Isnin, 24 Disember 2012

TU MAHKAMAH DUNIA... KITA ADA SATU MAHKAMAH PEMUTUS....ADIL LAGI TEPAT...IAITU MAHKAMAH ALLAH DIPADANG MAHSYAR NANTI...SORANG PERSALAH PUN TAK TERLEPAS....DIDUNIA NI BOLEH TUNJUK KUASA

Mahkamah Tinggi batalkan AGM KPF 27 Dis

Hazayani Zakaria, 24 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan seorang ahli lembaga pengarahnya agar mahkamah membatalkan Mesyuarat Agung (AGM) KPF ke-31 pada 27 Disember ini.

Hakim Hakim Abang Iskandar Abang Hashim turut membenarkan KPF mencabar kesahihan keputusan Panel Rujukan pertikaian Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membatalkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KPF ke-31.

SKM mengeluarkan surat pada 4 Disember lalu, mengarahkan KPF mengadakan AGM ke-31, bersama surat kuasa yang menyatakan AGM pada 20 Jun lalu tidak sah dan AGM akan dipanggil oleh SKM.

Surat tersebut menyatakan bahawa asas bagi mengarahkan mesyuarat itu diadakan semula adalah pertikaian dalaman pada 26 November.

Ia mengandungi agenda mesyuarat seperti yang disenaraikan di bawah:

-  Mengesahkan minit mesyuarat agung perwakilan tahunan kali ke-30 pada 23 Jun 2011 dan minit mesyuarat agung khas yang diadakan pada 19 April 2012.

- Membentang dan meluluskan Laporan Lembaga tahun 2011.

- Menimbang dan meluluskan penyata kewangan teraudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2011 berserta laporan jawatankuasa audit dalaman dan pandangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

- Menimbang dan meluluskan cadangan pembahagian keuntungan tahun 2011.

- Memilih anggota-anggota Lembaga sesi 2012/2013.

Mengulas keputusan mahkamah itu, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, keputusan tersebut melegakan 246,000 ahli KPF.

"Saya bagi pihak Anak mengucapkan terima kasih dan tahniah atas keputusan berani hakim.

"Ia sangat melegakan 246,000 ahli KPF dan menyelamatkan berbilion caruman dan aset KPF daripada penyamun yang diketuai (Tan Sri) Isa Samad," katanya kepada Harakahdaily.

Anak sebelum ini mendakwa wujud konspirasi untuk melantik Isa dan Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad dalam KPF.

Pelantikan dua indivisu tersebut akan membolehkan KPF menjadi pemegang saham utama Felda Holdings untuk disenaraikan ke Bursa Malaysia.

Oren nafi berkeras masuk Felda Bt Rokan Utara

Faiz Abdullah, 24 Dis 2012

(Samseng yang membawa bendera BN menghalang Kembara Oren masuk ke kawasan Felda Bukit Rokan Utara)

JEMPOL: Pengarah Program Kembara Oren Negeri Sembilan, Abdul Rahman Ramli hari ini menyangkal dakwaan laporan Sinar Harian hari ini bahawa peserta Kembara Oren 'Selamatkan Felda' Negeri Sembilan semalam merupakan orang luar dan kekecohan berlaku kerana peserta Kembara Oren tetap berkeras untuk masuk ke penempatan Felda. 

"Saya menafikan laporan Sinar Harian hari ini yang mengatakan bahawa peserta konvoi merupakan orang luar. Mana ada? Kecuali empat atau lima orang kepimpinan PAS Negeri Sembilan dari Seremban yang membantu kita dari segi logistik, kordinasi dan keselamatan pemimpin, selebihnya merupakan peneroka dan anak peneroka dari seluruh Negeri Sembilan termasuk dari tanah rancangan Felda yang kami bercadang masuk pada mulanya.

“Laporan sumber Sinar Harian yang mengatakan kami tetap berkeras mahu masuk ke Felda Bukit Rokan Utara adalah tidak benar sama sekali.

"Bagaimana kami nak masuk ke Felda Bukit Rokan Utara sedangkan mereka terlebih dahulu telah membuat sekatan jalan di jalan utama yang menghubung Felda Jelai dan Gemencheh.

"Apa kuasa mereka mengadakan sekatan jalan dan menghalang kami terutama di jalan utama," tanya Abdul Rahman.

Abdul Rahman yang juga merupakan Yang DiPertua PAS Jempol, berkata memandangkan situasi amat tegang dan panas, Kembara Oren memang telah membuat keputusan untuk tidak masuk ke Felda Bukit Rokan Utara.

"Bukan Felda Bukit Rokan Utara sahaja malah di Felda Bukit Rokan Barat pun kami tidak masuk walaupun di simpang masuk Felda Bukit Rokan Barat keadaan tidaklah tegang macam di Felda Bukit Rokan Utara.

"Kami mengalah demi menjaga ketenteraman awam walaupun konvoi kami ini tidak menyalahi undang-undang.

“Ketika kami berunding agar mereka membuka sekatan jalan untuk kami meneruskan perjalanan ke Felda Jelai, tiba-tiba mereka menyerang kereta pacuan empat roda kami dengan kayu.

"Untuk menyelamatkan diri kereta pacuan empat roda yang berwarna kuning itu berundur dan dalam keadaan kelam kabut itu kereta itu tergesel sedikit dengan sebuah motorsikal secara tidak sengaja.

"Lalu mereka memecahkan cermin depan dan cermin tingkap kereta tersebut.

"Selepas itu mereka turut menyerang peserta dan dua peserta kita cedera dipukul dengan kayu oleh mereka yang saya percayai orang upahan Umno dan Barisan Nasional. Inilah sikap tidak bertamadun orang-orang Umno dan Barisan Nasional," jelas Abdul Rahman.

Enggan patuhi gaji minima, 37 hilang pekerjaan

Muhammad Faizal, 24 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Kilang Kelapa Sawit (KKS) Bukit Talang, anak syarikat konglomerat Peladangan terbesar di dunia, Sime Darby Berhad mengambil tindakan menghentikan 37 orang pekerja mereka mulai Januari tahun hadapan.
(Yahya melihat dokumen di pejabatnya hari ini selepas sidang media)

Tindakan tersebut adalah kerana KKS dan juga Sime Darby tidak mahu terbeban dengan peraturan kadar gaji minima sebanyak RM950.00 sebulan seperti mana yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.

Berkata pada sidang media, Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri memberitahu tindakan tersebut mengambarkan bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan merudum.

Malah menurut beliau lagi sebagai sebuah negara yang sentiasa disogokkan dengan berita betapa kukuhnya prestasi ekonomi, sukar baginya menerima tindakan penutupan sebuah kilang yang begitu lama beroperasi menjangkau lebih 60 tahun.

"Kita telah bertemu dengan wakil pekerja dan daripada apa yang dibincangkan mendapati ia berkait rapat dengan pengumuman mewajibkan syarikat swasta mematuhi peraturan gaji minima sebanyak RM900 sebulan.

"Kami juga agak musykil bagaimana kilang yang begitu lama beroperasi boleh mengalami kerugian mengejutkan sedangkan Sime Darby adalah syarikat yang besar di negara ini," jelasnya di Ibu Pejabat PKR pagi tadi.

Tambahnya lagi, pekerja-pekerja sebelum ini hanya menerima gaji berjumlah RM350 sebulan sahaja dan telah menjadi bebanan kepada syarikat jika RM900 gaji minima dilaksanakan.

"Kita mahu pekerja yang dihentikan itu dibela sepenuhnya dan sebagai sebuah syarikat yang besar mereka perlu membayar wang pampasan yang sewajarnya.

"Ini memandangkan kesemua pekerja ini tidak mempunyai kediaman ataupun tapak kediaman, kemana mereka hendak pergi selepas ini," katanya

Jelas Yahya lagi, mereka bukan sengaja untuk tidak membeli rumah tetapi gaji dan pendapatan yang mereka perolehi terlalu kecil dan tidak memungkinkan mereka mampu menyimpan wang untuk membeli kediaman.

Biro Kepenggunaan PKR menyeru agar Kilang Kelapa Sawit Bukit Talang, Sime Darby Berhad, Kementerian Sumber Manusia dan Exco Kerajaan Negeri Selangor memberi perhatian yang serius bagi menyelesaikan isu pemberhentian pekerja akibat penutupan kilang tersebut.

Umar dibebaskan dengan jaminan RM5,000

Harakahdaily, 24 Dis 2012


(Dr Che Rosli [kiri sekali], anggota Parlimen Hulu Langat antara yang hadir)

KUALA LUMPUR: "Malam semalam gundah gulana, hari ini hari mulia tak pernah daku rasa begini seperti mati hidup kembali," komen pertama Umar selepas dibebaskan dari penjara.
Mahkamah Tinggi membebaskan aktivis 'Occupy Dataran', Umar Muhammad Azmi yang ditahan di Penjara Kajang sejak Jumaat lalu dengan jaminan sebanyak RM5,000.
Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah membebaskan Umar sementara menunggu keputusan rayuan beliau ke mahkamah yang lebih tinggi.

Menurut rakan-rakannya, Umar dibebaskan kira-kira jam 3.30 petang sementara menunggu rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur Jumaat lalu menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 kepada Umar kerana menghalang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tugas semasa serbuan terhadap gerakan mahasiswa pada April lalu.

Insiden itu didakwa berlaku semasa serbuan mengejut DBKL ke atas perkhemahan protes di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada jam 8 pagi 22 April lalu.

Aktivis siswa berkhemah di dataran tersebut sebagai bantahan mereka terhadap Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang didakwa mereka tidak adil.

Oleh kerana gagal mendapatkan Timbalan Pendakwaya, Umar terpaksa dimasukkan ke Penjara Kajang Jumaat lalu sementara menunggu rayuan ke atasnya.

Berpuluh-puluh rakan-rakan mahasiswa dan aktivis masyarakat serta ahli politik berhimpun di perkarangan penjara itu bagi memberikan sokongan moral kepada Umar.

Turut hadir adalah kartunis Zunar yang membuat lukisan khas untuk beliau.

Keluarga dedah Hassan Tahir bukan penyokong tegar

Harakahdaily, 24 Dis 2012

KUALA TERENGGANU: Keluarga penyokong PAS yang dilaporkan menyerah borang menyertai Umno kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin menjelaskan Hassan Tahir, 67 bukan pendokong PAS tegar.

Anak saudaranya, Mohammad Faizal Che Yusoff berkata, Hassan bukanlah seorang penyokong tegar PAS seperti dilaporkan kebanyakan media semalam.

“Bapa saudara saya tidak pernah terlibat secara aktif dan konsisten dalam sebarang aktiviti PAS. Berbeza dengan datuk saya, Che Tahir Che Muda pendokong PAS yang dikenali ramai di Manir.

“Beliau lebih mesra dengan panggilan Tokki A. Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan perkara sebenar kerana telah dieksploit media Umno dengan gambaran Hassan penyokong tegar PAS,” katanya di sini.

Semalam akhbar Umno melaporkan lebih 300 penyokong PAS termasuk Hassan yang disifatkan penyokong tegar PAS menyerah borang menyertai Umno kepada Timbalan Perdana Menteri.

Oleh itu Muhyiddin menyifatkan gelombang kesedaran dalam kalangan penyokong PAS semakin meluas apabila mereka mendapati parti itu kononnya membohongi pengikutnya.

Faizal yang juga seorang peguam berkata, keluarga Tokki A di Kampung Pulau Bahagia tidak berpecah biar pun seorang ahli keluarga bertindak menentang arus.

“Usaha Umno Terengganu mahu memecahkan keluarga Tokki A pada saya hanya kerja sia-sia. Timbalan Perdana Menteri telah diberi maklumat salah penasihat-penasihat yang berkepentingan,” katanya yang juga seorang peguam.

Tahun lepas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak juga mengunjungi Dun Manir dengan harapan dapat memecahkan kubu PAS di kawasan tersebut.

Malah Adun Manir, Datuk Harun Taib mendedahkan Umno mengumpankan anak-anak muda dengan wang ringgit bagi menarik mereka menyertai Umno.

Faizal berkata, taktik kononnya ahli dan penyokong PAS menyertai Umno seperti yang diuar-uarkan semula sekarang menggambarkan tarikh pilihan raya umum ke-13 semakin hampir.

“Di mana saja pemimpin utama Umno berkunjung, maka akan berlakulah penyerahan borang yang dikatakan secara besar-besaran menyertai Umno.

“Dalam keghairahan itu kadangkala pimpinan utama Umno diperdaya juak-juak mereka sendiri bagi mendapat habuan tertentu. Penduduk di Pulau Bahagia tidak boleh  diperdaya dengan lakonan itu,” ujarnya.

Setelah hujan 13 jam, Kuantan dilanda banjir

Harakahdaily, 24 Dis 2012

KUANTAN: Selepas hujan tidak henti-henti selama 13 jam, bandar Kuantan kini dilanda banjir.

(Suasana banjir di tengah-tengah bandar Kuantan berhampiran dengan Mega Mall. - Foto life@Kuantan)


Banjir kilat di Kuantan yang bermula kira-kira jam 11 pagi tadi menyebabkan banyak kenderaan terperangkap dan jalan raya sesak teruk.

(Air yang deras di tengah-tengah bandar Kuantan - Foto life@Kuantan)

Kenderaan menjadi lebih buruk apabila hujan masih belum berhenti sehingga jam satu petang tadi.
Antara jalan-jalan yang  dilaporkan teruk dinaiki air ialah Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Pasar, Jalan Bukit Ubi, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Mahkota, Jalan Abd Aziz, Jalan Air Putih, Jalan Haji Ahmad, Jalan Beserah dan persimpangan lampu isyarat Jabatan Ukur Dan Pemetaan (JUPEM).

Aktiviti harian orang ramai turut terjejas apabila kawasan pusat tumpuan orang ramai yang seperti di Jalan Tun Ismail khususnya sekitar kompleks membeli belah Berjaya Megamall dan Sri Dagangan turut dinaiki air.

Seorang penduduk Kuantan yang dihubungi Harakahdaily, Khairatul Solehah Khairul Anuar memberitahu, beliau terperangkap selama satu jam sebelum berjaya keluar dari kawasan Stadium Darul Makmur.

Menurutnya, banyak kenderaan terperangkap di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang turut dinaiki air.

"Nasib baik saya letak kereta dekat dengan stadium. Di situ sahaja yang selamat. Kalau parking di Padang MPK, memang tenggelam," katanya.


Beliau juga berkata, Pasar Besar Kuantan turut dimasuki air di beberapa bahagian.

"Dalam pasar di kawasan jual barang basah, air naik. Jalan raya sangat sesak, lampu isyarat
pula rosak," katanya lagi.

Terminal Bas Makmur turut dinaiki air menyebabkan bas-bas terpaksa menunda waktu perjalanan seperti yang dijadualkan.
(Hujan lebat sejak semalam - Foto life@Kuantan)

Masalah air rakyat Sabah yang dipinggirkan media

http://amkns.blogspot.com, 24 Dis 2012
Kami tak tahu kenapa ianya terjadi. Air merupakan keperluan asas tetapi sering berlaku dan amat mengecewakan. Sebelum ini kita sering dihidangkan dengan isu air di Selangor tetapi tempat kami bagaikan diabaikan.
Masalah air di Kg Maraba, Beaufort dalam DUN Lumadan dan Parlimen Sipitang amat membimbangkan.
Kami hanya menerima air pada jam 2.00 pagi (itu pun kadang-kadang) dan akan ditutup sebelum jam 6.00 pagi.
Masalah air ini berpunca apabila dibinanya water pam di Kg Inuman bertujuan untuk menarik air ke Kg Lingkungan, Kg Lubok dan Kg Weston.
Sebelum ini jurutera daerah telah menyatakan masalah air akan diselesaikan jika loji air baharu di Beaufort telah siap.
Hal ini umpama menanam tebu dibibir sahaja. Acapkali kali melaporkan masalah kami ini tetapi tidak diendahkan.
Diharap pihak berwajib mengambil tindakan dengan segera. Apa guna ungkapan janji ditepati jika ianya tidak dikota.

By: rasa terkilan
Aduanrakyat.com 24 Dis 2012.
Sumber ; http://www.aduanrakyat.com.my/masalah-air-di-dun-lumadan

Pengesahan SPRM untuk calon PM

Syahir Sulaiman, 24 Dis 2012




Pengumuman oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, bahawa semua calon pilihanraya Barisan Nasional perlu ditapis oleh SPRM disambut dingin di kalangan kebanyakan ahli partinya sendiri.

Pengumuman tersebut dilihat sebagai respon kepada cadangan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah supaya setiap parti politik yang bertanding perlu menyerahkan senarai calon untuk dinilai oleh SPRM.

Apa yang saya setuju


Saya bersetuju secara prinsip bahawa setiap calon yang bertanding pada pilihanraya ke-13 yang digelar sebagai ‘mother-of-all election’ ini, terdiri daripada lelaki dan wanita yang beramanah, penuh integriti dan kompetensi.

Ini kerana kekayaan dan khazanah negara dan negeri yang akan diamanahkan pada tiap ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri adalah amat tinggi nilainya, dan dalam banyak keadaan ianya boleh menggelapkan mata si pemegang amanah tersebut.

Apa yang saya tidak setuju

SPRM tidak perlu dilibatkan dalam proses pra-penilaian ini.

Pertama, SPRM tidak diberikan tauliah dan kuasa untuk menilai calon-calon pilihanraya. Apa yang mereka boleh lakukan adalah untuk menyiasat dan mendakwa dengan bukti yang kukuh terhadap manamana pihak yang terlibat dengan kesalahan yang boleh dihukum di bawah bidangkuasa SPRM.

Timbul persoalan kelak tentang apakah tindakan yang akan diambil oleh SPRM terhadap calon-calon yang mereka telah sahkan terlebih awal sebelum pilihanraya sebagai ‘bersih’, namun selepas itu, mereka menerima bukti kukuh untuk disabitkan dengan kesalahan di bawah akta pencegahan rasuah yang berkaitan.

Kedua, laporan SPRM ini nanti, pastinya mengandungi ayat penafian (disclaimer) yang berbunyi, “Laporan penilaian ini disediakan berasaskan makluman yang dibekalkan oleh pihak calon, sehingga tarikh laporan ini. SPRM tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan dan kesilapan dalam menjalankan prosedur penilaian ini”.

Timbul persoalan tentang kualiti laporan tersebut, samada ianya cukup komprehensif untuk menilai setiap sumber pendapatan dan harta yang terkumpul oleh pihak calon tersebut.

Ketiga, SPRM perlu selesaikan kes-kes tertunggak yang bertimbun, bukan sekadar mendakwa ‘ikan bilis’, tetapi perlu komited untuk mendakwa ‘si jerung’ dan ‘syaitan-syaitan yang dikenali’ daripada terus bermaharajalela.


Apa yang perlu dilakukan


Nilai kebertanggungjawaban terpikul di bahu pihak calon itu sendiri.

Tiap calon perlu membuat pengisytiharan harta secara sukarela untuk rakyat mengukur dan menilai tahap kekayaan yang dikumpul oleh mereka, sebelum dan selepas menjawat jawatan.

Sudah tiba masanya untuk budaya politik baru di Malaysia. Calon-calon bukan sekadar mengisytiharkan janji dan manifesto, tetapi turut mengisytiharkan harta mereka. Tiada alasan untuk mengelak daripada tindakan ini. Seorang yang beramanah dan berintegriti tidak perlu takut pada cadangan ini.

Hanya yang sebaliknya, takut untuk menyahut cabaran ini. Untuk rekod, semua EXCO Pemuda PAS, telah mengisytiharkan harta mereka secara sukarela pada muktamar tahunan baru-baru ini. Walaupun bukan semua akan bertanding, ini adalah satu langkah pencegahan awal agar budaya rasuah tidak menyelinap masuk sesama ahli PAS yang kelak bakal menjadi parti terpenting dalam pakatan kerajaan memerintah.

Ternanti respon daripada Pemuda Umno? Jauh panggang dari api. Apapun, rakyat pasti teruja untuk melihat Datuk Seri Najib menunjukkan tauladan dengan membenarkan SPRM bebas menilai harta-harta yang dikumpul oleh beliau dan Datin Seri Rosmah, untuk dinilai dan diukur oleh rakyat jelata. Integriti berkait rapat dengan tindakan, bukan sekadar ucapan.

Secara peribadi, saya lebih bersetuju untuk pihak SPRM menilai calon-calon untuk jawatan perdana menteri. Itu yang lebih utama. Apa pandangan anda? Ucapan adalah murah, tindakan adalah berharga.



*Penulis adalah Pengarah Kajian Polisi DPPM. Beliau mendokong agenda Mencorak Masa Depan berdasarkan gagasan Membangun Negara Berkebajikan.
Terjemahan daripada tulisan asal di dalam Bahasa Inggeris. 24 Disember 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan