Sabtu, 17 November 2012

ALLAH TELAH TAWARKAN ISLAM...TERIMALAH...TAATLAH AGAR SELAMAT SERTA SEJAHTERA DIDUNIA DAN DIAKHIRAT...BERIBADAT SERTA BEKERJALAH SEMATA2 INGINKAN KEREDAAN DAN KERAHMATAN ALLAH...MAKA SYURGA ALLAH TELAH JANJIKAN...MAKA BEKERJALAH UNTUK ALLAH SAJA BUKAN SELAIN DARI ITU.

30 ribu berhimpun di Stadium Sultan Muhamad

Nazri Abdullah, 16 Nov 2012

(Stadium Sultan Muhamad penuh sesak)

KOTA BHARU: Stadium Sultan Mohamad Kota Bharu mulai penuh dengan para penyokong Pakatan Rakyat yang menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat.

Himpunan anjuran Pakatan Rakyat ini adalah siri kedua selepas himpunan di Senawang, Seremban awal bulan ini.

Himpunan kali ini diadakan serentak dengan Muktamar tahunan PAS ke 58 yang diadakan di sini.

Dianggarkan pada ketika ini sudah lebih 30,000 berada di padang stadium dan kawasan tempat duduk sementara ribuan lagi sedang masuk ke dalam stadium.

Kebangkitan malam ini juga bakal sekali lagi menyaksikan sejarah dicipta di stadium penuh keramat ini apabila beberapa tokoh besar juga turut hadir.

Antara pemimpin besar Pakatan Rakyat yang dijangka akan memberi ucapan termasuk Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Suasana dalam stadium ketika ini dipenuhi dengan empat warna kebangkitan rakyat iaitu oren, merah, hijau dan kuning.

Oren mewakili gerakan menyelamatkan Felda oleh Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak), merah mewakili perjuangan NGO 'R' menuntut hak bayaran royalti dan pendaratan minyak dan gas di Kelantan, hijau mewakili gerakan menyelamatkan alam sekitar dan anti-Lynas dan kuning mewakili perjuangan Bersih yang menuntut pilihan raya adil dan bersih.

Selain daripada warna dari pakaian yang dipakai, setiap hadirin juga turut diagihkan bendera mewakili keempat-empat warna tersebut.

Malam ini juga kesemua wakil-wakil NGO tersebut diberi peluang berucap memberikan penerangan berhubung perkembangan terkini isu-isu yang diperjuangan mereka.

Perhimpunan malam ini juga dibuat bersempena berlangsungnya Muktamar PAS kali ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) yang bermula hari ini hingga Ahad nanti.

Perhimpunan bermula sejak petang tadi apabila pelbagai acara hiburan dan ringan diadakan di perkarangan stadium dan di sekitar bandar Kota Bharu.

Perarakan bermotor NgO 'R' mengelilingi stadium kira-kira jam 3 petang.

Selepas itu persembahan kesenian diadakan di situ termasuklah tarian singa dan lain-lain permainan tradisi.

Ucapan dalam Kantonis dan Tamil tarik perhatian

Hazayani Zakaria I foto Rizal Tahir, 16 Nov 2012


(Tiga pimpinan utama PAS ketawa besar dengan celoteh perwakilan Gombak)

KOTA BHARU: Perwakilan dari Gombak, Selangor, Salahuddin Nasir mencuit hati sidang Muktamar Tahunan PAS Kali ke-58 hari ini apabila berucap dalam bahasa Kantonis dan Tamil.

Beliau berucap dalam bahasa Kantonis dan Tamil kira-kira lima minit dan mendapat tepukan gemuruh para perwakilan, pemerhati dan pimpinan PAS.

Bagaimanapun, apabila Timbalan Pengerusi Tetap, Hussein Ismail bertanya maksud ucapannya, Salahuddin secara berseloroh menyuruh beliau bertanya sendiri kepada wakil Cina dan India.

Ucapan dalam kedua-dua bahasa itu sebagai meraikan kehadiran wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) ke muktamar yang berlangsung di Putik itu.

"Hasil usaha yang dilakar bersama maka terbina DHPP dan selangor merakamkan ucapan terima kasih kepada wakil DHPP yang hadir bersama hari ini. Oleh itu, saya akan menyampaikan ucapan dalam bahasa Kantonis dan Tamil," kata Salahudin (gambar).

Beliau dalam pada itu secara serius menyeru ahli ikhlas memberikan sokongan kepada PAS dan meminta golongan yang mempunyai agenda tersembunyi meninggalkan PAS.

"Ahli-ahli parti terlebih dahulu mesti memberi wala' kepada pimpinan dan jemaah.

"Kita tidak mahu ahli PAS yang berada dalam jemaah tapi memberi wala' kepada yang lain dari PAS.

"Orang yang seperti ini kita harap angkat kaki dan tinggalkan PAS. Kita tidak perlu orang seperti ini," tegasnya.

Beliau turut mengingatkan ahli agar tidak menjadikan Putrajaya sebagai matlamat akhir tapi hanya wasilah untuk menegakkan Islam.

"Ingatan saya, Putrajaya bukan matlamat tapi wasilah. Matlamat kita menegakkan Islam di atas runtuhan kemungkaran," katanya.

Siap hadapi 'taufan wang' - Presiden PAS

Hazayani Zakaria, 16 Nov 2012

(Para tetamu, perwakilan dan pemerhati Muktamar PAS ke 58 di Putik, Pengkalan Chepa, Kelantan)

KOTA BHARU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggesa ahli parti melakukan tindakan secara terancang bagi melawan serangan "taufan wang" yang bakal digunakan Umno BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Beliau berkata, PAS akan berdepan dengan ujian getir iaitu rakyat dipujuk dengan wang, projek dan sebagainya, selain daripada pelbagai cara penipuan yang menjadi senjata utama Umno BN.

"Petugas PAS perlu banyak bersabar dan kekal bersiap sedia walaupun terganggu oleh strategi BN melambat-lambatkan PRU, sebab penundaan tarikh-tarikh PRU adalah sememangnya strategi BN untuk menurunkan moral serta melemahkan kedudukan kewangan kita, selain dari mereka juga cuba memancing isu yang akan memerangkap kita.

"Sepanjang tempoh ini jugalah, kita akan berdepan dengan tiupan api perkauman dan ketegangan oleh media arus perdana yang menjadi perkakas dalam mempertahankan kerakusan kerajaan Umno BN. Teguhlah dengan jemaah, nescaya kita akan terus selamat dan mampu menghadapi dengan cabaran ini," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-58 yang bertema 'Negara Berkebajikan Teras Perpaduan' di Putik, dekat sini, hari ini.

Dewan Putik penuh sesak dengan perwakilan dan pemerhati yang datang dari seluruh negara untuk mengikut dan menyertai muktamar terakhir menjelang pilihan raya umum ke 13.

Terdahulu, Ustaz Hadi menerima tabik hormat dari pasukan Unit Amal serta dipersembahkan dengan kawad kaki dari Briged Amal.


Persiapan rapi


Ustaz Hadi turut meminta ahli membuat persediaan rapi menjaga Parlimen atau Dun masing-masing bagi menghadapi musuh yang amat licik.

Tambah beliau, petugas juga perlu bersedia menangani kedatangan orang-orang Melayu khususnya golongan muda yang sudah berubah tetapi tidak menzahirkan sokongan kerana menghormati ibu bapa mereka yang masih menyokong Umno.

"Sikap orang muda sekarang amat berbeza dengan generasi terdahulu. Fahamilah, bahawa mereka tidak suka ceramah yang mencaci-cela orang, mereka menyokong PAS tetapi tidak mahu menjadi ahli, mereka mahukan pimpinan PAS memperincikan agenda-agenda yang dijanji dan dan bukan sekadar retorik, mereka cepat cakna perkembangan semasa kerana sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain menerusi facebook, blog, sms dan lain-lain," katanya.


Kerusi





Selain itu katanya, PAS juga harus memenangi sebanyak mungkin kerusi yang diamanahkan kepada parti itu dengan keutamaan mempertahankan semua kerusi Parlimen yang telah dimenangi dalam PRU 2008 (24 kerusi).

"Kerusi parlimen yang lain akan diberikan suntikan kerja yang tersusun dengan disokong oleh pimpinan pusat yang diamanahkan tugas tumpuan ini, semua parlimen yg ditandingi PAS di Sabah dan Sarawak akan juga diberi tumpuan khusus bagi menjamin kemenangan bersama," katanya lagi.

Justeru tegasnya,  media parti seperti Harakah dan Harakahdaily bersama-sama jentera penerangan parti mesti bertindak membentuk fikrah dan menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti yang telah distrategikan.

"Tempoh yang ada ini wajar dimanafaatkan sepenuhnya untuk menyampaikan maklumat pencapaian pemerintahan kerajaan kita kepada ahli-ahli kita, yang kemudiannya akan menyampaikannya kepada rakyat yang menjadi pengundi senyap dalam pilihanraya. Konsep mendahulukan kebijaksanaan daripada kemusnahan atau kemarahan hendaklah diutamakan," katanya.

Memandangkan pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya yang melibatkan perang siber, persiapannya bukan lagi seperti pilihan raya yang pernah dilalui sebelum sebelum ini.

Sebaliknya, petugas di semua peringkat mesti melakukan reformasi cara bekerja dengan menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutamanya dalam menghadapi fenomena perang siber menerusi media baru ICT sekarang ini.

"Kerjasama penerangan dan ICT perlu diperkukuhkan segera untuk menghadapi PRU-13 ini dengan mewujudkan satu urusetia berkaitan media baru sebagaimana yang diresolusikan dalam Persidangan ICT dan Media Baru 2011 pada tahun lepas.

"Saya menyeru kepada semua pimpinan PAS terutamanya yang terlibat dengan Lajnah Penerangan dan Jabatan Pilihanraya disemua peringkat melihat potensi ICT dan Media Baru ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan kempen dan dakwah melalui laman sesawang, youtube, facebook, twitter, webtv, selain dari ceramah dan bahan-bahan media cetak," katanya.

Tindakan tegas kepada duri dalam daging

Salmiyah Harun, 16 Nov 2012
PENGKALAN CHEPA: Perwakilan Perak meminta PAS mengambil tindakan tegas kepada kepimpinan yang menjadi 'duri dalam daging'.

Wakilnya Razman Zakaria (gambar) berkata, mereka yang disifatkan 'duri dalam daging' ini sedikit sebanyak akan menyukarkan PAS untuk mencapai matlamat dan tujuannya.

Ketika membahaskan ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, beliau juga berharap PAS lebih berani dalam membuat keputusan diluar kotak agar diyakini oleh semua kaum.

Malah katanya, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) juga hendaklah diperkasakan dengan memberi latihan kepimpinan bagi memperkuatkan sayap parti PAS ini.

"Dalam memperkasakan dominasi dewan masing-masing perlu ditangani dengan cermat, dewan-dewan lebih menonjolkan ikon yang berkebolehan bagi menyaingi parti lawan," katanya.

SAMM sokong isytihar harta, minta semua calon ikut

Harakahdaily, 16 Nov 2012

KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengucapkan tahniah di atas komitmen Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS untuk mengistiharkan harta sebelum menyertai PRU 13 jika dinamakan oleh parti sebagai calon.
Komitmen beliau telah ditegaskan melalui ucapan dalam Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS ke 53 di Kelantan beberapa hari lalu.

"Tindakan berani ini perlu kerana PRU dan pentadbiran negara masa mendatang ini memerlukan komitmen tinggi pemimpin dan ahli politik yang telus dan penuh berintegriti," kata ketuanya, Badrul Hisham Shahrin (gambar).

SAMM, katanya, menyeru rakyat atau pengundi menjadikan pengistiharan harta ini sebahagian syarat wajib untuk mendapatkan undi rakyat.

Beliau seterusnya menyeru rakyat agar bangkit menolak pemimpin calon yang tidak mengistiharkan hartanya.

Pengistiharan harta juga perlu dibuat secara serius dengan turut mengumumkan harta calon, isteri, anak dan saudara terdekat.

"Ini penting dan mengelakkan salah guna kuasa dan rasuah," kata beliau.

Menurutnya, ramai ahli politik yang menjadi kaya mendadak walaupun baru sahaja memegang jawatan tertentu dalam pentadbiran negara.

"Baik BN atau PR selepas mengistiharkan harta sebelum PRU maka apabila ingin memasuki PRU berikutnya, rakyat boleh menilai berapa banyak laba yang diperolehi apabila duduk sesuatu jawatan atau mandat yang diberikan rakyat.

"Tanpa menafikan sememangnya bukan sedikit mereka yang dahulunya hidup sederhana malah susah tetapi selepas PRU meraih laba yang melampau apabila duduk mengalas sesuatu amanah yang diberi rakyat," tambahnya.

Rakyat juga, katanya, perlu menilai kejujuran dan kebenaran harta yang diistiharkan dan keadaan semasa kehidupan seseorang bakal calon.

"Mekanisma isytihar harta mungkin ada kelemahan tetapi yang penting wajib istihar dan rakyat akan melihat betapa serius kita melakukannya demi menjamin pentadbiran yang berintegriti.

"Sama ada ia inisiatif SPR menjadikan ia perkara wajib, atau usaha parti politik mahupun individu, yang pastinya rakyat harus menjadikan pengistiharan harta sebagai satu kriteria wajib sebelum memilih calon," katanya.

1,000 demo bantah serangan Israel ke atas Gaza

Muhammad Faizal, 16 Nov 2012

(Demo bantah kekejaman Israel di depan pejabat kedutaan Amerika)

KUALA LUMPUR: Lebih seribu orang menyertai himpunan bantah serangan dan kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap Gaza.

Demostrasi aman yang bermula di Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat kemudiannya berarak dan berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika disertai oleh Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institut Pendidikan Malaysia (Haluan Malaysia) dan Aqsa Syarif.

Timbalan Presiden Ikram, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom yang mewakili badan-badan bukan kerajaan (Ngo) bagi menyerahkan memorandum kepada wakil pihak kedutaan itu memberitahu Amerika Syarikat perlu memainkan peranan untuk menghentikan ketegangan yang berlaku di Gaza.

"Kita terkejut dengan ketegangan yang semakin meruncing telah berlaku antara Israel dan Gaza.

"Serangan berterusan Israel ke atas penduduk Gaza jelas kejam, malah pendiri yang dikeluarkan oleh Israel jelas angkuh yang mana mereka ini meneruskan pencerobohan serta mengisytiharkan perang terhadap penduduk Gaza," jelasnya selepas menyerah memorandum.

Beliau yang pada masa yang sama turut meminta agar Amerika tidak menjadi boneka kepada Israel dan bersikap berat sebelah dalam isu ini.

Baginya, sebagai kuasa besar dunia, Amerika perlu perlu menjadi orang tengah dalam mencari jalan penyelesaian kepada isu Palestin.

Peserta himpunan aman itu telah bersurai pada kira-kira jam 3.30 petang tanpa ada sebarang provokasi dan mendapat kawalan yang baik dari pihak polis.

Rabu lepas, tentera Israel telah mengebom bandar Gaza Palestin pada malam tahun baru Islam dalam satu misi khas yang dinamakan 'Pillar of Defence' yang sehingga kini membunuh 15 orang termasuk seorang pemimpin kanan Hamas.

Israel melancarkan serangan tersebut kira-kira jam 10 malam (waktu Malaysia) pada Rabu.

Selain serangan udara, serangan roket juga dilancarkan dari kapal tentera laut Israel ke penempatan masyarakat Palestin di Gaza.

PAS tawar 4 cara memulihkan ekonomi

Harakahdaily, 16 Nov 2012

(Presiden PAS menyampaikan ucapan dasar)

KOTA BHARU: Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menawarkan empat pendekatan untuk memulihkan ekonomi yang sudah dirosakkan BN.

Ia perlu dilakukan untuk mengelakkan negara dari muflis.

“Melaksanakan transformasi ekonomi ala Kerajaan BN untuk setanding dengan negara yang kaya di dunia Barat juga, bukanlah ukuran yang rakyat inginkan.

"Nilai ringgit yang ada pula makin menyusut, sehingga duit bertimbun yang dimiliki tidak memberi apa-apa makna lagi,” tegas Abdul Hadi dalam ucapan pembukaan Muktamar PAS ke 58.

Yang pertama, kata Ahli Parlimen Marang itu,  PAS akan membetulkan falsafah ekonomi sedia ada kepada yang lebih adil dan memakmurkan.

“Dalam hal ini, dasar fiskal mahupun monetari yang adil sifatnya, mesti digunakan sebaiknya untuk memacu pertumbuhan,” terang beliau.

Abdul Hadi turut menyatakan bahawa PAS berhasrat membetulkan perlaksanaan ekonomi dengan bersendikan akhlak dan perkiraan dosa-pahala, akauntabiliti yang holistik, undang-undang yang mampu mencegah, dan seterusnya mencegah pembaziran, ketirisan, penyelewangan serta rasuah.

Yang ketiga, PAS, katanya akan membuat penilaian menyeluruh terhadap hasil negara, supaya pengurusan warisan khazanah negara ini dimanafaatkan dengan lebih telus dan adil untuk semua rakyat.

“Keempat - menolak diskriminasi, di mana dasar ekonomi dan sifat kebajikannnya dilaksanakan tanpa mengira kaum, agama ataupun fahaman politik – negeri - wilayah; dengan merujuk kepada keadilan Islam yang sebenar,” kata Abdul Hadi.

Ini sekaligus, katanya akan menolak amalan kronisme dan monopoli pasaran tempatan, dengan memperkenalkan akta-akta bagi mengikat kewujudan “kartel‟ yang bertindak menekan rakyat.

Ambil iktibar ucapan dasar Presiden PAS - Wan Azizah

Salmiyah Harun, 16 Nov 2012
PENGKALAN CHEPA: Presiden PKR Datuk Wan Azizah Wan Ismail (gambar) mengambil iktibar dari ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang memberikan gambaran yang luas merangkumi semua aspek.

Beliau berkata, Tuan Guru Abdul Hadi banyak menyentuh isu-isu semasa yang sepatutnya ditangani oleh semua pihak khususnya membabitkan pergolakan umat Islam di luar negara.

"Misalnya isu Palestin yang semakin bergolak, Filipina dan Rohingya," katanya ketika ditemui di khemah perkarangan Putik.

Beliau turut memberi sokongan terhadap seruan Presiden PAS yang mengajak para petugas PAS serta Pakatan Rakyat agar bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya.

"Sama-sama kita akan dapat kemenangan, kita akan ubah kepincangan-kepincangan yang berlaku dalam pemerintahan hari ini," katanya.

Wan Azizah juga memuji penegasan Abdul Hadi berhubung konsep Negara Berkebajikan yang menyifatkan konsep itu merangkumi aspek perpaduan yang akan membawa negara ini ke arah yang lebih adil dan saksama.

Bahkan, jelasnya, konsep ini turut diketengahkan di peringkat Pakatan Rakyat dan sudah mempunyai mekanisma bagaimana hendak mentadbir negara dalam konsep yang dibawa oleh PAS.

Sorakan peperangan


Sementara itu, Pengerusi Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia, Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh menyifatkan ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai sorakan peperangan khususnya kepada jentera parti bagi menghadapi pilihan raya nanti.

Beliau yang mengikuti Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 yang berlangsung di Putik berkata kandungan ucapan dasar itu cenderung kepada persiapan pilihan raya walaupun ia hanya disebut dihujung ucapan.

Katanya, di awal ucapan Presiden PAS menggariskan semula konsep Negara Berkebajikan sebagai teras kepada perjuangan parti itu.

"Saya menjangkakan ucapan lebih kepada membuat persediaan pilihan raya, jadi kali ini agak berbeza, mungkin ramai yang berandaian begitu, nampaknya tidak begitu.

"Saya rasa itu bukan perkara tidak baik, bagi saya asas kena kuat dan asas itu berbalik kepada kebajikan, ikhlas, jujur perjuangan Islam dan ilmu menjadi perkara penting," katanya ketika ditemui.

Jelasnya, konsep Berkebajikan yang diketengahkan ini adalah asas kepada Islam iaitu agama yang adil malangnya konsep itu disalah ertikan oleh sesetengah pihak.

"Pentingnya adalah keadilan itu untuk semua dan keadilan itu untuk ada hubung kait dengan kezaliman, perkara perkara inilah ia menjadi asas bagi PAS,"katanya.

Media beri tumpuan

Dalam pada itu, AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mendakwa, media Umno memberi tumpuan kepada Muktamar PAS kali 58 di PUTIK pada 16-18 Nov 2012.

Hajat untuk melihat PAS berpecah dan mencadangkan supaya perwakilan membangkitkan masalah kerjasama PAS dengan PR insyaAllah tidak berhasil, sebaliknya hubungan semakin intim, katanya.

Bagi beliau, kritikan dan cadangan yang konstruktif adalah lumrah di dalam setiap kali Muktamar PAS.

"Muktamar bukan pesta mengampu pemimpin tetapi ia adalah medan muhasabah antara pemimpin dan perwakilan," katanya.

Bagi beliau, ini adalah muktamar terakhir sebelum menghadapi PRU 13 dan memacu gerak kerja pilihanraya lebih agresif.

Amanat Presiden dengan tema Negara Berkebajikan Teras Perpaduan amat bermakna sekali kepada semua pemimpin dan perwakilan, katanya.

Ucapan yang bersifat holistik, samaada dalaman atau luaran.

"Arahan yang begitu jelas kepada semua yang  hadir begitu teruja sekali terutama memastikan semua jentera parti menumpukan kerja pilihanraya yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi," katanya.

Arahan Presiden kepada pimpinan dan ahli PAS

Harakahdaily, 16 Nov 2012
KOTA BHARU: Sempena Muktamar Tahunan PAS Kali ke-58 yang merupakan muktamar terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengeluarkan arahan khusus kepada ahli dan pimpinan parti itu.

Tujuh arahan tersebut ialah:

1. Mengarahkan semua petugas, ahli dan pimpinan PAS untuk sentiasa menggenggam matlamat perjuangan untuk Islam, memurnikan fikrah perjuangan, tidak leka, tidak melaksanakan perkara yang merugikan perjuangan, seterusnya tidak mencelarukan fikrah dengan urusan yang tidak penting.

2. Mengarahkan agar semua jentera parti : dewan - dewan, lajnah, negeri untuk menumpukan perhatian kepada kerja pilihanraya, dengan ikrar untuk mempertahankan negeri yang ditadbir menerusi muafakat Pakatan Rakyat, dan seterusnya melebarkan ke negeri lain, hinggalah ke pemerintahan Pusat.

3. Menyeru kepada semua Kerajaan negeri di bawah PAS bersama Pakatan Rakyat - menggunakan masa yang tinggal ini untuk menyelesaikan urusan rakyat, teruskan kerja kebajikan; tanpa meninggalkan gerakerja parti hingga ke peringkat bawah dalam masyarakat.

4. Mengarahkan kepada semua pihak dalam parti, supaya berada di tahap bersiap-siaga yang paling tinggi untuk menghadapi Pilihanraya umum ke-13 – di mana kita akan berdepan dengan mainan nakal serta provokasi media dan BN yang terus menerus melaga-lagakan pimpinan PAS ke tahap yang tidak dapat kita bayangkan, akan terus memporak-perandakan PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat sebagai langkah untuk melemahkan saf dan semangat kita. Jangan mundur, jangan terkeliru. Dengarlah panduan dan kenyataan rasmi yang diberikan oleh pimpinan tertinggi dari masa ke semasa. Semua pihak dalam parti perlulah mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang meremehkan kita di hadapan rakyat.

5. Mengarahkan kepada semua pihak dalam parti supaya melaksanakan tugas pilihanraya masing-masing dengan penuh hikmah, mengajak rakyat untuk berubah - bukan memusuhi rakyat, bertemu, bercakap dan menulislah dengan bahasa yang difahami oleh mereka, semuanya dengan penuh keikhlasan untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

6. Mengarahkan kepada semua saf kepimpinan dan ahli, marilah sama-sama kita mengeratkan ukhuwwah sesama kita, dan terus memperkukuhkan hubungan hablun minallah semua petugas dan ahli PAS sebagai senjata yang akan menguatkan semangat berjuang, tidak mundur, dan memohon pertolongan dari Allah SWT serta bertawakkal kepada Nya. Suasana menghadapi pilihanraya janganlah menjadi penghalang kepada memperbanyakkan amal ibadat, solat, puasa sunat, bermunajat yang akan menjadi benteng dalam perjuangan kita ini kerana kemenangan Islam adalah kurniaan Allah SWT.

7. Marilah pada hari ini, kita sama-sama memahami tema muktamar kali ini, serta menyusun gerakerja dan strateginya nanti dalam semangat tema muktamar NEGARA BERKEBAJIKAN TERAS PERPADUAN.

Tahaluf Siyasi: PAS pada landasan betul

Hazayani Zakaria, 16 Nov 2012
KOTA BHARU: Majlis Syura Ulama PAS sentiasa memantau perjalanan parti itu agar tidak lari dari landasan perjuangan sebenar.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din berkata, ianya termasuklah berkaitan tahaluf siyasi.

"Majlis Syura Ulama sentiasa berbincang dan melihat hala tuju PAS berada dalam landasan yang betul," kata beliau di Muktamar Tahunan PAS kali Ke-58 di Putik hari ini.

Beliau juga berkata, setiap perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama dibincangkan dengan teliti sehingga semua ahli berpuas hati dan bersetuju dnegan keputusan yang dibuat.

Namun katanya, adalah sesuatu yang menghairankan apabila ada sesetengah ahli yang mengeluarkan kenyataan kepada media seolah-olah tidak bersetuju dengan keputusan mesyuarat.

"Dalam mesyuarat seperti tak ada pertelingkahan tapi dalam sidang media ada terdengar suara-suara yang seolah-olah tak setuju dengan keputusan Majlis Syura.

"Tetapi orang-orang seperti ini tak pernah beri pandangan begitu dalam mesyuarat tapi di luar mesyuarat perkara itu timbul.

"Pandangan-pandangan individu kadang-kadang terbawa-bawa di luar mesyuaratdan mungkin ada sedikit perbezaan pendapat yang tidak perlu diperbesar," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan Perwakilan Kalabakan,  Kasman Karate dalam pembentangan laporan tahunan PAS petang ini.

Kasman dalam soalannya berkata, terdapat perkara yang sudah diputuskan oleh Majlis Syura tetapi ada ahli Majlis Syura sendiri yang seakan-akan tidak bersetuju dengan keputusan mesyuarat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan