan pengecualian kuliah bagi memaksa para pelajar menghadiri tayangan filem kontroversi tersebut.

Bagi KPRU, langkah UiTM Johor ini bukan sahaja mempolitikkan pendidikan, malah menggunakan peluang ini untuk meluaskan jurang antara kaum dengan indoktrinasi perkauman ke dalam minda para mahasiswa.

Pada masa yang sama, Barisan Nasional (BN) sekali lagi gagal dalam menghormati Ikrar Integriti Pilihan Raya di mana salah satu prinsip ikrar tersebut adalah mematuhi prinsip benar dan tatalaku beretika.

Bukan sahaja para pelajar dipaksa untuk menonton filem penuh kontroversi ini, ianya adalah penayangan terpilih dan para pelajar dipaksa menangguhkan pembentangan, kuiz dan ujian semata-mata untuk diindoktrinasi dalam permainan politik kotor BN.

Ini adalah bertentangan dengan tahun 2011, di mana BN sendiri yang menegaskan para pelajar seharusnya tidak diganggu dengan aktiviti politik dan kampus merupakan tempat untuk belajar.

"Adakah memaksa meninggalkan kelas, pembentangan, kuiz dan ujian semata-mata untuk menonton sebuah filem politik kontroversi yang digunakan sebagai alat politik yang dimaksudkan oleh BN sebagai pendidikan?" soal KPRU dalam kenyataannya.

Bagi KPRU, BN seperti tidak mengenal erti permainan politik secara bersih dan adil.
Melibatkan para pelajar universiti ke dalam politik kotor dan murahan adalah sebuah tindakan yang menunjukkan BN sebagai sebuah parti politik yang tedesak, kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, KPRU menggesa penjelasan daripada pihak UiTM Johor serta BN untuk menghentikan tayangan filem kontroversi dalam perjalanan ke Pilihan Raya Umum (PRU13) serta memberhentikan permainan politik kotor ke dalam universiti-universiti.

Tiga bilik gerakan Umno Shah Alam tutup

Abdul Aziz Mustafa, 17 Apr 2013


KUALA LUMPUR: Sejak semalam lagi, tiga bilik gerakan Umno Shah Alam telah ditutup apabila tersebar khabar Datuk Zulkifli Nordin menjadi calon Barisan Nasional (BN) di situ.

"Orang kuat Umno di sini yang memberitahu bahawa mereka tahu rancangan itu sejak semalam lagi dan setakat semalam sahaja tiga bilik gerakan telah ditutup, mungkin di peringkat cawangan," kata pengerusi salah sebuah masjid di situ yang enggan namanya disiarkan.

Seorang pengurus di salah sebuah kilang di Shah Alam pula memberitahu, beberapa orang kuat Umno Shah Alam yang beliau temui petang tadi dan malam ini merasa sangat malu apabila Zulkifli dicalonkan sebagai calon BN di situ.

"Tadi, masa saya pergi solat berjemaah di masjid, pencalonan Zulkifli jadi bahan gelak ketawa," kata pengurus salah sebuah kilang di Seksyen 16 itu yang juga tidak mahu namanya disiarkan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Abdul Samad yang akan mempertahankan kerusi Shah Alam menyifatkan pemimpin Umno mempunyai persepsi yang unik apabila mencalonkan Zulkifli di situ.

"Terpulang kepada pemimpin BN untuk memilih calon yang terbaik ... Malangnya, mereka merasakan bahawa Zulkifli adalah calon yang terbaik. Mereka mempunyai persepsi yang unik apa yang rakyat Shah Alam mahu," The Malaysian Insider memetik beliau.

Menurut Khalid, kebanyakan orang di Shah Alam adalah lebih matang dan tidak bersifat pelampau, dan Zulkifli yang merupakan Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak mewakili nilai-nilai yang menjadi pegangan mereka.

Beliau juga menyifatkan pencalonan Zulkifli itu sebagai isyarat jelas bahawa para pemimpin Umno dan BN tidak mempercayai Umno Shah Alam.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang kecewa tidak dicalonkan di kawasan idamannya, Pasir Mas, mempersoalkan mengapa beliau tidak dicalonkan sedangkan Zulkifli dipilih menjadi calon BN.

Ibrahim berkata, beliau kecewa kerana tidak diberikan alasan mengapa tidak dicalonkan sedangkan Zulkifli yang menjadi Naib Presidennya dalam Perkasa dipilih menjadi calon BN bagi kerusi parlimen Shah Alam.

"Saya tidak disenaraikan maknanya saya tidak diberi peluang, sebab-sebabnya saya tak tahu. Mungkin rupa paras saya tak cantik atau sebagainya," laman Astro Awani memetik beliau berkata.

Calon: Macam mana BN Kelantan mahu perkasa Islam

Rizal Tahir, 17 Apr 2013
KOTA BHARU: Hasrat dan janji Umno BN untuk memperkasakan Islam sekiranya diberi mandat oleh rakyat ternyata tidak menepati jika dilihat dari kredibiliti calon yang diumumkan parti itu semalam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata hanya seorang sahaja yang benar-benar ustaz jika dilantik senarai pencalonan parti itu semalam.

“Kalau seorang amat tidak cukup, macam mana nak memperkasakan Islam,” ujarnya selepas mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, seterusnya berkata hasrat untuk memperkasakan Islam tidak akan berjaya sekiranya hanya seorang saja yang bergelar ustaz.

Ketika disebut media ada empat orang ustaz, sambil tersenyum beliau berkata “itu saya tak tahulah, sebab yang benar-benar ustaz dan saya kenal seorang sahaja,” ujarnya.

Mohd Amar seterusnya berpendapat ia tidak memberikan janji baru apabila melihat latar belakang calon BN tidak sama dengan kenyataan pimpinan negeri sebelum ini.

Berhubung dengan calon PAS, beliau tidak menafikan ada beberapa muka baru ditonjolkan sehingga mencapai hampir 30 peratus termasuk di Dun dan Parlimen.

PAS Permatang Pauh ucap tahniah kepada Dr Mazlan

Mohd Sabri Said, 17 Apr 2013
PERMATANG PAUH: PAS Permatang Pauh mengucapkan syabas dan tahniah kepada bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Dr Mazlan Ismail (gambar) kerana terpilih sebagai calon Umno Parlimen Permatang Pauh.

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hasan dalam kenyataan pada Harakahdaily menegaskan, tanggungjawab PAS Kawasan sebelum ini yang mengadakan pertemuan silatulrahim dengan Dr Mazlan sudah selesai dan terpulang padanya untuk bertanding atau tidak melawan Datuk Seri Anwar yang mewakili Pakatan Rakyat di Permatwng Pauh.

"Bila kita ketahui pengumumanya sebagai calon Barisan Nasional (BN) kita akur itu adalah pendirianya dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi untuk bersuara.

"Selepas ini PAS akan melancarkan serangan ke arah BN seperti biasa walaupun tuan tubuh yang mewakilinya merupakan ahli seumur hidup PAS, " jelasnya menangkis tohmahan yang mengatakan PAS Permatang Pauh akan memberikan sokongan pada Dr Mazlan yang juga bekas Pengarah Jabatan Piihanraya PAS Negeri.

Omar yang juga bekas Ketua Penerangan PAS Negeri menyifatkan pembabitan Dr Mazlan dalam Umno sudah dijangka.

Menyentuh mengenai statusnya sebagai ahli PAS seumur hidup yang berdaftar di kawasan Permatang Pauh beliau menyerahkan kepada pihak PAS negeri untuk tindakan sewajarnya.

Waktu ini jentera PAS dilipat gandakan bersama PKR berikutan ke tiga-tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya semuanya muka baru yang tidak dikenali.

"Harapan kita kali ini untuk menang di semua Dun dan Parlimen cerah.  Dulu kita hanya tewas di Dun Seberang Jaya apabila Datuk Arif Shah Omar Shah menjadi calon.

"Maklumlah beliau baik orangnya selalu bantu tanpa kira politik serta petah berbicara dalam bahasa cina, " kata beliau.

Hari ini pula sitiasi telah bertukar apabila di Dun Seberang Jaya diberikan kepada muka baru iaitu Datuk Mohamad Nasir Abdullah, Dun Permatang Pasir, Anuar Faisal Yahaya dan Dun Penanti, Ibrahim Ahmad.

Omar berharap, pergelutan dalaman Umno Permatang Pauh memberikan keyakinan bahawa Pakatan Rakyat akan menyapu bersih kerusi Dun dan mempertahankan Permatang Pauh.

Calon BN Manjoi ahli PAS

Perak Kite, 17 Apr 2013
IPOH: Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak hari ini mendedahkan calon BN di Dun Manjoi yang diisytiharkan oleh Pengerusi BN Perak, Dato’ Dr Zambry Abd Kadir semalam adalah ahli PAS.


(Raja Ahmad dalam sidang media hari ini)

Koordinatornya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, calon tersebut, Muhammad Ziad Zainal Abidin, 38,  telah menyertai PAS pada tahun 1997.

Katanya, sehingga hari ini, menantu kepada Bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali itu tidak pernah mengumumkan dirinya keluar daripada parti.

Beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat ahli serta penyokong Umno di Manjoi tidak mengetahui tentang identiti Ziad termasuklah dirinya pernah menyertai parti lawan.

Zaid katanya dikatakan baru aktif di bahagian Tambun dan baru sahaja dilantik sebagai bendahari bahagian tersebut.

“Persoalan timbul, adakah beliau sudah keluar daripada PAS?,” soal beliau ketika sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini hari ini.

Hadir sama ahli jawatankuasanya, Salman Saleh, Ustaz Hakim Mohd Nor, Safarizal Saleh dan Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al-Amin.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak menjelaskan, pencalonan Ziad seolah-olah BN Perak ketandusan calon yang ‘winnable candidate’ dari kalangan ahli serta pimpinannya.

Jelasnya, pihaknya turut mempersoal adakah BN Perak khasnya telah menyemak latar belakang calon-calonnya sebelum mereka diberikan tanggungjawab sebagai calon.

Ketika ditanya penglibatan Ziad di dalam PAS, Raja Iskandar berkata, beliau tidak memegang mana-mana jawatan tetapi beliau banyak membantu gerak kerja parti termasuklah ketika pilihanraya 2008 yang lalu.

Ujarnya, Ziad telah mendaftar keahliannya pada 5 Oktober 1997 dengan kaedah daftar terus bernombor 0441563.

“PAS Perak mengalu-alukan pencalonan Ziad sebagai calon dan kami mengucapkan maju jaya kepada beliau dalam pilihanraya ini,” jelasnya lagi.

Umno letak calon bebas di Sg Dua, Tlk Air Tawar

Mohd Sabri Said, 17 Apr 2013

(Sharif dan rakan-rakannya membuat sidang media semalam)

TASEK GELUGOR: Dua orang aktivis Umno berjanji akan menjadi calon bebas menentang calon Barisan Nasional (BN) di Dun Sungai Dua dan Teluk Air Tawar jika Umno kekalkan Shabudin Yahya sebagai calon BN Tasek Gelugor.

Mereka ialah Azmi Alang yang bakal bertanding di Dun Sungai Dua menentang calon BN, Yusof Mohd Noor dan calon PAS, Zahadi Mohamad manakala Datuk Mustaffa Idrus pula mengistiharkan diri menentang penyandang Dun Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid serta Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Puan Norhayati Jaafar.

Kedua-duanya berucap membantah pencalonan BN yang meletakkan individu yang tidak bekerja untuk rakyat atau muka baru yang tidak aktif merencanakan progran tajaan Umno sebelum ini.

Menurut Azmi Alang dalam ucapanya, pucuk kepimpinan Umno Negeri seolaholah sengaja mahu mematikan karier politik Datuk Shariff Omar yang sangat berjasa pada rakyat sekitar Parlimen Tasek Gelugor.

Tidak sepatutnya, jasa dan pengorbanan Shariff dibiarkan seperti memberikan kerusi untuk Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bertanding pada pilihanraya umum ke 12 lalu.


(Azmi [kiri] dan Datuk Mustaffa)

"Seandainya, pihak atasan Umno tidak mendengar rayuan rakyat akar umbi kami mengistiharkan perang habis habisan.

"Apa gunanya berada dalam Umno jika suara kami tidak didengari lagi.  Jika mereka masih berkeras 'lawan tetap lawan'," tegasnya disambut tepukan orang ramai.

Rakannya Datuk Mustaffa Idrus pula memuji sikap Datuk Ibrahim Saad yang pernah meminjam kerusi Parlimen Tasek Gelugor tetapi menyerahkan kembali dengan baik.

Namun hari ini sebaliknya berlaku kerusi yang dipinjamkan atas nasihat mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi diambil terus tanpa perbincangan.

Sekarang ini slogan 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Di Utamakan' sudah tidak lojik lagi
kerana sudah terbalik.

"Untuk memastikan Datuk Shariff terus berada dipersada politik tanahair kami akan membantunya bertanding menentang golongan yang tidak amanah, " ujarnya.

'Big gun' Pakatan Rakyat di Putrajaya malam ini

Harakahdaily, 17 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang juga bakal calon PAS di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan berceramah bersama-sama pimpinan utama Pakatan Rakyat malam ini.

Husam akan bersama-sama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli jawatankuasa PAS Pusat, Hanipa Maidin yang juga calon PAS di Parlimen Sepang pada program di Desa Pinggiran Putra pada jam 9.00 malam ini.

Ceramah malam ini buat pertama kali diadakan selepas Husam diumumkan sebagai calon Di Putrajaya.

Sementara itu, jam 5.30 petang ini, Ustaz Hadi akan bersama-sama Husam dalam majlis minum petang di Restoran Perantau, Sungai Merab Bangi.

Justeru, penduduk sekitar Putrajaya dijemput hadir beramai-ramai ke program tersebut.

Kelantan isytihar 5 Mei cuti peristiwa

Rizal Tahir, 17 Apr 2013
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar), mengisytiharkan 5 Mei ini cuti peristiwa sempena Pilihanraya Umum Ke-13.

Menurutnya, cuti itu diambil bagi memudahkan kakitangan awam, swasta serta seluruh rakyat yang layak mengundi keluar mengundi pada hari tersebut.

“Mereka tidak perlu lagi memohon cuti atau keluar sementara untuk mengundi dan sebagainya.

“Negeri lain khususnya tidak perlu istihar cuti memandangkan hari Ahad jatuh pada hari minggu, jadi untuk memberi keadilan pada semua, kita istihar cuti,”ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya tengahari ini selepas mempengerusikan mesyarat exco, di Kota Darulnaim di sini tengahari ini.

Menurutnya keputusan itu berkuat kuasa serta merta bermula hari ini.

Tuan Guru seterusnya berkata, mengundi khususnya untuk membentuk sebuah kerajaan yang mendaulatkan Islam wajib dilakukan.

Katanya, Rasulullah sendiri berjuang berhabiskan untuk mendaulatkan Islam khususnya di Madinah.

“Dengan dasar politik dan agama tidak boleh dipisahkan sebagaimana amalan baginda, itu juga yang PAS daulatkan,”ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut mengumumkan ada seorang calon di Kelantan bertanding di Puterajaya dan untuk mempertahankan kerusinya di peringkat Dun.

Sehubungan itu beliau menyeru anak Kelantan di perantauan supaya pulang mengundi untuk mempertahankan kerajaan Kelantan yang ada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan