Selasa, 23 April 2013

BANYAK LAGI CALON TAK CLEAR...ADAKAH MEREKA DAPAT MENTADBIR NEGARA LEBIH BAIK...

Kesalahan Che Johan lebih besar dari tanding bebas

Anis Nazri, 22 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Umno dicabar memecat Che Johan Che' Pa yang sepatutnya bertanding sebagai calon BN di parlimen Pasir Mas jika benar-benar mengikut disiplin yang ditetapkan parti itu.

Yang DiPertua PAS Pasir Mas, Hanifa Ahmad (gambar) bagaimanapun berkata, itu pun jika Umno berani berdepan pelbagai tekanan termasuk dari bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

"Beliau diamanahkan Umno menggalas tanggungjawab di Pasir Mas, tetapi bertindak mengkhianatinya. Ini bukan lagi sabotaj, tapi lebih dari sabotaj dan wajar dipecat," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas 'layanan istimewa' oleh Umno kepada Che Johan yang berbeza dengan ahli Umno yang mensabotaj parti yang lain.

Datuk Seri Najib Razaksebelum ini mengumumkan ahli Umno yang mensabotaj parti itu akan dipecat serta-merta.

Layanan istimewa itu ditambah lagi dengan kenyataan calon Bebas bagi kerusi itu, Datuk Ibrahim Ali yang merayu agar Lembaga Disiplin Umno tidak mengambil tindakan ke atas Che Johan (gambar kanan).

Ibrahim yang merupakan calon dokongan Dr Mahatir juga berkata,  Che Johan tidak mengkhianati Umno kerana keputusannya itu adalah tepat demi memastikan PAS kalah di kawasan Parlimen tersebut.

Dalam pada itu, BN dikatakan akan menghantar surat tunjuk sebab kepada Che Johan berikutan tindakannya menarik diri sebagai calon.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan tersebut sejajar dengan status Che Johan yang masih lagi ahli parti.

Tindakan Che Johan itu menjadikan kerusi parlimen Pasir Mas bertembung satu lawan satu antara PAS dan Bebas.

Ianya juga menyebabkan BN hilang satu peluang untuk menang di kerusi parlimen.

PAS meletakkan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebagai calonnya bagi menentang penyandang kerusi tersebut, Ibrahim Ali yang sebelum ini bertanding menggunakan lambang PAS pada PRU12 lalu.

Calon parlimen Gopeng dakwa diserang Hamidah

Muhammad Faeez Azahar, 22 Apr 2013
IPOH: Timbalan Pengerusi PKR Perak, Dr Lee Boo Chye mendakwa Calon BN Dun Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman menyerang beliau semalam.

Kejadian itu berlaku di Bilik Gerakan PKR di Taman Tasek Permai, Batu Gajah yang dikatakan berpunca disebabkan rasa tidak puas hati penyokong BN terhadap PKR yang mendirikan bilik gerakan kira-kira 500 meter daripada Pejabat Pusat Khidmat Dun Sungai Rapat yang dijadikan bilik gerakan BN.

Katanya, beliau bergegas ke tempat tersebut selepas menerima panggilan dari petugas bahawa sekumpulan penyokong BN datang membuat gangguan di bilik gerakan PKR itu.

“Apabila Datuk Hamidah hadir, dan kami pun berunding tapi keadaan bertukar kecoh apabila Hamidah bertindak liar dengan merampas perakam video petugas PKR lalu mencampakannya.

“Tidak lama kemudian, Datuk Hamidah bertindak di luar jangka dengan mencekak kolar baju saya,” jelasnya pada sidang medianya di Pejabat PKR Gopeng, Taman Soon Choon Ipoh, hari ini.

Hadir sama ialah Naib Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang, dan Yang Dipertua PAS Gopeng,  Abdul Rahim Ariff.

Dr Lee yang juga Calon PKR parlimen Gopeng berkata, beliau rasa sangat terkejut dengan tindakan Hamidah yang disifatnya satu perkara diluar jangkaannya.
Satu laporan polis juga telah dibuat berhubung kejadian itu.

Sehubungan itu beliau menggesa Hamidah memohon maaf kepadanya secara terbuka atas kejadian tersebut dan berharap pihak polis yang turut berada di tempat kejadian dapat menjalankan siasatan secepat mungkin.

Dalam perkembangan berkaitan, calon PAS Dun Sungai Rapat, Ustaz Radzi Zainon melahirkan rasa kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh calon Umno itu.

Katanya, Hamidah tidak sewajarnya berbuat demikian kerana beliau adalah bekas Exco kanan Kerajaan Negeri Perak ditambah lagi beliau adalah seorang wanita.

“Sepatutnya kita dapat berbincang bagi menyelesaikan masalah ini, bukan dengan tindakan yang tidak sewajarnya ini.

“Salahkah kami untuk mendirikan bilik gerakan di premis persendirian, kami adalah parti berdaftar yang akan bertading pada pilihanraya ini,” jelas Timbalan Yang Dipertua PAS Gopeng itu.

Sifat-Sifat kemenangan kepada pembela agama Allah

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, 22 Apr 2013
Dalam memperkatakan tentang era kegemilangan sejarah umat Islam, kita tidak boleh memisahkan diri untuk memperkatakan mengenai pendokong dan pembawa dakwah yang pertama, peribadi yang menjadi qudwah atau ikutan seluruh zaman Islam, iaitu Rasulullah SAW menjadi pelaksana yang pertama, unggul dan ulung serta penafsir yang sebenarnya mengenai Islam yang diwahyukan oleh Allah Taala. Dengan lain perkataan, diri Rasulullah SAW merupakan penerusan daripada dakwah yang dibawa oleh Para Nabi dan Rasul. Hakikat dan prinsip ini dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu, mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.”(Surah al-Nahl : ayat 36)
Pengabdian seluruh dan seutuhnya kepada Allah. Pengabdian yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Kesemua Para Rasul membawa prinsip pengabdian ini. Di zaman kegemilangan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW, Baginda telah melahirkan suatu generasi yang unggul dan pertama.

Generasi Para Sahabat yang dilahirkan bukan sahaja berdasarkan kepada wahyu Allah, tetapi pelaksanaan perintah wahyu yang dikemukakan oleh Rasulullah SAW secara praktikal. Rasulullah SAW telah menerima wahyu yang pertama dalam keadaan gementar sehingga pulang ke rumah dan terus berselimut. Kemudian disusuli pula dengan wahyu yang kedua supaya bangkit bertindak dan beramal. Rasulullah SAW bukan sahaja menerima ilmu itu, tetapi hendaklah disampaikan secara praktikal.

Rasulullah SAW tidak diperintahkan hanya sekadar memperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran berhampiran Kaabah, tetapi ia bererti suatu bebanan tugas yang berat agar disampaikan peringatan daripada Allah. Suatu tugas yang diamanahkan untuk membetulkan kehidupan manusia dalam segala bidangnya.

Baginda Rasulullah SAW dapat melahirkan keunggulan peribadi generasi yang pertama. Generasi yang dibentuk dengan penghayatan Islam semurninya dan keimanan yang sesucinya. Generasi yang ditanamkan keyakinan yang sebenar untuk melaksanakan seluruh ajaran Islam dan menyampaikan Islam itu kepada manusia sejagat. Pembentukan itu sebagaimana yang ditekankan pada awal lagi, bukan sekadar suatu pengisian ilmu semata-mata atau sekadar maklumat dan beramal dari segi lahiriyyah sahaja, tetapi pembentukan yang melulusi beberapa siri ujian. Pembinaan menerusi tekanan-tekanan, penindasan dan ujian yang dilakukan oleh golongan jahiliyyah; golongan taghut yang pertama dihadapi oleh Rasulullah SAW.

Penerapan keimanan dan keyakinan ini dilalui oleh Rasulullah SAW bukan menerusi penyampaian ayat-ayat suci al-Quran supaya generasi Islam yang pertama hanya bersabar dalam menempuh rintangan dan tekanan. Tetapi Rasulullah SAW sendiri yang pertama menghadapi ujian dan tekanan itu secara praktikal dan nyata. Ujian dan tekanan yang berterusan sama ada dalam bentuk fizikal ataupun kejiwaan. Baginda diuji dengan beberapa siri penyeksaan sepertimana yang sempat dirakamkan dalam lembaran sejarah. Baginda diuji dengan tawaran kemewahan, harta-benda dan pangkat.

Namun begitu, Rasulullah SAW menolak segala kepentingan duniawi dengan meletakkan kepentingan Islam lebih tinggi daripada segala-galanya. Ini jelas terukir mantap dalam catatan sirah ketika Baginda menolak cadang-cadangan yang dikemukakan oleh wakil Abu Jahal.

“Wahai anak saudaraku! Kedudukanmu dari kalangan kami seperti yang diketahui olehmu dalam ikatan kekeluargaan. Sesungguhnya kamu telah membawa kepada kami suatu perkara yang besar. Kamu telah memecah-belahkan perpaduan mereka, memperbodohkan impian mereka dan mencela nenek-moyang mereka. Dengarlah dariku agar aku kemukakan kepadamu beberapa perkara untuk memberi pandangan dan menerima sebahagian daripadanya!”

Rasulullah SAW menjawab, “Katakanlah, wahai Abu Walid (gelaran ‘Utbah) apa yang kamu ingin perkatakan!”

Abul Walid mengemukakan cadangannya, “Wahai anak saudaraku (bahasa panggilan yang halus! Kalaulah apa yang kamu bawa ini kerana mahukan harta kekayaan, kami bersedia mengumpulkan untuk kamu harta- benda sehinggalah kamu menjadi orang yang paling berharta di kalangan kami. Kalau kerana mahukan kedudukan, kami bersedia, melantik kamu menjadi ketua kami sehinggalah kami tidak menandingi kamu. Jika sekiranya kamu mahu menjadi raja, kami bersedia menabalkan kamu menjadi raja kami.” (rujuk Sirah Ibnu Hisyam)

Lalu Rasulullah SAW bertanya, “Sudah habis pandangan daripada kamu?”

‘Utbah menjawab, “Ya!”

Seterusnya Rasulullah SAW bersabda dan membacakan;

“Ha, Mim (Allah Yang Maha Mengetahui akan maksudnya).”

“Turunnya Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.”

“Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.”

“Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya, maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya).”

“Dan mereka berkata; Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami),” (Surah Fussilat : ayat 1-5)

Rasulullah SAW meneruskan bacaannya. Tiba-tiba ‘Utbah tersandar ke belakang dengan bertongkatkan kedua-dua belah tangannya. Kemudian apabila sampai ayat sujud, Rasulullah SAW terus bersujud. Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda, “Adakah kamu mendengar itu?”

Abul Walid lantas pulang dengan wajah yang berubah. Penolakan harta-benda yang ditawarkan, pangkat yang dijanjikan ini merupakan pelaksanaan secara praktikal yang diperlihatkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabatnya. Penolakan yang menekankan tentang tujuan pelaksanaan Islam bukanlah sekadar untuk dilantik menjadi pemerintah tanpa menentukan apakah bentuk sistem yang akan dilaksanakan. Ataupun sekadar menerima kedudukan dan tempat dalam pimpinan tanpa menentukan apakah matlamat sistem yang hendak dilaksanakan.

Penolakan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW merupakan kenyataan yang jelas, yang ditaati dan diikuti oleh Para Sahabatnya secara praktikal. Generasi yang meletakkan kepentingan Islam yang bakal dilaksanakan oleh mereka di dalam Negara Islam dan Masyarakat Islam yang pertama lebih berharga daripada segala kepentingan duniawi ini. Kemudiannya ujian seterusnya menampilkan konspirasi ganas penekanan pihak kuffar dan ugutan-ugutan yang mengancam jiwa raga serta menyeksa tubuh badan. Sehingga penekanan itu memaksa orang-orang yang beriman untuk berhijrah meninggalkan kepentingan tanahair, keluarga, rumahtangga, pangkat dan segala-galanya.

Meskipun tidak dapat dinafikan bahawa urusan dan keperluan duniawi itu adalah penting, namun Islam menjadi prinsip kepada semua itu hendaklah dipentingkan dari segalanya. Kita tidak juga dapat menafikan bahawa tanahair, keluarga dan harta-benda adalah menjadi suatu keperluan dalam perjuangan untuk menegakkan Islam dan membentuk generasi Islam. Tetapi Islam adalah lebih utama dan mesti terlaksana.

Setelah keyakinan Islam itu dapat dipertontonkan secara ‘amali, maka baharulah diperintahkan supaya menegakkan negara Islam yang pertama. Sebuah negara yang ditegakkan tanpa berhajat kepada angkatan polis atau bala tentera, justeru kerana setiap anggota dalam negara itu adalah polis dan tentera yang menjalankan kewajipan masing-masing. Sebuah negara yang menjadi impian kepada ahli-ahli falsafah Yunani di Barat, Parsi dan sebahagiannya di Timur, tetapi menjadi kenyataan kepada generasi terbaik umat Islam.

Sebenarnya, Islam yang diwahyukan oleh Allah bukanlah merupakan suatu teori yang hendak diuji, yang belum tentu jaya-gagalnya. Tetapi ia merupakan ajaran Allah yang menjadi jawapan yang tepat bagi menjawab dan menyelesaikan seluruh permasalahan yang dihadapi oleh umat manusia. Negara Islam yang pertama ditegakkan oleh Rasulullah SAW menerusi pembinaan generasi Sahabat yang bakal mewarisi perjuangan Islam di masa akan datang. Ianya ditegakkan melalui akidah, kaedah dan cara yang dapat menjadi contoh dan teladan kepada umat-umat lain.

Islam itu ditegakkan bukan menerusi ugutan-ugutan ketenteraan, tetapi berdiri di atas prinsip perlaksanaan yang adil lagi bersih. Kebaikan dan keadilan yang bukan sahaja dapat dilihat oleh umat Islam, bahkan golongan bukan Islam yang bernaung di bawah negara Islam. Kebaikan dan keadilan yang menyentuh hati nurani untuk menyedari dan menginsafi bahawa Islam adalah lebih baik daripada keadilan yang dicadangkan oleh sistem-sistem bikinan mereka. Kebenaran dan pembelaan hak dalam Islam adalah ajaran yang jauh lebih indah dan agung daripada apa yang pernah digembar-gemburkan oleh pembesar-pembesar mereka.

Itu semua dapat terpancar dan menyerikan suasana umat manusia setelah umat Islam diuji dan dicuba secara praktikal bersama-sama dengan Rasulullah SAW sehingga mereka mencapai kemuncak peningkatan iman. Peningkatan keimanan yang tumbuh subur dalam jiwa umat Islam bergerak sejajar dengan meningkatnya kezaliman yang dilakukan oleh golongan jahiliyyah. Hakikat ini dialami dan dilalui secara nyata supaya nanti mereka tidak melakukan kezaliman ketika mereka diberi amanah di dalam urusan pemerintahan. Mereka pantas menjadi jurubicara untuk membela hak apabila mereka diberi peluang untuk membela hak orang lain. Mereka dapat melaksanakan kepentingan umat manusia ketika diberi peluang untuk melaksanakannya.

Generasi yang menyaksikan penyelewengan dan kebobrokan sistem jahiliyyah secara nyata dan menerusi penyaksian itu bangun untuk merubah, meruntuh dan meranapkan sistem itu. Hasil daripada cara inilah, maka terbentuknya generasi gemilang umat Islam yang mewarisi perjuangan Rasulullah SAW. Generasi gemilang yang terus melaksanakan amanah risalah Islam setelah wafatnya Rasulullah SAW. Generasi yang dibentuk keperibadiannya menerusi tamrin dan tarbiyyah di dalam Sirah Rasulullah SAW.

Oleh itu, kewafatan Rasulullah SAW yang membawa Islam hingga hari kiamat ini menjadi suatu hikmah yang besar ertinya. Ia merupakan bukti yang jelas tentang keabadian Islam yang akan dijulang dan disebarkan oleh generasi-generasi yang menurut jejak langkah Rasulullah SAW.

Generasi Para Sahabat bukan sahaja menerima perubahan fikrah menerusi penyampaian wahyu dan sabda Rasulullah SAW, tetapi generasi yang cekal menggagahi setiap ujian sehingga dapat membentuk keperibadian mereka sama ada dari segi individu ataupun jamaah. Dari sinilah terpancarnya sinar pijar (putih) yang gilang-gemilang kekuatan jamaah Islam yang pertama.

Kekuatan jamaah yang melaksanakan ajaran Islam yang syumul, lengkap dan sempurna. Kekuatan yang berakar umbi dari keimanan yang bulat kepada Allah, yang dihayati oleh Rasulullah SAW sebagai individu dan pimpinan jamaah. Kekuatan yang mengikat setiap diri para sahabat untuk tunduk dan patuh kepada kepimpinan Rasulullah SAW dan melaksanakan perintah Allah tanpa soal.

Generasi Islam yang pertama terdiri daripada individu-individu yang hanya bergantung bulat kepada Allah. Tidak memandang ke Timur dan tidak pula memandang ke Barat. Individu-individu yang hanya menerima perintah arahan, hukum dan perundangan daripada Allah, sekaligus menolak dengan tegas setiap unsur-unsur yang lain dari Islam. Individu-individu yang hanya mengambil ajaran, sistem dan neraca penghayatan daripada Allah. Mereka menyelesaikan seluruh permasalahan yang timbul dengan terlebih dahulu merujuk kepada ketetapan hukum Allah, bukan melaksanakan sesuatu kemudianbaru dirujuk kepada Allah.

Inilah dia individu-individu yang pertama dibentuk oleh Rasulullah SAW, yang menjadi batu-bata dalam mengikat padu jamaah Islam. Batu bata yang mengikat suatu jamaah yang bergerak melanda segala liku berduri. Keutuhan dan kesepaduan suatu jamaah yang telah diuji secara praktikal di dalam peperangan Badar, peperangan Uhud, peperangan Hunain dan beberapa siri peperangan yang lain. Peristiwa-peristiwa yang mengajar umat Islam bahawa mereka tidak boleh menyimpang walaupun sedikit daripada mengabdikan diri kepada Allah.

Mereka diberi kemenangan dalam peperangan Badar, meskipun jumlah mereka terlalu kecil. Tetapi oleh sebab jiwa mereka suci dan hati mereka bersih untuk tunduk mengabdikan diri kepada Allah semata-mata, maka mereka telah dianugerahkan dengan kekuatan dan kemenangan. Tidak ada kebendaan yang dicari dan tidak ada pengaruh duniawi yang menjadi matlamat dan tujuan dalam perjuangan mereka.

Sebaliknya, dalam peperangan Uhud, apabila hanya ada segelintir sahaja daripada jamaah Islam itu yang tidak mengikut arahan Rasulullah SAW mereka telah diajar dengan percikan darah yang menitis keluar daripada tubuh umat Islam, sehingga gigi Rasulullah SAW sendiri patah dan pipinya berdarah. Justeru kerana sedikit daripada mereka meninggalkan bukit strategi untuk mengejar ghanimah perang dan kebendaan, mereka telah diajar oleh Allah melalui syuhada’ yang bergelimpangan. Dan bagaimana mereka diuji sekali lagi secara jama'ah di dalam peristiwa peperangan Hunain tatkala mereka berbangga dengan jumlah mereka yang ramai. Mereka merasakan bahawa mereka tidak mungkin dapat dikalahkan :

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.” (Surah al-Taubah : ayat 25)


Peristiwa ini menjadi dalil yang kuat untuk membuktikan bahawa kejayaan dan kemenangan umat Islam, kegemilangan generasi Islam bukanlah bikinan manusia, tetapi ia adalah kurniaan daripada Allah Taala. Pertolongan dan kurniaan daripada Allah itu tidak akan datang secara percuma, walaupun Islam ini adalah agama yang diturunkan oleh Allah.

Hal ini sepertimana yang disebut oleh Al Syahid Sayyid Qutb di dalam bukunya Ma'alim fi Toriq;

“Meskipun Allah Taala boleh memberi kemenangan kepada umat Islam sebagaimana turunnya hujan dari langit, tetapi oleh kerana Islam itu diturunkan kepada manusia, maka kejayaan dan kegemilangan Islam ini hendaklah berjalan melalui proses kemanusiaan itu sendiri. Melalui sifat-sifat yang ada pada manusia, yang dibentuk melalui cara kehidupan manusia serta melalui tekanan dari penindasan yang dihadapi oleh mereka. Oleh kerana itulah Allah melatih dan membentuk mereka melalui wahyu secara individu dan jamaah, membentangkan di hadapan mereka ribuan tribulasi yang nyata dan praktikal. Sentuhan wahyu yang menggarap sikap dan semangat untuk memikul amanah Islam sehingga lahirnya individu-individu dalam rangkaian suatu jamaah yang padu dan kuat. Lahirnya jamaah Islam yang dapat melaksanakan perintah Allah tanpa syarat. Suatu jamaah yang tidak pernah menyimpang walau di saat wafatnya Rasulullah SAW. Mereka tidak mungkin dapat digugat, sebagaimana mereka tidak dapat digugat di zaman Rasulullah SAW.”
Generasi Para Sahabat yang dibentuk oleh Rasulullah SAW adalah generasi yang dapat memenuhi ciri-ciri jamaah Islam dan ciri-ciri individu yang menganggotai jamaah Islam. Mereka tidak pernah terpisah daripada risalah yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dan mereka tidak juga bercita-cita untuk menukar aqidah keimanan mereka dengan sesuatu yang lain.

Mereka tetap taat menjunjung pesanan Rasulullah SAW, meskipun Rasulullah SAW sudah pergi dan tiada bersama mereka. Antara pesanan Baginda SAW kepada sahabatnya, “Aku tidak takut kepada kemiskinan yang mengenai kamu. Tetapi aku takut terhadap keduniaan yang dibentang kepada kamu, sehingga kamu menjadi binasa dengan dunia, sebagaimana umat yang terdahulu daripada kamu binasa.” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Lantaran itu, mereka thabat berpegang kepada slogan-slogan yang dilaungkan oleh golongan Muhajirin dan Ansar ketika mendirikan masjid Nabawi bersama-sama dengan Rasulullah SAW, “Wahai Tuhan, sesungguhnya tidak ada kehidupan melainkan kehidupan akhirat. Wahai Tuhan, berilah pertolongan kepada Muhajirin dan Ansar”.

Inilah generasi gemilang. Mereka tidak sedikit pun terikat kepada kehalobaan dunia, tetapi mereka memerintah dunia seluruhnya. Walaupun mereka diberi kemewahan dan kekayaan, tetapi mereka memerintah kemewahan dan kekayaan itu, bukannya terpedaya dengan pujukan rayu hawa nafsu lantas menjadi hamba kepada kemewahan. Ini menunjukkan kepada kita bahawa risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW merupakan risalah yang membentuk manusia berlandaskan keyakinan dan keimanan. Risalah yang tegak berpaksikan taqwa dan pengabdian kepada Allah Taala.

Generasi gemilang pertama yang bersama-sama dengan Rasulullah SAW dilahirkan di Semenanjung Tanah Arab, bumi yang kering kontang, tanpa hasil mahsul dan jauh dari tamaddun kebendaan. Keadaan tumbuhnya watak dan keperibadian gemilang generasi pertama ini menjadi suatu siratan yang penuh hikmat dan pengertian.

Kalaulah kemenangan Islam itu ditumpukan kepada kekuatan jumlah, maka lebih baik generasi ini dilahirkan di tempat yang mempunyai jumlah manusia yang ramai. Kalaulah kemenangan itu berdasarkan kepada kekuatan kebendaan, mengapakah Allah tidak melahirkan Rasulullah SAW itu di negeri Parsi, Rom, India atau China; negara-negara yang kaya dengan tamadun kebendaan. Tetapi hakikat ini tersimpul kemas dalam kenyataan bahawa kekayaan, kemewahan dan tamadun kebendaan bukanlah menjadi pra-syarat kepada matlamat kehidupan manusia, serta bukan juga menjadi pra-syarat untuk mendapat melahirkan generasi yang gemilang itu. Ia hanya menjadi alat semata-mata yang tidak mungkin berguna sama sekali melainkan ia diarahkan di atas landasan keimanan kepada Allah Taala.

http://www.tarbawi.my

 

 


Pertindihan kerusi selesai, fokus tumbangkan BN

Harakahdaily, 22 Apr 2013
KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan seluruh jentera Pakatan Rakyat untuk menggunakan ruang masa yang ada ini untuk fokus kepada agenda menumbangkan Umno BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, soal pertindihan kerusi antara PAS dan PKR telahpun diselesaikan dengan bijaksana oleh kepimpinan, dan sekarang adalah masa untuk bersatu melawan Umno BN.

"Sekarang ini seluruh jentera parti perlu fokus untuk tumbangkan BN di tempat masing-masing.

"Jangan lagi duduk buang masa berpolemik tentang perkara lain, kita sudah hampir dengan Putrajaya, jangan kita leka," katanya yang juga calon Jengka kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini bahawa parti itu mencadangkan agar kerusi Parlimen Labuan, DUN Sungai Aceh di Pulau Pinang dan Panti di Johor diserah kepada PKR.

PKR pula dicadangkan oleh PAS agar menyerahkan tiga DUN di Terengganu iaitu Bukit Besi, Seberang Takir dan Kota Putera kepada PAS.

Manakala kerusi DUN Kota Damansara di bawah Parlimen Subang akan dirundingkan antara PAS dan PKR.

Cadangan ini diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS hari ini yang dipengerusikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi sendiri dan umumkan pada satu sidang media di Pusat Media PAS Jalan Raja laut hari ini.

Mengulas cadangan penyelesaian itu, Tuan Ibrahim berkata, ianya menunjukkan ketinggian tahap toleransi parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

"Saya menyambut baik cadangan penyelesaian ini. Ia mencerminkan muafakat, apa sahaja isu dalam Pakatan Rakyat boleh diselesaikan secara mesyuarat," katanya.

Dulu pangkah BN, sekarang terima Pakatan Rakyat

Hazayani Zakaria, 22 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Hari ketiga berkempen, calon PAS N50 Bukit Permai, Mazlan Aliman yakin pengundi di kawasan tersebut mahukan kempen secara bersih, tanpa memburuk-burukkan mana-mana pihak.

Beliau juga tidak menyangka rata-rata pengundi Melayu yang ditemui menyambut beliau dengan baik dan menyatakan sokongan secara terbuka kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

"Setakat ini saya berpuas hati walaupun baru hari ketiga berkempen tapi saya tak sangka sokongan Orang Melayu sangat baik walapun rata-rata mereka menyokong BN pada pilihan raya 2008 dahulu.

"Walaupun risalah memburuk-burukkan Pakatan Rakyat diedarkan, tapi pengundi nampaknya tidak terpengaruh lagi dengan kempen sedemikian," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat itu juga berkata, beliau akan meneruskan kempen yang bersih dan sihat dengan memberi penerangan mengenai tawaran Pakatan Rakyat.

Katanya, di kawasan Felda, beliau akan menerangkan tawaran Pakatan Rakyat kepada warga Felda seperti perumahan kepada generasi kedua.

"Pas berkempen mengikut kawasan. Bila masuk ke kawasan Felda, saya akan terangkan tawaran Pakatan kepada peneroka dan bila masuk ke kampung-kampung, saya akan ceritakan juga tawaran PAS dan Pakatan Rakyat kepada pengundi," katanya yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Beliau juga berkata, pengundi di Johor semakin bijak dan tidak akan menerima bulat-bulat apa yang disiarkan di televiseyen dan media arus perdana.

"Semua pihak kena ingat, dengan adanya internet, media sosial, orang di kampung tidak lagi boleh menerima politik fitnah. Mereka mahukan politik yang sihat, bertanding secara sihat," katanya.

Mazlan akan melawan calon BN Ali Mazat Salleh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Mustapa impikan 23 kerusi Dun di Kelantan

M Faqih, 22 Apr 2013
ANALISIS Datuk Mustapa Mohamed mensasarkan BN menguasai 23 kerusi Dun dan lapan parlimen di Kelantan kali ini. Ketua Umno Jeli itu mahu mengulangi sejarah 2004, juga ketika Kelantan berada di bawah pengaruhnya.

Pada 2004 PAS menguasai 23 kerusi Dun dan BN pula 22 kerusi. Dun Kelantan mempunyai 45 kerusi Dun.

Seorang rakan pengamal media di Kuala Lumpur juga meluahkan rasa bimbang. Katanya dikhuatiri ketika di tempat lain orang bercakap menuju ke Putrajaya, sebaliknya sokongan di Kelantan pula merosot.

Mungkinkah andaian itu dicetus berpandukan kepada teori ayunan. Asasnya pada PRU 2008, pembangkang berada di atas dan BN di bawah. Sebelum itu pada PRU 2004, BN berada di kemuncak dan pembangkang pula di bawah.

Kalau disusuri lagi, pada 1999 pembangkang mengatasi BN dengan ledakan isu reformasi. Sebelum itu pada PRU 1995, BN juga cemerlang dan pembangkang pula merosot.

Bekas pensyarah Sains Politik UKM, Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latiff bimbang sekiranya situasi itu berulang dengan kehadiran teori ayunan atau fenomena zig-zag.

“Pilihan raya kali ini musim BN naik dan pembangkang turun. Kalau ditengok kepada sejarah dan kajian politik, keadaan itu boleh berlaku.

“Kebimbangan ini ada asasnya. Namun ia tidak semestinya menjadi kenyataan kalau ada momentum lain yang tidak diduga. Ayunan semula itu hanya dapat ditahan apabila dengan adanya sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Luar biasa itu mungkinkah peristiwa seorang bekas Menteri Besar mengisytiharkan menyertai PAS. Tan Sri Muhd Muhammad Taib membuat kejutan besar dengan menyertai PAS.

Luar biasa juga apabila Naib Ketua Wanita Umno Malaysia, Dato’ Kamilia Ibrahim juga meninggalkan Umno. Begitu juga Naib Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ng Yen Yen juga dicicirkan daripada senarai calon.

Namun Dr Amer Saifude Ghazali dari UM melihat faktor persempadanan pilihan raya menjadi asas kepada teori zig-zag. Setiap kali berlaku persempadanan kawasan pilihan raya pastinya manfaatnya berganda untuk BN.

Persempadanan pilihan raya berlaku pada PRU 1958, 1974, 1986, 1995 dan 2004. Pada PRU 1974 BN mendapat sokongan 60.7 peratus, 1986 (57.2 peratus), 1995 (65.1 peratus) dan 2004 (63.8 peratus).

Namun berbeza pada PRU 13 kerana tidak berlaku persempadanan. Ini kerana ia memerlukan sokongan majoriti dua pertiga. Sepatutnya proses persempadanan berlaku pada 2010.

Mengikut peraturannya setiap lapan hingga 10 tahun persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan. Mungkinkah halangan ini yang boleh menyelamatkan Pakatan Rakyat.

Faktor Perdana Menteri baru

Bagaimanapun berdasar kepada kajian, faktor Perdana Menteri baru juga satu dominan yang boleh menarik sokongan rakyat.

Buktinya pada PRU 2004 berlaku lonjakan luar biasa terhadap BN selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi mengetuai jentera BN. Beliau mengambil alih jawatan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2003. Dan PRU ke-11 diadakan pada 21 Mac 2004.

Begitu juga pada PRU 1982, BN berada di situasi selesa selepas Dr Mahathir menduduki kerusi perdana menteri menggantikan Tun  Hussien Onn. Pada PRU 1974 BN mendapat mandat besar selepas Tun Abdul Razak Hussein menggantikan Tunku Abdul Rahman pada 1971.

Tun Abdul Razak juga mengambil tempoh sehingga kira-kira tiga tahun untuk membubarkan parlimen bagi mendapatkan mandat rakyat. Keadaan darurat pada 1969 menyebabkan tempoh lebih panjang diambilnya bagi membubarkan parlimen.

Natijahnya beliau berjaya mempengaruhi PAS dan Gerakan menyertai BN sebelum diisytiharkan PRU 1974.

Namun berlainan dengan apa yang berlaku sekarang. Dato’ Seri Najib Razak mengambil tempoh sehingga empat tahun selepas menduduki kerusi Perdana Menteri sebelum membubarkan parlimen.

Sedangkan sekarang keadaan negara aman. Cuma seperti apa diakui Najib beliau mahu menyerapkan segala bantuan atas nama kerajaan ke jiwa rakyat.

Inilah yang dinamakan sebagai propaganda politik. Ia merupakan satu bentuk komunikasi politik yang berpusat kepada ideokultur moden. Maka ini juga yang dicuba Najib apabila menjenamakan semua perkara atas platform 1Malaysia.

Dipropagandakan bantuan atas nama 1Malaysia mendatangkan kemakmuran kepada rakyat.

Maka dicetusnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bernilai RM500, baucer buku 1Malaysia (RM250) dan pelbagai lagi bantuan kewangan lain. Propaganda ditusuk kepada minda dan jiwa rakyat kerajaan BN bermurah dan membela rakyat.

Kemudian politik ugut pula disemarakkan. Persoalannya mampukah mesej propaganda itu memberi kesan kepada rakyat.

Kalau itulah perkiraan mengapa ada penerima memakai simbol protes ketika datang mengambil BR1M di hadapan pemimpin Umno.

Simbol R

Di Kelantan simbol R sebagai lambang protes terhadap keengganan kerajaan pusat membayar royalti minyak kepada kerajaan negeri. Sebaliknya royalti yang ditukar wang ihsan diberi pula kepada pemimpin Umno yang menguasai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Keberanian itu dijelmakan rakyat. Dan bukan lagi mereka datang mengangguk-angguk kepala dan berterima kasih kepada Najib sehingga dijelmakan di kertas undi. Tidak semestinya begitu.

Bagaimanapun ada penerima Rumah Mesra di bawah program pusat, sudah beralih angin. Tidak berani lagi datang ke masjid, surau atau program PAS. Begitu juga angkara BR1M menyebabkan ada penduduk kampung mulai menikus.

Biar apa pun Najib perlu merenungi semula rekodnya dibanding Tun Razak, Dr Mahathir dan Abdullah. Sejarah awal mereka ketika mula menduduki kerusi Perdana Menteri situasinya berbeza. Abdullah pernah dianggap sebagai Mr Clean di awal pentadbirannya.

Sebaliknya Najib menduduki kerusi nombor satu itu dengan wajah muram. Tan Sri Muhyiddin Yassin antara pendesak yang membuatkan Abdullah lebih awal meninggalkan Putrajaya.

Berdasar kepada senario tersebut mampukah Mustapa mencapai apa yang diimpikan. Tarikh 5 Mei ini adalah ibu segala hari.

PAS dedah Calon BN disiasat SPRM

Muhammad Faeez Azahar, 22 Apr 2013

(Raja Iskandar mendedahkan keratan akhbar yang mendedahkan siasatan SPRM ke atas calon BN)


IPOH: PAS Perak hari ini mendedahkan seorang calon Umno-BN yang sedang  disiasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, individu tersebut adalah bekas Exco Kerajaan Negeri Perak yang dicalonkan sekali lagi.

Menurutnya, calon berkenaan disiasat atas berhubung isu billboard elektronik beberapa bulan lalu.

“Sebelum ini PAS Perak sudah mendedahkan beberapa kali tentang ada dari kalangan exco kerajaan negeri yang disiasat oleh SPRM dan hari ini kami mendedahkan individu tersebut,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini hari ini.

Hadir sama ialah ahli jawatankuasanya, Dr Ahmad Nuri Al-Amin, Safarizal Saleh serta peguam, Mohd Fitri Asmuni.

Jelas beliau, beberapa orang kanannya termasuklah adik calon berkenaan turut dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan.

Pejabatnya di Bangunan Kerajan Negeri Perak juga katanya turut dihadiri oleh SPRM dan beberapa barangan termasuklah komputer riba dirampas untuk membantu siasatan.

“Kami mempersoalkan apakah status tentang kes ini yang sehingga hari masih belum ada kenyataan rasmi daripada SPRM,” jelasnya lagi.

Raja Iskandar berkata, PAS hairan adakah Pengerusi BN, Datuk Sri Najib Tun Razak benar-benar menapis sebaik mungkin calon-calon sebelum dipilih untuk menjadi calon.

Katanya, adakah Najib melihat  adalah calon ini ‘winnable candidate’ walaupun terpalit dengan isu rasuah sehingga menyebabkan beliau disiasat oleh SPRM.

“Masyarakat umum  khususnya di Dun Sungai Rapat mengetahui tentang masalah dan tingkah lakunya yang bersikap provokatif termasuklah mengganggu ceramah PAS dan sebagainya tetapi ianya masih terpilih untuk menjadi calon.

“Tidak mustahil masih ada calon BN yang akan bertanding pada PRU13 ini tidak bersih dan mempunyai pelbagai skandal dan masalah,”jelas Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan