Rabu, 13 Februari 2013

SUNNAH YANG DILUPAKAN...HIDUPNYA RASULLULAH SAW TERLALU SIMPLE...BUKAN BERMEWAH2

Talian Rakyat: Hentikan derita adik Mimie

Anis Nazri, 13 Feb 2013


(Muka Mimie yang jernih ini menyimpan seribu derita)

KLANG: Keletahnya sama seperti rakan-rakan seusianya. Bermain, bergurau malah bergaduh sesama abang-abangnya, tampak biasa di mata ramai orang.

Di sebalik kelincahan dan keriangannya, anak kecil 6 tahun itu menanggung penderitaan dan kesakitan yang hanya dia tahu dan menghadapinya.

Nur Soffiea Shamimie, disahkan mengidap penyakit Idiophatic thrombocytopenic purpura's  (ITP Chronic) atau kurang darah kuning sejak dua tahun lalu.

Keluarganya mula mengesan kesakitannya apabila dia mengalami demam, yang kemudiannya berlarutan beberapa hari.

Ketika mendapatkan rawatan di Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah, Klang, ibu bapanya mendapati dua kesan lebam di kakinya.

Pelbagai prosedur dijalankan bagi mengesan punca lebam tersebut, dan akhirnya dia disahkan ITP Chronic dan terpaksa mendapatkan rawatan pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Menurut bapanya, Mohamad Nasseri Nasron, 32, penyakit Mimie itu membimbangkan keluarga kerana risikonya jika jatuh ketika bermain, ia memberikan kesan yang sangat buruk.

(Bapa Mimie, Nasseri menunjukkan dokumen berkaitan perubatan yang diperlu Mimie kepada wartawan Harakahdaily)

"Sekiranya dia terjatuh ketika bermain dan berdarah, maka darahnya akan mengalir tidak henti-henti dari setiap rongganya.  Dia akan lemah apabila kekurangan darah," cerita beliau kepada Harakahdaily.

Keluarga Nasseri dari Pulau Pinang menghubungi Harakahdaily bagi memberitahu cerita Mimie.
Mulanya, Nasseri sendiri mahu datang ke pejabat Harakahdaily dari Klang dengan menyewa kereta bagi menceritakan hal Mimie kepada Harakahdaily.

Namun menyedari hal keluarga yang sangat memerlukan bantuan ini, crew Harakahdaily telah datang sendiri ke rumah sewa keluarga malang ini di Klang.

Emosi adik Mimie yang kami temui sentiasa berubah-ubah.  Ada ketikanya ketika dia bergembira dengan adik-beradiknya yang lain, tiba-tiba dia berubah menjadi sensitif.

Situasi itu dapat dilihat krew Harakahdaily ketika berkunjung ke rumah sewanya apabila Mimie enggan merakamkan gambarnya, selain merenung tajam ketika ibu bapanya bercerita mengenai penyakitnya.

Bercerita tentang rawatan yang diperlukan Mimie, Nasseri berkata pihak pakar memberikan tiga pelan rawatan untuk diikuti.

"Rawatan pertama, perlu memasukkan ubat untuk Mimie, iaitu Methylprednisolone. Jika platlet darahnya naik, ok. Namun, tiada sebarang perubahan positif, lalu pelan kedua pula memasukkan ubat lain, Rituximab," cerita Nasseri.

Namun, setelah kedua-dua rawatan itu dilakukan, keadaan Mimie tidak berubah, malah keputusan platletnya mencapai bacaan '1' yang jauh dari kadar normal.

(Ibu dan bapa Mimie berkongsi penderitaan dengan Harakahdaily)

Justeru, pihak pakar PPUM mengesyorkan agar Mimie menjalani pelan rawatan terakhir bagi menyelamatkan nyawanya, iaitu pembedahan bagi membuang keseluruhan limpanya.

Memandangkan tiada pillihan lain untuk menyelamatkan nyawa Mimie, maka ibu bapanya bersetuju untuk menjalani pembedahan yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM50,000 hingga RM100, 000.

Walaupun Nasseri telah berhenti kerja sebagai juru kimpal, kira-kira dua bulan lalu kerana terpaksa menjaga Mimie yang ditahan di wad ketika itu, pembedahan tersebut terpaksa dilakukan demi nyawa Mimie.

"Duit boleh dicari, tapi nyawa Mimie lebih utama. Biarpun, tiada jaminan pembedahan ini dapat menyembuhkan Mimie dari penyakitnya, kami perlu berusaha untuk mengelakkan penyakitnya semakin parah. Yang kami tahu, selepas pembedahan ini, Mimie perlu meneruskan mengambil ubat-ubatan," kata Nasseri dengan wajah suram.

Ketika berita ini ditulis, keluarga Mimie baru mengumpul kira-kira RM5,000 bagi pembedahan itu, hasil sumbangan orang ramai yang prihatin dengan nasib mereka sekeluarga.

Selain terpaksa menanggung isterinya, Nor Zalinda Ramli yang tidak bekerja, Nasseri juga turut menanggung empat lagi anaknya, Mohd Alif Ikhram, 10, Mohd Zahrul Hakim, 8, Nor Soffiea Shamil, 4, dan Nor Soffiea Syawalni, 6 bulan.

Mimie, akan dimasukkan ke PPUM pada Khamis, 14 Feb ini dan akan menjalani pembedahan dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, orang ramai yang simpati dan prihatin dengan nasib Mimie, bolehlah menyalurkan bantuan ke akaun ibu bapa Mimie 06190003801207 (CIMB) atas nama Nor Zalinda Ramli atau 06190003800204 (CIMB) atas nama Mohamad Nasseri Nasron.
----------------------------

Cerita Talian Rakyat Harakahdaily ini bertujuan untuk berkongsi penderitaan masyarakat dengan pembaca Harakahdaily. Jika anda mempunyai cerita sebegini, jangan segan hubungilah kami. Mungkin kami dapat membantu meringankan bebanan anda. Cerita berkaitan masalah rakyat di tempat anda juga boleh dikongsikan. Hubungi kami di 03- 40233275 atau email kepada talianharakahdaily@gmail.com.

Hormati juga hak Non-Muslim

Eikhwan Ali,
Suatu hakikat yang mesti diterima oleh kita ialah kewujudan pelbagai bangsa dengan anutan pelbagai agama di negara kita. Interaksi yang berlaku dalam perhubungan ini mestilah dapat menjamin keharmonian dan kemakmuran serta tidak berlaku penindasan dan diskriminasi. Sekalipun Islam dianuti oleh hampir keseluruhan bangsa Melayu dan Melayu pula adalah mewakili majoriti warga Malaysia, Islam menyuruh agar menghormati penganut agama Kristian, Budhha, Sikh dan agama-agama lain dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.

Prinsip terpenting yang mesti dipegang oleh bangsa Melayu dan umat Islam dalam hal ini ialah mesti memandang orang-orang bukan Islam sebagai manusia yang menjadi kewajipan kepada kita untuk mengajak mereka kepada Islam sehingga mereka menerima Islam sebagai akidah atau bersedia untuk bernaung di bawah sistem hidup Islam. Tidak seharusnya mereka dipandang sebagai musuh kepada Melayu dan Islam yang mengancam hak-hak keistimewaan Melayu dan kesucian agama Islam.

Sikap yang sepatutnya ada kepada bangsa Melayu-Islam terhadap terhadap masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam mestilah berasaskan kepada nilai toleransi dan menghormati kebebasan akidah agama-agama lain. Sikap ini penting untuk menjamin kebebasan, keadilan dan kesaksamaan dalam kalangan manusia. Sekalipun tidak Melayu, bahkan bukan Islam, perkara yang menjadi hak kepada mereka mestilah ditunaikan sebaiknya oleh kita semua sebagai sesama anggota masyarakat atau sebagai pemerintah di negara ini.

Adalah suatu kewajipan kepada umat Islam untuk beramal dengan ajaran Islam dan menjaga akidah mereka. Apa juga perkara yang menjadi halangan atau ancaman kepada Islam mestilah segera diatasi. Namun, perlu dilakukan menurut dan sesuai dengan prinsip-prinsip Islam, perundangan negara dan norma masyarakat. Tidaklah boleh segala bentuk halangan atau ancaman yang dikatakan ada itu, semuanya dipersalahkan ke atas penganut bukan Islam. Sepatutnya, terlebih dahulu umat Islam menilai kelemahan sendiri, memperbaiki diri dan mengukuhkan kedudukan dan peranan Islam dalam sistem hidup bermasyarakat dan bernegara.

Bangsa Melayu-Islam juga perlu memahami perbezaan antara toleransi yang diizinkan dan diraikan oleh Islam dengan ketundukan dan sikap menyerah diri kepada kemahuan dan kehendak bukan Islam. Tidaklah bermakna menunaikan apa yang dituntut oleh bukan Islam atau mengalah dengan kehendak mereka itu semuanya dikira sebagai menerima kehinaan atau menjual agama.

Dalam hal ini, banyak petunjuk nubuwwah kepada kita untuk lebih memahami berkenaan dengannya. Hal ini boleh diteliti daripada sikap Rasulullah SAW yang menerima perjanjian Hudaibiyyah yang berat sebelah, tidak menghalau penduduk Yahudi di Madinah bahkan hidup berjiran dengan mereka, memberi keampunan kepada kaum musyrikin Makkah yang pernah menzalimi kaum muslimin, memaafkan wanita yang cuba membunuh baginda yang meletakkan racun di daging biri-biri yang dihadiahkan kepada Nabi, dan bersikap lembut kepada Lubaid bin A’som yang telah menyihir baginda dan tidak membenarkan Aishah r.a. menghalaunya.

Demikianlah Islam mengatur sistem hidup masyarakat dengan tidak mengasingkan antara orang Islam dan bukan Islam, bahkan kehidupan itu diselubungi suasana perkongsian sosial, belas kasihan, kesopanan dan saling berinteraksi dengan rasa hormat. Jangan kerana taksub bangsa, huru-hara negara dan hilang keharmonian hidup beragama.

EIKHWAN ALI
Timb. Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Mat Indera: Kes Mohamad Sabu ditunda lagi

Mohd Sabri Said, 13 Feb 2013
BUTTERWORTH: Perbicaraan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkaitan kenyataannya pada satu majlis ceramah bahawa Mat Indera bukan komunis ditunda kepada 10 April depan.

Peguamnya Hanipa Maidin berkata, sepatutnya kes tersebut disambung hari ini, esok (14 Feb) dan lusa (15 Feb) di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Ini, katanya kerana pihak pembela memohon untuk menolak pita rakaman ucapan disebabkan pihak polis merakam tanpa persetujuan penganjur.

Jelasnya, ini mengakibatkan hak bersuara tertuduh terancam dan tindakan polis itu bertentangan perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara termasuk kebebasan berucap yang tidak diancam melalui gangguan rakaman dengan pengawasan pihak polis.

"Pagi tadi Hakim Mahkamah Sesyen 3 Butterworth, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menangguhkan kes ke 10 April 2013 kerana pihak pendakwa memohon untuk menolak pita rakaman kerana pihak polis merakam tanpa persetujuan penganjur," katanya.

Mohamad diwakili peguam Hanipa Maidin, Masar Khan dan Aminudin Zulkipli.

Benarkah politik mahasiswa hilang arah?

Syukri Razab,
Saya sekadar menjadi penonton kepada Gerakan Mahasiswa PRU13. Oleh itu, agak malu alah untuk saya memberi komen yang keterlaluan terhadap inisiatif yang mereka lakukan. Cuma, jika dikatakan Gerakan Mahasiswa hilang arah, saya rasa kenyataan itu salah. Gerakan Mahasiswa masih berada pada arah yang tepat dan konsisten dengan matlamat yang diperjuangkan. Apakah matlamatnya? Sudah tentu menegakkan keadilan dan meruntuhkan kezaliman. Non Partisan, dan semak imbang tidak pernah menjadi matlamat gerakan mahasiswa. Tindakan itu hanyalah langkah yang digunakan oleh Gerakan Mahasiswa untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.

Kali ini, dalam matlamat yang sama iaitu untuk menegakkan keadilan dan menumbangkan kezaliman, mahasiswa memilih langkah yang berbeza tetapi bukanlah perkara asing dan baru. Iaitu mencabar Perdana Menteri di dalam Pilihan Raya Umum ke-13. Tindakan ini langkah paling berani yang boleh saya simpulkan dalam episod Gerakan Mahasiswa dalam kerangka tiga tahun kebelakang. Bendera Najib pernah diturunkan, dan kini mahasiswa sedang berada dalam fasa yang lebih realistik iaitu ingin menurun Najib daripada kekuasaan yang telah disalah guna.

Oleh itu, saya tidak Nampak di mana plot yang dikatakan sebagai Gerakan Mahasiswa hilang arah. Apakah Gerakan Mahasiswa sudah beralih kepada kumpulan pro-establishment? Atau apakah Gerakan Mahasiswa sudah kembali menganuti fahaman perjuangan bilik kuliah? Atau apakah Gerakan Mahasiswa sudah menjadi balaci parti pembangkang?

Saya kira tidak ada kayu ukur yang jelas untuk mengatakan Gerakan  Mahasiswa hilang arah hanya kerana menghantar calon untuk mencabar Najib dalam PRU13. Jika peristiwa manifesto mahasiswa 1969 dijadikan hujah untuk mengatakan Gerakan Mahasiswa kini hilang arah, saya kira matlamatnya tetap sama. Jika dulu ada elemen mendidik rakyat, hari ini juga ada elemen mendidik rakyat. Jika dulu ada elemen mengetengahkan idea, hari ini juga ada idea yang dibawa. Jika dulu ada elemen menentang regim, hari ini juga garang menentang regim.

Bahkan jika hendak dibandingkan, suasana politik dahulu jauh lebih kondusif berbanding hari ini apabila media utama masih tidak tertutup seperti hari ini. Wartawan pada waktu itu menjadi aktivis yang digeruni pemerintah. Penipuan pilihan raya juga masih tidak parah dan ruang berkempen masih luas. Oleh itu, peluang untuk mengajar regim lebih mudah kerana lapangan pertarungan tampak masih adil.

Namun situasi hari ini sangat berbeza. Lapangan politik terlalu berat sebelah. Kita tidak boleh melihat metod pendidikan politik rakyat dari kaca mata 1969. Langkah-langkah berani atau radikal dilihat perlu dilakukan untuk terus membuka ruang pendidikan politik kepada rakyat. Jika persoalan persedian menghadapi PRU13 yang dijadikan hujah untuk mengatakan Gerakan Mahasiswa hilang arah, saya kira itu lebih tidak tepat.

Hal ini kerana, soal persediaan tergolong dalam masalah teknikal yang boleh diselesaikan secara strategik tanpa merencatkan matlamat. Sama ada Najib atau BN akan tertawa dengan hasrat mahasiswa ingin bertanding di Pekan, itu hak mereka untuk ketawa atau menangis. Namun tindakan menghantar samseng untuk mengekang kemaraan mahasiswa memberi mesej terang kepada kita mengenai siapa yang ketawa dan siapa yang gelisah.

Dalam sedar atau tidak, sejak tahun 2010 sehingga 2012, sudah lebih 50 orang mahasiswa menjadi mangsa regim Barisan Nasional. Ada yang ditahan dalam lokap polis dan ada yang dipecat daripada universiti. Tahun 2011 mencatat tangkapan Polis paling ramai iaitu mencecah 40 orang.

Saya kira, regim BN juga sudah banyak belajar daripada sejarah. Jika kita buat bakti siswa, mereka lebih hebat dengan bakti siswanya. Jika kita buat jerayawara kesedaran, mereka lebih hebat dengan jerayawara keamanan. Jika kita beri bantuan beras dan risalah pada orang kampung, mereka beri wang dan astro pada orang kampung. Dalam kerangka politik yang sebegini, saya kira tindakan yang Gerakan Mahasiswa PRU 13 adalah tepat pada waktunya.

Akhirnya, sejarah untuk dipelajari, bukan untuk diulangi

Penulis ialah, mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

Air: Selangor siap hantar tawaran kepada konsesi

Harakahdaily, 13 Feb 2013

SHAH ALAM: Tempoh 14 hari untuk Kerajaan Persekutuan memberi maklum balas kepada hasrat Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih perkhidmatan air akan tamat minggu hadapan.

“Oleh itu, kita menyeru Kerajaan Persekutuan untuk bertindak secepat mungkin memandangkan isu penyusunan semula industri air ini melibatkan kepentingan rakyat,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.



Katanya, kerajaan negeri menegaskan ini bukanlah pengambilalihan biasa syarikat komersil.

Ini, jelasnya adalah kerana perjanjian konsesi air melibatkan tiga pihak iaitu Syabas,  Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang pemegang sahamnya adalah rakyat.

Beliau menambah, urusniaga sepatutnya tidak boleh berpaksikan keuntungan semata-mata sebaliknya kebajikan rakyat juga perlu diberi keutamaan.



“Justeru, kita menyeru kerajaan Pusat yang memiliki Golden Share atau saham emas dalam Syabas menggunakan kuasanya bagi memastikan Syabas menerima tawaran kerajaan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.



Jelasnya lagi, kerajaan negeri sudah menyediakan surat tawaran kepada syarikat konsesi dan berharap mereka tidak menjadikan faktor harga sebagai alasan untuk menolak tawaran ini.

Katanya lagi, kerajaan negeri berulang kali menyatakan bahawa syarikat konsesi boleh membawa perkara ini kepada Timbangtara Antarabangsa bagi mendapatkan pampasan yang sewajarnya.



Menurut Khalid lagi, kerajaan negeri akan memberi penerangan kepada rakyat mengenai pelan dan langkah-langkah yang akan dilakukan kerajaan negeri selepas mengambilalih perkhidmatan air ini pada Forum Air Untuk Rakyat yang akan diadakan selama 10 hari bermula 18 Februari sehingga 28 Februari di seluruh negeri.



Katanya, antara mereka yang terlibat ialah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin.



“Kita akan mengiklankan tarikh dan tempat  forum air ini akan diadakan di beberapa akhbar utama untuk memudahkan rakyat merancang dan membuat persediaan awal.

“Kita berharap rakyat dapat menggunakan forum air ini sebagai platform untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini berhubung isu air di Selangor dan Lembah Klang,” katanya lagi.

Kelebihan sunnah memanah, berkuda, berenang

Detik Islam, 13 Feb 2013
Islam agama syumul yang mendidik umatnya untuk mencapai kebahagiaan akhirat tanpa meminggirkan persoalan duniawi. Justeru, amalan riadah atau bersukan menjadi sebahagian perkara yang perlu diberi perhatian bagi melahirkan masyarakat cerdas pemikiran dan kuat fizikal.

Umat Islam tanpa mengira usia dan kedudukan wajar memanfaatkan masa terluang dengan melakukan riadah dan bersukan untuk mengekalkan kecergasan tubuh badan seterusnya dapat menunaikan amal ibadah difardukan dengan sempurna dan penuh khusyuk.

Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya menjaga kesihatan, kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit memudaratkan. Hal ini penting kerana kekuatan tenaga dan fizikal akan dapat melahirkan rasa gerun dalam kalangan musuh Islam yang sentiasa mengambil kesempatan untuk melakukan ancaman serta provokasi terhadap umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)


Banyak hadis menyebut mengenai acara sukan yang sangat popular pada zaman Rasulullah SAW seperti memanah, menunggang kuda serta berenang.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda).” (Riwayat Muslim)

Sunnah dan Faedah Memanah, Berkuda, Berenang

1. Memanah

Rasulullah SAW juga sentiasa menunjukkan contoh terbaik kepada sahabat dalam soal ibadah mahupun perkara membabitkan kehidupan seharian. Contohnya, Baginda pernah menyertai sahabat yang bermain anak panah sebagai aktiviti riadah.

Bersabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.” (Riwayat Bazzar, dan Thabarani)


Diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengisahkan: “Nabi SAW melalui satu kawasan ketika sahabat sedang memanah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya datuk kamu, Nabi Ismail adalah seorang pemanah. Memanahlah dan aku bersama Bani Fulan (salah satu kumpulan pemanah).” Lalu kumpulan satu lagi berhenti memanah. Rasulullah SAW bertanya: “Kenapa kamu berhenti memanah?” Jawab sahabat: “Bagaimana kami hendak memanah kamu berada bersama kami.” Nabi SAW menjawab: “Memanahlah, aku bersama kamu semua.” (Hadis riwayat Bukhari)
Kebaikan Memanah termasuklah melatih emosi dan fizikal untuk menumpukan pada sasaran. Memanah sangat menitik beratkan keseimbangan badan. Maka, jika pemanah emosinya tertekan, maka panahan amat mudah tersasar. Secara tidak langsung, sukan ini melatih manusia bertenang dan menstabilkan emosi.

Individu yang tidak tenang, gopoh, pemarah, kurang sabar atau kurang sihat mentalnya tidak akan menjadi pemanah yang baik.

Perbuatan melenturkan anak panah di busurnya, kemudian melepaskannya perlu satu kekuatan fizikal, sukan ini juga satu latihan holistik kepada diri seseorang dari segi fizikal dan mental.

2. Berkuda
Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah mengadakan pacuan kuda dan memberi hadiah kepada pemenangnya.

“Demi Allah! Sungguh Rasulullah SAW pernah bertaruh terhadap suatu kuda yang disebut sabhah (kuda pacuan), maka dia dapat mengalahkan orang lain, Baginda SAW sangat tangkas dalam hal itu dan menghairankannya.” (Riwayat Ahmad)


Taruhan yang dibenarkan, atau yang dimaksudkan ialah suatu upah (hadiah) yang dikumpulkan bukan dari orang-orang yang menunggang saja atau dari salah satunya saja, tetapi dari orang-orang lain juga.

Adapun hadiah yang dikumpulkan daripada penunggang, kemudian siapa yang unggul itulah yang mengambilnya, maka hadiah seperti itu termasuk judi yang dilarang. Dan Nabi sendiri menamakan tunggangan kuda seperti itu, iaitu yang disediakan untuk berjudi, dinamakan Kuda Syaitan. Harganya adalah haram, makanannya haram dan menungganginya juga haram.

Dan Rasulullah SAW bersabda, kamsudnya: “Kuda itu ada tiga jenis: kuda Allah, kuda manusia dan kuda syaitan. Adapun kuda Allah ialah kuda yang disediakan untuk berperang di jalan Allah, maka makanannya, kotorannya, kencingnya dan apanya saja – mempunyai beberapa kebaikan. Adapun kuda syaitan, iaitu kuda yang digunakan untuk berjudi atau untuk dibuat pertaruhan, dan kuda manusia pula, adalah kuda yang diikat oleh manusia, ia mengharapkan perutnya (hasilnya), sebagai usaha untuk menutupi keperluannya.”  (Riwayat Bukhari dan Muslim

Berkuda amat baik untuk kesihatan manusia. Seluruh anggota tubuh badan dari kepala hingga ke kaki, dari fizikal hingga mental akan mendapat manfaatnya.

Bentuk lekuk badan belakang kuda – tempat di tunggang - baik untuk merawat segala masalah tulang belakang manusia.

Semasa pergerakan galloping iaitu cara rentak kuda melompat dan berlari, menyebabkan vetebra tulang belakang manusia bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni, dan meransang saraf-saraf tulang belakang, seolah-olah diurut, sedangkan pakar chiropraktik  pun tidak mampu berbuat seperti gerakan natural tulang-tulang veterbra semasa orang menunggang kuda.

Seluruh anggota - tulang rangka, otot-otot, organ-organ viseral – termasuklah sistem penghadaman, sistem  saraf, sistem voluntary mahupun involuntary, organ perkumuhan, malah geseran kepada organ-organ seksual akan teransang secara optimum untuk menjadi semakin sihat. Penunggang kuda yang hebat selalunya bebas dari mengalami sakit belakang atau tergelumang dengan tabiat-tabiat seks yang di luar tabie.  Selain itu menunggang kuda turut mencerahkan mata sebab terdapat ransangan terhadap saraf kranial semasa gerakan ‘galloping’ kuda.

3. Berenang

Rasulullah SAW bersabda, “Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Tiap-tiap sesuatu yang bukan zikrullah berarti permainan dan kelalaian, kecuali empat perkara: Seorang laki-laki berjalan antara dua sasaran (untuk memanah); Seorang yang mendidik kudanya; Bermain-mainnya seseorang dengan isterinya; Belajar berenang.” (Riwayat Thabarani)

Semasa berenang, mental, fizikal, segala otot dan tulang rangka digerakkan untuk membuat satu gerakan yang berkoordinasi antara dua anggota kaki dan dua anggota tangan, selain meransang stamina ( sistem kardiovaskular).

Berenang juga memberi peluang manusia untuk menguasai air serta menjadi berani.

http://detikislam.blogspot.com

‘Berpantang’: Gesaan Husam sangat tepat

Abdul Shukur Harun, 13 Feb 2013
Jika hari mengundi penghujung bulan depan, seperti diramalkan oleh pelbagai pihak, maka kesempatan yang ada pada PAS/Pakatan Rakyat untuk bersiap menghadapi hari penentuan itu sudah sangat singkat.
Sedangkan hingga kini, masih wujud kekeliruan dari kalangan sesetengah pengundi Melayu baik di luar bandar mahupun di bandar sendiri. Terutamanya mengenai beberapa isu yang menyentuh ras dan agama. Kerana itu ia mesti ditangani dengan sebijaksana mungkin dengan diberikan penerangan yang jelas dan meyakinkan, bahawa Pakatan Rakyat, khususnya PAS mempunyai jawapan yang sangat munasabah mengenai masalah ini, berdasarkan pendekatan Islam yang mampu mendepani masyarakat majmuk di Malaysia.

Setakat ini, penerangan yang diberi oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, Dato’ Seri PresidenTuan Guru Haji Abd Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Haji Mustafa Ali dan pimpinan PAS yang lain sangat meyakinkan dan berjaya meredakan keadaan. Tetapi, seperti dijangka, walaupun sudah diberi jawapan, isu ini akan terus dibangkitkan lagi oleh musuh Pakatan Rakyat yang mungkin berlarutan hingga sehari sebelum hari pengundi.

Oleh itu, pada pendapat saya, ingatan Naib Presiden PAS,  Datuk Husam Musa supaya PAS/Pakatan rakyat mesti berhati-hati dan tidak membuat sebarang kesilapan dalam apa bentukpun. Katanya, PAS semestinya meletakkan dirinya seperti berada dalam tempoh ‘berpantang’ selama 90 hari sebelum menghadapi PRU akan datang.

Beliau mengingatkan, dalam tempoh berpantang ini, PAS tidak boleh melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat untuk memilih PAS pada PRU13 ini.

"Kalau orang perempuan berpantang selepas bersalin, kita berpantang sebelum bersalin. Kandungan kita ialah harapan perubahan rakyat Malaysia. Oleh itu, sewaktu berpantang, kita tidak boleh melakukan satu pun kesalahan," katanya.

Ini ingatan penting Datuk Husam ketika menyampaikan ucapan di Konvensyen Mara Bersama Keberkatan Menuju Putrajaya di sebuah hotel di Selangor baru-baru ini yang mengumpulkan semua tenaga kerja pilihan raya PAS di Selangor.

Daripada pelbagai laporan terkini yang diterima, Pakatan Rakyat mempunyai peluang untuk menang dalam PRU akan datang. Oleh itu, pemimpin dan pendukung Pakatan Rakyat perlu berhati-hati dan jangan sama sekali melakukan kesilapan, justeru sebarang kesilapan sangat mahal harganya untuk dibayar oleh Pakatan seperti yang dtegaskan oleh Datuk Husam.

Naib Prediden PAS yang dinamik ini dengan pengalaman dan kematangan politiknya tentu boleh membaca dengan tepat, kalaupun tidak setepat-tepatnya, alam situasi yang ada sekarang. Justeru empoh masa sebulan dua ini, adalah tempoh yang sangat kritikal. Maka para pengundi sedang mengamati dengan serius perkembangan yang berlaku di tanah air untuk membuat pilihan.

Hendaknya dalam tempoh ‘berpantang’ ini tidak akan bermunculan pelbagai kenyataan, terutama di media musuh, mengenai pelbagai isu kontroversi, yang dikira boleh mengelirukan atau disalah tafsir oleh pihak tertentu. Seperti diketahui bukan mudah untuk membetulkan atau menjelaskan kenyataan yang telah dikelirukan.

Perlu diketahui bahawa dengan ragam media musuh yang sedemikian rupa, begitu mudah sekali mereka mengeksploitasi pelbagai kenyataan Pakatan Rakyat.
Memanglah dalam karenah politik bahawa ‘Silence is golden’ selalunya tidak tepat, justeru politik ialah mengenai tindakan dan penerangan ideologi, cita-cita dan harapan, perancangan jangka pendek dan jangka panjang dan sebagainya sesebuah parti politik. Semua ini perlu dinyatakan dengan meluas kepada rakyat.

Namun politik itu mempunyai ciri-ciri strategi, keterbatasan, antaranya, ada ketikanya pelaku politik itu diperlukan ‘membisu’ dalam waktu tertentu untuk muslihat strategi menghadapi musuh, walaupun tidak dalam semua waktu dan keadaan.

Dalam situasi di negara ini yang akan menghadapi PRU, maka pendukung Pakatan Rakyat diperlukan ‘mengekang’ keinginan untuk bercakap atau mengeluarkan kenyataan yang dikira boleh menimbulkan kontroversi serta merugikan Pakatan sendiri.

Sebab itu, ingatan Datuk Husam supaya pendukung PAS ‘berpantang’ dan jangan membuat sebarang kesilapan dalam waktu terdekat ini, adalah satu ingatan ikhlas yang datang dari seorang tokoh politik berpengalaman, cerdas dan mempunyai pandangan jauh ke depan.

Sementara itu, tinjauan yang diterima dari pelbagai pihak ialah bahawa masih wujud kira-kira 30% pengundi generasi muda hingga kini masih belum membuat sebarang keputusan untuk mengundi parti mana. Ini bermakna jumlah pengundi generasi baru yang belum membuat keputusan telah menurun 10%.

Mungkin dalam seminggu dua lagi akan semakin bertambah jumlah pengundi baru yang sudah membuat keputusan dan ada isyarat bahawa pengundi muda ini – termasuk mahasiswa - cenderung kepada Pakatan Rakyat. Ini, antara lain, disebabkkan kebencian mereka terhadap kegiatan politik samseng dan ganas yang menjadi-jadi akhir-akhir ini.

Generasi baru ini mahukan sebuah suasana yang tenang dalam pelbagai program parti, untuk mendengar hujah-hujah parti politik yang bertanding. Kerana itu mereka sangat berhajat untuk mendengar debat politik yang biasa diadakan di negara luar setiap kali pilihan raya.

Adapun pengundi wanita yang besar jumlahnya di seluruh negara yang kebanyakannya menyokong BN, sama sekali tidak akan mengecewakan Pakatan Rakyat. Ini kerana, menurut tinjauan, sudah ramai pengundi tersebut, terutamanya di bandar dan semi bandar, mulai beralih arah dan mahukan perubahan hasil dari penerangan berterusan dari Pakatan Rakyat, khususnya dari wanita Pakatan sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan