Sabtu, 24 November 2012

WAHAI AHLI2 POLITIK....SERTA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT JUGA SELURUH MANUSIA...CARILAH@BUATLAH KERJA2 DISUKAI OLEH ALLAH BUKAN KERJA2 YANG DALAM KEMURKAAN ALLAH SWT

Anti Lynas: Ahli PAS diseru ke Dataran esok

Aniz Nazri, 24 Nov 2012
KUALA LUMPUR: PAS menyeru ahli-ahlinya yang berkelapangan untuk turut menyertai kumpulan pejalan kaki Stop Lynas ke Dataran Merdeka, pagi esok.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata ahli-ahli PAS yang berada di sekitar Lembah Kelang digalakkan menyertai perarakan mereka sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan mereka.

Tambah Mahfuz, perjuangan kumpulan Himpunan Hijau itu perlu dihargai memandangkan mereka sanggup berjalan kaki sejauh lebih 300 kilometer dari Kuantan ke Kuala Lumpur.

"Perjuangan mereka bukan kecil. Mereka berjalan kaki, demi menyelamatkan masa depan generasi akan datang.  Saya seru ahli-ahli PAS untuk bersama-sama mereka. Lebih baik, jika dapat berjalan bersama mereka ke Dataran (Merdeka) esok," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Seruan sama turut dinyatakan seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang menyifatkan kumpulan pejalan kaki itu sebagai pejuang rakyat.

Pejalan kaki anti Lynas tiba di Taman Melewar

Anis Nazri, 24 Nov 2012

KUALA LUMPUR:
Kumpulan pejalan kaki Stop Lynas tiba di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamed (KUIZM), Taman Melewar, tepat jam 4 petang ini, diiringi Yang DiPertua PAS Batu, Cikgu Ishak Surin.

Sebelum itu, mereka berarak dari Tol Gombak,  bermula jam 3 petang dan disambut meriah oleh PAS Batu.  Kumpulan tersebut turut diiringi beberapa kenderaan berpacuan empat roda sepanjang perjalanan dari Tol Gombak ke Taman Melewar.

Ironinya, biarpun kebanyakan di kalangan mereka berbangsa Cina, namun ketibaan mereka disambut oleh pelbagai pihak agama dan bangsa, yang menunjukkan solidariti mereka dalam usaha menghentikan sebarang pembangunan atau projek yang menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar dan kesihatan rakyat.

Ketibaan mereka disambut dengan tepukan dan sorakan 'Stop Lynas', 'Close The Damn', 'Stop Baram' dengan penuh bersemangat, biarpun keletihan dan kepanasan terpancar di wajah mereka.

Turut kelihatan bersama-sama mereka Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu; Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Salbiah Wahab.
Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack yang mengetuai kumpulan pejalan kaki Stop Lynas ketika ditemui, berkata pihaknya gembira kerana berjaya sampai ke destinasi seterusnya, sebelum ke destinasi selanjutnya.

Mengakui perjalanan sejauh lebih 300 kilometer dari Kuantan sejak 13 Nov lalu, mempunyai pelbagai ranjau dan cabarannya, namun keletihan yang diharungi hilang sekelip mata apabila terdapat kenderaan yang membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

"Kita berjaya sampai di sini, dengan pelbagai cabaran yang dihadapi. Kita tidak mempunyai masalah sepanjang perjalanan, kerana kita jaga dari seluruh aspek.  Dari segi keselamatan, lalulintas, semuanya tidak bermasalah," tegas beliau sebelum dibawa berehat di Markaz PAS Batu, berhampiran Taman Melewar.

Sebelum meninggalkan Taman Melewar untuk berehat di Markaz PAS Batu, berhampiran Taman Melewar, Wong Tack sempat berkata perjalanan kumpulannya dari Kuantan tidak bermasalah, sebaliknya bersedia untuk menghadapi sebarang kesulitan dan kekangan untuk perjalanan seterusnya.

"Sepanjang jalan dari Kuantan ke Kuala Lumpur, tiada masalah.  Esok, tidak tahulah," ujar beliau sambil ketawa kecil.

Sekumpulan pejalan kaki Stop Lynas kini sedang berehat di ruang-ruang legar di KUIZM ini dengan dilayan dengan makanan dan minuman.

Difahamkan, sebahagian besar di kalangan pejalan kaki ini akan bermalam di sini, pada malam ini dan akan berarak ke Dataran Merdeka, bermula jam 9 pagi.

Malam ini juga, di KUIZM, akan berlangsung ceramah umum membabitkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Che'gu Bard, Cikgu Ishak Surin.

Sementara itu, Cikgu Ishak ketika ditemui, berkata PAS Batu berbesar hati menyambut kumpulan Stop Lynas ini yang dianggap sebagai pejuang rakyat.

"Dengan semangat mereka berjalan kaki dan bertanggungjawab unuk menentang Lynas, kita juga bertanggungjawab memberikan penghormatan kepada mereka dengan menyediakan makan minum, dan tempat tinggal kepada mereka," tegas beliau.

Sambil mengharapkan perjalanan kumpulan ini ke Dataran Merdeka esok berjalan lancar, beliau turut menyeru ahli-ahli PAS, khususnya PAS Batu untuk bersama-sama berjalan ke Dataran Merdeka.

"Tujuan mereka murni, jadi tiada sebab untuk dihalang mereka ke Dataran Merdeka. Menghalang mereka hanya menunjukkan tindakan yang amat tidak wajar.  Saya harapkan mereka ini diberi kesempatan utk berada di Dataran Merdeka," kata beliau.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Batu, Abu Bakar Abdul Rahman berkata, Pemuda PAS Batu akan turut bersama-sama mereka ke Dataran Merdeka keesokan harinya.

"Kita amat mengharga usaha dan jerit perih mereka dalam menentang isu Lynas hingga sanggup berjalan kaki, tanpa mengira hujan dan panas.  Maka, kita perlu menyatakan solidariti kita kepada mereka dengan bersama mereka," tegas beliau kepada Harakahdaily.

Kumpulan pejalan kaki yang diketuai Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack tiba di Tol Gombak, jam 3 petang tadi sebelum berarak ke Kolej Universiti Islam Dr. Zulkifli Mohamed ((KUIZM), di Taman Melewar pada jam 4 petang.

Ketibaan mereka disambut PAS kawasan Batu dengan Yang DiPertua PAS Batu, Cikgu Ishak Surin yang turut bersama-sama berjlan kaki dari Tol Gombak ke Taman Melewar.

Selain PAS, turut bersama mereka berarak ke Taman Melewar ialah Exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu.

Ahli parlimen Batu, Tian Chua turut bersama menyambut ketibaan kumpulan pejalan kaki Stop Lynas, di Taman Melewar.

Malam ini, kumpulan tersebut akan bermalam di KUIZM, sebelum memulakan perjalanan mereka ke Dataran Merdeka esok.

‘SaT1M’ sesuai banteras skandal tanah Umno BN

Harakahdaily, 24 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Cadangan Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei untuk menggunakan istilah “Sapu Tanah 1 Malaysia” (SaT1M) bagi merujuk kepada skandal pemilikan tanah di Selangor oleh Kerajaan Umno BN dipersetujui Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.
Istilah itu dianggap relevan, kata Shuhaimi kerana ia berkait rapat dengan penglibatan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Mohd Satim Diman dalam isu pembelian tanah dengan harga murah, lapor Selangorku.

“Saya mencadangkan perkataan sapu tanah itu diganti dengan istilah lebih sesuai kerana cara pengambilan tanah oleh Umno BN. Sebagai penghargaan kepada Sri Serdang, kita tukar kepada Sat1M bagi menggambarkan kepakaran Sri Serdang pernah menjual tanah November 2011,” katanya.

Dalam pada itu, Suee Lim mendedahkan 23 lot tanah di tujuh daerah seluruh Selangor dari 1999 hingga 2008 yang diperoleh ketika era pentadbiran Umno-BN dianggarkan bernilai tidak kurang daripada RM300 juta.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana tanah berkeluasan 33.5 ekar itu hanya dikenakan bayaran premium serendah RM1 untuk satu kaki persegi.

“Ramai rakyat mempersoalkan bagaimana pengurusan tanah 24 lot tanah yang komersial itu boleh diluluskan kepada Umno, MCA, MIC dan Gerakan? Setelah diteliti, harga kesemua tanah itu tidak kurang daripada RM300 juta.

“Bagaimana premium itu boleh dikurangkan sehingga harga begini? Siapa yang duduk dalam jawatankuasa tanah pada ketika itu? Inilah perangai Umno BN yang kononnya ingin membela hak rakyat, sentiasa memalukan dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan daripada Suee Lim berhubung pemilikan tanah, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri menggunakan sistem terbuka (sistem digital) tanpa perlu merujuk kepada pejabat daerah.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri bercadang untuk meneliti semua pemilikan tanah bagi memastikan ia dilakukan secara tertib tanpa wujudnya penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pihak.

“Sekiranya pembelian tanah itu tidak digunakan seperti yang dicadangkan, maka Kerajaan Negeri berhak untuk mengambil semula tanah itu. Kita perlu meneliti dokumen pemberian dan jika wujud salah guna kuasa, maka kita boleh ambil tindakan undang-undang,” katanya.

Perpaduan mesti berasaskan takwa

Ustaz Wan Mohd Jeffri bin W. Ibrahim, 08 Nov 2012
Cabaran yang dihadapi oleh umat Islam masa kini semakin bertambah dengan wujudnya pelbagai fenomena yang mencabar keutuhan iman umat Islam serta keagungan agama Islam itu sendiri. Sebagai seorang Muslim, kemunculan cabaran-cabaran ini perlu dilihat dari sudut yang positif, iaitu bagi memperkukuhkan lagi agama Islam yang suci dan menzahirkan kesesuaian agama Islam bagi setiap zaman dan masa. Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an yang bermaksud:

“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu.” (Al-Maidah, 5: 3)


Nyata sekali, kita sekarang berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau serta perselisihan sama ada dari segi pendapat, pendirian, pemikiran, pendekatan dan pelbagai percakaran lain lagi. Berlakunya keadaan ini sememang telah diperingatkan oleh Rasulullah SAW lebih 1400 tahun yang lepas sebagaimana yang telah dinyatakan oleh junjungan besar Rasulullah dalam sebuah hadis yang bermaksud:

Daripada Abi Najih 'Irbadh bin Sariyah R.A. berkata, "Telah menasihati kami oleh Rasulullah SAW akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami." Lalu baginda pun bersabda, "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar-Rasyidin Al-Mahdiyin (khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat." (Hadis hasan sahih riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi).


Jelas sekali dari hadis ini, Rasulullah memperingatkan kita dengan peristiwa yang bakal terjadi pada akhir zaman nanti iaitu berlakunya perselisihan yang banyak sesama umat Islam. Hal ini membawa kepada suatu pengertian besar yakni perlunya wujud perpaduan yang kukuh antara sesama Islam dalam memastikan agama yang dianugerahkan kepada kita sekarang ini terus gah dan mekar sebagai agama terbaik, sempurna dan sesuai kepada semua malahan umatnya pula menjadi umat yang terbaik dan contoh ikutan kepada seluruh alam.

Tidak dapat tidak apabila kita menelusuri secara mendalam tentang hadis ini, kita akan temui suatu persamaan atau mungkin juga sebagai satu kebetulan terhadap situasi yang berlaku dalam negara kita Malaysia, mungkin lebih tepat terhadap bangsa kita bangsa Melayu. Bangsa Melayu di Malaysia yang merupakan bangsa yang secara keseluruhannya dianggap sebagai satu bangsa yang beragama Islam seakan-akan sukar untuk mencari suatu titik perpaduan yang utuh mungkin disebabkan oleh perbezaan pendapat dan fahaman politik yang pada akhirnya akan merugikan bangsa Melayu serta agama Islam itu sendiri. Walaupun kita bangsa Melayu terkenal dengan sifat sopan santun dan tolak ansurnya tetapi apabila berhadapan dengan isu ini, kita seolah-olah tidak boleh duduk semeja berunding mencari penyelesaian. Kita berlembut dengan bangsa lain tetapi sombong dan angkuh sesama sendiri.

Adakah kita hanya akan berpeluk tubuh mengiakan perkara ini atau kita akan terus berusaha untuk menafikan situasi ini dari berterusan? Persoalan ini perlu difikirkan secara kritikal dan membina oleh semua orang Melayu, sama ada dari golongan pemimpin, alim ulama juga orang biasa dalam mencari satu penyelesaian yang konkrit dan berpanjangan serta meraikan situasi menang-menang bagi semua pihak.

Usaha ini bukan bermaksud kita cuba mewujudkan situasi ‘asabiyyah bangsa Melayu tetapi yang lebih besar usaha kita untuk memperjuangkan agama Islam yang kita kasihi. ‘Asabiyyah yang cuba diwujudkan adalah ‘asabiyyah perjuangan Islam serta tidak menzalimi puak atau bangsa lain. Nabi SAW juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi SAW:

“Sesungguhnya kaum Al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka.  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah, namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.

Dalam konteks negara Malaysia, bangsa Melayu sebagai penganut utama agama Islam perlu ada sifat ‘asabiyyah bangsa kerana jika Melayu tidak bersatu kesannya nanti penganut agama Islam itu sendiri juga akan tidak bersatu. Apabila penganut agama Islam tidak bersatu maka mudahlah anasir-anasir serta gerakan-gerakan subversif menyelinap masuk seterusnya memusnahkan kemurnian agama Islam.

Perkara sebegini perlu kita hindari daripada awal lagi. Jangan kita cuba untuk menidakkan usaha musuh-musuh Islam dalam menusukkan jarum dan menanamkan benih-benih dakyah mereka dalam pemikiran kita umat Islam. Jangan juga kita menunggu sehingga keadaan terdesak baru mahu bertindak kerana pepatah juga pernah menyebut “mencegah lebih baik daripada mengubat”.

Pada masa yang sama Rasulullah SAW memperingatkan kita tentang pentingnya ketakwaan kepada Allah dan ketaatan kepada pemimpin yang menegakkan agama Islam. Secara ringkasnya, erti takwa melalui ayat al-Qur’an adalah taat, takut juga membersihkan hati daripada sebarang kederhakaan. Justeru, takwa boleh disifatkan sebagai himpunan segala sifat mahmudah sama ada zahir ataupun yang batin. Rasulullah SAW bersabda:

“Hendaknya kamu bertakwa sebab ia adalah kumpulan segala kebaikan, dan hendaknya engkau berjihad kerana ia sikap kependetaan seorang muslim, dan hendaknya engkau selalu berzikir menyebut nama Allah kerana dia cahaya bagimu” . (Hadis riwayat  Ibnu Dharis dari Abu Said Al-Khudhari).


Imam al-Ghazali membuat kesimpulan bahawa taqwa itu ialah menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa mudarat kepada agama. Bandingannya ialah berpantang bagi orang yang mengidapi penyakit. Ada pun berpantang daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kerosakkan kepada agama juga merupakan perkara yang dianggap "bertakwa". Atas ingatan inilah, kita perlu menjauhi segala unsur-unsur yang boleh merosak dan melemahkan agama Islam sekiranya kita ingin menjadi Muslim yang bertakwa.

Akhirnya itu, kita perlulah bersungguh-sungguh meningkatkan ketakwaan kepada Allah dan berusaha membentuk perpaduan yang jitu antara umat Islam terutama bangsa Melayu di Malaysia bagi menjauhi segala anasir yang boleh memudaratkan agama Islam dan keharmonian negara. Seterusnya marilah kita sentiasa berusaha menjauhi segala perkara yang boleh menjejaskan kemurnian agama Islam, dalam perjuangan kita membuktikan ketaqwaan kepada Allah Rabbul ‘Izzati.

Ikon kami Rasulullah, bukan Ayatullah atau Hizbullah

Nik Nasri Nik Malek, 14 Nov 2012
Ketika guru saya, Almarhum Dr Sheikh Nuh Ali Salman al-Qudha, Mufti Jordan bercuti di rumahnya di Eidon, Irbid selepas dua tahun menjadi duta Jordan ke Iran, saya menziarahinya. Antara soalan saya kepadanya: “Apa yang menarik dan boleh diambil manfaat daripada Iran?’ Beliau menjawab: “Ada dua perkara. Pertama, Iran melantik para ulamanya menjadi pengerusi atau orang penting dalam pelbagai agensi kerajaan. Penasihat boleh sahaja dari pakar-pakar tertentu. Kedua sanjungan rakyat terhadap ulama mereka sangat tinggi.”

Beliau juga menceritakan kepada saya, ketika di Iran, beliau menunaikan solat Jumaat di pejabat kedutaannya bersama para pegawai kedutaannya dan asing. Katanya pegawai dari kedutaan Malaysia pun ada solat Jumaat di situ. Khutbah Jumaat dalam bahasa Arab diterjemah dalam bahasa Inggeris untuk manfaat pegawai kedutaan yang tidak faham bahasa Arab.

Dua perkara positif yang disebut oleh Almarhum Mufti Jordan itu baik untuk diteliti. Ulama disanjung dan diberi tempat tertentu bagi mengawalselia perjalanan sesuatu agensi supaya menurut agama. Ulama disanjung bukan bermakna dijadikan tuhan atau maksum atau seperti Ayatullah dan mullah. Ulama disanjung kerana para ulama mewarisi Nabi. Warisan ilmu naqli dan aqli, bukan mewarisi wang ringgit atau pangkat dan darjat. Kedua, ulama berperanan penting dalam memantau perjalanan sesuatu agensi supaya berlaku amanah, tidak berlaku khianat dan penyelewengan. Justeru, bagi para ulama sendiri tentulah mesti mempersiapkan diri dengan ciri-ciri tertentu agar kompeten menerima amanah itu.

Ulama dalam PAS menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah hasanah mereka, akidahnya, amalnya, sifat dan akhlaknya. Ulama PAS membaca hadis-hadis Nabi, meneliti sirah Baginda dan menuruti jalannya. Ketua Dewan Ulama dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat telah menjawab seorang bekas mufti yang memberi tanggapan negatif terhadap ulama PAS. Ia mungkin peringatan tetapi kekadang dibaca dan difahami dengan cara yang salah. Oleh itu perlu segera dijawab dan dibetulkan.

Ketika Revolusi Islam Iran meletus dan menjadi perhatian dunia ketika itu, saya masih dibangku sekolah menengah. Ketika di peringkat matrikulasi UKM, agak teruja dengan revolusi itu, bukan kerana syiahnya tetapi kerana suatu revolusi yang menamatkan pemerintahan kuku besi agak lama oleh pemerintah zalim sebelumnya. Sekali lagi, teruja itu bukan kerana syiahnya! Gambar Khomeini diletak di banyak tempat, di dinding almari baju, di atas meja dalam kelas. Dunia Islam kehilangan khilafah. Maka apabila ada sebuah negara yang kelihatan zahirnya diterajui oleh ulama dan orang agama maka tentunya sedikit sebanyak memberi kesan kepada umat Islam di tempat lain. Apatah lagi slogan seperti ‘Amerika Syaitan Besar’, anjuran ‘Hari Quds Sedunia’ dan lain-lain menjadikan umat Islam yang sensitif kepada agamanya agak terkesan.

Malangnya dari sisi yang lain, tanpa sedar atau secara sedar, mereka juga terpengaruh dengan akidah syiahnya lalu berlakulah syiah jadi-jadian atau menganut faham syiah. Yang melampau ialah apabila ada yang sangat celupar mulutnya mengeji dan mencela para Sahabat radhiAllahuanhum ajmain.

Alhamdulillah, walaupun saya ketika itu pernah juga membaca buku ‘Imam Khomeini: The Inspirational Force Of Islam’ dan membaca tulisan Ali Syariati serta beberapa tokoh lain dan pelbagai majalah dan makalah yang sangat cenderung kepada Revolusi Iran ini tetapi tidak pernah pula terfikir dan terdetik untuk menganut fahaman Syiah ini. Yang diambil manfaatnya ialah cara berfikir dan menganalisa yang kritis dan menarik, terutama isu politik antarabangsa dan isu-isu sejagat manusia.

Isu syiah ini seingat saya sudah beberapa kali muncul di Malaysia. Cuma tenggelam timbul. UKM sendiri pernah mengadakan Seminar Ahli Sunnah Dan Syiah Imamiyyah: Aspek Persamaan Dan Perbezaan pada 26 dan 27 Disember 1993. Buku Prosidingnya telah dikeluarkan selepas itu. Resolusinya juga dibuat.

Mutakhir yang berlaku ialah pembebasan Syria oleh FSA dari regim Basyar Assad. Bukan sahaja negara yang tidak percaya tuhan seperti Russia menyokong, termasuk Cina, bahkan Iran dan Hizbullah juga terheret dan terseret sama.

Tulisan Presiden PAS mengenai isu Syria menjelaskan isu yang berlaku dan sikap PAS dalam isu ini. Dr Yusof al-Qaradawi pula dalam khutbah Jumaatnya mengecam Iran dan Hizbullah yang menyokong regim zalim Bashar Asad membunuh rakyatnya sendiri. Peranan Iran dan Hizbullah dalam menyokong regim Basyar ini amat dikesali. Justeru, sekiranya ada ahli PAS atau mereka yang masih membesar-besarkan Hizbullah atau Ayatullah yang menyokong penyembelihan penduduk Sunni di Syria sekarang, maka mereka mesti menarik balik sokongan dan sikap mereka serta akidah mereka itu.

Cukuplah akidah ahli Sunnah waljamaah. Memadailah Fiqh yang muktabar dan para imam yang telah mentelaah. Istiqamahlah dengan PAS sebagai gerakan dan jemaah. Jadikanlah Nabi SAW sebagai qudwah hasanah, bukannya Syiah, Ayatullah, Hasan Nasrullah atau Hizbullah.


Nik Nasri Nik Malek,
Ketua Lajnah Penerbitan Dan Penyelidikan,
Dewan Ulama PAS Terengganu

Fiqh: Bolehkah menyebut "si fulan ahli neraka”

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 21 Nov 2012
Soalan; Bolehkah kita menghukum seseorang berdasarkan kepada zahir amalannya, contohnya kita kata si A masuk syurga, si B kafir, si C masuk neraka berdasarkan kepada perbuatan zahir mereka? Bukankah Nabi pernah mengatakan seorang wanita masuk neraka dengan sebab dia menyeksa seekor kucing dan seorang wanita yang lain masuk syurga sebab dia memberi minum seekor anjing?

Jawapan;
1. Tidak boleh kita menyebut secara pasti dengan merujuk kepada individu seperti kita berkata "Si Fulan adalah ahli neraka" atau "Si Fulan ahli syurga". Hal ini kerana sekalipun seorang itu melakukan dosa, pintu taubat dan pemgampunan Allah masih terbuka untuknya. Hari ini dia melakukan maksiat, mungkin esok dia bertaubat dan Allah menerima taubatnya dan dia menjadi ahli syurga.

Begitu juga, boleh terjadi seorang itu hari ini rajin beribadah, namun esok atau hari depan dia menjadi pelaku maksiat dan mati dalam maksiat, lalu ditempatkan Allah dalam neraka. Yang boleh kita ucapkan ialah dengan menyandar kepada perbuatan seperti kita berkata; "Perbuatannya itu boleh menyebabkan dia diazab dalam neraka" atau "Amalannya itu adalah amalan ahli syurga", dengan syarat terdapat nas daripada al-Quran atau as-Sunnah menegaskan tentang amalan tersebut (sebagai amalan yang diredhai Allah atau dimurkai-Nya, atau sebagai amalan syurga atau yang mengundang neraka).

2. Adapun Nabi bercakap berdasarkan wahyu daripada Allah. Jika Nabi berkata "Si Fulan adalah ahli syurga" (sebagaimana yang diucapkan tentang 10 sahabat yang dijamin syurga), itu adalah daripada apa yang Allah khabarkan kepada baginda. Begitu juga, jika baginda berkata "Si Fulan ahli neraka" atau "Si Fulan di azab dalam kuburnya" (sebagaimana ucapan baginda tentang penghuni dua kubur yang diazab kerana mengadu domba dan tidak menjaga kencingnya), itu juga perkhabaran daripada Allah.

Adapun kita hari ini, tidak ada wahyu yang turun memberitahu kita si fulan adalah ahli syurga atau si fulan ahli neraka kerana tiada Nabi lagi selepas Nabi Muhammad. Yang ada pada kita ialah al-Quran dan as-Sunnah yang menyebutkan amalan-amalan yang membawa ke syurga atau ke neraka dan golongan-golongan ahli syurga dan ahli neraka secara umum kecuali individu-individu tertentu yang disebut secara jelas sebagai ahli syurga atau ahli neraka. Maka orang lain selain individu itu masa depan mereka masih tidak pasti bagi kita.

Terdapat riwayat menceritakan bahawa Umar r.a. pernah menegur di dalam khutbahnya; “Kamu sekelian selalu berkata semasa peperangan bahawa “Si Fulan adalah syahid” dan “Si Fulan telah mati sebagai seorang syahid”… Janganlah sekali-kali kamu berkata seperti itu, akan tetapi ucapkanlah sebagaimana yang diucapkan Rasulullah SAW;

“Sesiapa yang gugur di jalan Allah atau terbunuh (di jalan Allah), maka dia adalah syahid”.

(Hadis hasan, riwayat Imam Ahmad. Lihat; Fathul-Bari, juz. 9, bab La Yaqul Fulan Syahid).

http://ilmudanulamak.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan