Rabu, 21 November 2012

KES RASUAH...TINDAKAN PILIH BULU...MAKA RAKYAT TENGOK PUN BERBULU

Ibrahim Ali atau Hasan Ali pun boleh menjadi Perdana Menteri

http://aspanaliasnet.blogspot.com, 20 Nov 2012
Siapa akan menjadi PM selepas PRU ini sedang sibuk diperbincangkan selepas muktamar PAS di Kelantan hujung minggu lepas. Kedua-dua belah pihak membahaskan siapa yang paling layak menjadi PM: TGHA atau Anwar Ibrahim? Isu ini masih diperbualkan termasuk oleh pemimpin-pemimpin UMNO sendiri. Syed Hamid Albar berkata Anuar lebih layak dari TGHA walaupun perwakilan muktamar mencadangkan Presiden partinya untuk menjadi PM.  Ramai di kalangan pemimpin UMNO telah berbelah bagi, samada TGHA atau Anwar yang lebih layak untuk memikul beban tersebut.

Tetapi yang sangat jelas ialah pemimpin-pemimpin UMNO sendiri seolah-olah telah menerima hakikat yang PR akan memenangi PRU ini. Kalau tidak masakan di antara pimpinan UMNO sendiri berbincang siapa yang lebih layak di antara Anwar dan TGHA. Rupa-rupanya bukanlah saya seorang yang berfikir yang UMNO akan menerima kekalahan malahan mereka yang masih kekal dalam parti itu sendiri berbincang tentang pilihan di antara Anwar dan TGHA.

Ini merupakan kali pertama rakyat bercakap tentang PM dari pihak pembangkang sekarang ini selepas rakyat menukar mandat mereka dalam PRU yang akan datang. Isu ini pastinya satu isu yang akan menjadi hangat dan tidak akan berhenti senyap dalam masa terdekat ini. Bagi saya kedua-dua nya layak, tetapi biarlah kita selesaikan PRU ini dahulu. Kadang-kadang ada pihak yang tidak berjaya niat dan tujuan mereka kerana sebelum pun pergi ke hutan sudah membilang buah kerayung.

Tetapi keadaannya ialah PR masih mendahului BN jika PRU diadakan pada minggu ini. Isu siapa Perdana Menteri elok kita ketepikan jauh-jauh dahulu kerana yang penting permaharajalelaan UMNO wajib kita hentikan serta merta selepas PRU ini. Kita mempunyai perlembagaan jelas yang seorang PM itu sepatutnya di pilih di antara ahli-ahli Legislatif yang mendapat sokongan dari ahli-ahli Parlimen walaupun dengan satu undi.

Walau bagaimana pun pihak PR telah bersetuju untuk memberikan kerusi PM kepada Anwar jika PR memenangi pilihanraya yang akan datang ini. Di dalam perlembagaan sesiapa yang mendapat sokongan yang terbanyak di dalam Dewan Legislatif Parlimen maka dia lah yang menjadi Perdana Menteri negara ini selepas pilihanraya yang akan datang ini.

Selama ini Presiden UMNO menjadi Perdana Menteri itu hanyalah melalui ‘convention’ dan bukannya melalui cara dan kaedah yang tertulis di dalam perlembagaan negara. Pada dasarnya sesiapa sahaja boleh menjadi Perdana Menteri dari mana-mana parti sekali pun asalkan ia mendapat sokongan dari ahli-ahli Dewan Parlimen walaupun dengan kelebihan ‘simple majority’.

Di atas dasar itu maka Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin, Zaharin Hashim, Bung Mokhtar, Mohamad Aziz  mempunyai peluang yang sama untuk menjadi Perdana Menteri jika mereka menang dalam pilihanraya parlimen mewakili apa-apa parti atau sebagai calon bebas dalam pilihanraya yang akan datang. Yang perlu mereka mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen.

Jika Hasan Ali 'akidah' dicalonkan menjadi ahli parlimen dia juga mempunyai peluang untuk menjadi PM untuk mewakili pertubuhannya yang kalau tidak silap saya namanya JATI. Lagi satu syarat dia tidak bercakap seorang diri selalu kerana mereka yang bercakap seorang diri itu adalah orang gila dan tidak layak menjadi ahli Parlimen.

Oleh itu semua pihak tidak perlu menentukan siapa Perdana Menteri sekarang ini tetapi menumpukan usaha masing-masing untuk memenangi pilihanraya dan meletakkan UMNO di pihak pembangkang. Saya secara peribadi pun hendak sangat mendengar ucapan-ucapan Muhyiddin Yaasin sebagai ahli pembangkang jika beliau memenangi kerusi pilihanraya Pagoh  dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Untuk menjadi pemimpin yang baik seseorang itu elok melalui pengalaman menjadi pembangkang untuk melengkapkan pengalaman sebagai seorang pemimpin. Di negara-negara maju ramai pemimpin-pemimpin beralih tempat setiap pilihanraya. Penggal ini mereka menjadi Menteri kerana parti nya menang dalam pilihanray tetapi penggal yang berikutya mereka menjadi pembangkang kerana partinya kalah dalam pilihanraya yang berikutnya.

Keadaan itu adalah keadaan yang lazim berlaku dan itu bukannya tidak boleh berlaku di negara ini.

Jangan polemikkan isu jawatan PM – Mustafa

Harakahdaily, 20 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Isu siapa menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat memenangi Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti tidak perlu dijadikan polemik di kalangan pemimpin dan penyokong PR, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.
Menjawab polemik isu jawatan Perdana Menteri yang ditimbulkan sejak tamatnya Muktamar Tahunan PAS ke-58, Mustafa mengingatkan semua pihak bahawa perkara tersebut hanya satu perbahasan di dalam muktamar.

“Maka tiada keperluan sebenarnya untuk media memainkan perkara ini kerana ia bukan sebahagian daripada usul muktamar,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Tegasnya, cadangan supaya Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri hanyalah luahan sayang para pewakilan PAS kepada Abdul Hadi, yang dianggap bapa yang dihormati dan disanjungi ketika perbahasan di muktamar PAS.

“Ahli-ahli PAS hanya mengharapkan yang terbaik untuk ayah mereka, sebagaimana anak-anak lain mendoakan yang terbaik untuk ibu bapa sendiri. Walaubagaimanapun, harapan anak tidak semestinya sama dengan hasrat ayah,” katanya.

Selain itu, Mustafa juga berkata tidak berbangkit soal jumlah kerusi di dalam Pakatan Rakyat.

“Selain di Kelantan, negeri-negeri yang dimenangi PR seperti Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor semua memerlukan ketiga-tiga parti komponen untuk bersama, baru boleh membentuk kerajaan.

“Selain PAS di Kelantan, PKR di Selangor, DAP di Penang dan PAS di Kedah, semuanya tiada majoriti untuk memerintah sendiri jika tidak bersama-sama dengan rakannya dalam PR. Walaupun mendapat kerusi terkecil, Adun PAS dipilih menjadi Menteri Besar di Perak,” katanya lagi.

Oleh yang demikian, beliau menasihatkan para pemimpin dan penyokong PR berwaspada dengan media yang cuba melaga-lagakan parti-parti komponen PR.

“Fokuskan kepada kerja untuk memenangkan PR. Dan yakinlah dengan track record PR dalam kerjasama, kematangan dan muafakatnya selama ini dalam membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat bila tiba masanya nanti,” tambahnya lagi.

Untuk menang ‘perang’, musuh mesti dihancurkan

Azhar Yahya, 20 Nov 2012
Doa untuk menghancur dan menjahanamkan Umno BN yang disebut di Stadium Sultan Muhammad IV baru-baru ini adalah bermaksud mengalahkan parti dan gabungan tersebut dalam pilihanraya umum akan datang.
Dalam arena politik Malaysia, PAS dan Umno sekian lama bertanding untuk memenangi hati rakyat bagi mendapatkan kuasa pemerintahan. Dasar sekular dan nasionalis perkauman yang diperjuangkan oleh Umno BN jelas bertentangan dengan dasar PAS yang ingin menegakkan Islam yang syumul dan menyeluruh.

Dasar Umno BN inilah yang telah membawa banyak kerosakan dalam masyarakat dan negara. Keruntuhan akhlak, gejala sosial, pecah amanah, peningkatan jenayah, kehancuran institusi keluarga, dan lain-lain adalah bahana daripada pemerintahan Umno BN selama ini. Umno BN hanya menjadikan Islam sebagai amalan ritual yang dipenjara dalam institusi, program dan majlis agama, bukan sebagai rujukan dan dasar dalam pemerintahan.

Justeru, atas sebab inilah PAS berlawan dengan Umno BN dan bertanding dalam pilihanraya untuk mengalahkan parti dan gabungan tersebut. Ini kerana perjuangan dan dasarnya jauh bertentangan dan menyimpang daripada Islam yang dibawa oleh Nabi Junjungan S.A.W.

Untuk mencapai kemenangan dalam 'peperangan' pilihanraya ini, kehancuran pihak lawan adalah sangat penting. Hancurnya Umno BN bukan bermaksud hancur dan binasa individu yang berada di dalamnya. Hancurnya Umno BN ialah parti dan gabungan tersebut tidak mampu meneruskan survival dan kelangsungan perjuangan yang berlawanan dengan Islam apabila kalah dalam pilihanraya.

Kehancuran ini adalah agar rakyat Malaysia tidak lagi berada di bawah pemerintahan Umno BN yang telah menyebabkan kerosakan yang parah kepada negara. Malaysia perlu diselamatkan daripada pemerintahan yang seumpama ini.

Doa untuk keburukan dan kehinaan untuk orang lain adalah bukan perkara asing dalam Islam. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. telah menaiki mimbar sambil berkata: "Amin, amin, amin." Dikatakan kepada baginda: "Wahai Rasulullah! Apa yang kamu buat ini?" Baginda menjawab: "Jibril a.s. berkata kepada aku, kehinaan kepada seseorang hamba apabila dia memasuki Ramadhan tidak diampunkan untuknya dosa. Maka aku berkata amin. Kemudian Jibril berkata, kehinaan kepada seseorang hamba apabila disebut namamu dia tidak berselawat ke atas mu. Maka aku berkata amin. Jibril berkata lagi, kehinaan kepada seseorang hamba yang sempat dengan kedua ibu bapanya atau salah seorang daripadanya tetapi tidak boleh memasukkannya ke dalam syurga (kerana tidak berbuat baik kepada mereka) maka aku berkata amin."

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Baihaqi.

Dalam riwayat yang lain malaikat Jibril mendoakan agar dibinasakan atau dijauhkan rahmat daripada Allah bagi ketiga-tiga mereka yang disebutkan di atas.

Penulis ialah Timbalan Pengerusi Ulamak Pelapis PAS (Pusat).

Anak Penasihat Petronas dapat "anugerah projek" diseret ke SPRM

Muhammad Yusri Amin, 20 Nov 2012
KOTA BHARU: Gara-gara anak Penasihat Petronas mendapat anugerah projek carigali bernilai ratusan juta di perairan Kelantan, kumpulan anak-anak muda di sini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SapuraKencana yang ada kaitan dengan Datuk Mokhzani Mahathir dikatakan mendapat projek bernilai RM835.8 juta daripada Petronas Carigali Sdn Bhd dan HESS Exploration and Production Malaysia BV.

Anak bekas perdana menteri itu merupakan Naib Pengerusi SapuraKencana.

Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti - R) mengesyaki wujud unsur-unsur tidak sihat di atas anugerah projek terbabit.

Presidennya, Nazri Deraman berkata, R merujuk laporan kenyataan media Petronas yang menyebut Tun Dr Mahathir merupakan penasihat Petronas sehingga sekarang.

Kata beliau projek berkenaan membabitkan pengeluaran gas dari Medan Bunga Kamelia dan Blok PM301 yang terletak 150 km dari pantai Kelantan.

Sapura Kencana Petroleum Bhd dianugerah projek terbabit bermula Oktober 2012 sehingga April 2016.

“Kami serah memorandum kepada SPRM berkaitan isu berkenaan bagi membolehkan badan itu menyiasat skandal minyak membabitkan keluarga Dr Mahathir.

“SPRM perlu menjalankan siasatan ke atas Petronas dan Dr Mahathir kerana kelihatan ada unsur-unsur tidak sihat berlaku,” katanya selepas menyerah memorandum tersebut kelmarin.

Menurutnya R menuntut SPRM menjalankan siasatan dalam tempoh 30 hari kerana ia membabitkan kes berprofil tinggi dan sebuah syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya SPRM tidak mengeluarkan apa-apa jawapan, R akan mengadakan perhimpunan aman di hadapan bangunan SPRM dan membawa kes berkenaan ke peringkat antarabangsa.

Nazri turut diiringi 50 aktivis R menyerahkan memorandum kepada Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Kelantan, Che Aziz Hamzah di pejabat SPRM di Lundang.

Baru-baru ini Dr Mahathir ketika mengulas isu berkenaan seperti disiarkan Malaysiakini dipetik sebagai berkata, “Ya sudah tentu, dia (Mokhzani) mendapatnya kerana saya arahkan Petronas. Masukkan itu dalam akhbar awak.

“Saya mempengerusikan segala-galanya. Saya memberitahu mereka, sila berikan kepada anak saya dan bukan orang lain. Itulah apa yang saya buat selama ini.

“Apabila saya jadi perdana menteri, segala-galanya dapat pada anak-anak saya.

“Tetapi apabila semuanya dapat pada anak-anak perdana menteri-perdana menteri lain, awak tak mahu menyebut kerana dia seorang yang baik.”

Kase buka kaunter AES di Pejabat Agung PAS esok

Harakahdaily, 20 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) akan membuka kaunter penerimaan saman AES, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut esok.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar, berkata kaunter penerimaan saman AES itu dibuka bermula jam 12 tengah hari hingga 1.30 petang.

"Kita seru orang kena saman (OKS) untuk hadir bertemu peguam kita dan bawa sekali surat saman AES yang diterima mereka," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Naib Presiden PAS itu lagi, Kase sedia memberi khidmat guaman percuma kepada semua OKS termasuk yang memandu kenderaan persendirian, kenderaan awam, lori, bas, kereta sewa kenderaanagensi kerajaan.

Justeru katanya, semua pihak yang menerima surat saman AES dialu-alukan untuk hadir bagi bertemu dan mendapat khidmat nasihat dari pasukan peguam Kase esok.

Doa hancur Umno demi selamatkan agama dan negara

Tok Janggut,
Pada mulanya tersentak juga penulis apabila membaca kenyataan beberapa pihak akan doa yang dibaca dalam solat hajat anjuran PAS di Kelantan baru-baru ini. Antara yang didoakan ialah minta agar Allah tumbang dan hancurkan Umno kerana kezaliman yang lakukan sudah sampai ke kemuncaknya tanpa boleh dinasihat atau sudah tidak nampak tanda-tanda yang Umno ini akan insaf dan kembali ke jalan Allah dan Rasul.

Tidak timbul PAS mendoakan kehancuran kepada saudara seagama denganya. PAS hanya berdoa terhadap orang yang zalim dan PAS adalah golongan yang dizalimi dan ditindas selama ini. Bukankah Nabi pernah bersabda “takutilah kamu akan doa orang yang dizalimi kerana doa mereka tidak ada hijab dengan Allah”. Hal ini bermakna jika kita dizalimi, kita boleh berdoa kepada Allah untuk dihancurkan golongan zalim itu demi untuk keamanan, keselamatan dan kemakmuran kita.

Islam tidak pernah membenarkan kita melakukan kezaliaman sesama sendiri hatta dengan orang bukan Islam pun kita dilarang melakukan kezaliman.  Tetapi Umno tidak peduli semua itu, apatah lagi mereka sentiasa dibela dan dipertahankan oleh ulama upahan, puak mufti dan tok guru mereka sedangkan  golongan agama mereka ini tidak pernah pun dilihat menegur Umno melakukan kezaliman dan penindasan terutamanya terhadap PAS dengan merampas royalti dan menafikan hak yang sepatutnya dimiliki oleh rakyat yang meyokong PAS.

Dalam al-Quran Allah telah memberi amaran “Janganlah kamu cenderung kepada golongan yang zalim, kelak kamu akan disambar api neraka”.  Ini bukan sahaja membuktikan bahawa bukan sahaja golong yang zalim akan ke neraka bahkan sesiapa yang cenderung, menyokong dan menjadi sebahagian daripada mereka juga akan disambar api neraka.

Zalim hendaklah dilihat daripada kaca mata Islam, bukan daripada kacamata parti atau menggunakan logik akal. Kazaliman yang paling besar dan nyata ialah apabila sesebuah kerajaan yang mengaku beragama Islam itu tidak melaksanakan syariat Allah sebagai undang-undang tertinggi negara malahan mereka mempersendakan, memperlekeh dan mempermain-mainkan pula syariat Allah itu.

Selain itu, kezaliman dalam menafikan hak rakyat atas alasan tidak menyokong kerajaan yang memerintah juga adalah satu kezaliman. Hal ini kerana apa-apa sahaja rezeki yang ada di muka bumi adalah milik Allah, bukan milik kerajaan yang memerintah. Antaranya menafikan hak royalti minyak yang sudah pun mempunyai perjanjian dan persetujuan bersama tetapi telah dikhianati atas dasar dendam dan iri hati.  Dalam Islam, mungkir janji yang telah dibuat melalui lisan sahaja pun sudah dianggap melakukan kezaliman, apatah lagi yang telah pun dibuat perjanjian yang melibatkan hak sejumlah besar rakyat yang berhak ke atas royalti itu.

Bagaimana pula penafian dari segi peruntukan yang telah disahkan dalam undang-undang negara, menafikan hak mendapatkan biasiswa, tanah, rumah dan berbagai-bagai lagi.  Semua itu termasuk dalam istilah zalim yang Allah janjikan neraka kepada mereka yang melakukanya. Tidak timbul isu berdoa seperti ajaran sesat atau tidak boleh berdoa untuk kehancuran terhadap saudara seagama kerana doa ini terpaksa dilakukan terhadap golongan yang sudah terlalu jauh sesat dan juga tidak mungkin mereka akan melakukan kezaliman jika mereka merasakan mereka itu adalah saudara seagama.

Apabila sudah banyak nasihat, teguran dan kritikan diberikan agar Umno kembali ke jalan Allah tetapi mereka tetap dengan kesombongan, bongkak dan dengan sikap takburnya, maka tiada jalan lain kecuali berdoa kepada Allah agar Umno ini tumbang dan hancurkan demi untuk menyelamatkan lebih 20 juta rakyat.

Dokumentari elak usaha pecah belah kaum

Hazayani Zakaria, 20 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi peruntukan yang secukupnya kepada Arkib Negara bagi urusan dokumentari sejarah negara agar boleh menjadi rujukan kepada masyarakat.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, urusan dokumentari wajar diberi keutamaan bagi mengelakkan masalah kekurangan rujukan dalam bidang sejarah.

"Arkib Negara perlu jadi badan utama untuk urusan dokumentasi dan jurnal secara profesional.

"Kita harus menerajui pengumpulan sejarah secara tuntas dan arkib negaralah yang diberikan peruntukan yang sewajarnya.

"Saya bimbang negara kita kekurangan maklumat untuk kita mempertahankan sesuatu fakta yang penting dalam sejarah negara," katanya ketika perbahasan peringkat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di Dewan Rakyat hari ini.

Tegas Naib Presiden PAS itu juga, dokumentasi ini penting bagi mengelakkan usaha memecah belah keharmonian antara kaum contohnya antara kaum Cina dan Melayu.

Beliau memberi contoh kehadiran Laksamana Cheng Ho ke Nusantara yang kerana memberikan implikasi kepada kaum Tiong Hua di negara ini.

"Adakah kita memiliki cukup dokumen tentang bagaimana kehadiran kumpulan pedagang-pedagang sebelum kemerdekaan yang hadir ke negara ini dan sejauh mana peranan kita yang boleh dijadikan contoh hari ini.

"Adakah arkib negara ada dokumen yang cukup untuk kita jadikan perbincangan kerana akan terus menjadi faktor yang mengeratkan lagi hubungan antara kaum jika ada elemen yang ingin memisahkan Melayu dan  Cina atau seruan untuk memepertajam sentimen perkauman jadi tokoh seperti ini amat penting untuk didiskusikan dan menjadi bahan intelektual tentang perkembangan intelektual yang dapat mengeratkan hubungan antara kaum," katanya.

Selain itu, Salahuddin juga mahu Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) turut memberi tumpuan kepada usaha pengumpulan bahan sastera khususnya hasil penulisan Angkatan Sasterawan 50.

"Saya bimbang kerana kumpulan yang memberi sumbangan besar kepada negara juga terdiri daripada kumpulan seperti asas 50 dan mereka juga memberi sumbang bakti yang cukup besar kepada negara.

"Dalam pada Aswara melahirkan pelakon dan penggiat seni, Aswara harus melihat peranan yang dimainkan Asas 50 terutama teks-teks sastera yang sangat besar peranan kepada negara.

"Saya tidak menafikan setiap minggu atau setiap bulan ada persembahan di panggung negara dan Istana Budaya tapi amat kurang kesugguhan melahirkan khazanah sastera agar muncul dan diterjemahkan dalam filem drama dan juga hasil sastera. Perlu di peringkat dasar buat kajian terbaru," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan