Khamis, 24 Januari 2013

BILA RAKYAT SUDAH SEDAR SAPE YANG BENAR2 TAK BOLEH DIHARAP...MASING2 MENCARI KEKAYAAN SENDIRI...SERTA TIDAK BERSIFAT ADIL

UMCEDEL: Sokongan Pakatan meningkat, BN turun

Nazri Abdullah dan Faizal Mohamad, 23 Jan 2013

(Keputusan kajian yang dibuat oleh UMCEDEL)


KUALA LUMPUR: Kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya menunjukkan sokongan kepada Pakatan terus meningkat dari masa ke semasa dan kini hampir dengan Barisan Nasional.

Ini menghasilkan, persaingan antara Pakatan Rakyat dengan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kali ini dijangka paling sengit dalam sejarah politik negara.

Hasil kajian yang dibuat Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) hari ini menunjukkan hanya perbezaan kecil antara sokongan terhadap kedua-dua kumpulan politik yang bertanding itu.

Dalam hasil kajian yang didedahkan hari ini, daripada 1409 responden, 42 peratus menjangkakan BN akan menang, 37 peratus pula yakin kemenangan berpihak kepada Pakatan Rakyat manakala 21 peratus tidak pasti.

Dalam kajian sebelum ini, sokongan untuk Pakatan hanya bermula dengan Pakatan 18%, BN 43% (Disember 2011), Pakatan 21%, BN 49% (April 2012) dan Pakatan 30%, BN 44% (September 2012)

Yang terbaru, sokongan kepada Pakatan sudah 37% dan BN turun kepada 42% manakala 21% lagi masih atas pagar.

Pengarah UMCEDEL, Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman (gambar) berkata, hasil itu menunjukkan pertarungan antara kedua-dua kelompok parti bertanding pada waktu ini adalah bersifat terbuka.

"Kita boleh kata penentu kemenangan bagi kedua-dua parti yang bertanding adalah golongan 21% ini," katanya ketika membentangkan hasil kajian itu di Pejabat UMCEDEL, di UM hari ini.

Memperincikan golongan 21 peratus ini beliau berkata, jika mengikut pecahan bangsa, paling tinggi adalah golongan Tionghua iaitu 53 peratus.

Dari segi pendidikan pula, paling tinggi adalah gologan lepasan ijazah iaitu 49 peratus.

Peringkat umur pula, peratusan paling tinggi adalah yang berumur antara 21 hingga 30 tahun.

"Jika dalam kategori status mengundi, peratusan paling tinggi adalah golongan yang kali pertama mengundi iaitu sebanyak 48%," katanya.

Menurut beliau lagi, parti yang mampu menguasai golongan 21 peratus ini mempunyai peluang untuk menang pada pilihan raya umum nanti.

Hasil kajian ini dibuat UMCEDEL bermula 26 Disember lalu hingga 11 Januari tahun ini.

Anugerah doktor kehormat untuk projek RM1.15 bilion?

Harakahdaily, 23 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Penganugerahan doktor falsafah kehormat (PhD) kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh sebuah pengajian sukan yang tidak terkenal di Amerika Syarikat telah dikaitkan dengan kontrak lumayan kepada kolej berkenaan.

(Muhyidin di hari menerima ijazah doktor kehormat dari USSA)

Ketua strategi pilihanraya DAP Ong Kian Ming hari ini mendedahkan bahawa kontrak itu diberikan melalui agen kolej berkenaan, KH Sports Sdn Bhd, yang diketuai ketua Puteri Umno bahagian Langkawi.

United States Sports Academy (USSA) sedang dalam cubaan membida untuk melatih kesemua 50,000 guru sukan di Malaysia dalam sebuah kontrak bernilai RM1.15 bilion.

Presiden USSA Thomas Rosandich telah mempertahankan penganugerahan doktor falsafah kehormat (PhD) kepada Muhyiddin dengan hujah bahawa ia berdasar prestasi cemerlang Timbalan Presiden Umno.

“Apa yang Dr Rosandich gagal untuk memjelaskan ialah konflik kepentingan yang jelas untuk memberikan anugerah doktor falsafah kehormat tersebut kepada Muhyiddin semasa institusi yang beliau wakili, USSA, mungkin mendapat kontrak sebanyak RM1.15 bilion jika projek percubaan untuk melatih semula guru sukan ini disambung dan diperluaskan,” kata Ong (gambar) dalam satu kenyataan.

“Tidak dinafikan bahawa kontrak yang akan diberikan kepada USSA melalui agen tunggalnya, KH Sports Sdn Bhd yang presidennya Hisham Suhaili Othman ialah Ketua Puteri Umno bahagian Langkawi,” tambah beliau.

Ong turut merujuk kepada satu kenyataan di laman USSA yang menyatakan bahawa Diploma Antarabangsa dalam Pendidikan Fizikal dan Sukan Persekolahan “International Diploma in Physical Education and Scholastic Sports (IDPESS)” melibatkan latihan semula 50,000 guru-guru Malaysia, dan projek percubaan tahun lepas melibatkan 1000 guru sukan telah menelan belanja sebanyak RM22.9 juta atau RM22,900 untuk satu diploma.

"Perluasan program ini untuk melatih 50,000 guru sukan akan menelan duit rakyat sebanyak RM1.145 bilion untuk 5 tahun akan datang,” katanya.

Oleh sebab itu, Ong menyeru Muhyiddin untuk tampil dan menjelaskan projek percubaan tersebut dan menerangkan sebab-sebab kementeriannya memilih sebuah universiti online (maya) melalui satu agen Malaysia yang perniagaannya menjual alatan sukan dan pengerusinya ialah seorang Ketua Puteri Umno di Kedah.

PAS jalan operasi kesan pemilik IC palsu

Hazayani Zakaria, 23 Jan 2013
KUALA LUMPUR: PAS Selangor sedang mengadakan operasi mengesan pemilik-pemilik kad pengenalan (IC) yang diragui di negeri itu.

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Selangor, Khairuddin Othman (gambar kiri) berkata, operasi tersebut dilakukan dengan pergi dari rumah ke rumah mengikut alamat di IC.

Ia berikutan pertambahan mendadak pengundi di Selangor yang mencecah 450,000, manakala 130,000 pula tidak dapat dikesan berdasarkan alamat yang didaftarkan.

"PAS memang meragui peningkatan luar biasa pengundi di selangor ini jadi jentera PAS mengadakan operasi mengesan pengundi-pengudi yang diragui ini.

"PAS juga meminta SPR memberi kerjasama mengesan pengundi yang diragui ini yang kebanyakannya dikesan di Hulu langat dan Subang," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata, situasi ini dikhuatiri merupakan taktik Umno BN untuk merampas Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ini kerana BN berjaya menumbangkan kerajaan PAS Terengganu pada PRU ke-11 apabila memindahkan pengundi Selangor ke Terengganu.

"Kita minta SPR siasat peningkatan pengundi ini sebab kita tidak mahu perkara sama berulang, BN menang sebab taktik kotor," katanya.

Pakatan Rakyat mengesan, Umno BN sedang berusaha membawa pengundi Terengganu ke Selangor bagi membantu parti itu menawan semula Selangor dalam PRU Ke-13.

Pengundi tersebut merupakan pengundi Selangor yang dibawa ke Terengganu pada 2004.

Umno BN yang yakin mampu menang besar di Selangor dalam PRU ke-11, sebahagian besar pengundi di negeri itu dipindahkan ke Terengganu.

Akibatnya dalam PRU ke-12, Umno BN Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat kerana kehilangan pengundi yang dipindahkan ke Terengganu dalam PRU sebelumnya.

KDN perlu tegas selesaikan polemik kalimah Allah

Harakahdaily, 23 Jan 2013
KUALA LUMPUR: PAS hari ini mengingatkan rakyat agar jangan bertindak secara emosi dalam isu sensitif khasnya agama seperti dalam isu kalimah Allah.

“Fokus pada hujah dan berdebatlah secara matang dan jangan sesekali terikut-ikut dengan sentimen yang cuba dibakar pihak tidak bertanggungjawab,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar kanan) hari ini.

Beliau juga mengingatkan rakyat agar jangan mengambil undang-undang di tangan sendiri seperti yang disarankan oleh beberapa pemimpin yang tidak bertanggungjawab yang ingin mendapatkan modal politik tatkala kekeringan isu.

Kenyataan beliau dipercayai merujuk kepada saranan provokatif Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menyeru umat Islam membakar kitab Injil berbahasa Melayu yang mengandungi nama Allah.


(Ibrahim Ali ketika mencadangkan Injil berbahasa Melayu dibakar)

“Kementerian Dalam Negeri disarankan untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba merancang melakukan provokasi sehingga menimbulkan ketegangan dan rusuhan kaum,” tegas Tuan Ibrahim.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menyeru Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan polemik isu kalimah Allah kerana kuasa membuat keputusan berada di tangan mereka.

“Polemik kalimah Allah mesti dihentikan segera oleh semua pihak. Dialog antara agama perlu diadakan semula untuk menyelesaikan kemelut ini.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan persekutuan diseru agar tidak membiarkan isu ini berpanjangan tanpa memberikan kata putus dalam isu ini,” tegas beliau.

Selangor beku bayaran kepada Syabas untuk rakyat

Harakahdaily, 23 Jan 2013

(Tan Sri Khalid bersama exconya dalam sidang media hari ini)

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha untuk mengambil alih perkhidmatan industri air dari syarikat konsesi dan telah pun membuat persiapan sewajarnya sekiranya kerajaan Pusat membenarkan pengambilalihan ini.

"Kita akan terus memantau kecekapan pengurusan Syabas dan tidak akan berdiam diri ketika Syabas gagal memenuhi tanggungjawab mereka seperti yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi," kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Justeru, katanya, keputusan kerajaan negeri membekukan CAPEX (Perbelanjaan Modal) kecuali kerja-kerja kecemasan adalah bersandarkan pada satu matlamat iaitu menjaga kepentingan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ini kerana, setiap sen yang dibelanjakan oleh Syabas akan diterjemahkan dalam bentuk tarif yang akan dibayar oleh rakyat dalam bil bulanan mereka.

Sehubungan itu, kerajaan Selangor wajib pertahankan dan mengutamakan kepentingan pengguna, value for money dan rakyat tidak terbeban untuk membayar tarif bagi perbelanjaan yang sia-sia, tegas Khalid.

Penyelesaian kepada permasalahan yang ditimbulkan oleh Syabas hanya boleh dicapai di bawah model holistik yang dimulakan oleh kerajaan Pusat sejak 2006.

Ia bermula serentak dengan penggubalan Akta Industri Perkhidmatan Air yang mana perkhidmatan air yang dulunya di bawah pengendalian kerajaan negeri sepenuhnya telah dipindahkan di bawah Senarai Bersama, Perlembagaan Malaysia.

Ini menunjukkan bahawa perkhidmatan air adalah tanggungjawab bersama kerajaan negeri dan Pusat bukannya diuruskan syarikat swasta yang memeras ugut kerajaan negeri,  menindas rakyat dan berorientasikan keuntungan, katanya.

"Kerajaan negeri bersungguh-sungguh menyelesaikan penstrukturan semula berlandaskan perundangan walaupun kerajaan Pusat berdegil untuk membenarkan kerajaan negeri mengambilalih perkhidmatan air," jelas beliau.

Kena ubah sistem pilihan raya – Tan Sri Rashid

Aslani M, 23 Jan 2013

KOTA BHARU: “Kena ubah sistem pilihan raya yang ada sekarang, saya cadangkan kita daftar semula pemilih buat macam banci penduduk.

“Sekarang timbul macam-macam orang yang mati pun didakwa mengundi,” kata bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman (gambar).

Menurutnya dengan langkah tersebut barulah daftar pemilih betul-betul bersih.

“Daftar pemilih sekarang saya tak kata tak bersih. Ini kerana daftar pengundi tidak boleh bersih dengan undang-undang yang ada dan keadaan sekarang,” ujarnya pada forum pemantauan PRU-13, “Kuasa Rakyat dan Menangani Isu-Isu Semasa” anjuran Gabungan NGO Kelantan di sini, kelmarin.

Turut bertindak sebagai panelis Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan anggota jawatankuasa Bersih 2.0, Dr Wong Chin Huat. Manakala Pengerusi Mafrel Syed Ibrahim Syed Noh bertindak sebagai moderator.

Forum tersebut dianjurkan Gabungan NGO Kelantan yang dipengerusikan Dr Abdul Halim Yusof, diadakan di Balai Islam.

Abdul Rashid ketika memberitahu khalayak tidak berpihak pada mana-mana parti, turut mengakui daftar pemilih mempunyai masalah besar.

“Masalah kad pengenalan dan bukannya masalah SPR, dia tidak ada kuasa, masuk campur dalam itu.. ini huru hara, itu JPN.

“Ada IC boleh daftar, masalah di Sabah saya tahu, masa itu saya sebagai Setiausaha SPR, orang itu diberi warga negara dan ada hak hendak daftar sebagai pemilih,” tambahnya.

Menurutnya pada masa lampau ketua-ketua kaum datang membawa penduduk yang hendak mendaftar sebagai pengundi.

Beliau yang berkhidmat 27 tahun di SPR berkata, badan pengendali pilihan raya itu memberi hak untuk mengundi tidak kira kepada sesiapa, asalkan ada dalam daftar pemilih.

“Kiri tak kena, kanan pun tidak kena. Saya sudah lali dimaki,” katanya lagi.

(Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

TG Nik Aziz dan tukang guntingnya

Rizal Tahir, 23 Jan 2013

(TG Nik Aziz sedang menggunting rambut di kedai guntingnya sejak puluhan tahun lalu)

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengakui setiap dua minggu sekali beliau akan menggunting rambut.

Menurutnya, jika tidak berbuat demikian beliau menjadi tidak selesa kerana akan terasa pening atau sakit kepala.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily, ketika ditemui selepas menggunting rambut di sebuah kedai gunting rambut bernama Gedai Gunting Rambut Kota Bharu Indah.

Kedai gunting ini yang telah beroperasi sejak tahun 1967 terletak di bawah Bangunan PAS Negeri Kelantan, di Jalan Dato’ Pati.

Tuan Guru memberitahu, selepas pulang dari Mesir tahun 60-an, beliau terus menggunting rambut di kedai berkenaan sehingga sekarang.

“Sejak saya pulang dari Mesir dulu sampai sekarang inilah tempat saya menggunting rambut.

“Setiap dua minggu sekali saya akan datang ke sini untuk menggunting rambut,”ujarnya.

Hari ini Tuan Guru diguntingkan rambutnya oleh Abdul Hamid Sheikh Mubarak

Usaha ketepi Najib dari kepimpinan Umno macam 'real' nampaknya

Aspan Alias, 23 Jan 2013
Terperanjat juga saya mendengar ‘rumors’ yang berkisar hebat di kalangan UMNO yang Najib sudah sampai masa untuk diketepikan untuk menyelamatkan UMNO dari dihumbankan oleh rakyat dalam pilihanraya ini. Malahan isu ini telah pun ditulis oleh beberapa pihak dalam 'cyber space' yang usaha untuk memaksa Najib meninggalkan jawatan atau membuangnya mengikut saluran parti sedang berjalan rancak.
Ada penafian dibuat di kalangan UMNO tetapi penafian di kalangan UMNO itu selalunya adalah cara untuk mengiyakan apa yang dikhabarkan itu adalah perkara benar. Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim menafikan ada pertelingkahan di antara mereka dahulu, tetapi akhirnya terjawab yang berita yang dikatakan sebagai khabar angin itu adalah perkara yang benar, malahan lebih benar dari apa yang diberitakan itu. Sekarang kedua-duanya telah berputus arang dan tidak boleh memandang di antara satu dengan lain.

Saya sendiri acap kali berkata yang musuh Najib yang sebenarnya bukannya parti pembangkang tetapi musuh beliau sebenarnya adalah dari kalangan UMNO sendiri. UMNO tidak terbuka dan apa yang berlaku pun selalunya akan terjadi di dalam gelap buat seketika. Berlainan dari parti-parti dalam Pakatan. Mereka (parti-parti Pakatan) terbuka dan menunjukkan perbezaan mereka secara terbuka dan ini merupakan satu perkara yang sihat.

Ada yang tidak sama pendirian tentang isu dalam Pakatan, tetapi perbezaan itulah yang membuatkan mereka berusaha untuk bermuafakat dan ini tidak dapat dilakukan oleh BN. Masakan ada permuafakatan jika tidak ada perbezaannya? Sebaliknya kebaikan ini diambil sebagai perpecahan oleh BN dan media massa memainkan isu ini sebesar yang mungkin bagi memecahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Perbezaan yang sedikit di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat itulah yang menyebabkan mereka bersatu dan mereka mempunyai hubungan ‘inter-party’ yang baik dan bersama-sama menjaganya. Di sebaliknya kita melihat hubungan ‘inter-party’ dalam BN itu lebih baik dan mereka tidak menampakkan perbezaan mereka dalam semua isu yang berbangkit di kalangan mereka.

Tetapi yang paling merbahaya di dalam BN khususnya UMNO, ‘politicking’ secara senyap-senyap di antara mereka dalam parti pemerintah itu. Permainan politik di antara mereka di dalam UMNO itu sudah menjadi budaya yang tidak dapat dihapuskan lagi dan jika ada usaha-usaha dalam UMNO untuk menjatuhkan Najib itu, ia tidaklah menjadi isu yang memeranjatkan. Dalam keadaan sekarang, usaha untuk menjatuhkan Najib dengan menggunakan banyak isu peribadi Najib itu, adalah isu-isu yang ‘expedient’ untuk mereka memaksa Najib keluar dari pimpinan parti dan negara.

Ada di kalangan mereka di dalam UMNO sedang berusaha untuk memujuk seorang bekas Menteri Besar untuk mengeluarkan bukti penglibatan Najib dalam satu skandal di sebuah pusat peranginan banyak tahun dahulu. Permainan ini sudah menjadi lumrah dalam UMNO. Itu sebabnya jika pemimpin yang bercita-cita tinggi seperti hendak menjadi pemimpin utama negara penglibatan dengan artis wanita misalnya akan menjadi isu yang paling ‘mangkuih’ bagi musuh-musuh dalaman parti.

Tetapi apa yang tidak di sedari dan di fahami oleh UMNO ialah, mereka ini ditolak secara total oleh sebahagian besar rakyat dan mereka yang melakukan ‘politicking’ dalaman untuk menjatuhkan Najib itu pun tidak kurang masalah peribadi mereka. Pendeknya jika berjaya usaha sebahagian mereka dalam UMNO untuk menjatuhkan Najib, mereka atau individu yang menanti untuk mengambil alih Najib itu pun merupakan seorang yang jauh lebih lemah dari Najib dan Abdullah Badawi dahulu.

Saya selalu berkata yang siapa sahaja di kalangan yang sedang berada di pesada politik dan kerajaan negara sekarang ini datangnya dari acuan yang sama yang terbentuk sejak Dr Mahathir memerintah kita dahulu. Ia meletakkan kita dalam keadaan ‘yang dibuang itu tidak berguna dan yang mengambilalih pun lebih tidak berguna lagi’. Muhyiddin yang dikatakan akan mengambil alih itu pun akan menjadi tidak berguna oleh Dr Mahathir sebaik sahaja beliau (Muhyiddin) mengambil alih Najib nanti dan isu terhadap Muhyiddin juga merupakan isu yang ‘real’ yang hanya akan dikeluarkan setelah beliau menjadi Perdana Menteri nanti (jika dapat).

Jika umur Dr Mahathir masih panjang lagi isu peribadi terhadap Perdana Menteri itu akan hanya berhenti setelah Muhkriz menjadi setidak-tidaknya Timbalan Perdana Menteri. Maksud saya dalam urutan posting ini ialah UMNO ini berkecai kerana permainan Dr Mahathir yang mendapat sokongan dari mereka yang berkepentingan jika Najib jatuh dari pesada kepimpinan.

UMNO sesungguhnya tiada berkepimpinan lagi…tiada seorang pun di kalangan ahli-ahli Majlis Tertinggi parti dan dalam jemaah menteri sekarang ini. UMNO telah mencampakkan semua pemimpin yang berkemampuan untuk menjaga keselamatan Dr Mahathir yang tidak mahu sesiapa yang lebih cerah berada di sisi beliau dalam kepimpinan parti dan negara semasa itu. Inilah dia hasilnya yang ahli-ahli UMNO yang menerima warisan Dr Mahathir itu.

Dalam keadaan yang sebegitu teruk pun UMNO masih bercita-cita untuk terus memerintah negara. Sudah 55 tahun berada di persada kuasa, maka UMNO belajarlah untuk menjadi pembangkang yang baik pula jika masih ada yang baik di dalam UMNO itu.

Cukuplah UMNO berada di tampuk kuasa. Biarlah rakyat mendapatkan ‘ambience’ siasah yang baru dan diharap Pakatan Rakyat akan dapat melakukannya. Rakyat tidak mahu diperkotak-katikkan lagi. Mereka (Rakyat) mahukan keadaan yang baru dan hidup tanpa tertekan dengan tekanan dan desakan UMNO selama ini.

Keadaan negara begitu kritikal dan perubahan sudah menjadi kewajipan bagi kita untuk melakukannya. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Husam ajak media pertingkat intergriti

Salmah Mat Husain, 23 Jan 2013
KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar) mengajak semua media di negara ini supaya menjaga intergriti masing-masing kerana dengannya mereka sendiri akan untung.


“Kalau kita jujur, duit pun dapat, surat khabar kita tidak jatuh nama, orang suka baca dan macam-macam lagi perkara yang baik akan kita dapat,”katanya.

Beliau mengulas kemenangan demi kemenangan yang dicapai pemimpin Pakatan Rakyat ketika mereka berdepan dengan akhbar Umno, Utusan Malaysia di mahkamah.

Terbaru, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang kesnya melawan Utusan Malaysia.


Beliau berkata, akhbar arus perdana sama ada cetak atau eletronik akan ‘mempergiatkan’ usaha fitnah mereka menjelang Pilihanraya Umum Ke-13 akan datang terhadap Pakatan Rakyat.

Menurutnya, media masa berkenaan melakukan demikian untuk menjatuhkan pihak lawan dengan mengikut ‘telunjuk’ pemimpin kerajaan BN.

“Bagaimanapun dengan jatuhnya integriti akhbar berkenaan, masyarakat dengan sendirinya akan faham berhubung perkara itu,”ujarnya.

Beliau turut berkata, dengan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan media berkenaan cukup masyhur menggambarkan pemimpin pembangkang dengan gambaran yang salah.

Sehubungan itu, beliau mengajak pengamal media melaporkan perkara yang betul tanpa fitnah untuk kesejahteraan masyarakat.

Sambungnya, berapa lama akan bertahan media seumpama itu (suka memfitnah) di dunia ini.

Husam yang juga anggota exco kerajaan negeri memberitahu, biarpun pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat lain sering mengingatkan media di negara ini supaya melaporkan perkara yang benar, namun ianya terus berlaku.

Tegasnya, ianya disebabkan kurangnya iman oleh pengamal media, disamping kurang akhlak.

“Kalau kita kuat iman, tentu kita takut untuk memfitnah, kita tahu akhirat kelak kita akan bankrap di akhirat dari segi dosa dan pahalanya, di dunia akhbar tidak laku.

“Kita juga hairan bagaimana surat khabar orang Islam lebih banyak kena saman berbanding milik orang bukan Islam,”ujarnya.

Tambahnya, nampak jelas etika masyarakat berkenaan lebih tinggi dari pengamal media orang Melayu sendiri.

Pada masa yang sama, beliau mengucapkan tahniah kepada Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menang saman fitnah dengan akhbar Utusan Malaysia.

Beliau juga berkata, akhbar berkenaan bakal berhadapan dengan dua kes lagi melalui saman yang dikemukakan olehnya.

Jelas Husam lagi, beliau juga yakin kesnya akan menang bila berhadapan saman fitnah akhbar terbabit.

Ahli akademik perlu ada keberanian

Abd Shukur Harun, 23 Jan 2013

Ada sebuah puisi yang muncul di zaman kemuncak reformasi Indonesia menentang rejim Presiden Soeharto di tahun 1998. Puisi itu yang bertemakan ‘takut’, ditulis oleh penyair ternama, W.S. Rendra, antara lain menyebut:


Siswa takut kepada pensyarah,
Pensyarah takut kepada dekan,
Dekan takut kepada Rektor,
Rektor takut kepada Menteri,
Dan menteri takut kepada Presiden.

Puisi ini saya ingat kembali ketika pelbagai pihak menimbulkan fenomena bagaimana sesetengah kakitangan akademik di pelbagai universiti di Malaysia sendiri, masa kini, mengalami sindrom takut-takut untuk mengeluarkan pendapat, takut menentang arus, takut tidak naik pangkat, takut tidak mendapat gelar professor, malah takut tidak mendapat gelar datuk atau datuk seri, takut itu dan takut ini.

Namun begitu, masih ramai di kalangan ahli akademik, termasuk khususnya kalangan professor yang berani mengeluarkan pandapat apa yang dikiranya benar. Justru tidak semua kalangan ahli akademik yang ‘diserang sindrom takut’ di samping masih ramai ahli akademik yang berani menyuarakan kebenaran. Sebab itu percayalah bahawa di mana-manapun keadaan seperti ini tetap berlaku.

Sebagai contoh, ketika berlaku ‘Arab Spring’ yang menjatuhkan dektator Hosni Mubarak tahun lalu, demikian ramai ahli akademik di sana, termasuk segelintir pensyarah di Universiti Al-Azhar sendiri, seperti yang dilaporkan, menjadi begitu ‘penakut’ untuk bersuara menyokong demonstrasi anti Hosni Mubarak, termasuk sesetengah ulama sendiri.

Demikian juga yang berlaku ketika Revolusi Jasmine di Tunisia dan Libya dan beberapa tempat lain di mana ada ahli akademik juga diserang sindrom ‘takut’.
Oleh itu saya tidaklah terlalu terkejut apabila ada di kalangan ahli akademik kita sendiri yang menimbulkan isu di mana ada di kalangan kakitangan fakulti di universiti tempatan didakwa terlalu takut untuk memperjuangkan kebebasan akademik kerana ia boleh menjejaskan peluang mereka untuk naik pangkat atau menerima anugerah seperti datuk.

Dakwaan tersebut, seperti yang dilkaporkan, dibuat di forum mengenai 'Kebebasan Akademik dan Hak' malam kelmarin oleh bekas profesor undang-undang Abdul Aziz Bari dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Maszlee Malik.

Pakar undang-undang perlembagaan itu berkata, tidak ada gunanya menyalahkan kerajaan atau Umno semata-mata bagi keadaan tersebut kerana ahli akademik itu sendiri yang didakwanya malas.

Katanya, mereka tidak mempunyai idea baru, tidak menjalankan penyelidikan, tidak mengarang apa-apa - semuanya kerana takut.

Beliau mendakwa mereka masuk ke universiti (atau menjadi  profesor, timbalan dekan, dekan, naib canselor atau rektor) dengan 'menarik kabel' - menyebabkan menjadi takut.

"... mereka tidak menggalakkan kebebasan akademik, tugas mereka adalah untuk memastikan universiti dikekalkan sebagai sebahagian daripada birokrasi kerajaan," tambahnya.

Pada masa yang sama, dakwanya, ahli akademik yang bercakap untuk masyarakat luar kampus dianggap sebagai orang yang tidak diingini di universiti, sepertimana yang berlaku pada dirinya.

Menyuarakan pandangan yang sama, Dr, Maszlee berkata,  budaya naungan dan takut di universiti sekarang begitu menjejaskan ahli akademik dan pelajar.

Beliau mendakwa, ahli akademik bergantung kepada tuan politik mereka untuk dicalonkan bagi anugerah 'Datuk' atau 'Datuk Seri', atau kenaikan pangkat, dan mereka takut menerima surat amaran.

"Mereka telah hilang keberanian, identiti dan keupayaan untuk berfikir. Mengapa? (Ini kerana) hati mereka diselubungi ketakutan.

"Pelajar takut pinjaman Pengajian Tinggi Nasioanal akan ditarik balik. Mereka takut dapat markah rendah, takut dibuang  universiti, takut segala-galanya," tambahnya.

Merenung keadaan yang berlaku ini, tentunya ada persamaan keadaan yang berlaku di zaman reformasi Indonesia itu di mana ‘Pensyarah takut kepada dekan, Dekan takut kepada Rektor, Rektor takut kepada Menteri, Dan menteri takut kepada Presiden’.

Dalam kontek suasana di Malaysia sekarang, terutamanya menjelang PRU akan datang, ketika rakyat sedang bangkit untuk menuntut perubahan, tembok rasa ‘takut’ yang selama ini mendominasi pemikiran segolongan rakyat Malaysia ternyata telah dapat diruntuhkan.

Kehadiran kira-kira 700,000 orang – menurut perkiraan pakar matematik, Dr. Shaharir Mohd Zain – adalah sebuah fenomena yang sangat menarik, menghantar isyarat bahawa rakyat sudah keluar dari kepompong rasa takut untuk menyuarakan hak mereka. Merea tidak lagi mahu bersikap seperti semut yang takut dilihat kehadirannya.

Bagaimanapun sama ada ahli akademik yang penakut itu mahu membebaskan diri dari rasa takut dan bersama rakyat atau bagaimana, terserah kepada mereka. Fenomena baru mengenai keberanian rakyat ini, seperti yang ditunjukkan dalam beberapa siri himpunan rakyat ini akan berterusan dan dijangka akan lebih menyerlah lagi di masa akan datang.

Zaman dan suasana berubah. Tidak mustahil akan lebih ramai lagi ahli akademik, ulama, sasterawan, wartawan, tokoh masyarakat dan lain-lain akan ikut serta dalam arus kebangkitan rakyat ini dan saya positif dalam hal ini. Justeru mereka yang masih diselubungi ketakutan akan dtinggalkan – kerana suasana dan perubahan tidak mampu menunggu mereka.

Mereka yang terus takut itu dan akan jadi korban kerana ketakutannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan