Jumaat, 21 September 2012

AUDIT TETAP AUDIT...AKHIRAT LAGI KENA AUDIT...JIKA MAIN TIPU2...BUAT MUNGKAR...RASUAH...BUNUH...ZINA...SAMSENG ...SONGLAP DLL...TUNGGU AJE...MEREKA NI NAK LARI MANA...TAK PASAL2 PENYOKONG PUN TERBABIT@TERKENA SAMA

Bukan saja Suaram, masyarakat sivil juga dibelasah

Ahmad Lutfi Othman, 20 Sep 2012
Saya tidak fikir rakan-rakan saya, termasuk ketua pengarang di Utusan Malaysia atau Buletin Utama TV3, t9dak terkecuali di  Berita Harian, begitu bebal dan tertutup minda mereka ketika mengulas isu mengenai NGO hak asasi manusia, Suaram (Suara Rakyat Malaysia).

Benar, mereka mengetuai media awam yang "ditransformasikan" sejak sekian lama sebagai lidah rasmi Umno-BN, dan berasa bertanggungjawab untuk mempertahankan taukeh-taukeh politik yang "mungkin tercungap-sungap kelemasan" menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti! Berpada-padalah ketika berusaha memuaskan hati pemimpin Umno, tanpa meletakkan kerjaya seorang wartawan di tahap begitu rendah.

Namun, apabila menyelak akhbar Utusan dan menonton rancangan berita TV3, dan pagi tadi (7 September) membelek rencana Berita Harian (juga tidak lupa, sehari sebelumnya, Mingguan Malaysia), saya tertanya-tanya mengapa secara tiba-tiba Suaram -- yang hanya mempunyai beberapa kerat penggeraknya -- menjadi target utama untuk dibelasah.

Seperti lazimnya, tiada hujah, argumen ataupun rasional yang dikemukakan, selain mengulangi kebebalan yang begitu hodoh dan menjengkelkan. Penulisnya bukan pemberita tepi jalan tetapi melibatkan editor-editor kanan. Mereka hanya mahukan Suaram dimusnahkan, seolah-olah ia petualang jahat yang mengkhianati negara ini.

(Ramai melihat agenda ini ada kaitan dengan kes komisyen pembelian kapal selam Scorpene RM7 bilion, kini disiasat di mahkamah Perancis, yang seterusnya boleh dihubungkan dengan kontroversi pembunuhan Altantuyaa Shaariibu yang tidak dapat diselesaikan oleh keputusan mahkamah).

Misalnya, hari Rabu, 12 September lalu, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Zaini Hassan dalam kolumnya, Cuit, melampiaskan amarah dan dendam kesumat ke atas Suaram: "Selepas pilihan raya, jika kerajaan Putrajaya (BN) masih memerintah, laksanakan segera pembasmian dan pembersihan mutlak (a total crackdown) terhadap NGO parasit ini. Dakwalah penggeraknya di mahkamah di bawah hukuman paling keras kerana mereka menderhaka kepada Agong. ... Jika mereka masih bergerak, kita buru mereka sehingga ke lubang cacing. Jika kita gagal bertindak kali ini, kitalah yang akan ke lubung kubur!" (Saya yakin kita yang dimaksudkan Zaini ialah elit Umno sendiri).

Isnin, 17 September, Timbalan Pengarang Utusan Kumpulan, Rangkaian TV dan Radio Media Prima, Ashraf Abdullah menyanyikan lagu lama, menegaskan Suaram sebagai tidak pernah mendaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan menerima puluhan juta ringgit, termasuk daripada penyangak mata wang Yahudi, George Soros. Yang mahu disimpulkannya ialah  kaitan Suaram dengan Anwar Ibrahim; apabila Pakatan Rakyat berjaya ke Putrajaya, maka yang terbentuk adalah kerajaan pak turut yang menerima arahan Yahudi. Sekali lagi emosi dan sentimen umat Islam mahu diperalatkan.

(Pada awal 1990-an, Bank Negara Malaysia juga menjadi pemain yang aktif dalam spekulasi dagangan mata wang asing, terutama selepas mengaut keuntungan besar pada mulanya. Mungkin kita boleh bertanya dengan Nor Mohamed Yakcob, yang terbabit aktif ketika itu sehingga Malaysia akhirnya dikatakan rugi-- "kalah judi" -- sehingga RM30 bilion).

Bagi memburuk-burukkan Soros pada kacamata orang Islam, Ashraf, merekodkan bahawa kumpulan aktivis dan pembangkang di negara Islam, termasuk Mesir dan Tunisia menerima dana yang besar daripadanya, sehingga pemerintah kuku besi dapat digulingkan.

(Pelik memikirkan, apakah media talibarut Umno ini merupakan penyokong kuat diktator Hosni Mubarak dan Zine El Abidine Ben Ali, sehingga beliau seperti menyesali tumbangnya regim zalim yang menindas rakyat itu! Pembabitan Soros bagi mempromosi proses pendemokrasian dan penentangan kepada pemerintahan diktator boleh diulas lebih lanjut).

Kebebalan Buletin Utama TV3 pula seiring dengan Utusan, mencari tiga empat orang bekas pemimpin KeADILan, untuk terus memomokkan Suaram, mengulangi tohmahan terhadap beberapa aktivis pentingnya seperti Dr Kua Kia Soong dan R Sivarasa, seolah-olah penonton begitu bodoh dan dungu untuk menelan bulat-bulat bahan yang disiarkannya.

Saya tidak begitu mengenali pengasas dan peneraju Suaram, namun sumbangan pertubuhan yang diasaskan oleh beberapa bekas tahanan borong tanpa bicara Operasi Lalang 1987 dan kumpulan penyokong keluarga mereka  begitu menyerlah sekali. Bagaimanapun, melalui koleksi buku-bukunya, saya terasa agak dekat dengan komitmen Dr Kua, yang bermula sebagai aktivis pendidikan Cina.

Pengkritik seperti Zaini cuba mengaitkan Suaram dengan sebagai NGO yang dikuasai DAP, mungkin menyedari Dr Kua merupakan bekas ahli Parlimennya, yang menyertai parti itu pada Ogos 1990. Kepada strategis kempen Umno, pengundi Melayu mahu terus ditakut-takutkan dengan "hantu" DAP, bagi menjauhkan mereka daripada Pakatan. Walhal Dr Kua dikira tokoh yang independen dan pernah "berseteru dan berpencak lidah" dengan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

Suaram, dengan segala keterbatasan daripada segi kewangan dan tenaga, cukup komited dengan gerakerja menyantuni keluarga tahanan ISA dan memperjuangkan nasib aktivis yang dizalimi sejak 23 tahun lalu. Ia turut menganjurkan bengkel, ceramah, forum, latihan, kempen dan pelbagai usaha  ke arah mewujudkan masyarakat lebih demokratik, pemerintahan telus dan bertanggungjawab.

Sesungguhnya medan operasi Suaram tidak terhad dalam tanahair sahaja. Ia memainkan peranan penting dan dihormati di peringkat global. Isu-isu yang ditanganinya merentasi sempadan termasuk penentangan terhadap serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq dan Afghanistan, juga kaganasan Israel di Gaza, berkempen untuk demokrasi di Maynmar.

Dalam negara, Suaram turut menjuarai dan mempertahankan hak orang asli, peneroka bandar, komuniti estet, selain terlibat aktif dalam kempen menentang Empangan Bakun, mempromosi kesedaran alam sekitar dan menjaga kepentingan pembayar cukai.

Laporan Tahunan Hak Asasi Malaysia, yang dianggap berwibawa, diterbitkan Suaram sejak 1998, sentiasa menjadi rujukan saya. Suaram turut mendapat Anugerah Hak Asasi 2011 daripada Suhakam.

Apabila dicanangkan Suaram tidak mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), saya teringat bagaimana saya terpaksa mengusahakan penerbitan akhbar dan majalah politik tanpa permit, bermula akhir 1980-an hingga awal tahun 2000.

Sebabnya, puluhan permohonan saya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah dipertimbangkan. Ya, tidak pernah sekalipun saya dipanggil untuk ditemuduga; semua permohonan yang disertakan dengan contoh penerbitan telah dibakul-sampahkan! Justeru, saya terpaksa "melanggar undang-undang" dengan terus menerbitkan makalah-makalah politik itu tanpa permit walaupun kemudiannya menerima risiko ditahan polis dan seterusnya terpaksa membazirkan masa naik turun mahkamah.



Jika KDN terlalu payah meluluskan permit majalah atau akhbar, maka berpuluh kali ganda lebih sukarlah untuk ROS mendaftarkan pertubuhan baru, apatah lagi yang dilihat tidak selari dengan pemerintah, seperti Suaram. Profil setiap jawatankuasa penajanya akan diteliti. Mudah saja pihak ROS menolak permohonan itu jika didapati penggeraknya mempunyai "rekod buruk".

Malah, satu lagi NGO hak asasi, Hakam, yang dinaungi dua bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn) juga memerlukan tempoh lebih dua tahun sebelum didaftarkan. Khabarnya tempph lebih lama diperlukan Amnesty International (Malaysia).

Maka, satu-satunya pilihan adalah dengan mendaftarkan NGO tadi sebagai entiti bisnes, di bawah Pendaftar Perniagaan (ROB). Bukan saja pertubuhan seperti Suaram yang terpaksa berbuat demikian, malah badan-badan senibudaya seperti Paksi (diterajui Dinsman) pun berdepan kesulitan sama. Saya sendiri tidak mahu membuang masa mendaftar Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dengan ROS kerana saya yakin ia tidak akan diluluskan.

Isu pokoknya, hak dan kebebasan untuk berpersatuan di negara kita cukup terbatas. Dan ROS digunakan untuk menyekat hak paling asas dalam amalan demokrasi itu. NGO yang mempromosi hak asasi manusia, seperti Suaram, sentiasa dilihat sebagai musuh atau seteru penguasa disebabkan pemerintah sering melakukan pelanggaran dan pencabulan ke atas hak asasi.

Saya bersetuju dengan pandangan Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga: "Kami tidak akan biarkan Suaram bersendirian. Anda (kerajaan BN) bukan mengganggu Suaram, tetapi juga keseluruhan pertubuhan sivil lain." Justeru, setiap individu yang prihatin dengan isu-isu hak asasi tidak boleh membiarkan Suaram dilanyak dan dibuli begitu sahaja. Tunjukkan bantahan dan protes anda, bukan untuk menyelamatkan Suaram tetapi mempertahankan masyarakat sivil di negara ini.

Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham), yang diwakili  Simon Sipaun, Prof Hamdan Adnan,  Ramon Navaratnam dan  Dr Denison Jayasooria (tiga daripadanya merupakan bekas pesuruhjaya Suhakam) juga memberikan sokongan kepada Suaram.

Proham menegaskan, menerima pembiayaan dari mana-mana sumber yang sah untuk promosi dan perlindungan hak asasi manusia, tidak boleh dianggap menyalahi undang-undang atau anti-nasional dalam apa cara jua. Tambahnya, dana asing diperolehi bukan sahaja oleh pertubuhan sukarela dan masyarakat sivil tetapi juga kerajaan.

Presiden badan bebas antarabangsa membanteras gejala rasuah, Transparency International Malaysia (TI-M), Paul Low turut mempertahankan Suaram yang diserang atas dakwaan menerima dana asing. Baginya, kerajaan juga menerima sumber dari banyak negara luar dan menegaskan amalan tersebut tidak salah.

"Sebagai sebuah NGO berdaftar di Malaysia,  TI-M sedar kesukaran dan cabaran yang dihadapi oleh pergerakan masyarakat awam bagi mengumpul dana untuk projek kami dan pelbagai aktiviti  lain. Malah ramai rakan kongsi dalam masyarakat menerima dana asing dalam bentuk tertentu atau lain-lain," kata Low.

Beliau bagaimanapun berkata prinsip TI-M ialah memastikan dana yang diterima datang daripada sumber yang sah dan tidak dipengaruhi sesuatu objektif atau mewujudkan sebarang bentuk  percanggahan kepentingan mahupun hilang kebebasan di dalam mengendalikan suatu projek.

Low menambah bahawa dana asing telah sentiasa menjadi asas pergerakan bagi masyarakat awam, terutamanya di negara-negara membangun apabila isu-isu seperti rasuah dan hak asasi manusia  cenderung untuk merentasi semua bidang kuasa. "Di universiti, malahan ahli pemikir dan juga kerajaan Malaysia turut menerima pembiayaan daripada pelbagai institusi asing," kata Low.

Penulis dan penggiat budaya, Rahmat Haron mengungkapkan hal sama: "Kerajaan Malaysia juga menerima bantuan dan dana asing, juga pinjaman dan modal asing yang mempengaruhi perubahan tata susunan dan aturan sistem ekonomi politik Malaysia sejak merdeka, sehinggalah ke hari ini.

"Data Bank Dunia menunjukkan semenjak tahun 1958 sehingga ke hari ini, banyak projek di Malaysia telah mendapat bantuan Bank Dunia. Apakah pula misalnya para hakim dan kakitangan kehakiman negara yang mengikuti program-program latihan tajaan Bank Dunia, dapat kita katakan telah menjadi alat Bank Dunia, yang mewakili kepentingan pemodal antarabangsa untuk menjajah Malaysia? "

BN khianati dana awam beli saham FGVH

Bashir Ishak, 21 Sep 2012
KANGAR: Lajnah Pekerja PAS Pusat amat prihatin dengan keadaan tidak menentu saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH)di Bursa Malaysia kerana turut melibatkan nasib golongan pekerja di negara ini.


Menurut  pengerusinya, Mohd Anuar Tahir (gambar) penyenaraiakan FGVH ke Bursa Malaysia bukan lagi dilihat melibatkan para peneroka Felda serta para pelabur malah kini melibatkan golongan pekerja.

"Baru-baru ini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut terlibat membeli saham FGVH ketika sahamnya sedang jatuh. Justeru keprihatinan Lajnah Pekerja kini bukan sahaja membabitkan golongan peneroka Felda malah ianya turut membabitkan golongan pekerja di negara ini memandangkan tabungan hari tua mereka kini turut dilaburkan.

"Pihak kami memandang serius amalan kerajaan BN yang memaksa pengurusan tabung-tabung awam milik rakyat untuk membeli saham-saham tertentu yang belum tentu akan memberikan pulangan yang baik kepada pencarumnya," jelas beliau.

Menutu Mohd Anuar lagi, Lajnah Pekerja PAS Pusat bimbang dengan amalan kerjaan BN sedemikian kerana setiap tabung awam seperti KWSP, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) atau Tabung Haji adalah dana awam yang diamanahkan oleh pencarum untuk diuruskan dengan sebaiknya.

"Janganlah tabung awam in digunakan sewenang-wenangnya. Tabung Haji umpamanya adalah simpanan terbesar umat Islam untuk menyempurnakan rukun Islam yang diharap dapat membaiki atau memperkukuhkan ekonomi ummah telah digunakan sewenang-wenangnya.

“KWSP sebagai khazanah terbesar pekerja untuk hari tua mereka setelah sekian lama berkorban dan berkeringat untuk memajukan negara ini juga telah digunakan untuk projek-projek kerajaan BN," katanya.

Untuk itu, ujarnya Lajnah Pekerja PAS Pusat mendesak kerajaan supaya memberhentikan amalan menggunakan tabung awam untuk projek-projek yang berisiko atau sebagai "bail-out" projek yang dijangka akan gagal.

"Kejatuhan saham FGVH baru-baru ini bukan lagi isu peneroka Felda tetapi juga menjadi isu bersama rakyat di negara ini. Menggunakan tabung awam untuk pelaburan yang merugikan apatah lagi untuk menjadi ‘pak sanggup’ di bursa saham merupakan perlakuan yang malang dan tidak bertanggung jawab.

"Saya mengajak golongan pejuang nasib pekerja dan kesatuan pekerja di negara ini untuk mendesak kerajaan BN memberhentikan polisi khianat kepada para pekerja di negara ini seperti yang berlaku kepada KWSP dalam pembelian saham FGVH ini.

"Golongan pekerja jangan takut untuk turun ke jalan raya sekiranya polisi khianat seperti ini diteruskan kerajaan BN," ujarnya lagi

PRK: Pro-M UM bantah 'calon tua' Gerak

Harakahdaily, 21 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Kumpulan Pro Mahasiswa Universiti Malaya membantah pencalonan tujuh orang wakil kumpulan aspirasi Penggerak Mahasiswa (Gerak) didakwa melanggar Peraturan dan Tatacara Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya 2012/2013.

Calon-calon tersebut adalah dari fakulti kejuruteraan, pendidikan, kebudayaan dan calon umum.

Menurut mereka, bahagian kelima di bawah kelayakan calon, peraturan menetapkan calon yang layak bertanding adalah mesti mempunyai baki tempoh pengajian sekurang-kurangnya setahun atau dua semester.

Bagaimanapun ketujuh-tujuh calon Gerak itu didakwa tidak memenuhi syarat layak itu kerana baki tempoh pengajian mereka kurang dari dua semester.

Selesai penamaan calon semalam, kumpulan Pro-M telah mengemukakan bantahan kepada Panitia Jawatankuasa Pemilihan Pelajar namun menurut pihak terbabit, ianya harus dirujuk kepada kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP).

Ekoran itu mereka kemudian cuba mendapatkan penjelasan TNC HEP berhubung perkara itu namun tidak berjaya.

Pengerusi Pro-M Nasional Edikuop Lakip Sediyanto ketika dihubungi Harakahdaily hari ini berkata, pihaknya berkemungkinan akan membuat laporan polis pada hari ini.

"Kita akan buat laporan polis di Balai Polis Pantai tengahari ini kerana dikhuatiri ada unsur 'penipuan' pada pilihan raya kali ini.

"Kita juga akan mendapatkan khidmat peguam untuk mendapatkan pandangan sewajarnya.

"Jika perlu, kita akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menangguhkan PRK kali ini bagi menyelesaikan masalah ini terlebih dahulu," katanya.
Ribuan berarak ke kedutaan AS bantah filem anti-Islam
  • Abdul Rahim Sabri & Hafiz Yatim
  • 3:00PM Sep 21 2012
 
GALERI FOTO
Ribuan umat Islam dari Umno dan PAS berhimpun di Kuala Lumpur hari ini kerana membantah filem Innocence of Islam yang menghina Nabi Muhammad SAW dan mencetuskan demonstrasi anti Amerika Syarikat (AS) di seluruh dunia.

NONENaib presiden PAS, Salahuddin Ayub mengetuai demonstrasi 'Xpresi Hijau Kasih Nabi SAW' anjuran Pemuda PAS selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak, sebelum kira-kira 5,000 orang berarak ke kedutaan AS dekat situ.

Sementara itu, protes anjuran Umno pula diketuai oleh Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin yang berlangsung di Masjid Kampung Baru disertai kira-kira 3,000 orang.

Kedua-dua protes tersebut turut disokong oleh pertubuhan Islam dan pelbagai NGO.

NONEDalam perhimpunan anjuran Pemuda PAS, peserta berarak ke kedutaan Amerika Syarikat dengan melaungkan "Hidup Islam", "Hancur Israel", dan "Hancur Amerika", bertakbir dan berselawat berulang-ulang kali.

Beberapa peserta juga bertindak membakar kain rentang memaparkan bendera Amerika dan logo Bintang David yang menjadi lambang negara Israel sebelum dipadamkan Unit Amal yang berkawal.

Mereka turut merentang pelbagai kain pemidang dan mengangkat poster yang mengutuk filem itu serta memuji baginda SAW.

'Obama perlu bertanggungjawab'
Turut bersama beberapa pimpinan pembangkang dan NGO seperti Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man Naib Presiden PKR Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar serta Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia Mohd Azmi Hamid.

barack obama inauguration as american president 210109Dalam ucapannya, Salahudin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian mendesak Presiden AS Barrack Obama bertanggungjawab atas penerbitan dan penyiaran filem itu dan mendesaknya memohon maaf.

"Barrack Obama perlu bertanggungjawab minta maaf seluruh dunia.... Kami akan pertahan Nabi Muhammad SAW dengan apa cara sekalipun," katanya.

Sementara Tian pula berkata kehadiran beliau bersama dengan umat Islam bertujuan menyatakan pendirian jelas tidak membenarkan sesiapa pun menghina agama lain, termasuk Islam.

NONEDelegasi enam orang diketuai Salahudin kemudiannya menyerahkan memorandum Pemuda PAS kepada kedutaan AS kira-kira jam 3 petang, yang antara lain mendesak negara itu bertegas terhadap Nakoula Basseley yang dipercayai penerbitnya.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dalam sidang media menyatakan kekesalannya terhadap kedutaan apabila hanya menghantar ketua keselamatan menerima menerima memorandum mereka.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata pihaknya berpuas hati dengan perhimpunan hari ini yang berjalan baik, mengikut peraturan dan tiada insiden tidak diingini.

Pemuda Umno ambil kesempatan kritik DAP
Bagaimanapun,dalam perhimpunan anjuran Pemuda Umno, ketuanya Khairy mengambil pendekatan berbeza apabila turut mengambil peluang mengkritik pemimpin DAP Perak Ngeh Koo Ham yang didakwa mempertikai bantahan umat Islam dalam isu itu.

NONEKhairy yang juga Ketua Pemuda BN malahmenggesa PAS meninggalkan Pakatan Rakyat kerana mendakwa DAP tidak menunjukkan perpaduan dalam membantah filem Innocence of Islam itu.

"Bagaimanapun, (MP Beruas Datuk) Ngeh Koo Ham berkata ini (protes) buang masa," katanya.

Berbeza dengan Pakatan, kata Khairy, perhimpunan mereka turut disertai pelbagai kaum dari MCA dan MIC yang menyatakan kebersamaan dalam bantahan itu.

"Kami akan lakukan perkara yang sama jika ini berlaku kepada agama lain," katanya.

Ngeh semalam memohon maaf atas kenyataannya di Twitter sebelum ini.
Ahli perniagaan, anak didakwa sebab kematian peniaga air
  • Bernama
  • 7:11PM Sep 21 2012
 
Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan anak lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang peniaga air bulan lepas.
  
Datuk Seri Jaafar Shaari, 50, dan anaknya Ahmad Jiwari Jaafar, 23, secara bersama didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Azahari Sidek, 44, di Downtown The Mines, Seri Kembangan, Selangor, antara 3.40 pagi dan 5.30 pagi pada 13 Ogos lepas.
  
Jaafar dan Ahmad Jiwari yang juga ahli perniagaan didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
  
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Ab Rashid menawarkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
  
Peguam Datuk Abd Halim Yahya yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon mahkamah agar wang jaminan dikurangkan kerana penjamin bagi Jaafar iaitu isterinya merupakan seorang pekerja kilang manakala penjamin bagi Ahmad Jiwari pula adalah ibu saudaranya.
  
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Okt untuk tarikh sebutan.

- Bernama
Audit S'gor cuma cemarkan nama baik SPR
  • Kuek Ser Kuang Keng
  • 3:57PM Sep 21 2012
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendakwa audit pengundi yang dijalankan kerajaan Selangor tidak ikhlas dan dilakukan untuk mencemarkan nama baiknya dengan melabelkan pengundi asli sebagai pengundi meragukan.

NONEBagi membuktikan perkara itu, pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini mengetengahkan dakwaan yang dibangkitkan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution yang disifatkannya sebagai meragukan.

Saifuddin dalam program di Radio24 baru-baru ini dilapor mendakwa dan menunjukkan sebuah dangau (pondok) menjadi tempat untuk 13 pengundi berdaftar di Kampung Sungai Pusu, Gombak.

NONEBagaimanapun, Aziz menjelaskan, setelah SPR turun ke lapangan dangau itu sebenarnya tempat letak motosikal dan sebenarnya terhadap penduduk tinggal di kampung sekitarnya.

Sehubungan itu, Aziz berkata, sebarang kekeliruan sepatutnya dirujuk kepada SPR terlebih dahulu dan bukannya membuat dakwaan di media.

Katanya, jika terdapat kekeliruan, SPR akan membetulkannya berdasarkan undang-undang sedia ada.
PRU13: Adakah sesi Bajet sidang terakhir Parlimen?
2:06PM Sep 21 2012  
Persidangan Dewan Rakyat yang membuka tirai Isnin ini dijangka menjadi tumpuan umum, bukan sahaja kerana pembentangan Bajet 2013, tetapi juga bagi membaca tarikh pilihan raya umum ke-13.
  
Spekulasi bahawa ini mesyuarat terakhir kembali hangat setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berseloroh menyatakan sudah teringin mengumumkan pilihan raya ketika melawat Machang, Kelantan awal bulan ini.
  
(Mesyuarat yang bermula Isnin ini merupakan mesyuarat ketiga penggal kelima dan lazimnya Parlimen bersidang sebanyak empat kali pada setiap penggal).
  
Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, mandat kerajaan yang ada sekarang akan tamat pada 28 April 2013, dan menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Parlimen akan terbubar secara automatik jika Yang di-Pertuan Agong tidak membubarkannya sebelum tarikh itu.
  
"Selepas itu SPR diberi tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya umum bagi membentuk kerajaan baharu. Perkara sama terpakai untuk dewan undangan negeri kecuali Sarawak," katanya kepada Bernama hari ini.
  
Mesyuarat kali ini akan berlangsung selama 34 hari hingga 27 November dan pastinya spekulasi pilihan raya umum menjuruskan mata rakyat kepada Bajet 2013 yang akan dibentang Najib Jumaat ini.

Rakyat secara keseluruhan pasti menunggu apakah 'khabar gembira' untuk mereka terutama pada aspek kenaikan harga barang, manakala bagi 1.4 juta penjawat awam pula ternanti-nanti pengumuman penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia.
  
Pada Mei lepas, Najib yang juga Menteri Kewangan 1 dilapor menjanjikan Belanjawan 2013 akan memberi tumpuan terhadap pertumbuhan seimbang dan berkualiti selain kebajikan rakyat.
  
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee ketika dihubungi Bernama yakin mesyuarat kali ini lebih hangat daripada kebiasaan.
  
Wakil rakyat yang yakin kali ini mesyuarat terakhir sebelum Parlimen bubar, akan menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk mengemukakan isu masing-masing dan, katanya.     
  
"Speaker akan sentiasa didesak untuk memberi mereka lebih masa berdebat," katanya.
  
Persidangan kali ini juga akan menyaksikan perubahan tempat duduk anggota Dewan Rakyat membabitkan Anggota Parlimen Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin dan Anggota Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Bumburing.
  
Pada Julai lepas, Lajim mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam Umno dan BN serta menyatakan sokongan kepada pembangkang. Beliau bagaimanapun tidak keluar parti.
  
Susulan itu, kerajaan pusat membatalkan jawatan Lajim selaku Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Sementara itu, Bumburing yang merupakan Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) pula mengumumkan keluar dari Upko yang merupakan parti komponen BN.   
Berdasarkan carta pada laman sesawang Parlimen, kedua-dua wakil rakyat itu diletakkan berhampiran petak anggota parlimen Bebas.
Kedudukan sebenar kedua-dua wakil rakyat tersebut akan ditentukan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas beliau berpuas hati dengan kedudukan mereka dalam parti yang disertai sebelum ini.
 - Bernama
 
Saman malu terhadap ketua penerangan Wanita Umno diteruskan
7:02PM Sep 21 2012  
Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan hari ini bahawa perbicaraan saman malu terhadap Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Hamidah Osman kerana menyiar dalam tulisan blognya gambar 'superimposed' Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, berpakaian jubah seperti seorang paderi, diteruskan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Tiga anggota panel diketuai Hakim Datuk Ramly Ali sebulat suara menolak rayuan Hamidah supaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan permohonannya untuk membatalkan saman ke atasnya yang dibuat oleh Khalid.   
Hakim Ramly, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Zaharah Ibrahim dan Hakim Anantham Kasinater, juga memerintahkan Hamidah membayar kos guaman RM5,000.    
Khalid, yang juga Pesuruhjaya PAS III memfailkan saman terhadap Hamidah tahun lepas berhubung penyiaran gambar 'super imposed' Anggota Parlimen itu yang disiarkan melalui blognya pada Januari 2010.
Dalam pernyataan tuntutannya, Khalid berkata gambar itu menunjukkan beliau seperti seorang padri Kristian dan seorang yang murtad.
Khalid menuntut ganti rugi yang tidak ditetapkan jumlahnya, relif dan kos lain yang ditentukan oleh mahkamah.
Pada 1 Jun tahun ini, Hamidah gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membatalkan saman malu tersebut.    
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zainal Azman Ab Aziz memerintahkan kes itu dibicarakan sepenuhnya setelah tidak bersetuju dengan hujah peguam kepada Hamidah bahawa kes itu sepatutnya dibatalkan atas alasan ia sepatutnya didengar di Mahkamah Syariah dan bukan di mahkamah sivil kerana ia menyentuh isu kepercayaan.    
Hamidah, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat, Perak, dalam pembelaannya berkata Khalid, sebagai seorang jurutera tidak memiliki hak menyebar atau mengajar ajaran Islam.
Hamidah diwakili oleh peguam Datuk Hafarizam Harun dan Khalid oleh
Azhana Mohd Khairudin.
- Bernama
Kawalan udara tergendala minggu lalu, dakwa PKR
  • Hazlan Zakaria
  • 1:21PM Sep 21 2012
 
Pusat Sistem Kawalan Udara Kuala Lumpur tergendala minggu lalu menyebabkan kegagalan sistem secara sepenuhnya "tanpa radar dan radio", sekali gus menyebabkan penerbangan tanpa panduan, dakwa PKR.

klia haze aircraft landing 161006PKR juga mendedahkan sistem log dan laporan interim Jabatan Penerbangan Awam (DCA) oleh kontraktor penyelenggaraan sistem pada 12 September, jam 2.50 pagi bagi membuktikan dakwaan mereka.

"Dalam industri penerbangan yang mana keselamatan mesti di tahap sifar, perkara nyaris seperti ini boleh menyebabkan bencana besar," kata Naib Presiden PKR Tian Chua dalam sidang media di depan Pusat Sistem Kawalan Udara Kuala Lumpur di Subang pagi ini.

Justeru, PKR menuntut Jabatan Penerbangan Awam dan menteri pengangkutan tampil menjelaskan bagaimana perkara itu boleh berlaku.

Ketua Pengarah DCA bagaimanapun kemudiannya menafikan dakwaan komunikasi radio terputus.
Jabatan penerbangan nafi hilang kawalan pesawat
  • Hazlan Zakaria
  • 7:02PM Sep 21 2012
 
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menafikan hilang kawalan terhadap pesawat di sektor Pusat Sistem Kawalan Udara Kuala Lumpur selepas gangguan bekalan tenaga menyebabkan radar pusat tidak berfungsi lebih sejam minggu lepas.

NONE"Kami alami gangguan kuasa ekoran masalah dengan pemutus litar dan radar tidak beroperasi," akui Ketua Pengarah DCA Azharuddin Abdul Rahman kepada Malaysiakini.

Beliau menegaskan, masalah itu tidak berkaitan dengan kawalan trafik udara tetapi hanya gangguan tenaga.

Azharuddin menjelaskan pihaknya tidak perasan apabila pemutus litar terputus.

Bagaimanapun, tambahnya, walaupun bekalan alternatif kembali seperti biasa, radar tiada sambungan selepas bateri UPS kehabisan tenaga.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan hilang komunikasi radio.

klia haze aircraft landing 161006Katanya, walaupun frekuensi dalaman yang digunakan penyelia trafik udara tidak berfungsi, mereka masih boleh berhubung dengan pesawat melalui saluran radio awasan.

PKR pagi ini mendakwa Pusat Sistem Kawalan Udara Kuala Lumpur tergendala minggu lalu menyebabkan kegagalan sistem secara sepenuhnya "tanpa radar dan radio", sekali gus menyebabkan penerbangan tanpa panduan.

PKR juga mendedahkan sistem log dan laporan interim Jabatan Penerbangan Awam (DCA) oleh kontraktor penyelenggaraan sistem pada 12 September, jam 2.50 pagi bagi membuktikan dakwaan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan