Sabtu, 12 Januari 2013

YANG KEKAL ALLAH...YANG LAIN ADA TARIKH LUPUS ATAU DAH ABIS TALIAN HAYAT

Azan Asar, tuntutan 10 perkara tutup HKR112

Harakahdaily, 12 Jan 2013



(Stadium Merdeka penuh sesak begitu juga di luar stadium)

KUALA LUMPUR: Himpunan Kebangkitan Rakyat HKR112  melabuhkan tirainya dengan lagu Negaraku dan laungan azan Asar yang berkumandang.

Sebelum itu, doa dibacakan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menutup ucapannya dengan mengajak ratusan ribu yang hadir dengan berteriak MERDEKA  sebanyak tujuh kali dengan disambut sekelian yang hadir dengan 'RAKYAT'.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail pula memimpin bacaan ikrar atau Deklarasi HKR #KL112.

Deklarasi yang mengandungi lapan perkara itu dibacakan Saifudin dan diulangi oleh sekalian yang hadir termasuk kesemua pemimpin Pakatan yang berada di atas pentas.

Deklarasi itu adalah:

1) Menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

2) Menuntut reputasi dan wibawa Felda di selamatkan.

3) Menuntut supaya Sabah dan Sarawak diberikan layanan adil dan setara dengan Semenanjung.

4) Menuntut 20 peratus royalti minyak dikembalikan kepada negeri pengeluar petroleum.

5) Mengiktiraf dan meningkat profesionalisme kakitangan awam.

6) Menuntut alam sekitar yang bersih dan sihat.

7) Menuntut agar Bahasa Kebangsaan dimartabatkan dan Bahasa Inggeris dipertingkatkan.

8) Menuntut pembebasan tahanan politik.
9) Menuntut agar kampung2 tradisi dan tempat-tempat warisan dipelihara, dilindungi dan dipertahankan.

10) Menuntut kehidupan yang lebih baik untuk wanita sebagaimana termaktub di dalam Agenda Wanita Malaysia.

Kejayaan himpunan lambang kebangkitan rakyat

Harakahdaily, 12 Jan 2013

(Datuk Seri Anwar berucap di HKR112 di Stadium Merdeka)

KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin perhimpunan hari ini adalah lambang kebangkitan rakyat negara ini.

"Dengan semngat kebangkitan rakyat, saya tabik kepada saudara sekalian.

"Rakyat bangkit bukan kerana parti atau NGO, tetapi kesedaran mereka untuk merobah sistem yang bobrok dalam negara kita. Saya rasai sendiri derita rakyat, saya tahu kemarahan rakyat.

"Oleh yang demikian kami dalam Pakaran Rakyat berikrar dengan stulus hati dalam pentadbiran kami, kerajaan baru nanti, percayalah kami tidak akan izinkan rasuh dan rompakan dari negara yang tercinta ini. Tiada tolak ansur dengan rasuah dan rompakan," kata beliau ketika berucap di Himpunan Kebangkitan Rakyat HKR112 di Stadium Merdeka hari ini.

Bagi beliau, Umno dan BN sudah diberi peluang dan rakyat sudah cukup sabar selama ini.

"Kita mintak dan rayu kepada rakyat beri peluang kepada suara rakyat menjadi suara keramat," kata beliau di majlis itu.

Anwar mewakili seluruh pimpinan Pakatan turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat khasnya pihak polis yang memberikan kerjasama untuk menjayakan himpunan ini.

"Kita juga berterima kasih kepada polis yang merasakan ada aliran perubahan dalam negara ini. Media cakap lah apa pun. Rakyat tahu inilah masanya untuk rakyat bangkit membuat perubahan," kata beliau.

Anwar menutup ucapan dengan laungan "Merdeka" dan disambut "Rakyat" sebanyak tujuk kali mengulangi sejarah perisytiharan merdeka di tempat sama pada tanggal 31 Ogos 1957 dahulu.

PAS yakin Pakatan dapat tunai janji

Harakahdaily, 12 Jan 2013


(Puluhan ribu yang penuh sesak di dalam Stadium Merdeka)

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang penuh keyakinan Pakatan Rakyat akan dapat melaksanakan janjinya untuk penghapusan tol kerana ia pernah dilaksanakan di Terengganu.

"Sebelum ini, apabila kita menang di Terengganu, kita telah berjaya menghapuskan tol," katanya ketika berucap di hadapan puluhan ribu peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat HKR112 di Stadium Merdeka.

Puluhan ribu peserta lagi berada di luar stadium kerana tidak dapat memasuki stadium yang telah penuh sesak itu.

Ustaz Hadi berkata, perhimpunan ini sangat bersejarah kerana di sinilah kemerdekaan negara diisytiharkan.

Katanya, telah lebih 50 tahun rakyat negara ini memberi peluang kepada BN.

"Namun apa erti 50 tahun merdeka jika rakyat merempat di tanah air sendiri, anak muda menganggur, harta negara disapu," katanya.

Ustaz Hadi seterusnya memberikan satu pantun yang berbunyi:

Sila belah buah kedondong

Biji dibelah dengan lidi

Bukan salah ibu mengandung

Yang silap memangkah undi


Pulau Pinang dulu, katanya, jadi 'pulau pening' selama 50 tahun di bawah BN.

"Bila Pakatan ambik baru jadi tak pening. Di Selangor kita beri air percuma, tapi dimanipulasikan oleh media," katanya.

Bagi beliau, rakyat tidak perlu takut kepada BN.

"BN bukan hantu, tapi rakyat macam kita, rakyat kena berani. Mari kita isytiharkan kemerdekaan yang kedua. Bila pulang buat kerja. InsyaAllah kita dapat Ubah Sekarang," tegasnya diambuk terikan takbir dari hadirin.

Umno dan BN yang habis jika Pakatan menang

Harakahdaily, 12 Jan 2013


(Stadium Merdeka penuh sesak...ramai yang tidak dapat masuk dan berhimpun di luar)

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi jaminan, rakyat yang akan menang dengan kejatuhan Umno dan Barisan Nasional.

"Kita nak bagi tahu, jika Pakatan menang bukan Melayu, Cina atau India yang habis tetapi jika Pakatan menang, Umno dan BN yang habis," kata Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Himpunan Kebangkitan Rakyat HKR112 di Stadium Merdeka hari ini.

Menurut Lim Guan Eng, pemimpin Umno dan MCA dalam BN sentiasa menipu rakyat dengan permainan perkauman mereka.

"Di depan Melayu, mereka kata, bila Pakatan menang, Melayu akan habis.

"Di depan Cina pula, bila Pakatan menang, mereka kata Cina yang habis.

"Yang sebenarnya, jika Pakatan menang, Umno dan BN yang habis," kata Lim Guan Eng.
Dalam ucapan itu juga, Lim Guan Eng memberikan jaminan, Pakatan akan menyediakan Wifi percuma kepada rakyat dengan menyediakannya di tempat-tempat awam jika Pakatan menang.

Saya bukan nak bayar, saya nak minta - Mohd Sabu

Harakahdaily, 12 Jan 2013

(Mohamad Sabu, pengarah himpunan memberikan ucapan)

KUALA LUMPUR: Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112), Haji Mohamad Sabu  berkata, ada pihak yang mendakwa setiap peserta himpunan ini dibayar RM150.

"Mereka kata, setiap peserta himpunan ini dibayar RM150 seorang. Betul atau tidak," tanya Mohamad Sabu dengan disambut "tidak" oleh peserta perhimpunan.

"Saya bukan nak bayar tuan-tuan, tetapi saya nak minta duit dari tuan-tuan. Boleh atau tidak," yang disambut dengan "boleh" oleh ratutsan ribu yang memenuhi stadium ini.

Beliau kemudiannya melancarkan kutipan derma dari semua yang hadir dengan sasaran setengah juta ringgit.

Kata beliau, derma ini diperlukan untuk membayar bil penggunaan Stadium Merdeka dan sebagainya.

Mohamad Sabu berkata demikian ketika memberikan ucapan aluan di HKR112 di Stadium Merdeka.

(Stadium Merdeka yang penuh sesak)

Sebelum beliau, penyanyi Ito menyampaikan dua lagu iaitu Ubah dan sebuah lagi lagu.

Sastrawan Negara, Datuk A Samad Said telah mendeklamasikan satu sajak yang beliau sifatkan sajak kini menjadi senjata.

Pengacara majlis, Datuk Johari Abdul memaklumkan, pihak penganjur terpaksa membayar RM100,000 untuk menggunakan stadium ini.

"Saya difahamkan, jika kita guna stadium di Kota Bharu kita perlu bayar RM8,000 sahaja," katanya.

Dalam ucapan itu juga, Mohamad Sabu merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengelola Stadium Merdeka yang membenarkan himpunan ini diadakan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang memberikan kerjasama.

Turut diucapkan terima kasih adalah polis yang telah memberikan kerjasama untuk membolehkan himpunan ini diadakan.

"Tepuk amai-amai belalang kupu-kupu Datang ramai-ramai, selamatkan negaraku," kata Mohamad Sabu.

Menurut beluau, selain Kuala Lumpur, turut mengadakan perhimpunan kali ini adalah bandaraya seluruh dunia termasuk Melbourne, Auckland, London, Jordan dan juga lain-lain.

Peniaga untung besar di perkarangan stadium

Harakahdaily, 12 Jan 2013

KUALA LUMPUR:
Para peniaga yang membuka perniagaan mereka di perkarangan Stadium Merdeka hari ini mencatatkan untung besar.

Berbanding dengan perhimpunan yang kecoh sebelum ini, kali ini perniagaan berjalan dengan lancar apabila polis memberikan kerjasama penuh.

Sebelum ini, setiap kali selepas perhimpunan, media Umno dan BN melaporkan peniaga mengadu kerugian akibat dari kekecohan yang berlaku.

Ini kerana, peserta perhimpunan terpaksa bertembung dengan polis.

Malaysiakini melaporkan, seorang peniaga  Mansur Ahmad, 56, berkata, dia berjaya menjual 500 kebab hari ini.

"Hari ini, saya dapat untung lebih RM1,000," katanya gembira.

Malam tadi, Mansur membuka kedainya di Kelab Sultan Sulaiman, tempat perhimpunan para HKR112.

Anaknya, Faeza Mansor, 28, yang menjual sop dan mee di sebelah gerai Mansor berkata, perniagaan mereka kali ini luar biasa keuntungannya.

"Kakak saya sudah mengaku kalah untuk memotong daging lagi. Dia sudah terlalu letih," katanya dengan senyuman gembira.

Faeza dibantu oleh enam adik beradiknya dalam perniagaan hari ini.

Selain itu, air dalam botol dan tin turut menjadi tumpuan peserta perhimpunan kali ini.

Padang Stadium jadi tempat solat Zohor

Harakahdaily, 12 Jan 2013


(Ribuan umat Islam menunaikan Solat Zohor di atas padang bersejarah ini)

KUALA LUMPUR: Kalau selama ini Stadium Merdeka menjadi tempat main bola dan konsert, mungkin buat pertama kalinya, Stadium Merdeka menjadi tempat solat umat Islam.

Beribu-ribu peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112) menunaikan solat Zohor di atas padang yang penuh bersejarah ini.

31 Ogos 1957 padang inilah menjadi tapak perisytiharan kemerdekaan negara yang berlaku 55 tahun lalu.

Hari ini, umat Islam menunaikan solat Zohor di atasnya secara berjamaah.

Mereka berkumpul hari ini untuk menyertai HKR112 yang bermula jam 2 - 5 petang ini.




(Stadium mulai penuh pada jam 1.58 petang)

Peserta HKL112 mula penuhi Stadium Merdeka

Harakahdaily, 12 Jan 2013



KUALA LUMPUR: Para peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112) mula memenuhi Stadium Merdeka, tempat perhimpunan kali ini.

Mereka bergerak dari pelbagai penjuru mengikut kontinjen masing-masing sejak jam 12.15 tadi dengan berjalan kaki ke sana walaupun perhimpunan sebenar bermula jam 2 petang.

Awal pagi tadi, solat Subuh di Masjid Negara umpama Solat Jumaat apabila masjid itu penuh dengan makmum yang datang untuk menyertai perhimpunan ini.

Di Amcorp Mall, Petaling Jaya, pasukan ini dipimpin oleh Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Tantawi bersama Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Sany Hamzan.

Kontinjen dari Masjid Arrahman, Universiti Malaya pula dipimpin oleh  Nurul Izzah, Ng Suee Lim, Safwan Anang, Adam Adli, Raja Iskandar.

Dari Brickfields pula, pasukan ini dipimpin oleh Raja Ratnam, Faizal, Arutchelvan, Kartunis Zunar, Maria Chin, M. Kula Segaran.

Turut kelihatan di sini adalah Pengarah Perhimpunan ini, Haji Mohamad Sabu.

Pasukan NGO R merah dari Kelantan dan R hitam dari Terengganu pula bergerak dari KLCC.

Mereka dipimpin oleh Datuk Husam Musa, Teo Kok Seong, Mazlan Aliman, Zairil Khir Johari.

Di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru pula mereka bergerak ke Stadium Merdeka dengan diketuai oleh Badrul Hisham Shahrin (CheGu Bard)

Kumpulan wanita yang berpakaian ungu pula berhimpun di Pasar Seni. Komander mereka adalah Dr. Siti Mariah, Teresa, Teo Nie Ching, Elizabeth Wong.

Pasukan dari Jalan Sultan pula dipimpin Fuziah Salleh, Ishak Surin, Wong Tack, Tan Kok Wai.

Pasukan terbesar mungkin dari Masjid Negara yang diketuai oleh Khalid Samad, Azmin Ali, Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Sehingga kini, tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku dan perhimpunan kali ini dikawal dengan baik oleh pasukan polis.

Namun demikian pelbagai berita angin tersebar termasuk usaha sabotaj akan dibuat mulai jam 3.30 nanti apabila stadium sudah penuh.

Semua talian telefon juga akan dirosakkan mulai masa itu.

5,000 anggota Unit Amal PAS bertugas dalam himpunan kali ini bagi memastikan keselamatan semua peserta terkawal.

 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan