Khamis, 27 Disember 2012

LANTIKLAH PEMIMPIN@KETUA KAMU..DIANTARA KAMU YANG PALING TAKWA...NI ADALAH AJARAN ISLAM

Deepak: PAS cadang serah memo kepada Agong

Anis Nazri, 27 Dis 2012
KUALA LUMPUR: PAS bercadang menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung pendedahan usahawan Deepak Jaikishan.

Penyerahan itu akan dilakukan jika agensi berkaitan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara terus membisu dengan pendedahan Deepak tersebut.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata pihaknya memberi masa sehingga dua minggu untuk agensi-agensi terbabit memulakan siasatan terhadap pendedahan yang dilakukan usahawan karpet berkenaan.

"Kita memberi tempoh sehingga dua minggu untuk SPRM, polis dan Jabatan Peguam Negara memberikan respons berhubung pendedahan Deepak ini.

"Jika tidak, kita tidak teragak-agak untuk menyerahkan memorandum ke bawah Yang Dipertuan Agong terhadap ketiga-tiga agensi," tegas beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Mahfuz berkata pendedahan Deepak itu merupakan satu pendedahan yang bukan sahaja menyentuh maruah perdana menteri, dan keluarga, sebaliknya turut menyentuh maruah negara dan Yang Dipertuan Agong itu sendiri.

Mana siasatan

Beliau turut membangkitkan persoalan mengapa tiada sebarang respons atau siasatan segera dilakukan terhadap pendedahan Deepak walaupun banyak pihak mendesak untuk melakukannya (siasatan).

"Saya hairan mengapa di saat kita dikatakan memiliki anggota polis yang cekap, SPRM yang telus, peguam negara yang hebat, dalam hal Deepak ini mereka ini seolah-olahnya telah 'disemadikan'.

"Saya tidak kata apa yang didedahkan Deepak itu benar atau tidak. Sebaliknya ia perlu disiasat segera memandangkan ia bukan satu perkara kecil," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Mahfuz meminta Deepak membuktikan hubungan rapat yang didakwanya bersama Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi pengetahuan umum.

Katanya, Deepak boleh mendedahkan nombor telefon Najib, mahupun Rosmah kepada umum dan pihak polis agar disiasat segera.

"Deepak mengakui dia mempunyai hubungan yang rapat dengan Najib, Rosmah.  Boleh telefon bila-bila masa.  Jadi, saya minta Deepak buktikan dengan memberi nombor telefon kepada mereka kepada polis dan kemudiannya meminta syarikat telekomunikasi mendapatkan rekod perbualan antara mereka selama ini," tegas Mahfuz lagi.

Deepak, sebelum ini membuat pendedahan kepada media alternatif mengaitkan penglibatan Najib, Rosmah dan adik Najib berkaitan akaun bersumpah kedua penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam.

AES: Beku kes, tapi kenapa kompaun diteruskan?

Anis Nazri, Foto: Wan Zahari, 27 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Biarpun prosiding mahkamah berkaitan sistem penguatkuasaan automatik (AES) ditangguhkan, namun saman sama masih dikeluarkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan.

Lebih-lebih lagi apabila kabinet memutuskan untuk tidak menangguhkan pelaksanaan AES, sebaliknya membenarkan JPJ dan Kementerian Pengangkutan meneruskan pungutan kompaun.

Keadaan itu menimbulkan tanda-tanya mengapa kerajaan enggan menangguhkan pelaksanaan AES yang mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.

"Mengapa kabinet ingin meneruskan AES ini, sedangkan prosiding mahkamah mengenai pelaksanaan kamera ini ditangguhkan?

"Adakah kabinet ingin melindungi atau menjaga kepentingan pihak kroni yang mendapat keuntungan dari pelaksanaan AES ini?" soal Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, hari ini.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media, di Jalan Raja Laut, Mahfuz membangkitkan persoalan adakah kerajaan cuba menjaga kepentingan pihak yang turut memiliki saham dalam syarikat yang mengendalikan AES tersebut.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media, di Jalan Raja Laut, Mahfuz membangkitkan persoalan adakah kerajaan cuba menjaga kepentingan yang turut memiliki saham dalam syarikat yang mengendalikan AES, iaitu Ates Sdn. Bhd.

Tambah Mahfuz, Ates ini merupakan satu syarikat bermasalah yang menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM 871 juta.

"Adakah AES ini diteruskan bagi membantu syarikat ini mendapatkan pulangan semula ekoran kerugian tersebut?" soal Mahfuz lagi.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kesediaan untuk berdebat secara terbuka bagi membincangkan isu AES dari pelbgai aspek.

"Saya bersedia untuk selesaikan isu ini, biarlah seorang menteri yang bersama saya untuk berdebat secara terbuka," kata beliau lagi.

Beliau juga sekali lagi mengingatkan orang kena saman (OKS) agar tidak membayar saman, sebaliknya merujuk kepada KASE untuk tindakan susulan.

Himpunan 1 Juta Rakyat di stadium sahut seruan PM

Harakahdaily, 27 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Angkatan WargaAMAN Malaysia (WargaAMAN) merasa kecewa apabila pihak penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) masih tidak mendapat sebarang respons daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung permohonan menggunakan Stadium Merdeka pada 12 Januari depan.

Setiausaha Agungnya, S.Barathidasan berpendapat pihak DBKL dan polis tidak mempunyai masalah untuk memberi kelulusan kerana pihak penganjur hanya menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu rakyat berhimpun di stadium jika ingin menyatakan sebarang tuntutan terhadap kerajaan.

“Secara terang-terang ini membuktikan keikhlasan serta sikap murni pihak penganjur yang sedia bekerjasama dan menghormati saranan Perdana Menteri untuk berkumpul di Stadium Merdeka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, ujarnya WargaAMAN meminta agar pihak kerajaan, DBKL dan polis jangan berdolak dalik dan berselindung di sebalik pelbagai alasan seperti akan berlaku huru-hara kononnya, mencetuskan pergaduhan, kemusnahan harta benda, kesesakan lalu-lintas serta bermacam-macam alasan.

“Padahal Himpunan 1 Juta Belia di Putrajaya yang dianjurkan oleh Barisan Nasional tidak ada sebarang masalah dari segi permit dan alasan,” ujarnya.

Katanya, apa yang penting ialah kerjasama yang baik daripada pihak berkuasa seperti polis dan DBKL membantu menjaga lalu lintas, keselamatan dan menjamin keamanan pada perhimpunan itu nanti.

Tamu Taman Tunku masih tiada bekalan elektrik

Harakahdaily, 27 Dis 2012
MIRI: Peniaga di Tamu di Taman Tunku yang terletak dalam kawasan DUN Lambir merungut ekoran sehingga sekarang masih tiada bekalan elektrik di pasar berkenaan.

Mereka yang majoritinya berbangsa Cina didakwa membayar sewa tempat tersebut namun kecewa kerana kelengkapan asas itu masih tidak sempurna.

"Mereka mengadu kepada pihak kami mengapa sampai sekarang pihak SESCO atau pihak yang berkenaan tidak memasang elektrik dalam tapak perniagaan mereka.

"Inilah masalah utama yang sudah sekian lama yang dihadapi oleh penjaja Tamu di Taman Tunku sehingga kini masih belum lagi dipasangkan bekalan eletrik untuk memberi mereka keselesaan berniaga di situ," kata Yang Dipertua PAS Miri Jofri Jaraiee dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, perkara tersebut sepatutnya tidak berlaku kerana peniaga membayar sewa tapak peniagaan setiap bulan.

"Mereka berniaga dari pagi sampai ke malam dalam keadaan yang kurang selesa terlebih lagi pada waktu malam tanpa bekalan eletrik," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau memohon agar pihak Majlis Bandaraya Miri dan pihak yang berkenaan dapat mengatasi masalah ini dengan segera.

Pemimpin Perkasa akui kerajaan BN lemah

Harakahdaily, 27 Dis 2012
KOTA BHARU: Lima bas disewa khas di mana dua berwarna biru dan tiga lagi bas pelancong digunakan bagi mengangkut peserta demontrasi anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di perkarangan pejabat Mara pagi tadi.

Sebahagian wanita berpakaian tudung merah, seperti pakaian seragam Wanita Umno. Rata-rata berhujah yang hadir tidak sampai 1,000 orang, kebanyakannya warga emas.

Golongan muda hanya boleh dibilang dengan jari, mereka berada di satu penjuru pentas pidato (anak lori). Peserta yang tua berada di bawah bayangan pokok dan ruang parkir.

Biar pun pengerusi pada perhimpunan itu yang dikenali sebagai Ghazali memberitahu 5,000 hadir, agensi berita pula menulis 4,000. Namun rata-rata yang ditemui termasuk wartawan memberitahu tidak sampai 1,000 orang.

Perhimpunan itu mengundang kesesakan lalu lintas di kawasan pusat bandar Kota Bharu. Kelihatan ramai anggota dan pegawai polis.

Anak muda yang lalu lalang hanya memerhati dari jauh kecuali difahamkan yang diupah dengan diangkut datang dari luar Kota Bharu.

Pidato pemimpin Umno yang berselindung di sebalik pelbagai nama NGO mengulangi apa yang dipaparkan dalam media Umno.

“Tidak ada isu yang menarik untuk didengar kecuali maki hamun sehingga menggelarkan pemimpin ulama PAS sebagai celaka.

“Paling menjelik dan memalukan rakyat Kelantan apabila bekas Ketua Penerangan Umno, Mohd Nor Deris menjerit-jerit seperti budak tadika di atas pentas,” ujar seorang wartawan.

Seorang pemimpin masyarakat dari Kampung Kasa, Pasir Mas pada awal memerhati gelagat pemimpin MRTK dan Perkasa, akhirnya melangkah pergi ketika Ustaz Nor Deris berucap.

Ramai juga warga emas mulai melintas jalan meninggalkan parkir Mara ketika seorang peguam yang dikenali sebagai Adli berucap.

Makcik yang datang berkumpulan bertengek di birai parkir mengeleng-ngeleng kepala beberapa kali mendengar ucapan Ustaz Shamsul, wakil Minda Pondok.

Banner mengecam kerajaan negeri dan PAS digantung di tepi jalan berhadapan kompleks Mahkamah Kota Bharu.

Bekas Adun BN Tendong, Fauzi Mohamad pula mendakwa Bazar Tok Guru yang menempatkan peniaga dari Pasar MPKB hanya hantu yang datang membeli.

Katanya orang Melayu di Kota Bharu tidak ada tempat hendak berniaga.

“Perkasa wujud kerana kerajaan BN yang ada sekarang lemah bagi memperjuangkan nasib rakyat,” katanya yang juga Yang Dipertua Perkasa Kelantan.

Takwa ciri utama Presiden RI

Abdul Shukur Harun, 27 Dis 2012

Di tengah-tengah suasana rakyat Malaysia sedang menunggu pengumuman PRU Ke-13, elok juga jika kita meninjau suasana di negara serumpun, Indonesia – yang juga akan mengadakan Pemilu (Pilihanraya) Presiden pada 2014.

Perlumbaan parti-parti politik di sana sudah mulai kelihatan, lebih-lebih lagi di sana ada 48 parti politik yang pelbagai, termasuk parti yang bernuansa Islam seperti PKS, PPP dan beberapa lagi. Pemilu di sana itu tentunya dalam suasana pesta demokrasi, justru demokrasi di negara jiran itu sangat subur.

Yang turut meriahkan suasana awal Pemilu itu ialah kemunculan nama-nama besar di bidang seni yang turut berhasarat untuk menjadi calon Presiden. Antaranya Raja Dangdut, Haji Rhoma Irama dan Seniman Rakyat, Iwan Fals yang terkenal dengan lagunya, ‘Siang Di Seberang Istana’.

Namun di kalangan para intelektual di sana sangat prihatin mengenai ketokohan calon yang akan merebut tahta Presiden. Umpamanya, Ikatan Cendekiawan Muslim se-Indonesia (ICMI) yang diasaskan oleh B. J. Habibie, menyampaikan empat kriteria calon presiden (Capres) Indonesia 2014. Kriteria Capres itu dibacakan dalam akhir majlis Silaturahim Kerja Nasional (Silaknas) 2012 ICMI baru-baru ini.

Mantan Ketua Presedium ICMI Nanat Fatah Natsir menyatakan, kriteria pertama ialah Capres harus beriman, bertakwa, dan memiliki visi ilmu pengetahuan dan teknologi. Menurut Nanat lagi, ilmu pengetahuan penting, tetapi perlu dilandasi iman dan takwa. "Supaya membawa manfaat bagi umat," katanya, kelmarin.

Kedua, syarat Capres 2014 perlu tokoh yang bersih dan mampu serta mahu membersihkan dirinya dari rasuah dan penyelewengan. Menurut ICMI, Indonesia perlu memilih orang yang bersih supaya tidak mengamalkan rasuah. Selain itu, perlu membersihkan kerana orang yang bersih belum tentu mahu dan mampu membersihkan.

Kriteria ketiga, Capres perlu mampu membangun diri sendiri dan kedaulatan bangsa. ICMI berpendapat, Indonesia saat ini masih bergantung pada barang-barang import, karena itu harus diubah. Kriteria terakhir, capres adalah tokoh yang memiliki rekam jejak dan sejarah hidup yang baik.

Ini sebuah harapan ICHMI, sebuah badan intelektual yang berpengaruh. Harapan itu tentunya dikongsi oleh ramai pihak.

Sementara itu, Ketua Umum Pimpinan Pusat Pemuda Muhammadiyah Saleh Partaonan Daulay mengharapkan masyarakat supaya tidak memilih partai yang rasuah dan melakukan 'money politics'. "Pemuda Muhammadiyah berharap agar rakyat semakin cerdas dalam menyalurkan aspirasi politiknya," kata Saleh Partaonan Daulay dihubungi oleh media di Jakarta kelmarin.

Menurut Saleh, partai-partai yang berusaha 'menyuap' rakyat dengan 'money politics' sudah saatnya diberi hukuman dengan cara tidak memilih mereka lagi. Saleh mengatakan partai politik seperti itu perlu dihukum. Apalagi partai-partai itu juga tidak memberikan sumbangan positif dalam membangun negeri ini.

"Rakyat sedang menanti dan melihat siapa dan parti apa yang betul-betul memberi perhatian kepada mereka. Parti-parti itulah yang akan menjadi pilihan mereka," katanya.

Menurutnya, parti yang baik adalah partai yang paling sedikit amalan rasuahnya. Sebab, hampir semua partai politik di Indonesia melakukan rasuah. Karena itu, dia mengharapkan masyarakat mencermati apa yang dilakukan oleh partai-partai pada 2013. Parti yang baik, katanya, adalah parti yang konsisten bekerja untuk ke rakyat.

"Dalam konteks ini, parti yang memperhatikan rakyat dan peduli kepada rakyat diyakini tidak akan melakukan korupsi dan ini menjadi pilihan," ujarnya.

Dia menjangkakan suhu politik pada 2013 akan semakin memanas abila dibandingkan 2012. "Menurut pendapat saya, panggung politik di 2013 begitu jauh berbeza dari 2012. Malah, di pertengahan tahun, suasana politik akan semakin terasa," katanya.

Menurut Saleh, pada 2013, parti-parti politik dan pemimpin politik akan berupaya untuk mempertahankan kedudukan masing-masing. Menurut Saleh, fenomena politik di akhir 2012 yang banyak goncangan politik seperti perseteruan antara anggota parlimen dan beberapa orang menteri akan terus berlanjutan pada 2013.

Sementara itu juga, pakar politik Indonesia, Firman Noor menjangkakan tidak ada tokoh baru calon presiden yang akan muncul pada 2013, iaitu calon yang boleh dibawa ke Pemilihan Presiden 2014.

"Saya fikir calon-calon yang akan diusung masih yang itu-itu juga. Tidak akan ada tokoh baru yang muncul pada 2013," kata Firman Noor lagi.

Pengkaji di Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) itu menyatakan, Pemilihan Presiden 2014 akan menjadi Pemilu yang membosankan. Karena, tokoh yang bersaing adalah tokoh yang itu-itu saja.

Menurutnya, masyarakat saat ini sudah boleh memperkirakan siapa-siapa saja yang akan maju sebagai calon presiden pada Pemilu 2014.

"Pemilu 2014 akan sangat membosankan. Menurut saya, 'the real game'-nya baru akan terjadi pada 2019," ujarnya.

Firman Noor menyatakan tokoh yang diketengahkan oleh parti-partai besar sudah boleh diramal. Partai Golkar sudah memastikan akan mengusung Ketua Umum Aburizal Bakrie, begitu pula PDI Perjuangan yang kemungkinan mencalonkan semula Ketua Umum Megawati Soekarnoputri.

Dalam kaji selidik oleh Soegeng Sarjadi Syndicate, populariti Prabowo Subianto mengatasi bekas Presiden, Megawati Soekarnoputri dan bekas Naib Presiden, Jusuf Kalla.

Prabowo, yang juga bekas pegawai tinggi tentera darat Indonesia yang berpangkat jeneral tiga bintang dan bekas menantu Soeharto itu dipilih oleh 25.8 peratus daripada 2,192 responden sebagai calon presiden Indonesia 2014 kerana dianggap tegas dan berani membuat keputusan.

Sementara itu, Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Megawati, berada di kedudukan kedua dengan mendapat 22.4 peratus sokongan, Jusuf Kalla tokoh dari Parti Golkar di tempat ketiga dengan 14.9 peratus sokongan manakala Ketua Umum Parti Golkar, Aburizal Bakrie mendapat 10.6 peratus sokongan.

Aburizal sedang diketengahkan oleh Golkar sebagai calonnya dalam Pemilu akan datang, walaupun mendapat bantahan daripada penyokong Jusuf Kalla.

Video penyokong MCA pula belajar mengganas tersebar!! Saksikan!!

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 27 Dis 2012

Terpengaruh dengan budaya samseng yang dibawa oleh pencacai-pencacai UMNO kebelakangan ini, penyokong MCA juga kini mula dilihat berani bertindak kasar.
Lihat http://darisungaiderhaka.blogspot.com/2012/12/video-penyokong-mca-pula-belajar.html

Pengerang: MB membisu, NGO Mantap ke mahkamah

Harakahdaily, 27 Dis 2012
KUALA LUMPUR: PAS mempersoal sikap Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang masih membisu berhubung isu Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid).

Menurut Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub (gambar), sehingga kini sudah beberapa kali surat dihantar malah kunjungan ke pejabat menteri besar juga telah dibuat namun Abdul Ghani tidak mahu bersemuka dengan wakil penduduk dan NGO yang memperjuangkan isu itu.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Bertindak Pengambilan Tanah Pengerang (Mantap) berkata, sekarang ini timbul pula masalah apabila kerja-kerja pengalihan kubur Islam dilakukan.

Katanya,penduduk tidak berpuas hati dengan operasi menggali kubur itu yang didakwa dilakukan tanpa memaklumkan kepada waris dan juga penduduk.

"Kenapa kerajan negeri khususnya menteri besar membisu. Tidak langsung mahu bertemu dengan penduduk dan NGO kita.

"Mereka secara senyap-senyap telah melakukan pemindahan (kubur) ini," katanya.

Semalam, seorang penduduk dari Kampung Langkah Baik didakwa ditahan polis ekoran aduan cuba menghalang wakil kontraktor menggali kubur di Kampung Punggai, kelmarin.

Difahamkan perselisihan berlaku kerana salah satu kubur yang dipindahkan adalah kubur nenek beliau yang langsung tidak dimaklumkan kepada keluarga malah sebaliknya kubur tersebut dikategorikan sebagai kubur tidak berwaris.

Mengulas lanjut Salahudin berkata, Mantap akan memfaikan kes Rapid Pengerang ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Januari nanti.

Sebelum ini, Gabungan NGO Pengerang (GNP) turut mendedahkan kepincangan yang berlaku sepanjang operasi pemindahan kubur Islam di sini yang dibuat 'membelakangi' penduduk.

Pada 22 Disember, seorang pemilik tanah di Kampung Sebong yang terlibat dengan pemindahan kubur membuat laporan polis kerana mendakwa tanahnya telah diceroboh.

Ekoran laporan polis itu dua syarikat kontraktor menggali kubur itu menghentikan kerja-kerja mereka serta-merta setelah berjaya menggali lima kubur.

"Sebuah kubur yang sedang digali juga dikebumikan semula sebelum mereka meninggal tapak perkuburan tersebut.

"Kami juga mendapati beberapa batu nisan yang kontraktor tidak sempat ambil telah ditinggalkan di tempat tersebut," kata Naib Pengerusi GNP, Kapten Hasnul Ahmad.

Selain itu katanya, sesetengah kubur berwaris di Kampung Jawa Darat juga telah digali tanpa dimaklumkan kepada waris.

Waris-waris itu kemudian merancang untuk membuat laporant polis, tetapi telah ditangguhkan setelah beberapa ahli politik yang menghubungi mereka, kata Hasnul.

Air bertakung


Sementara itu, GNP turut mendedahkan keadaan tanah perkuburan Islam baru di Kampung Punggai bertakung dengan air selepas hujan kerana aras tanah yang rendah.

Menurut mereka, pengendalian kerja-kerja pemindahan kubur yang tidak sempurna menyebabkan ada antara batu nisan yang patah kerana kecuaian pekerja kontraktor.

Mereka juga turut mempersoal tindakan kontraktor menggali kubur Islam di Kampung Jawa Laut, Kampung Jawa Darat dan Kampung Sebong dalam beberapa hari ini, mereka juga telah menggali kubur yang berwaris.

Sedangkan kata mereka, lesen bagi penggalian semula kubur yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Negeri Johor, cuma membenarkan untuk menggali 198 buah kubur Islam lama yang tidak berwaris di Lot 5156 Kampung Telok Empang.

PAS Maran nafi peserta Kembara Oren diikat

Khairil Abdul Rahim, 27 Dis 2012
TEMERLOH: PAS Kawasan Maran hari ini tampil menafikan sebuah berita yang dilaporkan akhbar Sinar Harian berkaitan keganasan terhadap seorang peserta Kembara Oren Selamatkan Felda di Felda Kampung Awah baru-baru ini.


Timbalan Yang Dipetua PAS Kawasan Maran, Hasnan Harun, yang merujuk laporan akhbar Sinar Harian Edisi Pahang 25 Disember lalu di bawah tajuk “PAS Berang Noraza diikat”, berkata insiden berkenaan sebenarnya tiada kaitan dengan Kembara Oren.

“Sehubungan dengan itu pihak kami menafikan sumber berita tersebut datang daripada PAS Maran dan tiada sebarang kejadian tangkapan yang berlaku ketika konvoi sampai di Felda Kg Awah sepertimana yang dilaporkan oleh akhbar berkenaan.

“PAS Kawasan Maran juga menafikan sumber-sumber berita lain yang turut menyiarkan insiden seorang peserta konvoi di tangkap dan diikat  pada hari tersebut di Felda Kg Awah,” katanya dalam sidang media bersama AJK PAS Maran dan penduduk Felda Kampung Awah.

Beliau tidak menafikan terdapat usaha pihak tertentu untuk menghalang kemasukan konvoi Kembara Oren sebelum itu, tetapi atas rundingan penduduk dengan ketua kampung dan ketua Rela kawasan, akhirnya konvoi dibenarkan masuk.

Justeru itu, katanya, PAS kesal di atas penyiaran berita mengenai Kembara Oren Selamatkan Felda di Felda Kampung Awah diambil daripada sumber tidak rasmi sehingga menimbulkan salah faham banyak pihak.

“Kami tampil ini untuk menjernihkan suasana. PAS Kawasan Maran juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak ketua kampung, pasukan Rela dan Pengurus Felda Kampung Awah yang memberikan kerjasama yang baik di sepanjang program itu berlangsung,” ujarnya.

Kisah seorang ahli Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) yang diikat tangan kononnya di Felda Kampung Awah, telah disiarkan secara meluas dalam Facebook dan blog sebelum ini sehingga dipercayai dipetik oleh media laman portal.

Bagaimanapun, peristiwa tersebut dikatakan berlaku semasa konvoi Kembara Oren masih lagi berada di Bukit Kepayang, Bera.

Akibat gambar tersebut tersebar luas di internet dan berita di akhbar, dikatakan telah timbul perasan tidak puas hati di kalangan pelbagai pihak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan