Khamis, 12 Julai 2012

SAPE BAKAL PM SELEPAS PRU 13...HANYA ALLAH SAJA YANG TAHU....

Najib tertekan dengan dakwaan demokrat palsu

Harakahdaily, 11 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai tertekan dengan jolokan Demokrat Palsu oleh sebuah majalah Kanada 'Globe and Mail' bulan lalu karangan Mark Mackinnon dalam tulisan bertajuk: ‘A 21 st-century checklist of new autocrats’.

Anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan Najib sangat tertekan dengan laporan itu kerana beliau disamakan dengan pemimpin yang tidak demokratik.

Antaranya Presiden Russia Vladimir Putin; Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Presiden Algeria Abdelaziz Bouteflika, Perdana Menteri Ethiopian Meles Zenawi dan Perdana Menteri Cambodia Hun Sen.

Bekas ahli kelab ini pula  dikatakan terdiri dari Slobodan Milosevic dan Hosni Mubarak yang gulingkan oleh rakyat Mesir baru-baru ini.

Antara Ciri utama kelayakan dalam kelab ini adalah pimpinan yang menganjurkan pilihanraya tetapi tidak bersedia untuk melepaskan kuasa sementara menahan serta memenjarakan seteru politik dari pembangkang, kata Dr Dzul.

Meskipun pun demokrasi yang mereka amalkan itu palsu dan tempang, tetap pimpinan demokrat palsu ini boleh di'turunkan’ rakyat dalam demokrasi dan ruang media yang sempit itu.

Di ambang pilihanraya ke-13 yang sangat mencabar buat Najib dan BN, telahan dan ‘title’ barunya tentunya tidak membantu beliau, kata Dr Dzulkefly yang juga AJK PAS Pusat itu.

Sejarah rampasan kuasa di DUN Perak masih segar dalam ingatan umum, katanya.

Najib, minta beliau, wajar mengeluarkan kenyataan bagi membuktikan kesediaan beliau bertarung secara ‘gentleman’ dan seandainya kecundang akan berani berundur secara terhormat sebagai seorang ‘negarawan’ yang disanjung.

Namun, sehingga kini, komitmen beliau ke arah ini belum tampak lagi, tambah Dr Dzulkefly (gambar).

Sebaliknya segala perhitungan menundakan pembubaran parlimen ditanggapi rakyat sebagai perhitungan licik untuk mengekalkan kuasa.

Lebih ngeri lagi apabila rakyat diingatkan dengan retoriknya dengan “biar berkecai tulang dan badan, bercerai jasad dan nyawa Putarjaya tetap akan kita pertahankan” tambah beliau.

Komitmen beliau memberikan suara ‘semak-imbang’ dan ‘pertentangan legitimate’ dari pihak pembangkang dan pihak sivil-NGO adalah kunci kepada kayu ukor seorang democrat tulen, kata Dr Dzul lagi.

Baginya, Najib gagal dalam menangani tuntutan dan desakan contohnya BERSIH, Anti-Lynas dan GMI.

"Kesemua adalah tuntutan yang ‘legitimate’. Beliau tidak perlu teralu gusar bahkan wajar mengurus desakan ini secara ‘engagement’ yang konstruktif bahkan boleh bersekali dalam menganjurkan ‘reformasi’ yang dipinta rakyat," tambahnya.


Bukti-bukti

Paling jelas, katanya lagi, kes Gerakan Mansuhkan ISA.

"Bertahun-tahun mereka berjuang. Setelah komitmen awal Najib menamatkan undang-undang drakonian, akhirnya ISA dimansuhkan. GMI dan rakyat bersyukur dan berterima kasih.

"Belum sempat rakyat dan khasnya mangsa memaafkan kesilapan regim yang menganiaya mereka, pentadbiran Najib merangka Akta Kesalahan Keselamatan 2012 yang lebih zalim dan drakonian," tegas Dr Dzul dalam kenyataannya.

Terkini, setelah didesak untuk 45 tahanan ISA dibebas atau dihadapkan ke mahkamah, Najib membuktikan bahawa beliau tidak sebenar melalui reformasi minda sebenar.

Beliau masih buat-buat pekak terhadap 9 orang tehanan yang telah mogok lapar selama berbalas hari.

Bagitu juga halnya dalam transformasi ekonomi dan pentadbiran, katanya.

Najib memaparkan dirinya sangat mahukan matlamat GTP atau Program Transformasi Kerajaan tercapai, tetapi melakukan segala yang sebaliknya contohnya dalam komitmen kepada tender terbuka sebagai lambang kepada ketelusan dan kebertanggungjawaban sebuah kerajaan.

Terkini

Terkini ialah pemberian kontrak dalam LRT-Ampang mengulangi keburukan amalan kronisme dalam pemberian kontrak LRT Kelana Jaya dua tahun lalu.

(Najib...tertekan)

Kalau dulu Ingress-Balfour Betty tidak diberikan walaupun telah ditetap oleh Prasarana (SPNB) sebagai yang termurah (RM610 juta) dan punya pengalaman teknikal yang baik.

Berulang lagi pemberian kontrak (RM960 juta) yang dikatakan akan diberikan juga kepada Konsortium George Kent yang jelasnya memperolehi markah terendah dalam penilaian teknikal dan gagal di dalam penilaian kewangan.

"Berbanding 7 pembida, George Kent jauh terkebelakang bukan sahaja di segi berpengalaman teknikal tetapi juga keupayaan kewangan kerana yang lain, ada telah siapkan projek menjangkaui RM5 bilion.

"Sangat malang," kata Dr Dzul kesal.

Bagi beliau, Najib menangguhkan pembubaran parlimen tentunya untuk memberikan ruang kepada pentadbiranya untuk membaikki imej dan ‘approval rating’nya di kacamata rakyat dan pengundi.

"Berapa banyak lagi program ‘bela rakyat’ yang terpaksa dilakukan sebelum beliauberani bubar parlimen?" soal beliau.

Demokrat tulen, katanya, punya batasan dalam memberi hadiah yang tidak menjejaskan reformasi ekonomi jangka jauh yang diperlukan negara.

Pemberian runcit-runcit tidak mengizinkan rakyat hidup bermaruah bahkan sebaliknya terus meminta-minta dan menanti-nanti.

"Apakah ini yang mahu dibina oleh seorang pemimpin demokrat dan negarawan tulen?" soal beliau.

JHEAIPP adakan operasi sepanjang Ramadhan

Harakahdaily, 11 Jul 2012
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri melalui Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan meneruskan usaha dan melipatganda operasi untuk mencegah orang ramai melakukan maksiat sepanjang bulan Ramadhan sama ada pada waktu siang mahupun malam hari.
“Sepanjang Ramadan pada tahun ini, JHEAIPP akan menjalankan 3 operasi yang dinamakan  Ops Jejak  yang menumpukan kesalahan  tidak hormati Ramadan,  Ops Judi bagi kesalahan berjudi dan Ops Noda bagi kesalahan khalwat, maksiat dan berkelakuan tidak sopan di tempat awam,” kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim.

(Gambar: Abdul Malik bersama Pegawai Jaipp melihat banner iklan program sepanjang Ramadan 1433 sejurus selepas sidang akhbar di pejabatnya.)

Katanya, Ops Jejak akan menumpukan di gerai-gerai makanan, restoran, pusat membeli belah, dan tempat-tempat awam bagi memastikan orang Islam tidak makan minum atau seumpamanya yang boleh mencemarkan kesucian bulan yang penuh keberkatan ini.

Tambahnya, operasi juga akan dijalankan pada waktu malam di persisiran pantai, hotel, premis hiburan, rumah urut dan seumpamanya.

Umat Islam yang didapati tidak menghormati Ramadhan akan didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang Tahun 1996, memperuntukan kesalahan di bawah seksyen 15 yang menyebut:

Seksyen 15. Mana-mana orang, yang pada waktu berpuasa, dalam bulan Ramadan –

a)     Menjual kepada mana-mana orang-orang Islam, apa-apa makanan, minuman atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta merta dalam waktu itu:

b)     Secara terbuka, atau di tempat awam didapati, minum atau menghisap rokok, atau benda lan yang seumpamanya,

Adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Kerajaan negeri juga menyediakan 2 talian Hotline untuk mana-mana pihak melaporkan kesalahan jenayah Syariah kepada bahagian penguatkuasa Bahagian Pulau  (019 - 425 6917) Bahagian Seberang Perai  (013 - 441 9300)

Aduan juga boleh dibuat melalui  e-AduanMaksiat:
http://penguatkuasajaipp.blogspot.com/p/aduan-online_01.html

SAMM seru anak muda sertai Himpunan Oren

Harakahdaily, 11 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sangat komited untuk bersama dalam Himpunan Oren yang akan berlangsung pada 14 Julai ini sambil menyeru kepada semua anak muda untuk turun berhimpun demi menyelamatkan saki-baki khazanah negara sebelum terlambat.


Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, Himpunan Oren dijangka mendapat sambutan yang besar kerana rakyat terutamanya golongan muda harus bertindak melakukan sesuatu mempertahankan hak negara ini daripada dirompak oleh lanun berkolar putih.

Katanya, SAMM juga melalui Segmentasi Peneroka dan Luar Bandar telah masuk ke beberapa gugusan Felda termasuklah pertemuan di Gugusan Felda Palong baru-baru ini untuk pencerahan Himpunan Oren dan juga mobilisasi massa.

Bagi SAMM, ujarnya penyenaraian FGVH seumpama memperjudikan nasib peneroka Felda yang sudah berpuluh tahun berbakti kepada negara.

Menurutnya, menyenaraikan FGVH adalah satu perjudian yang harus dielak dan ditentang kerana tiada jaminan keuntungan yang berkekalan malah peneroka Felda terdedah kepada risiko kerugian melampau sepertimana yang pernah berlaku pada tahun 1998 yang lalu.

“Kerajaan kononnya memberi jaminan adalah penipuan semata-mata merujuk kepada banyak amanah saham yang sebelumnya dijamin kerajaan tetapi lingkup menyembah bumi dan nasib pemegang saham langsung tidak dibela,” ujarnya.

Beliau berkata, SAMM melihat tidak mustahil tanah Felda akan tergadai melalui penyenaraian FGVH dan ia akan melibatkan ratusan ribu hektar tanah rezab melayu.

SAMM juga, ujarnya turut mempersoal laporan yang menunjukkan Pengerusi Felda yang tidak mempunyai walau seinci pun tanah Felda yang dibangunkan, namun memperolehi 180 ribu unit saham sedangkan peneroka yang berpuluh tahun membanting tulang hanya dikurnia 800 unit saham sahaja.

Ini, ujarnya satu pengagihan tidak adil yang melampau dan harus ditentang habis-habisan.

“Ayuh anak muda Malaysia bersama SAMM berarak dari Masjid Wilayah di Jalan Duta ke Istana Negara untuk memberi tekanan dan signal yang jelas kepada kerajaan betapa rakyat terutamanya warga Felda menolak penyenaraian FGVH,” ujarnya.

Himpunan Oren: GSF terus berunding dengan polis

Anis Nazri, 11 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Gerakan Selamatkan Felda (GSF) akan meneruskan rundingan dengan pihak polis berhubung perarakan pada Himpunan Oren, 14 Julai ini.

Koordinator GSF, Mazlan Aliman, berkata rundingan itu akan diteruskan bagi memastikan perarakan ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan berhubung penyenaraian FGVH dapat dijalankan dengan aman.

"Rundingan ini dibuat memandangkan pihak polis sebelum ini tidak membenarkan perarakan pada hari tersebut.  Tetapi, peserta himpunan ini benar-benar mengharapkan adanya perarakan ini sebagai satu mesej jelas kepada kerajaan," kata beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, pagi tadi.

Mengulas larangan polis tersebut, Mazlan berkata pihak polis memberi alasan perarakan tersebut akan mengganggu pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut.

Bagaimanapun, kata beliau perkara tersebut sepatutnya tidak timbul sekiranya pihak polis memberikan kerjasama dengan mengawal lalu lintas, sekaligus mengawal peserta himpunan.

Ketika ditanya berkenaan rundingan seterusnya, Mazlan berkata perkara itu akan dilakukan esok dan akan dimuktamadkan selepas mendapat persetujuan bersama.

"Kalau boleh, kita juga mahu mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.  Atas sebab itu kita maklumkan pihak polis berhubung himpunan ini.  Harap, pihak polis bekerjasama dan ia tidak menjadi masalah (perarakan)," tegas beliau lagi.

Mengikut perancangan, Himpunan Oren yang mensasarkan peserta seramai 20,000 itu akan berkumpul dan solat Zuhur serta solat hajat di Masjid Wilayah Persekutuan sebelum bergabung dengan kumpulan bukan Islam yang berkumpul di Dataran Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, sebelum ke istana.

Dalam pada itu, Mazlan berkata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan menyertai himpunan itu sebagai komander, selain Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat lain.

Umno terdesak upah bloggers burukkan PAS

Mohd Nor Yahya, 11 Jul 2012

KOTA BHARU: PAS Kelantan menyifatkan Umno terlalu terdesak sehingga sanggup mengupah bloggers menyebarkan fitnah terhadap Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui gambar super impose.

Selain itu Umno juga menggunakan sepenuhnya ruang melalui akhbar harian yang dimiliki untuk memaparkan setiap berita negatif mengenai Kelantan, biar pun dalam banyak keadaan tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan (gambar) berkata, Umno kini menggunakan sepenuhnya ruang media baru bagi memburukkan PAS dan Pakatan Rakyat tanpa menghiraukan soal moral dan maruah.

“Kami amat kesal terhadap tindakan bloggers Umno yang semakin ganas sehingga cuba memaparkan gambar Menteri Besar di luar normal akar yang waras.

“Ini secara jelas menggambarkan mereka tidak menghiraukan langsung soal dosa dan pahala. Mereka mahu mempersendakan seorang ulama yang diiktiraf di peringkat dunia,” katanya di sini.

Kebelakangan ini kerap dipaparkan melalui blog yang dimiliki penyokong Umno bagi memburukkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan melakukan super impose.

Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, sebagai seorang Islam mereka seharusnya sedar fitnah tersebut akan menjadi senjata makan diri sendiri.

“Setiap wartawan perlu ingat apa pun berita atau penulisan dibuat akan dipersoalkan di akhirat nanti,” katanya.

Sementara itu beliau juga menafikan kononnya artis yang menyertai program anjuran PAS menuntut bayaran.

“PAS sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Artis yang menyertai PAS tentunya faham kedudukan tersebut. Mereka datang dengan kehendak sendiri selepas memahami perjuangan Islam ada kelebihannya,” ujar beliau.

Harakahdaily masuk 'Top 5' media Malaysia

Harakahdaily, 11 Jul 2012


(Perbandingan ranking tiga media berdasarkan cerapan yang dibuat www.alexa.com)

KUALA LUMPUR: Selepas berbulan-bulan bertungkus lumus akhirnya Harakahdaily kini masuk 'Top 5' media paling popular di Malaysia selepas memotong Kosmo.com.my hari ini.

Harakahdaily kini berada di ranking ke 44 laman web yang dilawati di Malaysia manakala Kosmo berada di tangga ke 48 berdasarkan cerapan www.alexa.com.

Berdasarkan laman web itu, Malaysiakini (tempat ke 14 untuk semua laman web di Malaysia) adalah media online paling popular di Malaysia diikuti Thestar.com.my ditangga kedua (19), Metro ketiga (30) dan Utusan.com.my (41).

Harakahdaily ditangga kelima dan ke 44 dalam ranking laman-laman web yang dilawati di Malaysia  iaitu tiga tangga di belakang Utusan

Facebook adalah laman paling popular di Malaysia diikuti oleh google.com.my dan ketiga google.com manakala youtube ditangga ke empat.

Usaha Harakahdaily untuk meningkatkan pengaruhnya di kalangan media di Malaysia bermula beberapa tahun lalu apabila bergabung dengan team Tvpas.com.

Pergabungan ini menjadikan Harakahdaily mempunyai dua kandungan utama iaitu teks dan juga video.

Penghujung tahun lepas, Harakahdaily berada di tangga ke 10 di kalangan media di Malaysia dan tangga ke 83 di kalangan laman web yang dilawati rakyat Malaysia.

Di dunia pula, ranking Harakahdaily ketika itu hanyalah di tangga ke 13,000+++.

Sejak Jun lalu, Harakahdaily berjaya memecahkan angka 10,000 di dunia dan pada hari ini berada ditangga 9,588 di dunia dan 44 di Malaysia.

Kalau jadi PM, janganlah jadi kontraktor pula

Aspan Alias, 11 Jul 2012
Isu kontrak LRT Ampang sekarang menjadi isu besar terakhir apabila Najib sekali lagi dikaitkan dengan George Kent Lion Pacific JV yang mendapatkan kontrak itu walaupun pada asalnya syarikat sahabat golf Najib ini tidak layak untuk mendapatkannya. Syarikat Balfour Beatty-Invensys Consortium yang sepatutnya mendapatkan kerja ini dengan harga RM1.1 billion telah dinafikan peluang untuk melaksanakan projek itu walaupun pada Januari lepas syarikat ini dikatakan telah memenangi tender untuk perlaksanaan projek infrastruktur raksasa ini.
Tetapi pada 1hb Jun yang lepas syarikat George Kent telah diberikan kerja untuk projek ini dan harganya telah melambung menjadi RM1.8 billion setelah Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah mengubah keputusan pihak berwajib dan memberikan kontrak itu kepada George Kent, syarikat yang katanya dipunyai oleh rakan golf Perdana Menteri.

Di manakah letaknya apa yang dikatakan oleh PM untuk mentadbir secara transperan seperti yang dikatakan beliau untuk melakukan transformasi dalam semua bidang kenegaraan?

Jika ini caranya Perdana Menteri membuat keputusan, ini adalah sangat menjijikkan dan mengaibkan nama negara di peringkat antarabangsa kerana isu ini menjadi perhatian khusus dari masyarakat antarabangsa.

Kita hairan kenapalah PM bersifat begini kerana kalau kita dengar retorik ucapan beliau, Najib sedang cuba menunjukkan kepada rakyat yang beliau adalah Perdana Menteri yang bersih dan cekap dan mempunyai nilai kepimpinan yang begitu tinggi.

Pendedahan yang dilakukan oleh Rafizi Ramli itu amat mengejutkan banyak pihak dan laporan polis telah dilakukan terhadap Najib. Tetapi nampaknya pihak polis mengambil tindakan untuk menyiasat bagaimana perkara yang ‘classified’ itu boleh terbongkar dan tidak pula berani menyiasat tindakan Najib masuk campur dalam keputusan pemberian tender itu.

Ini merupakan salah satu dari ratusan isu besar dalam pemberian konrak terhadap kroni-kroni pemimpin BN khususnya UMNO dan nampaknya penyakit rasuah dan menyalahgunakan kuasa ini memang sudah tidak boleh diperbaiki lagi kerana ia sudah menjadi budaya dalam kepimpinan negara kita.

Saya juga ingin tahu, agaknya berapa orang Perdana Menteri di dunia ini yang selain menjadi Perdana Menteri, mereka juga adalah kontraktor-kontraktor besar seperti PM Najib ini.

Bagaimana hendak memperbaiki pimpinan jika dalam isu pemberian kontrak besar ini melibatkan kehendak ahli politik dan dalam isu ini adalah pemimpin politik tertinggi negara yang juga seorang Perdana Menteri.

Bagi saya Najib sepatutnya hanya menjadi Perdana Menteri dan tidak merangkapkan diri beliau sebagai seorang kontraktor besar.  Jika PM sendiri mempunyai kepentingan peribadi dalam pemberian kerja kontrak seperti ini, bagaimanalah kerajaan hendak membina masyarakat perniagaan yang mantap untuk negara.

Najib, saya ulangi, sepatutnya hanya menjadi PM dan cuba elak dari menjadi kontraktor. Jika beliau lebih berminat menjadi kontraktor, beliau patut bersara sebagai Perdana Menteri dan tubuhkan sebuah syarikat pembinaan kelas A dan mempunyai lesen PKK yang sah.

Tidak boleh begini. Perdana Menteri buat tugas Perdana Menteri kerana terlalu banyak isu terhadap pimpinan hari ini. Jangan pula hendak menjadi kontraktor sekali.

Perlabuhan Tok Bali hasil inisiatif Sultan - Husam

Harakahdaily, 11 Jul 2012


(Mohamad Sabu lancar kutipan dana Lebuhraya Rakyat di Taman Melewar)

KUALA LUMPUR: Dengan inisiatif Tuanku Sultan Kelantan, Kelantan kini mempunyai sebuah perlabuhan yang baik iaitu Perlabuhan Tok Bali.

Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dalam ucapannya dekat sini berkata, kini Kelantan mengeksport 40,000 ton besi seminggu ke China  melalui perlabuhan ini.

"Insya Alllah sebulan lagi, kadar ini akan meningkat kepada 100,000 ton seminggu," kata Husam yang juga Naib Presiden PAS.

Husam berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran kutipan dana Lebuhraya Rakyat di Dewan KUIZM, Taman Melewar baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS dengan disertai oleh para seniman dan artis yang  bersama PAS.

Antara yang ada di majlis itu adalah Datuk A Samad Said, Dinsman, Hairie Hashim dan lain-lain.

Dinsman dan Hairie (gambar) telah turun dari pentas dan membawa uncang wang untuk memungut sumbangan dari orang ramai.


3 projek mega



Menurut Husam, kerajaan Kelantan pimpinan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah menyenaraikan tiga projek besar untuk dilaksanakan di negeri itu  namun ditolak oleh Tun Dr Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri dahulu.

Projek itu adalah menaikkan taraf lapangan terbang yang ada ke taraf antarabangsa, membuat spine road atau jalan tulang belakang di Kelantan dan perlabuhan.

"Ketiga-tiganya ditolak oleh Tun Dr Mahathir. Tetapi atas inisiatif Tuanku Sultan Kelantan, Perlabuhan Tok Bali berjaya dibina," kata Husam.

(Tuanku Sultan Kelantan [pemandu jentera] ketika majlis pecah tanah Perlabuhan Tok Bali 29 Mac lalu)

Menurut Husam, Kelantan negeri kecil sahaja untuk membebaskan dirinya sendiri tetapi ia cukup besar untuk membebaskan ummah dari kongkongan.

Lebuhraya Rakyat, menurut Husam akan mempunyai dana yang cukup untuk pembinaannya kalau kerajaan negeri berusaha bersungguh-sungguh untuk membinanya.

Husam juga berkata, dia ditanya bagaimana Kelantan mahu menyelenggarakan lebuhraya ini setelah siap nanti kerana belanjanya juga tentu besar.

Husam menjelaskan, antaranya dengan mengenakan caj tertentu kepada lori-lori besi yang hendak ke Tok Bali yang akan melalui lebuhraya rakyat ini.

"Insya Allah penyelenggaraan kita selesai dengan caj ini. Dengan itu, rakyat yang marhain bolehlah melaluinya dengan percuma," kata Husam.

Husam juga berkata, kenapa kutip derma untuk pembinaan lebuhraya ini?

"Kenapa wakaf dikutip kalau dah ada cara-cara pembiayaannya?

"Kita kutip wakaf kerana nakkan lebuhraya ini tidak sama dengan lebuhraya Plus.

"Kita nak sambungkan lebuhraya ini ke akhirat juga," jelas Husam.

Presiden PAS ke Mesir raikan kejayaan Ikhwan

Nazri Abdullah, Kaherah, 11 Jul 2012


(Ustaz Hadi dan rombongan berbincang dengan Dr Musa di pejabatnya dekat Kaherah)

KAHERAH: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta rombongan tiba di Mesir hari ini dalam rangka lawatan rasmi beliau selepas perubahan tampuk kepimpinan baru di bawah Presiden, Mohammed Mursi.

Beliau tiba di sini kira-kira jam 6 pagi waktu tempatan dan bakal melalui jadual yang sangat padat sepanjang dua hari berada di sini.

Turut mengiringi beliau adalah Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi selaku Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat.

Lawatan beliau yang pernah belajar di Mesir sehingga ke peringkat master sebelum ini antara lain bagi meninjau perkembangan yang sedang berlaku di sini.

Rombongan presiden juga dijangka bertemu pimpinan Ikhwan Muslimin Mesir yang beliau sertai serta pimpinan parti politik Freedom and Justice Party (FJP) yang menguasai kerusi parlimen Mesir selepas pilihan raya lalu.

Dalam program pertamanya hari ini, Tuan Guru Abdul Hadi turut diraikan dalam satu  pertemuan dengan Dr. Musa Abu Marzouk, Timbalan Ketua Biro Politik Hamas di pejabat pergerakan itu yang terletak di pinggir bandar Kaherah di sini.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Ketua Fraksi Parlimen Hamas di Gaza Dr. Khalil Al Heyya.

(Berbincang dengan Dr Musa, Hamas)

Selain bertukar-tukar pandangan, pertemuan hampir sejam itu antara lain turut membincangkan soal perkembangan semasa yang sedang berlaku di Timur Tengah serta perkembang di bumi Palestin.

Dalam program lain hari ini, Tuan Guru juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Mantan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Dr Mehdi Akif petang ini waktu tempatan.

Presiden juga dijadual menghadiri pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia di sini malam ini.

PAS Wilayah ajak rakyat ke Himpunan Hijau 14 Julai

Harakahdaily, 11 Jul 2012
KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) menyeru rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat supaya hadir ke Himpunan Hijau pada 14 Julai ini.
Setiausahanya, Khairul Anuar Abdul Manap berkata, Himpunan Hijau itu akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru bermula dengan Solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan Munajat Perdana Umat Islam Kuala Lumpur diiringi dengan pidato pembakar semangat oleh pimpinan PAS Pusat serta tokoh-tokoh yang dijemput hadir.

Katanya, PAS WP ingin mengingatkan peserta-peserta agar memakai baju Hijau sebagai warna konsep program di samping membawa sejadah masing-masing serta berwuduk bagi menyertai Munajat selepas Maghrib nanti.

Beliau berkata, PAS WP akan membariskan pemimpin tertinggi antaranya Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Idris Ahmad dan Mazlan Aliman ( AJK PAS Pusat), Ustaz Nasrudin Hassan (Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia) serta Vincent Lee selaku Naib Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Selain itu, PAS WP juga menjemput tokoh-tokoh yang telah menyertai PAS seperti Datuk Adnan Ibrahim, bekas Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Ramli Buyung (Naib Presiden Kanan Felcra Bhd), Abdullah Ali (lagenda bolasepak negara), Kamal Bachaa (bekas Ahli MKT PPP) serta Cikgu Nazri Nordin (bekas AJK Umno Bahagian Gopeng).

Beliau menambah, bagi warga Kuala Lumpur khususnya ahli dan penyokong-penyokong PAS, Himpunan Hijau sebagai penyuntik semangat bagi menghadapi PRU13.

Menurutnya, tiga buah parlimen yang diamanahkan untuk PAS bertanding, iaitu Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan menjadi asas kekuatan PAS di Kuala Lumpur ini.

Katanya, Putrajaya bukan lagi sebuah kawasan selamat bagi Umno kerana ia boleh runtuh bila-bila masa ditawan PAS manakala Labuan pula akan mencatat sejarah menjadi pertarungan paling sengit dalam PRU13 kelak manakala Titiwangsa, satu-satunya Parlimen yang dimenangi oleh PAS, menjadi  benteng penting untuk dipertahankan kemenangannya.

“Himpunan Hijau PAS WP kali ini diadakan di ambang Ramadhan bagi memperkukuh tarbiyah dan keimanan umat Islam menghadapi bulan penuh rahmat ini,” ujarnya.

Di samping itu, tambah beliau momentum himpunan itu menjadi azimat dan bekal semangat buat semua rakyat pulang ke kampung pada musim perayaan nanti bagi membuat perubahan dalam PRU13.

Ujarnya, warga Kuala Lumpur adalah ejen perubahan paling penting bagi melatari landskap politik negara ini.

“Perubahan penting pasca PRU13 nanti dimulai dengan ‘tsunami politik’ warga Kuala Lumpur nanti, dan akan diikuti oleh negeri-negeri lain seluruhnya, Insya Allah,” katanya.

Guardian lanjut spekulasi Nurul Izzah bakal PM

Siasahdaily.blogspot.com, 11 Jul 2012
Akhbar Inggeris Guardian menerbitkan satu rencana mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, menganalisis perjalanan mencabar barisan pembangkang menghadapi pemerintah Barisan Nasional dan apa yang dilihat sebagai peluang terakhir Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Menurut akhbar itu, pertempuran dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti bakal menjadi yang terakhir untuk merealisasikan hasrat Anwar menjadi perdana menteri, hal yang sama dibicarakan dalam politik negara kebelakangan ini.

Rencana tulisan Kate Hodal itu masih memberi gambaran keseluruhan yang positif buat Anwar, memberi gambaran Anwar sebagai satu-satunya pemimpin pembangkang yang ditentukan untuk menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya akan datang, walaupun turut menyelitkan beberapa kritikan kecil.

Walau bagaimanapun, isu utama yang dibawakan atau dilanjutkan oleh rencana ini - yang kelihatan dipilih untuk disiarkan pada masa menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 untuk mempengaruhi debat politik negara - ialah harapan terhadap Nurul Izzah Anwar, anak Anwar yang juga seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Peranggan terakhirnya menimbulkan isu "harapan banyak pihak di peringkat akar umbi" untuk melihat Nurul Izzah menyambung perjuangan Anwar, dan diletakkan sebagai calon utama perdana menteri gabungan parti Pakatan Rakyat sekiranya mendapat jumlah kerusi parlimen yang mencukupi.

Rencana Guardian ini melanjutkan lagi debat mengenai siapa selepas Anwar, yang semakin banyak diperkatakan pada masa ini ekoran banyak hal, termasuk imejnya yang semakin terjejas termasuk kepada pengikut dan penyokong PR sendiri.

Penulis rencana itu menyebut faktor Nurul Izzah yang bebas daripada bagasi sejarah seperti yang dimiliki bapanya, selain faktor muda dan popular, mencerminkan sentimen banyak pihak terhadap beliau.

Walau bagaimanapun, isu politik dinasti keluarga menjadi satu isu yang sentiasa membayangi PKR yang dikuasai oleh linkungan keluarga Anwar dan rakan terdekatnya.

Rencana ini bakal mencetuskan minat dan perhatian ramai dalam politik negara, terutama dalam kalangan PKR dan PR yang menaruh harapan yang sama, sama ada sebab sokongan kepada Nurul Izzah atau kerana faktor mencari calon kompromi.

Ia boleh dilihat sebagai satu bentuk endorsement dari pihak berpengaruh di peringkat antarabangsa, memberi gambaran sokongan yang diterima Nurul Izzah, dan kemungkinan juga merupakan satu rancangan transisi daripada Anwar kepada tokoh lain yang sudah digerakkan.

Pihak yang berada di kem seberang pula dijangka tidak akan berdiam diri, dan akan memberikan tindak balas sewajarnya.
Source: http://siasahdaily.blogspot.com/2012/07/guardian-lanjut-spekulasi-nurul-izzah.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FIqBc+%28SIASAH%29

Tiada ulasan:

Catat Ulasan