Khamis, 13 Disember 2012

ALAT UMNO SATU HAL...BAGAIMANA YANG JADI ALAT SYAITAN SERTA MUSUH ISLAM

Wang haram: Musa Aman boleh didakwa di Hong Kong

Harakahdaily, 13 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Kemungkinan besar Datuk Seri Musa Aman boleh didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram (money laundering) yang undang-undangnya lebih ketat di Hong Kong berbanding di negara-negara lain.

“Jika didapati bersalah, pihak berkuasa Hong Kong boleh mengeluarkan waran tangkap melalui Interpol dan boleh dikuatkuasakan di Malaysia,” kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh James To, ahli Majlis Perundangan Hong Kong yang juga Naib Pengerusi, Panel Keselamatan dan Undang-undang Majlis Perundangan yang bertanggungjawab menyelia ICAC.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Delegasi PKR telah mengadakan pertemuan dan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) pada jam 2.30 petang, 13 Disember 2012.

Bukti-bukti dan dokumen juga telah diserahkan kepada ICAC dalam pertemuan yang memakan masa satu jam itu.

Delegasi PKR juga mengadakan pertemuan susulan dengan James To, ahli Majlis Perundangan Hong Kong yang juga Naib Pengerusi, Panel Keselamatan dan Undang-undang Majlis Perundangan yang bertanggungjawab menyelia ICAC.

Delegasi PKR disertai oleh William Leong (Ahli Parlimen Selayang), Hee Loy Sian (Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan), Chang Li Kang (ADUN Teja), Saudara Darell Leiking (Timbalan Setiausaha Agong/Ketua Cabang Penampang) dan saya sendiri.

Semasa pertemuan tersebut, saya yakin bahawa bukti-bukti dan dokumen yang diserahkan, termasuklah keseluruhan penyata bank dan urusniaga keluar masuk wang ke dalam akaun bank dua buah syarikat yang dikaitkan dengan Michael Chia (iaitu Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd) di Hong Kong merupakan bukti baru dan dokumen yang belum diperolehi oleh ICAC.

Begitu juga dengan akuan bersumpah oleh Datuk Seri Lajim Ukin yang menafikan bahawa wang RM40 juta adalah derma politik kepada Umno kerana ia tidak pernah diumumkan kepada pengurusan Umno Pusat atau Umno Sabah, yang dipandang serius oleh ICAC.

Malah, saya yakin bahawa ICAC akan memanggil saksi rahsia yang telah tampil untuk memberi keterangan dan maklumat dalaman mengenai Michael Chia kepada ICAC.

Saya juga yakin Datuk Seri Lajim Ukin akan dipanggil untuk memberi keterangan di Hong Kong.

Pun begitu, ICAC memohon kerjasama kami untuk tidak membuat kenyataan lanjut mengenai kes ini mengikut prosedur mereka bagi melindungi kerahsiaan siasatan.

Oleh yang demikian, kami tidak boleh menyatakan secara terperinci hasil perbincangan atau pun mendedahkan rancangan seterusnya seperti yang diputuskan oleh ICAC.

Saya beranggapan bahawa permintaan ICAC supaya butiran siasatan setakat ini dirahsiakan mengesahkan bahawa ICAC memandang serius kes ini dan akan mengambil tindakan susulan termasuklah memanggil saksi-saksi.

Oleh itu, walaupun ICAC tidak akan mengesahkan secara rasmi bahawa kes ini dibuka semula, keseriusan dan perhatian yang diberikan mengenai kerahsiaan kes membayangkan bahawa siasatan penuh akan menyusul.

Pertemuan dengan James To juga membuahkan hasil. Beliau turut menerima salinan bukti dan dokumen atas tanggungjawab beliau sebagai Naib Pengerusi, Panel Keselamatan dan Undang-undang.

James To memaklumkan kepada delegasi bahawa ada kemungkinan besar Datuk Seri Musa Aman boleh didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram (money laundering) yang undang-undangnya lebih ketat di Hong Kong berbanding di negara-negara lain.

Jika didapati bersalah, pihak berkuasa Hong Kong boleh mengeluarkan waran tangkap melalui Interpol dan boleh dikuatkuasakan di Malaysia.

Perkembangan sihat di Hong Kong ini akan terus disusuli dengan kempen-kempen penerangan terbaru di Sabah dan seluruh Malaysia untuk meningkatkan tekanan supaya pihak SPRM dan Peguam Negara menyiasat kembali kes ini.

Pembangkang Syria dapat sokongan antarabangsa

Terjemahan Mohamad Yahya, 13 Dis 2012
Lebih daripada 100 negara telah mengiktiraf pakatan pembangkang Syria yang baru, membuka jalan untuk bantuan yang lebih besar kepada pasukan yang berjuang untuk menggulingkan Presiden Bashar al-Assad, termasuk bantuan tentera.


Sokongan terhadap Pakatan Kebangsaan Syria, yang diasaskan di Qatar November lalu, telah diberikan ketika persidangan antarabangsa "Friends For Syria" di Maghribi Rabu lalu.

Pembangkang mendapat tekanan antarabangsa untuk mewujudkan satu badan yang lebih teratur dan wakil untuk menerima apa-apa bantuan yang diberikan oleh negara-negara asing.

Walaupun pakatan pembangkang mengalu-alukan langkah itu, mereka berkata mereka sedang mencari sokongan politik dan kewangan yang lebih nyata dan mereka mahu ahli-ahli kerajaan Assad dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Pengiktirafan antarabangsa kepada pembangkang Libya memberi rangsangan yang besar dalam pertempuran menentang Muammar Gaddafi tahun lepas, yang kemudiannya disokong oleh serangan udara Barat.

Campur tangan ketenteraan berkemungkinan tidak wujud dalam kes Syria, di mana Syria mempunyai sokongan yang kuat dari Rusia, China dan Iran.

Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius berkata mesyuarat di Marrakesh menunjukkan "kemajuan yang luar biasa".

Beliau berkata bahawa Kesatuan Eropah kini memperbaharui embargo senjata ke atas Syria setiap tiga bulan, bukannya setiap tahun, untuk menjadi lebih fleksibel seiring dengan apa yang berlaku di medan pertempuran.

"Hakikat bahawa pakatan, yang meminta hak untuk mempertahankan dirinya, kini diiktiraf oleh seratus negara - dengan semalam Amerika Syarikat menyokong selepas Perancis memulakannya - Saya rasa ini adalah sesuatu yang amat penting." (aljazeera.com)

Korea lancar roket - apa reaksi Amerika?

Muhammad Nuruddin Bashah,
Council on Foreign Relation melalui daily news letter menyiarkan kejayaan Korea Utara menunjukkan belangnya pada 12 Disember 2012. Walaupun menerima amaran antarabangsa, Korea Utara berjaya juga melancarkan roket jarak jauh (Yonhap). Ujian simulasi  teknologi peluru berpandu jarak jauh ini melanggar resolusi 2009 PBB yang mengharamkan Pyongyang daripada ujian peluru berpandu balistik.

Walaupun alasan Korea Utara bahawa  satelit cuaca telah diletakkan di orbit, tetapi  Amerika Syarikat mengutuk pelancaran sebagai "sangat provokatif" manakala Jepun dipanggil untuk mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan (JapanTimes), walaupun sekatan lanjut sukar kerana  China, sekutu utama Korea Utara, dijangka untuk menentang mereka.

Korea Utara telah berjaya melancarkan roket pada hari Rabu,didakwanya bertujuan  meletakkan satelit cuaca ke orbit, telah dilabelkan oleh Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun sebagai ujian teknologi yang  boleh menyampaikan kepala peledak nuklear yang mampu mencecah  sejauh benua Amerika Syarikat.

“Rejim Korea Utara adalah sememangnya tidak stabil dan disyaki sudah mempunyai sebuah peranti nuklear, pilihan Barat untuk respons kepada tindakan provokatif Pyongyang itu - yang peluru berpandu terbaru melintasi  Pulau  Okinawa sebelum jatuh ke perairan luar di Filipina masih dingin. Korea Utara mempunyai sejarah yang panjang berkongsi teknologi nuklear dan peluru berpandu dengan Iran," tulis Con Coughlin untuk Telegraph.

Kata Williamson Lucy untuk BBC pula, pelancaran satelit Korea Utara sebenarnya untuk menutup program jarak jauh peluru berpandu, direka untuk membangunkan senjata yang boleh menyerang Amerika Syarikat, jelas Amerika dalam nada paranoid.

Hanya itu respon Amerika? Washington dikatakan akan menekan  resolusi Majlis Keselamatan PBB mengutuk Korea Utara yang telah  melancarkan roket pada Rabu lepas , demikian menurut salah seorang pegawai pentadbiran kanan kepada  CNN.

Bagaimana jika itu tindakan Negara Islam? Hamas contohnya. Apa tindakan Amerika jika Hamas mencuba roket jarak dekatnya seperti itu walaupun fakta terkini mendapati jarak roket Hamas telah meningkat 2 kali ganda daripada 40 km kepada 90 km?

Bagaimana pula dengan kempen Amerika terhadap Iraq pada tahun 2003 dahulu sedangkan terbukti tiada langsung bayang senjata pemusnah massa di bumi Iraq. Malah dikejutkan kini Amerika menyeludup kira-kira 3,000 tenteranya ke Iraq semula sedangkan mereka telah mengeluarkan majoriti tenteranya pada tahun 2011 yang lalu.

Malah Bush sendiri mengaku bahawa tiada WMD berpangkalan di Iraq! Dalam video youtube pengakuannya, ramai rakyat Amerika sendiri memaki hamun tindakan beliau.

Basmi segera judi mesin slot di Pulau Pinang

Harakahdaily, 13 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) memandang serius munculnya permainan judi mesin slot yang dilaporkan beroperasi di kebanyakan lokasi di negeri Pulau Pinang. Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, gejala yang dikatakan tiba-tiba berkembang di negeri tersebut seharusnya dipandang berat oleh pihak berkuasa tempatan kerana ia jelas akan menggalakkan tabiat berjudi yang melibatkan pelajar ataupun remaja.

“Soalnya kenapa kedai-kedai mesin slot yang sebelum ini ditutup kini dibuka semula tanpa tindakan oleh pihak berkuasa,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, pihak berkuasa sepatutnya boleh menghidu operasi kedai-kedai tersebut yang berkemungkinan didalangi sindiket tertentu.

“Kami berpendapat pembasmian pusat judi seperti ini hendaklah segera dikuatkuasakan sehingga ke akar umbi,” ujarnya.

Menurutnya, maklumat dari orang ramai boleh diperolehi jika pihak berkuasa bersungguh untuk mengesan siapa yang terlibat mendalangi kedai judi tersebut kerana ia bukan beroperasi di kawasan terpencil malah secara terbuka di kawasan taman-taman penduduk.

“Kami hairan kenapa pihak berkuasa mengambil masa begitu lama untuk bertindak sedangkan kedai-kedai tersebut sudah beroperasi sedemikian lama,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, jika benar terdapat sindiket yang mendalangi operasi kedai-kedai tersebut maka pihak polis sewajarnya melakukan siasatan dan mengesan mereka yang terlibat tidak mengira pangkat atau kedudukan.

Tegasnya, gejala memancing pelajar sekolah untuk berjinak dengan tabiat berjudi tidak boleh dipandang ringan kerana kini terdapat tanda-tanda budaya berjudi semakin berkembang luas dalam masyarakat.

Menurut beliau, sasaran di kalangan anak muda tidak menghairankan kerana seperti gejala minum arak, merokok dan dadah sememangnya gejala bermain dengan mesin judi adalah permulaan untuk mereka kemudiannya dilibatkan dengan gejala berjudi yang lebih besar seperti pertaruhan dalam pelbagai bentuk, membeli nombor ekor sehingga berani berkunjung ke kasino.

Sepatutnya, kata Mohd Azmi pihak berkuasa boleh menyiasat dan mengesan pengusaha kedai mesin judi di kawasan yang dikenal pasti dikunjungi pelajar sekolah.

“Kami juga berpendapat pihak Persatuan penduduk juga seharusnya mengambil inisiatif untuk melaporkan gejala ini kepada pihak berkuasa dan jika maseh tidak berkesan dilapor terus ke Bukit Aman untuk diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata, gejala ramai pelajar Melayu berbanding kaum lain berkunjung di kedai mesin judi sepatutnya menyedarkan semua pihak betapa anak Melayu sangat mudah terpengaruh dengan tabiat buruk itu, oleh itu segala langkah tegas bagi membasmi hal tersebut tidak boleh dilengah lagi.
Korea Utara penganut ajaran Komunis. Komunis adalah projek besar Yahudi sedunia untuk mencetus timbang tara kepada kegiatan kapitalisme mereka, agar dunia leka dalam Perang Dingin. Sebenarnya tidak wujud perang antara blok melainkan watak-watak yang dipermainkan oleh pemodal yahudi.

Korea Utara adalah budak ciptaan yahudi juga. Maka tidak hairanlah Amerika hanya bermain wayang dengannya.

Demikian sejarah mengajar kita tatkala Hitler membina U-Boat, memecah perjanjian Versaile, menakluki Eropah, kenapa tidak diketuk sahaja kepala Hitler? Kenapa tidak dimusnahkan kilang-kilang U-Boat, tropedo dan persenjataan lain milik Jerman, kenapa dibiar mereka naik dan membuat kajian demi kajian dalam masa tidak sampai 5 tahun? Hitler jelas boneka ciptaan yahudi.

Saddam, belum sempat menjawab tuduhan telah diserang. Afghanistan belum terbukti wujudnya Osama telah dipadang jarak padang terkukur oleh Amerika.
Korea Utara sama seperti Jerman. Mereka bermain wayang. Sehebat mana pun latihan Korea Utara, Amerika tidak akan serang, hanya berbicara melalui lidah PBB sahaja. Inilah sandiwara dunia.

SPR jangan jadi alat Umno

Nasrudin Hassan, 13 Dis 2012
1. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tegas untuk tidak membiarkan mana-mana pegawainya menjadi ahli parti-parti politik. Justeru pegawai SPR yang menganggotai mana - mana parti politik akan mendedahkan ketidaktelusan pengendalian pilihanraya oleh SPR dan turut menjejaskan kualiti pengurusan tertinggi SPR lalu mendorong SPR tunduk kepada pengaruh politik kepartian yang boleh menghakis kredibiliti sistem demokrasi negara. 2. Insiden bias di dalam pilihanraya presiden AS tahun 2000 (Bush lwn Gore) dan pemilihan gabenor Washington DC tahun 2004 telah mendorong kepada penubuhan Suruhanjaya Carter-Baker 2005 yang dengan jelas menolak elemen kepartian di dalam pentadbiran pilihanraya.

3. Di Thailand pula, suruhanjaya pilihanraya yang dipengaruhi parti-parti politik yang bertanding antara lainnya telah mencetus krisis perlembagaan, mengheret raja dan tentera dalam kancah politik lalu mewujudkan ketidaktentuan berpanjangan di dalam pemerintahan.

4. Pengerusi SPR mesti peka dengan pendedahan seperti ini dan berasa bimbang akan kesannya terhadap kredibiliti SPR apatah lagi mengambil kira pengajaran dari banyak kajian kes sedia ada, sejarah dan iklim politik semasa khususnya di Sabah yang sensitif kepada perubahan kerajaan.

5. Keterlibatan ahli kanan UMNO dalam hirarki pentadbiran SPR seperti kes ini kelak membuka ruang pertikaian terhadap pilihanraya yang boleh mengheret badan itu ke dalam proses mahkamah yang merugikan dan retorik yang berpotensi mengganggu sentosa awam. Hakikatnya perkara seperti ini boleh mencabar kesahihan kerajaan yang ditegakkan melalui proses pilihanraya tersebut!

6. Alasan bahawa pegawainya itu mempunyai hak demokrasi, seperti kenyataan Pengerusi SPR sebelum ini sebenarnya telah gagal menunjukkan pertimbangan yang lebih wajar untuk memelihara hak demokrasi komuniti madani yang merasa terancam dengan keterlibatan langsung parti politik pemerintah dalam tatakelola pilihanraya.

7. Artikel 114 (2) Perlembagaan Malaysia secara jelas menggariskan bahawa Pengerusi SPR tidak boleh menyertai mana-mana organisasi bagi menjamin integriti bebas suruhanjaya tersebut.

8. Jadi amat mendukacitakan apabila Pengerusi SPR enggan menunjukkan kepimpinan moral dan kebertanggungjawaban seperti yang dituntut Perlembagaan ke atasnya dengan menetapkan piawaian yang sama ke atas pegawai-pegawai SPR di bawah seliaan beliau bagi memelihara keutuhan integriti badan yang beliau pimpin.

9. Malah tidak keterlaluan jika rakyat melihat kontroversi terbaru SPR ini sebagai persepsi rentetan usaha parti pemerintah UMNO-BN yang ingin mencorak orde politik baru negara dari "demokrasi hukum" kepada "demokrasi terpimpin" melalui percaturan individu-individu tertentu ke jawatan strategik institusi-institusi penting.

10. Rakyat pastinya tidak lupa dengan perlantikan Tun Zaki Azmi yang pernah menjadi penasihat undang-undang UMNO sebagai ketua hakim negara suatu ketika dahulu. Campurtangan orang politik dalam pengurusan PDRM seperti yang kerap didedahkan oleh bekas KPN sejak kebelakangan ini juga turut menguatkan persepsi ini.

11. Maka masyarakat boleh menilai sama ada apa yang berlaku ini merupakan contoh amalan demokrasi terbaik di dunia seperti yang selalu dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri atau sekadar omongan transformasi kosong yang dirangka semata-mata untuk mengabui mata rakyat demi kekal berkuasa.

Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia


Mencorak Masa Depan

Salam dari :
Aku Pejuang Islam ~API~

Kosmopolitanisme Melayu dalam karya P Ramlee

Zairil Khir Johari, CEO Penang Institute, 13 Dis 2012
Wacana pada malam ini yang bertajuk, “Kosmopolitanisme Melayu dalam karya P Ramlee: Melihat dimensi identiti Melayu yang lain” merupakan acara pertama dalam Festival P Ramlee anjuran Penang Institute yang akan berlangsung selama sebulan. Pelbagai lagi aktiviti akan diadakan, termasuk forum yang lain, pertandingan esei, tahlil peringatan, pameran khas, pesta rakyat, pertandingan nyanyian, permain tradisional dan lain-lain lagi. Festival P Ramlee ini merupakan suatu usaha yang bertujuan bukan sahaja untuk meraikan tetapi juga untuk mencetuskan ilham baru mengenai hasil karya tokoh seniman yang disanjungi ramai.
Apabila tokoh yang bernama P Ramlee ini menjadi tajuk perbualan, tidak kiralah sama ada di kalangan tua atau muda, miskin atau kaya, seringkali wujud sepersetujuan antara semua bahawa beliau merupakan seniman negara yang tiada tolok bandingannya – mungkin kerana mutu karyanya yang terlalu agung hingga tidak tergapai oleh pengkarya kontemporari atau kerana kerendahan mutu karya zaman kini sehingga gagal menyaingi hasil karya P Ramlee yang tetap menarik dan memukau sehingga ke hari ini.

Sememangnya, P Ramlee adalah lagenda yang harus dihargai. Namun beliau bukan mitos suci yang harus dipuja dengan buta. Seharusnya wujud sisi kritis untuk membahaskan P Ramlee dan karyanya dengan lebih adil – adil untuk masa kini, masa silam dan juga masa hadapan.

Maka pada malam ini, kita tidak mahu hanya bersentimental dengan P Ramlee. Sebaliknya kita mahu mengupas dan membedah karya Seniman Agung ini dari sudut intelektual, dengan tumpuan kepada soal identiti Melayu.

Pada saya, watak Melayu di tangan P Ramlee adalah amat menarik. Ia tidak pernah apologetik atau taksub kepada kerangka kebudayaan yang jumud sebaliknya merangkumi kebudayaan dunia yang lebih besar – daripada telatah Labu dan Labi dalam kelab malam kepada bandar Isketambola yang penuh dengan “saudagar-saudagar, hartawan-hartawan, bangsawan-bangsawan, dermawan-dermawan, yang makan di pinggan, minum di cawan.”

Melayu P Ramlee juga sentiasa berjiwa besar. Dalam Tiga Abdul, walaupun ditindas oleh abang-abangnya Abdul Wahab dan Abdul Wahib serta bapa mertua yang keji, Ismet Ulam Raja, Abdul Wahub iaitu watak yang dimain oleh P Ramlee, tidak membalas jahat dengan jahat. Sebaliknya Abdul Wahub sentiasa bersenang hati dalam mengatasi segala cabaran yang ditimpa ke atasnya.

Dalam Nujum Pak Belalang pula, kita dapat melihat bagaimana P Ramlee dengan cara sinis mengkritik pelbagi amalan tradisional Melayu seperti kebergantungan kepada bomoh dan ketaatan babi buta kepada istana. Pun begitu, walaupun Si Nujum berjaya menemberang sultan dan mempermainkan istana, ia tetap setia mempertahankan kedaulatan negara, malah pada akhirnya menjadi orang kanan sultan.

Apakah watak-watak ini mencerminkan susuk P Ramlee sendiri? P Ramlee yang berketurunan Acheh, lahir dan membesar di Pulau Pinang, kemudian bekerja dengan tauke besar filem Singapura, Shaw Brothers, untuk menghasilkan filem-filem Melayu yang pertama. Ironinya, perwatakan Melayu yang dihasilkan P Ramlee terbit melalui industri filem multi-etnik yang kuat dipengaruhi penerbit Cina, pengarah India serta menjiwai jalan cerita Hollywood, India serta koleksi kisah-kisah fantasi Arabian Nights.

Dan saya rasa penggemblengan pengaruh luar dengan budaya tempatan inilah yang dapat menzahirkan jambatan antara alam fantasi yang direka dengan realiti masyarakat tempatan. Apabila dilihat Ali Baba Bujang Lapok yang makan belacan Pulau Pinang, secara langsung watak fantasi itu menjadi relevan dan tidak asing kepada kita.

P Ramlee juga mengungkapkan realiti sosial zamannya dengan teliti, khususnya melalui filem-filem yang dihasilkan semasa era Jalan Ampas (di mana terletaknya studio filem Melayu di Singapura) seperti filem-filem Bujang LapokIbu Mertuaku dan lain-lain lagi.  Antara contoh permasalahan sosial yang sering diketengahkan adalah seperti keperitan mencari kerja, hubungan antara keluarga, gejala samseng dan juga penularan masalah buta huruf di kalangan orang dewasa. Malah P Ramlee dengan halus memperlihatkan betapa pentingnya ilmu membaca dan menulis sehingga untuk belajar silat pun, Pendekar Mustar mengarahkan anak muridnya harus ke sekolah dahulu.

Barangkali citra Melayu yang kosmopolitan dalam filem beliau ini dihasilkan, secara sedar mahupun tidak, berdasarkan pengalaman hidup beliau sendiri semasa membesar di Pulau Pinang. Sesungguhnya Pulau Pinang pada ketika itu merupakan kota kosmopolitan yang menghimpunkan segala macam budaya.

Justeru, saya rasa bukan satu kebetulan mengapa pulau mutiara ini melahirkan ramai seniman dan budayawan besar. Selain P Ramlee, kita juga mempunyai Syed Sheikh al-Hadi (tokoh pencerahan & pencetakan), Datuk Ahmad Nawab (penggubah lagu), Nordin Ahmad (Hero filem klasik Melayu), Datuk Nordin Hassan dan Prof Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara).

Saya bukan orangnya untuk membicarakan P Ramlee dengan lebih mendalam, tetapi saya yakin, sebagaimana saya, ramai antara kita di sini telah membesar bersama-sama karya beliau. Saya berharap forum pada malam ini yang membariskan ilmuan, seniman dan budayawan yang akrab dengan karya P Ramlee dapat memberi manfaat kepada semua dan membantu kita melihat dimensi Melayu yang lain.

Tulisan ini ialah ucapan penulis pada pembukaan Forum Nusantara 7 di Dewan Pembangunan Siswa 2, Kompleks Cahaya, Universiti Sains Malaysia, 11 Disember 2012

Memerdekakan polis dari gangguan Umno

Subky Latif, 13 Dis 2012
BETAPA polis dipandang rendah oleh masyarakat disebabkan gangguan orang politik telah didedahkan oleh Tan Sri Musa Hasan yang baru setahun jagung bersara dari Ketua Polis Negara.


Lebih dari sekali dia bersungut tentang campuran  tangan orang politik mengganggu polis menjalankan tugasnya.

Jika sekadar sekali dua  atau sekali sekala gangguan itu berlaku, tentu pegawai polis yang diketahui tinggi disiplinnya terhadap kerajaan tidak akan bersungut secara terbuka kepada umum.

Dia tidak menamakan orang politik mana yang campur tangan kerja polis itu, tetapi tentulah bukan PAS, PKR dan DAP walaupun kumpulan pembangkang itu sering mengkritik polis yang dikatakan tidak profesional menjalankan tugas.

Jika mereka yang mengganggu kerja polis itu sudah lama semua pemimpin pembangkang diseret ke mahkamah seperti yang dilakukan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pertuduhan menghalang polis menjalankan tugas. Sudah tentu ramai mereka telah dipenjarakan.

Siapa yang dituduh oleh Musa Hasan itu? Tentulah UMNO.

Memang persepsi umum merasakan orang kuat UMNO cawangan-cawangan lebih berkuasa dari Ketua Polis Daerah terutama dalam menangani urusan politik dengan pembangkang. Hingga payah hendak ditentukan sikap pihak berwajib terhadap Bersih yang tiga kali itu adakah keputusan polis atau keputusan UMNO?

Tujuan Musa membuat pendedahan itu bagi memulihkan persepsi rendah umum terhadap polis. Diakuinya pula, bukanlah senang hendak membetulkan semula imej polis disebabkan belenggu yang dihadapi polis itu bukanlah baru, bahkan sudah berlarutan.

Ada tanggapan Musa sudah dirasuk politik kerana dia menyatakan tidak puas hatinya itu pada saat UMNO/BN dikecam kiri kanan menjelang PRU13 ini. Hingga ada yang merasakan dia hendak masuk politik. Ada pula kononnya, ada parti politik mempelawa dia masuk politik.

Berkali-kali ditegaskannya dia tidak akan menyertai politik, tetapi apa yang dibuatnya sekadar mahu memebaskan polis dari gangguan politik tentunya UMNO dan mahu memulihkan persepsi buruk umum terhadap polis.

Musa memang mendapat perhatian  dan sokongan masyarakat yang mahu semua perkhidmatan negara mendapat kebebasan profesional dalam menjalankan tugas masing-masing.

Ketika rencana ini ditulis belum ada reaksi rasmi kerajaan terhadap pendedahan Musa itu. Seperti sah sekarang polis dibelenggu oleh UMNO bagai persepsi kebanyakan orang bukan UMNO.

Adakah yang tidak  suka dengan belenggu itu hanya Musa saja? Semua bekas polis dan anggota polis suka mereka dibelenggu? Mungkin orang yang dibelenggu itu tidak rasa mereka dibelenggu dan kalau dibelenggupun tidak mengapa kerana ia dilakukan oleh parti kerajaan. Kalau mereka tidak merasa malu kerana setia membabi buta kepada UMNO, tetapi polis  Malaysia mesti malu kepada polis dunia yang negara masing-masing memberi kemerdekaan kepadanya berkhidmat secara profesional.

Kata Musa, bukan mudah untuk memulihkan kebebasan polis itu. Memang benar kiranya Malaysia terus dikuasa oleh UMNO. Polis jangan harap UMNO dan BN boleh mengubah nasib polis. Mereka sudah sedap pegawai-pegawai polis itu tunduk kepada orang kuat akar umbi UMNO.

Tuhan tidak akan mengubah nasib polis kiranya polis tidak mengubah nasibnya sendiri.

Musa sudah ada kesedaran itu. Tetapi dia sendiri menghadapkan supaya UMNO mengubah sikap terhadap polis. Musa kata, payah hendak mengubahnya.

Ia  tidak payah seperti yang Musa sangka. Amat senang. Dan inilah masanya maruah polis dipulihkan iaitu memerdekakannya dengan polis tidak mengundi Barisan Nasional dalam PRU13 yang sudah dekat itu.

Kalau tok nenek polis dan anak cucu polis tidak mahu polis terus dibelenggu macam lembu Kedah, hari mengundi nanti jangan undi dacing. Pastikan kotak undi pos anggota polis itu kosong untuk BN. Kerajaan menunggu tidak akan membelenggu polis.

Mari sokong Musa memerdekakan profesionalisma kepolisian!


YANG DUDUK PEKAN@BANDAR PUN ASAL ORANG KAMPUNG....CUMA ADA YANG BERLAGAK SAKAN

Demonstrasi Baling 1974: Usah remehkan orang kampung! 

Ahmad Lutfi Othman, 13 Dis 2012
Agak lama saya tidak menghadiri program politik di sebelah malam, terutama selepas serangan angin ahmar kedua, seminggu sebelum  Ramadan lalu. Bagaimanapun, Syarahan Baling, malam Jumaat lalu, 10 Disember, di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya berjaya menarik saya ke sana. Saya terasa ada elemen nostalgik yang mengheret. Demonstrasi Baling, 3 Disember 1974, mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri, terutama dalam konteks perjuangan golongan bawahan tertindas, masyarakat petani di luar bandar, yang miskin dan hilang hak untuk sama-sama menikmati kehidupan berkualiti (sebenarnya sekadar untuk cukup makan-pakai-tempattinggal).

Baling juga simbol komitmen tinggi gerakan pelajar -- menjelang pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 -- menjuarai isu-isu rakyat, menyelami penderitaan dan ratap tangis kelompok terpinggir apabila inflasi melambung, harga getah menjunam dan elit penguasa bersikap tidak peduli.

Ia gabungan padu yang terjalin di antara mahasiswa, tenaga akademik dan juga penduduk kampung, bukan hanya di Baling tetapi juga kawasan sekitar, seperti Sik dan Kulim.

Malah tiga bulan sebelum itu, di Tasik Utara, Johor, mahasiswa turun membela golongan miskin yang diperintah keluar dari  rumah yang mereka dirikan di Kampung Barisan Nasional atas janji pemimpin Umno sebelum PRU 1974. Kediaman dirobohkan dan tapak ganti tidak diberikan. Bersama penduduk yang teraniaya mahasiswa berkampung di hadapan pejabat Menteri Besar.

Dalam kedua-dua episod itu, lebih seribu mahasiswa ditahan polis. Di Baling, pada 1 Disember 1974,  hampir 30,000 berdemonstrasi, manakala lebih 5,000 pelajar menunjuk perasaan di Kuala Lumpur (Saifuddin Abdullah; Kalau Saya Mahasiswa). Masjid Negara yang menjadi tempat perlindungan demonstran dicabuli anggota FRU. Kampus UM digempur polis melalui Operasi Mayang; autonomi universiti berkecai.
Mohd Saifullah Mohd Zulkifli, aktivis AMK merakamkan kembali catatan dalam majalah Ar-Risalah, terbitan ABIM 1975 mengenai peristiwa itu: "Perhimpunan pelajar-pelajar tersebut telah disuraikan oleh FRU dengan tembakan gas pemedih mata. Pelajar-pelajar melarikan diri ke Masjid Negara tetapi FRU terus mengejar mereka. FRU  mengepung 8,000 pelajar yang sedang berlindung di masjid serta melepaskan tembakann gas pemedih mata kearahnya. Ketika berada di dalam masjid pelajar-pelajar tersebut telah melaung-laungkan kalimat "ALLAHU AKBAR" dan beberapa kali mereka setelah mengalunkan azan. Sementara menunggu ketibaan waktu Zuhur mereka berzikir beramai-ramai selama kira-kira 20 minit. Setelah masuk waktu mereka telah menunaikan fardu Zuhur secara berjamaah.


"Pihak FRU terus berusaha untuk memberkas pelajar-pelajar dan dalam operasi tersebut beberapa orang pelajar telah cedera. Akhirnya pihak FRU menangkap seramai 1,128 orang pelajar, termasuk 80 pelajar wanita dan membawa mereka ke balai-balai polis Sentul, Brickfield dan Jalan Bandar. Pada sebelah malamnya mereka ditempatkan di Polis Depot Jalan Gurney. Pelajar-pelajar yang ditahan hanya diberi makan selepas 11.00 malam.

"Polis  memasuki kampus Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia pada pada 2.00 pagi hari Ahad 8hb Disember 1974. Polis  menggeledah bilik-bilik asrama, pejabat-pejabat dan lain-lain bangunan Universiti untuk mencari dan menangkap mahasiswa di bawah ISA.”


Tanpa sedar, rupanya dalam diri saya masih meruap semangat sebagai bekas pemimpin pelajar pertengahan 1980-an, yang dikira era malap selepas 10 tahun kampus diserkup Auku dan pelbagai peraturan karut-marut HEP (Hal Ehwal Pelajar) -- meletakkan mahasiswa tidak lebih daripada pelajar sekolah.

Majlis anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, 10 Disember, diserikan tokoh-tokoh yang terlibat secara langsung dalam kebangkitan rakyat yang mencipta sejarah itu. Syarahan utama disampaikan Anwar Ibrahim, sebelumnya Dr Syed Husin Ali dan forum melibatkan Prof Gurdial Singh, Kamarazaman Yaakob dan Syed Hamid Ali.

Susulan tunjuk perasaan yang menggegarkan tanahair itu, kelima-limanya menjadi mangsa kezaliman ISA, dan yang paling lama merengkok di Kamunting ialah Dr Syed Husin, hampir enam tahun, diikuti Anwar dua tahun. Sebenarnya tarikh 10 Disember merupakan Hari Hak Asasi Manusia yang disambut setiap tahun di seluruh dunia.

Dalam bicaranya, Syed Hamid, bekas Setiausaha Agung PSRM, kini aktivis KeADILan di Batu Pahat, membawa misalan menarik.

"Dalam perjuangan ini, saya tidak lebih daripada sebatang lidi sahaja. Tetapi janganlah kita lupa banyak lagi lidi-lidi yang lain, yang bertebaran di sana sini.

Mari kita kumpulkan lidi-lidi itu dan mengikatnya menjadi penyapu yang dapat membersihkan segela penyelewengan dan kezaliman," ujarnya bersemangat, disambut tepukan bergemuruh lebih 1,000 hadirin.

"Demonstrasi Baling membuktikan, di mana ada kezaliman dan penindasan, pasti di situ ada penentangan dan perlawanan. Ia bukan hanya hukum sosial atau hukum sejarah saja, tetapi juga hukum fizik. Semakin kuat sesuatu itu dibaling, maka akan lebih kuatlah pantulannya," kata adik kepada Dr Syed Husin itu.

Dr Syed Husin pula menjelaskan, selepas hampir 40 tahun demonstrasi Baling, keadaan negara kita, terutama dari segi keadilan sosial,  tidak banyak berubah. "Sebab kerajaan pun tidak pernah berubah," tegasnya.

"Baling menunjukkan perlu persefahaman, kesatuan, penggabungan tenaga dan jalinan erat semua pihak bagi menjayakan gerakan perubahan. Tidak harus dibiarkan segelintir kecil orang, tapi besar kuasanya, melakukan kezaliman.

"Saya tidak percaya satu orang boleh membuat perubahan. Anwar, yang teruk dizalimi dan difitnah sejak 14 tahun lalu, hanya lambang kepada perubahan itu, dan kita mesti bersatu melakukannya," kata Dr Syed Husin semasa memperkenalkan Anwar sebagai pemidato utama Syarahan Baling.

Malam itu Anwar bercakap agak serius, menekankan aspek-aspek penting perubahan dan konsep pembangunan yang ditawarkan. Beliau banyak mengutip kata-kata sarjana terkemuka, di antaranya Malek Ben Nabi dan Alexis de Tocqueville.

Saya lebih tertarik apabila Anwar menekankan sesuatu yang bermakna buat mereka yang mahu sama-sama mencetuskan perubahan dalam PRU13: "Demonstrasi Baling mengingatkan kita agar jangan mudah mengandaikan kelompok miskin di daerah terpencil, yang kurang mendapat maklumat, rendah pendidikan formalnya, masih dihimpit kemiskinan dan kekurangan asas, tidak mampu bangkit untuk menentang pemimpin zalim dan sistem bobrok."

Anwar menyanggah tanggapan yang mendakwa penduduk kampung ketika itu berani bangun melawan disebabkan hasutan mahasiswa atau  orang luar yang lebih terpelajar. Katanya, setiap manusia mempunyai potensi dan nurani untuk melakukan perubahan, apatah lagi selepas ditindas dan ditekan.

Beliau mungkin mahu menepis andaian bahawa masyarakat di pelosok desa, yang tidak mendapat akses maklumat seperti orang bandar, tidak tergolong dalam kelas menengah, sukar menyokong Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang.

Tsunami politik lebih empat tahun lalu dikira banyak disumbangkan oleh kelompok berpendidikan tinggi di kota dan pinggir bandar, yang dianggap lebih celik politik berbanding masyarakat di pedalaman, selain protes terbuka masyarakat bukan Melayu.

Agak ramai juga penganalisis politik, termasuk pemimpin oposisi sendiri, yang tidak meletakkan harapan tinggi kepada pengundi luar bandar, terutama yang mendiami kampung Melayu tradisi dan penempatan Felda, untuk memudahkan misi Pakatan ke Putrajaya.

"Saya tidak bersetuju dengan andaian itu. Lihat saja di Kelantan, yang diperintah PAS sejak lebih 22 tahun lalu," tambah Anwar sambil menolak nasihat kepadanya agar usah buang masa membentangkan data dan statistik tentang ekonomi negara, termasuk fakta tentang defisit, apabila berceramah jauh di kampung-kampung. "Saya diminta membawa isu-isu mudah seperti kenaikan harga barangan asas dan seumpamanya," ujarnya.

"Tak semestinya golongan terpelajar di bandar lebih berilmu dan memahami isu. Misalnya semasa di Chuping, Perlis, sebuah rancangan Feldam saya bertanya kepada seorang penduduk kampung, apakah negara kita pernah dijajah, beliau mengakuinya. Sedangkan ada profesor sendiri tidak tahu perkara ini," Anwar berseloroh, disambut gelak ketawa penonton.

Bagi saya, teguran Ketua Pembangkang itu harus diberi perhatian serius oleh penggiat parti, terutama PAS dan KeADILan, yang bertembung langsung dengan cabaran masyarakat desa dan peneroka Felda, di luar kubu tradisi pembangkang. Proses pendemokrasian harus merentasi segenap ruang.

Ada kalanya kita meremehkan keupayaan berfikir dan menganalisis oleh segmen pengundi terpenting itu, yang masih dianggap penyokong kuat BN. Meskipun mengakui mereka sasaran terpenting yang perlu didekati, namun tidak banyak usaha terancang dibuat bagi meningkatkan kesediaan untuk melakukan perubahan. Sebaran maklumat masih tersekat. Persepsi songsang sukar diperbetul.

Saya sendiri bertemu rakan-rakan yang masih setia menyokong BN bukan disebabkan habuan atau imbuhan yang mereka terima. Kelihatan mereka ikhlas dan mempercayai hanya Umno mampu mempertahankan "ketuanan" dan kepentingan Melayu. Mereka seolah-olah yakin kedudukan orang Melayu akan tergugat apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa, dengan DAP menjadi teraju utamanya.

Malah di Terengganu, yang mana lebih 96 peratus penduduknya orang Islam, Umno tetap memainkan isu PAS dikuasai, atau menjadi kuda tunggangan, oleh DAP, walhal tiada satu kerusi pun ditandinginya.

Boleh saja anda rumuskan  bahawa mereka ini naif berpolitik tetapi ia bukan hanya membabitkan masyarakat di kampung atau golongan berpendidikan rendah. "Kerisauan masa depan politik Melayu" itu turut dikongsi oleh kelompok kelas menengah, memegang jawatan tinggi-strategik dan terdedah kepada limpahan informasi.

Di sebelah tengahari, sebelum Syarahan Baling pada malamnya, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, semasa majlis diskusi ringkas bersama Jabatan Pengarang Harakah, menekankan bahawa dalam PRU13, jentera kempen Umno-BN akan mengeksploitasi semaksimum mungkin isu-isu sensitif berkaitan agama dan perkauman.

"Untuk BN pertahan kuasa, kali ini mereka mainkan isu sentimen, bukan fakta lagi.  Untuk pertahankan undi kerana hilang harapan kepada Cina, kini Umno terpaksa menggunakan isu sentimen perkauman untuk mendapatkan undi Melayu dan bumiputera Islam," ujarnya.

Mat Sabu seterus menceritakan pengalamannya bersembang dengan seorang pensyarah universiti semasa menunggu pesawat di lapangan terbang, di Johor. "Dia beria-ia minta PAS bertanding bersendirian, jangan berpakat dengan parti lain, terutama DAP. Katanya, jika PAS konsisten solo memperjuangkan nasib bangsa dan agama, akhirnya ia akan diterima rakyat juga," katanya.

Beliau cuba menjelaskan kepada pensyarah itu situasi yang PAS alami setelah sekian lama bertanding bersendirian, termasuk hilang pertaruhan di Johor. "Selepas bersembang lama barulah saya sedar, pensyarah tadi sebenarnya dipengaruhi oleh kursus indoktrinasi BTN (Biro Tata Negara) yang baru dihadirinya," tambah Mohamad Sabu.

Selanjutnya orang no 2 PAS itu mengingatkan: "Saya tidak memandang rendah keupayaan Umno-BN untuk memanipulasi sentimen itu. Biarpun isu-isu yang dimainkan itu bukan berjejak di bumi nyata, tetapi Umno yang berpengalaman lama memerintah negara tahu ia cukup berkesan kepada sebahagian besar pengundi Melayu."

Apabila saya posting peringatan Mohamad Sabu itu dalam Facebook, seorang rakan, wartawan politik membalas melalui SMS: "...tapi saya masih pelik kenapa dalam isu raih undi Melayu, Pakatan macam buat kesilapan yang tidak sepatutnya, macam beri bola tanggung kepada Umno-BN."

Tanpa menjelaskan lebih terperinci maksudnya, kawan baik saya itu berpesan: "Andai dalam PRU13, Pakatan atau PAS terutamanya masih gagal menguasai kerajaan persekutuan, yang pertama harus dipersalahkan ialah diri sendiri."

Anwar dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Alor Setar, 7 Disember lalu, juga mengingatkan hal yang sama. Penilaian awal harus dibuat terhadap prestasi gerakerja pilihan raya dan juga mengamati kemungkinan terdapat kesilapan yang dilakukan oleh jentera Pakatan sendiri.

Menjelang pecutan terakhir berkempen PRU13, saya kira penegasan Anwar, pengakuan Mohamad Sabu dan pesanan sahabat saya itu elok dijadikan renungan bersama. Walaupun nampak seolah-olah ada sedikit pertentangan di antara ketiga-tiganya, namun masa masih berbaki untuk membuat "post mortem" terlebih dahulu, agar isu-isu "yang terlepas pandang" dapat diberi perhatian.

Keghairahan melakukan perubahan di tengah-tengah sambutan hebat massa terhadap Pakatan, misalnya seperti ditunjukkan dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat tidak harus melupakan kita tentang aspek-aspek terselindung yang masih perlu diteliti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan