Jumaat, 15 Februari 2013

TANDA2 KEKALAHAN MAKIN BANYAK....TANDA2 MENANG MAKIN MENGURANG....JIKA NI BERLAKU...SEDARLAH NI HASIL KERJA2@TANGAN2 KITA SENDIRI

Pemuda PAS kerah ahlinya bantu mahasiswa

Harakahdaily, 15 Feb 2013


(Kekecohan berlaku apabila 30 mahasiswa sedang dikepung)

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengerahkan anggota di sekitar Pekan, Pahang ke Madrasah Darul Husna, bagi membantu mahasiswa yang sedang dikepung samseng.

Ia berikutan sekumpulan 30 mahasiswa dari Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) dikepung samseng di madrasah tersebut yang merupakan markas PAS.

Menurut maklumat daripada mahasiswa yang berada di sana, sekumpulan samseng mengepung mereka di luar pagar bagi menghalang mereka meneruskan program edaran risalah ke kampung-kampung.

"Pemuda dah dikerah ke lokasi. Semalam mereka dah diserang, pemuda kita ada di sana dan petang kena lagi sewaktu mereka di pejabat PAS kawasan Pekan.

"Insyaallah kita kerah orang kampung dan petang ini juga Ketua Pemuda Kawasan akan pergi ke sana," kata Ketua DPPM, Nasrudin Hassan kepada Harakahdaily.

Beliau juga menasihatkan mahasiswa agar bersabar menghadapi ujian dan tidak gentar meneruskan perjuangan.

(Sebahagian dari mahasiswa yang dikepung dalam madrasah Darul Husna)

"Sebelum ini ANAK diserang kini Mahasiswa,  apa nak jadi dengan politik negara kita?

"Saya nasihatkan rakan-rakan mahasiswa sabar hadapi ujian ini dan jangan gentar untuk terus berjuang menepati idealisme mahasiswa dan lunas demokrasi negara," katanya.

Beliau juga berharap agar pihak polis memberikan jaminan keselamatan kepada mahasiswa.

"Malaysia bukan negara gengster dan mafia. Semoga pihak PDRM dapat bantu memberi hak aman dan selamat kepada mahasiswa G13 di Pekan," katanya.

Sebelum ini, mahasiswa dua siswa dan dua siswi dari kumpulan GM13 diserang dengan parang oleh samseng di Felda Chini 4.

Kumpulan itu diserang ketika mengedar risalah dan surat ‘Harapan mahasiswa untuk rakyat Pekan’ dari rumah ke rumah di kawasan Felda berkenaan.

Terdahulu, seorang aktivis GM13, Ekhsan Bukhari diserang di Kampung Datuk Keramat dalam Dun Pulau Manis.

Kenapa benci Khairy, sayang sangat Rosmah

Abdul Aziz Mustafa, 15 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Dengan segala pendedahan mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah tidak patriotik jika Tun Dr Mahathir Mohamad terus menyokongnya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, surat ahli perniagaan Deepak Jaikishan kepada Dr Mahathir baru-baru ini memperinci dan membuktikan dengan lebih detail lagi apa yang dijelaskan oleh Deepak sebagai salah laku Najib.

"Dengan pembuktian sedemikian, termasuk memetik keputusan mahkamah, saya tak mahulah kata mengkhianati negara tetapi sangat tidak patriotik jika Dr Mahathir terus menyokong Najib," katanya.

Mahfuz yakin, Dr Mahathir tentu lebih faham dan lebih tahu apa yang dimaksudkan oleh Deepak apabila ahli perniagaan itu berkata 'bagaimana pahitnya kebenaran itu, ia tetap yang benar dan sentiasa mendahului setiap penipuan dan penafian daripada perampas dan pembunuh'.

"Siapakah perampas? Siapakah pembunuh? Berapa banyak yang dirampas? Adakah harta negara yang dirompak? Siapa pula yang dibunuh?," beliau mempersoalkan.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga hairan bagaimana Dr Mahathir boleh terus menyokong Najib sedangkan beliau tidaklah lebih baik dari bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Dr Mahathir sampai sanggup keluar Umno oleh kerana beliau tidak boleh menerima Pak Lah sebagai Perdana Menteri.

"Hairannya, boleh pula beliau menerima Najib sedangkan jika dibanding dengan kesalahan dan ketidakmampuan Najib, terlalu jauh lebih besar dari kesalahan dan ketidakmampuan Pak Lah," kata Mahfuz.

Begitu juga dengan orang-orang kanan kedua-duanya, katanya lagi.

"Satu negara hairan, Dr Mahathir yang benci sangat kepada Khairy Jamaluddin sayang sangat pula kepada (Datin Seri) Rosmah Mansor," katanya.

Mahfuz berkata, jika Dr Mahathir yakin Najib di pihak yang benar, beliau mestilah menjawab surat Deepak itu dan menafikan semua tuduhan dengan hujjah yang tidak boleh disangkal sama sekali.

"Jika Dr Mahathir gagal berbuat demikian, beliau hanya membuktikan kepada seluruh negara bahawa beliau mempunyai kepentingan sendiri dan kepentingan perniagaan serta kekayaan anak-anaknya sehingga beliau sanggup menyokong orang seperti Najib.

"Jika Dr Mahathir gagal berbuat demikian, beliau hakikatnya membuktikan kepada seluruh rakyat bahawa beliau lebih mementingkan masa depan anak-anaknya dari kepentingan negara," katanya lagi.

Deepak menulis surat panjang lebar kepada Dr Mahathir memperincikan apa yang digambarkannya sebagai salah laku Najib dan Rosmah selepas Dr Mahathir membuat kenyataan menasihatkan Najib supaya jangan pedulikan dakwaan Deepak.

Siapa penyelamat Felda, harta orang Melayu?

Harakahdaily, 15 Feb 2013
JENGKA: Felda perlu diselamatkan. Tapi siapa penyelamatnya? Orang Felda juga – iaitu anak peneroka Felda yang kini di perantauan.

“Anak peneroka harus menjadi agen perubahan dan penyelamat Felda dan harta orang Melayu. Mereka kena balik mengundi dan pastikan maklumat mengenai penyelewengan di Felda yang ditutup di media massa sampai ke tangan ahli-ahli keluarga mereka,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) kepada Harakahdaily.

Bagi Tuan Ibrahim, jika generasi kedua dan ketiga Felda tidak berusaha menyelamatkan harta-harta Felda yang diusahakan oleh ibu-bapa mereka segalanya akan tergadai di bawah pemerintahan Umno.

Selain itu, Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menyeru para kakitangan Felda untuk mengambil peluang di pilihanraya umum ke 13 untuk membebaskan diri daripada cengkaman Umno.

“Mereka juga boleh menjadi agen penyelamat Felda dan harta orang Melayu dari dalam. Golongan ini sebenarnya harus membebaskan diri daripada cengkaman Umno yang selalu memaksa melakukan aktiviti yang melaksanakan agenda Umno,” tambah Tuan Ibrahim.

Beliau juga berharap para generasi kedua dan ketiga Felda akan menyampaikan mesej bahawa apabila Pakatan Rakyat memerintah nanti, semua peneroka yang sudah selesai membayar hutang akan diberi balik geran tanah ladang dan tapak rumah.

“Wang tabung tanam semula bernilai RM17,000 akan dipulangkan bagi para peneroka yang telah menebang pokok asal,” katanya.

Kedua-dua tawaran, terutamanya pemulangan geran tanah ladang dan tapak rumah adalah untuk menjamin masa depan generasi kedua dan ketiga peneroka di Felda.

Deepak saman Najib Rosmah RM3 bilion

Harakahdaily, 15 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Perniagaan Deepak Jaikishan akan memfailkan saman bernilai RM3 bilion terhadap perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, adik Datuk Nazim Razak serta kerajaan Malaysia minggu depan.

"Kita berharap segala dokumen akan disiapkan Isnin ini dan difailkan di mahkamah," kata beliau dalam wawancara dengan laman web Free Malaysia Today hari ini.

Saman ini dibuat ekoran kegagalan mereka mempastikan projek yang diberikan kepadanya berjalan lancar sedangkan wang sudah dibayar kepada mereka.

Besok, katanya, buku kedua beliau bertajuk 'The Black Magic Woman' akan dilancarkan.

Ia mengandungi pelbagai cerita tentang isteri perdana menteri yang pernah menjadi rakan perniagaan beliau selama lebih lapan tahun sebelum ini.

Menurut Deepak dalam wawancara itu, Rosmah bukan saja menggunakan bomoh ke atas suaminya bahkan juga ke atas bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya Khairy Jamaludin.

Hanya Tun Dr Mahathir saja yang terselamat, dakwa Deepak.

Kerajaan amanah dan adil, ummah sejahtera

Zuraidah bt Othman, 15 Feb 2013
Artikel ini merupakan pemenang sagu hati pertandingan menulis esei berdasarkan ayat al-Quran Surah an-Nisa ayat 58.

Firman Allah s.w.t.  dalam surah an-Nisa’ ayat 58, yang bermaksud:

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah  Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.


Daripada Abu Ibn Abbas RA berkata: Selepas Rasulullah SAW membuka Kota Makkah, Baginda memanggil Uthman bin Talhah lalu Baginda bersabda “Tunjukkan kepadaku kunci Kaabah”. Apabila Uthman membuka tangannya, lalu menunjukkan kunci tersebut kepada Rasulullah SAW, Abbas berdiri dan berkata: “Wahai Rasulullah, demi ayahku dan ibuku, serahkanlah urusan penyediaaan minuman itu kepadaku”. Uthman terus menggenggam tangannya kembali. Lalu Rasulullah bersabda: “Bawa ke mari kunci itu wahai Uthman”. Kemudian, Rasulullah bersabda lagi: “Peganglah amanah Allah SWT”. Lalu Abbas pun berdiri dan terus membuka pintu Kaabah. Kemudian keluar lagi lalu melakukan tawaf di Kaabah. Selepas itu turunlah Jibril AS menyuruh Baginda mengembalikan kunci itu kepada Uthman. Lalu Rasulullah SAW memanggil Uthman bin Talhah dan menyerahkan kunci tersebut kepadanya. Kemudian, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu menunaikan amanah hingga ke akhir hayat”.

Amanah bermaksud menunaikan segala tanggungjawab dan kewajipan yang diserahkan kepadanya.  Amanah terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu:
1.    Amanah hamba terhadap Tuhannya, iaitu menunaikan segala titah perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.
2.    Amanah sesama hamba, iaitu menunaikan hak orang lain, tidak menipu, tidak menindas, tidak menzalimi, tidak memfitnah dan sebagainya. Termasuk juga dalam hal ini ialah sikap pemerintah yang adil terhadap rakyatnya, ulama terhadap orang awam dengan memberi bimbingan dan menyampaikan kebenaran, sikap suami terhadap isteri dalam hal-hal kehidupan suami isteri dan sebagainya.
3.    Amanah hamba terhadap dirinya sendiri, iaitu kewajipan seseorang untuk memilih sesuatu yang berguna dan bermanafaat  untuk dirinya, agama dan urusan keduniaannya.  Seseorang hamba yang amanah terhadap dirinya  sudah tentu tidak melakukan segala perkara yang merugikan dunia dan akhiratnya serta menjauhkan diri dari segala perkara yang boleh mendatangkan mudarat kepadanya.

Menurut Sayyid Qutb, bahagian-bahagian amanah tersebut merupakan tugas sebenar seseorang manusia amnya dan kaum Muslimin khususnya. Sekaligus merupakan cerminan akhlak sebenar  seseorang Muslim. Sifat amanah bermula daripada amanah yang paling agung iaitu amanah Allah SWT kepada fitrah insan. Amanah ini enggan diterima dan dipikul oleh langit, bumi dan gunung-ganang, namun manusia sanggup memikulnya. Amanah tersebut ialah amanah hidayah, makrifah dan beriman kepada Allah SWT. Sedangkan makhluk lain beriman dan tunduk kepada sunnatullah secara paksa. Manakala bagi manusia diserahkan kepada fitrah, akal, makrifah, kemahuan dan daya usahanya untuk sampai kepada Allah dengan izin dan pertolongan-Nya. Amanah wajib ditunaikan dan sesiapa yang tidak menunaikannya di dunia,  maka amanah ini akan dituntut di akhirat kelak. Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), namun mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan segala persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia  adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (Surah  al-Ahzab :  ayat 72)

Peranan manusia sebagai khalifah ialah memberikan daya kepimpinan dan pengurusan yang baik. Manusia dikurniakan wahyu sebagai sumber ilmu dan pedoman yang teragung, menjadikan model Qurani iaitu Nabi Muhammad  SAW sebagai qudwah dan sumber teladan terbaik bagi membolehkan mereka mempunyai sumber contoh dan ikutan, maka amanah ini perlu disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

Amanah daripada Allah SWT ini jika diuruskan dengan penuh keimanan, keinsafan dan kesyukuran, tidak hanya sebagai satu tanggungjawab tetapi juga menghubungkannya sebagai sumber ibadat atau sumber amal. Allah tidak mengurniakan segala nikmat di atas dunia ini dengan sia-sia, tetapi dituntut manusia menggunakannya dengan bijaksana, adil dan penuh tanggungjawab agar kesannya dapat memberikan manafaat yang terbaik  tidak hanya kepada mereka sendiri  bahkan juga kepada  seluruh manusia.

Amanah mengendalikan urusan negara merupakan amanah dan tanggungjawab yang sangat besar. Seseorang pemimpin yang menunaikan amanah dalam kepimpinannya akan mendapat pahala yang sangat besar, manakala pemimpin yang mengkhianati amanah seperti melakukan kezaliman, menyalahgunakan kuasa, rasuah, mengutamakan kepentingan diri, keluarga atau kroni, mengaut harta negara menjadi miliknya dan sebagainya, maka tunggulah pembalasannya  daripada  Allah SWT di akhirat kelak.  Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)......” (surah al-Anfal : ayat 27)

Akibat daripada sifat tidak amanah, menjadikan seseorang itu tidak lagi takut kepada Allah SWT dan gentar dengan hukum yang ditetapkan oleh Allah. Apabila hubungan dengan Allah menjadi longgar, maka amanah pengurusan dan kepimpinan turut berada dalam kepincangan. Hal ini menyebabkan berlaku krisis demi krisis seperti munculnya sifat tamak haloba, dengki mendengki, fitnah memfitnah, sombong dan takbur kerana kuasa dan pangkat. Semua ini adalah akibat tidak menginsafi diri sebagai hamba  Allah.

Allah SWT juga menyuruh umat Islam berlaku adil kepada seluruh umat manusia.  Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya”. (Surah  al-Nahl : ayat 90)

Adil bermaksud memberi hak kepada yang berhak mengikut kadar masing-masing. Adil juga bermaksud tidak zalim atau berat sebelah apabila menetapkan hukum kepada rakyat, tidak kira penyokong atau bukan penyokong. Pemerintah yang membeza-bezakan layanan kepada penyokong dan bukan penyokong ialah prinsip kerajaan komunis yang jelas ditolak oleh Islam. Pelaksanaan keadilan tidak melihat kepada keturunan, warna kulit, bangsa, pangkat dan kedudukan, status sosial atau perbezaan agama. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah : ayat 8)

Allah menjadikan pemerintahan sebagai ujian kepada manusia. Ada  pemerintah yang adil dan ada pemerintah yang zalim. Dan semuanya tidak kekal selama-lamanya, ada had umur masing-masing. Contohnya Kerajaan Nabi Sulaiman AS, Kerajaan Nabi Daud AS, begitu juga Kerajaan Nabi Muhammad SAW tidak berkuasa selama-lamanya. Telusuri juga Kerajaan Khalifah Umar Abdul Aziz yang hanya sempat memerintah hanya dua tahun sahaja, Kerajaan Firaun, kerajaan kuasa-kuasa besar dunia seperti Hitler, Empayar British dan sebagainya, semuanya tidak berkuasa selama-lamanya. Allah jadikan hal ini untuk menguji manusia keseluruhannya, menguji pemimpin dan juga menguji rakyat.  Allah menguji pemimpin yang menunaikan amanah dan menguji rakyat yang memberikan amanah kepada pemimpin. Justeru itu, pemerintahan yang zalim bukan sahaja dibebankan kepada pemimpin-pemimpinnya bahkan juga kepada rakyat dan para penyokongnya.

Memerintah negara dengan adil merupakan Amar Makruf. Manakala, memerintah negara secara zalim adalah mungkar yang sangat besar. Rasulullah SAW  pernah bersabda, maksudnya:

“Tujuh jenis manusia yang dijanjikan oleh Allah mendapat payung naungannya di Padang Mahsyar pada hari Kiamat.........”.

Dalam hadis di atas, yang pertama sekali disebut ialah pemerintah yang adil. Selepas itu barulah pergi ke masjid, berzikir dan lain-lain. Hal ini menunjukkan bagaimana pemerintahan negara yang adil adalah perkara makruf yang besar fadilatnya kerana cabarannya juga besar. Cabaran pangkat besar, kuasa besar, tempat eksklusif, wang bertimbun, keistimewaan banyak, cabaran hawa nafsu dan seribu macam cabaran.  Tanpa iman, sudah tentu situasi ini membuatkan seseorang itu menjadi kelabu mata, jadi keliru dan akhirnya tewas dengan cabaran-cabaran tersebut. Oleh sebab itulah, sekiranya pemerintahan negara dilaksanakan dengan adil, amanah dan penuh keimanan kepada Allah, maka pahalanya sangat besar. Lagi pun Allah telah meletakkan amanah memerintah negara ini sebagai amanah yang terbesar, yang tidak mampu dipikul oleh langit,  bumi, gunung-ganang dan seluruh makhluk lain selain manusia dengan segala persediaan yang dibekalkan oleh Allah SWT.

Tanggungjawab memilih pemimpin yang adil dan layak untuk memegang amanah merupakan satu tuntutan dalam Islam. Apabila dua tanggungjawab utama itu dilaksanakan,  barulah datang  tanggungjawab ketaatan. Al-Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebut petikan ucapan yang disandarkan kepada Ali bin Abi Talib:

“Tanggungjawab pemerintah ialah berhukum dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia melakukan yang demikian, wajib ke atas muslimin untuk mentaatinya kerana Allah memerintahkan kita menunaikan amanah dan adil, kemudian memerintah agar mentaati pemerintah”. (Al-Qurtubi,  Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ahmad, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/359. Beirut :  Dar al-Fikr)

Amanah dan keadilan merupakan dua asas terpenting dalam pemerintahan Islam. Di Malaysia, agama Islam telah diterima oleh semua kaum menjadi agama negara. Justeru, hak yang adil kepada penganut pelbagai agama dalam konsep persefahaman sempadan dan saling mengerti dalam perkara yang berbeza perlu diberi keutamaan.  Islam wajib diperkasakan dengan pendekatan yang bijak, amalan yang istiqamah dan melakukan keadilan terhadap semua. Islam hendaklah dilihat sebagai agama rahmat kepada seluruh alam, bukan dengan paksaan dan ugutan.

Melalui akal, pedoman, ilmu dan pengalaman, membolehkan seseorang pemimpin berlaku adil terhadap semua. Berpegang kepada pertimbangan agama serta akal yang berpedomankan wahyu membolehkan seseorang pemimpin sentiasa merasakan bahawa rahmat dan nikmat dalam bentuk kesenangan seperti kekayaan, harta dan pangkat adalah sesuatu yang tidak kekal dan bersifat sementara. Segalanya adalah pinjaman dan apabila tiba masanya, semuanya akan menghadap Allah Azzawajalla dan segala yang berada di dunia akan ditinggalkan. Yang dibawa hanyalah amal yang bersumberkan nikmat dan rahmat Allah yang diperoleh dengan cara yang sah dan benar serta pengurusan yang dilaksanakan dengan betul.

Tanpa  nilai-nilai yang baik dan pedoman agama, mustahil sesuatu perkara dapat diuruskan dengan amanah, adil dan berhemah. Sebaliknya sesuatu yang bersifat material akan cenderung dijadikan matlamat dalam setiap urusan. Hal ini sudah tentu mengukuhkan lagi sistem ‘siapa kuat, dia akan berkuasa’, maka akan terhakislah amanah yang perlu diuruskan secara bijaksana dan adil. Mereka akan cenderung melakukan perkara yang ditegah. Yang penting ialah situasi duniawi. Oleh itu, perbuatan salah guna kuasa, rasuah, kezaliman dan penindasan terhadap orang lain dilihat sebagai perkara ‘sepak terajang’ untuk menguasai sesuatu yang berunsur material, kerana tanpanya, kekayaan tidak akan diperoleh dan dengannya juga segala perkara dapat diperoleh dengan  mudah.

Perintah menunaikan amanah dan menghukum dengan adil merupakan peringatan bahawa apa yang dijelaskan oleh Allah SWT dan termaktub dalam al-Quran, merupakan suatu pengajaran dan bimbingan daripada Allah SWT. Dan ia adalah sebaik-baik pengajaran dan bimbingan. Perkara yang ditegaskan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia adalah untuk kebaikan, kebahagiaan dan keberuntungan manusia di dunia dan di akhirat. Konsep amanah dan adil untuk semua dapat menyelesaikan banyak masalah ummah. Bak kata pujangga : ‘Kalau boleh, pemimpin kita biarlah jika karam di laut jadi pelampung, panas di darat jadi penaung, basah di hilir jadi penudung, patah di hulu jadi penyambung’.  Biar semua rakyatnya selamat.

Zuraidah bt Othman berasal dari Gombak, Selangor dan bertugas sebagai pendidik.

Umno akan jatuh walau tanpa keganasan

Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, 15 Feb 2013
Begitu bimbang pemimpin UMNO-BN terhadap perjalanan pilihanraya umum ke 13 nanti. Pelbagai persepsi dan andaian seperti igauan buruk yang bermain di fikiran mereka sehingga membuat kenyataan yang pelik. Begitu beriya-iya pemimpin-pemimpin negara mengingatkan rakyat supaya tidak melakukan kekerasan terhadap kerajaan sekiranya BN menang dalam PRU 13.

Jika terdahulu, Tun Dr Mahathir menyatakan kebimbangannya kononnya Pakatan Rakyat akan mencetuskan keganasan jika kalah dalam PRU ke 13, diingatkan pula oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, diulangi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Yang menghairankan, mengapa Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi kenyataan beramaran supaya rakyat tidak melakukan kekerasan dalam membuat perubahan di negara ini. Tidak percayakah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin BN terhadap Pakatan Rakyat? Bukankah telah berbelas kali pilihanraya kecil berlangsung sepanjang tempoh 2008-2013 ini dan adakah terdapat kekerasan berlaku sepanjang itu?

Seakan-akan ada sesuatu yang mereka jangkakan akan berlaku dalam PRU ke 13. Biasanya orang yang bersalah akan merasa takut. Soalnya, apa yang mereka takutkan sangat? Adakah sesuatu muslihat yang mereka selindungkan dari pengetahuan rakyat sehingga merasa takut jika rakyat marah atau bangkit?

Saya ulangi bahawa pendirian Pakatan Rakyat adalah memastikan pertukaran kerajaan berlaku dalam PRU ke 13 secara aman dan melalui pilihanraya. PR tidak sesekali menggunakan jalan raya untuk menggulingkan kerajaan. PR akan menghormati keputusan rakyat jika mereka memilih PR sebagai kerajaan dan begitu pula sebaliknya.

Namun kenyataan ini pula perlu dibayar dengan sikap jujur dan adil oleh kerajaan serta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang menguruskan pilihanraya.  Amaran keras pula perlu diberikan kepada UMNO-BN serta SPR supaya mereka benar-benar menghormati keputusan rakyat. Jangan pula ada elemen penipuan, penyelewengan dan pengkhianatan dalam sistem pilihanraya ini. Ketelusan dan kejujuran menjamin keamanan manakala penipuan dan penyelewengan akan mengundang kemarahan. Kemarahan ini pula bukan PR yang cipta, tetapi lahir dari lubuk hati rakyat.

Sebenarnya, rakyat tidak perlu kekerasan untuk menjatuhkan kerajaan BN. BN ibarat kayu reput yang hanya menanti untuk rebah. Rakyat di mana-mana sudah mudak dengan politik BN dan tidak sabar menanti menjatuhkan kerajaan BN melalui peti-peti undi. Buktinya lihatlah sambutan rakyat di mana-mana terhadap PR, dari Perlis sehingga ke Sabah. Bandingkan pula dengan sambutan rakyat terhadap program BN. Dari konsert PSY di Pulau Pinang sehinggalah ke ceramah kelompok yang mereka anjurkan.  Lihatlah pula isu dan skandal yang berjela-jela ada hampir setiap pemimpin BN dan lihatlah pula tawaran yang PR berikan kepada rakyat. Pemimpin BN ada hati dan boleh menilainya dari sudut hati yang dalam!



*Penulis adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan merangkap Pengarah Juham DPPM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan