Sabtu, 15 Disember 2012

KITA BOLEH BERUSAHA TAPI SEMUA DALAM KETENTUAN DAN KEIZINAN ALLAH...MAKA KENA SEDARLAH JIKA TAK BERJAYA BERMAKNA ALLAH TAK IZINLAH

Anggaplah kritikan sebagai pujian - Habibie

-, 13 Dis 2012



Di tengah-tengah pelbagai pihak mempertahankan mantan Presiden Indonesia, B.J. Habibie dari sebuah kritikan tajam terhadapnya, tokoh reformis Indonesia itu kelihatannya ‘biasa-biasa saja’.

Kritikan itu datang dari seorang pendukung parti politik Umno baru-baru ini.

Bagaimanapun ada jawapan dari tokoh reformis Indinesia itu yang santai tetapi menarik dan penuh makna.

Iaitu ada ungkapan darinya melalui Twitter resminya - @habibiecenter  - pada Selasa lalu, yang menyebut BJ Habibie berkata: “When s''one insults u, take it as a compliment that they spend so much time thinking abt u, when u don''t even think abt them."

(Kalau ada yang menghina anda, anggap saja sebagai pujian bahwa dia menghabiskan waktu memikirkan anda, sedangkan anda tidak sedetikpun memikirkan dia).

Ini sebuah jawapan yang sangat menarik, pandangan dari seorang tokoh intelektual besar yang dengan tangannya membuka gerbang demokrasi seluas-luasnya di negara Indonesia, bahkan boleh dianggap sebagai ‘Guru Demokrasi’ sekurang-kurangnya di rantau ini.

Habibie adalah seorang reformis dan intelektual bangsa yang berjaya mengubah hala tuju pentadbiran negara itu ke arah sebuah sistem yang demokratik dengan memerdekakan rakyat dari belenggu pemikiran dan hegemoni yang sempit.

Beliau adalah pemimpin yang lain dari yang lain. Ketika para tokoh Barat berpendapat bahawa ramai pemimpin Dunia Ketiga sentiasa merasa pemerintahan mereka tidak selamat, menyebabkan mereka sangat sukar menerima demokrasi, bahkan sesetengah mereka sentiasa berusaha – dengan apa cara – mempertahankan pemerintahan mereka, sosok B.J. Habibie lain sama sekali.

Bahawa dengan berani ia membuka pintu demokrasi seluas-luasnya di negaranya walaupun ia hanya menjadi Presiden Indonesia dalam masa 512 hari, tetapi ia telah melaksanakan erti demokrasi dengan:

* Memberi kebebasan pada rakyat untuk menyalurkan aspirasi mereka sehingga banyak bermunculan partai-partai politik baru yakni sebanyak 48 partai politik.

* Membebaskan tahanan politik dari NGO (Napol) seperti Sri Bintang Pamungkas dan Mochtar Pakpahan.

* Mencabut larangan berdirinya pertubuhan  buruh independen.

* Membentuk tiga undang-undang yang demokratik.

Mengenai demokrasi dan bagaimana rakyat Indonesia bertuah menikmatinya sudah diketahui umum. Umpamanya dalam Pemilu (Pilihan Raya Presiden) 2004, 2009 - di mana saya turut menyaksikannya - jelas kelihatan bahawa pilihan raya itu benar-benar sebagai ‘pesta demokrasi’.

Tidak ada kekerasan, fitnah dan tuduhan melalu, elemen-elemen rasis dan seumpamanya. Ia berjalan lancar, telus, ceria dan penuh demokratik serta intelektual.

Bagi rakyat Indonesia, semuanya ini adalah hasil usaha B.J. Habibie justru beliaulah yang membuka pintu gerbang demokrasi seluas-luasnya di negaranya. Dalam masa yang sama beliau mengembalikan semula harga diri dan hak asasi anak bangsanya.

Untuk ini saya teringat apa yang dikatakan oleh bekas Presiden Amerika, Thomas Jefferson:
“When the people fear the government, there is tyranny. When the government fears the people, there is liberty.”

Kepada saya, B.J. Habibie telah meletakkan rakyat Indonesia kepada suasana kebebasan dan harga diri, bukan menjadikan rakyatnya takut kepada kerajaan. Ini adalah kerja mulia dan sumbangan tokoh reformis itu kepada bangsa, negaranya bahkan kemanusiaan.

Negara-negara yang belum menikmati erti demokrasi sepenuhnya, terutama di rantau ini, sewajarnyalah meneladani kepimpinan B.J. Habibie.

Sementara itu, saya mengulang kembali jawaban santai tokoh reformasi Indonesia itu:

“Kalau ada yang menghina anda, anggap saja sebagai pujian bahwa dia menghabiskan waktu memikirkan anda, sedangkan anda tidak sedetikpun memikirkan dia.”

Menurut pendapat saya, secara umumnya, kritikan yang bersifat ilmu, rasional dan bersandarkan akhlak Islam, memang sewajarnya diterima sebagai usaha memperbaiki diri, namun kritikan yang bersifat fitnah, tuduhan melalu, kebencian dan seumpamanya, itu tidak perlu dijawab, justru menghabiskan masa dan tenaga fikir, lebih-lebih lagi kritikan itu bertentangan dengan akhlak Islam.

Adapun jawapan B.J. Habibie terhadap pengkritinya itu adalah sebuah kebijaksanaan yang wajar dicontohi dalam pelbagai keadaan. Sebagai seorang tokoh pemimpin dan intelektual besar Indonesia, B.J. Habibie merasa santai dan biasa-biasa saja dengan kecaman itu, justru pengkritik itu “telah menghabiskan waktu memikirkan anda, sedangkan anda tidak sedetikpun memikirkan dia.”

Sementara itu dalam kegawatan politik di Malaysia sekarang, terutama menjelang PRU Ke-13, pelbagai kritikan tajam yang jauh sama sekali dari akhlak Islam, berbaur fitnah, prejudis politik, pribadi dan sebagainya, kelihatan sedang berkembang dengan amat mengerikan. Ini adalah akibat dari pelbagai hambatan ke arah demokrasi sebenarnya.

Mujurlah dalam waktu yang sama dunia siber, yang membuka langit maklumat seluas-luasnya, maka ia dikira bermanfaat kepada usaha rakyat untuk mendapat pelbagai maklumat yang selama ini ‘digelapkan’ oleh media tradisional.

Namun, dalam suasana yang demikian terbuka, sewajarnya setiap orang – pemimpin politik dan pendukung mereka, para penulis dan pengkritik dan semua yang terkait dari pihak manapun - sewajarnya menahan diri dari terlibat dalam kritikan yang mengandungi fitnah, prejudis, tuduhan melulu dan sebagainya.

Ini kerana semuanya ini sama sekali tidak membantu ke arah memartabatkan bangsa dan negara ini. Lebih-lebih lagi, tulisan seorang penulis/pngkritik itu adalah cerminan watak peribadinya.

Perlu diingat seseorang tokoh berwibawa tidak tergugat dengan fitnah, prejudis dan tuduhan melulu, justru ia mampu berdiri dengan integritinya yang teguh.

50,000 sertai HKR T’ganu, bukti rakyat berubah

Harakahdaily, 14 Dis 2012

(Orang ramai memenuhi Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) Terengganu di Kuala Paka - Foto Nurulslah)

DUNGUN: Kehadiran 50,000 orang rakyat negeri ini pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Terengganu membuktikan mereka mahukan perubahan pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Muhyiddin Abdul Rashid yang dimaklumkan jumlah mereka yang menyertai himpunan seramai itu menyifatkan rakyat bersedia melakukan perubahan nanti.

“Dengan kehadiran seramai ini, ia membuktikan rakyat mahukan perubahan di Terengganu. PAS Terengganu yakin dan bersedia untuk menumbangkan Umno dan BN,” tegasnya.

Menurutnya, pemimpin Umno negeri kini semakin angkuh dengan rakyat termasuk merampas tanah yang telah diberikan oleh kerajaan PAS negeri sebelum ini.

“Bagaimana kerajaan PAS telah lulus tanah untuk Sekolah Agama Al-Bayan di Paka tapi kerajaan Umno telah rampas semula tanah tersebut dan serahkan tanah tersebut kepada JKKK dan isteri mereka,” ujarnya.

(Para pemimpin yang menyertai HKR Terengganu di atas pentas - Foto Nurislah)

Beberapa NGO termasuk dari kumpulan pendesak menuntut Royalti, 'R', membentangkan kes mereka kepada orang di perhimpunan ini.

Antara yang awal memberikan ucapan adalah bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil. Beliau menceritakan kecelaruan yang berlaku dalam Umno sekarang.

Himpunan  kali ini adalah yang ke 7 selepas Seremban, Kota Bharu, Batu Pahat, Alor Setar, Melaka dan Pahang.

Esok, himpunan PAS Ganti Umno (PGU) pula akan diadakan  di tapak yang sama.

Menurut wartawan Harakahdaily di tapak perhimpunan, kira 50,000 rakyat sudah hadir untuk mendengar amanat pimpinan.

Antara yang berucap wakil anti Lynas, wakil Anak, wakil royalti pusat dan Terengganu, wakil waris, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil, Datuk Saifuddin Nasution, Eng Chai Heng (DAP Terengganu), Azan Ismail (PKR Terengganu).

Turut akan berucap malam ini adalah Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Umno makin angkuh dengan rakyat, bagaimana kerajaan PAS telah lulus tanah untuk sekolah agama al Bayan di Paka, tapi kerajaan Umno telah rampas semula tanah tersebut dan serahkan tanah tersebut kepada JKKK dan isteri mereka.

"Mereka pecahkan kepada 5 lot banglow untuk JKKK, pejabat tanah maklumkan ia diluluskan melalui campur tangan orang Umno," kata Muhyidin dalam ucapannya lagi.

Di Setiu pula, katanya,  100 keluarga petani yang buka tanah sejak 36 tahun lalu seluas 200 ekar telah dirampas oleh Umno dan dijadikan jelapang padi negeri dengan keluasan 1000 ekar.

"Penduduk lansung tidak diberi pampasan hasil usaha mereka yang hampir 40 tahun..kezaliman Umno terserlah," katanya.

Berikut adalah gambar-gambar awal perhimpunan ini.



(Sebahagian orang ramai yang menyertai HKR Terengganu - Foto Nurulslah)



(AJK PAS Pusat, Datuk  Abu Bakar Chik dengan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution - Foto Nurulslah)

(Wakil R Kelantan juga datang untuk membentangkan kes mereka- foto Nurulislah)

7 daripada 10 rakyat mahukan perubahan - Kadir

Nurislah, 14 Dis 2012

(Tan Sri Kadir berucap di atas pentas HKR Terengganu - Foto Nurislah)

DUNGUN: Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, tujuh daripada 10 rakyat kini mahukan perubahan.

Justeru, beliau menyifatkan perjuangan untuk melakukan perubahan pada PRU13 nanti merupakan satu jihad dengan menumbangkan kerajaan Umno BN.

Berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kuala Paka, dekat sini, beliau berkata ini kerana Umno kini dipimpin oleh ‘perompak dan penyamun’

“Mereka curi duit berbilion-bilion2, juta-juta tak main dah, kita perlu tumbangkan kerajaan Umno BN untuk pastikan negara selamat daripada perompak yang berlesen ini,” ujarnya.

Menyentuh mengenai Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, katanya mereka yang hadir hanya menangis dan menyanyi sehaja sedangkan inti pati perjuangan nasib Melayu sudah tidak ada.

Menurutnya, mereka hanya mengampu dan menangis tetapi tiada hala tuju perjuangan.

Ini, tambah beliau berbeza dengan para pejuang Umno pada zaman Datuk Onn Jaafar sehingga Tun Hussein Onn.

“Pemimpin Melayu Umno kini jadi penderhaka kepada bangsa Melayu sendiri. Umno untuk Umno sshaja, mereka tidak bela Bumiputera dan Melayu lagi,” katanya.

Justeru, ujarnya lebih setengah daripada bangsa Melayu dipinggir daripada menerima bantuan dan pembelaan.

“Lebih 50 tahun Umno khianati bangsa sendiri,” ujarnya.

DAP lebih kuat atau lemah setelah kongres ke-16?

Harakahdaily, 14 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Kongres Kebangsaan DAP ke-16 yang akan berlangsung esok di Pulau Pinang akan menjadi tumpuan negara dalam banyak perkara termasuk adakah parti itu akan muncul lebih kuat atau lemah setelah kongres itu.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, kongres kebangsaan itu juga merupakan persidangan kebangsaan terakhir dalam tahun ini bagi mana-mana parti politik di Malaysia.

Bahkan, katanya ia adalah persidangan kebangsaan terakhir untuk mana-mana parti politik sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal berlangsung dalam masa 100 hari lagi.

“DAP adalah satu-satunya parti politik yang berani untuk mengadakan pemilihan parti di ambang pilihan raya, sedangkan parti-parti politik lain telah menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas pilihan raya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Selain itu, katanya kongres itu juga menjadi perhatian adakah Pakatan Rakyat dan perjuangan ‘Ubah’ akan berjaya membuat perubahan politik di Malaysia sehingga ke Putrajaya atau sebaliknya.

Justeru, kata Ahli Parlimen Ipoh Timur itu, biarlah kongres itu membunyikan semboyan siap siaga untuk Pakatan Rayat menjadi kerajaan di Putrajaya dengan 125 kerusi di Parlimen melalui pembahagian kerusi bernisbah 45:40:40 antara PKR, PAS dan DAP.

“Rahsia kepada kejayaan kempen ‘Seratus Hari Menuju Putrajaya’ oleh Pakatan Rakyat bergantung kepada kemampuan kita untuk memenangi undi empat juta pengundi atas pagar dengan menumpukan kepada isu-isu penting nasional, dan juga kemampuan Pakatan Rakyat,” ujarnya lagi.

Ia, katanya membabitkan kemampuan:

  • untuk menguruskan dan mengurangkan rasuah di dalam negara,
  • untuk menunjukkan jalan ke arah perpaduan nasional yang sebenar dan keharmonian antara kaum;
  • untuk mentadbir dengan lebih saksama dengan keadilan sosial dan kecekapan ekonomi,
  • untuk mengurangkan kadar kemiskinan populasi orang asal di Sabah dan Sarawak dan membawa pembangunan yang lebih mampan kepada kedua-dua negeri ini; dan
  • untuk membawa era baru dalam pentadbiran di mana demokrasi terus berkembang dan didalami.

    Bersih 2.0: Kerajaan diperintah bayar RM70,000 kepada Mahfuz, Salahudin

    Harakahdaily, 14 Dis 2012
    KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan penangkapan terhadap dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub pada hari Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu adalah salah.

    Sehubungan itu mahkamah mengarahkan kerajaan membayar gantirugi kepada kedua-dua mereka masing-masing RM70,000.

    Mahfuz dan Salahudin sebelum ini memfailkan saman malu terhadap empat pihak ekoran penangkapan salah terhadap mereka itu.

    Saman itu difailkan terhadap Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Daerah Brickfields dan seorang anggota polis, Inspektor Mohd Zaid.

    Mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan gantirugi teladan, kos serta lain-lain relif atau perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Kedua-dua pemimpin dan ahli parlimen PAS itu diwakili oleh empat peguam iaitu Zulhazmi Shariff, Faiz Fadzil, Abdul Aziz Hamzah dan Surya Putra Taulan.

    Pada 9 Julai lalu, mereka ditahan di Stesen Sentral Kuala Lumpur ketika perhimpunan Bersih 2.0.

    Penahanan tersebut adalah di luar kawasan yang diwartakan polis sebagai kawasan larangan untuk dimasuki oleh beberapa individu termasuk mereka.

    Mereka ditangkap kira-kira pukul 11.50 pagi sebelum ditahan hampir 10 jam di lokap polis di Balai Polis Jinjang.

    'Kes saya bukti ada campurtangan politik dalam polis'

    Harakahdaily, 14 Dis 2012
    KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kemenangan beliau dalam kes Bersih 2.0 menunjukkan bukti memang wujud campurtangan orang politik dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

    Bercakap kepada Harakahdaily beliau berkata, keputusan mahkamah hari ini juga memperjelaskan bahawa tindakan polis menangkap mereka kemungkinan dibuat atas tindakan politik dan bukan atas faktor keselamatan.

    "Pada saya apa yang cuba didedahkan oleh (Tan Sri) Musa Hassan (bekas Ketua Polis Negara) bahawa wujud campurtangan orang politik dalam polis khususnya menteri dalam negeri adalah benar," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

    Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur siang tadi yang memutuskan penahanan kedua-dua mereka sewaktu perhimpunan Bersih 2.0 dilakukan secara salah.

    Hakim Dr Prasad Sandosham Abraham juga memutuskan supaya kerajaan dan Polis DiRaja Malaysia membayar RM70,000 setiap seorang daripada mereka.

    Mengulas lanjut Mahfuz berkata, keputusan mahkamah hari ini juga secara keseluruhannya memberi gambaran bahawa himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu itu adalah tidak mengancam keselamatan negara seperti didakwa kerajaan.

    "Menteri isytihar Bersih 2.0 haram, pakai baju kuning satu jenayah dan ditangkap dan bermacam tuduhan buruk diberikan terhadap Bersih.

    "Dengan keputusan hari ini, ia membersihkan segala dakwaan itu. Malah saya mendesak (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Hishammuddin Hussein meletak jawatan," katanya.

    Sebelum ini, Musa dalam satu kenyataan mendedahkan ada campur tangan luar, dalam tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa beliau memimpin pasukan tersebut.

    Beliau berkata, semasa pimpinannya, pegawai junior dan seorang ketua polis daerah pernah menerima arahan daripada seorang menteri tanpa pengetahuannya.

    Mahathir akan pertahan Najib selagi ikut telunjuk

    Harakahdaily, 14 Dis 2012
    KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai pasukan penyerang dan pertahanan Umno ketika pimpinan yang lain tidak mampu melawan tsunami kebencian rakyat kepada Umno.


    Justeru, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, Mahathir terpaksa mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mempunyai kepentingan peribadi, bukan kepentingan rakyat.


    “Beliau sedar jika BN kalah nasib beliau dan anak beliau akan menerima musibah. Kebetulan Najib pula mempertahankan kepentingan peribadi beliau dan anak beliau,” ujarnya kepada Harakahdaily.

    Dengan itu, katanya, Mukhriz tetap dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri walau pun kalah di dalam perebutan Ketua Pemuda Umno.

    Bagi Idris, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin tetap ‘menganggur’ kerana tidak mendapat tempat di dalam kabinet, semuanya gara-gara Tun Mahathir.


    Beliau turut menyentuh berhubung Petron Malaysia (Petron) dan Malaysian Airline System Bhd. (MAS) membekal dan membeli minyak untuk penggunaan pesawat Airbus A380 pada 2 Julai lalu.

    “Kenapa Petronas, syarikat negara tidak diberikan peluang sedangkan beliau pengerusi Petronas?

    “Semuanya gara-gara Petron adalah milik Mirzan,” ujarnya lagi.

    Beliau percaya Mahathir terus membela Najib kononnya seorang pemimpin yang berwibawa dan membelasah Tun Abdullah Badwi tidak kira masa dan tempat.

    Idris berpandangan Mahathir memang seorang pendendam.

    “Beliau marah kepada Tun Abdullah kerana membatal projek Jambatan Bengkok, dan zaman Pak Lah juga Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan.


    “Tun Mahathir juga mengatakan bahawa Datin Seri Rosmah Mansor bukan masalah kepada pentadbiran Najib sedangkan semua orang tahu bahawa Rosmah adalah isteri Perdana Menteri yang keterlaluan dan menjadi buah mulut rakyat, dan tidak pernah dilakukan oleh orang lain,” katanya.

    Sehubungan itu, kata Idris Mahathir akan mempertahankan Najib selagi mengikut telunjuknya dan boleh menjaga kepentingan anaknya.

    Tawaran 6+3: PAS anggap Adnan stereotaip, dangkal

    Khairil Abdul Rahim, 14 Dis 2012
    TEMERLOH: PAS Pahang menganggap kenyataan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob bahawa tawaran 6+3 Pakatan Rakyat (PR) sebagai tidak munasabah dan menghancurkan negara adalah stereotaip dan dangkal.


    Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad (gambar) berkata ia juga melambangkan kebimbangan Adnan, rakyat akan tertarik untuk membuat perubahan dengan memilih PR demi survival dan masa depan mereka.

    Suhaimi dalam kenyataan medianya kepada Harakahdaily, menyebut sudah ada jawapan ‘standard’ oleh pemimpin Umno dan BN apabila PR menawarkan kepada rakyat sekiranya diberi mandat pada pilihan raya umum yang akan datang.

    Suhaimi memberi memberi kenyataan demikian sebagai reaksi kepada ucapan negatif Adnan semasa penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri Pahang yang disiarkan sebuah media cetak semalam.

    Sementara dalam edisi online akhbar berkenaan meletakkan tajuk: ‘Tawaran mega 3+6 Pakatan boleh hancur negara’.

    Adnan pula memberi respons demikian berikutan perisytiharan tawaran kerajaan PR kepada rakyat negeri Pahang semasa Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang (HKRP) Ahad lalu.

    “PAS Pahang menganggap, mentaliti Menteri Besar ini menjadi ikutan semua pemimpin Umno segenap peringkat. Bagaimana menolong rakyat hancurkan negara? Sedangkan rasuah, salah guna kuasa serta pembaziran dianggap tuntutan kemajuan. Hakikatnya negara dan negeri Pahang sedang menuju kehancuran selepas 55 tahun Umno diberi mandat. Pada PRU 12 apabila PR tawarkan air percuma kepada rakyat Selangor, Umno kata hancur negeri.

    “Maka PAS Pahang berpandangan, komen Adnan itu melambangkan kebimbangan Adnan, rakyat akan tertarik untuk buat perubahan sekali gus Adnan akan kalah dalam pertaruhan yang melibatkan telinganya.

    “Hakikatnya, tidak ada mana-mana negara yang menolong rakyatnya menuju kehancuran. Tetapi terlalu banyak negara yang hancur akibat keangkuhan penguasa yang terus selesa  dengan rasuah dan salah guna kuasa,” jelas Suhaimi.

    Dalam HKRP, Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah telah membuat pengumuman tawaran bersama iaitu pertama, menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta menstruktur semula Kampung-kampung Baru dan Kampung Tersusun.

    Kedua, menyelesaikan permohonan tanah yang sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat.

    Ketiga, mewartakan tanah komuniti Orang Asal agar ianya tidak dicerobohi sewenang-wenang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Keempat, memudahkan urusan pertukaran status tanah pertanian kepada lot perumahan atau bangunan.

    Kelima, menurunkan cukai pintu dengan mengambil kira peningkatan hasil hutan dan maneral setelah perlaksanaan konsep ‘bebas rasuah’ dalam pentadbiran kerajaan.

    Tawaran terakhir ialah menjanjikan sistem tender terbuka akan dilaksanakan bagi semua hasil utama negeri sebagaimana yang dilaksanakan di negeri negeri pakatan rakyat.

    Sementara tiga tawaran mega Kerajaan PR Pusat kepada rakyat negeri ini ialah menempatkan peserta Felda Plantation di kalangan warga generasi kedua, ketiga Felda, serta mengembalikan fungsi asal penubuhan Felda.

    Kedua, memberikan royalti minyak sebanyak 20 peratus setahun kepada kerajaan Pahang setelah pengeluaran minyak beroperasi. Ketiga, memberi perhatian dalam meningkatkan prasarana yang berkaitan dengan perhubungan darat antara bandar dengan menyempurnakan kerja-kerja menaiktaraf jalan yang terbengkalai.

    Tawaran itu diumumkan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam majlis yang sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan