Khamis, 26 Julai 2012

USRAH BUKAN DIKALANGAN ARTIS SAJA...MALAH PATUT DARI PERINGKAT KEPIMPINAN HINGGA KE AKAR UMBI...USRAH MERUPAKAN JENTERA BAGI JEMAAH ISLAMIAH

Awang Adek dimalukan dengan isu KGT

Aslani M, 26 Jul 2012
KOTA BHARU: Percubaan Umno Kelantan bertenggek di atas isu Kelantan Golden Trade (KGT) akhirnya terlodeh apabila polis menjelaskan tiada sebarang penyeleweng terhadap urus tadbir agensi terbabit.

Sedangkan sebelum ini Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussein memberi tempoh 21 hari supaya kerajaan negeri menyiasat dakwaan penyelewengan KGT.

“Hari ini, KGT disahkan bersih, sedangkan Awang Adek yang dikaitkan dengan pelbagai dakwaan salah guna kuasa sejak akhir-akhir ini masih belum terbukti tidak bersalah.

“Sepatutnya beliau merasa malu dengan kenyataannya sebelum ini kerana mengutip maklumat di tepi jalan bagi memburukkan kerajaan negeri,” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.

Semalam Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dalam satu kenyataan media mengesahkan tiada unsur jenayah komersial yang dikaitkan dalam isu penyelewengan KGT.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Kelantan melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Umno dan NGO tajaan mereka yang melontarkan pelbagai tuduhan dan tohmahan terhadap KGT.

Kata beliau juga sepatutnya Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad dan beberapa NGO Umno merasa aib di atas tindak tanduk mereka selama ini.

“Sewajarnya Wan Khairul Ihsan yang baru menyertai Umno April 2010 menumpukan kepada skandal pemimpin parti itu yang masih belum dibersihkan mana-mana pihak,” ujarnya.

Katanya, sebagai “orang baru” dalam Umno Wan Khairul masih belum mampu membantu parti itu biar pun pelbagai tindakan dilakukan termasuk menyertai demontrasi di hadapan Kota Darulnaim.

“Mungkinkah Wan Khairul ingin membuktikan kepada pimpinan Umno bahawa beliau layak diketengahkan sebagai calon pilihanraya dengan mengenepikan tokoh-tokoh lebih senior,” tambahnya.
 

Rohingya: Dunia perlu beri tekanan pada Myanmar

Harakahdaily, 26 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melihat perkembangan terkini mengenai umat Islam di Rohingnya amatlah menggusarkan.
Penyelaras SAMM Wilayah Persekutuan, Azmir Mustafa berkata penghapusan etnik Islam Rohingnya di Rakhine (Arakan) telah berlaku tanpa campur tangan dunia dan pembunuhan beramai-ramai itu seolah-olah dibiarkan dengan sengaja oleh regim di Myanmar.

Justeru itu, katanya SAMM Wilayah tampil untuk menjayakan sebuah bantahan di hadapan kedutaan Myanmar sekaligus menyerahkan satu memorandum bantahan.

Bantahan dan penyerahan memorandum itu, ujarnya akan diadakan pada 3 Ogos ini di Kedutaan Myanmar, Jalan Ampang Hilir selepas solat Jumaat.

“Semua NGO yang memperjuangkan kemanusiaan dan semua parti politik di dalam negara ini juga diseru untuk bersama membuat bantahan dan turut mengiringi penyerahkan memorandum,” katanya dalam satu kenyataan.

Azmir berkata, ia bukan soal agama tetapi kemanusiaan apabila wanita dan kanak-kanak turut menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan etnik Rohingnya.

Di atas nama kemanusiaan, tegas beliau dunia harus memberi tekanan kepada Myanmar agar bertindak menghentikan penghapusan etnik Rohingnya.

Menurutnya, Malaysia lebih lagi dikenali sebagai sebuah negara Islam harus lebih peka dan lebih ke hadapan dalam memberi tekanan yang besar ke atas Myanmar yang juga negara serantau.

Beliau menambah, SAMM Wilayah melihat kewajaran untuk rakyat sendiri untuk turun memberi tekanan kepada Myanmar sekiranya kerajaan Malaysia gagal memainkan peranan.

“Tanpa mengira fahaman agama dan warna kepartian, semua wajib bersama menyertai tekanan ke atas negara Myanmar,” tegasnya.


Artis sertai usrah untuk pertingkat ilmu

Salmah Mat Husain, 26 Jul 2012
KOTA BHARU: Program usrah yang diadakan di kalangan artis bermula tahun lalu bertujuan untuk meningkatkan tahap keimanan khususnya yang telah berhijrah.
Artis Hayati Hamzah atau Yatt Hamzah (gambar) ketika dihubungi memberitahu, walaupun mereka telah berhijrah khususnya artis wanita dengan menutup aurat, namun kelas-kelas agama dan usrah perlu dihadiri untuk mempertingkatkan ilmu dan iman masing-masing.

Menurutnya, andainya dahulu hanya lima orang sahaja artis yang sudi menghadiri kelas usrah, bagaimanapun kini telah meningkat lebih 30 orang pada satu-satu masa.

“Antaranya yang bersama kami Enot, Irma Hashime dan lain-lain lagi,” ujarnya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau bagaimanapun memberitahu, kelas usrah sepanjang Ramadhan ini terpaksa ditiadakan memandangkan para ustaz yang mengendalikan program itu kesuntukan masa.

“Kelas usrah kami diadakan pada waktu malam, bayangkanlah andainya waktu malam usrah diadakan, pukul berapa ianya harus bermula memandangkan solat sunat terawih juga siap agak lewat.

“Ustaz yang membimbing kami juga ada di antara mereka memenuhi jemputan sebagai pengkuliah di luar Kuala Lumpur,” ujarnya.

Yatt Hamzah yang juga seorang pelakon pernah diundang oleh kerajaan Kelantan untuk memenuhi program Bicara Selebriti ke-5 sempena Hari Hiburan Islam (Hai) 12 Julai lalu.

Selain Yatt, blogger Saifulislam.com, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, artis Indonesia, Kholidi Masadil Alam dan Ana Rafali dijemput sebagai panel menjayakan program itu.

Untuk itu, katanya anggota usrah berkenaan menunaikan solat sunat terawih di beberapa tempat yang sesuai khususnya di tempat yang berhampiran kediaman masing-masing.

“Tapi kalau Yatt, Yatt lebih selesa di Masjid Wilayah, kat sini imam dari Mekah dan Madinah menjadi imam solat,” ujarnya.

Bersesuaian dengan bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini, beliau akan mengambil kesempatan sebaik mungkin untuk ke arah yang lebih baik, khususnya sentiasa istiqamah dengan penghijrahan itu.

Antara mereka yang memainkan peranan penting sebagai naqib pada program usrah sekali seminggu itu,  Ustaz Rusdi Ramli, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Ghazali Ibrahim dan lain-lain.

NGO desak Syabas kemuka maklumat lengkap

Muhammad Faizal, 26 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Gabungan Menentang Penswastaan Air (CAWP) meminta pihak Syabas memberi maklumat lengkap mengenai krisis air yang dikatakan akan berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dalam memorandum yang deserahkan mereka kepada Syabas hari ini, CAWP turut menegaskan maklumat tersebut perlu diberikan sebelum 7 Ogos ini.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang turut serta ketika penyerahan itu berkata, jika pihaknya tidak menerima sebarang maklumat dapat membuktikan akan berlaku krisi air, maka kenyataan yang dihebaohkan oleh Syabas selama ini adalah satu pembohongan semata-mata.

Penyerahan memorandum itu turut disertai beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Memorandum tersebut telah diterima oleh Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Teknikal Syabas, V Subramaniam.

Dalam memorandum tersebut terdapat tujuh tuntutan yang pelu dilaksanakan oleh Syabas.

"Kita ingin mengetahui kuantiti air mentah dari empangan ke pengambilan sungai (river intake) dan stesen pengepaman loji rawatan ke dalam loji rawatan air iaitu bermula 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini.

"Kita juga ingin mengetahui bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat keloji rawatan masing-masing bagi tempoh masa yang sama," jelasnya.

Charles juga berharap, Syabas dapat menyatakan bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke sistem pengagihan kepada pengguna yang melelalui Syabas.

Jelasnya lagi, salinan buku log dan meter tentukur (calibrated meter) yang melibatkan pengepaman keluar setiap hari bagi setiap loji rawatan.

"Kami juga turut mahu mengetahui jumlah bil-bil elektirk, pengguna kimia dan juga bila pembayaran Puncak Niaga kepada Syabas untuk air yang dijual bagi tempoh masa yang sama.

"Kami berharap pihak Syabas dapat memberi maklumat tersebut demi kepentingan rakyat dan juga ketelusan," katanya lagi.

Tambah beliau, segala maklumat yang diberikan oleh pihak Syabas itu akan ditelitikan oleh pakar yang dilantik bagi menentukan samada benar atau tidak bahawa akan wujud krisis air seperti mana yang diperkatakan.

Dalam pada itu beliau turut meminta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai jawatankuasa kabinet mengenai krisis air Selangor mengarahkan Syabas untuk memberikan maklumat yang telah diminta seperti mana yang terkandung di dalam memorandum.

Saya rasa tak selamat selepas ditangkap polis'

Hazayani Zakaria, 26 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Seorang petugas media memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini bahawa beliau hanya berasa tidak selamat di perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu selepas ditangkap dan dikasari polis.

Wartawan Malaysiakini, Koh Jun Lin yang membuat liputan pada perhimpunan tersebut sebaliknya berkata, sebelum polis melepaskan gas pemedih mata dan menangkap beliau, beliau berasa selamat dan teruja bertugas pada perhimpunan tersebut.

"Selepas saya ditangkap, saya berasa tidak selamat berada di situ sedangkan sebelum itu perhimpunan itu aman dan meriah seperti karnival. Saya pun gembira bertugas," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Koh ditangkap polis ketika mengambil gambar di Jalan Raja Laut. Polis ambil kad media dan kamera saya. Saya dibawa ke Pulapol walaupun saya bagitahu saya wartawan.

"Di Royal Club, saya dapat kembali kamera saya tapi kad memori polis rampas. Saya dibawa ke Pulapol dan dibebaskan selepas kira-kira 7.45 malam.

"Polis juga mengakui melakukan kesilapan menangkap saya," katanya.

Tambah Koh lagi, beliau tidak menyangka akan dikasari polis kerana beranggapan akan berada dalam keadaan selamat apabila membawa kad media.

"Sebelum ini wartawan senior ada memberitahu saya, saya tidak akan selamat jika membawa kad media ketika bertugas. Tapi sebaliknya yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

'Bonus bagus, tapi tak selesai masalah sebenar'

Muhammad Faizal, 26 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Biarpun menyambut baik pengumuman bonus penjawat awam oleh Perdana Menteri semalam, namun bagi PAS ianya bukan penyelesaian jangka masa panjang kepada beban hidup yang ditanggung rakyat.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, sehingga kini kerajaan BN hanya pandai bermain dengan pemberian one-off menggunakan angka 500, namun gagal merancang pelan tindakan untuk jangka masa panjang.

"Kerajaan gagal melaksanakan plan bertindak jangka panjang bagi membantu kesempitan hidup rakyat, bagi menutup kelemahan tersebut mereka hanya menggunakan RM500 dengan tujuan menutup mulut rakyat.

"Banyak imbuhan yang diberikan sebelum ini hanya dalam lingkungan RM500 sahaja dan itu sahaja yang mampu dilakukan oleh kerajaan untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa semua penjawat awam akan diberikan bonus setengah bulan gaji dengan minima RM500.

Bayaran RM500 itu juga turut akan diberikan kepada pesara kerajaan.

Sambil melabelkan BN sebagai 'Kerajaan 500', Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut melahirkan kebimbangan pemberian one-off itu akan disusuli dengan kenaikan harga barang.

Jika kerajaan gagal mengawal keadaan itu katanya, yang menjadi mangsa adalah rakyat bukan kakitangan awam yang tidak menerima bonus tetapi terpaksa menanggung kesan kenaikan harga barangan itu.


‘Kawan pun bagitahu saya press polis terus pukul’

Hazayani Zakaria, 26 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Seorang petugas media hari ini berpandangan polis melanggar Seksyen 24 Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 ketika bertugas di Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Wartawan akhbar The Sun, Radzi Razak bersetuju ketika wakil pemerhati daripada Bersih pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini membacakan kandungan sekyen 24 dan meminta pandangan beliau.

Seksyen 24 memperuntukkan mana-mana wakil media boleh mempunyai akses yang munasabah kepada tempat perhimpunan dan menggunakan apa-apa kelengkapan untuk membuat laporan tentang perhimpunan itu.

"Adakah anda rasa seksyen 24 Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 ini telah dilanggar?" soal pemerhati dan disusuli jawapan 'ya' oleh Radzi.

Pada hari tersebut, Radzi, 27, dipukul oleh tujuh anggota polis ketika berada di persimpangan Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Razak pada perhimpunan tersebut.

Menurutnya, sebelum beliau dipukul, beliau nampak dua anggota polis bercakap sesuatu kepada sekumpulan anggota yang berkumpul berhampiran Dataran Merdeka sebelum mereka berpecah dan memukul peserta yang berada di kawasan sekitar.

"Sekumpulan polis menuju ke arah saya dan menendang kepala saya sehingga jatuh terlentang. Saya jerit 'press' dan kawan-kawan saya pun bagitahu saya press. Polis terus pukul dan kemudian berlalu tanpa kata apa-apa," kata beliau yang merupakan saksi ke-17.

Beliau berkata demikian di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan