Jumaat, 22 Februari 2013

BERSATU LEBIH DARI BERPECAH2...HADAPI MASUH YANG SATU INI DENGAN BERSATU TENAGA

Umno jadi pembangkang untuk kebaikan negara

Harakahdaily, 21 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Sepatutnya pemimpin-pemimpin Umno beriya-iya untuk memberikan pembangkang peluang untuk mentadbir negara ini bagi membuktikan pembangkang itu tidak tahu mentadbir negara ini.
Justeru, tulis Aspan Alias, jika terbukti pembangkang tidak boleh mentadbir, barulah Umno dapat membuktikan tuduhan mereka itu benar.

“Barulah Umno boleh kembali untuk berkuasa jika direstui rakyat dan diizin Tuhan,” tulis beliau di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com/, sebagaimana di bawah.

Tali hayat UMNO sudah begitu halus dan bila-bila masa boleh putus dan menjatuhkan parti itu. Kalau hendak dikira dari sudut politiknya, tidak ada sebab kenapa UMNO itu mesti wujud lagi dan akan di ketepikan oleh rakyat kali ini. UMNO hanya bergantung kepada kuasa wang dengan pembelian undi melalui BRIM dan berbagai-bagai kaedah lagi. Parti itu hanya bergantung kepada kekeliruan rakyat dalam membuat pemilihan kerana inilah kali pertama membuat keputusan untuk memberikan sokongan kepada parti-parti alternatif negara.

Menghadapi tekanan rakyat ini amat merunsingkan UMNO kerana parti itu belum berpengalaman menjadi pembangkang. Tidak seperti parti-parti yang ada di negara demokrasi yang maju, UMNO belum pernah di jatuhkan dan berasa amat perit untuk menanti saat-saat masuk ke Dewan-Dewan Legislatif sebagai pembangkang. Dalam demokrasi setiap parti wajar bersedia untuk ditewaskan dalam pilihanraya. Kalah dalam pilihanraya ini seperti manusia yang wajib menghadapi mati. Mati itu wajib dan begitu juga lah parti-parti yang berada di dalam mana-mana demokrasi di dunia ini.

Parti Labour Britain dan Parti Conservative negara itu telah bergilir-gilir mentadbir negara mengikut kemahuan dan kehendak rakyat nya. Begitu juga di Amerika Syarikat di mana parti Demokrat dan Republican telah hampir seratus kali bertukar-tukar tempat duduk di dalam Dewan Legislatif mereka.

Di Malaysia oleh kerana inilah kali pertama parti pemerintah merasakan mereka akan mengambil giliran untuk duduk di petak pembangkang, mereka merasakan ketakutannya. Bebagai-bagai cara untuk berkubu dari serangan dan pengaruh parti pembangkang dilakukan oleh UMNO dan BN. Kekalahan kepada UMNO dan pemimpin merupakan saat-saat masuk neraka dan memisahkan UMNO dengan rakyat yang mengundi itu ibarat memisahkan kulit dari daging. Masih ada sedikit lagi sikap dan kepercayaan orang ramai khususnya orang Melayu yang kekalahan UMNO itu merupakan nasib malang yang menimpa negara dan rakyat.

Momokan ini sudah ditanam sejak setengah abad dan ia sebati dalam benak orang Melayu terutamanya di kalangan yang dewasa dan tua. Kebobrokkan UMNO begitu tebal sehinggakan orang yang cerdik dan pandai pun menjadi bingung setelah menyertai UMNO kerana pengaruh budaya songsang yang terbentuk dalam parti itu sudah se begitu lama. Mereka yang pandai berfikir pun akan hilang kemampuan untuk berfikir secara rasional apabila aktif dalam UMNO.

Bukan sedikit di antara mereka yang berpelajaran tinggi yang terikut-ikut dengan budaya buruk UMNO itu. Rupa-rupanya pelajaran dan pendidikan tidak dapat menyaingi sikap mengampu dan membodek yang telah terbentuk dalam parti itu selama ini. Kita melihat melalui kaca TV hampir setiap hari dalam mana ahli-ahli akademik yang bergelar Professor dan Vice Chancellor Universiti di negara ini bersama-sama menyanyikan lagu lama yang dinyanyikan oleh UMNO selama ini.

Professor-professor ini di berikan ruang dalam saluran TV tempatan menyanyikan lagu-lagu yang bersenikata ciptaan UMNO. Di antara nya ialah ‘tidak ada UMNO negara akan berkecai dan Melayu akan hilang di dunia ini’. Lagu yang akhir-akhir ini yang dinyanyikan oleh Mahathir ialah pembangkang tidak berpengalaman untuk memerintah dan bermacam-macam lagi yang membayangkan kesombongan pimpinan UMNO yang beranggapan hanya UMNO mampu mentadbir negara.

Dr Mahathir lebih tahu yang Pakatan Rakyat telah berjaya mentadbir negeri-negeri yang ditadbirnya dan inilah yang menyakitkan Dr Mahathir. Mahathir tidak ada sayangnya kepada negara tetapi beliau hanya mahukan rakyat mendengar nasihat beliau untuk kepentingan beliau sendiri. Beliau sedaya upaya mengarahkan segala kesalahan kepada Abdullah Badawi sedangkan Abdullah adalah pilihanan beliau sendiri.

Sekarang ternyata Abdullah Badawi lebih berhemah setelah bersara dan tidak membuka mulut busuknya untuk memberikan racun yang berbisa kepada rakyat. Abdullah tidak bercakap semborono sahaja sedangkan Mahathir masih berleter sedangkan leteran beliau itu hanya di anggap seperti leteran orang tua yang sedang sakit terlantar sahaja. Mahathir sentiasa berada di dalam kerugian kerana beliau sudah tidak lagi menjadi seorang yang bergelar negarawan negara. Ciri-ciri seorang negarawan sudah hilang dari beliau. Beliau tidak akan mendapatkan ciri-ciri negarawan itu sampai bila-bila.

Seorang yang berjiwa bersih tidak akan merasa gusar seumur hidupnya. Seorang yang tidak melakukan kesalahan tidak akan merasa resah dan gundah gulana dan sebagai seorang rakyat negara demokrasi beliau tidak seharusnya merasakan kehilangan kuasa dari rakyat itu akan menjadikan beliau hidup dalam kesedihan. Sampai masa untuk menjadi pembangkang, jadilah pembangkang yang baik. Mahathir sendiri pernah menasihatkan kita semua, untuk menjadi pemimpin yang baik, perlu merasakan dan mengalami sebagai pengikut yang baik.

UMNO mesti ikut contoh-contoh yang baik.yang kita lihat di rantau kita sahaja. Liberal Demokrat Jepun telah kembali berkuasa setelah diketepikan oleh rakyat Jepun beberapa ketika. Congress Party of India telah kembali berkuasa setelah parti itu diketepikan oleh rakyat negara demokrasi terbesar di Asia itu. Apa yang boleh menghalang UMNO untuk berkuasa kembali setelah Pakatan Rakyat memerintah barang sepenggal dua. Tetapi perbaikilah moral parti itu dahulu semasa berada di petak pembangkang.

Jadilah parti yang tidak boleh di persepsikan oleh rakyat sebagai parti yang rasuah. Selagi UMNO tidak berundur buat sementara, UMNO tidak mungkin akan mampu untuk memperbaiki diri. Lagi pun sememangnya sampai masanya untuk pembangkang pula menjadi kerajaan. Jika Mahathir mengatakan pembangkang tidak mempunyai pengalaman untuk memerintah negara, nah…kali ini kita beri peluang. Kita boleh tengok sendiri sama ada tohmahan Mahathir, Najib dan lain-lain terhadap pembangkang itu benar atau tidak.

Apa yang kita hendak resahkan. Yang akan mengganti pentadbiran kerajaan ialah parti PAS, DAP dan PKR, bukannya parti komunis dari mana-mana negara. Sebaliknya pula UMNO perlu membuktikan yang parti itu mampu menjadi pembangkang yang baik untuk menyuburkan demokrasi negara dengan lebih baik dan menjadi ikutan masyarakat antarabangsa.

Saya selalu membuat anologi memimpin negara ini biarlah ibarat kita bermain gasing. Orang bermain gasing akan memusing dan memangkah gasing itu secara bergilir-gilir. Selama ini hanya pembangkang terutamanya PAS dan DAP sahaja yang memusing gasing untuk dipangkah. Sekarang UMNO ambillah giliran untuk memusing gasing untuk PAS, DAP dan PKR pula mengambil giliran untuk memangkah. Baru kita tahu pihak mana yang lebih baik sebagai pemangkah dan pihak mana yang lebih baik sebagai pemusing gasing.

Sepatutnya pemimpin-pemimpin UMNO beriya-iya untuk memberikan pembangkang peluang untuk mentadbir negara ini bagi membuktikan pembangkang itu tidak tahu mentadbir negara.ini. Jika terbukti pembangkang tidak boleh mentadbir, barulah UMNO dapat membuktikan tuduhan mereka itu benar. Barulah UMNO boleh kembali untuk berkuasa jika direstui rakyat dan diizin Tuhan.

Apabila UMNO menjadi pembangkang semasa itu barulah UMNO sedar yang selama ini mereka berkuasa hanyalah kerana bergantung kepada rakyat yang keliru (confused) oleh momokan mereka (UMNO) selama ini. Semasa itu nanti barulah UMNO dapat memperbaiki sikap mereka dan tahu yang sebuah parti itu tidak boleh melakukan rasuah dan berniaga di atas sokongan rakyat.

Selama ini pemimpin UMNO hanya memperniagakan rakyat dengan bermodalkan rakyat yang memberikan mereka mandat itu. Semasa itu nanti barulah UMNO tahu yang pemimpin tidak boleh mengambil wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan anak-anak mereka yang gagal seperti yang berlaku ke atas Mirzan Mahathir dahulu.

Dalam waktu UMNO duduk di petak pembangkang, barulah UMNO akan tahu bahawa kos projek yang dinaikkan kerana hendak komisyen itu menjadikan harga pembekalan alat peperangan tentera itu menjadi mahal dan di bayar oleh rakyat. Masa itu nanti barulah UMNO tahu bahawa memberikan pelajaran percuma dan menghapuskan tol lebuhraya seperti yang ingin dilakukan oleh Pakatan Rakyat itu benar-benar boleh dilaksanakan.

Perlaksanaan pendidikan percuma dan menghapuskan tol itu tidak membankrapkan negara. Menghapuskan tol itu hanya akan memberhentikan kutipan yang dilakukan oleh pemegang ‘konsessioner’ lebuhraya yang telah mengutip wang rakyat ramai hampir-hampir RM30 billion bagi lebuhraya utara selatan sahaja. Setiap keluarga akan beruntung kerana dapat menggunakan sumber kewangan mereka dalam jumlah ribuan ringgit setahun untuk perbelanjaan yang lain.

Pemberian BRIM itu tidak membawa apa-apa erti kerana RM500 atau seribu ringgit sekali sekala yang rakyat terima itu akan digunakan untuk membayar saman AES sahaja. Tetapi pemberian pelajaran percuma melibatkan setiap rakyat yang belajar merasakan nikmatnya sedangkan BRIM yang sejemput itu hanyalah untuk satu keluarga sahaja.

Itu sebabnya penting pemimpin UMNO duduk di petak pembangkang kerana mereka selama ini tidak tahu yang pengurusan kewangan yang baik dan telus itu boleh memberi faedah kepada rakyat ramai.

Dalam masa menjadi pembangkang itu juga UMNO boleh belajar yang pemimpin tidak payah membawa penyanyi pop antarabangsa untuk berkempen. Semasa itu juga UMNO akan tahu jika negara ditadbir dengan baik, maka rakyat tidak perlu menanggung beban perbelanjaan besar untuk pemimpin berkempen keseluruh negara dengan kos yang tinggi. UMNO akan tahu kewibawaan pimpinan dan kebersihan pimpinan itu sendiri akan berkempen untuk kerajaan yang berkuasa.

Semasa itu nanti barulah UMNO sedar yang selama ini parti mereka itu sepatutnya menjadi pembangkang lebih lama dahulu. Mana-mana pemimpin UMNO yang sedar dan mahu memperbaiki diri mereka akan sedar dan mengakui bahawa selama ini UMNO tidak sepatutnya berada sebagai kerajaan sebegitu lama.

Tetapi bak kata perpatah Inggeris, ‘better late than never’. Jika kita tidak lakukannya dalam pilihanraya ini, ia akan terlalu lewat untuk memperbaikinya. Kita lakukan sekarang ‘and it’s now or never’.

Presiden PAS kunjungi Jamaah Tabligh

Nazri Abdullah, 21 Feb 2013


(Tuan Guru Abdul Hadi berbual dengan pemimpin Jamaah Tabligh dalam kunjungannya ke Masjid Jamik Sri Petaling hari ini)

SRI PETALING: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membuat kunjungan bersejarah ke markas Jamaah Tabligh hari ini.

Dengan ditemani wakil Dewan Pemuda dan Dewan Ulama, Ustaz Hadi meluangkan masa bersama pemimpin Jamaah Tabligh di Masjid Sri Petaling hari ini.

Beliau tiba di Masjid Jamek Sri Petaling yang juga markaz jamaah Tabligh terbesar negara ini kira-kira jan 4.40 petang ditemani Setiausaha Politik beliau Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ketibaan beliau disambut Pengerusi Masjid Tuan Haji Zaid Abdullah, imam masjid Ust Abdul Halim Chin yang juga Mudir Madrasah Miftah Ai-'Ulum serta ahli jawatankuasa masjid dan para jemaah yang berada di situ.

Turut serta dalam kunjungan itu juga termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, AJK Dewan Ulamak PAS Pusat Ust Nazmi Nik Din, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad serta Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia Adram Musa.

Sejurus tiba, Tuan Guru Abdul Hadi menunaikan solat Asar berjemaah.

Beliau kemudian mengambil peluang beramah-mesra dengan para jemaah sebelum di bawa ke bilik mesyuarat untuk sesi bertanya khabar dan jamuan.

Dalam pertemuan kira-kira 20 minit itu, mereka antara lain saling bertukar-tukar pandangan berhubung perkembangan dakwah Islam di negara ini.

Pertemuan itu berakhir kira-kira jam 5.30 petang dengan Tuan Guru menghadiahkan kitab agama kepada imam dan juga pengerusi masjid tersebut sebagai tanda kenang-kenangan.

Mahasiswa perlu fikir semula tanding PRU

Bekas graduan,
Kejadian samseng Umno mengepung pelajar universiti yang berkempen di Pekan, Pahang bukanlah kes terpencil. Sebelum itu, telah banyak kali kejadian yang hampir serupa berlaku dan selagi Umno-BN berkuasa kejadian yang sama mungkin berulang.

Parti pembangkang khususnya PAS telah melalui kejadian seumpama ini sejak sebelum merdeka lagi. Malah dengan pelbagai bentuk dan rupa termasuklah diugut, ditukar tempat kerja dan sebagainya.

Perlu diingatkan bahawa sebaik sahaja anda mengisytiharkan untuk menjadi oposisi kepada kerajaan khususnya Umno-BN, maka bersedialah dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan.

Oleh sebab itulah, PAS pernah melarang muslimatnya terbabit sebagai calon kerana wujudnya ancaman dan tiada jaminan keselamatan. Dalam hal ini, saya berpendapat, amat wajar mahasiswa menangguh dulu hasratnya untuk menentang Datuk Seri Najib dalam PRU yang akan datang. Dibimbangi akan berlaku  kejadian yang lebih buruk lagi.

Dalam suasana politik yang tidak matang pada hari ini, adalah lebih elok mahasiswa menumpukan usaha membantu Pakatan Rakyat menumbangkan Umno-BN. Suasana pilihan raya yang matang dan aman hanya bakal diperoleh jika Umno-Bn berjaya ditumbangkan dan kerajaan baru membetulkan kembali segala macam pencabulan demokrasi yang berlaku sebelum ini

Kempen sifar pembangkang: Adnan ikut jejak Khir Toyo

Harakahdaily, 21 Feb 2013
KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang pernah berjanji akan potong telinga dan terjun Sungai Pahang sekiranya parlimen Bentong jatuh ke tangan DAP melaungkan kempen sifar pembangkang di negeri kelahiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Adnan dilihat mengikut jejak bekas Menteri Besar Selangor Mohd Khir Koyo sebelum pilihanraya umum ke-12 pada tahun 2008 yang lalu menggunakan kempen yang sama ‘sifar pembangkang’.

Dipetik Bernama, Adnan berkata beliau yakin Barisan Nasional (BN) dapat menguasai semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Pahang pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Tatkala rakyatnya di Bera, Temerloh dan Jengka masih merintih ketiadaan bekalan air yang konsisten dan jalan yang sempit menghubungkan antara negeri, Adnan mendakwa rakyat Pahang mahukan kemenangan mutlak BN di 14 kerusi Parlimen dan 42 kawasan Dun di Pahang.

Pada masa ini BN mempunyai 12 kerusi Parlimen dan 38 Dun.

Apakah sifar pembangkang ini akan dapat dijayakan Adnan di Pahang, termasuk Bentong, insurannya supaya telinga beliau tidak perlu digadaikan?

Rakyat Pahang bakal menentukan. Ini kerana, rakyat Selangor telah menentukan nasib Khir Toyo selepas MB Selangor itu membuat kempen sifar pembangkang di Selangor menjelang pilihan raya umum 2008 lalu.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru rakyat Pahang yang berada di perantauan, terutamanya anak peneroka untuk pulang mengundi dan menjadi agen penyelamat kepada Felda dan harta Melayu.

“Anak peneroka harus menjadi agen perubahan dan penyelamat Felda dan harta orang Melayu. Mereka kena balik mengundi dan pastikan maklumat mengenai penyelewengan di Felda yang ditutup di media massa sampai ke tangan ahli-ahli keluarga mereka,” kata beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Tahanan Hilmi langgar hak asasi - Suhakam

Anis Nazri, 21 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berpendapat berlaku pelanggaran hak asasi dalam penahanan pekerja kafe Yazid Sufaat, Mohd Hilmi Hasim.

Pesuruhjayanya, James Nagayan, berkata terdapat tiga pelanggaran yang dilakukan pihak berkuasa berhubung penahanan Hilmi.

Pelanggaran pertama berlaku apabila Hilmi tidak dimaklumkan kesalahannya ketika ditahan, kemudiannya menahan melebihi 48 jam dan menghalang daripadanya mendapatkan khidmat guaman.

"Atas ketiga-tiga perkara ini, saya melihat berlaku pelanggaran yang jelas ketika penahanan tersebut berlaku," kata beliau kepada media.

James berkata demikian ketika menerima memorandum daripada ibunya, Rahamah Majid, di pejabat badan itu, petang ini.

Menurut James, pihaknya perlu melakukan siasatan terperinci berhubung pelanggaran tersebut, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas 2012) (Sosma) itu sendiri.

Beliau turut mempertikaikan tindakan pihak berkuasa yang tidak mengikut Seksyen 112 Akta Polis ketika memanggil Rahamah untuk ditemuduga.

Malah, keengganan pihak polis membenarkan peguam menemani ibu mangsa turut dipersoalkan.

Sehubungan itu, James berkata pihaknya akan mendapatkan pelbagai pandangan daripada semua pihak, termasuk kerajaan dan Majlis Peguam.

Hilmi, ditahan pada 8 Feb lalu, di kediamannya di Bandar Baru Sg. Buloh, dan hanya dibenarkan bertemu ibunya pada hari kelapan beliau ditahan.

Ketika pertemuan tersebut, Rahamah diminta pihak polis untuk memujuk Hilmi agar bersetuju menjadi saksi polis dalam perbicaraan membabitkn Yazid Sufaat dan Hlimah Hussein.

Sekiranya Hilmi enggan, empat pertuduhan bakal dikenakan ke atas beliau dan boleh dipenjarakan selama 97 tahun.

Pada 18 Feb, Hilmi melalui peguamnya bertindak memfailkan habeas corpus bagi menentang penahanannya.

Treler Negara Berkebajikan disambut meriah di Manjoi

azmi, 21 Feb 2013
IPOH: Treler jelajah Negara Berkebajikan PAS disambut meriah oleh penyokong parti dan penduduk setempat sewaktu tiba di Manjoi kira-kira jam 6.30 petang tadi.

Sepanjang perjalanan menuju ke Perak juga turut disambut dengan bunyi hon dari pemandu-pemandu kereta yang menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan Pakatan Rakyat khususnya jelajah Negara Berkebajikan.

Ketibaan treler Negara Berkebajikan dinantikan lebih 200 penduduk di Manjoi walaupun sebelum masuk ke pekan kecil itu diganggu oleh sekumpulan kecil pemuda Umno dengan sorakan menghalau kembara Negara Berkebajikan.

Hujan renyai-renyai di pekan kecil tidak mematahkan semangat penonton untuk menyaksikan buat kali pertama kembara ini berjalan mengelilingi negara.

Di Manjoi, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menanti bersama pimpinan PAS Perak.

Pengarah Pilihanraya PAS Perak, Asmuni Awi memulakan ucapan di atas pentas treler tersebut dengan menghargai penghormatan yang diberikan terhadap program jelajah yang memilih Manjoi sebagai destinasi pertama.

Beliau yang turut memberitahu persinggahan sementara ini menunjukkan satu isyarat bahawa PAS akan memenangi Dun Manjoi pada pilihanraya umum nanti.

Sementara itu, Nizar yang memulakan aksi memukau ucapan tiga minit dengan memugar ekspresi penonton,  "Are you ready for Pakatan Rakyat, " disambut dengan laungan "yes". Dan are you ready for BN...dijawab "no".

Majlis ditutup dengan bacaan doa yang disempurnakan oleh Nizar.

Dalam pada itu, penduduk setempat tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar di atas pentas treler jelajah sebagai kenangan.

Treler jelajah akan meneruskan perjalanan di Pendang, Kedah bagi program seterusnya esok.

Presiden PAS lancar trak 'Negara Berkebajikan'

Harakahdaily, 21 Feb 2013


(Presiden dan timbalannya mengucapkan tanda bagus kepada trak Negara Berkebajikan PAS)


KUALA LUMPUR: PAS hari ini melancarkan trak 'Negara Berkebajikan' yang bakal menjelajah seluruh negara bagi menyampaikan mesej PAS untuk semua.

Ia dilancarkan oleh Presieden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta timbalannya, Haji Mohamad Sabu dalam majlis ringkas di perkarangan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Sebaik dilancarkan, trak ini bergerak untuk menjelajah utara semenanjung dengan sasaran malam ini akan berhenti di Pendang, Kedah.

Di sana, Haji Mohamad Sabu akan mula menggunakannya dalam satu majlis ceramah.

Trak berharga lebih RM100,000 ini mempunyai pentas pasang siap bersama sistem audio untuk keperluan sebarang program ceramah PAS.

Pada badannya tertulis "Negara Berkebajikan' dengan gambar tiga pemimpin utama Pakatan, Ustaz Hadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng dalam suasana penuh ceria.

Pada pentasnya pula tertulis Undilah PAS, PAS for All, Negara Berkebajikan.

Pelancaran ringkas hari ini hanya dengan bacaan doa oleh Ustaz Abdul hadi yang memohon kepada Allah agar proses perjalanan jelajah ini selamat.

Ia diikuti dengan pembukaan pentas pada badan treler ini yang menunjukkan rekabentuk latar belakang pentas bergerak ini.

Ustaz Hadi ketika sidang media menjelaskan, trak ini akan bergerak ke seluruh negara untuk menyampaikan mesej PAS kepada rakyat umum.

"Ini satu pendekatan baru agar kempen kita lebih lancar bergerak," kata Presiden PAS itu.

Mohamad Sabu pula dalam sidang media yang sama selepas pelancaran itu berkata, kos trak ini lebih RM100,000.

Namun kesemuanya disumbangkan oleh ahli PAS dan dermawan.

"Kawan-kawan kita beli dan dermakan kepada kita," katanya kerana duit PAS berada dalam poket ahli-ahlinya.

Program pertama yang akan menggunakan trak ini adalah dalam ceramah Pakatan Rakyat di Pendang 23 Mac ini.

Di samping itu, trak ini akan berhenti dari bandar ke bandar untuk menyampaikan mesej PAS.

Ketika ditanya di mana ia akan berhenti, Mohamad Sabu berkata, "Kita akan berhentia apabila sampai ke Putrajaya."


Tiada ulasan:

Catat Ulasan