Ahad, 30 September 2012

DIA NI BACA TAK BACA BERITA2 DARI AKHBAR2 LAIN KE...LEBIH2 DARI PEMBANGKANG...DAH BANYAK KRITIKAN DIBUAT...SYOK SENDIRI NI..PENYAKIT SUSAH DIUBATI

Bajet tiada usaha tangani hutang rasmi & 'tersembunyi'

  • Tony Pua
  • 11:31AM Sep 29 2012
ULASAN Beberapa tahun lalu, kerajaan berjaya meningkatkan belanjawannya dengan luar biasa sekali untuk mencapai belanjawan rekod setiap tahun.

Ini membantu kerajaan menampung ekonomi di saat kita menghadapi cabaran untuk menarik pelaburan swasta serta mengalami penurunan dalam sumbangan perdagangan.
Bagaimanapun, belanjawan itu mengunjurkan peningkatan hanya 0.7 peratus (2012: 11.8 peratus; 2011: 16.1 peratus) dalam hasil terunjur daripada RM207.2 bilion kepada RM208.6 bilion pada 2013.

Ini peningkatan pengunjuran paling perlahan sejak 1999, selain ketika krisis kewangan pada tahun 2009.
Oleh yang demikian, kerajaan terpaksa membentangkan belanjawan yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Mencadangkan perbelanjaan operasi dikurangkan kepada 0.3 peratus daripada RM202.6 bilion hingga RM201.9 bilion sementara perbelanjaan pembangunan turut dikurangkan daripada RM46.9 bilion hingga RM46.7 bilion atau 0.4 peratus.
Penurunan ketara dalam pertumbuhan hasil akan memberikan kesan yang signifikan kepada kemampuan kerajaan untuk memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui fiskal.

Hakikat kita belum mampu mengurangkan defisit belanjawan bawah 4 peratus selama beberapa tahun mencerminkan peluang yang dibazirkan bertahun-tahun lamanya.

Kita gagal mengawal perbelanjaan melalui pengurangan pembaziran, penyalahgunaan dan korupsi.
Penurunan konsisten pada perbelanjaan pembangunan
Turut menjadi kebimbangan tentang bagaimana kerajaan mengurangkan penekanannya terhadap perbelanjaan pembangunan secara konsisten dan ia akan mencipta kesan yang lebih dahsyat ke atas ekonomi kita.
Peratusan perbelanjaan belanjawan untuk Perbelanjaan Pembangunan menurun daripada 31.5 peratus pada 2003, kepada 27.1 peratus pada 2007, kepada 21.3 peratus pada 2012.

Trend yang membimbangkan itu berterusan pada 2013 apabila kadar tersebut dikurangkan lagi kepada hanya 18.6 peratus, tahap paling rendah dalam sejarah Malaysia.
Ini merupakan pelaburan lebih rendah oleh kerajaan berdasarkan hasilnya sekarang dan akan mengakibatkan pulangan rendah buat ekonomi pada masa akan datang.
Bahaya hutang meningkat kepada RM502 bilion
Hutang kerajaan persekutuan meningkat mendadak daripada RM242 bilion pada 2004 kepada RM363 bilion pada 2009 dan RM456 bilion pada 2011.

Untuk 2012, telah diunjurkan bahawa hutang kerajaan akan mencecah RM502 bilion. Menunjukkan peningkatan ketara 107.4 peratus hutang sejak 8 tahun lalu.
Lebih membimbangkan, hutang itu meningkatkan komitmen pembiayaan hutang berstruktur dengan begitu signifikan.

Kadar komitmen bayaran khidmat hutang bertambah dan akan mengekang perbelanjaan pembangunan dan operasi di masa akan datang.

Semua ini diikuti dengan kadar pertumbuhan hasil kerajaan yang perlahan seperti mana ditunjukkan dalam belanjawan 2013.

Semua itu akan meninggalkan impak dahsyat ke atas ekonomi kita, melihatkan kebergantungan kerajaan terhadap perbelanjaan awam dan pelaburan
Daripada tahun 2003 sehingga 2008, tanggungan bayaran khidmat hutang kita telah meningkat 21.9 peratus daripada RM10.5 bilion kepada RM12.8 bilion.

Bagaimanapun, dalam masa 5 tahun daripada 2008 sehingga 2013, komitmen tahunan meningkat dengan luar biasa kepada 73.4 peratus!
Hutang rasmi kerajaan persekutuan dijangka turut meningkat memandangkan peratusan KDNK daripada 51.8 peratus kepada 53.7 peratus, kekal bawah 55 peratus had hutang kerajaan persekutuan yang dibenarkan undang-undang.

Namun, 53.7 peratus itu bukanlah angka sebenar kerana ia gagal mengambil kira liabiliti luar jangka dan hutang tersembunyi kerajaan yang berjumlah RM117 bilion pada Disember 2011.
Apa yang menakutkan, liabiliti luar jangka kerajaan dianggarkan meningkat dengan pesat pada 2013 disebabkan oleh perbelanjaan RM53 bilion projek MRT dan juga projek-projek mega lain.

Perbelanjaan dengan hutang ini langsung tiada di dalam kunci kira-kira atau tidak dikira sebagai hutang rasmi Kerajaan Persekutuan walaupun dibiayai kerajaan.
Di Eropah, Spanyol yang sedang berdepan masalah kewangan yang teruk dan memerlukan jaminan keluar berbilion-bilion mempunyai nisbah hutang "rasmi" kepada KDNK 68.5 peratus.

Tetapi disebabkan pelbagai liabiliti luar jangka dan jaminan keluar bank, nisbah "sebenar" yang jauh lebih tinggi telah menyebabkan ekonominya hampir lumpuh dalam krisis yang masih berterusan.
Kita tidak sepatutnya membiarkan negara kita terjerut dengan krisis yang serupa.
Sasaran defisit 2.5 peratus pada 2015 pasti gagal
Berdasarkan Laporan Ekonomi, kerajaan berjaya memastikan defisit pada tahun 2012 di bawah 5 peratus iaitu 4.7 peratus kerana peningkatan hasil sebanyak RM21 bilion.

Jika bukan disebabkan itu, berdasarkan pada perbelanjaan kerajaan pada 2012, defisit negara sudah tentu meningkat kepada 6.7 peratus.
Kerajaan mengumumkan perancangan untuk mengekalkan defisit pada 4.0 peratus ketika Belanjawan 2013.

Namun jelas bahawa matlamat asal kerajaan untuk menurunkan defisit kepada 2.5 peratus menjelang 2015 tidak akan tercapai.

Penurunan pertumbuhan dalam hasil kerajaan menjadikan tugas itu semakin sukar.
Tiada kehendak politik
Belanjawan kerajaan menunjukkan tiada kehendak politik pada pihak kerajaan persekutuan untuk melakukan perubahan struktur yang diperlukan dalam menguruskan belanjawan.

Kita melihat penurunan dalam peratusan dana yang dibelanjakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Kita juga tidak nampak usaha serius untuk menangani hutang kerajaan persekutuan baik yang "rasmi" atau yang "tersembunyi".
Belanjawan 2013 tidak ubah seperti pengulangan belanjawan tahun-tahun sebelumnya. Menggunakan formula yang sama tanpa mempertimbangkan perubahan keadaan dan meningkatnya cabaran ekonomi yang kita hadapi hari ini.

NONETONY PUA setiausaha publisiti DAP dan ahli Parlimen Petaling Jaya Utara. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Anwar: Bajet serang Pakatan awal dan akhir

  • Zulaikha Zulkifli
  • 11:45AM Sep 29 2012
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim 'menjemput' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk hadir di Parlimen pada Isnin depan bagi mendengar ucapan awal darinya berhubung ulasan belanjawan.

S Pakatan dinner Anwar"Saya telah menjemput Najib. Kalau tak nak debat pun tak apa. Kerana saya dengar ucapan (bajet 2013) Najib, jadi saya minta dia datang dengar ucapan ulasan belanjawan saya pada hari Isnin, jam 11.30 pagi. Selaku menteri kewangan, saya harap dia terima pelawaan saya.

"Kita tunggu sama ada dia berani datang atau tidak," kata Anwar dalam ucapan penutup pada Majlis Makan Malam Perdana Pakatan Rakyat di Stadium Melawati Shah Alam malam tadi.

Anwar berkata lagi, selain mengharapkan ahli Parlimen Pekan itu hadir, beliau turut akan memberi ruang kepada Najib untuk mengulas dan mencelah semasa beliau berucap.

"Semasa saya jadi menteri kewangan, saya tak pernah tak hadir ulasan awal ketua pembangkang. Saya fikir oleh kerana ucapan dia kita dengar, maka wajar hormati sistem demokrasi.

"Saya nak nasihat Najib untuk hadir dan saya akan bagi ruang untuk dia ulas dan sanggah sepenuhnya pada masa itu," kata Anwar lagi.

Senario antarabangsa tak disentuh
Selain itu, mengulas mengenai pembentangan Bajet 2013 yang dilakukan Najib semalam, Anwar berkata, ia merupakan kali pertama dalam pembentangan bajet yang tidak menyentuh mengenai senario ekonomi antarabangsa.

Jelas Anwar, perkara itu relevan memandangkan Malaysia merupakan salah satu negara perdagangan.

Pakatan dinner crowd"Bajet Najib pertama kali bajet yang tak mula dengan beri senario ekonomi antarabangsa. Sebab apa relevan, sebab Malaysia negara perdagangan dan tak boleh lari daripada masalah luaran.

"Bajet hari ini (semalam) tidak merujuk situ. (Ia) terus pada pengumuman dan pandangan (pada) Pakatan Rakyat. Kita akan ulas hari Isnin ini.

"Bajet ini juga dari awal sampai akhir serang Pakatan Rakyat dan saya. Saya pun fikir, bila nak tukar tempat," kata Anwar berseloroh sambil mendapat tepukan daripada hadirin.
Reaksi NGO terhadap Belanjawan 2013
10:51AM Sep 29 2012
Kumpulan masyarakat sivil pelbagai bidang menyuarakan pandangan masing-masing terhadap Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan di Parlimen petang semalam.

Berikut intipati pandangan mereka yang dilaporkan:

Majlis Kanser Negara (Makna)


Semasa mengalu-alukan inisiatif pemeriksaan mamogram percuma kepada wanita, Pengurus Besar Majlis Kanser Negara (Makna), Farahida Mohd Farid berkata pihaknya bersedia bekerjasama dengan kerajaan dalam melaksanakan program berkenaan.

"Jika terdapat kekurangan kemudahan mesin, pihak kami mungkin boleh membantu kerajaan mencari penyelesaian terhadap perkara tersebut," katanya.

Beliau berkata purata seseorang itu perlu mengeluarkan antara RM180 hingga RM250 untuk menjalani setiap pemeriksaan mamogram.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca)


Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menasihatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga berikutan pengurangan subsidi gula sebanyak RM0.20 dalam Belanjawan 2013.

Naib Presiden Fomca Siti Rahayu Zakaria berkata golongan peniaga, terutama peniaga makanan, tidak harus berbuat demikian meskipun harga gula akan meningkat selepas ini.

Bagaimanapun, Siti Rahayu menyifatkan tindakan mengurangkan subsidi gula satu langkah yang baik bagi membolehkan rakyat menilai semula gaya hidup mereka kerana penduduk Malaysia merupakan yang kedua tertinggi di Asia menghidap diabetis.

Presiden Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan

Presiden Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan Ahmad Othman menyambut baik pengurangan subsidi gula dan meminta pengguna memanfaatkannya demi menjaga kesihatan.

Beliau berkata pengurangan subsidi gula adalah wajar jika mengambil kira jumlah rakyat Malaysia yang menghidap diabetis ketika ini, iaitu 2.6 juta orang.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia
Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia Datuk Mohd Firdaus Abdullah pula berkata Belanjawan 2013 mampu mengurangkan beban rakyat, terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur

Yang DiPertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur Samsudin Mohamad Fauzi berkata belanjawan yang dibentang Perdana Menteri hari ini umpama hadiah besar kepada pengguna.

Beliau berkata rakyat negara ini perlu menghayati keistimewaan belanjawan kali ini dan bersyukur dengan insentif yang kerajaan berikan.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)

Ketua Eksekutif LTAT Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata kerajaan membuat pelbagai usaha bagi meringankan beban anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen, menerusi peruntukan sebanyak RM224 juta.

"Ini dijangka memberi kesan positif kepada 224,000 bekas tentera dan ia sejajar dengan aspirasi LTAT menerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat)," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.Persatuan Orang Kurang Upaya Selangor dan Wilayah Persekutuan Damai

Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya Selangor dan Wilayah Persekutuan Damai, V Murugeswaran berkata pihaknya mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana mewujudkan taska untuk OKU - sesuatu yang sepatutnya sudah lama dilaksanakan.

"Dengan perkembangan terbaru ini, sekolah-sekolah berkenaan akan mesra OKU dengan segala kemudahan sewajarnya berbanding situasi sekarang di mana tidak banyak sekolah dilengkapi kemudahan berkenaan," beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Orthopaedically Handicapped

Presiden Orthopaedically Handicapped Lim Khoon Chuan berkata peruntukan itu perlu ditumpukan kepada terapi untuk OKU.
Surat 'cinta' Anwar pada Azizah dilelong RM50,000

  • Zulaikha Zulkifli
  • 10:37AM Sep 29 2012
Surat cinta Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mendapat bidaan paling tinggi apabila dibeli dengan harga RM50,000 pada Majlis Makan Malam Perdana Pakatan Rakyat di Stadium Melawati Shah Alam malam tadi.

Majlis makan malam yang bertujuan bagi mengumpul dana pilihan raya Pakatan Rakyat itu juga turut menyaksikan Wan Azizah membacakan surat 'cinta' yang ditulis Anwar semasa beliau berada dalam penjara Sungai Buloh sebelum dibeli.

Surat itu dibida dengan harga pembukaan RM50,000 dan dibeli oleh ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin.

Antara kandungan surat cinta itu bertulis supaya Wan Azizah berhati-hati dalam memberikan makanan kepada Anwar dan menjaga anak-anak mereka.

"Saya dah beri banyak barang untuk dilelong pada malam ini. Tetapi bila ditanya apakah benda paling berharga atau apa-apa yang dari penjara, lalu saya terfikirkan surat ini.

"Minta maaf jika saya menangis. Tetapi semasa saya tengok surat ini pun saya sudah menangis. Surat ini Anwar beri secara sembunyi dengan meletakkan di fail dokumen peguam," kata Wan Azizah sebelum membacakan surat tersebut.

Selain surat 'cinta' tersebut, terdapat beberapa lagi barangan milik pimpinan Pakatan Rakyat yang dilelong untuk tujuan pengumpulan dana kewangan pilihan raya.

Lukisan karikatur Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque yang diberi nama '"Kuasa Rakyat" pula mendapat bidaan kedua tertinggi apabila dibeli dengan harga RM32,000.

Kutipan penuh RM182,000
Zunar melukiskan karikatur itu secara langsung di atas pentas sebelum lukisan itu dibeli.

Antara barangan milik pimpinan Pakatan yang menarik perhatian untuk dilelong ialah sebuah patung beruang milik exco kanan kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok yang mendapat bidaan sehingga RM10,000.

Menurut pengerusi majlis makan malam itu, patung beruang tersebut menjadi peneman tidur Teresa selama beberapa tahun sebelum beliau dengan rela hati memberinya untuk tujuan lelongan amal bagi mengumpul dana.

pakatan mega dinner anwar love letter 280912Antara barangan lain yang dilelong ialah sebuah gambar dan tongkat milik Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dibeli dengan harga RM12,000.

Gambar yang dilelong merupakan sebuah gambar yang diambil sehari sebelum beliau dimasukkan ke hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian bagi tujuan rawatan kesihatan manakala tongkat tersebut merupakan tongkat yang sering digunakan oleh Nik Aziz.

Barangan lain yang dilelong pada malam tadi juga ialah pen milik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang digunakan untuk menulis surat semasa di penjara Kajang yang dibeli dengan harga RM23,000, sebuah gambar yang diambil pada tahun 80-an milik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sedang bersantai ditepi laut beserta topi nelayan dibeli dengan harga RM17,000.

Sebuah gambar Pengerusi DAP Karpal Singh juga turut dibeli dengan harga RM12,000. Gambar dalam bentuk poster filem itu turut ditulis dengan perkataan 'Singh is king'.

Gambar graduasi hitam putih milik bekas timbalan presiden PKR, Dr Syed Husin Ali turut dibeli dengan harga RM15,000 dan sebuah gambar dan plat kubah milik bekas presiden PAS, allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dibeli dengan harga RM11,000.

Jumlah kutipan bagi keseluruhan hasil daripada bidaan ini ialah sebanyak RM182,000.
Bangkai ular untuk penganjur demo Pengerang

  • Koh Jun Lin
  • 9:13PM Sep 29 2012
Kurang 24 jam sebelum perhimpunan menentang projek petrokimia di Johor, seorang penganjur menemui sebuah beg plastik berisi bangkai ular di depan rumahnya.

pengerang himpunan hijau logoBangkai yang kepalanya hampir terputus itu ditemui diletakkan bersama risalah yang mengajak orang ramai menyertai perhimpunan itu di Pengerang esok.

Bendahari gabungan NGO Pengerang Chua Peng Sia berkata, timbalan setiausaha kumpulan itu Goh Wan Ting ketika menjumpai beg itu tetapi tidak berani membukanya.

Goh kemudiannya menghubungi seorang lagi anggota jawatankuasa r Hong Thian Hwa untuk membantu meneliti kandungan beg itu.

"Goh hanya beritahu saya beg itu lembut dan lembab ketika disentuh.

"Apabila saya buka beg itu, ada ular sawa dan beberapa keping risalah perhimpunan," katanya.
Noh cabar Sekinchan buka balik fail exco

  • Abdul Rahim Sabri
  • 3:35PM Sep 29 2012
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar menempelak anggota dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Ng Sue Lim kerana mendakwanya mendapat tanah untuk projek ternakan udang di kawasan Tanjung Karang selepas menjadi ahli parlimen.

Bahkan, timbalan ketua Umno Selangor itu menyifatkan tindakan Ng membangkitkan isu tersebut sebagai "menampakkan kebodohannya" dan tidak mengetahui mengenai proses permohonan tanah.

Noh menjelaskan, permohonan tanah diluluskan oleh mesyuarat exco kerajaan negeri pada 8 Mac 1995 sedangkan beliau menjadi calon ahli parlimen pada April 1995.

NONE"Saya nampak bila ADUN DAP bercakap, nampak sangat kebodohan dia sebagai ADUN. Dia hanya tengok borang 5A (yang mengesahkan pemilikan tanah) keluar.

"Nak dapat tanah dia mesti memohon, selepas mohon, masuk ke jawatankuasa tanah, selepas jawatankuasa tanah lulus, baru masuk mesyuarat exco.

"Exco lulus, baru keluar borang 5A. Jadi saya nak cabar ADUN Sekinchan, sekarang dia jadi kerajaan, buka balik, tengok bila exco lulus permohonan tanah saya itu," katanya.

Justeru, Noh menggesa Ng menghentikan mempolitikkan isu itu kerana ia cuma menampakkan "kebodohan" diri sendiri.

"Lebih banyak dia bercakap tentang tanah udang lebih banyak nampak kebodohannya. Saya dah kata projek udang ini dah mula 16 tahun dulu, bukan sekarang... Projek mula, saya belum jadi menteri lagi," katanya.

Ng pada 26 September lalu mempertikaikan mendakwa Noh menipu berhubung pemilikan tanah seluas 12 hektar yang menjadi tapak untuk satu projek ternakan udang.

Ng mengemukakan dokumen yang didakwa membuktikan bahawa pemilikan tanah Noh ke atas tanah di Tanjung Karang itu hanya didaftarkan selepas menteri tersebut menjadi MP kawasan berkenaan pada 1995.

Sewa, bukan kerjasama
Mengulas mengenai dakwaan Ng bahawa beliau mempunyai kerjasama (join venture) dalam projek udang itu, Noh sekali lagi mengulangi bahawa ADUN Sekinchan itu "tidak faham" mengenai perkara tersebut.

NONE"Dia fahamkah apa ertinya join venture? Join venture ertinya dalam perjanjian ada untung rugi. Kalau join venture, berapa saya punya share?

"Saya cabar dia, berapa peratus jumlah share... Kalau join venture, mana boleh beri pendapatan tetap. Kalau join venture, (ia) mesti memberitahu, Datuk Noh ada 30 peratus, atau 40 peratus. Dan keuntungan mesti (diberikan) berdasarkan kepada untung rugi," katanya.

Katanya, dalam borang kaveat tanah yang disebarkan memaklumkan sewaan tanah itu selama 10 tahun dan berjumlah RM25,000 setahun.

"Itulah sewa...Dia tak faham, suruh dia belajar dengan menteri besarlah. Itu pun kalau menteri besar dia faham," kata Noh sinis.
Mahathir, Soros & dolar Amerika

  • Hishamuddin Rais
  • 7:23PM Sep 28 2012
Suaram ialah sebuah NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia. Pada tahun 1987, Mahathir Mohamad melancarkan Operasi Lalang dan menangkap 106 musuh politiknya. Kerana Mahathir menggunakan ISA menentang musuh politiknya maka Suaram ditubuhkan. Justeru, tidak salah kalau umum berkata "Suaram ini ditubuhkan oleh Mahathir sendiri".

Satu perkara yang wajib diberitahu kepada warga, dalam negara Malaysia yang kurang hak kebebasan ini amat-amat susah untuk menubuhkan NGO bawah lembaga Pendaftar Pertubuhan. Lebih senang mendirikan perniagaan rumah judi dan membuka ‘kedai lendir' dari mendirikan NGO.

Kerana tekanan, banyak NGO di Malaysia ini ditubuhkan bawah lembaga Pendaftar Syarikat. Suaram dikata ‘berniaga' melalui Suara Inisiatif Sdn Bhd. Ini kerana tidak dapat mendafar diri sebagai pertubuhan. Hanya dengan mendaftar sebagai sebuah syarikat barulah NGO ini dapat bergerak halal.

Pada ketika ini Suaram dan banyak NGO di Malaysia sedang diserang dan menerima pelbagai tuduhan. Sebenarnya Suaram diserang kerana membawa kes dakwaan rasuah pembelian kapal selam Scorpene ke mahkamah Perancis. Kes ini pula berkait rapat dengan kes pembunuhan Altantuya - gadis cun dari Mongolia.

Kes Scorpene di Mahkamah Perancis yang sedang berjalan. Dari laporan awal telah disahkan bahawa mahkmah akan memanggil Balasubramaniam, ayah mendiang Altantuya Profesor Shaaribu, Najib Razak dan Razak Baginda sebagai saksi.

Saheh dan jelas, kes Scorpene di Paris menjadi sebab utama serangan datang bertubi ke atas Suaram. Mahkamah Paris akan membicarakan sama ada benar dakwaan Najib Razak dan Razak Baginda meminta ‘duit sogokan' dari syarikat DCNI - pembuat kapal selam. Bukan kecik anak duit yang didakwa diminta oleh Najib. Laporan awal dari mahkamah menunjukkan Najib meminta 3 bilion ringgit dari DCNI.

Najib dan Razak Baginda boleh mengabaikan sepina untuk tidak datang ke Paris. Tetapi impak dari sepina ini cukup besar. Bayangkan perdana menteri Malaysia ada saman ‘ wanted' dari mahkamah Paris. Kes rasuah ini pula melibatkan pembunuhan seorang minah cun dan bergetah. Berita ini pasti akan menggemparkan dunia gosip Eropah. Ini lebih hebat dari gambar kontroversi Duchess of Cambridge. Oleh kerana ini Suaram wajib ditalkinkan kerana meletakkan bom jangka dalam beg Rosmah Mansor.

Bagaimana pula dengan peranan Pak Cik Soros? Betulkah si Soros ini memberi dana kepada Suaram? Apa tujuan memberi dana ini? Apa pula peranan Yahudi dan Amerika dalam membiayai NGO di Malaysia?

Selama berpuluh-puluh tahun manusia Melayu-Islam dijulingkan pandangan mereka dengan tuduhan bahawa Yahudi pembawa masalah. Dari pak lebai di kampung, kepada ustaz di sekolah, kepada YB di parlimen, jika ada sahaja masalah maka semuanya berpunca dari Yahudi. Akhbar dan media pula sering bertandak memperkukuhkan pandangan rasis ini.

Memang betul Soros itu seorang Yahudi. Sama juga seperti Nabi Isa, Nabi Musa, Nabu Yakub, Nabi Yahya - kesemua mereka ini berketurunan Yahudi. Tetapi bukan keyahudian Soros yang dipertikaikan. Yang menjadi puncanya ialah duit Soros yang bergantang-gantang itu disalurkan kepada badan NGO yang bergerak di seluruh dunia.

Sekali lagi saya ingin terangkan bahawa Yahudi itu bangsa dan agamanya ialah Judaisme. Ada Yahudi beragama dan banyak juga Yahudi yang tidak beragama.

Yang membuat huru hara dalam dunia hari ini ialah Zionisme. Zionisme gerakan politik. Gerakan politik inilah yang menjajah bumi Palestin. Ramai Yahudi menentang Zionisme. Ramai Yahudi tidak bersetuju dengan penubuhan Israel.

Gerakan Zioniss Antarabangsa berkerja rapat dengan kapitalis antarabangsa. Kaum Zionis dan kaum kapitalis ini tidak ada agama, bangsa, bahasa atau negara. Tuhan kaum Zionis dan kaum Kapiltalis ialah dolar, riyal dan ringgit.

Sayugia diingatkan ramai Yahudi menentang Zionisme. Sayugia diingatkan selain dari New York, Tehran ialah kota yang paling ramai didiami oleh Yahudi. Malah Pak Cik Soros sendiri tidak menyokong gerakan Zionis dan tidak mengidentifikasi dirinya sebagai warga Israel. Soros warga Amerika - imigran yang berasal usul dari Hungary.

Lalu timbul persoalan kenapa Soros - yang kaya raya sebagai peniaga mata wang - memfaraidkan banyak hartanya kepada NGO. Soros bukan sosok sosialis jauh sekali untuk bersimpati kepada gerakan komunis.

Soros seorang kapitalis yang percaya bahawa peranan kerajaan/daulah/state dalam urus niaga perlu dikurangkan. Soros yakin hanya melalui perdagangan bebas barulah negara dapat maju berkembang. Soros berkeyakinan jika sebuah negara itu mengamalkan demokrasi maka warganya boleh memperbaiki kehidupan.

Keyakinan Soros ini lahir dari pengalaman dirinya yang lahir dan membesar di Hungary - negara sosialis di mana daulah memiliki kuasa mutlak. Soros berpindah ke Amerika dan berjaya mengumpul harta. Dari pengalaman peribadi ini Soros yakin kebebasan individu adalah rukun kejayaan. Juga sebagai seorang kapitalis, Soros tidak mahu campur tangan kerajaan/daulah dalam urusan perniagaan.

Berapa banyak harta kekayaan Pak Cik Soros bukan agenda kita. Apa yang ingin saya terangkan, wujudnya garis pertemuan antara falsafah Soros yang mahukan dunia ini bebas dan gerakan NGO yang juga memperjuangkan demokrasi dan hak asasi.

NGO di Malaysia mahukan sebuah negara yang adil, bebas dan demokratik. NGO di Malaysia mahu pilihan raya yang bebas dan adil. NGO Malaysia mahu media yang bebas tanpa sekatan. NGO Malaysia menolak tahanan tanpa bicara. Semua nilai-nilai yang dihayati oleh Pak Cik Soros.

Justeru George Soros, seorang Yahudi peniaga mata wang mengarahkan Open Society Institute (OSI) untuk menghulurkan dana kepada NGO di Malaysia. Maka dari jalur inilah Suaram mendapat sebahagian dari dana sokongan.

Sokongan dana dari Pak Cik Soros ini bukan hanya ke Malaysia, malah di Afrika, di negara Arab, di Amerika Latin, di Eropah Timur - Yayasan Soros telah mencurahkan dana untuk mengembangkan demokrasi.

Kenapa sekarang timbul hal Pak Cik Soros ini? Agenda anti NGO yang dilancarkan oleh United Malays National Organisation ini memiliki latar yang menarik. Parti politik ini sedang dalam keadaan nazak. Semenjak kekalahan dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU12), parti politik ini melakukan pelbagai kerenah untuk mengembalikan sokongan rakyat terutama manusia Melayu.

United Malays National Organsiation didakwa bersubahat dalam pelbagai perbuatan khianat, termasuk insiden terhadap rumah ibadat. Semua yang diharap-harapkan untuk menaikkan kemarahan orang Melayu dilakukan. Semua yang dirancang untuk menimbulkan ketegangan bangsa-bangsa telah dilakukan oleh budak suruh atau anak syarikat parti ini.

Hasilnya meleset. Orang Melayu tidak ambil pot. Orang Melayu tidak mengamuk bila ditemui kepala babi dalam masjid. Orang Melayu buat 'dek' apabila surau dan masjid di simbah cat. Apa sudah jadi? Jawabnya ialah orang Melayu sedar bahawa semua yang berlaku rancangan dan komplot dari United Malays National Organisation untuk mencari sokongan Melayu.

Lalu, majlis fatwa berfatwa. Lalu Mufti bermufti-muftian dengan suara khutbahnya. Jabatan agama membuat arahan. Iman tua dan Imam muda membebel. Sultan telah bertitah. Semua meminta agar orang Melayu bersatu. Semua meminta agar orang Melayu memberikan sokongan kepada United Malays National Organisation. Hasilnya zero, zilch, sifar... orang Melayu tidak ambil pot.

Bayangkan betapa gementarnya tubuh badan pemimpin United Malays National Organisation apabila menghadapi hakikat yang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan dijalankan tidak lama lagi. Pengundi hina telah lama lari. Pengundi India pecah terbarai. Di Sabah dan Sarawak nasionalisme Kadazan dan Dayak sedang melonjak. Semangat anti-semenanjung kian merebak. Semua ini tanda-tanda parti Ketuanan Melayu ini akan lingkup.

Maka keluarlah seekor kaldai tua dengan teori Yahudi dan George Soros. Sayang sekali si keldai tua ini tidak sedar zaman telah beredar. Pada satu ketika dahulu si keldai tua ini amat bijak dengan auta putar belit, tetapi hari ini segala autanya diketahui umum.

Setiap hari Mahathir mengeluarkan fatwa tentang Melayu hilang kuasa, tentang Melayu akan jadi hamba, tentang Melayu tidak berterima kasih, tentang Melayu tidak bersyukur, tentang Melayu akan jadi kuda Cina, tentang kuasa politik Melayu kian mengecil.

Mahathir bersedih. Dia merayu. Dia menangis pilu di Mingguan Malaysia. Dia mengingatkan bahaya Soros dan Yahudi kepada orang Melayu. Auta punya auta - kelentong punya kelentong - Mahathir terlupa bahawa Yayasan Perdana yang dipimpin oleh dirinya sendiri pernah meminta duit dari Pak Cik Soros. Tunggu ceritanya minggu hadapan.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
BN: Lepas menang kita tentukan MB S'gor

  • Abdul Rahim Sabri
  • 4:08PM Sep 29 2012
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata, soal siapa akan menjadi menteri besar sekiranya BN berjaya menawan Selangor dalam pilihan raya akan datang tidak perlu dihebohkan lagi pada masa ini.

Noh yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno negeri berkata, BN "tidak kurang tokoh" untuk menggantikan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim daripada PKR pada masa ini.

NONE"Dalam Umno semua kita ada, ada tokoh korporat, profesional, agama, ahli akademik kita ada. Semua kita ada.

"Esok bila kita dah menang, kita akan tentukan siapa akan jadi menteri besar.

"Sama seperti Pakatan Rakyat, ada mereka heboh? Yang penting kita menang (terlebih dahulu)," katanya ketika ditanya siapakah calon menteri besar BN di Selangor.

Noh sebelum ini antara nama yang dispekulasi sebagai menteri besar dan dikatakan akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam sidang media di ibu negara hari ini, Noh hanya menjelaskan bahawa penduduk di Parlimen Tanjung Karang masih mahukannya terus memimpin kawasan itu.

"MB akan ditentukan oleh pucuk pimpinan, tapi pengundi Tanjong Karang calonkan saya di parlimen," katanya.

Mengulas peluang BN, Noh yakin BN yakin akan menang sekurang-kurangnya 32 kerusi DUN di negeri itu, sekali gus membentuk kerajaan baru.

"Saya tidak mahu mendahului takdir, tetapi insya-Allah saya amat yakin kita menang di Selangor.
Rais: Tiada ruang kritik belanjawan
5:59PM Sep 29 2012
Pembangkang dilihat tidak akan mempunyai ruang untuk mengkritik Belanjawan 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam kerana ia memberi kebajikan meliputi semua lapisan masyarakat.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, sebaliknya belanjawan kali ini pastinya akan terus menggerakkan rasa penghargaan rakyat kepada negara dan kerajaan sedia ada.

rais yatim wisma berita rtm 060612"Saya menyeru rakyat Malaysia, membuka mata, mendengar dan pasang permandangan supaya kita dapat memberi satu pengiktirafan kepada jasa janji ditepati," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian Program Jelajah Janji Ditepati yang disempurnakan Perdana Menteri di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di Seremban hari ini. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata dengan pelbagai peruntukan bagi industri pembinaan dalam belanjawan kali ini, beliau yakin industri itu akan mengalami pertumbuhan yang lebih strategik pada tahun depan.

Katanya, bilangan projek-projek baharu dijangka bertambah sekali gus memberi peluang yang lebih luas kepada kontraktor-kontraktor mengambil bahagian.

"Industri pembinaan dalam Malaysia ini mempunyai masa depan yang amat cerah, kerana banyak projek-projek terutama dalam Program Transformasi Ekonomi yang dilaksanakan pada tahun lepas, tahun ini dan tahun depan," katanya.

Bagi Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pula, Felda akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengenal pasti tanah-tanah untuk membina 20,000 buah rumah untuk generasi baharu Felda seperti yang dinyatakan Perdana Menteri dalam Belanjawan itu.

"Kita sudah bersedia, memang kita sudah ada tanah, cuma kita mahu lihat dan kenal pasti mana yang sesuai dan kita akan bincang dengan kerajaan negeri dan kita akan bina rumah pasang siap," katanya.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata pembinaan 100 pusat internet di kawasan perumahan rakyat akan mengalakkan semua pihak terutamanya generasi muda supaya lebih bermaklumat dan berpengetahuan luas dalam semua aspek.

Katanya peruntukan RM150 juta bagi penubuhan pusat tersebut memberi ruang kepada golongan muda untuk mendapat maklumat tanpa sempadan.

NONE"Kampung Wifi memang ada seperti di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam belanjawan semalam adalah penambahan yang akan diberikan kepada setiap lapisan masyarakat.

"Selain itu, Perdana Menteri juga mengumumkan rebat RM200 telefon pintar 3G kepada belia berusia 21-30 tahun. Ini adalah sokongan kerajaan kepada generasi muda untuk terus berteknologi dan tidak mahu golongan ini ketinggalan," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Kejohanan Taekwondo Remaja Kebangsaan ke-13 di Stadium Badminton Cheras.

Pengarah Teknikal Persatuan Taekwondo Malaysia (TM) R.Dhanaraj berkata seramai 600 peserta dari 31 persatuan dan kelab taekwondo menyertai kejohanan tersebut yang berlangsung dua hari bermula hari ini.

Peserta tersebut mengambil bahagian dalam dua kategori iaitu 10-13 tahun dan 14-17 tahun.

"TM akan memilih 12 peserta dari kategori 14-17 tahun yang cemerlang untuk mewakili negara dalam Kejohanan Taekwondo Terbuka Remaja Indonesia pada Disember depan, 15 peserta terbaik dalam kategori 10-13 tahun pula akan dipilih untuk menjalani latihan di Thailand," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan