Khamis, 20 Disember 2012

DIA BUTA MALAHAN PEKAK PULAK...INGIN DITUNJUK JALAN YANG LURUS...MALAH DAH MASUK LONGKANG... KITA NAK SELAMATKANNYA TAPI DIA MENOLAK...MALAH SURUH KITA BATALKAN NIAT JIKA KITA MENOLONG DARI MASUK LONGKANG...BODOH ATAU CERDIK TINDAKANNYA

Kase, Juham teruskan usaha hingga AES dimansuh

Harakahdaily, 19 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) serta Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) terus komited dalam usaha mendesak kerajaan menghapuskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Timbalannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, keputusan terbaru yang dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara dengan mengarahkan supaya semua prosiding kes saman di mahkamah melalui AES digantung serta merta kerana timbul pelbagai masalah yang lain, meskipun saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah.

“DPPWP menganggap keputusan ini adalah kejayaan awal Kase dan Juham dalam memperjuangkan hak rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, ternyata perjuangan berterusan untuk kepentingan orang ramai tanpa rasa jemu akan membuahkan hasil sehingga kerajaan tunduk kepada tekanan yang diberikan.

Katanya, kelemahan dan kepincangan di sebalik sistem AES serta pihak tertentu yang bakal mengaut keuntungan dari keperitan rakyat perlu terus didedahkan supaya rakyat mengetahui nawaitu sebenar pelaksanaan AES ini.

Dalam pada itu, kata beliau DPPWP menyokong gesaan kerajaan Pulau Pinang supaya Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Chong Ha membatalkan 300,000 saman yang dikeluarkan oleh AES.

Beliau berkata, dengan keputusan yang dikeluarkan Pejabat Peguam Negara semalam, amat wajar Menteri Pengangkutan mengarahkan JPJ membatalkan saman yang dikeluarkan serta merta,” ujarnya.

“Pengumuman Pejabat Peguam Negara semalam ibarat suatu tamparan hebat kepada kredibiliti beliau selaku pemimpin yang bertanggungjawab dalam projek ini, dan bagi memikul kesilapan ini sepatutnya beliau memohon maaf kepada rakyat Malaysia khususnya mangsa AES dan seterusnya meletakkan jawatan,” katanya lagi.

5 profesional dilantik JK khas Kondo Batu Caves

Harakahdaily, 19 Dis 2012
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan lima nama yang terdiri dari profesional yang dilantik menganggotai jawatankuasa bebas untuk meneliti kelulusan projek pembinaan kondominium di Batu Caves dan kawasan sekitarnya.

Mereka adalah Orang Besar Daerah Klang, Datuk Setia Diraja Datuk Abdul Ghani Pateh ; Pakar bedah neuro, Dr M Nachiappan ; bekas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ranita Hussein ; pakar undang-undang pembinaan, Harbans Singh dan Pakar Geologi, Tan Boon Kong.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, jawatankuasa itu akan mengkaji isu tersebut dengan bebas dan profesional dan akan memulakan mesyuarat rasminya pertama dalam masa terdekat.

“Kerajaan Negeri berterima kasih kepada lima profesional ini kerana kesediaan mereka untuk membantu menyelesaikan perkara ini,” katanya yang dipetik Selangorku.

Isu kondominium tersebut menjadi hangat apabila kaum India membuat bantahan meminta agar kondominium Park Avenue di kawasan Batu Caves dihentikan.

Kerajaan negeri sebelum ini mendedahkan projek tersebut diluluskan ketika zaman BN mentadbir negeri itu.

Fakta itu turut disokong Majlis Perbandaran Selayang (MPSp) yang kemudiannya mendedahkan minit mesyuarat penuh bulanannya yang menunjukkan projek tersebut diluluskan pada 2007 ketika pentadbiran Umno-BN.

Bagaimanapun, ekoran bantahan itu, Abdul Khalid mengarahkan supaya kerja pembinaan itu dihentikan dan menubuhkan petugas bebas bagi menyiasat isu tersebut.

Di sebalik amanat Presiden PAS seorang berilmu

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, 19 Dis 2012


“Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Mujaadalah 58 ayat 11)



Menerusi facebook saya semalam (4 Safar 1434/18 Disember 1434), saya memberi respons berikut:

“Saya membaca kenyataan beberapa orang mufti yang mendesak agar Presiden PAS menarik balik apa yang didakwa sebagai ‘Amanat Haji Hadi’. Saya kira, ilmu yang dimiliki oleh Presiden PAS tidak lebih rendah dari ilmu yang dimiliki oleh para mufti. Bahkan beliau merupakan lulusan Madinah yang cemerlang. Jadi saya menyeru kepada para mufti, jangan beranggapan Presiden PAS sebagai orang yang tidak tahu hukum-hakam. Boleh berbincang dengan cara yang elok dan tak perlu bermain politik partisan di dalam jubah mufti. Jangan jual harga mufti dengan murah.”

Respons ini telah menerima lebih daripada 1,200 komentar pembaca (setakat pagi tadi). Malah beberapa media cetak dan berita di internet turut mengulasnya. Ia suatu luahan pandangan yang mengandungi pelbagai nilai kefahaman.



Semoga semua nilai kefahaman itu akan menemui suatu jalan kebenaran di sebalik isu yang dianggap amanat Presiden PAS, seorang ulama dan ilmuan yang disegani.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa merintis jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Wallahu’alam.

Jangan layan ‘Ulama upahan’

-, 19 Dis 2012


Menjelang PRU Ke-13 bermunculan pelbagai isu yang terbit dari pelbagai kenyataan bukan saja dari para pemimpin politik, tokoh masyarakat bahkan juga dari kalangan yang menggelar diri mereka ‘ulama’ atau ‘digelar ulama’.

Seingat saya, Malaysialah adalah negara yang begitu mudah orang ‘bergelar ulama’ atau ‘digelar ulama’ - baik dari kalangan muda mahupun tua.

Oleh itu orang jadi keliru bahawa kretaria yang bagaimana mahu dipakai untuk digelar ulama, sedangkan ulama ialah sebuah entiti yang sangat mulia di sisi Islam, pewaris nabi, golongan yang paling takut akan Allah dan pelbagai kemuliaan yang mereka miliki kerana ilmu dan ketakwaan mereka.

Di tengah-tengah simpang siurnya gelar ‘ulama’, keluarlah pelbagai fatwa, pandangan, malah kenyataan yang berbaur politk parti dan  sebagainya.

Ini tidak membantu menyuburkan dakwah Islam, malah menambah kekeliruan lagi bagi masyarakat, malah menghambat kerja dakwah yang mulia.

Lebih-lebih lagi menjelang PRU Ke-13, maka riuh rendah dunia politik digamatkan lagi oleh kenyataan sesetengah yang dikatakan ulama, yang bunyinya pelik, sukar difahami dan tentunya sangat mengelirukan.

Umpamanya ada ‘ulama’ yang membongkar kembali isu Amanat Haji Hadi yang telah dilupakan sekian lama, ada pula yang menyebut mengenai kafir harbi, ada yang memberi pandangan yang bersifat rasis, malah ada yang terang-terang kelihatan seperti menjadi jurubicara parti pemerintah dan ada pula yang menyifatkan ulama tersohor dunia, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sebagai khawarij dan pelbagai lagi.


Pada hal dibandingkan ilmu Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dengan ilmu orang yang menuduh itu bagaikan bumi dengan langit. Namun yang menuduh itu tidak malu-malu dan tidak merasa bersalah, malah merasa sangat hebat.

Inilah anehnya keadaan di negara ini, lebih-lebih lagi menjelang PRU Ke-13. Apa pula kenyataan dan tuduhan yang akan muncul selepas ini, namun kita boleh menjangka akan muncul kenyataan yang lebih pelik lagi.

Namun suatu hal yang pasti ialah akan terus muncul ulama-us'suk (ulama jahat) di samping ulama sebenar (baik), yang memikul amanah sebagai pewaris Nabi). Hal ini akan berlaku di mana-mana di sepanjang zaman. Revolusi bersejarah rakyat Mesir yang tercetus lebih setahun lalu menjadi iktibar penting bagaimana munculnya ulama jahat di tengah-tengah kancah revolusi rakyat Mesir itu dan kemunculannya beriringan dengan tulisan jahat dalam akhbar-akhbar Mesir yang turut menentang revolusi itu.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menjadi sasaran mereka, justru tokoh ulama besar ini mempertahankan Revolusi Rakyat Mesir itu, sedangkan ‘ulama upahan’ ini beserta penulis-penulis di akhbar Mesir menyerang pandangan Al-Qaradhawi dan turut sama mempertahankan rejim diktator Hosni Mubarak.

Dalam bukunya ‘Yusuf Al-Qaradhawi Dan Kebangkitan Rakyat’ (terjemahan) - terbitan Abim - menghuraikan bagaimana ulama besar dunia yang telah membaca 286,000 buku setakat ini, melakukan ijtihad bahawa demonstrasi rakyat menuntut keadilan dibenarkan oleh Islam.

Semuanya ini hasil keyakinannya yang kukuh bersandarkan kepada hujah Al-Quran dan Sunnah, juga hadis serta pandangan ulama muktabar terdahulu, ditambah dengan pengalaman dan pengamatannya
yang tajam terhadap suasana masa kini.

Fatwanya ini melumpuhkan pandangan golongan ‘ulama upahan’ yang berada di sekeliling pemerintah zalim Hosni Mubarak selama ini yang berpendapat demonstrasi menentang Mubarak itu adalah haram. Ulama ini berkhidmat di institusi kerajaan Mesir termasuk Mufti Kerajaan Mesir, Ali Jum’ah dan pemegang jawatan penting di institusi pengajian tinggi.

Bagaimanapun tetap ada di kalangan ulama yang berani menyokong demonstrasi tersebut.

Pandangan ‘ulama upahan’ ini disokong oleh pihak tentera dan polis serta pegawai tinggi awam, kalangan korporat dan golongan disekeliling Hosni Mubarak yang mengaut harta kekayaan Mesir. Merekalah yang mempertahankan diktator berumur 84 tahun itu.

Memang pada awalnya, media Mesir, malah media dunia Arab lain memberi ruang luas kepada pandangan ‘ulama upahan’ Arab yang mengatakan bahawa demonstrasi di Medan Tahrir itu adalah haram kerana kononnya menimpakan pelbagai kerosakan.

Iktibar dari peristiwa di Mesir itu ialah bahawa ‘ulama upahan’ ada di mana-mana dan pada setiap waktu. Dalam Revolusi Jasmine di Tunisia Januari 2011, muncul ‘ulama upahan’ yang menjadi imam di masjid jame’ Tunisia yang khutbahnya memuji diktator President Zine El Abidine Ben Ali.

Setelah Revolusi Jasmine itu berjaya menyingkirkan diktator tersebut, menghilang diri entah ke mana hingga kini. Inilah nasib ‘ulama upahan’.

Oleh itu tidak pelik ulama seperti ini ada di mana-mana dan bila-bila masa.

Menjelang PRU Ke-13 mungkin akan muncul pelbagai lagi jenis ‘ulama upahan’ seperti ini yang memberi fatwa dan pandangan yang pelik dan mengelirukan.

Oleh itu, PAS/Pakatan Rakyat sewajarnya tidak melayan karenah ‘ulama upahan’ yang hanya menimpakan kekeliruan. Pakatan perlu meneruskan gerak kerja pilihan raya tanpa memberi perhatian kepada pandangan yang mengelirukan, yang tujuan mereka hanya untuk menolong parti yang memerintah meneruskan hayat kuasanya.

Yang penting diberi perhatian ialah pengundi generasi baru yang dikatakan mencapai 40 peratus, suatu jumlah yang besar. Pengundi ini ada di mana-mana – di luar bandar mahupun di dalam bandar. Pengundi baru ini diyakini memberi perhatian kepada isu-isu rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dana awam, nepotisme, kronisme, pembaziran dan pelbagai lagi.

Inilah isu yang mesti diberi perhatian sungguh-sunggu, bukan memberi perhatian kepada pandangan ‘ulama upahan’ yang hanya mengelirukan.

Dalam masa yang sama, tumpuan perhatian juga perlu diberikan kepada kawasan ‘Malay Belt’ – kawasan pengundi Melayu – yang setakat ini menjadi pengundi majoriti.

Jika dua tumpuan ini diberikan, di samping mengambil kira undi bukan Islam, Insya-Allah, kemenangan akan memihak kepada PAS/Pakatan Rakyat.
 
 

Cadangan tarik balik amanat sia-sia saja

Mohd Sayuti Omar, 19 Dis 2012
Cadangan Dr Mohd Asri Zainal Abidin agar Abdul Hadi Awang menarik balik ucapannya yang dijadikan sebagai amanat atas alasan untuk memberi pencerahan dan menghentikan isu itu, saya rasa ia kurang wajar dan langkah itu tidak akan menghentikan isu itu daripada dijadikan isu politik murahan.
Kalaupun Abdul Hadi menarik balik ia tidak menjamin isu itu tidak akan diungkit lagi. Umno dalam keadaan kehabisan modal dan tertekan akan menggunakan perkara itu dan juga perkara-perkara lain yang sudah lama ditutup selagi ia ada keuntungan politik.
Seperti isu 13 Mei ia telah lama ditutup dan menjadi kenangan sejarah, tetapi ia masih juga dibuka dari masa ke semasa mengikut keadaan. Begitu juga dengan 'pensedekahan' Temasik kepada Lee Kuan Yew adalah perkara lama yang sudah diketahui oleh dunia, tetapi pada masa-masa tertentu juga dibangkitkan.

Asri seperti mana dipetik dari laporan menyebut; "Sungguhpun ahli Pas hari ini sudah tidak mengamalkan amanat tersebut, tetapi Hadi wajar membuat penarikan semula sebagai pencerahan kepada masyarakat".

Sekiranya Asri mengharap isu itu tidak akan dibangkit ia adalah satu harapan yang sia-sia. Selagi ada politik di negara ini dan didukung oleh dua kumpulan serumpun dan berbeza ideologi politik ia akan berlaku. Bukan saja dari pihak Umno di pihak lain juga.

Asri sendiri sudah faham bahawa isu (amanat) itu tidak berbangkit lagi. Beliau menerima Abdul Hadi mengucapkan kenyataan itu semasa darahnya masih mendidik tentulah berbeza dengan waktu ini. Hari ini Abdul Hadi sendiri menerima yang amanat itu sudah tidak relevan. Pas juga jauh lebih progresif dan terbuka dan lebih realistik.

Seperti tanggapan Asri persepakatan Pas dengan DAP membuktikan yang politik Pas berbeza dan realistik. Persepakatan itu menunjukkan Pas dan Abdul Hadi sendiri tidak berpegang kepada kata-katanya tahun 1981 itu.

Jadi di mana relevannya bagi Abdul Hadi membuat penarikan atau apologetik. Kepada saya tindakan menarik balik hatta membuat penjelasan perkara itu hanya sia-sia dan ia memberi modal kepada Umno. Bukan saja isu seperti amanat itu isu-isu lain tidak perlu penjelasan walaupun atas tujuan pencerahaan kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.

Atas sifat politik apa saja isu ia boleh dipusing 360 darjah mengikut kesesuaiaan iklim semasa dan juga atas perubahan dalaman manusia itu sendiri. Jadi saranan Asri itu hendaklah diabaikan saja dan biarlah Umno terus memutarbelitkan isu itu semahu mana yang dikehendakinya. - http://msomelayu.blogspot.com

Orang Asli menang hak tanah di mahkamah

Anis Nazri, 19 Dis 2012
TEMERLOH: Penduduk Orang Asli di Kampung Bukit Rok dan Kampung Ibam, Bera memenangi kes ke atas tanah mereka yang cuba diambil kerajaan Pahang, pada 2006 lalu.

Kerajaan Pahang juga diminta dalam tempoh satu tahun untuk menggazetkan tanah seluas 2023.47 hektar itu sebagai tanah rezab Orang Asli.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan sedemikian di Mahkamah Tinggi Temerloh, pagi tadi.

Kira-kira 80 orang penduduk dan aktivis orang asli turut hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan tersebut, selain menyatakan sokongan.

Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli, Dr. Colin Nicholas, ketika dihubungi Hrakahdaily berkata isu tanah itu menjadi pertikaian sejak 2006 apabila lebih 300 penduduk kedua-dua kampung itu diminta keluar.

Beliau berkata, tanah tersebut diambil kerajaan Pahang  bagi tujuan pembangunan Felcra Sdn. Bhd., bagaimanapun penduduk kampung yang terlibat bertindak menentang dan memohon injuksi bagi menghentikan pencerobohan tersebut.

Sedangkan, tambah Nicholas, tanah tersebut telah direzabkan sebagai tanah rezab orang asli pada 1974.

Penduduk memfailkan semakan kes berkenaan tanah tersebut pad 2007, dan ditangguhkan beberapa kli sehingga diputuskan keputusannya hari ini.

Penduduk Orang Asli tersebut diwakili firma guaman Lee, Hishammudin Allen & Gledhill, diketuai Datuk D. P. Naban, Lim Heng Seng and Gobinathan.

Jangan dibakar jambatan sebelum menyeberang

Aspan Alias, 19 Dis 2012
Pilihan raya kali ini adalah pilihan raya yang paling sengit bagi BN dan paling hampir kepada kuasa bagi Pakatan Rakyat. Keadaan graf kemajuan kedua belah pihak sentiasa berubah setiap waktu dan masa. Dalam satu waktu BN mendahului sedikit dan pada waktu yang lain pula Pakatan Rakyat yang mendahulu dari sokongan rakyat.
Bagi saya secara jujur, dan realistik pada hari ini keadaan memerlukan kedua-dua belah pihak berusaha keras untuk mendapatkan undi-undi di atas pagar yang agak besar dan itulah pandangan saya mengikut keadaan sekarang ini. Adalah penting bagi kedua-dua belah pihak memaparkan perjuangan yang betul dan benar. Jangan sekali-kali ada pihak yang melakukan perkara yang boleh menjejaskan sokongan dalam waktu yang kritikal ini.

Rakyat terutamanya pengundi-pengundi di atas pagar sedang menumpukan perhatian terhadap janji-janji masing-masing. Jika kedapatan janji-janji yang tidak mungkin terlaksana, kerana permainan politik peribadi, pihak itu akan hilang sokongan dari gulungan ini. Janji-janji kedua-dua belah pihak adalah dalam perhatian rapi pengundi.

Bagi BN isu-isu besar yang mereka hadapi sudah pasti menjejaskan prestasi mereka. Itulah sebabnya transformasi yang di janjikan BN itu ialah untuk mempastikan yang isu rasuah yang sudah menjadi ‘stigma’ kepada BN itu wajar di hapuskan serta merta. Tetapi untuk menghilangkan ‘stigma’ itu, bagi BN dan UMNO wajib memperlihatkan kepimpinan baru dalam parti itu yang tidak melibatkan mana-mana pemimpin atau individu yang ada di dalam MKT UMNO dan Jemaah Menteri sekarang ini.

Pimpinan BN yang ada tidak mempunyai kredibiliti untuk menunaikan janji-janji bagi memperbaiki keadaan ini kerana tidak mungkin kumpulan yang melakukan rasuah itu akan berkemampuan memperbaiki keadaan rasuah yang mereka lakukan. Dalam sekelip mata ini UMNO wajar menukar imej baik dengan menukar barisan pimpinan yang baru sebelum pilihanraya yang akan datang ini.

Bagi Pakatan Rakyat yang sedang merasakan sedikit nikmat kuasa yang rakyat akan diperhatikan ialah sama ada janji-janji yang menjadi umpan untuk rakyat memberikan sokongan itu betul-betul terlaksana. Bagi PAS tidak nampak apa-apa yang bermasalah kerana PAS merupakan parti yang paling berdisiplin dan oleh kerana ia berlandaskan sedikit sebanyak kepada Islam dan agama itu kita terlihat ia sudah menunjukkan dan membuktikan parti itu telah berjaya mewujudkan kepimpinan yang telah pun terbukti kesahihan dalam penepatan janji-janji selama ini.

Bagi DAP, parti ini telah berjanji untuk melaksanakan pentadbiran yang baik dan terbukti wujud di Pulau Pinang. Janji-janji parti ini untuk menonjolkan calon-calon Melayu sedang menjadi perhatian ramai khusus dari pengundi Melayu di seluruh negara. Jika janji ini tidak di tepati ia akan pasti menjejaskan keyakinan sebahagian rakyat terutamanya dari gulungan yang di atas pagar. Jika janji untuk memaparkan calon-calon Melayu ini tidak terlaksana maka itu akan menjadi tanda awal yang DAP akan tetap dengan persepsi rakyat sebagi sebuah parti yang rasis  untuk kaum Cina semata-mata.

‘Convention’ DAP di Pulau Pinang minggu lepas juga telah membibitkan perasaan sedikit kurang senang setengah pihak, bukan sahaja dikalangan kaum Melayu tetapi juga dikalangan kaum India. Tetapi itulah demokrasi. Jika yang tidak mendapat keyakinan perwakilan maka tidak adalah yang menang di dalam pertandingan seperti itu.

Tetapi seperti yang di sebut oleh perwakilan Sekinchan yang mana sudah ada tanda-tanda DAP telah mula di resapi oleh elemen politik wang walaupun belum jelas di lihat. Ramai yang telah memberikan komen dalam senyap-senyap yang mengatakan nampaknya DAP juga sudah mula terasa nikmat kuasa dan di harap apa yang di sebut oleh perwakilan itu tidak benar.

PKR pula, seperti DAP dan PAS telah berjaya menunjukkan prestasi kepimpinan yang jauh lebih bersih dari BN di Selangor dan kini yang perlu bagi kerajaan PKR Selangor untuk terus mentadbir dengan baik seperti yang telah terekod selama empat tahun lebih memerintah kerajaan Negeri Selangor itu.

Pendeknya jika dilakukan pilihanraya hari ini atau esok, mana-mana pihak yang melakukan kesilapan walaupun sedikit, pihak itu akan menghadapi kekalahan. Oleh itu kedua-dua pihak nampaknya terpaksa berhadapan dengan situasi yang mesti berhati-hati kerana masing-masing sudah tidak ada ruang untuk melakukan kesilapan lagi.

Jika mana-mana pihak melakukan kesilapan sekarang ini masa sudah terlalu suntuk untuk memperbetulkannya. Dalam keadaan sekarang kesilapan tambahan dari pihak BN akan mengakibatkan kehilangan kuasa.  Sebaliknya jika Pakatan Rakyat melakukan kesilapan dengan menunjukkan sikap terlalu dahagakan kuasa juga akan mengakibatkan niat untuk ke Putrajaya itu terbengkalai sehingga pilihanraya yang akan datang.

Ingat, mana-mana pihak yang melakukan kesilapan akan menerima padahnya. Kita mesti ingat acapkali terjadi makanan yang sudah hampir masuk ke dalam mulut pun akan terlepas jika rakyat terlihat sikap tamak haloba dan politik peribadi yang keterlaluan.

Kepada yang sedang terlalu takut kehilangan kuasa yang ada sekarang jangan bercakap besar dengan memperlekehkan pihak lain. Kepada pihak yang ingin mengambil alih kuasa pula jangan tunjukkan sangat keghairahan yang keterlaluan untuk mendapatkan kuasa itu kerana ia akan memakan diri masing-masing. Hidung biar terletak di tempatnya, jangan di letak di dahi.  Cara kita menunggu kejayaan untuk mendapatkan kuasa itu akan mudah di baca dan menjadi pertimbangan pihak yang di atas pagar untuk menentukan sikap mereka di dalam peti undi nanti.

Sebenarnya rakyat benar-benar mahu merasakan perubahan nyata dan mereka akan kecewa jika mereka masih mengalami keadaan dan situasi yang sama setelah mereka mengalih dan menganjak kuasa itu di dalam pilihanraya nanti. Sekali rakyat yang mengharap rasa tertipu, ia akan mengambil masa yang panjang untuk memulihkan keyakinan mereka.

Jangan buangkan air dalam tempayan semata-mata kerana terdengar bunyi guruh dilangit. Satu lagi perbidalan yang sangat popular dalam politik negara ialah, ‘jangan membakar jambatan sebelum menyeberang’. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Serangan biadab: Rais Yatim wajar pohon maaf

Harakahdaily, 19 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Serangan dangkal dan biadab Zainudin Maidin ke atas mantan Presiden Indonesia, BJ Habibie kini merebak kepada Almarhum Gus Dur dan Amien Rais pula.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ternyata Zainudin mewakili sosok pimpinan Umno yang angkuh dan anti-demokrasi.

Justeru, ujarnya Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sewajarnya tidak berdolak-dalih dan memberi alasan lagi memandangkan perancangan biadab menghina tokoh pimpinan Indonesia ini disiarkan di dalam Utusan Malaysia, sebuah media yang diketahui dimiliki oleh Umno.

“Justeru, apakah tidak wajar untuk pimpinan Umno mendesak Zainudin dan Utusan Malaysia supaya memohon maaf secara terbuka?

“Saya percaya dan yakin bahawa kebiadaban sebegini tidak sekali-kali mewakili sentimen rakyat malah dibantah keras oleh majoriti rakyat Malaysia yang amat menghormati tokoh-tokoh Indonesia tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

PAS Perak lapor SPRM pegawai MB dapat projek

Muhammad Faeez Azahar, 19 Dis 2012
IPOH: Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemberian projek kepada pegawai khas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir.
Ini berhubung pendedahan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di persidangan Dun semalam tentang satu perjanjian di antara pemilik tanah Rumah Perak di Batu Feringgi, Pulau Pinang dan syarikat yang dimiliki pegawai khas Zambry.

Koordinatornya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, perjanjian tersebut berdasarkan BOT (build-operate-transfer) di mana pemaju akan diberikan konsesi selama 30 tahun untuk mengurus projek itu.

“Pemberian tersebut dilihat telah melanggari etika serta melibatkan unsur salah guna kuasa yang dianggap berat,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di pejabat SPRM Perak, di sini.

Hadir sama ialah jawatankuasanya, Salman Saleh serta Exco Pemuda PAS Perak, Ustaz Fahmi Ismail dan Safarizal Saleh.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia menjelaskan, selepas disemak di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terbukti syarikat tersebut tidak aktif.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak itu berkata, pihaknya mengharapkan SPRM membuat siasatan segera bagi membantu rakyat Perak membasmi unsur-unsur salah guna kuasa yang sering berlaku dalam pentadbiran Umno BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan