Rabu, 24 Oktober 2012

KECAM OK LAGI...TAPI BAGAIMANA KALAU LAKNAT YANG DATANG DARI ALLAH...MAKA AKAN DICAMPAK SEBURUK2 TEMPAT DINERAKA KELAK

200 demo bantah Chua Soi Lek di depan Wisma MCA

Salmiyah Harun, 24 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Lebih 200 umat Islam hari ini berhimpun secara aman  di hadapan Wisma MCA, Jalan Ampang, bagi membantah kebiadaban Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menghina agama Islam.

Mereka yang terdiri daripada perbagai latar belakang termasuk wakil NGO Islam hadir bagi menyatakan rasa tidak senang mereka dengan sikap MCA yang tidak berhenti-henti menghina agama Islam.

Himpunan hari ini adalah anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Dewan Ulamak PAS Pusat. Ia hanya dirancang semalam oleh mereka dan berkumpul di sana hari ini.

Mereka membawa sepanduk dan poster mengecam tindakan pemimpin MCA itu yang didakwa tidak tahu menjaga sensitiviti umat Islam.

Ianya berikutan kenyataan Soi Lek yang menyerang Islam habis-habisan dan secara berterusan.

Terbaru, beliau mendakwa negara yang melaksanakan hudud adalah negara yang paling tinggi gejala rasuahnya.

Sementara itu, PAS turut menggesa Soi Lek memohon maaf kepada seluruh umat Islam di atas kata-kata penghinaan yang telah dikeluarkan beliau.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad yang turut mengetuai himpunan itu berkata, pihaknya juga akan membawa isu itu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja dalam masa terdekat.

"Kita mendesak supaya MCA memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan kita akan bawa isu ini kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Bagi kami, kalau MCA nak belajar Islam, jangan belajar dengan Umno, tapi belajar dengan PAS," katanya kepada wakil media.

Beliau turut mengecam sekeras-kerasnya kebiadaban Soi Lek yang seolah-olah buta mata dan hati sanggup menghina agama Islam kerana kepentingan politik.

"Allah sudah sebut jangan sekali-kali engkau menghina berhala orang lain, tetapi MCA pula mengajar masyarakat lain supaya biadap kepada Islam," katanya sambil diikuti laungan takbir.

Beliau menyeru orang Melayu agar menolak MCA dan Umno dalam pilihan raya akan datang.

Seramai lima orang dilihat masuk menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil MCA di perkarangan pejabat pergerakan itu.

Selain Ustaz Idris, turut mengiringi semasa penyerahan itu termasuklah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairul Faizi Ahmad Kamil, Exco Pemuda Adram Musa serta Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Turut serta dalam bantahan itu, pengarah, penerbit dan juga pelakon terkenal Adam Hamid serta bekas pelakon terkenal siri Gerak Khas, Abby Abadi.

Sementara itu Khairul Faizi melahirkan kekecewaan apabila rombongan mereka untuk menghantar memorandum kepada Soi Lek hanya diterima oleh Setiausaha Kerja Pemuda MCA.

"Bukan itu sahaja, kami hanya dilayan di hadapan tangga bangunan ini , hari ini beliau sudah buktikan beliau biadap," katanya dalam sidang media selepas selesai berhimpun.

Bahkan katanya, jika MCA tidak memohon maaf kepada umat Islam negara ini dalam masa satu minggu pihaknya akan mengadakan himpunan yang lebih besar dari hari ini.

"Kami sanggup gadai nyawa kami demi Islam," tegasnya sambil menyifatkan MCA parti yang wajar ditolak oleh rakyat dalam PRU-13 kerana mengamalkan sikap perkauman yang melampau.

Himpunan yang berlaku hampir sejam itu turut mencuri perhatian awam dengan laungan takbir, hidup Islam, hancur kezaliman, berulang kali oleh peserta yang hadir.

 

 

Mahasiswa turut kecam Chua Soi Lek

Ahmad Fatihi Makhtar,
1. Hidup orang sakit tidak sama dengan orang yang sihat. Orang yang sakit lebih-lebih lagi sudah parah akan sentiasa meracau dan mengamuk tidak tentu hala. Tambahan pula sakitnya makin kronik dan menuju ke penghujung usia.
2. Kenyataan-kenyataan MCA akhir-akhir ini menggambarkan secara jelas parti perkauman Cina tersebut  berada dalam kritikal dan kronik. Masa depan orang yang sakit ini makin gelap dan harapan untuk sembuh kembali sudah tipis.
3. Apabila berada pada tahap ini, makan dan minum perlu disuap, kalau hendak bergerak perlu diangkat, organ-organ dah hilang keupayaan untuk berfungsi, mata dah kabur, perlukan alat bantuan pernafasan dan perlu dimasukkan dalam wad ICU dan CCU.    

Kenyataan Negatif MCA Mencemarkan Keharmonian Negara

1. Walaupun sudah lebih 55 tahun usia MCA bersahabat baik dengan Umno yang dikatakan memperjuangkan Islam dan Melayu, MCA seolah-olah terlalu jahil akan Islam dan masih tebal suntikan sentimen anti-Islam.
2. Selepas lebih 55 tahun bersahabat dengan Umno, MCA masih lagi tidak pandai untuk menghormati orang Islam dan hak-hak kewajipan orang Islam.
3. Kenyataan tidak berfikir panjang oleh Chua Soi Lek yang mengatakan jika hukum hudud dilaksanakan menyebabkan 1.2 juta rakyat negara ini akan kehilangan pekerjaan akibat permis tempat mereka berkerja seperti kelab malam, perjudian dan sebagainya ditutup adalah tidak wajar. Jelas sekali pernyataan Chua Soi Lek itu merupakan kenyataan hasutan dan tidak wajar dilakukan oleh seorang pemimpin besar parti. Kenyataan sebegini menggambarkan Chua Soi Lek tidak layak untuk menjadi pemimpin kepada Malaysia yang mempunyai kepelbagaian agama.
4. Dalam ucapannya di perhimpunan Agung MCA ke-59 yang berlangsung 20 – 21 Oktober 2012 pula, Chua Soi Lek berkata, Lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.
5. Salah faham terhadap Islam makin ketara dalam kalangan pemimpin MCA apabila Naib Pengerusi Wanita MCA, Heng Seai Kie mendakwa PAS membenarkan merogol wanita bukan Islam sekiranya mereka tidak mematuhi kod etika pakaian Islam.

Mahasiswa Kurang Yakin Dengan Peranan Umno
1. Sebenarnya MCA mempunyai peluang lebih luas untuk mengenali juzuk-juzuk Islam berbanding dengan DAP. Bukankah usia MCA bersahabat dengan Umno yang menjadi kerajaan sudah lebih 55 tahun.
2. Umno yang menjadi kerajaan Malaysia sebenarnya mempunyai peluang dan ruang yang banyak untuk menyampaikan mesej-mesej dakwah Islam. Institusi-institusi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan-yayasan Dakwah, Pusat Tamadun Islam dan Institut Kefahaman Islam, Majlis Agama Negeri, Mufti dan ILMU banyak lagi organisasi-organisasi Islam yang bernaung dibawah kerajaan tidak mampu untuk menyampaikan mesej yang jelas tentang Islam. Mahasiswa risau sekiranya institusi ini hanyalah dijadikan benteng pelindung kepada Umno dan hanya menjadi alat untuk Umno untuk melancarkan peluru kepada lawan politik.
3. Sepatutnya Umno sebagai salah satu parti komponen dalam BN yang menjadi kerajaan perlu mengambil kesempatan segala kemudahan yang ada itu memberi faham kepada MCA dan bukan Islam mengenai keadilan syariat Islam dan sejarah tamadun Islam yang gemilang.

Sesi Penerangan Perlu Dilaksanakan
1. Justeru, pandangan skeptikal MCA kepada undang-undang Islam tidak mampu diubah selagi MCA terus menjalinkan persahabatan erat dengan Umno.
2. Bagi memastikan keharmonian agama di Malaysia, MCA perlu bersedia untuk berada semeja untuk membincang secara telus dan mendapatkan penjelasan secara tepat mengenai undang-undang Islam.
3. GAMIS Pahang bersedia untuk meyediakan platform perbincangan kepada MCA Pahang untuk membincangkan isu salah faham hudud. Kami berbesar hati untuk mengatur pertemuan MCA Pahang dengan ilmuwan- politik Islam tanah air untuk membincangkan isu ini dari perspektif Islam yang tepat.

Ahmad Fatihi Makhtar ialah Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia Negeri Pahang (Gamis Pahang)

Mahathir sahkan 'perjanjian syaitan' Umno dan MCA

Harakahdaily, 24 Okt 2012

(Dr Mahathir sahkan 'perjanjian syaitan' antara Umno dan MCA)

KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, penyataan beliau tentang wujudnya 'perjanjian syaitan' antara Umno dan MCA disahkan tidak sampai 24 jam selepas ianya didakwa.

Ia tidak lain dan tidak bukan disahkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataannya di Universiti Malaya semalam.

"Semalam, saya secara terbuka mengatakan pemimpin MCA dan UMNO telah membuat 'perjanjian Syaitan' supaya masing-masing menyebarkan pembohongan dan penipuan untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan Melayu.

"Ia dibuat dengan keyakinan bahawa politik yang sedemikian satu-satunya cara untuk mendapatkan undi kaum Cina dan Melayu buat Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13," katanya.

Menurut Lim Kit Siang, beliau menjangkakan pemimpin Umno dan MCA serta propagandis-propagandis mereka menafikan kewujudan perjanjian jahat itu lalu cuba melarikan tumpuan daripada 'perjanjian syaitan' tersebut.

"Apa yang paling tidak saya jangkakan pendedahan saya tentang 'Perjanjian Syaitan' di antara UMNO/MCA disahkan dalam tempoh 24 jam dengan gaya penuh wibawa dan cara yang benar-benar melondehkan hipokrasi dan muslihat Umno serta MCA.

"Hanya seorang sahaja mampu melakukan tindakan sedemikian iaitu Tun Dr. Mahathir dan itulah yang beliau lakukan semalam," kata Kit Siang (gambar kanan).

Pada sidang media semalam di simposium 'Dialog Antara Peradaban Menuju Keamanan, Keharmonian Bersama dan kelestarian' Universiti Malaya, Mahathir mengakui bahawa 'pendirian tidak bertolak ansur' MCA terhadap hukum hudud pada Perhimpunan Agung MCA minggu lepas hanyalah bertujuan 'menakut-nakutkan' komuniti Cina dan bukan ditujukan kepada kaum Melayu atau umat Islam.

“Dia (MCA) bertujuan untuk menakutkan orang Cina, bukan orang Melayu atau Islam ...Tujuan MCA nak takutkan orang Cina supaya tak sokong DAP.

"Tapi dulu pun MCA tak pernah bantah bila kita isytihar negara ini negara Islam dan kita akan amal nilai-nilai dan ajaran Islam," kata Mahathir.

Pengesahan Mahathir terhadap “Perjanjian Syaitan” Umno dan MCA supaya masing-masing menyebarkan pembohongan dan penipuan untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan Melayu bagi mendapatkan undi kaum Cina dan Melayu buat Barisan Nasional seharusnya diberi perhatian serius dan dikutuk sekeras-kerasnya oleh semua rakyat Malaysia, kata Kit Siang.

Dalam 'Perjanjian Syaitan' mereka, pemimpin UMNO akan terus membisu tidak kira apa juga pembohongan yang disebarkan MCA untuk “menakut-nakutkan orang Cina”.

Ia termasuklah penipuan yang pemimpin Umno sendiri tahu ia tidak berasas seperti fitnah MCA bahawa PAS dan Islam membenarkan bukan Islam dirogol atau PAS dan Islam akan membawa Malaysia kembali ke “zaman gelap”.

Begitu juga pemimpin MCA akan terus membisu walaupun mereka tidak mempercayai pembohongan dan penipuan UMNO 'untuk menakut-nakutkan kaum Melayu', bahawa DAP mahu mendirikan Negara Kristian dan menghapuskan Raja-Raja Melayu serta mendirikan Republik, kata Lim.

Menurut Li, dia teringat kepada komenter di sebuah blog milik seorang pakar bedah semalam berkenaan Perhimpunan Agung MCA ke-59, beliau menyimpulkan:

“Perhimpunan Agung MCA telah memaku keranda mereka kerana bagi kebanyakkan rakyat Malaysia, MCA tidak lagi relevan, begitu juga Gerakan, MIC dan juga UMNO.
"Kematian parti berasaskan kaum ini mungkin ada hikmahnya kerana kita memerlukan parti berbilang kaum untuk maju di dalam dunia yang semakin global dan penuh persaingan.”

Bagi beliau, ini merupakan cabaran terbesar buat semua rakyat Malaysia pada PRU13, sama ada kita mahu bergerak sebagai rakyat Malaysia dengan visi yang penuh harapan dan optimis bahawa Malaysia akan bersatu tanpa mengira kaum, agama, kelas atau kawasan.

"Ia sebagai jaminan terbaik supaya negara berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain atau kita mahu membiarkan diri kita tersangkut di dalam politik yang korup dan kebencian antara agama dan antara kaum, melalui pembohongan dan penipuan yang hanya akan menjerumuskan negara kepada kemusnahan," katanya.

Bagi beliau, Pakatan Rakyat berjuang untuk meyatupadukan rakyat Malaysia bagi bergerak maju ke arah masa depan bersama sementara Barisan Nasional pula mahu terus berjuang dengan taktik “pecah dan perintah” di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama supaya terus memperhambakan diri kepada kepentingan-kepentingan Umno-putra dan kroni-kroni mereka.

"Biarlah parti-parti berasaskan kaum ini menemui ajal pada PRU13. Pakatan Rakyat berjuang untuk masa depan manakala Barisan Nasional melambangkan masa lalu!" tegasnya.

Selepas Anthony, Guan Eng pula bela TG Nik Aziz

Harakahdaily, 24 Okt 2012


(Anthony Loke mempertahankan TG Nik Aziz di Dewan Rakyat)

KUALA LUMPUR: Selepas Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke menepuk meja di Dewan Rakyat kerana marahkan fitnah MCA terhadap Tuan Guru Nik Aziz, Setiausaha Agung DAP pula mengambil langkah yang sama.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini menyifatkan dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa TG Nik Aziz menggalakkan orang bukan Islam dirogol satu pembohongan besar.

"Ini satu pembohongan besar sama dengan pembohongan Utusan Malaysia apabila mendakwa saya anti-Melayu dan anti-Islam kerana Nik Aziz tidak pernah berkata begitu," kata Lim Guan Eng (gambar) dalam kenyataannya.

Semalam, Anthony Loke dalam ucapannya di Dewan Rakyat mempertikaikan kenyataan Chua Soi Lek yang bersetuju dengan Senator Heng dari MCA bahawa TG Nik Aziz menggalakkan orang Islam merogol wanita bukan Islam.

"Saya rasa ini adalah kenyataan yang paling biadab dari MCA. Chua Soi Lek adalah Presiden MCA yang paling silap dalam perkara ini," kata Anthony Loke, anggota Parlimen Rasah sambil menumbuk meja.

Bagi Lim Guan Eng, MCA adalah versi Cina untuk akhbar Utusan Malaysia yang bertenggek di atas kepalsuan, ketakutan dan kebencian untuk hidup.

"MCA umpama lelaki curang yang mendakwa dirinya bermoral dan bermaruah," kata Lim Guan Eng dalam kenyataannya.

Menurut Lim, fitnah terbaru Chua adalah bahawa kerajaan Pulau Pinang merampas peluang lebih 100,000 keluarga tempatan untuk membeli rumah di kawasan pulau akibat harga hartanah yang melambung.

Dalam tempoh setahun kenaikan harga kondominium/pangsapuri sebanyak 411%, rumah pangsa 339%, rumah kos rendah 157% dan rumah berasingan 103%.

"Ini merupakan fitnah yang tidak masuk akal kerana bagaimanalah harga kondo boleh naik sebanyak 411% dalam tempoh setahun?

"Pulau Pinang sudah tentu mengalami peningkatan harga hartanah paling tinggi di dunia apabila semua orang tahu harga hartanah paling tinggi adalah di Kuala Lumpur dan Johor Bahru yang tinggi dari Pulau Pinang," katanya.

VIDEO BERKAITAN


MP DAP pertahan Nik Aziz


Tolak CSL dan parti komponennya

Suhaimi Mamat,
Sebagai seorang muslim, perasaan marah, kesal, pilu dan juga kecewa apabila Hukum Syariah iaitu Hukum Hudud yang telah dinyatakan secara jelas dan terperinci di dalam al-Quran telah dihina sedemikian rupa. Bahkan yang lebih menyentuh naluri kita apabila dihina oleh pemimpin seperti Chua Soi Lek yang memang diketahui umum keburukan akhlak dan peribadinya.

Adakah kita sebagai umat yang mengaku sebagai Islam ini hanya perlu berdiam diri tanpa mengambil apa-apa tindakan atau sekurang-kurangnya mengambil pendirian menentang penghinaan ini dengan cara yang kita rasakan sesuai termasuk kuasa undi rakyat. Hal ini kerana mereka semua sudah melampau batas kerana bukan sahaja menolak Hukum Allah SWT tetapi lebih jelek pula menghinanya. Bukan sahaja mereka itu wajib ditolak sepenuhnya bahkan mereka yang bersongkol dengan juak-juak ini juga diberi pengajaran agar lebih pandai menghormati sensitiviti umat Islam.

Kalau Saiyyidina Abu Bakar As-Sidiq masih hidup pada hari ini, pasti golongan ini akan diperangi sebagaimana diperangi golongan murtad dan yang enggan menmbayar zakat pada waktu tersebut.  Tetapi sejauh manakah tindakan kita semua pada hari ini. Sepatutnya tanpa mengira fahaman politik, kita semua perlu mara ke depan mengutuk dan menentang perlakuan ini serta mendesak kepada Chua dan MCA serta kerabatnya supaya menarik balik kenyataan ini dan memohon maaf kepada semua umat Islam di negara ini.

Adalah menjadi tanggung jawab kita untuk membela agama Islam ini bahkan kita akan ditanya diakhirat nanti apakah tindakan yang telah kita buat untuk membela agama Islam yang dihina oleh musuh-musuh Allah dan perkara ini merupakan satu bentuk jihad yang mesti kita perjuangkan demi agama Islam yang tercinta ini.

12 kaum yang dibinasakan kerana engkar hukum Allah

DetikIslam, 24 Okt 2012
Dalam al-Quran, banyak sekali diceritakan kisah umat terdahulu yang telah dibinasakan oleh Allah kerana mereka mengingkari utusan-Nya dan melakukan berbagai-bagai penyimpangan yang telah dilarang. Yang berikut ialah kaum-kaum yang dibinasakan.

Kaum Nabi Nuh
Nabi Nuh berdakwah selama 950 tahun, namun yang beriman hanyalah sekitar 80 orang. Kaumnya mendustakan dan memperolok-olok Nabi Nuh. Lalu, Allah mendatangkan banjir yang besar, kemudian menenggelamkan mereka yang engkar, termasuk anak dan isteri Nabi Nuh (al-Ankabut: 14).

Kaum Nabi Hud
Nabi Hud diutus untuk kaum ‘Ad. Mereka mendustakan kenabian Nabi Hud. Lalu Allah mendatangkan angin yang dahsyat disertai dengan bunyi guruh yang menggegar hingga mereka tertimbun pasir dan akhirnya binasa (at-Taubah: 70, al-Qamar: 18, Fushilat: 13, an-Najm: 50, Qaf: 13).

Kaum Nabi Saleh
Nabi Saleh diutuskan Allah kepada kaum Tsamud. Nabi Saleh diberi sebuah mukjizat seekor unta betina yang keluar dari celah batu. Namun, mereka membunuh unta betina tersebut sehingga Allah menimpakan azab kepada mereka (al-Hijr: 80, Hud: 68, Qaf: 12).

Kaum Nabi Luth
Umat Nabi Luth terkenal dengan perbuatan homoseksual dan lesbian, iaitu hanya mahu berkahwin dengan pasangan sesama jenis. Kendati pun sudah diberi peringatan, mereka tak mahu bertaubat. Allah akhirnya memberikan azab kepada mereka berupa gempa bumi yang dahsyat disertai angin kencang dan hujan batu sehingga hancurlah rumah-rumah mereka. Kaum Nabi Luth ini akhirnya tertimbun di bawah runtuhan rumah mereka sendiri (al-Syu’ara: 160, an-Naml: 54, al-Hijr: 67, al-Furqan: 38, Qaf: 12).

Kaum Nabi Syuaib
Nabi Syuaib diutuskan kepada kaum Madyan. Kaum Madyan ini dihancurkan oleh Allah karena mereka suka melakukan penipuan dan kecurangan dalam perdagangan. Apabila membeli, mereka minta dilebihkan dan apabila menjual selalu mengurangi. Allah pun mengazab mereka berupa hawa panas yang teramat sangat. Kendatipun mereka berlindung di tempat yang teduh, hal itu tidak mampu melepaskan rasa panas. Akhirnya, mereka binasa. (at-Taubah: 70, al-Hijr: 78, Thaaha: 40, dan al-Hajj: 44).

Selain kepada kaum Madyan, Nabi Syuaib juga diutus kepada penduduk Aikah. Mereka menyembah sebidang padang tanah yang pepohonannya sangat rimbun. Kaum ini menurut sebagian ahli tafsir disebut pula dengan penyembah hutan lebat (Aikah). (al-Hijr: 78, al-Syu’ara: 176, Shad: 13, Qaf: 14).

Firaun

Kaum Bani Israel sering ditindas oleh Firaun. Allah mengutus Nabi Musa dan Harun untuk memperingatkan Firaun akan azab Allah. Namun, Firaun malah mengaku sebagai tuhan. Firaun akhirnya maut di Laut Merah dan jasadnya tidak reput dan telah ditemui oleh ahli arkeologi moden. Hingga kini masih boleh disaksikan di muzium mumia di Mesir (al-Baqarah: 50 dan Yunus: 92).

Ashab Al-Sabt
Mereka adalah segolongan fasik yang tinggal di Kota Eliah, Elat (Palestin). Mereka melanggar perintah Allah untuk beribadah pada hari Sabtu. Allah menguji mereka dengan memberikan ikan yang banyak pada hari Sabtu dan tidak ada ikan pada hari lainnya. Mereka akhirnya dibinasakan dengan dilaknat Allah menjadi kera yang hina (al-A’raf: 163).

Ashab al-Rass

Rass adalah nama sebuah telaga yang kering airnya. Nama al-Rass ditujukan pada suatu kaum. Sesetengah riwayat mengatakan, nabi yang diutus kepada mereka adalah Nabi Saleh. Namun, ada pula yang menyebutkan Nabi Syuaib. Sementara itu, yang lainnya menyebutkan, utusan itu bernama Handzalah bin Shinwan (ada pula yang menyebut bin Shofwan). Mereka menyembah patung. Ada pula yang menyebutkan, pelanggaran yang mereka lakukan karena mencampakkan utusan yang dikirim kepada mereka ke dalam sumur sehingga mereka dibinasakan Allah (al-Furqan: 38 dan Qaf : 12).

Ashab al-Ukhdudd
Ashab al-Ukhdud adalah sebuah kaum yang menggali parit dan menolak beriman kepada Allah, termasuk rajanya. Sementara itu, sekelompok orang yang beriman dicampakkan ke dalam parit yang telah dibakar, termasuk seorang wanita yang tengah menggendong seorang bayi. Mereka dikutuk oleh Allah SWT (al-Buruj: 4-9).

Ashab al-Qaryah
Menurut sebagian ahli tafsir, Ashab al-Qaryah (suatu negeri) adalah penduduk Antaqiyah. Mereka mendustakan rasul-rasul yang diutus kepada mereka. Allah membinasakan mereka dengan sebuah suara yang sangat keras (Yasin: 13).

Kaum Tubba’

Tubaa’ adalah nama seorang raja bangsa Himyar yang beriman. Namun, kaumnya sangat ingkar kepada Allah hingga melampaui batas. Maka, Allah menimpakan azab kepada mereka hingga binasa. Peradaban mereka sangat maju. Salah satunya adalah empangan air (ad-Dukhan: 37).

Kaum Saba

Mereka diberi berbagai kenikmatan berupa kebun-kebun yang ditumbuhi pepohonan untuk kemakmuran rakyat. Kerana mereka enggan beribadah kepada Allah walau sudah diperingatkan oleh Nabi Sulaiman, akhirnya Allah menghancurkan bendungan Ma’rib dengan banjir besar (Al-Arim). (Saba: 15-19).

http://detikislam.blogspot.com

Kelantan juga tangguh pemasangan AES

Mohd Nor Yahya, 24 Okt 2012
KOTA BHARU: Bersama-sama negeri Pakatan Rakyat yang lain, Kerajaan Negeri Kelantan juga hari ini memutuskan untuk menangguhkan penggunaan sistem Penguatkuasaan Automatik AES di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Takiyuddin Hassan berkata sehingga kini pihak kerajaan negeri tidak menerima sebarang maklumat dari pemegang konsesi pemasangan Kamera AES tersebut.

“Kita sehingga kini masih lagi belum menerima apa-apa maklumat berkaitan dengan pemasangan Kamera AES ini dan mengikut undang-undang, pihak kerajaan negeri mempunyai hak ke atas jalanraya negeri.

"Oleh itu kita bercadang untuk menangguhkan terlebih dahulu pemasangan kamera tersebut,” ujar beliau.

Takiyuddin berkata demikian selepas mesyuarat Exco hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan pagi ini.

Kerajaan negeri juga ujarnya telah mengarahkan Setiusaha Kerajaan Negeri untuk memanggil pihak dari Kementerian Pengangkutan bagi memberi taklimat terlebih dahulu kepada kerajaan negeri dalam hal pemasangan kamera AES tersebut.

Beliau juga berharap pihak konsesi alatan tersebut dapat memberi taklimat terlebih dahulu kepada kerajaan negeri agar ia tidak menimbulkan kekeliruan terhadap rakyat.

“ Memang tidak dinafikan terdapat beberapa pilihan untuk menjaga keselamatan rakyat, namun dengan penggunaan AES ini ia boleh menimbulkan kesulitan kepada rakyat.

"Kita difahamkan alat ini akan dipasang di kawasan 30km/j hingga 70km/j dan kebanyakkannya melibatkan jalan kerajaan negeri” katanya.

Menurut beliau, kerajaan tidak menentang pemasangan kamera AES ini tetapi ia mestilah mempunyai mekanisma terbaik terlebih dahulu dan tidak bersifat menyusahkan rakyat.

Sebelum ini, selain Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah juga membuat pendirian serupa iaitu menangguhkan dahulu pemasangan AES di negeri masing-masing sehingga satu kajian menyeluruh dibuat.

Di mana wang pampasan RM207 bilion?

Anis Nazri, 24 Okt 2012


(Laporan muka depan Harakah baru-baru ini)

KUALA LUMPUR: Keengganan Menteri Kewangan menjawab persoalan berkaitan RM207 bilion wang pampasan kepada waris buruh paksa landasan keretapi Siam - Burma hanya menambahkan kebimbangan jika wang tersebut disalahgunakan.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kementerian sepatutnya memberikan penjelasan bagi memastikan dana tersebut segera diagihkan kepada waris.

"Sayangnya, tiada sebarang penjelasan diberikan berhubung persoalan saya ketika saya dedahkan perkara tersebut di Dewan Rakyat, sebelum ini.  Menteri tidak menjawab langsung," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Ia telah disiarkan Harakahdaily (gambar) dan Harakah cetak pula telah menyiarkan laporan ini di muka depannya.

Dalam laporan itu, Nizar melalui ucapan di Parlimen mendedahkan kerajaan Jepun telah memberikan wang pampasan kepada kerajaan Malaysia sebanyak RM207 bilion untuk diserahkan kepada waris buruh paksa landasan kereta api terbabit.

Bagaimanapun, beliau dimaklumkan waris mangsa tidak mendapat wang pampasan tersebut biarpun ia telah diserahkan kepada kerajaan Malaysia sebelum ini.

Perkara tersebut didedahkan Nizar ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013, di parlimen, 10 Okt lalu.

Dalam pada itu, Nizar turut melahirkan rasa kesal apabila individu yang membekalkan maklumat tersebut telah dihubungi pihak tertentu kerana bertindak mendedahkan perkara tersebut.

"Saya dimaklumkan individu yang memaklumkan kepada saya tentang perkara ini telah pun dihubungi pihak tertentu yang mempertikaikan tindakan mendedahkan maklumat tersebut kepada saya,"  dakwa beliau.

Bagi Nizar, ia satu tindakan ancaman kepada pemberi maklumat berkenaan.

Soalnya, tambah Nizar individu tersebut terpaksa mendedahkan perkara itu kepada beliau memandangkan ia sudah tertangguh sekian lama.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan agar memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut, selain menyegerakan pembahagian wang pampasan itu kepada waris mangsa.

PR Perak rujuk isu Soi Lek kepada Sultan, Mufti

Muhammad Faeez Azahar, 24 Okt 2012

(Pemimpin Pakatan Perak tanpa mengira agama dan kaum membantah Chua Soi Lek)

IPOH: Pakatan Rakyat Perak akan mengahtar surat kepada Sultan Perak yang juga Ketua Agama Negeri berhubung tindakan MCA khususnya Datuk Seri Chua Soi Lek tidak henti-henti menghina Islam.

Setiausahanya, Dr Khairuddin Abdul Malik berkata, surat berhubung perkara itu juga akan dihantar kepada Mufti dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kenyataan Soi Lek sebelum ini jelas mengherdik agama Islam dan menceroboh ke dalam urusan hal-ehwal agama Islam.

Kata beliau, perbuatan Chua Soi Lek sangat menyentuh sensitiviti umat Islam dan berpotensi menyebabkan ketegangan kaum dan agama.

Ekoran itu juga, Pakatan Rakyat Perak ujarnya turut mencabar kerajaan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Soi Lek atas Akta Hasutan.

“Pakatan Rakyat Perak cabar Umno mendakwa Chua Soi Lek atas akta Hasutan seperti pernah dilakukan kepada individu-individu tertentu sebelum ini,” katanya ketika membuat sidang media di Pejabat PAS Perak, hari ini.

Khairuddin yang juga Yang Dipertua PAS Tambun berkata,  jika tindakan tersebut tidak dilakukan bermakna Umno bersekongkol dan bersetuju agama Islam dihina serta diherdik.

MCA ujarnya tidak wajar mencari pengurah politik di kalangan orang Cina dengan menghina peraturan-peraturan Islam dan menghina PAS.

Tegas beliau, Pakatan Rakyat Perak mendesak Chu Soi Lek meminta maaf kepada seluruh penganut agama Islam atas keterlanjuran mereka dan jangan sekali-kali mengulang perbuatan jahat tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Pakatan Rakyat Perak yang diketuai Datuk Seri Nizar Jamaluddin mencabar MCA mengadakan debat terbuka berhubung isu yang dimainkan.

“Kami akan menghantar surat jemputan kepada MCA Perak yang diketuai Chua Soi Lek selaku Pengerusi MCA Negeri untuk mengadakan debat terbuka yang bertajuk MCA Sokong Islam dan Hudud Tetapi Menentang Hudud PAS. Tajuk ini sesuai apa yang didakwa mereka,” jelas beliau.

Hadir Sama ialah Adun Tronoh, V Sivakumar; Adun Canning, Wong Kah Woh; Ketua Penerangan PKR Perak, Ustaz Zulkifli Ibrahim dan pimpinan Pakatan Rakyat Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan