Sabtu, 29 Disember 2012

KALAU KITA TAK BETUL...DI DUNIA NI....MANA NAK LARI....JIKA ALLAH NAK BUKAK JAHAT KITA ...KITA TAK BOLEH HALANG

Anak Terengganu mahu serah memo tuntut Bertam PM307

Harakahdaily, 29 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Rakyat Terengganu di Kuala Lumpur akan menyerahkan memo tuntutan kepada Pengerusi Petronas bagi menuntut telaga minyak Bertam diserahkan kepada Terengganu.

Pengerusi 'Bertam Hok Ganukite', Dr Syed Azman Syed Ahmad (gambar) dalam kenyataannya berkata, memo itu akan diserahkan pada 4 Januari ini selepas solat Jumaat di Menara Kembar Petronas, KLCC.

Sehubungan itu, beliau yang juga Adun Batu Burok mengajak semua anak-anak Terengganu di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor agar bersama-sama dengan beliau menyerahkan memo tuntutan itu.

Mereka diajak untuk bersembahyang Jumaat di Masjid KLCC pada hari tersebut sebelum bersama-sama bergerak ke Pejabat Petronas di KLCC.

Satu sidang media juga akan diadakan selepas penyerahan memo tuntutan itu.

Telaga minyak yang baru ditemui, Bertam PM307 menjadi pertikaian apabila Perdana Menteri yang juga anggota Parlimen Pekan, Pahang Datuk Seri Najib Razak berkata, telaga minyak Bertam adalah berada di bawah perairan Pahang.

Sedangkan, di Dewan Undangan Negeri, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata syarikat cari gali minyak di kawasan berkenaan iaitu Lundin Oil yang mengesahkan tentang penemuan itu menyatakan ia berada di kawasan negeri ini (Terengganu).

Ekoran itu, berlaku pertikaian hak milik ke atas telaga minyak ini sehingga Sultan Pahang juga campur tangan.

Namun Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil sikap terbuka dalam hal ini.

"Kita tidak mahu Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat... kerana ini tidak sepatutnya berlaku dan memalukan negara," kata Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat dalam satu kenyataan dikeluarkan baru-baru ini.

Buruh paksa: RM207 bilion wang pampasan lesap?

Harakahdaily, 22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan BN dituntut supaya menjelaskan di manakah wang bernilai RM207 bilion yang telah diberikan oleh kerajaan Jepun sebagai pampasan kepada 30,000 pekerja buruh paksa pembinaan landasan keretapi dari tahun 1942 hingga 1946.

Ini kerana, walaupun telah diterima kira-kira 10 tahun lalu namun sehingga kini ia tidak diserahkan kepada mangsa atau waris mereka.

Anggota Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin memberitahu Dewan Rakyat, beliau mempunyai dokumen yang mengesahkan kemasukan wang itu.

Yang mengejutkan, kata beliau, pada 13 Disember 2004, Bank Negara mengeluarkan banker's cek bernilai RM107 bilion dan RM100 bilion
lagi diperuntukkan dalam bentuk syer Maybank yang didaftarkan pada 13 Disember 2004.

Ini bermakna, wang RM207 bilion yang sepatutnya diberikan kepada 30,000 mangsa buruh paksa ini telah diterima kerajaan sebelum tarikh 13 Disember 2004 lagi, iaitu kira-kira 10 tahun lalu.

Namun sehingga kini, wang itu tidak diberikan kepada mangsa atau waris mereka.

Ekoran itu, kata Mohamad Nizar, bekas Menteri Besar Perak itu, Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Keretapi Siam ke Burma 1942 - 1946 telah menghantar surat kepada kerajaan Malaysia bagi menuntut wang itu.

Surat itu telah pun dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 27 Julai 2011 menuntut pembayaran wang itu.

“Sejumlah 30,000 rakyat Malaysia yang terlibat dalam pembinaan landasan itu. Sejumlah 60% daripada mereka itu adalah orang Melayu, 20% orang India, dan 15% orang Cina. Selebihnya 5% itu adalah kaum lain”.

Menurut Nizar, pejabat Perdana Menteri apabila menerima surat itu telah pun menyerahkan satu salinan untuk dipanjangkan kepada Kementerian Sumber Manusia ada 9 Ogos 2011.

Beliau juga difahamkan, semua pihak dalam kerajaan termasuk Jabatan Peguam Negara telah bersetuju agar duit itu diserahkan kepada 30,000 mangsa ini.

"Saya mahu menyatakan di sini kalau sekiranya perkara itu telah pun dibentangkan dan diluluskan oleh Kabinet, maka kenapa ianya harus disimpan oleh Treasury ataupun Bendahari Kewangan kita sebegitu lama?" soal Nizar dalam ucapannya itu.

Menurutnya, mereka yang terlibat ada yang telah meninggal dunia, ada yang warisnya masih ada.

"Saya boleh menyatakan bahawa ayah kepada Tan Sri Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Ketua Hakim Malaya hari ini adalah salah seorang daripada mereka yang dikerahkan oleh Kerajaan Jepun ketika itu untuk membina landasan kereta api dan dia masih hidup lagi.

"Dia masih ada di Ipoh dan boleh menceritakan bagaimana susahnya 30,000 rakyat Malaysia ketika itu," beritahu Nizar kepada Dewan Rakyat.

Nizar bertanya, "kalau sekiranya wang itu telah diberikan sebagaimana yang dinyatakan, maka kenapakah kerajaan masih tidak memberikan pampasan itu kepada rakyat Malaysia yang telah dipaksa untuk melaksanakan kerja-kerja itu?"

Bagi beliau, ini merupakan satu amanah yang sewajarnya rakyat Malaysia sedar kerana ini satu hak kepada rakyat yang dinafikan oleh kementerian-kementerian tertentu  iaitu Kementerian Kewangan barangkali, Bank Negara dan juga Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perdana Menteri yang telah pun mengarahkan supaya kertas Kabinet diluluskan.

"Jadi saya hendak bertanya sama ada rayuan daripada persatuan itu. Mereka merayu supaya pampasan diberikan kepada mereka, kenapa ianya dinafikan?" soal beliau tegas.

Menurut beliau juga, kerajaan Filipina, Indonesia dan juga Vietnam juga menerima wang yang sama dan telah diserahkan kepada rakyatnya yang terlibat.

Ambil guru dari India perlu kajian mendalam

Nuruljannah Ismail, 29 Dis 2012
Lebih kurang seminggu yang lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan kepada Perdana Menteri India untuk menerima sejumlah guru yang mahir bahasa Inggeris dari India untuk mengajar di negara kita. Pada dasarnya, kita melihat cadangan ini mampu mewujudkan kerjasama yang pelbagai dan menyeluruh antara Malaysia dan India, namun jika diteliti, masih banyak faktor yang perlu ditekuni demi untuk merealisasikan cadangan ini. Saya di peringkat mahasiswa yang merupakan pelajar daripada Jurusan Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ingin menyuarakan ketidaksetujuan terhadap cadangan ini atas beberapa hujah.
Hujah saya yang pertama ialah, lambakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang masih menganggur dan masih menunggu untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah untuk mengajar. Tambahan lagi, baru-baru ini Gerakan Gabungan ISMP mengeluarkan kenyataan bahawa mereka turut menghadapi kesukaran untuk diterima di sektor swasta. Justeru, jika melihat kepada situasi ketika ini, amatlah mustahil untuk kita membawa masuk guru dari India, sedangkan masih ramai lagi graduan ISMP yang terkontang-kanting menunggu panggilan penempatan ke sekolah-sekolah. Cadangan ini seolah-olah menyempitkan peluang graduan ISMP terutamanya daripada jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) untuk mendapatkan pekerjaan. Seterusnya, ia akan memburukkan lagi masalah pengangguran dalam kalangan graduan ISMP. Terdengar juga ura-ura bahawa pengambilan mahasiswa ISMP akan dihentikan buat sementara waktu bermula tahun hadapan kerana peluang pekerjaan yang tersedia tidak mampu menampung graduan ISMP yang sedia ada. Lantas, satu pertanyaan di sini, adakah berbaloi jika pengambilan mahasiswa dihentikan untuk mengatasi masalah pengangguran dan pada masa yang sama kita mengimport masuk guru-guru dari India?

Hujah saya yang kedua ialah, kita sudah mempunyai graduan dari jurusan TESL untuk mengajar dalam bahasa Inggeris. Bahkan, sehingga kini, masih ada ribuan mahasiswa di seluruh Malaysia yang sedang mengikuti kursus TESL dan dijangka akan menamatkan pengajian antara tahun 2013 hingga 2016. Jika diperhati keadaan ini, saya yakin negara kita tidak akan ketandusan guru-guru bahasa Inggeris untuk mengajar anak-anak watan. Atas dasar apa kami diberi latihan selama empat tahun sekiranya peluang untuk mengajar diberikan kepada mereka yang bukan warganegara? Saya yakin dengan kompetensi mahasiswa dan juga graduan TESL di Malaysia kerana proses untuk menjadi mahasiswa ISMP bukan mudah. Untuk mengambil jurusan TESL, kami harus memperoleh sekurang-kurangnya band 4 dalam Malaysian University English Test (MUET). Setelah melepasi ujian tersebut, kami menduduki  pula Malaysian Educators Selection Inventory (MEdSI) dan seterusnya kami melalui proses temuduga. Dengan tapisan sebegini, adakah kerajaan masih belum yakin dengan kemampuan kami mengajar anak watan kami sendiri?

Hujah saya yang ketiga ialah dari sudut ekonomi. Kemasukan guru-guru dari India tidak dapat tidak memerlukan kerajaan untuk melaburkan sejumlah wang yang agak besar  yang merangkumi kos yang pelbagai. Kita melihat situasi ini dari sudut kemaslahatan umum. Adakah pengambilan guru-guru dari India merupakan satu keperluan sehinggakan kita rasa berbaloi untuk melaburkan ke arah itu? Atau adakah dengan jumlah dan kualiti guru bahasa Inggeris di Malaysia masih mampu menyediakan servis pengajaran yang terbaik dan dengan ini kerajaan tidak perlu melaburkan banyak wang untuk menampung guru-guru di Malaysia? Saya memilih opsi yang kedua. Saya masih yakin dengan kebolehan dan kompetensi guru-guru bahasa Inggeris di Malaysia untuk mengajar, kerana dengan adanya saya disini pada hari ini adalah dengan hasil tunjuk ajar mereka. Justeru, lebih wajar kiranya jika wang kerajaan digunakan dan diperuntukkan untuk memperkasakan guru-guru bahasa Inggeris di Malaysia. Tambahan lagi, ketika ini kita sudah mempunyai 75 orang guru dari Amerika Syarikat untuk mengajar di Malaysia. Jadi, saya percaya, kita tidak perlu lagi menokok tambah bilangan guru import yang sedia ada, kerana ia akan meningkatkan kos yang perlu ditanggung kerajaan.

Saya menyokong penuh saranan Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP) untuk kerajaan membuat kajian dengan lebih mendalam terhadap isu ini dan juga mengadakan perbincangan dengan professor bahasa Inggeris di Malaysia. Semoga dengan perbincangan tersebut, dapat menghasilkan keputusan yang menguntungkan negara. Saya juga tidak sebulatnya menolak cadangan ini. Jika kerajaan mampu memberi  sebab yang memuaskan bukan sekadar untuk membina hubungan, saya dan juga mahasiswa lain mungkin akan mempertimbangkan cadangan ini. Namun, untuk masa ini, saya tetap dengan pendirian saya untuk tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Penulis ialah Majlis Perwakilan Pelajar UIAM.

Pelajar diupah RM20 maki peserta Himpunan Oren

KeadilanDaily, 28 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Sekumpulan pelajar sekolah menengah termasuk tingkatan satu, ‘diangkut’ Umno BN kononnya untuk mempertahan Felda dengan upah RM20 setiap orang berikutan penganjuran Himpunan Oren Selamatkan Felda di Wisma Felda di sini, hari ini.
Berdasarkan temu bual Keadilan Daily dengan pelajar terlibat, mereka dibawa menaiki sebuah bas dari Rawang.

Mengikut pelajar yang dikenali sebagai Ika, mereka diberi RM20 ketika menaiki bas tetapi tidak tahu ke mana mereka mahu dibawa.

“Kami dari Rawang, satu kumpulan. Naik bas pagi tadi. Kita orang dapat RM20. Tadi mereka ada bagi,” katanya ditemani rakan-rakan sebaya.

Kumpulan pelajar lain yang memakai t-shirt Penggerak Belia Felda Tenggi, Hulu Selangor pula mengakui remaja yang dipilih semuanya berusia antara 15 hingga 17 tahun.

“Kami semua naik bas. Dalam bas, ada lebih kurang 20 orang. Kami tidak tahu kena pegang ini,” katanya sambil menunjukkan sepanduk yang terpaksa dijulang mereka.

Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Ikmal turut mengakui menerima upah tapi mengelak untuk memberitahu nilainya.

Selain pelajar ‘dipaksa’ menjerit memaki Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaaan (Anak), Mazlan Aliman, kumpulan remaja itu turut diberi rokok.

Ironinya, beberapa anggota polis yang bertugas mengawal kumpulan pro-Felda itu hanya membiarkan kumpulan pelajar itu menjerit tak tentu arah.

GSF dakwa Isa penakut, hanya wakil terima memo

Muhammad Faizal, 28 Dis 2012
KUALA LUMPUR: 3.20 pm- Salahudin berucap sejurus selesai menyerahkan memorandum. Melahirkan kekecewaan kerana Isa takut untuk turun menerima sendiri memorandum tersebut.

"Kita datang dengan baik, tanpa provokasi. Kita kecewa kerana bukan Isa yang menerima memorandum hari ini," kata Salahudin.

Mazlan juga turut sekali lagi menyampaikan ucapan.

"Sepatutnya tidak ada masalah pada kita. Kita sudah hantar surat awal menyatakan hasrat kita untuk menyerahkan memorandum.

"Tetapi Isa takut, sehingga tidak sanggup menerima memorandum daripada kita," kata Mazlan.

Himpunan kemudiannya bersurai kira-kira jam 3.30 petang selepas bacaan doa oleh Ust Mohd Nor.

3.10 pm - Polis membenarkan beberapa pemimpin melepasi sekatan untuk menyerahkan memorandum.

(Gambar: Beberapa pemimpin himpunan dibenar masuk menyerahan memorandum)

Kelihatan Salahudin bersama Mazlan Aliman masuk untuk menyerahkan memerandum tersebut.

Bagaimanapun memorandum itu hanya diterima oleh pegawai Felda di luar pagar.

Sebelum ini mereka menyatakan harapan agar Isa sendiri menerima memorandum tersebut.


2.40 pm - Lebih 2000 orang sudah memenuhi perkarangan luar pagar Ibu Pejabat Felda Jalan Semarak.

Sambil membawa kain rentang bantahan terhadap Isa, mereka juga melaungkan 'Undur Isa'.

Sementara menunggu kebenaran menyerahkan memorandum, beberapa pimpin turut berucap kepada para peserta yang hadir.

Dr Hatta dengan berkerusi roda menyampaikan ucapan di hadapan Wisma Felda.

"Isa Samad pernah disabitkan dengan rasuh politik, tetapi beliau masih diberi memegang jawatan Pengerusi Felda.

"Pengerusi Felda adalah jawatan yang besar, perlu orang amanah dan bersih.

"Kita cintakan Felda. Kita mahu Felda menjadi milik peneroka sepenuhnya, tetapi sekarang menjadi milik korporat," kata Dr Hatta.

2.30 pm - Peserta himpunan kini tiba di Wisma Felda. Polis menghalang beberapa peserta yang cuba mendekati pintu pagar.

(Gambar: Patung berwajah Isa Samad 'dirotan' sambil diarak peserta)

Penganjur kini sedang berbincang dengan pihak keselamatan bagi membenarkan beberapa wakil mereka masuk menyerahkan memorandum.

Kelihatan Pengerusi Bapa, Razman Zakaria mengetuai perbincangan dengan pegawai polis.
2.20 pm- Peserta himpunan kini sedang bergerak menuju ke ibu pejabat Felda.

Kira-kira 100 orang penyokong yang dipercayai penyokong Umno dilihat berhimpun bagi menghalang perserta himpunan ke pejabat Felda.

Kedua-dua himpunan GSF dan penyokong Umno itu dipisahkan dengan sekatan pihak polis ditengah-tengah di hadapan pintu masuk ke pejabt Felda.

2.15 pm- Ucapan dimulakan dengan Salahudin mengambil pentas.

"Kita datang hari ini dengan satu tujuan. Mereka yang tidak bertanggungjawab sila kosongkan kerusi Felda.

"Kita berkumpul hari ini adalah untuk menghalau Isla Samad keluar daripada Felda," Kata Salahudin.

Mazlan pula mengambil tempat untuk berucap

"Kehadiran Isa telah mengundang bencana dalam Felda. Kita himpun hari ini bagi menyatakan ketegasan kita agar Isa letak jawatan sebagai pengerusi Felda.

"Saya termia banyak maklum balas termasuk dari dalam Felda sendiri. Mereka juga bersetuju bahawa orang bernama Isa Samad perlu keluar dari Felda," kata Mazlan.

2.10 pm- Hampir 1000 orang sudah berada di perkarangan Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur Jalan Semarak menyertai Himpunan Oren Selamatkan Felda 2.0 hari ini.

Difahamkan mereka akan bergerak ke Ibu Pejabat Felda yang kira-kira 500 meter dari masjid tersebut sebentar lagi bagi menyerahkan memorandum kepada Pengerusi Felda Tan Tan Sri Isa Samad.

Di perkarangan masjid ketika ini sedang berlangsung ucapan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Antara pimpinan yang kelihatan setakat ini termasuklah Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, AJK PAS Pusat Dr Hatta Ramli, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Mohd Noor Mohamad.

Himpunan hari ini adalah anjuran Gerakan Selamatkan Felda (GSF) yang diketuai Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Kelihatan juga, patung berwajah mirip Isa turut diarak oleh peserta dengan di ikat pada kayu dan seorang peserta dilihat memegang rotan dengan gaya mahu memukul belakang patung tersebut.

Teka-teki tarikh pilihan raya, Muhyiddin persenda rakyat

Harakahdaily, 28 Dis 2012

KUALA LUMPUR: Pilihan raya sebenarnya bukanlah hak milik parti pemerintah sekalipun mereka bertanggungjawab mentadbir dan menguruskan kerajaan, kata Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib.

Sebaliknya, kata beliau pilihan raya adalah hak rakyat, maka menjadi tanggungjawab setiap pentadbir dan pemimpin dalam negara untuk menghormati dan menguruskan hak rakyat dengan sebaik mungkin.

“Tindakan menyembunyikan tarikh pilihan raya itu sendiri sudah dianggap mencabul prinsip demokrasi, apalagi menjadikan ianya sebagai teka-teki,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, ujar beliau kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tarikh pilihan raya dijadikan mainan dan alat untuk menggembirakan hati adalah satu kenyataan yang sangat biadap dan celupar.

“Beliau seharusnya sedar bahawa penangguhan tarikh pilihan raya ini sebenarnya telah menjejaskan aktiviti tahunan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Mungkin, katanya Muhyiddin terlupa bahawa ada yang sanggup menangguhkan ibadah haji, menunda tarikh kenduri, dan pelbagai aktiviti tergendala sepanjang tahun 2012 gara-gara tindakan Umno BN yang tidak demokratik kerana menyembunyikan tarikh pilihan raya.

Tambahnya, seolah-olah mereka mempunyai kuasa mutlak dalam mengawal dan menentukan pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau berkata Muhyiddin seharusnya menarik balik kenyataan tersebut.

Menurutnya, sekalipun Umno BN begitu takut untuk menghadapi pilihan raya kali ini tetapi dengan menjadikan tarikh pilihan raya sebagai teka-teki adalah mempersendakan rakyat.

Keputusan pilihan raya 'predictable'

Aspan Alias, 28 Dis 2012
Kadang-kadang terfikir juga mungkin sah BN itu akan sampai usianya dan akan hilang setidak-tidak beberapa tahun dari mentadbir kerajaan kita. Kalaulah Najib berani memanggil pilihanraya setahun yang lepas keadaan meruncing bagi beliau dan BN tidak akan sampai ke tahap sekarang ini. Dalam tempoh kurang dari setahun ini terlalu banyak isu yang timbul. Justeru usaha Najib untuk memberikan markah yang tinggi kepada BN telah terkandas kerana isu yang bertimpa-timpa dihadapi oleh parti pemerintah itu sekarang ini.
Jika kita bayangkan pilihanraya diadakan sepuluh bulan dahulu, tidak akan ada isu NFC yang telah menggemparkan rakyat. Jika PRU diadakan empat bulan yang lepas tidak akan timbul isu RM40 juta yang melibatkan Musa Aman dan sebagainya. Jika dipanggil pilihanraya 3 bulan yang lepas tidak akan timbul isu Deepak yang tampil membuat pengakuan penglibatan Najib dan isteri dalam kes Altantuya dan akuan bersumpah Balasubramaniam. Isu Deepak ini adalah isu yang amat sukar bagi Najib untuk menguruskannya kerana ia amat hampir kepada apa yang diperkatakan ramai di mana-mana sejak beberapa tahun dahulu.

Tetapi kita faham keputusan Najib untuk menangguhkan PRU itu ialah untuk menyediakan keadaan yang sesuai dengan pemberian BRIM dan berbagai-bagai imbuhan yang melibat rakyat yang ramai-ramai ini. Seboleh-bolehnya Najib mahu membeli perasaan rakyat dengan bermacam-macam hadiah tawaran untuk menyejukkan hati rakyat yang sudah sampai suhu kepanasannya ke peringkat optima.

Tetapi segala usaha itu telah terencat kerana dalam pada Najib berusaha untuk menunjukkan kebaikan beliau tidak dapat menahan arus isu yang merencat dan merosakkan imej beliau sebagai pemimpin utama negara dan seterusnya menjejaskan prestasi BN dalam menghadapi pilihanraya ini. Tiga isu yang terakhir ini telah memusnahkan harapan Najib untuk menghadapi pilihanraya kali ini dengan keyakinan yang tinggi.

Tidak tahu kenapa Najib belum lagi mendapatkan apa-apa kejayaan untuk politik UMNO dan BN setakat ini. Perdana Menteri kita ini masih belum mendapatkan keserasian sebagai Perdana Menteri negara. Hasil dari perasaan kurang keyakinan beliau itu maka beliau merupakan seorang ‘unelected Prime Minister’ dan belum lagi mendapat ‘endorsement’ yang sepatutnya beliau perolehi dalam beberapa bulan sahaja selepas beliau mengambil alih kuasa dari Abdullah Badawi. Oleh kerana beliau tidak berani melakukannya secepat yang mungkin maka Najib telah terlepas peluang untuk membuktikan sokongan rakyat kepada beliau.

Keadaan ini berlaku kerana Najib itu sendiri yang berhadapan dengan berbagai-bagai isu terhadap parti dan kerajaan serta isu peribadi yang terlalu besar untuk di selesaikan. Lepas satu isu  timbul satu isu lain. maka beliau telah cuba untuk menutupi isu-isu yang beliau hadapi dengan memberikan berbagai-bagai galakan untuk rakyat bagi mendapatkan sokongan mereka (rakyat).

Kerana isu terhadap parti dan kerajaan serta isu-isu peribadi beliau maka kerajaan terpaksa berbelanja dengan wang rakyat yang tidak kurang besarnya dalam keadaan kewangan negara yang kini amat meruncing. Pendeknya untuk mengekalkan kuasa BN ini kosnya adalah terlalu tinggi. Kalau hendak dikira di bawah pentadbiran Najib hutang negara telah mencecah dua kali ganda semasa beliau mengambil alih dari Abdullah Badawi. Pertambahan ini berlaku hanya dalam tempoh tiga tahun sahaja dan kini hutang negara sudah melebihi RM500 billion. Jumlah ini tidak termasuk hutang-hutang melalui ‘off-budget agencies’ yang berjumlah RM120 billion.

Saya selalu berkata jika pimpinan negara lemah tetapi bernafsu lagi untuk mengekalkan kuasa inilah jadinya. Setiap kelemahan pimpinan itu akan melibatkan kos kerana cara untuk mengekalkan kuasa ialah dengan berbelanja secara ‘lavish’ untuk membeli hati dan jiwa rakyat. Pimpinan tidak disokong kerana kemampuan mereka , tetapi disokong melalui pembayaran hati dan jiwa rakyat. Mereka sanggup berbelanja dengan begitu boros dan itu dikatakan sebagai kerajaan yang mendahului rakyat. Mereka beranggapan wang rakyat itu adalah wang UMNO dan BN.

BN tidak peka dengan tanggungjawab mereka terhadap negara. Jika ditengok dari sudut ekonomi pula hanya mereka yang berjaya menjadi kroni sahaja yang mendapat peluang dengan berniaga secara ‘monopolistic’. Tiada langsung di kalangan kroni yang hampir dengan UMNO sanggup untuk bersaing tetapi mereka mengambil kesempatan untuk berniaga secara ‘monopolistic’ kerana dengan cara itu mereka akan mendapat keuntungan yang besar tanpa bersaing. Hanya kumpulan ini sahaja yang akan maju dan mereka inilah merupakan ‘recipient’ yang terbesar dari gerak dan usaha rakyat yang menyokong UMNO dan BN selama ini.

Orang ramai tetap seperti biasa dan hanya menunggu untuk berbaris menerima wang BRIM yang akan dibahagi-bahagikan oleh pimpinan UMNO dan BN tidak lama lagi. Jumlahnya hanyalah sejemput sebagai upah menyokong UMNO untuk kepentingan pimpinan dan kroni-kroni mereka. Syed Mokhtar tidak payah bersusah-payah dan beliau hanya mengambil keuntungan dari kepimpinan kita. Begitulah manusia bernama Ananda Krishnan dan beberapa orang yang lain.

Mereka ini tidak payah bersusah-payah untuk berjuang dengan bermasam muka sesama kita di bawah ini. Mereka hanya mengaut segala nikmat perjuangan rakyat termasuk perjuangan ahli-ahlu UMNO sendiri. Pejuang-pejuang UMNO hanya mendapat BRIM sedangkan yang tidak berjuang mendapat segala-galanya. Mereka ini hanya perlu membodek dan mengampu pimpinan sahaja. Kedudukkan di antara pemimpin serta kroni UMNO jika dibandingkan dengan penyokong-penyokong mereka di bawah yang berjuang ini tidak ubah seperti cerita 'Di Antara Dua Darjat' sahaja.

Kita di bawah hanyalah menjadi mangsa maki hamun pemimpin dan segala apa yang kita buat dan perkatakan di bawah ini dianggap sebagai petualang dan semua ‘superlatives’ yang buruk-buruk ditempelkan kepada kita. Kita hanya dijadikan sebagai keldai yang ditenggek dan ditunggang oleh kroni dan tauke-tauke besar yang diwujudkan oleh UMNO dan BN. Rakyat diperhambakan sedemikian rupa dan hendak bercakap menentangnya tidak dibenarkan.

Sesungguhnya UMNO bersama parti-parti komponennya hanyalah seperti sebuah kelab yang eksklusif semata-mata untuk keuntungan besar bagi mereka yang tidak pernah merasakan susah dan peritnya mempertahankan UMNO selama ini.

Itulah sebabnya orang Melayu tidak akan merasa bersalah jika tidak menjadi ahli dan penyokong UMNO kerana lebih dari lapan juta orang Melayu yang tidak menjadi ahli UMNO tetap hidup subur dan mempunyai keyakinan yang tinggi. Di sebaliknya mereka yang menjadi penyokong tegar UMNO itu pula yang tidak berani bertindak dan tidak mempunyai fikiran yang jelas kerana dikongkong oleh momokan UMNO terhadap parti-parti pembangkang selama ini.

Mereka yang bergiat secara aktif dalam UMNO itu sedang bermasam-masam muka di antara satu dengan lain kerana isu siapa yang akan menjadi calon di tempat dan kawasan masing-masing merupakan isu yang sangat besar sekarang ini. UMNO mati kaku selagi mereka tidak tahu siapa yang akan diturunkan sebagai calon.

Itulah sebabnya saya selalu mencadangkan supaya biarkan sahaja parlimen terbubar dengan sendirinya. Tidak payah Najib membubarkannya. Sama ada Najib membubarkan Parlimen atau terbubar dengan sendirinya ia akan membawa ‘consequence’ yang sama juga……iaitu berkemungkinan kalah buat kali pertamanya.

Penyokong-penyokong UMNO yang tegar tanpa mempunyai pemikiran akan memaki hamun saya kerana kenyataan saya ini, tetapi apakan daya yang benar itu sememangnya perit untuk ditelan. Apa yang benar itu tetap benar dan yang salah itu tetap salah. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

PAS P.Pinang nafi terlibat demo berhampiran Komtar

Anis Nazri, 28 Dis 2012
KUALA LUMPUR: PAS Pulau Pinang menafikan sebarang penglibatan mereka dalam demonstrasi yang diadakan berhampiran Komtar hari ini.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Saleh Man, berkata pihaknya tidak ada kena-mengna dengan sebarang penganjuran demonstrasi tersebut.

Malah, beliau tidak tahu menahu mengenai demonstarsi tersebut yang diadakan di Masjid Simpang 6, selepas solat Jumaat tadi.

Saya tidak tahu-menahu tentang demo ini.  Tiada sebarang penganjuran daripada PAS Pulau Pinang untuk berbuat demikian," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Difahamkan sekumpulan pemuda mengadakan demonstrasi di Masjid Simpang 6 bagi dipercayai membantah Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkaitan isu penggunaan kalimah Allah.

Selain membawa kain rentang mengecam DAP dan Guan Eng, kumpulan itu juga dilihat membawa bendera PAS.

Mengulas lanjut Saleh berkata PAS mempunyai saluran tertentu jika mempunyai perbezaan pendapat dengan mana-mana rakan di dalam Pakatan Rakyat.

"Kita ada saluran kita sendiri," katanya yang juga Adun Permatang Pasir.

Ditanya tentang kehadiran bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin pada demonstrasi tersebut, Saleh enggan mengulas lanjut, bagaimanapun berkata ramai mengenali 'siapa' Hafiz.

Justeru, beliau berharap tidak ada pihak yang sengaja mencetuskan kekeliruan di kalangan rakan Pakatan Rakyat dengan mengatakan demonstrasi tersebut adalah anjuran PAS.

Muka baru terajui DAPSY 2012/2015

Harakahdaily, 28 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Sebahagian besar muka baru terpilih menerajui kepimpinan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) setelah pengundian peringkat kebangsaan diadakan pada 9 Disember lalu, lapor Roketkini hari ini.

Pada konvensyen DAPSY yang diadakan di Kuala Lumpur menyaksikan Ketua Pemuda DAPSY Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook melepaskan jawatannya dan mahu jawatan dalam sayap DAPSY itu diisi mereka yang berusia bawah 35 tahun.

Pengundian bagi Ketua Pemuda DAPSY Kebangsaan itu dimenangi Teo Kok Seong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bahau setelah mengalahkan Wong Kah Woh (Adun Canning, Ipoh) dengan kelebihan 55 undi.

Ia diikuti pertandingan jawatan lain termasuk Timbalan Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda, Setiausaha dan pemilihan Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan.

Berikut adalah senarai penuh pemimpin sayap Pemuda DAPSY Kebangsaan untuk 2012/2015:

Ketua Pemuda: Teo Kok Seong
Timbalan Ketua Pemuda: Loh Chee Heng
Naib Ketua Pemuda: Tiew Way Keng, Wong King Wei
Setiausaha DAPSY Kebangsaan: Tan Hong Pin
Penolong Setiausaha: Arul Kumar a/l Jambunathan
Bendahari: Leong Ooi Yee
Penolong Bendahari: Ng Wei Aik
Setiausaha Organisasi: Lee Chin Chen
Penolong Setiausaha Organisasi: Ee Chin Li
Setiausaha Publisiti: Wong Jun Hong
Penolong Setiausaha Publisiti: Rajiv Rishyakaran
Pengarah Pendidikan Politik:  Sim Chee Keong
Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa: Wong Kah Woh
Pengarah Hal Ehwal Varsiti: Chow Yu Hui

SENARAI AHLI MAJLIS EKSEKUTIF KEBANGSAAN

1.   Chua Yew Choong
2.   Teo Kok Boon
3.   Wong May Ing
4.   Lim Thing
5.   Liow Cai Tung
6.   Yeo Shen Li
7.   Wong Kim Yong
8.   Ng Chin Tsai
9.   Ang Lee Yong
10.  Mazir Ibrahim
11.  Lim Sie Kiong
12.  Ng Lai Hong

BIRO-BIRO

Ketua Biro Pemuda Pakatan Rakyat: Mazir Ibrahim
Ketua Biro Hal Ehwal Pertubuhan Bukan Kerajaan: Mohd Samat
Ketua Biro Guaman : Yeo Shen Li
Ketua Biro Pengaduan Awam : Lee Fu Haw
Ketua Biro Teknologi Maklumat dan Komunikasi : Chua Yew Choong
Ketua Biro Teknologi Hijau dan Alam Sekitar: Marcus Sew Yu Xuan
Ketua Biro Pembangunan Remaja : Liow Cai Tung
Ketua Biro Penyelidikan dan Pembangunan : Satees a/l Muniandy
Unit Tindakan Khas : Ng Tien Chee

Tiada ulasan:

Catat Ulasan