Rabu, 20 Februari 2013

RUGI TAK BERJUANG MENEGAKKAN ISLAM...SEDANGKAN HIDUP DIDUNIA SEKALI SAHAJA

Semakin banyak ditabur semakin ditolak oleh peneroka-peneroka Felda

http://lubokkawah.blogspot.com, 20 Feb 2013
Saya memulakan ceramah saya di Felda Sg Klah malam tadi dengan mengucapkan tahniah kepada peneroka-peneroka, isteri (isteri-isteri peneroka dan janda-janda peneroka) serta anak (anak-anak peneroka Felda) yang telah menerima RM15,000.00.
Umpan ini agak besar jika dibandingkan dengan umpan-umpan sebelum ini, hanya peneroka-peneroka tidak diberitahu bahawa sepatutnya mereka boleh mendapat RM50,000 bukan RM15,000 hasil dari penggadaian seluas 850000 ekar tanah Felda Plantation kepada FGV.

Peneroka Felda Sg Klah adalah terdiri daripada mereka yang sangat perihatin apabila saya bertanya, "Baki RM35,000.00 lagi tu pergi ke kantung mana?"  Mereka jawab, "Roooosmaaaah."  Ya, RM35,000 itu disorokkan daripada pengetahuan peneroka-peneroka dan akan dijadikan umpan sedikit demi sedikit untuk memancing peneroka-peneroka.

Wang RM5000 kepada peneroka, RM5000 kepada isteri peneroka dan RM5000 kepada anak peneroka bukan boleh bertahan lama, tak sampai beberapa bulan wang itu sudah kering.  Maka umpan baru dihulurkan ke mulut peneroka-peneroka iaitu BRIM RM500.00.  BRIM pertama sudah kehabisan dalam tempoh beberapa hari sahaja.  Ini BRIM kedua, hari ini dapat, namun minggu hadapan sudah tiada.

Ini menggelisahkan Mr Najib.  Tabur umpan, umpan dah habis, tetapi peneroka masih tidak puas hati.  Ramai peneroka kini meninggalkan UMNO kerana isu yang lebih besar tidak diselesaikan oleh Felda dan UMNO.

Mereka tidak puas hati kenapa kini mereka dibebankan dengan hutang baru sebanyak RM5000.00 kerana pemberian 800 unit saham FGV.  Kalau betul Felda nak bantu peneroka kenapa peneroka kena membayar RM3640.00 untuk 800 unit saham itu dengan hutang berjangka (selama 6 bulan).  Ada pengurus-pengurus Felda menjanjikan kepada peneroka-peneroka ini bahawa mereka boleh menjadi senang lenang apabila memiliki saham 800 unit itu, dan ada pulak golongan-golongan didalam GPW yang berkempen: "Rugilah kalau kita tak ambil 800 unit saham tu, nanti orang lain jadi jutawan, kita terkebil-kebil melihat orang jadi senang."  Kempen ini cukup berkesan sehinggakan bukan sahaja orang UMNO dan orang atas pagar mengambil saham ini bahkan orang Pakatan Rakyat pun ambil juga.

"Ah..kamu orang PAS, orang PKR ada ambik tak?" Saya tinggikan suara saya bertanya kepada hadirin.  "Ambiiiiik!!!" jawapan dari mereka.

"Dah jadi jutawan sekarang?"

"Dah jadi tak tentu keruan!!!!" jawapan mereka.

Tetapi tak mengapa, saya teruskan ceramah, kan Felda dan UMNO itu baik, tuan-tuan berhutang dengan bank sebanyak RM3640, Felda ambil alih hutang tu, maka hutang tuan-tuan dah jadi kosong dengan bank, tak berhutang lagi.

"Kenapa Felda ambil alih hutang dari bank tu?  Ada yang tahu?" saya limparkan soalan itu kepada hadirin.

"Tak tau..!!!" mereka jawab.

Hutang dengan bank itu bertempoh (6 bulan) kalau tak bayar dalam tempoh tu bank akan saman.  Dan cubalah bayangkan betapa marah seluruh 112,000 keluarga peneroka kepada Felda dan UMNO jika mereka disaman oleh Bank.  Maka Felda ambil alih hutang itu semata-mata nak mengelakkan peneroka-peneroka marah kepada UMNO dan Felda dan untuk mengelakkan supaya peneroka-peneroka lari dari UMNO!!!

Tapi apa nak disusahkan.  Kan Felda beri tuan-tuan setiap bulan RM50.00 kerana Felda ambil alih hutang itu?  Tanya saya sinis.  "Tidak Haji....kami yang kena bayar RM50.00 sebulan kepada Felda!!!"

Ho...ho..saya teruskan ceramah saya.  Dulu saya dan Mazlan Aliman dah beritahu, jangan ambil saham 800 unit tu, bukan boleh jadi kaya dengan saham yang tak sampai satu lot tu.  Orang Besaut dan Sg Klah (orang PAS dan PKR) ada yang talipon saya samada boleh ambil atau tidak saham tu.  Saya dah jawab.  Jangan ambil.  Tapi tuan-tuan ambil juga kan?  Tulah.....

Baik.  FGV ni bukan syarikat berdaya maju.  Syarikat ini berniaga dibanyak negara di dunia ni.  Tapi kebanyakannya rugi.  Maka kepada syarikat yang rugi inilah UMNO menaruh kepercayaan untuk disenaraikan.

Berbuihlah mulut kita supaya jangan digadaikan Felda Plantation, itu adalah sumber pendapatan Felda; tanpa Felda Plantation, Felda akan mengalami kekurangan pendapatan dan kebajikan yang boleh dihulurkan oleh Felda kepada peneroka-peneroka serta anak-anak peneroka akan berkurangan.

Tapi apa boleh buat.  Kami Pembangkang.  UMNO guna tv, media, pengurus-pengurus Felda, GPW dan semua badan belia dirancangan Felda.  Secara bisik-bisik, peneroka-peneroka dibisikkan bahawa mereka boleh menjadi orang senang bahkan jutawan jika mereka bersetuju supaya FGV disenaraikan dan Felda Plantation ini digadaikan kepada FGV.

Kita kata bahawa FGV ni takkan maju, takkan ada korporat-korporat besar luar negara nak melabur apabila mereka dapat tahu bahawa ladang-ladang didalam Felda Plantation ini tidak begitu produktif kerana pokok-pokok di kebanyakan ladang itu sudah tua, dan sebahagian lagi ladang-ladang itu baru ditanam, masih belum mengeluarkan hasil.  Mereka ambil kira hal ini.

Selepas disenaraikan; saham FGV melonjak naik, dan Isa Samad dengan penuh kegembiraan menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh Felda dan UMNO/BN adalah betul, peneroka-peneroka akan mendapat faedahnya.  Selepas lonjakan itu saham FGV terus jatuh dan merudum hingga RM4.38 sedangkan harga semasa IPO adalah RM4.56.. Ingat-ingat nak jadi jutawan....

Dengan penggadaian Felda Plantation selama 99 tahun kepada FGV, harapan anak-anak peneroka untuk mendapat tanah seperti dijanjikan didalam Buku Jingga hancur berkecai.  Pekerja-pekerja (anak tempatan) Felda Plantation yang bergaji rendah, tak ada SOCSO, KWSP, cuti sakit, cuti tahunan..(mereka sanggup berkeadaan itu kerana menjangkakan tanah yang mereka kerjakan itu menjadi milik mereka akhirnya) hilang segala-galanya.

Felda telah menganiaya anak-anak peneroka dan pekerja-pekerja (anak tempatan) dengan menggadaikan Felda Plantation kepada FGV.

Felda menjanjikan seperti yang termaktub didalam Surat Perjanjian diantara peneroka dan Felda bahawa Felda akan mengesyorkan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk dikeluarkan geran tanah kebun dan kampung kepada peneroka-peneroka apabila peneroka-peneroka selesai menjelaskan hutang kepada Felda dan bayaran CAC kepada Kerajaan Negeri yang dibuat melalui Felda.

Tetapi sebahagian besar dari peneroka-peneroka Felda tidak dikurniakan geran tanah setelah menjelaskan hutang mereka, sesetengahnya sudah melebihi 16 tahun.  Apa tujuan Felda menafikan geran tanah kepada peneroka-peneroka, tidak lain dan tidak bukan untuk memanipulasikan agar Felda tidak melakukan tanam sendiri tetapi tanam melalui Felda, yang boleh memberikan keuntungan kepada Felda dan merugikan peneroka-peneroka.  Felda akan membuat untung yang besar melalui tanam semula, dan akan untung lagi apabila Felda bersikap seperti ceti memberikan hutang kepada peneroka-peneroka dan dengan penyata pendapatan dan penyata hutang tidak diserahkan kepada peneroka-peneroka.

Berlaku di kebanyakan rancangan Felda di Negeri Sembilan di mana Felda gagal menanam semula untuk peneroka-peneroka, walhal, semasa peneroka menuntut untuk tanam sendiri, Felda tidak mengizinkan dan mereka yang mahu tanam sendiri diugut hingga kononnya mereka itu boleh dipecat dari rancangan Felda.

Di kawasan Felda Rokan di Negeri Sembilan, Felda telah gagal menanam semula hingga sudah melebihi 10 tahun menyebabkan peneroka-peneroka terpaksa menanggung hutang melebihi RM200,000.00 kerana Felda memberikan elaun sara hidup sebanyak RM15000.00 sebulan sedangkan tanah mereka tidak ditanam semula dan mereka tidak mempunyai apa-apa hasil untuk membayar hutang Felda.

Kalau semasa peneroka menuntut untuk tanam sendiri dahulu mendapat tentangan paling keras dari Felda, tetapi kini Felda pulak yang meminta peneroka-peneroka supaya mengambil alih ladang-ladang mereka supaya mereka boleh melakukan tanam sendiri.  Nasi sudah jadi bubur.

Tetapi kepada peneroka-peneroka yang dibebankan dengan hutang oleh Felda tidak perlulah begitu khuatir kerana seperti terkandung di dalam JANJI PALONG,  hutang-hutang peneroka ini akan dimansuhkan.

Dengan meninggalkan satu persoalan kepada peneroka-peneroka samada mereka akan terus menyokong UMNO setelah pendedahan ini dan menerima jawapan bahawa hadhirin serentak mengatakan: "TIDAAAK...!" saya memberhentikan ucapan saya untuk memberi laluan kepada Chua Yee Ling dan YB Dr Mariah.

Integriti: Hayati titah Raja Nazrin

Ahmad Nuri Al-Amin, 20 Feb 2013
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak akur dan merafak sembah di atas titah ucapan Pemangku Paduka Seri Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang membangkitkan persoalan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti antara PAS dan Umno yang menunggu mandat rakyat dalam sistem demokrasi Negara kita.
Kami menghargai segala titah nasihat Raja Dr Nazrin Shah dan merasakan ianya perlu diambilkira dan direalisasikan secara serius jika diberikan kuasa mentadbir Kerajaan Negeri Perak kelak nanti, Insya Allah.

Amalan pentadbiran bersih dan adil tanpa sebarang unsur salahguna kuasa dan rasuah sentiasa menjadi inspirasi serta kehendak rakyat ini sangat seiring dan bertepatan dengan titah yang telah disampaikan oleh Raja Dr Nazrin Shah. Ianya sangat bertepatan dengan Islam yang mementingkan prinsip taqwa, adil dan amanah di dalam mentadbir sesebuah kerajaan.

Malah semasa 11 bulan pemeritahan Pakatan Rakyat (PR) yang diterajui Menteri Besar PAS, Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin, kami telah mengetengahkan prinsip tersebut dalam membangunkan umat Islam di dalam pelbagai program peringkat negeri seperti kempen solat dan memakmurkan masjid.

Kami yakin dan prihatin terhadap prinsip tersebut dan akan berusaha sedaya upaya kami bagi memastikan setiap anggota dan penyokong kami seiring dengan matlamat sebuah kerajaan yang bukan hanya bersih dan adil, malah memberikan keutamaan kepada rakyat atas semangat Negara Berkebajikan terutama kepada golongan yang amat memerlukan.

Atas perkara tersebut juga, kami serlahkan keperibadian PAS yang nyata berbeza dari cara Umno mentadbir pentadbiran kerajaan kini. Mesej tersebut telah sampai kepada semua pihak bahawa Umno yang menerajui Barisan Nasional (BN) walaupun telah diberikan peluang kedua hasil 'rampasan kuasa' untuk memerintah negeri ini, namun masih juga tidak serik dan meneruskan amalan kronisma pastinya akan ditolak sekali lagi oleh rakyat.

Faktor tersebut mendorong kami untuk terus berusaha bagi menyelamatkan pentadbiran kerajaan negeri terutamanya daripada terus dinodai oleh suasana yang berunsur kronisma dan penyalahgunaan kuasa. Ayuh, rakyat Perak kita kembalikan imej Perak di atas prinsip keadilan dan keamanan sebenar!

*Dr Ahmad Nuri Al-Amin adalah Ketua Penerangan, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.

Berjuanglah menegakkan agama Allah

YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, 20 Feb 2013
Allah Taala berfirman di dalam al-Quran, bermaksud:

"Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah al-Baqarah : ayat 195).

Makna bagi ayat "...mencampakkan diri ke dalam kebinasaan" di sini ialah kamu tidak menjalankan tugas jihad. Tetapi ada manusia menyalahgunakan ayat ini. Mereka berkata, tidak ada gunanya kita berjuang untuk Islam, nanti kita akan dipenjarakan, ditukar tempat kerja atau dibuang kerja dan sebagainya sedangkan Allah Taala mengatakan, "...Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan". Inilah cara bagaimana cakap-cakap yang berdalilkan ayat dengan cara yang salah kerana ayat ini mempunyai hubungan dengan menegakkan agama Allah Taala, bahkan orang yang tidak berani menegakkan agama Allah itulah orang yang mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan.

Diriwayatkan oleh Imam at-Tabari ketika orang-orang Islam berperang dalam rangka menawan kota Constantinople (Istanbul, Turki), tiba-tiba orang Islam berdepan dengan tentera Rom yang terlalu ramai. Ada antara orang Islam itu seorang pahlawan yang terlalu berani, menawarkan untuk masuk ke dalam pasukan tentera Rom yang ramai bersendirian walaupun akibatnya yang bakal diterima pasti dia dibunuh. Lalu orang ramai mengatakan, "Kenapa sanggup membinasakan diri? Tidakkah Allah mengatakan dalam Al Quran; “...Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan?"

Kebetulan di dalam peperangan tersebut ada seorang Sahabat Nabi yang umurnya telah menjangkau 80 tahun, namanya Abu Ayub al-Ansari RA iaitu sahabat yang diberi kelebihan ketika Rasulullah SAW berhijrah, unta Baginda SAW telah berhenti di laman rumah Abu Ayub sebagai isyarat Baginda memilih rumahnya untuk bermalam di situ sebelum Baginda memiliki rumah sendiri di kota Madinah. Abu Ayub telah tua ketika bersama tentera Islam dalam peperangan menentang Rom.

Apabila Abu Ayub al-Ansari mendengar seseorang membaca ayat tersebut, dia naik radang sambil berkata, "Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah mentakwilkan ayat ini dengan takwil yang begitu rupa (pentakwilan yang menyeleweng). Sesungguhnya ayat ini diturunkan kepada kami golongan Ansar ketika kami telah mendapat ganjaran daripada Allah Taala, iaitu ketika Allah memenangkan agama-Nya dan ramai orang yang menolong agama-Nya.”

"Maka berkatalah segelintir kami kepada segelintir yang lain. Kami berbisik sesama kami, dengan harapan hal itu tidak diketahui oleh Baginda Rasulullah SAW bahawasanya harta manusia sudah banyak; Kita ketinggalan dalam memajukan dan mengumpul harta benda kerana terlalu mementingkan jihad (di medan perang), kita tidak dapat menguruskan kebun dan perniagaan dengan baik (kerana asyik berjihad).”

"Sesungguhnya Allah memberi kemenangan kepada Islam dan orang yang menegakkan agama Islam sudah ramai, maka langkah sebaiknya kita semua tinggal di Madinah, tidak payah lagi berperang. Kita serahkan urusan jihad itu kepada orang lain kerana kita mahu membaiki dan menjaga kebun kita dan apa yang ketinggalan selama ini dalam harta benda, agar kita dapat mengatasinya semula.”

"Justeru, Allah Taala menurunkan ayat ini kepada Nabi-nya sebagai menolak apa yang kami katakan, "...Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan".


Abu Ayub RA adalah seorang Sahabat yang berani, sekalipun dalam keadaan sakit beliau mewasiatkan supaya dikebumikan mayatnya di tepi kota itu (Kota Constantinople) dan melarang tentera Islam membawa pulang mayatnya ke Madinah. Hal ini kerana beliau mahu kuburnya dipijak oleh kuda-kuda tentera Islam yang meneruskan perjuangan Islam, menawan kota tersebut dari tangan musuh.

Orang Islam berjihad beratus-ratus tahun lamanya untuk menawan kota Constantinople kerana kerajaan Rom Timur mempunyai teknologi yang kuat dan lebih daripada orang Islam. Mereka mempunyai berbagai-bagai senjata moden pada zaman itu antaranya mereka boleh melontarkan peluru api yang boleh bernyala di dalam air sehingga kapal-kapal tentera Islam terbakar.

Akhirnya Allah Taala memberi kurniaan kepada Sultan Muhammad al-Fateh iaitu Sultan kerajaan Islam Uthmaniyah yang memimpin tentera Islam dalam usia 20-an. Baginda diberi kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW bahawa Baginda boleh menawan kota itu semula dan memimpinnya.

Setelah kota itu ditawan orang Islam, mereka menukar namanya kepada Istanbul dan gereja Es Sophia (Aya Sophia)yang besar itu berhasil ditawan oleh orang Islam. Patung-patung yang dibina di dalam dan persekitarannya di buang serta ditukar menjadi masjid yang agung hingga ke hari ini. Sehingga sekarang masjid itu dikenali dengan Masjid al-Fateh atau Masjid Es Sophia tetapi sayangnya apabila Mustafa Kamal Ataturk berkuasa di Turki, dia telah menjadikan masjid itu sebagai muzium. Tetapi alhamdulillah setelah orang Islam kembali sedar, muzium itu ditukar semula kepada masjid.

Berdasarkan kepada ayat yang ditafsirkan ini dan berdasarkan kepada riwayat Abu Ayub al-Ansari, orang Islam boleh menunjukkan keberanian sehingga ke peringkat mati menentang musuh yang lebih ramai jika sekiranya tindakan itu memberi semangat kepada tentera-tentera Islam yang lain.

Memang berlaku di kalangan orang Islam apabila hatinya terlalu kuat hubungannya dengan Allah Taala, di hadapan matanya hanyalah balasan baik daripada Allah dan janji-Nya. Apabila berlakunya hubungan langit dan bumi yang terlalu erat dan tidak ada pemisahan lagi, maka seseorang itu tidak akan takut lagi kepada mati.

Kesimpulannya, mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ini ialah ditujukan kepada orang yang tidak berjihad dan tidak memberi sumbangan harta benda serta jiwa raganya untuk meninggikan agama Allah.

http://blog.tarbawi.my

Treler Jelajah Negara Berkebajikan dilancar esok

Muhammad Faizal, 20 Feb 2013



KUALA LUMPUR: PAS akan memulakan Program Jelajah Negara Berkebajikan mulai esok apabila treler yang digunakan bagi program tersebut telah siap sepenuhnya.

Penyerahan jentera Jelajah Negara Berkebajikan itu akan dilakukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS, jam 1 petang esok.

Treler berkenaan akan singgah berhampiran plaza tol Jelapang, Perak kira-kira jam 5.00 petang sebelum meneruskan perjalanan ke Kedah.

PAS melalui progam Jelajah Negara Berkebajikan akan memulakan program sulung, hi-tea di Kubur Panjang, Pendang, Kedah pada 22 Februari, bermula jam 4 petang bersama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan bekas pelakon Abby Abadi.

Selepas itu treler tersebut meneruskan perjalanan ke Alor Setar bagi program Sambutan Tahun Baru Cina bersama Presiden PAS, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak dan barisan Exco Kerajaan Kedah pada jam 9 hingga 12 malam.

Manakala pada 23 Februari treler berkenaan akan menjelajah kesemua Dun yang berada dalam kawasan Alor Setar, Kuala Kedah, Jerai dan Sik sebelum program ceramah perdana di pekan Pendang jam 9 hingga 12 malam bersama Timbalan Presiden PAS, aktivis sosial, Hishamuddin Rais dan artis jemputan, Ito dan Nik Jidan.

Treler Jelajah Negara Berkebajikan itu memerlukan kurang 30 minit proses pemasangan bagi menjadikannya lengkap untuk pentas ceramah akan kembali ke Kuala Lumpur pada 24 Februari (Ahad) dan diserahkan kepada Jabatan Pilihraya PAS Pusat (JPP) untuk program jelajah seterusnya.

S'gor tawar RM9.65 bilion ambil alih pengurusan air

Harakahdaily, 20 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 billion bagi memulakan proses pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air di negeri itu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, nilai tawaran itu telah diputuskan dalam mesyuarat exco hari ini dan surat tawaran kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Sd Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash) akan dikeluarkan secara rasmi oleh KDEB petang ini.

"Kerajaan Negeri juga berpandangan tawaran tinggi yang kita berikan ini adalah untuk menyelesaikan masalah penswastaan air yang ternyata gagal memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat dan berharap semua pengusaha air temasuk Tan Sri Rozali Ismail tidak memprejudiskan usaha ini.

"Kita juga yakin tawaran ini tidak akan merugikan syarikat-syarikat berkenaan kerana jumlah ini merupakan pulangan 12% setahun terhadap ekuiti – yang mereka miliki berbanding dengan pulangan lazim bagi industri air iaitu hanya 6%. Tambahan pula segala liabiliti akan juga diambil alih oleh KDEB menerusi Special Purpose Vehicle," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pengambilalihan ini adalah di antara usaha untuk mengembalikan hak air kepada rakyat Selangor. Kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk memimpin negeri ini akan berhak menguruskan industri air.

Hasil daripada pengambilalihan ini ujarnya akan memberi kesan penting terhadap kehidupan rakyat di mana rakyat akan terus menerima kemudahan air percuma 20 meter padu dan tidak akan terperangkap dengan kadar tarif air yang tidak adil serta membebankan.

Beliau juga percaya proses pengambilalihan ini akan berjalan lancar memandangkan tawaran ini adalah tawaran terbaik oleh rakyat Selangor demi mempertahankan hak air mereka.

"Rakyat juga akan mendapat pengurusan air yang telus dan cekap dan yang paling penting sekali pengambilalihan ini juga akan menamatkan era monopoli air oleh mana-mana individu atau syarikat," tambahnya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri telah pada 14hb Februari yang lalu menerima surat jawapan daripada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui yang bertarikh 6 Februari 2013.

Namun, jawapan menteri itu kata Abdul Khalid, tidak banyak membantu menyelesaikan masalah pengambilalihan ini kerana nampaknya menteri terlalu keliru dengan situasi yang kita hadapi ini.

Menteri tersebut ujarnya, gagal memahami peranan yang sepatutnya dilakukan selaku menteri yang diamanahkan menjaga industri air hingga memberikan beberapa fakta dan pandangan yang bercanggah di antara satu sama lain.

"Dalam surat beliau, menteri berkata Kerajaan Persekutuan tiada halangan untuk Kerajaan Negeri memulakan proses pengambilalihan.

"Walaubagaimanapun, kelmarin apabila ditanya oleh pihak media beliau dengan tegas mengatakan pengambilalihan yang mahu dilakukan Kerajaan Negeri tidak boleh dijalankan kecuali dengan kebenaran Kerajaan Persekutuan," jelas Abdul Khalid.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri sebenarnya sedia maklum bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa penentu selaku pemegang saham emas seperti yang termaktub dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 (Akta 655).

Justeru itu, sejak dari awal lagi pihaknya telah menggesa Kerajaan Persekutuan menggunakan kuasa tersebut demi kepentingan awam dengan membantu kerajaan negeri melakukan penstrukturan semula setelah kerajaan negeri membuat tawaran kepada syarikat konsesi.

"Kerajaan Negeri Selangor konsisten dengan pendirian bahawa hak air harus diserahkan kepada rakyat Selangor dan pengambilalihan ini akan menyelesaikan masalah pengurusan industri air secara menyeluruh.

"Kerajaan Negeri percaya rakyat Selangor dan Lembah Klang akan menyokong tindakan berani yang kita lakukan ini kerana antara faktor utama kerajaan hari ini dipilih adalah untuk melakukan reformasi pentadbiran termasuklah dalam industri air," katanya.

Pakatan Harapan Rakyat jadi tema PR

Harakahdaily, 20 Feb 2013


(Gambar konvensyen Pakatan Rakyat sebelum ini)

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat memilih tema "Pakatan Harapan Rakyat" bagi menghadapi pilihan raya umum yang ke 13 ini.

Tema ini akan mula digunakan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat ke 4 yang akan diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam Isnin 25 Februari ini.

Sempena dengan konvensyen ini, manisfesto Pakatan Rakyat akan dibentangkan dengan menggunakan tema tersebut.

Ia dijangka akan disertai oleh hampir seribu peserta yang terdiri dari pemimpin PAS, PKR dan DAP.

Konvensyen ini dijangka akan menjadi kemuncak kempen dan persefahaman antara pemimpin PAS, PKR dan DAP dalam menuju pilihan raya umum yang dijangka akan diadakan dalam kadar segera.

Berikut adalah jadual penuh konvensyen ini.


MASA
AKTIVITI
9.00 – 10.00 pagi
Pendaftaran peserta dan minum pagi
10.00 – 10.30 pagi
Peserta dan VIP mengambil tempat
10.30 – 10.45 pagi
Aluan pengerusi & nyanyian Negaraku
10.45 – 10.50 pagi
Bacaan doa
10.50 – 11.20 pagi
Amanat Ketua Jentera Pilihanraya
11.20 – 11.50 pagi
Pembentangan Manifesto Pakatan Rakyat PRU-13
11.50 – 11.55 pagi
Persembahan akustik
11.55 – 12.15 petang
Ucaptama Pimpinan DAP
12.15 – 12.35 petang
Ucaptama Pimpinan PAS
12.35 – 12.40 petang
Persembahan gimik
12.40 – 1.00 petang
Ucaptama Pimpinan PKR
1.00 – 1.05 petang
Bacaan ikrar
1.05 – 1.10 petang
Nyanyian Negaraku
1.10 – 1.15 petang
Bacaan doa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan