Jumaat, 15 Februari 2013

JANGAN BERI KEMENANGAN KEPADA PENYANGAK@KAKI LIPAT DAN PENYAMUN TARBUS

Deepak: Surat terbuka buat Tun Mahathir

Deepak J Tekwani, 15 Feb 2013
Tun,

Saya merujuk kepada kenyataan Tun yang juga merupakan nasihat kepada DS Najib & DS Rosmah iaitu “Abaikan Deepak”, dan juga saya tertarik dengan nasihat Tun agar saya tidak menggunakan saluran politik sebaliknya terus ke mahkamah untuk menuntut hak saya.

Tun,

Untuk makluman Tun, semenjak 2 tahun lepas iaitu dari tahun 2010, itulah yang telah saya lakukan di mana keputusan mahkamah telahpun memihak kepada saya.
Walaubagaimanapun, pentadbiran Najib telah menidakkan keputusan mahkamah ini dan segala bukti yang dikemukakan di mahkamah yang mempunyai perkaitan dengan DS Rosmah telah dinafikan kewujudannya atau sememangnya jabatan kerajaan tidak bercadang untuk menjawab pertuduhan mahkamah, yang dengan ini, saya memerlukan nasihat daripada Tun.

Apakah tindakan Tun sendiri akan lakukan jika Tun berada di tempat saya? Berlatarbelakangkan kami berdua juga pernah dituduh sebagai ”orang pakistan” namun kami sama sama ”anak Malaysia” yang berhati nasionalis, saya pasti apa yang saya tulis di dalam surat ini tidak banyak berbeza dengan apa yang Tun akan lakukan jika Tun berada di tempat yang sama atau berdasarkan pada apa yang pernah berlaku, Tun sendiri pernah menulis ”Surat Sejarah 17 Jun 1969” yang juga merupakan surat terbuka kepada Tunku Abdul Rahman.

Tun,

Saya telah diserbu oleh pihak Bank Negara Malaysia pada tahun 2010 kerana pertukaran matawang asing melalui pengurup wang dengan jumlah yang tinggi di dalam Dollar Singapura dan US. Siasatan telah berlangsung selama enam minggu dan saya telah dedahkan bahawa kesemua wang tersebut telah diserahkan kepada DS Najib dan DS Rosmah sebagai bayaran untuk berbagai tawaran di mana saya bertindak sebagai saluran mereka untuk bayaran Bangunan Angkasa Raya, Tanah Bukit Raja  dan Glomac Tower (kini dikenali sebagai Wisma Prestige). Perkara ini walaubagaimanapun terhenti begitu sahaja.

Saya juga diminta oleh pihak SPRM untuk membantu siasatan bagi jualan sebuah bangunan di KLCC kepada syarikat perbankan Islam antarabangsa, di mana kami telah mengemukakan bukti bayaran melalui slip, kenyataan video dan testimonial bertulis di mana saya telah bertindak sebagai saluran bagi DS Najib dan DS Rosmah, dan wang telah diserahkan ke tangan mereka dalam berbagai bentuk dan suasana dalam tempoh dua (2) tahun, Pengarah Kanan SPRM yang mengetuai penyiasatan itu ialah Datuk Jamidan, yang juga terlibat dalam kes Sime Darby.

Mengapa setelah begitu banyak bukti yang dikemukakan secara terang-terangan dan mengikut saluran, sehingga kini masih tiada siasatan yang dibuat terhadap DS Rosmah, DS Najib or Datuk Nazim? Adakah keadaan ini melibatkan “dakwaan untuk individu terpilih” atau siasatan di peringkat yang berbeza untuk orang yang berlainan taraf? Macam mana lagi Tun hendak saya buat untuk mendapatkan keadilan? Kini mari kita berbicara tentang pengalaman saya di mahkamah pula.

Tun,

Saya telah membeli 200 ekar bidang tanah daripada Raja Ropiah pada tahun 2007, kini beliau adalah Ketua Wanita Umno Selangor dan Ketua Wanita BN. Kami telah membayarnya secara tunai sebanyak RM13,000,000.00 dan bond tanah (Waranti Bank) sebanyak RM72,500,000.00 telah dikeluarkan bagi tujuan bayaran. Selepas menerima wang tersebut, Raja Ropiah secara sengaja telah melewatkan pengeluaran geran tanah buat kami dengan cara mengabaikan tanggungjawabnya untuk menyerahkan geran itu dan sebaliknya telah membuat janji dengan CBT untuk menjual tanah tersebut kepada syarikat lain dengan harga yang lebih tinggi dan juga telah mengumpul sejumlah wang tunai hampir kepada RM90,000,000.00 dan Waranti Bank daripada mereka.

Ini juga terjadi ketika bon tanah kami masih sah digunakan dan meminta sejumlah RM13,000,000.00 daripada kami dalam bentuk tunai. Kami juga telah membayar secara tertutup di mahkamah terbuka sebanyak RM8,000,000.00 kepada keluarga DS Najib. Saya telah membuat laporan polis dan sehingga kini masih tiada tindakan terhadap Raja Ropiah dan keluarga D. Najib.

Sebaliknya saya perlu melalui pengalaman memeritkan dan menerima notis disita daripada Bank yang bergelar “16 D”, yang tidak lain tidak bukan daripada firma guaman milik adik DS Najib, Datuk Johari Razak, Shearn Delamore, tepat 24 jam selepas sidang media memaklumkan rasuah dan tindakan tidak bermoral pasangan ini. Tun, jika tidak keberatan, harap dapat maklum pada saya, bank manakah yang membuat sitaan tanpa melalui peringkat undang-undang yang betul?

Sitaan mereka berjumlah RM30,000,000.00 dan secara kebetulan Boustead Holding tiba-tiba muncul hendak membeli syarikat kami yang memiliki tanah sejumlah 200 ekar di atas kertas ini, di atas nama Asta Canggih Sdn Bhd dengan jumlah jualan RM30,000,000.00!! Sangat ajaib bukan?? Yang lebih menariknya, syarikat Boustead juga telah membayar pendahuluan sebelum menandatangani perjanjian pembelian, dengan syarat kami menarik-balik kes dari mahkamah serta-merta, memandangkan tarikh untuk kes dibaca dalam mahkamah terbuka adalah dalam minggu yang sama. Sekarang Tun, tolong nasihatkan saya, apakah yang akan Tun sendiri lakukan dalam situasi begini? Apa yang menarik sekali, Raja Ropiah turut dibayar sebanyak RM29,000,000.00 sebagai ’hukuman’ dia untuk CBT.

Tun,

Kami telah menjual sebuah bangunan kepada sebuah badan bank Islam antarabangsa pada tahun 2008 dan mereka gagal untuk membayar kepada kami pada tahun 2010 apabila pemegang saham yang baru menyertai mereka. Kini kami telah memenangi kes ini di mahkamah melalui pengadilan pada 7 November 2012 dan Mahkamah mendapati Bank Islam Antarabangsa:-

a) menggunakan tindakan yang melanggar undang-undang untuk membuat konspirasi terhadap kami secara sengaja

b) melanggar perjanjian Surat Pengambilalihan yang dikeluarkan terhadap kami
c) terlibat dalam pengeluaran dan pelepasan surat salah laku untuk memusnahkan kami dan perniagaan kami

Bank tersebut juga telah didedahkan di mahkamah terbuka bahawa:


i)    telah menipu apabila bertindak sebagai pendeposit dengan membeli asset menggunakan syarikat bersama di mana mereka mengakui mempunyai hak milik sebanyak 19% padahal sebenarnya ia adalah milik mereka 100%, melalui Deklarasi Pengakuan Amanah, di mana mereka kemudiannya dipaksa mengaku di mahkamah terbuka dengan kemunculan Deklarasi Pengakuan Amanah tersebut
ii)    telah menipu berbagai organisasi seperti Bank Negara Malaysia, SC, FIC dan juga ROC dengan menggunakan nama-nama pemegang saham Malaysia untuk mengelak deklarasi pemilikan asing dalam mendapatkan kelulusan
iii)    menipu Bank Negara Malaysia, dengan menunjukkan pinjaman melebihi modal berbayar pada ketika yang sama sebagai pinjaman pihak ketiga Syarikat di mana pada sebenarnya ia adalah pinjaman untuk anak syarikatnya sendiri.

Tun,

Kami telah menulis kepada Bank Negara Malaysia untuk mengambil tindakan yang dirasakan patut buat Bank Islam Antarabangsa ini mengikut undang-undang perbankan:-

a)    Tukar CEO serta-merta
b)    Hadkan atau menahan lessen bank untuk mengelak bank daripada menerima pendeposit
c)    Pihak Bank perlu membuat pengumuman mengenai konspirasi ini dan memberitahu kepada pendeposit dan pemegang sahamnya di Malaysia dan Timur Tengah di mana ia adalah sebuah syarikat yang disenarai di Bursa Saham dan ditadbir oleh Badan Amanah.

Tun,

Saya telah banyak kali menulis surat buat Tan Sri Zeti dan Ahli Lembaga Bank Negara Malaysia sehingga kini tetapi masih belum dibalas, mengapa? Kerana bank Negara maklum bahawa DS Rosmah dan D Nazim terlibat dalam penjualan bangunan itu? Mengapa? Kerana surat dan kenyataan video kami kepada SPRM pada tahun 2011 telah membuktikan bahawa kedua mereka terlibat di dalam transkrip termasuk bukti-bukti bayaran yang telah dibuat?

Oleh itu Tun, mempunyai institusi keadilan yang suci seperti Mahkamah di Malaysia ini tidak mencukupi jika institusi Bank Negara Malaysia turut mendendangkan irama DS Rosmah dan tidak lagi lagu ‘I did it my way’.

Izinkan saya bertanya kepada Tun, adakah Tun mahu melihat Barisan Nasional dan Malaysia ini dirosakkan oleh pasangan rasuah yang tidak bermaruah ini? Saya inginkan pandangan Tun, apakah yang saya dapat jika saya ke mahkamah dan memenangi kes ini? Kesemua institusi di Negara ini adalah di bawah kawalan pasangan Bonnie & Clyde ini. Ke mana kami pergi selepas ini? Ke Mahkamah Antarabangsa? Media? Atau pembangkang? Harap Tun dapat nasihatkan saya dengan kebijaksaan yang Tun miliki itu kerana saya sendiri sudah jijik dengan apa yang berlaku di Malaysia sejak 11 tahun yang lagi di dalam kerajaan ini.

Saya sangat sedih dan kecewa dengan kenyataan media Tun yang meminta agar saya tidak dipedulikan. Bagaimana untuk tidak mempedulikan saya jika sebenarnya saya kini sedang mempertahankan maruah dan integriti Negara? Mungkin Tun telah mendengar di pihak yang salah jika mereka mengatakan saya bekerja dengan pihak pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan. Tun, saya adalah seorang negarawan, saya tidak akan menjatuhkan maruah Negara saya, TIDAK.

Tun,

Tun sendiri pernah berkata, Najib sangat lemah, di mana ia merupakan satu reality. Kaum Cina tahu rasuah ini tidak akan berakhir dan kaum Melayu juga tahu, hanya mereka yang kaya sahaja akan lebih kaya, manakala yang lain akan sentiasa bergantung kepada biasiswa, KR1M, BR1M dab DR1M, di mana kami semua menjadi seperti pengemis atau hamba, dan menyebabkan jumlah hutang kita mencecah kepada RM1 trillion pada 2014. Semua orang juga tahu bahawa PM yang sebenar ialah Rosmah dan Najib hanyalah seorang PM Santa Claus yang gembira dengan tugasnya.

Apa yang saya risaukan bukan sahaja Negara ini akan mogok ketika atau selepas pilihanraya tetapi juga pihak tentera yang akan bertindak mengawal semua keributan akibat daripada pilihanraya yang kotor. Dengan mengambil risiko sendiri, saya meminta Tun M mencadangkan kepada Najib agar beliau meletakkan jawatan dan membiarkan timbalannya mengambil alih BN mengetuai pilihan raya akan datang di mana perlu berlaku dalam tempoh 60 hari akan datang.

Tun,

Saya harap surat ini diterima Tun dengan penuh ikhlas tidak kira bagaimana pahitnya kebenaran itu, ia tetap yang benar dan sentiasa mendahului setiap penipuan dan penafian daripada perampas dan pembunuh.

Ikhlas,

DEEPAK J TEKWANI

112 lokasi di Selangor nikmati WiFi percuma

Harakahdaily, 15 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Masyarakat sekitar Bandar Baru Salak Tinggi kini boleh mengakses internet secara percuma selepas Kerajaan Negeri memasang internet jalur lebar (WiFi) percuma di sini.

WiFi ini dipasang di Pusat Penjaja Taman Seroja di sini dan telah dilancarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam.

Program yang dinamakan WiFi Selangorku ini adalah di bawah peruntukan Geran Selangorku manakala Bandar Baru Salak Tinggi adalah antara 112 lokasi WiFi percuma yang dirancang dipasang seluruh Selangor.

Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, sebanyak RM2.74 juta diperuntukkan untuk projek ini dengan kerjasama syarikat-syarikat swasta yang diadakan melalui tender terbuka.

“Pelbagai projek diperuntukan melalui Geran Selangorku seperti projek infrastruktur jalan, gelanggang futsal serta penyediaan WiFi percuma ini supaya kita mahu seluruh rakyat Selangor dapat menikmati kemudahan teknologi maklumat,” katanya dipetik Selangorku.

Tambah beliau, semua kawasan yang dikenalpasti sebagai ‘HotSpot’ WiFi Selangorku akan siap dipasang akhir Mac ini.

“Kawasan luar bandar akan menjadi tumpuan pemasangan WiFi ini yang juga digunakan untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat bagi mendapatkan maklumat mengenai Kerajaan Negeri yang boleh didapati melalui portal TVSelangor,” katanya.

Sementara itu, WiFi Selangorku ini berkelajuan 2 Megahertz(MHz) dan liputan minima boleh dicapai berkeluasan 200 meter serta had capaian selama 30 minit bagi setiap 100 orang pengguna pada satu-satu masa.

Radio Suara Rakyat dapat sokongan kerajaan S'gor

Harakahdaily, 15 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Selepas berkerjasama dengan Harakahdaily, radio internet Suara Rakyat.fm kini melebarkan sayapnya ke Selangor pula dengan menjalinkan kerajasama dengan kerajaan negeri.

Sebagai tanda sokongan, satu majlis pelancaran radio itu untuk peringkat Selangor akan diadakan pada jam 8.00 pagi Ahad ini bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Exco kerajaan negeri Dr Ahmad Yunus Hairi selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Melayu, Belia dan Sukan dijangka menyempurnakan majlis pelancaran tersebut.

Sementara itu, radio Suara Rakyat juga kini mula beroperasi dari Selangor iaitu dari konti TV Impian di Shah Alam setiap hari dari jam 11 pagi hingga 1 petang.

Di samping memuatkan berita-berita berhubung program kerajaan negeri, ianya juga turut mewarwarkan aktiviti yang akan berlangsung di negeri itu.

Sesuai dengan namanya Suara Rakyat, kandungan radio ini lebih cenderung membawa laporan pro rakyat.

Radio ini boleh di akses melalui suararakyatfm.blogspot.com.

Keinginan untuk berubah sudah lama terpendam di hati rakyat

Aspan Alias, 15 Feb 2013


Ketidakpuasan hati terhadap UMNO memimpin negara sebenarnya sudah lama dirasakan oleh rakyat khususnya bagi mereka yang boleh berfikir dan menilai sesuatu isu itu dengan baik, telus, ikhlas dan rasional. Hanya mereka tidak perasan yang ketidakpuasan mereka itu sudah bersemi di dalam diri mereka sebegitu lama.

‘Sub conscience’ mereka yang inginkan perubahan itu sudah berada di dalam diri mereka sebegitu lama. Hanya setelah mereka nampak ketidaktelusan dan elemen-elemen negatif sudah menjadi sebegitu jelas berlaku maka  barulah mereka menzahirkannya melalui parti-parti politik dan NGO-NGO dan berbagai-bagai saluran yang lain. Mereka kini menzahirkan rasa tidak puas hati itu dengan terbuka, lebih-lebih lagi zaman komunikasi yang canggih yang menjadi cara hidup rakyat di zaman kemajuan ini.

Di dalam sesebuah negara demokrasi elemen terpenting yang penyaluran ‘informasi’ yang aktif dan terbuka dan elemen ini sudah menjadi begitu maju sehinggakan kerajaan yang selama ini menekan dan menutup segala ‘avenue’ untuk rakyat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku itu tidak lagi berdaya untuk membendungnya.

Di negara ini, jika penyaluran maklumat itu berlaku dengan baik dua puluh tahun dahulu gerakan perubahan yang sekarang ini sepatutnya berlaku dalam tempoh itu untuk memberikan semangat melakukan gerakan perubahan itu. Semasa itu orang ramai sudah merasakan keadaan ini tetapi tidak terzahir kerana tidak mempunyai saluran maklumat yang bebas, salah satu dari elemen penting di dalam sesebuah demokrasi itu.

Keadaan itu sudah berubah. Apa-apa maklumat pun dari serata pelosok dunia boleh diketahui oleh semua asalkan sahaja seseorang itu tekun dan tidak ketinggalan menerima dan membaca semua maklumat itu setiap waktu. Tidak banyak perkara buruk yang dilakukan oleh sesiapa dan semua pihak itu boleh disorokkan dengan mudah dan tidak juga mudah bagi sesiapa yang melakukan kebaikan itu dapat dilindungi dari pengetahuan umum.

Di negara kita perasaan gusar rakyat sudah begitu lama dirasakan tetapi seperti yang saya katakan tadi ia tidak terzahir dengan jelas dan perasaan itu terpendam di dalam jiwa rakyat sebegitu lama. Apabila timbul sahaja alasan dan sebab yang datang maka dengan sendirinya segala perasaan itu terluah dan selalunya ia akan menjadi isu siasah dan politik yang besar jika perasaan yang terpendam itu adalah perasaan yang terlalu menekan ramai rakyat jelata.

Perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan sudah mula dirasakan semasa kerajaan ini dipimpin oleh Dr Mahathir Mohammad apabila beliau telah mengubah segala-gala nilai pentadbiran dan politik yang menusuk perasaan banyak pihak. Beliau merasakan perkara itu tidak menjadi kudis kepada kerajaan dan parti pimpinannya kerana UMNO tidak pernah berusaha untuk merasakan denyut nadi dan jantung perasaan ramai. UMNO merasakan apa sahaja yang mereka lakukan itu akan di terima oleh rakyat dan tidak akan ada rakyat  menentang terhadap perlakuan kerajaan UMNO itu.

Waktu itu rakyat terpaksa melihat dan berdiam diri sahaja dengan tindakan kerajaan yang menswastakan keperluan asas seperti air, elektrik, kemudahan perjalanan dan perkhidmatan kenderaan awam dan berbagai-bagai lagi. Rakyat sudah merasakan keresahan melihat kerajaan memberikan keistimewaan kepada orang-orang dan individu tertentu untuk berniaga secara monopolistik. Sekarang gula diniagakan secara monopoli oleh Syed Mokhtar, misalnya. tepung juga mempunyai kepentingan Syed Mokhtar lagi.  Proton dan berbagai-bagai lagi peluang perniagaan secara monopoli itu di perolehi oleh orang kuat pemimpin besar negara.

Air yang merupakan keperluan yang paling asas untuk manusia dipeniagakan oleh nama besar dan kroni kepada parti kerajaan persekutuan dan mendapat gaji melebihi setengah juta ringgit sebulan sedangkan rakyat dibiarkan menjadi mangsa politik oleh pimpinan persekutuan. Tidak cukup ruang untuk menyenaraikan salah laku pimpinan sejak tiga dekad dahulu.

Apabila berlaku pertelingkahan di antara pemimpin dan memecahkan parti dan kesatuan di antara mereka selama ini maka wujud puak-puak yang melakukan penentangan terhadap kepimpinan kerajaan. Maka keadaan dan perasaan yang ada di ‘sub conscience’ mereka tadi mula terzahir dan terburai. Segala yang tersorok menjadi terbuka dan segala kerja hina yang selama ini terlindung sudah mula terbuka dan menjadi pengetahuan umum. Rakyat mula menilai semua pihak dan kita rakyat sudah pun hampir 'conclusive' persepsi mereka terhadap kewibawaan kerajaan pimpinan parti pemerintah selama ini.

Pendeknya tindakan pihak rakyat melakukan tentangan terhadap kerajaan pimpinan UMNO pada hari ini merupakan manifestasi sebenarnya dari rakyat. Mereka (rakyat) sudah begitu lama berfikir dan terasa diperdaya oleh kerajaan terhadap mereka yang selama ini telah memberikan sokongan begitu kuat terhadap kerajaan ini. Rakyat sudah begitu kecewa, kerana kebaikan dan kelembutan mereka selama ini diambil sebagai kelemahan oleh pihak pemerintah.  Kerajaan dan pimpinan terus-terusan melakukan segala kerja hina seperti rasuah yang keterlaluan tanpa had itu dan banyak lagi penindasan yang telah dilakukan secara sistematik itu. Jiwa dan pemikiran rakyat memberontak kerana dikecewakan oleh parti yang di berikan kepercayan secara total selama ini.

Kini keseluruhan rakyat terbabit dengan politik sama ada secara aktif atau pun pasif. Rakyat tidak sabar-sabar menunggu hari membuat pilihan itu. Rata-rata rakyat sama ada yang sudah dewasa atau pun yang muda-muda, tidak sabar menunggu bagi melunaskan tanggungjawab untuk menyertai kegiatan dan tindakan untuk perubahan itu. Satu lagi yang ada di ‘sub conscience’ rakyat ialah tentang cengkaman media perdana yang terlalu berat sebelah yang digunakan oleh parti pemerintah untuk menghina dan menistakan usaha rakyat untuk melakukan perubahan terhadap negara yang mereka sayangi ini.

Di mana-mana pun kita akan ditanya oleh sesiapa sahaja yang kita berjumpa, ‘bila pilihanraya?’ Sememangnya secara psikologinya, jika rakyat biasa menunggu dengan kurang kesabaran untuk mengundi itu, ia akan membawa perubahan yang drastik. Di mana-mana kita mendengar rakyat berkata, “Letih menunggu pilihanraya ini”. Ini sahaja sudah cukup untuk memberikan keputusan awalan pilihanraya itu.

Itulah sebabnya saya selalu berkata keputusan pilihanraya kali ini adalah ‘predictable’. Hanya hendak menunggu kenyataan dan keputusan rasminya sahaja.

Sudah menjadi bisikan biasa kita dengar di mana-mana, “Let’s change! It’s now or never!” kata mereka. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Ujian selepas kemenangan lebih berat

Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man, 15 Feb 2013
Sabda Baginda SAW yang bermaksud; "Tidak ada seorang Nabi yang diutuskan kepada suatu umat sebelumku, kecuali ia memiliki hawariyyun (pengikut-pengikut setia) dan para sahabat yang sentiasa mengikuti sunnahnya dan mentaati apa yang menjadi perintahnya. Kemudian, sesudah mereka akan muncul generasi (orang-orang) yang mengatakan apa-apa yang mereka tidak laksanakan dan mengerjakan apa-apa yang tidak diperintahkan. Maka, barangsiapa yang memerangi mereka dengan tangannya, ia adalah Mukmin. Barangsiapa yang memerangi mereka dengan lisannya, ia adalah Mukmin. Barangsiapa yang memerangi mereka dengan hatinya. Ia adalah seorang Mukmin. Setelah itu, tidak ada lagi iman meskipun hanya sebesar zarah."

Dalam usaha memperjuangan Islam ini, lazimnya kita akan dihadapkan dengan dua golongan manusia, golongan pertama ialah golongan yang bekerja memperjuangkannya, manakala golongan kedua pula adalah golongan yang hanya ingin melihat kemenangan. Golongan bekerja pula ada kriteria-kriteria yang berbeza, belum tentu semuanya bekerja semata-mata ikhlas kerana Allah Taala. Seterusnya yang ikhlas itu pula, belum tentu mereka mampu bertahan apabila diuji oleh Allah Taala.

Oleh itu, ujian (fitnah), cubaan dan dugaan menjadi tapisan Allah Taala kepada para pejuangnya. Allah menjadikan ujian dalam tarbiyah sebagai proses menapis antara golongan yang istiqamah, dengan golongan yang tergelincir dalam perjuangan Islam. Kita berdoa, semoga Allah tidak menguji kita perkara yang kita tidak mampu tempuhinya.

Dalam sejarah perjuangan Baginda SAW, banyak berlaku peristiwa besar yang menguji iman para Sahabat, ada yang thabat dan ada juga segelintirnya yang kecundang. Antara peristiwa tersebut adalah Isra' dan Mikraj, sebuah peristiwa yang berlaku setelah kewafatan orang-orang yang paling dikasihi Nabi, iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Abu Talib. Kesedihan yang bertimpa-timpa dialami oleh Nabi menyebabkan Allah memberikan kurniaan kepada Baginda satu peristiwa yang tidak boleh diterima oleh akal manusia, peristiwa yang dinamakan oleh-Nya Isra' wa Mikraj. Peristiwa inilah yang menyebabkan ramai pengikut Nabi mula meragui kebenaran yang disampaikan oleh Baginda. Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW bukan sekadar diuji untuk meyakinkan orang-orang yang tidak beriman, bahkan juga menghadapi kerenah mereka yang mengaku telah beriman kepadanya.

Begitupun, dalam kalangan para Sahabat, ada karakter yang begitu tekun meyakini apapun yang disampaikan oleh Nabi SAW. Beliau adalah Abu Bakar, pemuda yang paling rapat dan paling dikasihi Nabi Muhammad SAW Saidina Abu Bakar tampil membenarkan peristiwa Isra' Mikraj malah menyatakan, "Sesungguhnya aku telah membenarkan Baginda SAW terhadap apa yang lebih jauh dari ini. Aku membenarkan baginda terhadap berita dari langit yang baginda bawa." – Al Hakim di dalam Mustadraknya.

Teguhnya pendirian Abu Bakar tidak berbelah bahagi membenarkan semua yang keluar daripada mulut Nabi SAW. Abu Bakar mengenali Nabi Muhammad, sebagai insan yang tidak pernah berbohong selama hidupnya. Inilah ujian yang ditempuhi oleh Baginda, dan pada masa yang sama orang-orang yang beriman juga turut diuji untuk dilihat sejauh manakah keyakinan mereka, di antara mereka semakin bertambah imannya dan tidak kurang juga yang berpaling kembali kepada kekufuran.

Iktibar Daripada Perang Hunain

"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan jua di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu sekali-kali tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri."  (Surah at-Taubah : ayat 25)

Pada peristiwa perang Hunain, Allah telah merekodkan pengiktibaran kisah ini di dalam al-Quran. Perang Hunain berlaku pada tahun ke-8 hijrah, iaitu suatu saat bilangan tentera Islam menjadi semakin meningkat kepada 12,000 orang, 10,000 orang dari Madinah dan 2,000 orang yang baru memeluk Islam dari Makkah. Pasukan tentera Islam yang berjumlah 12,000 orang ini berdepan dengan satu kelompok kecil, lalu mereka kagum dengan jumlah mereka yang ramai. Masing-masing merasa yakin untuk capai kemenangan dengan jumlah mereka yang begitu ramai, ditambah pula pengalaman mereka sebelum ini. Sewaktu mereka keluar untuk menghadapi kelompok kecil tersebut, ada di kalangan Sahabat yang mengatakan dengan penuh rasa takjub, "Hari ini kita tidak mungkin akan dikalahkan dengan jumlah yang ramai".

Lalu pada pusingan pertama peperangan, umat Islam kalah apabila menghadapi serangan mengejut tentera-tentera musyrikin yang sedikit jumlahnya sehingga menyebabkan tentera-tentera Islam lari bertempiaran sekalipun dalam keadaan jumlah yang ramai. Keadaan yang berlaku menyebabkan Nabi mengumpulkan semula tentera-tentera Islam sambil berkata, "Sesungguhnya aku adalah Rasulullah, dan aku tidak berbohong...", seterusnya Nabi meminta mereka bersatu, dengan izin Allah, Dia memberikan kemenangan perang Hunain kepada umat Islam.

Kesilapan yang dilakukan oleh generasi terbaik umat Islam adalah renungan generasi kita hari ini. Perang Hunain ini adalah satu bentuk tarbiyah, ujian yang diberikan oleh Allah. Kerana sayangnya Allah kepada hamba-Nya, maka diberikan kekalahan pada peringkat awal dalam peperangan ini agar tidak timbul dalam kalangan umat Islam nanti mengatakan, "Kemenangan ini kerana bilangan kami yang ramai".
Inilah pengajaran yang ingin dikupas daripada Perang Hunain. Allah memberikan ujian kepada umat Islam adalah sebagai satu proses mencapai kemenangan. Dalam gerakan Islam, walaupun ada orang yang menganggap bahawa tarbiyah wajar terabai dengan sebab bebanan kerja-kerja dakwah yang besar, tanggungjawab parti yang semakin banyak, maka ketahuilah bahawa ujian dari Allah itu bukan sahaja berlaku waktu kita kalah. Tetapi ujian yang Allah berikan pada waktu kemenangan jauh bezanya dengan ujian yang Allah berikan pada waktu belum mencapai kemenangan.

Selepas kemenangan Hunain, Nabi Muhammad SAW mengumpulkan tentera-tentera Islam dan meminta segala harta ghanimah dikumpulkan walau sekecil gigi (gigi yang disalut emas) agar dapat diagih-agihkan secara adil. Lalu mereka menyerahkan segala harta tersebut sehingga menimbun longgokannya. Arahan Rasulullah SAW tersebut diulang sebanyak tiga kali oleh Abu Hurairah RA, namun di sana masih ada seorang tentera Islam yang tidak memberikan harta rampasan itu berbentuk segulung tali unta yang diikat pendek di pinggangnya.

Dia mengikat tali unta tersebut sehinggalah sampai di Madinah, lalu setiap kali dia melihat tali unta tersebut, teringatlah dia akan beban dosanya mengingkari arahan Rasulullah SAW. Lalu tali unta tersebut diberikan kepada Rasulullah, tetapi Rasulullah menolak pemberiannya, dan Rasulullah pun menegurnya; mengapa tidak diserahkan walaupun telah diulang arahan tersebut sebanyak tiga kali? Dengan nada kecewa Rasulullah mengarahkan pemuda tersebut supaya memberikannya di akhirat kelak.

Amanah Adalah Titipan Allah Kepada Manusia
Amanah adalah amanah. Amanah adalah barang yang paling berat diamanahkan untuk kita memikulnya. Allah pernah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan juga bukit-bukau tetapi mereka enggan menerimanya. Ketahuilah saudara, jawatan adalah amanah, perjuangan adalah amanah, memenangkan Islam adalah amanah, mempertahankan kemenangan Islam juga amanah, dan mendepani ujian selepas kemenangan suatu ujian amanah yang cukup besar.

Nabi Allah Sulaiman AS tatkala diuji dengan amanah dengan harta, Nabi Sulaiman lantas mengingatkan dirinya:

"Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata! Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah." (Surah an-Naml : ayat 40)


Begitulah halnya nikmat yang kita terima, semua itu adalah ujian yang tentunya untuk menguji kita sama ada termasuk dalam kalangan mereka yang bersyukur atau kufur kepada Allah Taala. Dan setelah diuji itu pula tujuannya bukan untuk dipuji, tetapi semata-mata mengharap redha Allah Taala yang memberikan kita ujian untuk memastikan siapakah dalam kalangannya yang paling baik amalannya, yakni ikhlas semata-mata kerana Allah.

"Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya." (Surah al-Kahfi : ayat 7)


Allah tidak menilai yang paling banyak amalannya, tetapi yang paling baik amalannya dalam kalangan mereka. Jika dikira paling banyak amalan, tentulah umat-umat terdahulu yang hidup ribuan tahun menjadi pilihan. Tetapi Allah mengkehendaki daripada kita siapa dalam kalangan mereka yang ikhlas, yang hatinya tidak palsu mengabdikan kepada-Nya. Umat Nabi Allah Syuaib AS, mereka hidup lebih 3,000 tahun, berbeza dengan umur umat Nabi Muhammad SAW, sekitar 50-60 tahun. Maka umur kita inilah tempoh-tempoh yang bakal menerima ujian dari Allah untuk meneliti siapakah antara kita yang paling baik kualiti amalannya. Oleh itu, orang yang berada dalam gerakan Islam, adalah orang yang bukan sekadar banyak amalan tetapi mesti sentiasa meningkatkan mutu amalannya.

Inilah juga nasihat Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang kerap disampaikan kepada tentera-tentera Islam, kepada gabenor-gabenornya, wakil-wakil perjuangan Islam. Beliau tidak pernah lupa mengingatkan tiga perkara:

Nasihat melakukan perkara dengan ikhlas dalam perjuangan.
Bersungguh-sungguh dan sabar dalam perjuangan.
Tingkatkan hubungan dengan Allah Taala.


Apabila Orang Paling Lama Berjuang Tidak Dapat Habuan

Dalam perang Hunain itu juga, dikisahkan 10,000 tentera Islam dari Madinah tidak mendapat sebarang sisa harta ghanimah dalam perang tersebut. Kebanyakan harta tersebut diagihkan seolah-olah Baginda lebih mengutamakan orang Islam di Makkah. Tindakan Baginda SAW menyebabkan ramai penduduk Madinah tidak puas hati, tetapi hal itu tidak disampaikan kepada Nabi. Mereka merasakan ketidakadilan dalam agihan harta rampasan perang tersebut, kerana habis harta-harta tersebut diagihkan kepada penduduk Islam di Makkah yang baru setahun jagung memeluk Islam. Akhirnya menyebabkan orang-orang Madinah merungut di belakang Baginda SAW, dan Baginda menyedari rungutan tersebut. Lalu Baginda memanggil ketua di kalangan Ansar, Saad bin Ubadah dan bertanya, "Adakah orang-orang Ansar tidak berpuas hati dengan keputusan agihan ini?".

"Benar wahai Rasulullah, mereka tidak puas hati. Mereka berperang bersama-sama penduduk Makkah, bahkan mereka juga berada di barisan hadapan dalam peperangan ini. Orang-orang Makkah baru masuk Islam, semuanya berlindung di belakang. Segala luka dan cedera, orang Madinah yang menghadapinya dahulu wahai Rasulullah. Kalau mati, orang Madinah yang mati dahulu. Segala ancaman musuh orang Madinah yang menghadapainya dahulu. Tiba-tiba kemenangan ini tidak diagihkan secara bersama, segalanya diberikan kepada orang Makkah. Memanglah hal ini menimbulkan tidak puas hati".


Kemudian Rasulullah SAW bertanya, "Kamu pula bagaimana wahai Saad?"

"Tidak ada jalan lain kecuali aku turut bersama mereka juga, mereka itu semua kaumku ya RasuluLlah,"
jawab Saad bin Ubadah.

Para ulama menafsirkan peristiwa ini bahawa, tidak semua arahan pimpinan difahami oleh pengikut-pengikutnya sendiri. Ada waktunya kita perlu beritahu makna strategi tersebut, tetapi ada juga setiap keputusan itu tidak semuanya perlu diterangkan. Pernah Rasulullah SAW memberikan arahan kepada Para Sahabat, "Bersiap untuk perang...", tetapi arahan tersebut tidak dijelaskan secara nyata oleh Baginda SAW.

Maka kecelaruan tentera-tentera Madinah mengenai tujuan agihan Baginda terhadap harta rampasan Hunain begitu, menyebabkan Baginda membuat keputusan untuk mengumpulkan mereka semua untuk menerangkan makna sebenarnya.

Baginda berucap di hadapan kaum Ansar, "Demi Allah, jika kamu mahu kamu boleh katakan bahawa kamu wahai Muhammad telah datang kepada kami ketika kamu didustakan kaummu sendiri. Ketika engkau dalam keadaan lemah, kamilah yang menolongmu. Ketika kamu diusir, kamilah yang memberikanmu tempat. Ketika kamu dalam keadaan papa, kamilah yang menampung keperluanmu."

Baginda tidak menafikan bahawa orang-orang Ansar lebih berjasa jika dibandingkan dengan orang-orang Quraisy itu yang baharu memeluk Islam. Kemudian Baginda menjelaskan lagi kepada kaum Ansar, "Sesungguhnya aku telah mendengar rungutan-rungutan kamu. Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, jika bukan kerana hijrah, tentu aku termasuk golongan Ansar. Jika para sahabat menempuh suatu jalan di celah gunung dan orang-orang Ansar menempuh suatu celah yang lain, tentu aku akan memilih celah yang dilalui oleh orang Ansar. Ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak Ansar, dan cucu orang-orang Ansar."
"Apakah di dalam hati kamu wahai kaum Ansar masih terdetik hasrat kepada dunia? Sedangkan dunia itu aku pergunakan untuk mengambil hati segolongan orang agar memeluk Islam. Sementara terhadap keislaman kamu, aku tidak lagi meragukannya. Wahai kaum Ansar, apakah di hati kalian tidak gembira jika mereka membawa pulang kambing dan unta, sedangkan kamu pula pulang bersama Rasulullah?"

Setelah mendengar keterangan dari Baginda SAW, masing-masing menitiskan air mata hingga janggut mereka basah sambil berkata, "Kami redha dan patuh dengan segala tindakanmu wahai pesuruh Allah".

Inilah antara tarbiyah selepas kemenangan yang diberi oleh Allah Taala kepada umat Islam.

Ujian Selepas Menang Adalah Ketaatan
Allah pasti menguji kita walaupun keputusan yang kita peroleh itu kemenangan, dan ujian selepas kemenangan dicapai adalah ketaatan. Dalam gerakan Islam, wala' adalah kewajiban. Sebahagian orang memperlekehkan perihal wala' ini. Ada juga yang tidak tahu membezakan wala' dan tahaluf. Kita bertahaluf siasi bersama rakan-rakan dalam pakatan rakyat. Dalam hubungan ini kita saling hormat-menghormati menurut persepakatan yang sama-sama kita persetujui. Tetapi dalam disiplin berjemaah, kita ada wala' dengan kepimpinan yang mesti dipelihara melebihi kesepakatan dengan pihak lain. Persoalan wala' inilah yang sering akan diuji oleh Allah Taala kepada gerakan Islam.

Dalam sebuah hadis yang cukup mahsyur, Para Sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, "Wahai Baginda, siapakah orang yang paling berat bala ujian Allah?". Jawab Baginda SAW, "Para Nabi adalah orang yang paling berat ujiannya, lalu orang yang terbaik setelah mereka dan seterusnya (yang menurut langkah perjuangan mereka)."
Maka, yang paling berat ujiannya selepas Nabi dan Rasul ialah Para Khulafa', yakni para pengganti yang akan meneruskan perjuangan Islam dan memastikan kedaulatannya. Oleh itu, dalam konteks perjuangan ini sangat mustahak untuk memperkukuhkan hubungan kita dengan 'jemaah' kerana tiada lagi wahyu yang akan diturunkan selepas kewafatan Rasulullah SAW. Dalam perjuangan Islam tiada istilah bertindak tanpa arahan, mengutamakan maslahah peribadi dan melanggar persepakatan syura. Apabila kepimpinan buat satu keputusan, dibincang dan diperbahaskan, diterima dan ditolak, ada yang tidak puas hati kerana tidak faham apakah matlamat, pendekatan, strategi dan seumpamanya. Maka dalam soal ini, PAS sangat bergantung dengan kekuatan tarbiyah dan wala' dalam mengharungi jatuh dan bangun perjuangan ini.

Oleh sebab itu, apabila kita diuji dengan amanah kepimpinan, kita khuatir apabila kita mengabaikan lapangan tarbiyah. Hal ini kerana, dalam kepimpinan Allah akan uji kita dengan kebendaan. Saidina Ali berkata, "Wahai dunia, jika engkau mahu menipu maka engkau tipulah orang lain, jangan aku yang engkau tipu". Tetapi Allah menetapkan dunia ini warisan untuk hamba-Nya yang soleh bukan orang fasik. Orang yang soleh tidak meminta dunia, tetapi mengurus dunia untuk menegakkan Islam dan membantu kemenangan Islam, memperkukuhkan hubungan sesama umat mentauhidkan Allah Taala. Begitupun melaksanakan amanah ini bukan mudah.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditanya oleh seorang wartawan dari Brunei, "Apakah ujian yang paling besar ketika mentadbir negeri Kelatan?". Jawab Tuan Guru, "Ujian yang paling berat bukanlah serangan dan ancaman dari Umno, tetapi yang paling besar ialah ujian dunia itu sendiri, dunia yang menguji".
Perjuangan menegakkan Islam mementingkan hubungan (muraqabah) kita dengan Allah kerana cabaran-cabaran bentuk ini adalah berterusan. Dalam satu hadis daif berbunyi, "Kita kembali dari jihad kecil kepada jihad yang lebih besar", jihad besar itu ialah jihad menentang hawa nafsu, inilah jihad yang berterusan.

Moshe Dayan merupakan menteri pertahanan Israel Ke-4 yang matanya sebelah kirinya ditutup, dan pernah timbul cakap-cakap orang yang mengatakan bahawa inilah dajjal yang keluar pada akhir zaman. Diceritakan Moshe Dayan pernah mengikuti sebuah persidangan rahsia Zionis Antarabangsa bagi memerangi umat Islam dan merampas tanah-tanah umat Islam di Palestin. Maklumat ini amat sulit, tetapi Moshe Dayan berani mendedahkannya di khalayak umum sehingga mengejutkan pegawai-pegawainya.

Perbuatan Moshe Dayan ini ditegur, "Mengapa Tuan dedahkan rahsia kita? Nanti umat Islam tahu, mereka akan susun strategi untuk mengalahkan kita!"

Lalu Moshe Dayan berkata, "Kamu jangan risau perihal umat Islam, umat Islam adalah umat yang malas membaca. Jika mereka membaca pun mereka orang yang tidak faham apa yang mereka baca. Dan kalau mereka faham pun, mereka tidak akan buat apa yang mereka baca. Kalau mereka buat pun, mereka tidak sungguh-sungguh dalam melaksanakannya. Kalau mereka bersungguh-sungguhpun apa yang dilakukan itu hanyalah mengharapkan keredhaan manusia (tidak ikhlas)."

Moshe Dayan tidak risau dengan realiti sikap yang menimpa umat Islam, mereka umat yang malas membaca. Kajian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), purata orang Melayu membaca dua muka surat setahun. Oleh itu, Dewan Pemuda PAS buat skrip yang bergerak dalam video "Gua Ikut Enta". Namun, fenomena umat Islam yang juga diketahui oleh musuh-musuh Islam bahawa umat Islam juga tidak bersungguh bila melaksanakan sesuatu perkara. Sedangkan Nabi Muhammad menyuruh kita melaksanakan sesuatu perkara dengan 'itqan' - penuh ketekunan. Dan masalah lain, jika mereka bersungguhpun belum tentu keredhaan Allah yang menjadi taruhan.

Mengharapkan tiada kejutan lagi selepas PRU13

Ahmad Lutfi Othman, 15 Feb 2013
Tidak sampai sebulan lagi kita akan menyambut ulangtahun kelima tsunami politik, Mac 2008. Sejak merdeka rakyat negara ini tidak berkesempatan merasai tempoh Parlimen yang begitu lama seperti hari ini.

Lim Kit Siang menyifatkan Najib Razak mencipta rekod kerana menjadi Perdana Menteri paling lama tanpa mandat yang diperolehinya sendiri, lebih lama daripada empat PM sebelumnya, sebelum mereka mendapatkan mandat sendiri selepas mengambil alih tampuk pemerintahan.

Najib kekal di singgahsana kuasa disebabkan kemenangan Abdullah Ahmad Badawi -- walaupun tipis dalam PRU2008 -- dan kesediaan tokoh yang pernah dikenali sebagai "Mr Clean" itu untuk mengundur diri selepas diasak teruk oleh rakan-rakannya sendiri dalam Umno.

Tiba-tiba saya terkenang tajuk muka depan Harakah keluaran pertama tahun baru, "2008 TAHUN TUKAR KERAJAAN", lebih kurang dua bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12

Saya bukannya peramal atau nujum politik, dan rasanya tiada siapa menduga akan berlaku peralihan kuasa di peringkat persekutuan dalam pilihan raya itu, memandangkan rekod Abdullah  dalam pilihan raya sebelumnya, 2004, begitu menakjubkan. BN meraih 64 peratus undi popular dan menguasai lebih 90 peratus kerusi Parlimen.

Saya menerima teguran, termasuk dari pimpinan parti, kerana memilih tajuk "seberani" itu. Ada yang menyifatkannya sebagai kesilapan strategi kerana boleh mengundang rasa cuak pengundi untuk memilih PAS.

"Tahap ini kita perlu pamerkan wibawa sebagai pembangkang yang kuat dan berkesan dulu, jangan tonjolkan seolah-olah PAS mahu mengambil alih kerajaan," kata seorang darinya. "Orang Melayu tidak bersedia untuk berubah secara drastik," tambah pemimpin PAS yang agak kanan kedudukannya dalam parti itu.


Mungkin tidak ramai yang gemar saya mengulangi kisah lima tahun lalu. Sekarang sudah berubah. Pemimpin Umno pula yang "bimbang dan ngeri" dengan "perubahan drastik" yang bakal berlaku.

Beberapa minggu lalu, saya cuba mendapatkan pandangan rakan-rakan terhadap begitu banyak kaji selidik dan ramalan keputusan PRU13. Sebahagian mereka menjangka laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya semakin cerah walaupun pemerhati bebas melihat cabaran hampir seimbang, dengan jumlah "pengundi atas pagar" ataupun "golongan yang boleh dipengaruhi" bertambah ramai.

"Aku malas nak fikir siapa pemenang PRU13, tapi aku yakin Umno-BN tiada masa depan lagi, sudah tak boleh diubah, dan kalau nak tengok ia berubah pun hanyalah selepas BN kalah di peringkat persekutuan," ujar seorang editor kanan akhbar, yang dekat dengan pemimpin kerajaan. "Lebih senang membayangkan bagaimana Malaysia di bawah Pakatan nanti, terutama nasib media arus perdana, apakah terus dikongkong seperti sekarang ataupun bebas seperti yang kau tuntut," katanya, merujuk pengalaman saya mempromosi kebebasan akhbar.

Saya juga sempat berbicara dengan Prof Dr Redzuan Othman, Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, UMCEDEL, yang popular dengan servei isu dan kecenderungan pengundi menjelang PRU13 (kajian lapangan pada 26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013).

Beliau menarik perhatian saya terhadap kecenderungan mengundi wanita, yang dilihat lebih memihak BN, khususnya membabitkan wanita Melayu dan yang berpendidikan SPM ke bawah. Bukan saja program transformasi Najib mudah memikat hati mereka, bahkan serangan tohmahan negatif kepada pembangkang juga dipercayai.

Kalau misalnya 50 peratus responden menyokong sesuatu inisiatif Najib, maka sokongan daripada wanita akan meningkat sepuluh peratus lagi. Jika 30 peratus responden seluruhnya tidak percaya kepada Anwar Ibrahim, maka tambahan 10 peratus, iaitu 40 peratus wanita, akan mencurigai Ketua Umum KeADILan itu.

Sokongan masyarakat India terhadap Pakatan turut dikatakan merosot dan ia boleh menggugat kemenangan di negeri tertentu. Meskipun ada rakan-rakan yang menyanggahnya, dengan mendakwa kaum India tidak lari kepada BN, namun saya lebih selesa untuk mengambil jalan selamat, yakni mengandaikan memang ada peralihan undi itu agar formula penyelesaian dicari segera.

"Satu lagi isu besar ialah sumber maklumat, masih ramai bergantung kepada Utusan Malaysia dan TV3," katanya. Segera saya teringat kekhuatiran bekas Menteri Penerangan, Kadir Sheikh Fadzir, yang kerap berpesan agar keberkesanan penyebaran informasi harus dipertingkatkan.

Mengulas perkembangan sama, seorang profesor politik berkata: "Politik cukup dinamik sifatnya. Kajian-kajian tersebut mungkin terpakai waktu itu, tapi ia akan terus berubah. Setakat ini, trend menunjukkan semakin ditangguhkan PRU13, semakin perubahan itu menguntungkan Pakatan. Apa pun, kalau esok PRU13, survei hari ini pun boleh berubah lagi. Maknanya, setiap parti mesti terus berusaha dan melihat survei sebagai indikator mengukur persepsi rakyat."


Bagi saya, peningkatan jumlah pengundi yang "belum membuat keputusan", seperti didedahkan dalam banyak kaji selidik, merupakan cabaran terbesar agar gerakerja yang tepat dan bersesuaian dilipatgandakan.

Ia juga satu petanda bahawa kredibiliti calon akan diberi perhatian besar oleh pemilih, khususnya generasi muda atau yang baru pertama kali mengundi.

Selasa dua minggu lalu, semasa saya bersarapan pagi di sebuah restoran mamak di Bandar Baru Ampang, seorang penyokong tegar PAS menekankan: "Kerja jahat Umno bersama SPR untuk menafikan kemenangan Pakatan hanya satu peringatan supaya kita lebih tekun dan tak ambil mudah. Ambil sudut yang positif. Oleh itu, kita harus berhati-hati, dan mesti ingat bahawa operasi mereka mungkin tidak seperti yang kita jangkakan, dan sukar untuk dikesan."

Rakannya, bekas guru sekolah memandu, yang pernah mengajar saya, mencelah: "Kita mesti menang, bang. Teruk sangat Umno ini. Punah negara kalau dibiarkan. Macam saya, lima anak bersekolah, susah ...."

Nadanya serius, kerut di dahinya jelas kelihatan. Tetapi pastinya bukan dia seorang yang tidak putus asa mengharap. Saya segera membayangkan bagaimana jutaan rakyat kini menaruh harapan tinggi kepada Pakatan, bukan saja untuk menang PRU13 tetapi lebih penting lagi, dapat memenuhi impian mereka, memperbaiki kualiti kehidupan dan menyelesaikan masalah yang bertimbun.

"Calon kita mesti disaring betul-betul. Dugaan bila menang nanti hebat dan dahsyat. Jangan jadi macam wakil rakyat Umno. Rakyat bukan hanya menyumpah seranah kita tetapi mereka akan bangkit berontak kalau dikhianati." Tersentak saya mendengar luahan hati penyokong akar umbi itu.

Dalam pada itu, pesanan Naib Presiden PAS, Husam Musa, kepada  lebih 1,000 petugas pilihan raya seluruh negara dari kawasan-kawasan yang bakal ditandingi PAS, perlu dilaksanakan.

Katanya, PAS berada dalam tempoh berpantang sebelum PRU13 dan dalam tempoh kritikal itu. pemimpin dan ahli-ahli tidak boleh melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat.

"Kalau orang perempuan berpantang selepas bersalin, kita berpantang sebelum bersalin. Kandungan kita ialah harapan perubahan rakyat Malaysia. Jadi sewaktu berpantang ini, kita tidak boleh melakukan satu pun kesalahan," katanya.

Ya, banyak pihak mengakui, kemenangan bakal diraih oleh parti atau calon yang paling minimum melakukan kesilapan. Sebarang kesalahan kecil, termasuk di peringkat paling bawah, boleh dimanipulasi khususnya oleh media yang menjadi perkakas BN.

Bukankah Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri, dalam pengakuannya kepada European Muslim Election Comittee, 5 Februari lalu, bahawa media Malaysia menjadi "alat kerajaan" (sebenarnya parti pemerintah) terutama kempen semasa pilihan raya?

Patutlah penarafan media  dalam kajian persepsi Reporters Without Border bagi tahun 2011/2012 meletakkan Malaysia di kedudukan ke-122 daripada 179 negara, setaraf dengan Algeria dan Tajikistan, tetapi lebih buruk daripada Zimbabwe, Oman, Fiji dan Kemboja.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST, A Kadir Jasin menulis:  "Penarafan Malaysia tidak menjadi bertambah baik kerana sejak cakap-cakap PRU13 timbul, media massa arus perdana kembali membuat laporan berat sebelah menyokong kerajaan dan memburuk-burukkan pembangkang."

Kalau pada awal 2008, tiada siapa berani menjangka pembangkang boleh menang besar, dan pemilihan tajuk muka depan Harakah yang optimis pun ditegur, kini selepas lima tahun, jika saya memilih tajuk yang sama, ia  bukan lagi kejutan malah dianggap ramalan basi.

Kalaupun kejutan dicipta dalam PRU13 nanti, ia hanyalah berita yang mengecewakan rakyat: BN menang besar dan Pakatan Rakyat kempunan.  Tentulah saya pun tidak mahu mendengar berita yang mengejutkan seperti itu, Biarlah apa yang dijangka menjadi kenyataan ....

Berilah amanah kepada yang layak

Muhamad Helmi bin Hashim, 14 Feb 2013
Artikel ini merupakan pemenang sagu hati pertandingan menulis esei berdasarkan ayat al-Quran Surah an-Nisa ayat 58.

Firman allah SWT didalam surah an-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil, sesungguhnya Allah dengan (suruhanya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.”


Ayat ini merupakan tunjang bagi kebanyakan hukum kerana mengandungi sebahagian besar agama dan syariat Islam. Para ulama berselisih pendapat mengenai ayat ini, adakah ditujukan kepada pemerintah ataupun ditujukan untuk tujuan umum, termasuk sekalian manusia. Pendapat yang lebih jelas ayat ini ditujukan kepada umum. Pendapat ini berdasarkan kaedah agama iaitu sesuatu pekara itu diambil kira berdasarkan umum lafaz, bukanlah diambil berdasarkan pengkhususan sebab mengapa diucapkan.

Sabda nabi di dalam sebuah hadis yang bermaksud: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinanya. Imam (ketua negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinanya. Suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinanya. Wanita (isteri) pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinya. Orang gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan di tanya mengenai kepimpinanya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu daud, Termizi)


Apabila kita berbicara mengenai ayat ke-58, surah an-Nisa’ ini, ia merupakan rangkaian ayat-ayat yang singkat, tetapi memberi makna yang besar dalam pemikiran politik Islam, iaitu politik ini membabitkan urusan kehidupan manusia yang bertujuan untuk menegakan kemaslahatan.

Politik berubah dari satu zaman ke satu zaman, bermula pada zaman nabi sehingalah ke zaman kita sekarang. Cara pelantikan zaman dahulu mungkin berbeza dengan zaman sekarang. Oleh hal yang demikian, agama meletakkan asas-asas umum bagaimana seseorang muslim itu mengendalikan politik mereka. Antaranya Allah menyatakan di dalam ayat 58, surah an-Nisa’ iaitu Allah memerintahkan supaya menyerahkan amanah kepada orang yang berkelayakan.

Untuk menentukan amanah kepada individu yang berkelayakan, adalah sesuatu yang sangat umum. Mencari orang yang layak menguruskan politik Malaysia mungkin tidak sama dengan mencari orang yang layak untuk menguruskan politik Indonesia. Walaupun sukar, Allah memerintahkan kita supaya memberi amanah kepada yang berkelayakan. Layak di medan kewangan tidak sama dengan berkelayakan di dalam medan ketenteraan, tetapi al-Quran hanya menyebut asas umum iaitu supaya kita memilih yang layak iaitu orang yang berkemampuan.

Berkata imam Ahmad, maksudnya:

“Fitnah (berleluasa) apabila tiada pemimpin yang mengendalikan urusan manusia”. Masalah umat dan masyarakat tidak akan sempurna dan tersusun melainkan dengan adanya kerjasama antara pemerintah dan orang yang diperintah, antara pemimpin dan rakyat, dan mereka menjalankan kewajipan masing-masing dan menyempurnakan amanah serta tanggungjawab yang dipikul atas mereka.


Sesungguhnya pemimpin bukanlah tuhan kepada rakyatnya sehingga dia tidak memerlukan kepada mereka. Dia juga bukannya pesuruh Allah kepada rakyatnya sehingga dia menjadi perantaraan antara mereka dengan agama tuhan. Akan tetapi pemimpin dan rakyat adalah mereka yang bekerjasama, tolong-menolong demi kebaikan agama dan dunia. Dia juga mestilah membantu mereka dan mereka juga mestilah membantunya. Ibarat seorang ketua rombongan yang memimpin perjalanan, jika dia membawa mereka melalui jalan yang betul, mereka akan mengikutinya. Sebaliknya jika dia tersalah jalan mereka akan menegurnya dan memberi pertunjuk. Jika mereka diserang oleh sesuatu, dia mestilah bersama-sama dengan mereka membantu menghalangnya.

Berdasarkan perkara tersebut, maka setiap daripada pemimpin dan orang yang dipimpin, pemerintah dan rakyat mempunyai hak-hak serta ciri-ciri yang mesti dipelihara.

Kewajipan melantik pemimpin merupakan satu tanggungjawab yang tidak dapat disangkal lagi buat insan yang mengungkap dua kalimah syahadah. Hal ini kerana pemimpin merupakan khalifah Allah yang melata diatas muka bumi Allah ini. Kepincangan dalam pemilihan ini sebenarnya boleh membawa kepada lenyapnya keadilan dan keamanan dan seterusnya akan meletusnya kemungkaran dan kerosakan yang tidak terhingga.

Justeru, Islam telah melakarkan kepada kita beberapa ciri yang perlu ada pada pemerintah rabbani ini, antaranya:

1. Adil. Sifat ini perlu dimiliki oleh pemimpin umat Islam ekoran peri pentingnya tampuk pemerintahan yang dipegangnya itu. Adil adalah ibarat penyaksian kepada terlaksananya hukum Allah ataupun tidak didalam sesebuah negara. Sebagaimana untuk diterimanya penyaksian didalam hukum jenayah memerlukan seorang yang adil, maka apatah lagi tugas besar memimpin umat Islam.

Termasuk dalam keadilan juga, seorang pemerintah itu mestilah menegakkan syariat serta melaksanakan hukum-hukum Islam, mengajak masyarakat ke arah
kebaikan dan menghalang mereka daripada melakukan kemungkaran. Hal ini adalah satu keistimewaan pemimpin yang menjaga urusan rakyat. Bukan sahaja urusan dunia bahkan dia membawa masyarakat kearah akhirat. Bukanlah menjadi pemimpin yang hanya mementingkan dunia melebihi akhirat.

Termasuk dalam menegakkan syariat dan menjalankan hukum-hakam ialah memungut zakat, membahagikan harta kekayaan negara secara saksama serta
menjadikan manusia menghormati dan tidak melanggar batas sempadan hukum-hakam yang ditetapkan Allah, taat terhadap segala perintahnya dan mendorong manusia kearah tersebut. Ciri-ciri inilah yang dirakamkan didalam al-Quran yang bermaksud:

“(Iaitu) orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar dan kepada Allahlah kembali segala urusan.” (Surah al-Haj : ayat 41).


Pemerintah mempunyai hak untuk berijtihad (memutuskan sesuatu keputusan) akan tetapi perlulah memutuskanya secara adil agar keadilan itu dirasai oleh semua pihak. Jika seseorang pemimpin itu menggunakan sejuta nas atau dalil atas nama Allah dan Rasul-Nya tetapi apa yang dilaksanakan itu jelas tidak adil maka bukanlah agama.

Hal ini disebutkan oleh ibnu Qayyim, yang dimaksudkan dengan syariat itu ialah keadilan dan kebijaksanaan secara menyeluruh. Apa-apa sahaja yang keluar daripada keadilan kepada kezaliman daripada hikmah kepada kebodohan - bukanlah syariat islam, sekalipun ada ulama atau tokoh ugama memberikan nas dan dalil untuk membela perkara tersebut. Hal ini kerana Allah SWT memerintah supaya berlaku adil.

Keadilan yang paling besar adalah melaksanakan syariat Allah, menjalankan hukum-hakamnya dan memberikan hak-hak kepada yang berhak. Manakala kezaliman yang paling besar adalah mengabaikan syariat Allah dan menjauhkannya daripada urusan kehidupan.

Seseorang pemimpin itu mestilah membawa kebaikan kepada masyarakat dan
menolak segala jenis keburukan. Seperti yang di ungkapkan oleh Sultan Ulama Imam Izzudin Assalam di dalam Kitab Khowaid Ahkam fimaso’lih al-Anam. Maka tidak hairanlah Islam telah menjanjikan kedudukan yang tinggi kepada para pemerintah yang adil dan mereka inilah pewaris para nabi yang sentiasa menjaga kesucian agama Allah daripada terus dicemari.

Sabda Rasulullah didalam sebuah hadis yang bermaksud: “Tujuh golongan yang berada di bawah naungan Allah ketika pada hari tersebut tiada naungan melainkan naungannya, antaranya ialah pemimpin yang adil.” (Hadis riwayat Bukhari).

2. Jujur. Kejujuran adalah modal yang paling mendasar dalam sebuah kepimpinan. Tanpa kejujuran, kepimpinan ibarat bangunan tanpa tiang. Dari luar nampak megah namun di dalamnya rapuh dan tidak mampu bertahan lama. Begitu pula dengan kepimpinan, apabila tidak didasarkan atas kejujuran orang-orang yang terlibat didalamnya, maka jangan harap kepimpinan itu akan
berjalan dengan baik.

Namun, kejujuran di sini tidak harus dipandang dari seorang individu. Akan tetapi semua komponen yang terlibat di dalamnya, sama ada pemimpinnya, pembantunya, hingga struktur yang paling bawah di dalam kepimpinan itu. Seorang pemimpin harus memberi teladan yang baik kepada masyarakat. Teladan ini tentunya perlu diwujudkan dalam bentuk sikapnya yang jujur, tidak menipu rakyat serta amanah dalam menguruskan aset negara. Pemimpin yang jujur pasti berfikir seribu kali untuk melakukan tindakan tidak terpuji, atau memutuskan kebajikan yang tidak berpihak kepada rakyat. Oleh sebab itu Allah SWT dengan tegas memerintah kita untuk bersama-sama atau mengikuti orang-orang yang jujur.

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar.” (surah at-Taubah : ayat 119).

Ciri-ciri lain yang dapat kita ambil ialah berdasarkan kisah di dalam al-Quran -mengisahkan ungkapan gadis yang ditemui oleh Nabi Musa di Madyan, iaitu “sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bertugas iaitu yang kuat (berkemampuan) serta beramanah. Sebahagian ulama menyatakan gadis tersebut merupakan anak kepada Nabi Syuaib.

Dua sifat ini merupakan asas penting dalam pengambilan atau perlantikan sesebuah jawatan di dalam Islam. Dengan kata lain, seorang pemimpin itu mampu menguruskan negara dengan baik serta amanah dalam pengurusan negara. Jika seseorang itu berkemampuan tetapi tidak amanah nescaya negara tidak dapat membangun dengan baik, demikian juga sekiranya seseorang itu amanah akan tetapi tidak berkemampuan negara tidak dapat ditadbir dengan bagus.

Oleh sebab itu, Rasulullah menolak permintaan seorang sahabat yang bernama Abu Zar apabila beliau meminta jawatan daripada nabi, lalu baginda berkata, “Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu lemah, sedangkan jawatan ini amanah dan pada hari kiamat kelak satu kerugian dan penyesalan.”

Maka fahamlah kita bahawa seseorang pemimpian negara itu mestilah orang yang berkemampuan ditambah pula dengan sifat amanahnya. Hal ini kerana sifat amanah itu merupakan modal utama untuk menjadi pemimpin. Peribadi yang amanah ini lebih mudah diterima masyarakat kerana masyarakat lebih senang dan tenang apabila dipimpin oleh orang yang amanah. Mereka tidak khuatir aset hasil jerih payah rakyat akan diselewengkan untuk kepentingan peribadi.

Akhir kata, saya bawakan secebis kata-kata jawapan yang dinyatakan oleh Imam Hasan al-Basri kepada Amirul mukminin Umar bin Abd Aziz ketika ditanya tentang apakah kriteria sebenar seorang pemimpin umat Islam, katanya:

“Sesungguhnya Allah telah menjadikan para pemimpin yang adil itu adalah pembaiki kepada kerosakan, pembetul kepada penyelewengan, pemusnah kepada kezaliman, pembela kepada yang lemah, pembantu kepada yang dizalimi. Dialah yang melaksanakan hak-hak Allah kepada hambanya, mendengarkan ayat Allah dan memperdengarkan kepada rakyatnya, melihat tanda kekuasaanya dan memperlihatkan kepada mereka, berjalan di atas agama Allah mengajak manusia bersamanya. Dia juga umpama seorang hamba kepada para rakyatnya, menjaga harta dan juga keluarga tuannya, tidak sekali-kali menghukum dengan cara jahiliah dan mengikut hawa nafsu mereka, tidak menyelusuri jalan orang-orang yang zalim, tidak bersifat takabbur dalam menindas golongan yang lemah, dialah penjaga anak yatim, pembantu kepadaorang-orang miskin dan mendidik anak-anak bangsa kearah kesejahteraan.”

Beginilah keperibadian seorang pemimpin yang adil didalam pemerintahanya. Marilah sama-sama kita renungkan dan fikirkan. Tiada guna nikmat akal sihat yang dikurniakan oleh Allah jika hanya kita menggunakanya ke arah yang dunia semata-mata. Sesungguhnya, pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggungjawab. Fikir dan nilailah supaya kita memberi amanah kepada orang yang selayaknya, dan mampu mentadbir negara dengan adil. Mudah-mudahan kita dapat merasai keadilan yang sewajarnya. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubahnya sendiri.

Muhamad Helmi bin Hashim berasal dari Kampung Gajah Putih, Padang Sera, Kodiang, Kedah Darul Aman. Muhamad Helmi masih menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan