Isnin, 14 Januari 2013

SEBAGAI MANUSIA...TENTU ADA NALURI RASA BERSALAH@BERDOSA JIKA BUAT KESALAHAN BUNUH...RASUAH...TIPU...SONGLAP...BERZINA...MINUM ARAK DLL...TENTU FIKIR SATU HARI ALLAH BALAS JUGA KEJAHATAN KITA...MAKA BERTAUBATLAH SEBELUM TERLAMBAT...TAK TAHU LAH NERAKA ITU PERMINTAAN KITA...TAPI TENTU MUSTAHIL BAGI ORANG BERAKAL DAN PERCAYA KEPADA ALLAH KECUALI IA SEBAHAGIAN DARI TENTERA2 SYAITAN

500 rakyat Malaysia di Kaherah berhimpun

Mohd Farhan Madzlan, 13 Jan 2013


KUALA LUMPUR: Kira-kira 500 orang rakyat Malaysia di Kaherah, Mesir berhimpun sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kuala Lumpur semalam.

Perhimpunan itu berjaya diadakan walaupun mendapat ancaman yang tidak profesional daripada pihak kedutaan.

Ancaman itu tidak menghalang semangat anak-anak muda ini untuk menyatakan hasrat mereka melihat negara mereka dipimpin oleh mereka yang amanah, keadilan dan demokrasi.

Anak-anak muda ini tampil dengan menutup muka, membawa sepanduk dan melaungkan seruan kebangkitan rakyat.

Himpunan ini sepatutnya dihadiri oleh pimpinan ikhwan Muslimin Dr. Kamal Helbawi tetapi di minit-minit akhir, beliau mempunyai komitmen yang lain.

Sementara itu, Timbalan Presiden Ikatan Lepasan Mesir Malaysia (Ilmam) Mohd Asri Md Daud ketika dihubungi, menyatakan kekesalan terhadap apa yang dilakukan oleh pihak kedutaan Mesir kepada rakyat dan pelajar Malaysia di sana.

"Bukan persoalannya himpunan atau tidak, tetapi ancaman itu adalah satu unsur tidak profesional dan  menafikan hak demokrasi rakyat Malaysia dan di Mesir," tambah asri.

Ilmam juga akan menghantar memorandum dalam masa terdekat ke Kementerian Luar bagi menyatakan kekesalan terhadap duta dan kedutaannya yang tidak mencerminkan sikap terbuka kerajaan yang membenarkan HKR di Stadium Merdeka.

Cermin kereta SU 'R' pecah, plak Royalti hilang

Harakahdaily, 13 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Cermin kereta milik Setiausaha Gabungan Profesional Menuntut Royalti Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R), Hishamuddin Ghazali dipecahkan di Greenwood, Gombak awal pagi tadi. (Gambar)

Beberapa dokumen penting berkaitan R, plak R dan beberapa beg aktivis R dicuri.

Hishamuddin berkata, kejadian itu dianggarkan berlaku sebelum Subuh dan hanya disedari kira-kira jam tujuh pagi tadi ketika beliau dan aktivis R lain keluar untuk sarapan.

"Sebelum pukul 2 pagi kereta masih dalam keadaan selamat. Saya sedar ketika turun mahu sarapan. Kereta saya diletakkan di hadapan tempat penginapan kami," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu berunsur sabotaj kerana barang berharga seperti Sistem Pengesan GPS, walkie talkie dan wang tunai tidak dicuri.

Kereta mewah di sekitar tempat penginapan juga tidak diusik.

"Kemungkinan ada unsur sabotaj oleh orang yang tak puas hati dengan tuntutan R sebab dokumen berkatan R sahaja yang dibawa lari.

"Tambahan pula, kereta saya jadi sasaran selepas dua minggu kereta Presiden R disimbah cat merah dan dipecahkan cermin," katanya.

Sehubungan itu, beliau akan membuat laporan polis di balai polis berdekatan.

Suhakam puas hati kejayaan himpunan KL112

Harakahdaily, 13 Jan 2013


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berpuas hati dan ingin mengalu-alukan kejayaan perhimpunan aman ‘Himpunan Kebangkitan Rakyat’ yang diadakan di Stadium Merdeka di Kuala Lumpur dan di Kota Kinabalu, semalam.

“Kejayaan ini jelas menunjukkan bahawa dengan adanya sifat keikhlasan dan tolak ansur di kalangan parti yang berkenaan, hak demokratik berhimpun secara aman boleh dilaksanakan dalam negara ini dan bukannya seperti mana yang diragui oleh skeptis,” ujar Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam.

Tambahnya, Suhakam memuji sikap profesional yang ditunjukkan oleh pihak polis, penganjur dan peserta dalam mengendalikan perhimpunan itu yang mana mencerminkan imej yang baik terhadap negara.

Suhakam, ujarnya dalam kenyataan semalam turut memuji pemimpin atasan polis atas kecerdasan dan kebijaksanaan mereka dalam menangani keadaan berkenaan perhimpunan.


Menurutnya, Suhakam juga berbesar hati dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh kedua-dua pihak polis dan penganjur perhimpunan dalam usaha mengawal keadaan perhimpunan dan persuraian peserta untuk mengelakkan sebarang kejadian dan penahanan yang tidak diingini.


“Menyedari akan perhimpunan tersebut telah menggambarkan bahawa perhimpunan aman boleh direalisasikan menerusi penglibatan terbuka di antara pihak penguatkuasa, penganjur dan peserta perhimpunan, Suruhanjaya berharap bahawa usaha positif ini akan terus meningkatkan persefahaman di antara semua pihak yang terlibat terhadap peranan masing-masing dalam memastikan pengendalian perhimpunan yang aman seterusnya memberi kelonggaran kepada sekatan yang sedia ada,” katanya lagi.


Jelasnya, dalam melaksanakan peranannya sebagai badan pemantau yang bebas, Suruhanjaya telah menggerakkan pasukan pemantaunya untuk memerhatikan keadaan perhimpunan di beberapa lokasi utama di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.

“Ia akan meneruskan peranan penting ini disamping menjalankan siasatan mengenai sebarang pelanggaran hak asasi manusia yang dikemukakan kepadanya,” katanya.

Najib bakal didesak letak jawatan, terhangat

Harakahdaily, 13 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Berita bertajuk “Najib akan dipaksa meletak jawatan atas ‘sebab kesihatan’?” tulisan Malaysia Chronicle Bahasa Melayu menjadi artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke-2, 2013.
Di tempat ke 2 ialah mengenai persoalan yang dibangkitan bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin mengenai penggunaan nama Allah di dalam lagu-lagu rasmi negeri paparan blog http://omakkau.blogspot.com.

Manakala pembaca Harakahdaily memilih tulisan blog http://addin77.blogspot.com bertajuk “Abby Abadi perli ustaz-ustaz Umno” sebagai artikel ke 3 terhangat minggu lepas.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Harakahdaily bagi minggu 6.1.13 ke 12.1.13.
1

Najib akan dipaksa meletak jawatan atas ‘sebab kesihatan’?
2

Kalimah Allah: Siapa boleh tolong jawab persoalan Dr Maza
3

Abby Abadi perli ustaz-ustaz Umno
4

Mufti Perlis sindir TV3
5

Gambar: Tok Guru Nik Aziz di majlis perkahwinan Khairul Fahmi (Apek)
6

Ustaz Taliban' menang saman RM100,000
7

Akhbar Malaysia tak berani siar pakar ekonomi Bank Islam ramal Pakatan menang!
8

Umno Kelantan sudah mula gaduh
9

Mahkamah arah keahlian Isa Samad dibuang dari KPF
10

Kalau anda bijak bestari cuba teka siapakah yang Dr. Maza maksudkan ini?

HKR112 berjaya, rakyat bakal ubah pada PRU13

Harakahdaily, 13 Jan 2013


KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengharapkan perubahan murni di atas 10 tuntutan yang diisytiharkan pada Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112) petang semalam adalah titik bermula perubahan yang bakal dilakukan oleh rakyat pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Setiausaha agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perhimpunan yang berjalan dengan tertib dan sifar dari kejadian yang tidak diingini itu adalah sangat terpuji kerana itulah realiti yang sebenar apabila rakyat diberi ruang untuk berhimpun dengan aman tanpa sebarang provokasi.

Tambahnya, jelas segala tohmahan dan fitnah terhadap HKR112 oleh pihak yang menganggap ia akan menjejaskan keamanan adalah ternafi.

Beliau berkata, penganjur HKR tersebut harus dipuji bukan sahaja dari segi pengawalan keselamatan  yang dijalankan yang sangat rapi malah ia merupakan perhimpunan yang murni dari rakyat tanpa sebarang kekecohan.
“Kami memperakui bahawa tuntutan 10 perkara yang diisytiharkan adalah wajar sebagai komitment untuk memperbaikki kualiti hidup rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tuntutan itu juga adalah janji Pakatan Rakyat jika berjaya mengambil alih kerajaan selepas PRU13, seharusnya menjadi komitmen rakyat untuk memastikan semua tuntutan itu dipenuhi oleh sesiapa pun yang akan membentuk kerajaan.

Katanya, deklarasi yang mengandungi lapan perkara itu yang meliputi aspek proses pilihan raya, isu Felda, status pembangunan Sabah dan Sarawak, royalti petroleum, professionalisme kakitangan awam, alam sekitar, martabat bahasa Melayu, pembebasan tahanan ISA, mempertahankan kampung warisan dan kualiti hidup kaum wanita adalah tuntutan yang menyeluruh dan menyentuh soal kepentingan rakyat yang wajar diberi sokongan.

Justeru, ujarnya Mapim menyeru agar PRU13 yang akan diadakan seharusnya mengenengahkan idea bernas seperti yang dituntut dalam HKR itu dan bukan dengan melemparkan fitnah serta melagakan sentimen kaum dan agama.

Katanya lagi, rakyat perlu dididik untuk melaksanakan proses demokrasi dengan matang demi menjadikan negara ini lebih bermaruah .

“Dengan mendengar hujah dan penerangan secara langsung dalam HKR112 itu, sikap rakyat harus dihormati untuk membuat keputusan tanpa sebarang ugutan dan sogokan,” ujarnya.

Beliau menambah, HKR petang semalam telah melakarkan sejarah yang sangat penting untuk negara ini yang menunjukkan betapa suara rakyat tidak perlu dipandang serong malah semua pihak perlu menghormati tuntutan rakyat .

“Sementara perhimpunan itu telah berjalan lancar dan membuktikan kematangan rakyat merayakan kebebasan bersuara dan berkumpul dengan aman, pihak kerajaan pula harus bersikap jujur supaya maklumat yang benar tidak diselewengkan hanya kerana mahu mengekalkan kuasa,” ujarnya.

Azan Asar, tuntutan 10 perkara tutup HKR112

Harakahdaily, 12 Jan 2013


(Stadium Merdeka penuh sesak begitu juga di luar stadium)

KUALA LUMPUR: Himpunan Kebangkitan Rakyat HKR112  melabuhkan tirainya dengan lagu Negaraku dan laungan azan Asar yang berkumandang.

Sebelum itu, doa dibacakan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menutup ucapannya dengan mengajak ratusan ribu yang hadir dengan berteriak MERDEKA  sebanyak tujuh kali dengan disambut sekelian yang hadir dengan 'RAKYAT'.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail pula memimpin bacaan ikrar atau Deklarasi HKR #KL112.

Deklarasi yang mengandungi lapan perkara itu dibacakan Saifudin dan diulangi oleh sekalian yang hadir termasuk kesemua pemimpin Pakatan yang berada di atas pentas.

Deklarasi itu adalah:

1) Menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

2) Menuntut reputasi dan wibawa Felda di selamatkan.

3) Menuntut supaya Sabah dan Sarawak diberikan layanan adil dan setara dengan Semenanjung.

4) Menuntut 20 peratus royalti minyak dikembalikan kepada negeri pengeluar petroleum.

5) Mengiktiraf dan meningkat profesionalisme kakitangan awam.

6) Menuntut alam sekitar yang bersih dan sihat.

7) Menuntut agar Bahasa Kebangsaan dimartabatkan dan Bahasa Inggeris dipertingkatkan.

8) Menuntut pembebasan tahanan politik.
9) Menuntut agar kampung2 tradisi dan tempat-tempat warisan dipelihara, dilindungi dan dipertahankan.

10) Menuntut kehidupan yang lebih baik untuk wanita sebagaimana termaktub di dalam Agenda Wanita Malaysia.

Saya bukan nak bayar, saya nak minta - Mohd Sabu

Harakahdaily, 12 Jan 2013

(Mohamad Sabu, pengarah himpunan memberikan ucapan)

KUALA LUMPUR: Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112), Haji Mohamad Sabu  berkata, ada pihak yang mendakwa setiap peserta himpunan ini dibayar RM150.

"Mereka kata, setiap peserta himpunan ini dibayar RM150 seorang. Betul atau tidak," tanya Mohamad Sabu dengan disambut "tidak" oleh peserta perhimpunan.

"Saya bukan nak bayar tuan-tuan, tetapi saya nak minta duit dari tuan-tuan. Boleh atau tidak," yang disambut dengan "boleh" oleh ratutsan ribu yang memenuhi stadium ini.

Beliau kemudiannya melancarkan kutipan derma dari semua yang hadir dengan sasaran setengah juta ringgit.

Kata beliau, derma ini diperlukan untuk membayar bil penggunaan Stadium Merdeka dan sebagainya.

Mohamad Sabu berkata demikian ketika memberikan ucapan aluan di HKR112 di Stadium Merdeka.

(Stadium Merdeka yang penuh sesak)

Sebelum beliau, penyanyi Ito menyampaikan dua lagu iaitu Ubah dan sebuah lagi lagu.

Sastrawan Negara, Datuk A Samad Said telah mendeklamasikan satu sajak yang beliau sifatkan sajak kini menjadi senjata.

Pengacara majlis, Datuk Johari Abdul memaklumkan, pihak penganjur terpaksa membayar RM100,000 untuk menggunakan stadium ini.

"Saya difahamkan, jika kita guna stadium di Kota Bharu kita perlu bayar RM8,000 sahaja," katanya.

Dalam ucapan itu juga, Mohamad Sabu merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengelola Stadium Merdeka yang membenarkan himpunan ini diadakan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang memberikan kerjasama.

Turut diucapkan terima kasih adalah polis yang telah memberikan kerjasama untuk membolehkan himpunan ini diadakan.

"Tepuk amai-amai belalang kupu-kupu Datang ramai-ramai, selamatkan negaraku," kata Mohamad Sabu.

Menurut beluau, selain Kuala Lumpur, turut mengadakan perhimpunan kali ini adalah bandaraya seluruh dunia termasuk Melbourne, Auckland, London, Jordan dan juga lain-lain.

PAS yakin Pakatan dapat tunai janji

Harakahdaily, 12 Jan 2013


(Puluhan ribu yang penuh sesak di dalam Stadium Merdeka)

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang penuh keyakinan Pakatan Rakyat akan dapat melaksanakan janjinya untuk penghapusan tol kerana ia pernah dilaksanakan di Terengganu.

"Sebelum ini, apabila kita menang di Terengganu, kita telah berjaya menghapuskan tol," katanya ketika berucap di hadapan puluhan ribu peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat HKR112 di Stadium Merdeka.

Puluhan ribu peserta lagi berada di luar stadium kerana tidak dapat memasuki stadium yang telah penuh sesak itu.

Ustaz Hadi berkata, perhimpunan ini sangat bersejarah kerana di sinilah kemerdekaan negara diisytiharkan.

Katanya, telah lebih 50 tahun rakyat negara ini memberi peluang kepada BN.

"Namun apa erti 50 tahun merdeka jika rakyat merempat di tanah air sendiri, anak muda menganggur, harta negara disapu," katanya.

Ustaz Hadi seterusnya memberikan satu pantun yang berbunyi:

Sila belah buah kedondong

Biji dibelah dengan lidi

Bukan salah ibu mengandung

Yang silap memangkah undi


Pulau Pinang dulu, katanya, jadi 'pulau pening' selama 50 tahun di bawah BN.

"Bila Pakatan ambik baru jadi tak pening. Di Selangor kita beri air percuma, tapi dimanipulasikan oleh media," katanya.

Bagi beliau, rakyat tidak perlu takut kepada BN.

"BN bukan hantu, tapi rakyat macam kita, rakyat kena berani. Mari kita isytiharkan kemerdekaan yang kedua. Bila pulang buat kerja. InsyaAllah kita dapat Ubah Sekarang," tegasnya diambuk terikan takbir dari hadirin.

'Turun tengok masalah kami'

-, 12 Jan 2013


Jam 2 petang, Rabu, 9 Januari, sebaik  melintasi jalan di hadapan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUM), Cheras, selepas menjalani rawatan rutin dengan Prof Dr Zamrin Dimon, saya dan isteri agak terperanjat apabila sebuah teksi tiba-tiba berhenti mengejut  sambil pemandunya membuka tingkap.

"Sdr Ahmad Lutfi, ya? Ketua Pengarang Harakah?" tanya pemandu, berwajah ceria, mahu kepastian. Apabila saya mengangguk, senyum, beliau terus keluar, meluangkan pintu belakang dan mempelawa saya masuk.

"Saya nak bawa sdr melihat sendiri kawasan perumahan kami. Dan hampir tiga minggu tak ada air. Zalim betul kerajaan. Sdr Lutfi dapat saksikan sendiri susahnya kami," lancar saja dia berbicara.

"Tak jauh pun dari sini, kat Flat Melaka hujung sana, yang penting sdr tengok sendiri ...," tambahnya, separa merayu, sambil tangannya menunjuk ke arah simpang ke Tasik Permaisuri.

Saya berpandangan dengan isteri, Siti Hawa. Kami keletihan selepas menunggu lama tadi. Malah, ada kesilapan kecil semasa mengambil ubat di farmasi menyebabkan terpaksa berulang alik ke klinik yang agak sesak disebabkan dalam proses ubahsuai.

Lagi pula kami baru menapak  agak jauh menuju parkir, berdekatan stadium bolasepak dan kompleks renang,  dengan isteri menyabarkan bila nampak langkah saya makin perlahan, dibantu tongkat, terutama semasa mendaki: "Bukankah baik berjalan kaki 10,000 langkah sehari? Untuk kesihatan dan kuatkan otot 'kan, seperti nasihat Prof?"

Kebetulan saya belum makan sejak pagi.

"Maaf, saya agak letih, satu pagi di HUKM tadi ... boleh kita atur pertemuan hari lain, saya boleh bawa sekali wartawan dan jurugambar," saya tidak bermaksud sengaja mencari alasan. Panas terik turut membantut stamina saya.

Selepas bertukar nombor telefon, saya rasa lega sambil bertekad cuba membantu sekadar mampu.

Esoknya, pagi Khamis, saya dikejutkan dengan telefon Fazli, pemandu teksi yang saya jumpa semalam, minta pengesahan jam berapa kami boleh sampai Flat Sri Melaka. Kami sampai agak lewat. Agak ramai yang sabar menanti, untuk menceritakan rutin harian yang memenatkan, apatah sebahagian besarnya warga emas.

Saya dimaklumkan ada ibu mengandung lima bulan keguguran naik turun tangga membawa air. Seorang lelaki, dalam usia 60-an, yang duduk di sebelah saya, di bawah wakaf tempat kami berkumpul, menunjukkan kakinya yang bengkak. Nampak beliau sukar berjalan.

Dapat dikesan bahawa penduduk memahami akar masalah sebenar; mereka dapat menyelami dengan baik dan menerima penjelasan yang telah dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Abd Khalid Ibrahim, yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

"Selagi kita tak tukar kerajaan persekutuan selagi itulah masalah ini tak akan selesai," kata seorang daripadanya, juga pemandu teksi. Kelihatan dia mendapat sokongan daripada rakan-rakannya yang termasuk, termasuk kaum ibu. Dia juga pandai berjenaka.

"Sekarang dah ramai jadi maharaja lawak. Tengok saja alasan Syabas yang mengaitkan hal ini dengan projek Langat 2, 'kan tak masuk akal?  Cukuplah melawak," tambahnya.


Bila saya posting isu ini dalam Facebook, ada rakan-rakan sekitar Cheras mencelah: "Kawasan kami lagi teruk, Flat Sri Melaka hanya empat tingkat, kami 16 tingkat, bila lif rosak bayangkan nak angkut air:"

Bukan saja harapan penduduk sekitar kawasan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, yang melangit tinggi terhadap Harakah dan juga Pakatan Rakyat, ramai lagi anggota masyarakat yang diasak pelbagai masalah -- bekalan air hanya siri rentetannya -- amat mengharapkan kesulitan mereka dapat diatasi.

Atau sekurang-kurangnya luahan suara hati mereka didengar dengan jujur dan terbuka.

Ketika saya mencatatkan keluhan wakil penduduk, bukan saja berkaitan masalah bekalan air yang tidak diuruskan secara profsional, juga isu projek pembangunan semula di atas tapak kawasan perumahan Sri Melaka, Sri Johor, Sri Melaka dan Taman Ikan Mas, seorang daripadanya berbisik perlahan:

"Minta Sdr Lutfi sampaikan hajat kami kepada pemimpin Pakatan, khususnya PAS, agar mereka dapat turun melihat kesusahan orang bawah di sini, kalau boleh biarlah Presiden atau Timbalan Presiden PAS sendiri."

Sebenarnya ini bukan kali pertama saya mendapat mesej jelas, yang menggesa agar pemimpin Pakatan -- di samping mendedahkan isu-isu besar penyelewengan kerajaan BN seperti rasuah dan skandal ekonomi -- segera turun mendekati rakyat.

Kalaupun tidak mampu menawarkan jalan penyelesaian  sepenuhnya, mungkin dengan keterbatasan kuasa dan pengaruh, cukuplah untuk menunjukkan keprihatinan dan rasa peduli yang tinggi terhadap kesukaran seharian rakyat.

Semasa sembang-sembang santai dengan seorang pensyarah kanan perubatan HBUKM di ruang menunggu yang sesak, beliau mencadangkan agar Harakah turut memberi tumpuan istimewa kepada isu-isu yang menyentuh rakyat secara langsung, selain menghebahkan kejayaan negeri-negeri Pakatan Rakyat.

"Ramai lagi yang terpengaruh dengan TV3 dan Utusan Malaysia. Dekati mereka, sampaikan maklumat dengan jelas dan jangan lari daripada fokus utama. Usah layan sangat isu-isu yang sengaja dicetuskan untuk memalingkan perhatian rakyat," tambahnya.

"Orang sekarang mahukan fakta, bukan retorik. Tunjukkan apa yang rakyat dapat jika Pakatan memerintah, misalnya ramai menunggu, betulkah harga kereta akan turun kalau BN kalah?

"Jadi, kualiti calon Pakatan amat penting. Rakyat mahu wakil mereka yang mudah didekati, tidak sombong, sedia turun selesai masalah, ringan tulang, amanah dengan kepercayaan pengundi," ujarnya sambil menekankan agar Harakah dapat menjawab segala tohmahan media terutama berkaitan kepentingan Melayu-Islam.

Segera saya teringat komen seorang sarjana sains politik: "Ramai juga saya perhatikan rekod kerja wakil rakyat Pakatan yang tidak menyerlah. Malah ada  yang takut berjumpa rakyat, bimbang tak dapat dipenuhi hasrat pengundi. Nasib baik gelombang sekarang mahukan perubahan, dan rakyat  tak kisah dengan kelemahan Pakatan. Tapi cukupkah bersandarkan trend semasa itu?"

(Semasa saya menyiapkan artikel ini, SMS rakan saya, seorang wartawan penyiaran, memaklumkan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor, akan turut mengagihkan bekalan air minuman kepada penghuni Flat Sri Melaka, petang Jumaat, 11 Januari 2013)

Ustaz Hadi tidak minta buat penjelasan

Subky Latif, 11 Jan 2013
YANG gatal minta TG Haji Abdul Hadi Awang membuat penjelasan tentang Amanat Haji Hadi ialah UMNO dan sekalian kompeninya.
Apabila amanat  terpendam itu dibangkitkan Tok Guru lebih selesa berdiam diri. Dibiarkannya semuanya menyalak.

Bukan dia yang gatal mulut minta membuat penjelasan. Yang gatal ialah UMNO dan sekalian kompeninya. Menteri Rais Yatimlah yang galak sangat.

Kerana kompeni-kompeni itu hendak sangat penjelasannya, mahu tak mahu beliau memberikan syarat; beri peluang sejam kepadanya bersiaran secara langsung di TV.

Syarat Ustaz Hadi itu meletup dan mungkin bagi sekalian kompeni lebih bingit dari ledakan letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki hampir 70 tahun lalu.

Yang mahu sangat penjelasannya itu ialah sang kompeni. Orang-orang  di sekeliling Ustaz Hadi merendah diri, tidak usahlah khazanah terpendam itu dirong-rongkan. Hadapilah PRU13 nanti dengan isu-isu yang sedia ada.

Undang-undang dan demokrasi memberi pilihan kepadanya untuk tidak menjawab. Ia adalah haknya.

Sekarang tuan badan sudah bersedia memenuhi tuntutan kompeni. Beri satu jam kepadanya muncul di kaca TV. Tidak kurang seminit dan tidak lebih seminit.

Maka kelam kabut UMNO, kerajaan, TV dan pacal-pacal kompeni mencari dalih menolaknya.

Khairy Jamaluddin Ketua Pemuda UMNO membuat penolakan awal. Tidak dipastikan adakah dia termasuk orang yang hendak sangat penjelasan dari pemilik amanah itu?

Tetapi kalau diizinkan Tok Guru bercakap di TV semuanya keliru. Sebenarnya sekarangpun ramai yang keliru. Yang membangkitkan isu itu keliru, yang minta penjelasan memang keliru, habis mufti pun keliru.

Jika semua orang keliru termasuk  yang sudah keliru sekarang, mungkin ia baik pada UMNO. Mereka tidak dapat memahami yang Ustaz Hadi cuba sampaikan. Selagi mereka keliru dan tidak memahami, maka mereka selama-lamanya akan Tok Guru itu orang curang dan mereka terus membencinya. Eloklah untuk UMNO jika mereka terus kegelapan.

Khairy dipercayai bimbang Ustaz Hadi dapat memusingkan kekeliruan mereka hingga menjadi orang yang faham. Bila mereka faham, maka mereka menyukai amanah itu. Mereka akan keluar beramai  dari kegelapan kepada kebenaran.

Bagi satu jam kepadanya, nescaya ramai yang jelas dengan apa sebenarnya amanah itu. Jika diberi dua jam, bertukar semuanya dari penentang menjadi peminat.

Mereka hendak memerangkap pemimpin PAS itu. Tetapi beliau mempertahankannya tanpa tampil membuat penjelasan. Sekarang beliau sudah bersedia tetapi melalui siaran langsung sejam di TV. Syaratnya itu memerangkap sekalian yang mintanya membuat penjelasan.

Saya teringat kisah Abu Jahal cuba memerangkap Nabi SAW. Dia menggali lubang di hadapan rumahnya. Dimuatkannya barang-barang tajam dan menutup permukaan lubang itu. Diapun mengaku sakit dan minta orang memanggil baginda untuk mengubati penyakitnya, dengan harapan jika baginda datang nescaya terjatuh di lubang dan cedera.

Baginda pun datang. Sebelum baginda mendapat wahyu tentang perangkap yang dipasang untuknya. Baginda berpatah balik. Abu Jahalpun menyinga lalu tak tentu arah. Semasa dia hendak keluar rumah, dia lupa perangkapnya. Dia terperangkap. Dia  tidak dapat dikeluarkan dari perangkapnya hingga baginda datang menyelamatkannya.

UMNO yang gatal mahu memerangkap Ustaz Hadi. Ustaz Hadi tidak masuk perangkap tetapi mereka yang terperangkp.

Tarbiah PAS berjaya menyelamatkan akidah

Idris Ahmad, 11 Jan 2013
Kehadiran PAS sebagai sebuah jamaah di negara ini secara rasmi 1951 untuk menerangkan Islam kepada masyarakat, bahawa Islam ialah ajaran yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Kelahiran PAS, apabila ada di kalangan orang agama di dalam Umno yang memberi teguran kepada pemimpin Umno mengenai masalah Islam tidak dipedulikan. Semua cadangan hanya dibakulsampahkan sahaja. Isu loteri dibantah oleh ulamak di dalam Umno, tetapi tidak dipeduli, kerana yang penting ialah duit. Begitu juga  dengan isu Natrah yang telah dikembalikan kepada agamanya oleh mahakamah Singapura pada tahun 1950, Umno membisu. Akhirnya ulamak mengambil pendirian bahawa mereka perlu kepada satu  badan yang bebas untuk menyatakan Islam dan mempertahankan Islam.
PAS sebagai sebuah parti yang dasarnya Islam seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasa 3, tidak pernah berganjak daripada menyatakan tentang Islam.  Seruan ini disampaikan kepada masyarakat tidak kira musim. Sama ada sewaktu pilihanraya atau selepas pilihanraya. Tugas PAS ialah untuk mengajak masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

PAS bukan semata-mata parti politik yang  bergerak di musim pilihan raya, tetapi PAS juga sebagai sebuah jamah Islam yang menyampaikan seruan Islam kepada semua manusia tanpa ada had musim.

Pimpinan PAS terutamanya yang bergelar ulamak atau ustaz bekerja menyampaikan seruan Islam tanpa jemu-jemu. Mereka menerangkan Islam daripada perkara masuk tandas sampai kepada soal pemerintahan (politik). PAS dibantu oleh Tuan Guru pondok, walaupun mereka ini bukan memegang apa-apa jawatan di dalam PAS, namun pendirian mereka selari dengan apa yang dipegang oleh PAS. Maka mereka banyak membantu PAS melalui kelas-kelas pengajian mereka. Hasil daripada tarbiah mereka juga melahirkan kader-kader PAS.
Bukan satu kerja yang mudah untuk memecah kefahaman tradisi yang sudah berkarat lama di dalam pemikiran masyarakat. Ajaran Islam hasil peninggalan penjajah yang mengajar Islam hanya di dalam bentuk ritual, yakni hubungan dengan Allah semata-mata. Islam tidak diajar sebagai tatacara hidup yang lengkap. Akhirnya inilah yang menjadi anutan dan kepercaayaan sebahagian besar masyarakat di negara ini. Mereka didedahkan Islam yang sempit, sama ada melalui kelas pengajian formal (sekolah) atau tidak formal (surau dan masjid).

Walau pun penjajah sudah lama pergi meninggalkan negara ini, namun kepercayaan mereka terhadap Islam yang sempit sukar untuk diubah. Ketika inilah ulamak-ulamak PAS yang bekerja siang malam menyampaikan seruan ini kepada masyarakat.

PAS hanya berdakwah bukan menghukum. Kerja menyelamatkan akidah umat adalah satu tanggungjawab semua pihak. PAS mengambil tanggungjawab ini setelah Umno kurang mengambil perhatian perkara ini. Walau pun penjajah telah mengangkat kaki daripada bumi bertuah ini, namun mereka masih meninggalkan karat-karat sekular. Ajaran yang diajar,  Islam hanya soal peribadi, tidak ada kaitan dengan dunia dan akhirat. Rakyat hanya faham bahawa Islam yang ada pada batang tubuh mereka tidak akan terbatal. Mereka hanya diajar batal sembahyang, batal wuduk, batal haji, batal puasa, tetapi tidak diajar batal Islam.

Kesannya ada manusia yang berbicara sehingga menjejaskan akidah. Mereka ini  bukan orang jahil dalam agama, malahan terdiri daripada orang yang faham agama bergelar ustaz, tuan Imam dan sebagainya. Mereka ini berbicara di dalam dua keadaan, satu kerana memang tidak faham tentang konsep Islam yang sebenar. Mungkin kerana mereka tidak mempelajari secara mendalam. Kedua, mereka faham tetapi buat-buat tidak faham, kerana kepentingan duniawi.

Sedangkan ulamak PAS hanya menerangkan perkara yang membatalkan Islam. Seperti mana yang telah diajar mengikut disiplin keilmuan Islam. Atas kaedah yang disimpulkan oleh ulamak.

“Siapa yang mengakfirkan orang Islam maka ia kafir. Siapa yang tidak mengkafirkan orang kafir maka ia kafir. Siapa yang ragu terhadap kekafiran seseorang maka ia kafir”

Malangnya orang yang selalu mengkafirkan Umno, sekarang sudah masuk Umno. Mungkin kerana tidak ada lagi orang Umno yang hendak dikafirkan. Mereka ini ialah golongan pelampau yang tidak mengikut uslub  yang diputuskan oleh jamaah. Benarlah apa cara sekalipun kita mesti sederhana. Bertepatan dengan peringatan nabi SAW: “Sebaik-baik perkara ialah pertengahan”.

Hasil daripada penerangan yang dilakukan oleh ulamak PAS terutamanya, masyarakat sudah mendapat pencerahan. Mereka tidak lagi berani mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam dan memperolok-olok hukum Islam. Satu ketika dahulu sering kita dengar pimpinan Umno dan orang-orang agama di dalam Umno yang mengatakan jika laksanakan Islam akan mendatangkan huru hara. Jika hukum Islam dilaksanakan, ekonomi akan dibolot oleh orang bukan Islam kerana orang Islam dipotong tangan. Jika laksanakan Islam, tidak ada lagi batu untuk membuat jalan kerana diguna untuk melontar orang berzina. Ini ucapan yang tidak mempunyai kaitan dengan politik Pas, sebaliknya ia bersangkutan dengan akidah. Pas sebagai parti Islam wajib menyelamatkan akidah umat daripada sesat yang akan membawa kepada kekal di dalam neraka.

Atas kesedaran bahayanya gejala yang boleh merosakkan akidah maka Kerajaan Saudi telah mengedarkan risalah kecil kepada jamaah haji dan umrah. Buku yang memberi amaran kepada semua jamaah agar menjaga akidah dan memelihara perkara yang boleh membatalkan Islam dan haji. Begitu juga di dalam Kitab Mastika Hadis jilid pertama halaman 225-229 telah membicara dengan panjang lebar mengenai gejala membatalkan akidah. Diterangkan dengan ulasan yang menarik, akidah boleh terbatal melalui perkataan, perbuatan dan iktikad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan