Jumaat, 16 November 2012

MELAWAN ISLAM BERMAKNA MELAWAN ALLAH...MEMPERLEKEH ISLAM SAMA MEMPERLEKEH ALLAH....GANAS TERHADAP ISLAM SAMA BERSIKAP GANAS PADA ALLAH...TAK YAKIN ISLAM SAMA TAK YAKIN PADA ALLAH...SANGKA BURUK PADA ISLAM SAMA SANGKA BURUK PADA ALLAH

Mesyuarat gerakan Islam kecam Israel

Harakahdaily, 15 Nov 2012

(Jenazah Ahmed Jabari, pejuang Hamas yang syahid dibunuh Israel dalam serangan ke atas Gaza)


SUDAN: Mesyuarat gerakan Islam sedunia yang berlangsung di sini mengecam keganasan Zionis Israel yang menyerang negara itu sehingga terbunuhnya Syahid Ahmed Jabari.

Gerakan Islam Ikhwan Mesir, Sudan, Jordan, Syria, Tunisia, Libya, Moroko, Pakistan dan PAS Malaysia mencapai kata sepakat mengecam rejim Israel dalam mesyuarat tersebut.

PAS diwakili oleh Penolong Setiausaha Agungnya, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.

Murshidul Am Ikhwan Mesir, Dr. Al-Badie menegaskan agenda utama gerakan Islam sedunia adalah membebaskan Palestin dan Masjid Aqsa dari Zionis Israel.

Khalid Misyal dari Hamas menyifatkan Syahid Ahmed Jabari yang dibunuh rejim Zionis di Gaza sebagai "pejuang sejati yg tidak pernah kenal penat dalam menjalani ujian"

Ahmad Jabari syahid bersama enam orang lain dalam serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Serangan Israel


(Serangan ke atas Gaza oleh Israel)

Wartawan Al-Jazeera, Baba Nadim yang melaporkan dari Gaza berkata, "30 saat yang lalu terdapat satu lagi letupan besar. [Serangan] telah berlaku sepanjang petang ini."

"Ia bukan hanya serangan udara, tetapi juga serangan dari kapal-kapal tentera laut Israel  yang hanya berada di luar pantai Gaza."

"Jalan-jalan di Gaza City pada petang Rabu lalu sangat senyap, yang kedengaran hanyalah bunyi ambulans, " lapor Nadim.

Untuk apa bekas pegawai tinggi polis jumpa Nik Aziz

Mohd Sayuti Omar, 15 Nov 2012
SUSUPAN MALAM

Dua atau tiga minggu lepas Mursyidul Am Pas yang juga MB Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat dikunjungi bekas salah seorang pegawai tinggi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di pejabat MB itu di Kota Darulnaim, Kota Bharu.

Bersama pegawai tinggi polis dalam kunjungan itu ialah bekas Naib Canselor UiTM, Ibrahim Abu Shah dan seorang lagi bekas pegawai tinggi kerajaan.

Difahamkan kunjungan mereka itu ada hubung kait dengan isu perpaduan Melayu yang kini 'gila-gila' diperkatakan oleh Umno. Beberapa hari sebelum kunjungan itu berlangsung satu wacana mengenai perpaduan Melayu di rumah veteran Umno Kuala Lumpur.

Besar kemungkinan mereka diberi mandat oleh wacana berkenaan untuk menemui Nik Aziz.

Apakah kunjungan itu untuk mempelawa Pas agar bersama Umno dalam pilihan raya akan datang? Sehingga ini pejabat MB atau pihak Pas Kelantan tidak mengeluar apa-apa kenyataan berhubung kunjungan berkenaan?  Difahamkan MB itu bersedia membincang masalah perpaduan Melayu kerana isu itu juga menjadi tanggungjawab Pas tetapi bagaimana pun mahu Islam sebagai teras perbincangan.

Sempena muktamar ini elok juga kalau Nik Aziz menjelaskan kepada umum berhubung kunjungan berkenaan? - http://msomelayu.blogspot.com/

Pemuda dipertikai isu gaji guru Pasti

Salmiyah Harun I Foto Rizal Tahir, 15 Nov 2012
KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Pusat dibidas kerana dilihat mengambil pendekatan defensif berhubung gaji atau elaun yang diberikan kepada guru-guru Pasti.

Perwakilan Johor Rosnani Jusoh (gambar) berkata, 99.9 peratus tenaga pendidik Pasti adalah muslimat.

Namun, beliau mempersoalkan apakah kebajikan yang diperjuangkan oleh Pemuda PAS terhadap guru-guru Pasti yang terdiri daripada Muslimat.

"Kita selalu ke Pasti, sebahagian besar kita adalah Pasti, kita mendidik tanpa prejudis.

"Adakah imbuhan minima yang diterima guru-guru Pasti selaras dengan gaji minima yang diperjuangkan Pakatan Rakyat!," tegasnya yang diikuti sokongan para perwakilan.

Difahamkan hampir keseluruhan perwakilan Muslimat yang hadir dalam dewan KTC ini adalah warga pendidik.

Rosnani juga melahirkan keluhan walaupun sudah 25 tahun berada di dalam Pasti namun tidak wujud usaha hatta membuat caruman kepada guru-guru Pasti.

"Adakah perancangan serius ke arah itu? Apakah benefit yang diberi? Bertahun-tahun di Pasti dan apakah dan berapakah caruman yang dirancang mereka dengan serius?" soalnya.

Justeru, beliau meminta Pemuda PAS khususnya bersedia bersaing dengan sihat memandangkan tadika Islam yang kini tumbuh bangaikan cendawan.

"Kini banyak tadika Islam tumbuh, jika kita tidak bersedia kita akan dikeluarkan atau tidak disenaraikan dalam senarai kegemaran masyarakat, kita perlu terbuka dan berlapang dada," katanya.

Sementara itu, dalam sesi penggulungan Exco Lajnah Pendidikan DMPP Dr Halimah Ali turut menggesa agar Dewan Pemuda berbuat sesuatu ekoran keluahan dan rintihan yang diutarakan oleh Muslimat ini.

"Muslimat PAS Pusat akan duduk bersama pemuda dan Ajk PAS Pusat untuk membincangkan luahan rasa Muslimat kita yang rata-rata menjadi guru Pasti," katanya diikuti tepukan para perwakilan.

Pengerusi Lajnah kebajikan dan Kemasyarakatan DMPP Dr Najihatussalehah Ahmad menggesa Dewan Pemuda PAS membuat solusi dengan segara dan meneliti semula permasalagan guru Pasti yang diluahkan pada hari ini.

"Berapa kali guru Pasti yang terdiri daripada Muslimat dijemput sebagai pemerhati dalam Muktamar Pemuda? Di mana perjuangan untuk guru Pasti?," soalnya yang diikuti laungan tidak oleh perwakilan.

MPS adakan mesyuarat bincang perpindahan YDP terburu-buru

Muhammad Faizal, 15 Nov 2012

(Antara anggota majlis MPS dalam sidang media mereka hari ini)

SELAYANG: Ahli-ahli Majis, Majlis Perbandaraan Selayang (MPS) akan memanggil satu mesyuarat khas bagi tujuan untuk mendesak kerajaan negeri bertindak tegas serta menyatakan pendirian tentang isu pertukaran mengejut Yang Di Pertua MPS, Datuk Zainal Abidin Aala.

Zainal telah menerima surat arahan penempatan Pegawai Tabdir dan Diplomatik (PTD) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah.

Surat yang dihantar pada 12 November lalu melalui email itu mengarahkan penempatan Zainal ke Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) berkuatkuasa mulai 16 November.

Berkata pada sidang media, Ahli Majlis MPS, A. Rahim Ahmad Kasdi memberitahu tindakan pertukaran itu bercanggah dengan Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang jelas memberikan kuasa mutlak kepada kerajaan negeri untuk melantik Yang Di Pertua Pihak Berkuasa Tempatan.

"Arahan JPA yang dikeluarkan serta merta dan tergesa-gesa ini akan menjejaskan sistem pentadbiran dan pengurusan MPS dan secara langsung akan menggugat kepentingan awam serta warga Selayang.

"Arahan ini juga dilihat seolah-olah ada campur tangan dan tekanan politik dari pihak-pihak tertentu berhubung ketelusan MPS dalam menangani isu-isu terkini terutamanya yang melibatkan kelulusan Dolomite Park Avenue di Batu Cave," jelas beliau di MPS hari ini.

Zainal sebelum ini menjelaskan, keputusan untuk meluluskan kondominium bersebelahan Batu Caves dibuat dalam mesyuarat MPS pada tahun 2007, setahun sebelum kerajaan negeri Selangor jatuh kepada Pakatan Rakyat.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak berkata, BN akan memansuhkan projek itu jika BN berjaya menawan balik Selangor dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebelum itu, Datuk S Samy Vellu mengetuai perhimpunan membantah pembinaan kondo itu walaupun anggota majlis MPS dari MIC antara yang menyokong projek itu sebelum ini.

Menurut Rahim, ahli-ahli majlis MPS dengan tegasnya menggesa JPA memandang serius tindakan menukar kakitangannya secara terburu-buru ini.

Malah ia perlu dirujuk dan mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri ke atas apa juga keputusan dan arahan pertukaran dengan menghormati kuasa mutlak kerajaan negeri.

"Kami mencadangkan agar pihak kerajaan pusat menghapuskan 'procedures draconian' yang membolehkan pertukaran awam dalam masa 24 jam tanpa boleh dibantah, ianya lebih kepada bentuk penderaan dan hukuman.

"Kami juga mencadangkan agar membeku pengisian jawatan yang di atas sehingga kami mengkaji kemungkinan tindakan undang-undang yang boleh diambil di atas arahan yang dilakukan oleh JPA," katanya lagi.

Beliau yang memberitahu kerajaanm pusat perlu mengkaji semula pertukaran pegawai dari pusat kerana ianya selalu di buat dengan cara yang tidak profesional dan dilihat sering mengganggu pentadbiran kerajaan negeri.

Gamis minta Mesir, Turki bantu Palestin

Anis Nazri, 15 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mengadakan himpunan aman mengecam tindakan Israel melakukan serangan ke atas Gaza, semalam yang mengorbankan tujuh nyawa.

Kumpulan itu berkumpul di hadapan kompleks membeli-belah Sogo, petang ini, sebagai langkah awal menyatakan bantahan kepada kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Presiden Gamis, Mohd Azan Safar, berkata pihaknya mendesak kerajaan Mesir dan Turki untuk menghantarkan bantuan kepada Palestin, selain menuntut Wisma Putra menyatakan pendirian yang tegas berkaitan isu Palestin itu.
Sehubungan itu, katanya Gamis berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan wakil kedutaan Mesir dan Turki bagi tujuan tersebut.
"Tarikh dan masanya belum kita putuskan lagi, tapi kita akan lakukan dalam tempoh terdekat.  Kita juga merancang untuk mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Amerika Syarikat, yang dikaitkan sebagai rakan baik Israel sebagai tanda bantahan kami," tegas beliau di hadapan kira-kira 30 orang mahasiswa.
Dalam pada itu, Gamis turut menuntut agar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) segera bertindak untuk menghentikan kezaliman terhadap Gaza.
Gamis juga akan mendesak Wisma Putra untuk menyatakan pendirian yang tegas berkaitan serangan terbaru Israel itu, memandangkan setakat piket ini dilakukan belum ada respons daripada Wisma Putra.
Selain Azan, turut berucap pada piket tersebut ialah Pengerusi Majlis Politik Nasional Gamis, Ahmad Afif Zulkifli; dan Setiausaha Sekretariat Pendakwah Muda Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Mohd Hanif Abdul Jalil.
Himpunan aman itu berlangsung kira-kira satu jam dan diakhiri dengan bacaan doa.

Serangan Israel: Demo hadapan kedutaan AS esok

Harakahdaily, 15 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) akan menganjurkan demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat esok, Jumaat jam 2 petang, sebagai membantah tindakan Israel dan sikap Amerika Syarikat ekoran serangan Israel ke Gaza semalam.

Ketua Penerangan Gamis, Izaz Ismail berkata tindakan biadap Israel ke atas umat Islam terus berlanjutan dan semakin keterlaluan.

Menurutnya, serangan udara yang dilakukan ke atas Semenanjung Gaza semalam sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 9 orang termasuk ketua sayap tentera Hamas, serta pengisytiharan secara rasmi dan terbuka oleh Israel Defense Force (IDF) untuk terus melakukan serangan ke atas Gaza, juga mendapat izin daripada Amerika Syarikat.

Lebih malang lagi, ujarnya kenyataan angkuh yang dibuat oleh jurucakap IDF menyatakan bahawa serangan tersebut adalah bertujuan untuk menyelamatkan warga Israel dan membasmi pengganas adalah merujuk kepada Hamas.

“Dalam hal ini, Amerika Syarikat pasti tidak akan membantah tindakan Israel kerana Israel dan minyak adalah dua rukun untuk Amerika Syarikat terus kekal sebagai kuasa besar dunia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Berkenaan dengan isu itu, ujarnya Gamis mendesak Majlis Keselamatan PBB dan Liga Arab segera bersidang bagi mencari penyelesaian segera.


Tambahnya, Gamis juga mendesak Wisma Putra segera menyatakan pendirian rasmi dan mengambil tindakan yang lebih tegas bagi memberi tekanan kepada Israel.


“Dalam kesempatan ini juga Gamis menyeru dan merayu kepada seluruh umat Islam dan masyarakat Malaysia yang prihatin untuk hadir ke himpunan aman esok. Ayuh bersolidariti selamatkan dunia dari bahaya Israel!” katanya lagi.

Siapa pembela nasib OKU sebenarnya

Muhammad Adam Lee bin Abdullah,
Assalamu'alaikum dan salam sejahtera kepada rakan-rakan petugas HarakahDaily, barisan kepimpinan dan penyokong PAS serta Pakatan Rakyat (PR), saudara-saudari Muslimin dan Muslimat, serta warga Malaysia cemerlang lagi prihatin.

Memulakan ulasan ini, saya ingin sekali mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut Ma'al Hijrah 1434 serta selamat bermuktamar kali ke-58 kepada Parti Islam Semalaysia (PAS) seluruh negara yang sedang berlangsung.

Semoga dengan kedatangan tahun baru Hijrah ini, juga dengan berlangsungnya muktamar di saat kritikal ini, bersamalah kita sekalian berdoa agar muktamar ini, khasnya, akan benar-benar menjayakan penghijrahan kita sekalian, termasuk kami, masyarakat OKU ini, ke arah kesejahteraan hidup dunia dan akhirat sebagaimana yang dituntut oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.

Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada PAS, khasnya, serta jemaah PR, di atas pelbagai kejayaan cemerlang kalian sejak tsunami kebangkitan rakyat pada pilihanraya lalu walaupun berdepan pelbagai cabaran getir daripada segala penjuru serta kaedah tipu muslihat golongan berkepentingan.

Malah, yang lebih membanggakan saya dan seluruh masyarakat OKU ini ialah dengan kesungguhan PAS merealisasikan hak dan keadilan buat kami dengan tertubuhnya Sekretariat OKU Prihatin pada bulan Mac, 2012 yang lalu di bawah teraju Dr. Siti Mariah Mahmud, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pusat.

Sejak itu, pada pemerhatian saya, PAS merupakan parti politik terkehadapan dalam memperjuangkan hak dan nasib kami, selaras konsep Negara Berkebajikan yang turut mendapat sokongan parti-parti Pakatan Rakyat lain.

Justeru, kami dengan penuh takzim serta rendah diri memohon agar sekretariat ini mampu berfungsi dengan sewajarnya agar ia tidak hanya sekadar retorik, sebagaimana yang sering berlaku ketika ini.

Untuk sekian lama, sememangnya kehidupan masyarakat OKU di Malaysia ini, ibarat golongan "mustadh'afin" (golongan minoriti yang sering terpinggir lagi dipinggir) dik kesibukan kita mengejar untung dunia nan tak seberapa, walaupun tidak dinafikan, kedapatan juga inisiatif sesetengah ahli masyarakat kita untuk turut mengiktiraf hak kami sebagai warganegara.

Seperti yang disebutkan oleh beberapa orang rakan saya yang menghadiri forum wacana Ke Arah Merancang Pelaksanaan Pembangunan OKU secara menyeluruh di Dewan Datuk Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad, Shah Alam, baru-baru ini, ternyata layanan terhadap kami ibarat rasa garing goreng pisang semata-mata.

Mana tidaknya? Suatu ketika, Akta Quota 1% pekerjaan untuk OKU digubal dan diluluskan, tetapi, hasilnya, masih ramai lagi di kalangan kami yang menganggur dan terpaksa melakukan pekerjaan sendiri di jalanan yang kemudiannya mengundang persepsi negatif masyarakat sekeliling, kononnya kami hanya tahu menagih simpati ...

Itu, belum disebut lagi akan penempatan kami di sektor pekerjaan yang adakalanya tidak bersesuaian, seperti graduan universiti OKU penglihatan yang menjadi telefonis, bakat kami dalam kesenian dan keagamaan yang dipinggirkan, sikap "double-standard" dalam penyediaan kemudahan prasarana dan akses terhadap milikan awam seperti anak kami yang diminta bayar tambang sedangkan kami percuma, insentif seperti Elaun Pekerja Cacat (EPC) yang statik (RM300.00) dan penguatkuasaan zalim agensi berkaitan terhadap peruntukan bantuan kami, khidmat tidak mesra lagi birokratik sesetengah agensi kerajaan akan permohonan keperluan kami, serta pelbagai masalah lain, yang, rasanya, memadailah, untuk kita renung-renungkan bersama.

Bukankah sejarah sendiri telah membuktikan, bahawa, Allah SWT Yang Maha Segala itupun Maha Menghargai, dengan menegur tindakan Rasulullah SAW di saat Baginda sibuk berdakwah kepada para pembesar Musyrikin Makkah, di mana ketika itu, Baginda bermuka masam apabila Abdullah Ibn Maktum (RA) turut mengunjungi Baginda untuk belajar dan seterusnya memeluk Islam? Bukankah kemudiannya menyaksikan peranan sahabat mulia ini diiktiraf sepanjang dakwah Baginda?

Dengan ini, saya serta sekalian warga OKU benar-benar mengharapkan agar muktamar ini mampu mencetus gelombang ke arah penghijrahan dalam iltizam serta strategi pembangunan buat kami, selaras tema muktamar ini, iaitu "Negara Berkebajikan Teras Perpaduan".

Semoga dengan itu, kesyumulan Islam turut benar-benar mampu dijelmakan secara praktikal, agar kami bukan sekadar disuap makan dan minum, tetapi turut mampu memasak dan menjamu. Justeru, kami memohon agar muktamar ini turut memasukkan agenda pembangunan masyarakat kami ini sebagai salah satu daripada agenda-agenda penting agar PAS dan PR akan tampil sebagai agen pembela sekalian golongan "mustadh'afin" sebagaimana perjuangan kalian untuk pelbagai golongan lain saban waktu.

Akhirnya, kami mendoakan agar PRU yang akan berlangsung bila-bila masa sahaja dari sekarang ini, benar-benar memihak kita sekalian yang selama ini berhempas-pulas berjuang ke arah kebenaran dan kesaksamaan buat agama, negara dan bangsa tercinta ini daripada penguasaan regim OKS (orang-orang kurang sedar) selama setengah kurun lampau.

Selamat Ma'al Hijrah 1434, selamat bermuktamar, dan salam jihad.


Yang Benar,
(Muhammad Adam Lee bin Abdullah)

Ulama lulus usul wujud Audit Syariat

Harakahdaily, 15 Nov 2012
KOTA BHARU: Dewan Ulamak menerima usul dengan meminta ulama diberi peranan dalam pentadbiran kerajaan di negeri yang diperintah PAS bagi mengelakkan pentadbirannya tergelincir daripada matlamat asal perjuangan.

Usul tersebut diterima selepas dibahas oleh tiga wakil urusan ulama kawasan.  Usul itu dibawa Urusan Ulama Pulau Pinang dan disokong Urusan Ulamak Pokok Sena. Turut disokong wakil Urusan Ulama Batu Gajah, Perak.

Wakil Urusan Ulama Perak berkata, usul berkenaan bukan menggambarkan ulama mahukan jawatan dalam kerajaan semata-mata.

Mohd Azuddin Ibrahim dari Pendang  ketika menyokong usul tersebut menegaskan jangan biarkan Umno bertapak di negara ini dan hendak dihumbangkan ke Laut China Selatan dan dihalau ke Gunung Tahan.

Manakala usul diterima tanpa dibahas dibawa Urusan Ulamak PAS Kemaman dan Shah Alam antara lain menyebut, menyedari PAS satu gerakan mendaulatkan kalimah Allah berdasar al Quran dan Sunnah, Ijmak dan Qias tidak akan berubah dan terus dipertahankan.

“Maka Dewan Ulamak hendaklah menjadi benteng Islam untuk memelihara dasar dan kesucian parti daripada mana-mana pegangan fikrah al Hadammah  yang boleh merosakkan fikrah parti,” kata pembawa usul berkenaan.

Usul Urusan Ulama Wilayah Persekutuan pula diluluskan dengan dua kali pengundian dilakukan pengerusi tetap. Kali pertama usul berkenaan ditolak apabila dibantah Urusan Ulama Melaka memandangkan PAS telah ada Ilham dan KUIZM.

Katanya, usul berkenaan dianggap tidak perlu kerana ia membabitkan kos yang tinggi, jadi kita perlu perkasakan apa yang sedia ada.

Wakil Urusan Ulamak Wilayah Persekutuan sekali lagi tampil bagi mempertahan usul berkenaan kerana baginya  kemampuan ulama sekarang mula dipersoalkan sesetengah pihak.

“Maka menyedari keperluan semasa bagi memperkasakan ulama supaya lebih dihormati dan perlu diperkukuhkan lagi dengan kewujudan Akademi Latihan.

“Wilayah mahu memantapkan lagi kepemimpinan ulama dan ditakuti tercicir di medan dakwah dan jihad,” katanya.

Sebelum itu Urusan Ulamak Shah Alam sokong dengan lantang tidak mahu fahaman syiah menular dalam PAS kerana ia melibatkan soal aqidah yang tidak boleh dibuat main-main.

Urusan Ulama Kuantan pula menyokong 100 peratus usul dibentang Urusan Ulamak Wilayah dengan membawa usul perlu diwujudkan audit syariat kerana ia bertepatan dengan perkembangan semasa. Aqidah yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah hendaklah diauditkan.

“Jangan ada pemimpin di atas mencemarkan aqidah ahli Sunnah wal Jammah. Jangan pilih calon yang popularkan sahaja, sedangkan solat jemaah di masjid pun tidak kelihatan, tidak datang solat Subuh berjemaah.

“Pilihlah pemimpin yang popular dekat dengan Allah dan bukan hanya popular di kalangan manusia sahaja. Presiden kita biar pun tidak popular di kalangan manusia, namun kita yakin lebih dekat dengan Allah Taala,” ujarnya.

Bagaimanapun PAS Lenggong mahu usul itu dimantapkan sedikit memandangkan audit syariat sebenarnya sudah berjalan dengan peraturan yang dikuatkuasa dalam PAS sekarang.

Katanya, mahu Majlis Syura Ulama perlu diperkasakan lagi kerana tidak mahu orang yang sama diberi lebih banyak bebanan.

Menurutnya Audit Syariat sepatutnya dilaksanakan kerajaan seperti yang telah dilaksanakan di Terengganu, namun malangnya hayat usia kerajaan tidak panjang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan