Khamis, 15 November 2012

HIJRAH KEPADA AQIDAH YANG BENAR SERTA BERGANTUNG@BERSANDAR KEPADA KEREDAAN DAN KERAHMATAN ALLAH SWT...DENGAN MELAKUKAN SESUATU ITU IKUT SYARIAT

Mohamad Sabu beri komitmen isytihar harta

Wan Nordin Wan Yaacob, 14 Nov 2012


(Mohamad Sabu berucap merasmikan Muktamar Pemuda)

KOTA BHARU: Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu memberikan komitmen beliau dan pemimpin PAS untuk mengisytihar harta masing-masing menjelang pilihan raya umum akan datang.

Dalam ucapan perasmiannya sempena muktamar Dewan Pemuda PAS di hadapan kira-kira 1000 perwakilan dan pemerhati di Dewan Jubli Perak dekat sini, Mohd Sabu beriltizam mahu mengisytihar hartanya sebagai satu contoh perubahan yang harus dimulakan beliau selaku timbalan presiden.

Dalam ucapan itu, Mohamad Sabu mengambil pendirian agar agenda PAS dan Pakatan Rakyat ke Putrajaya dalam ambang kuasa harus dimulakan dengan satu perubahan yang berani.

Perubahan itu, kata beliau, bermula dengan perubahan oleh penggerak PAS termasuk
mereka yang akan menjadi wakil rakyat dan ahli majlis.

Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS telah mengumumkan akan membuat pengistiharan harta menjelang pilihan raya umum akan datang datang.

Keputusan rasmi dan mekanismanya akan ditentukan dalam muktamarnya yang bermula malam ini sehingga esok.

Cadangan pemuda ini disokong oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman.

Presiden PAS bangga dengan Muslimat

Salmiyah Harun, 14 Nov 2012
KOTA BHARU: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melahirkan rasa bangga beliau dengan penglibatan Muslimat PAS yang dilihat jauh kehadapan berbanding parti-parti lain.

"PASlah yang pertama mengetengahkan muslimat bertanding, pada tahun 1959. Bukan nak berlagak. Tapi PAS memang tidak ada was-was dengan penglibatan Muslimat dalam pilihan raya," katanya.

Presiden PAS itu melahirkan rasa bangga beliau itu ketika berucap di depan lebih 600 perwakikan Muslimat PAS dari seluruh negara dalam Muktamar Dewan Muslimat PAS malam ini.

Dalam pada itu, beliau mahu muslimat terus ke hadapan dalam menjalankan tugasnya memenangkan Islam khasnya menyampaikan mesej PAS kepada bukan Islam.

"Khususnya sampaikan mesej Islam terutama orang Islam yang termakan khurafat Umno terutama dalam situasi masyarakat majmuk," katanya.

Beliau juga berkata, Muslimat PAS wajib menunaikan tanggungjawab iaitu jihad fardhu ain khususnya apabila masyarakat berada dalam keadaan bahaya.

"Hari ini musuh bukan masuk negeri, tetapi masuk dalam rumah. Serangan pemikiran terhadap kita, tidak sempat untuk mengawal anak-anak.

"Maka jihad jadi fardu ain, selamatkan anak Melayu," katanya di depan lebih 600 perwakilan Muslimat.

Dalam masa yang sama katanya, Muslimat harus memperkenalkan Islam yang adil kepada masyarakat bukan Islam selain mengajak mereka tanpa paksaan kepada Islam.

Abdul Hadi turut menegaskan para Muslimat perlu berilmu dan faham sebelum menjadi pemimpin kerana Islam mengagungkan mereka yang faham dan berilmu.

"Cuma saya mahu muslimat berilmu, fakih dan faham...tak ada ilmu buat-buat faham, tidak boleh!

Beliau turut menyeru para Muslimat agar bersedia dengan kekuatan yang ada walaupun pihak lawan yang cukup kaya, mewah dan ramai.

"Bersedialah dengan sifat-sifat iman, sabar dan  tahan menghadapi kepayahaan dalam perjuangan 'bertugas di mana sahaja dengan ikhlas.  Kemenangan kita adalah kemenangan menentang kezaliman," katanya di akhir ucapan.

Abdul Hadi Awang turut menurunkan tandatangan di replika poskad Agenda Berkebajikan Wanita Malaysia sebagai gimik perasmian Muktamar Muslimat PAS Pusat kali ke-52.

YDP MPS diarah tukar selepas bela kerajaan Selangor

Harakahdaily, 14 Nov 2012
SHAH ALAM: Selepas mempertahankan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor dalam isu kondo di Batu Caves, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin A'ala diarahkan bertukar.

Beliau diarahkan bertukar ke Institut Tadbir Negara (Intan) mulai esok, kata pegawainya di MPS.

Exco kerajaan tempatan kerajaan Selangor Ronnie Liu hari ini berkata, beliau mendapat maklumat bahawa Zainal telahpun diarahkan bertukar, lapor Malaysiakini.

Liu percaya arahan pertukaran itu dibuat ekoran kenyataan Zainal pada 30 Oktober lalu yang menafikan dakwaan BN bahawa projek kondominium Dolomite Park Avenue itu diluluskan semasa pentadbiran Pakatan Rakyat.

"Saya rasa sedih kerana kita akan kehilangan seorang YDP yang rajin dan telah membuktikan beliau boleh tangani isu-isu penting.

"Tapi sekarang tiba-tiba dia dapat arahan ditukarkan ke tempat lain. Jadi jangan salahkan saya kalau saya rasa ini merupakan satu tindakan yang luar biasa.

"Saya rasa tidak puas hati (dengan pertukaran) selaku ketua kepada kerjaan tempatan di negeri Selangor," katanya yang mendakwa mendapat tahu mengenai perkara itu pada Jumaat lalu.

Projek kondo di Batu Caves itu diluluskan oleh MPS pada tahun 2007. Namun, pemimpin BN termasuk Datuk Seri Najib Razak menyerang pemimpin Pakatan Selangor atas kelulusan itu.

Semasa sambutan Depavali semalam, Najib mengumumkan, kerajaan BN akan membatalkan projek kondo itu jika BN berjaya memerintah semula di Selangor.
Akhbar The Sun sebelum ini mendedahkan di  muka depannya bahawa minit mesyuarat MPS pada tahun 2007 lalu menunjukkan kondo itu diluluskan oleh MPS.

Turut serta dalam mesyuarat itu adalah Timbalan Menteri Luar sekarang, Kohilan yang mewakili Gerakan dalam MPS.

Turut meluluskan projek itu adalah tiga ahli majlis dari MIC.

Hijrah: Pilih manusia amanah pimpin negara

Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 14 Nov 2012
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan dunia amnya. Peristiwa hijrah adalah peristiwa besar yang memberi pengajaran bermakna kepada kita khususnya rakyat Malaysia dalam berdepan dengan pilihan raya.
Tindakan pertama Rasulullah SAW selepas hijrah dalam membangunkan negara Madinah ialah mendirikan masjid dan keduanya membina pasar. Kedua tindakan nabi ini adalah simbolik kepada pembangunan insan dan pembangunan ekonomi yang dititikberatkan dalam membina sesebuah negara. Masjid adalah tempat membangunkan manusia untuk bertaqwa kepada Allah dan menghubungkan manusia sesama mereka. Manakala pasar pula sebagai pusat kegiatan ekonomi yang kedua penting dalam membangunkan negara.

Sudah lebih setengah abad Malaysia merdeka dalam keadaan rasuah dan jenayahnya yang sangat parah. Ia telah merosakkan negara dan rakyat sehingga menjadikan negara dan rakyatnya mundur. Begitu juga dengan agihan ekonomi yang berlaku secara tidak adil. Yang kaya di kalangan kroni terus menerus menjadi kaya dan yang miskin terus miskin walaupun keras berusaha. Perkara ini tidak tepat dengan kehendak Islam.

Oleh itu mengambil semangat hijrah, perlu untuk kita berubah dengan meletakkan kepimpinan negara kepada manusia yang amanah yang bukan sahaja mampu membangunkan negara, tetapi amanah dalam pemerintahan dan adil layanannya kepada rakyat.

Di samping itu, kita sebagai individu Muslim juga mesti berubah ke arah yang lebih baik dalam amal ibadah dan kefahaman kita untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Semoga tahun baru hijrah ini akan membawa perubahan bermakna kepada seluruh dunia ke arah melihat dunia yang lebih adil dan terkeluar daripada kezaliman, peperangan dan penindasan yang banyak berlaku di masa ini.

Salam Maal Hijrah

YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Wanita DHPP jadi calon, tunjuk keadilan Islam

Salmiyah Harun, 14 Nov 2012

(Perwakilan Muslimat khusyuk mengikuti ucapan ketua mereka dengan melihat buku ucapan)

KOTA BHARU: Dewan Muslimat PAS Pusat mengajak rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat menjadikan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) khususnya wanita DHPP sebagai sebuah entiti penting untuk menunjukkan keadilan Islam kepada golongan Non Muslim di Malaysia.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, Muslimat yakin PAS mampu memimpin rakyat dalam membentuk gelombang perubahan dan kemakmuran yang telah ditawarkan oleh Islam sejak sekian lama bagi merealisasikan sebuah masyarakat yang adil dan harmoni bagi mendapat rahmat dari Allah swt.

Berucap dalam Muktamar Muslimat Kali ke-52, Zailah berkata, PAS yang kini bersama rakan dalam Pakatan Rakyat sudah bersedia bagi menggantikan UMNO Barisan Nasional yang masih lagi mengekalkan ketidakadilan dalam segala sudut perjuangannya sama ada dalam bidang sosial, politik, pemerintahan, ekonomi dan sebagainya.

Tegasnya, PAS dilihat sebagai Parti yang terbaik untuk menggantikan UMNO yang hampir 53 tahun memerintah negara, namun sehingga kini UMNO masih tidak dapat membawa prinsip keadilan kepada orang Melayu dan bukan Melayu dalam agenda perjuangan mereka.

"Kita percaya akan ada wakil DHPP yang dipilih untuk bertanding pada PRU 13 sebagaimana dalam PRU ke-12. Ini menunjukkan penghargaan kepada orang bukan Islam yang telah menaruh harapan dan keyakinan yang tinggi kepada PAS bagi membawa keadilan untuk seluruh rakyat di Malaysia.

"Hal ini kerana orang bukan Islam kini jelas bahawa Islam yang diperjuangkan oleh PAS adalah satu perjuangan yang mulia, bersih, adil lagi berakhlak," katanya di hadapan 624 perwakilan dari seluruh negara.

Tambahnya, komitmen PAS untuk menegakkan keadilan adalah satu agenda utama yang tidak pernah padam dalam prinsip perjuangan PAS sejak dari awal penubuhannya lagi.

"Hanya dengan meletakkan prinsip keadilan yang dibawa oleh Islam dalam segala sudut kehidupan maka segala permasalahan yang timbul di dunia ini akan dapat diselesaikan," katanya.

Pemuda PAS ucap tahniah kebangkitan anak muda

Nazri Abdullah, 14 Nov 2012

(Para perwakilan Muktamar Pemuda PAS mengikuti ucaptama Nasrudin.)

KOTA BHARU: Ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan pada Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-53 malam ini turut memberi penghargaan khusus kepada anak muda yang berani bangkit membela kepentingan rakyat.

Menyifatkan bahawa zaman ini adalah zaman kebangkitan anak muda, beliau berkata ianya dilihat terus mekar di bumi ini dengan berlakunya beberapa himpunan besar yang disertai anak muda dan tertubuhnya NGO yang juga dipelopori anak muda yang membawa suara rakyat.

Penghargaan khusus itu antara lain ditujukan kepada anak muda yang telah menyertai himpunan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0, di atas keberanian mereka turun menuntut keadilan sistem pilihan raya walaupun berdepan tindakan keras pihak berkuasa.

"Tabik pada anak muda! Keberanian ini sangat luar biasa, menepis segala ancaman, ugutan dan sekatan “syaitan yang dikenali”, berhimpun secara aman dan tertib sehinggalah pihak berkuasa di bawah kerajaan Umno dan BN merempuh dan membelasah anak muda yang tidak bersenjata," katanya.

Selain itu, penghargaan juga turut diberikan kepada anak muda yang menunjukkan kesungguhan menyertai program Xpresi Hijau Anak Muda anjuran DPPM sehingga menjadi menjadi kumpulan terbesar dalam himpunan raksasa pencinta dan penyokong PAS di seluruh negara.

"Lebih membanggakan apabila pelbagai lapisan golongan anak muda seperti intelektual, korporat, teknokrat, mat motor, mat cyber, artis, sasterawan, ahli sukan dan sebagainya dari kalangan anak muda kini secara terbuka menyatakan kebersamaan dengan PAS untuk merealisasikan cita-cita tajdid dan islah ke Putrajaya, dan Dewan Pemuda PAS menjadi pangkalan utama penghijrahan mereka  untuk bersama mendokong perjuangan PAS," kata Nasrudin lagi.

Pemuda PAS juga turut memberi pujian kepada NGO Royalti atau dikenali sebagai 'R' yang tidak kenal penat lelah menuntut bayaran royalti kepada Kelantan yang dinafikan sejak sekian lama.

"Biar putih tulang, jangan putih mata! Jangan merintih pulang, biar bertatih hasta.

"DPPM berkongsi tekad dengan anak muda dan seluruh rakyat Kelantan Darul Naim untuk meneruskan agenda menuntut Petronas mematuhi Perjanjian yang ditandatangani oleh Kerajaan Negeri dan Petronas pada 9 Mei 1975 dan menuntut agar royalti minyak dan gas Negeri Kelantan yang tertunggak sejak tahun 1990-an hingga sekarang (2012) dianggarkan minimum RM10.4 billion dipulangkan kepada empunya hak, iaitu Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim," tegasnya lagi.

Kebangkitan anak muda juga katanya boleh dilihat melalui Himpunan Oren yang dipelopori generasi muda Felda yang menentang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Isu FGVH katanya memberi impak yang besar kepada masa depan generasi Felda dan banyak keraguan yang munasabah dengan keputusan penyenaraian itu yang kini meyaksikan trend harga sahamnya merudum.

"Soalan kita, siapakah ‘tuan penasihat’ di sebalik penyenaraian ini? Apakah nasib generasi baru Felda? Apakah ini bermakna sudah tiada tanah rancangan baru untuk golongan ini usahakan? Apakah matlamat asal Felda untuk membasmi kemiskinan orang Melayu telah pun tercapai sebagaimana yang dicita-citakan?" soal Nasrudin.

"DPPM mengalung setinggi–tinggi penghargaan dan Syabas kepada seluruh krew Anak yang berjaya membuka mata ramai kalangan rakyat tentang perkara yang tidak kena dengan penyenaraian FGVH, khususnya kepada anak muda yang menjadi pemangkin Himpunan Oren Selamatkan Felda!," tegasnya.

Selebriti sertai PAS jadi cabaran kepada muslimat

Salmiyah Harun, 14 Nov 2012













(Zailah memberikan ucaptama di Muktamar Dewan Muslimat)

KOTA BHARU: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff mengalu-alukan kebersamaan selebriti wanita yang telah mengorak langkah untuk bersama dalam saf perjuangan muslimat pada hari ini.

Katanya, para muslimat juga hendaklah menerima fenomena ini sebagai satu cabaran yang perlu disambut dengan lebih berdaya maju dalam keperlbagaian pendekatan tanpa memutuskan tali ikatan akhlak yang menjadi penghias golongan muslimah.

"Saya menyeru para muslimat sekelian agar menyedari fenomena ini dalam lanskap gerakerja muslimat yang lebih terbuka dan kreatif.

"Kehadiran selebriti wanita bersama kita adalah satu kekuatan yang perlu kita manfaatkan bersama dalam menyebar luaskan konsep Islam sebagai ad-din kepada semua golongan wanita khususnya golongan remaja yang sering menjadikan selebriti sebagai idola mereka," katanya dalam ucaptamanya di Muktamar Dewan Muslimat.
Berada di dewan muktamar adalah para selebriti yang menyertai PAS termasuk Ebby Abadi.


Jelasnya, berdasarkan perbualan dengan beberapa responden, kebanyakan mereka menyambut baik penyertaan selebriti-selebriti menyertai PAS.

"Selain mampu mengubah persepsi rakyat yang sebelum ini takut menyertai PAS, ia juga dikatakan mampu menarik lebih ramai anak muda mendekati PAS," katanya.

Tambahnya, mereka menghadiri program-program PAS dan ada juga yang memilih untuk menjadi  ahli parti ironinya, kemunculan mereka di pentas-pentas PAS membawa satu mesej yang begitu penting kepada masyarakat.

Penerimaan mereka terhadap PAS, katanya telah menjadikan parti Islam  berjaya mengubah pandangan masyarakat kononnya PAS hanya sebuah parti yang sesuai untuk golongan agama, atau parti yang menolak hiburan.

Malah, katanya, penglibatan selebriti ini juga selaras dengan slogan 'PAS For All', yang tidak mengira latar belakang.

"Kini sudah berubah artis dan kakitangan kerajaan juga tidak lagi takut untuk menyatakan sokongan mereka terhadap PAS.

Persoalannya, sejauhmanakah penglibatan mereka ini memberi impak kepada Pakatan Rakyat, khususnya PAS? Lebih-lebih lagi di saat menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang," katanya.

PAS mahu wujudkan nurseri selepas berjaya dengan Pasti

Salmiyah Harun, 14 Nov 2012


(Zailah memberikan ucaptama di Muktamar Dewan Muslimat)

KOTA BHARU: Selepas berjaya dengan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), PAS melalui Dewan Muslimatnya bercadang untuk menubuhkan institusi nurseri pula.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff menyarankan agar muslimat cawangan dan kawasan mengambil inisiatif menubuhkan nurseri yang berdaftar atau membantu mengasuh anak-anak yang ibu bapa mereka bekerja.

"Jika kita sudah ada institusi Pasti yang merupakan pusat pendidikan awal kanak-kanak, tidak mustahil PAS mempunyai pusat asuhan kanak-kanak atau nurseri yang mengenakan kadar perkhidmatan yang berpatutan dan selari kehendak syariah dan mematuhi undang-undang," katanya.

Tambahnya, ini merupakan inisiatif yang boleh diambil hasil penerapan taaruf, tafahum dan takaful ialah membantu mengatasi masalah kekurangan pembantu rumah.

Jelasnya, masalah ini merupakan dilema utama yang dihadapi oleh ibu-ibu sekarang kerana Kos mengambil pembantu rumah mahal manakala untuk menghantar anak ke nurseri juga memakan kos yang tinggi.

"Apatah lagi dengan beberapa kes yang dilaporkan tentang kecuaian penjaga di nurseri, ini sudah cukup menimbulkan kebimbangan dalam hati ibu-ibu yang bekerja.

"Muslimat di peringkat cawangan dan kawasan boleh menyediakan satu aktiviti santai bersama pembantu-pembantu rumah dan pekerja nurseri dengan kerjasama majikan mereka untuk membincangkan soal-soal berbangkit hal kebajikan kedua-dua pihak," katanya.

Beliau juga menekankan agar muslimat menjadikan amalan ziarah menziarahi sebagai aktiviti rutin mereka dalam usaha mempelbagaikan pendekatan dakwah yang didokong selama ini.

"Muslimat perlu membina jaringan maklumat setempat supaya masalah golongan yang kurang bernasib baik cepat sampai ke pengetahuan pihak berkuasa," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan