Rabu, 18 Julai 2012

MUNGKIN PILIHRAYA TAHUN HADAPAN(INSYAALLAH) KERANA BN RASA LEBIH SELESA...KALAH MENANG TERSERAH PADA ALLAH...YANG BENAR2 TAHUN HANYA ALLAH...

Jika menang, Pakatan umum segera tarikh PRU14

Muhammad Yusri Amin, 18 Jul 2012
KOTA BHARU: Pakatan Rakyat (PR) Insya Allah akan menetapkan terus tarikh pilihan raya umum ke 14 jika menang dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata, walau pun pimpinan belum lagi membuat keputusan muktamad, namun jika PR menjadi kerajaan (mentadbir negara Malaysia), antara benda yang diberi perhatian utama ialah menetapkan tarikh pilihan raya umum selepas itu.

“Jika PR menang sebagai sebuah kerajaan di peringkat persekutuan dan peringkat negeri, insya Allah PR akan mengisytiharkan segera tarikh pilihan raya umum berikutnya.

“Kerajaan PR gentleman dan kita menjadi satu kerajaan yang berperlembagaan, constitutional government," kata Takiyudin yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan satu mesyuarat di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini petang semalam.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa dalam tempoh pemerintahan PR nanti, insya Allah, akan diisytiharkan tempoh tarikh pilihan raya umum seterusnya.

“Maknanya, dalam tempoh itu sama ada akhir lima tahun atau empat tahun atau empat tahun setengah sekurang-kurangnya, kita boleh beri tempoh.

“Misalnya, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh enam bulan sebelum berakhir penggal atau sebagainya.

“Bagaimana pun tarikh pilihan raya itu sendiri mesti diisytiharkan awal.

“Ini penting kerana ia memberi keselesaan kepada pelanggan (parti) politik, pengamal demokrasi serta pegawai kerajaan sendiri boleh mengurus dengan selesa kerja-kerja pilihan raya," jelasnya.

Takiyuddin melahirkan rasa cukup anih, cukup pelik bagi Malaysia sebagai sebuah negara, yang sentiasa merahsiakan tarikh pilihan raya umum.

“Keadaan ini tidak seperti diamalkan negara lain termasuk Indonesia, Thailand atau negara Barat.

"Di negara itu, selepas saja-satu pilihan raya umum, next election mereka sudah pun tahu.

“Inilah yang menjadi satu bantahan PR terhadap sikap pihak berkenaan,” ujarnya.

Khutbah Jumaat di dua negeri

Subky Latif, 18 Jul 2012
DUA Jumaat lalu berturut saya mengembara. Maka saya solat Jumaat di negeri yang saya kunjungi itu.
Di Jumaat yang pertama sebagai biasa  saya mengangkat tangan mengaminkan doa khutbah terhadap Raja negeri itu. Saya dapati orang  di kiri kanan dan  di depan tidak mengangkat tangan seperti saya.

Apabila khatib membaca doa untuk perkara lain baru mereka menadah tangan serentak suara amin dari semua.

Minggu kedua saya mengembara pula di sebuah negeri lain. Saya dapati sekalian jemaah mengaminkan doa khatib terhadap Raja, bahkan didoakan juga terhadap waris takhta dan pasangannya serta putera puteri Sultan serta  cucu-cucu baginda.

Sebelum itu saya pernah mendengar ada pengembara yang singgah Jumaat di negeri  yang pertama itu menyebut dia saja yang menadah tangan mengaminkan doa khatib terhadap Raja. Apabila lihat orang lain tidak mengangkat tangan, dia pun perlahan-lahan menjatuhkan tangannya.

Saya tanyakan hal itu dari orang negeri itu, jawabnya masjid jemaah tidak menadah tangan. Berani dia menyebutkan sebab orang berbuat demikian. Saya berhajat mendengarnya  lebih lanjut.

Mendoakan ulil amri dalam khutbah adalah sunat. Tetapi telah menjadi ibadat semua penganut mazhab Syafie menngaminkan doa khatib teradap Raja, malah dianggap beradab kiranya khatib tidak mendoakan Raja atas apa sebab sekali pun.

Telah berlaku satu kejadian imam utama  di masjid tempat saya selalu  solat Jumaat diadukan tidak mendoakan Raja dalam khutbahnya.

Saya tidak sedar kejadian itu. Setahu saya imam itu adalah seorang rakyat yang setia kepada Raja  dan kerajaan. Tidak pernah dia tidak mendoakan Raja.

Ada orang menegurnya selepas solat bahawa dia tidak mendoakan Raja. Jawabnya atas teguran itu ialah, ‘Tak mengapa tertinggal doakan raja, ia  sunat  saja.’

Yang menegur itu tidak  memaafkannya, sekalipun sunat tetapi ia tidak boleh ditinggalkan. Lalu dia melaporkan kepada Majlis Agama. Kemudiannya imam itu meletak jawatan.

Pada saya pelik juga kejadian makmum secara  sepakat tidak mengaminkan doa terhadap Raja sedang baginda adalah ketua agama negeri.  Setahu saya sekalian rakyat di mana-mana saja di Malaysia tidak membantah mendoakan Raja. Hanya di negeri itu saja ada makmum tidak mengaminkan doa itu.

Jika betul hal serupa berlaku di lain-lain  masjid, saya kira ia satu unjuk rasa.  Tentu  ada sebabnya.  Apa sebabnya?

Apa pun kejadian itu tidak menjadi isu. Tidak ada yang  peduli.  Tetapi saya kira ia tidak elok dan  tidak harmoni.  Sekali pun ia sunat, tetapi ia ibadat juga. Ada pahala jika ibadat itu diterima.

Adapun jika pemerintah itu seperti Hosni Mubarak dan Bashar Assad di Syria, memang patut makmum tidak menadah tangan dan tidak mengaminkannya. Mereka tidak menguntungkan agama, rakyat dan negara.

Mengapa tiada yang menyelidik mengapa kejadian itu berlaku?  Supaya keganjilan itu dapat dibetulkan? Makmum rasanya adalah jelas. Mereka tidak membantah doa itu ada dalam khutbah. Cuma mereka tidak mengaminkan saja. Dan mereka tentulah tidak terus begitu kiranya ia boleh dibetulkan.

Raja patut mengambil tahu dan mengambil langkah supaya bantahan dalam diam itu tidak diteruskan, sebaliknya harmoni tambah makmur.

Ada pun di negeri yang satu lagi tadi keadaan di sebaliknya pula. Makmum bukan sekadar mengaminkan dia itu secara nyaring, malah mereka istiqamah mengaminkan keharmonin untuk sekalian kerabat istana yang disebut oleh khatib.

Harmoni mereka itu tidak sekadar pada khutbah itu saja. Doa itu diulang semula oleh imam selepas solat dan makmum terus mengaminkan.

TV Hijrah didakwa pecahbelahkan Islam

S.M Mohamed Idris,


Kepada:
Ketua Pegawai Eksekutif
Al Hijrah Media Corporation
Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana,
50480 Kuala Lumpur, Malaysia.

Assalamualaikum wr wb


Tuan,


Menyemai Perpecahan Dalam Kalangan Umat Islam


Saluran Televisyen Al Hijrah merupakan salah satu saluran yang mempunyai ramai bilangan penontonnya. Sikap, pemahaman, pandangan dan tindakan mereka yang menonton rancangan televisyen itu akan dipengaruhi apa yang mereka tonton. Oleh sebab itu, sebagai pengendali saluran Islam, anda mempunyai tanggungjawab yang besar untuk melaksanakan penelitian yang rapi dalam penyampaian mesej melalui saluran televisyen kepada penonton agar ia tidak melanggar ajaran al Quran yang menuntut kebaikan dan melarang kemungkaran.

Al Hijrah, dalam kenyataan misi dan visinya, telah berjanji untuk menjadi stesen penyiar dengan misi untuk mendidik, menghibur dan menyatukan umah melalui siaran yang berkualiti dan kreatif berdasarkan ajaran Islam yang sesuai dengan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Memandangkan  misi yang suci ini, kami amat terkejut apabila mendapati bahawa TV Al Hijrah menyiarkan suatu diskusi panel di mana ahli panel yang dianggap sebagai sarjana Islam membuat tuduhan tidak berasas terhadap Syiah yang hanya akan menimbulkan perpecahan dan kebencian dalam kalangan umat Islam.

Mereka menuduh Syiah berkomplot bersama Yahudi,  menganggap Islam Sunni sebagai anjing, mengamalkan penipuan, dan tuduhan lain yang mengapi-apikan yang boleh menimbulkan kebencian Islam Sunni terhadap saudara Syiah mereka. Kenyataan provokasi seperti itu jelas melanggar perintah Allah swt: Berpegang teguhlah dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah antara kamu... [Surah Al Imran 3:103].

Siaran TV yang mengutuk Syiah menjejaskan inisiatif yang diambil untuk menggalakkan pemahaman yang lebih luas antara mereka dan kita golongan Sunni dalam usaha untuk menguatkan perpaduan Islam selaras dengan pengajaran al Quran.

Pada Julai 2005, berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh 24 ulamak kanan (termasuklah Sheikh Al Azhar, Ayatollah Sistani dan Sheikh Qaradawi), Raja Abdullah II dari Jordan telah menganjurkan satu persidangan Islam antarabangsa yang dihadiri oleh 200 sarjana Islam terkemuka dunia dari 50 negara yang telah mengeluarkan fatwa berikut:

•    Sesiapa sahaja yang patuh kepada salah satu daripada empat Usuluddin Islam mazhab Sunni (Hanafi, Maliki, Shafei dan Hanbali), dua Usuluddin Islam mazhab Syiah (Ja’fari dan Zaydi), Usuluddin Islam  mazhab Ibadi dan Usuluddin Islam mazhab Thahiri adalah seorang Islam. Mengisytiharkan seseorang itu sebagai murtad adalah mustahil dan tidak dibenarkan.

•    Terdapat lebih banyak persamaan antara pelbagai mazhab Usuluddin Islam berbanding dengan perbezaan antara mereka. Pengikut lapan mazhab Usuluddin  Islam ini bersepakat dalam perkara prinsip asas Islam.

•    Semua percayakan Allah (Tuhan), dimuliakan dan ditinggikan, esa dan unik; al Quran itu suci dan wahyu yang dipelihara dan dilindungi oleh Allah, dimuliakan serta tiada sebarang perubahan dan pindaan; dan Muhammad s.a.w adalah Rasul dan Nabi untuk semua manusia.

•    Semua bersetuju mengenai lima rukun Islam: mengucap dua kalimah syahadah; solat; mengeluarkan zakat; berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Mekah. Semua bersepakat mengenai rukun Iman: percaya kepada Allah, Malaikat, Al Quran, Rasul, Hari Kiamat dan Qada dan Qadar.

•    Ketidaksepakatan antara ulama antara lapan mazhab Usuluddin Islam itu hanya pada cabang agama (furu) dan beberapa asas (usul) [agama Islam]. Ketidaksepakatan tentang  cabang agama (furu) adalah satu rahmat. Lama dahulu dikatakan bahawa kepelbagaian pendapat dalam kalangan ulama adalah satu rahmat.

Fatwa itu diterima dengan sebulat suara di sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam di Mekah pada Disember 2005 dan oleh enam perhimpunan ulama Islam antarabangsa lain, kemuncaknya dengan Akademi Fekah Islam Antarabangsa yang berpusat di Jeddah pada Julai 2006. Jumlahnya, lebih 500 ulama Islam terkemuka dari seluruh dunia menerima dengan sebulat suara fatwa dan Mesej Amman. [Kunjungi laman sesawang rasmi Mesej Amman (Amman Message) untuk senarai lengkap mereka yang menerima fatwa itu].

Resolusi 152 Akademi Fekah Islam Antarabangsa, Islam dan Satu Ummah, dan mazhab Usuluddin  Islam, menyeru supaya diketepikan ketidaksepakatan antara orang Islam, menghormati antara satu sama lain, menguatkan hubungan persaudaraan dan tidak membenarkan perpecahan dan campurtangan luar.

Ia menasihatkan pengajaran fekah berkaitan perpaduan Islam kepada pelajar sekolah menengah dan universiti. Ia menyarankan pihak berkuasa berkaitan di negara Islam mengambil langkah untuk mencegah percetakan, penyebaran dan pengedaran penerbitan yang menambahkan lagi perpecahan ummah.

Resolusi 152 juga menekankan jangan menyalahkan mana-mana lapan mazhab Usuluddin Islam kerana  tindakan yang salah daripada pelampau seperti membunuh mereka yang tidak bersalah, menjatuhkan maruah dan merampas harta mereka. Terdapat elemen pelampau dalam kalangan Syiah dan Sunni yang di beberapa negara menggunakan kekerasan, malah kadangkala di dalam masjid sendiri.

Elemen seperti ini perlu didedahkan dan diasingkan kerana ia menyemai perpecahan dalam kalangan umat Islam dan  memperburukkan lagi Islam. Dialog antara Syiah dan Sunni mestilah digalakkan dan disuburkan, dan sebarang perbincangan mengenai perbezaan mestilah dibincangkan dalam suasana persaudaraan.

Imam Khomeinie berpesan kepada golongan Syiah yang mengerjakan Haji agar tidak mengasingkan diri mereka daripada orang Islam yang lain.

Beliau menasihati jemaah Haji: “Rakyat Iran dan golongan Syiah dari negara lain dikehendaki untuk mengelakkan semua tindakan yang boleh menimbulkan perpecahan sesama umat Islam. Mereka juga perlu menyertai perhimpunan Sunni dan mengelakkan menghadiri atau membentuk solat di rumah atau memasang pembesar suara untuk menentang mereka. Mereka mestilah mengelakkan daripada melutut di makam suci atau melakukan apa sahaja yang tidak selaras dengan undang-undang yang mulia.”

Kita perlu menyedari bahawa konflik mazhab sebenarnya digalakkan oleh kuasa Barat yang mahu mengenakan hegemoni mereka ke atas umat Islam dan mengawal sumber di negara Islam. Pecah dan perintah telah menjadi dasar mereka sejak berakhirnya Perang Dunia Pertama.
Mereka menipu pemerintah Arab supaya menyokong perang mereka terhadap Khilafah Usmaniyah dengan menjanjikan kemerdekaan bagi tanah Arab, tetapi selepas mengalahkan Turki, Britain dan Perancis membahagikan wilayah antara mereka dan menubuhkan Israel dan Arab Saudi.

Kita dapat melihat ulangan dasar yang sama di Iraq, Lebanon dan Pakistan. Kuasa penjajah berusaha untuk memecahkan negara ini melalui mazhab dan suku kaum; menghasut negara Arab ‘Sederhana’ menyertai Amerika Syarikat dan Israel bagi memusnahkan Hisbullah di Lebanon, Hamas di Palestin dan melakukan pertukaran rejim di Iran.

Amat dikesalkan sekali, beberapa ulama membenarkan diri mereka digunakan sebagai alat oleh penjajah dan pemerintah-pemerintah bagi mewujudkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Kita perlu memberi perhatian kepada amaran yang diberikan oleh Imam Khomeini lebih 25 tahun yang lalu: “Tangan kotor yang memburukkan perbezaan antara Syiah dan Sunni bukanlah terdiri daripada golongan Syiah dan Sunni.

Ia merupakan tangan penjajah yang merancang untuk membawa keluar negara Islam daripada tangan kita. Kuasa penjajah yang mahu merampas kekayaan kita melalui pelbagai skim dan konspirasi adalah mereka yang melahirkan rancangan untuk mewujudkan perpecahan di antara fahaman Syiah dan Sunni.”

Kami merayu kepada anda agar memainkan peranan proaktif dalam menggalakkan perpaduan dalam kalangan umat Islam dan memberikan publisiti yang meluas kepada Mesej Amman dan Resolusi 152 Akademi Fekah Islam Antarabangsa.

Anda juga perlu menghasilkan program berhubung sejarah asal cabaran yang dihadapi oleh umat Islam terutama sekali Balkanisasi dan penjajahan Barat di Semenanjung Arab selepas Perang Dunia Pertama. Kami juga menyarankan supaya penerbit rancangan anda mengkaji The Unmaking of the Middle East oleh Jeremy Salt dan The Ethnic Cleasing of Palestine oleh Ilan Pappe dan menghasilkan rancangan berdasarkan karya itu.

Bersama ini saya sertakan dokumen untuk maklumat anda dan menyebarkannya kepada penerbit rancangan TV Al Hijrah:

1.    The Amman Message

2.    Resolution 152 of the International Islamic Fiqh Academy

3.    Ahmed Deedat on Iran: A nation Reborn

4.    Qaradawi and Shia-Sunni dialogue

Kami percaya bahawa anda akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap ulasan dan saranan dengan niat untuk menjadikan Al Hijrah sebagai saluran TV yang benar-benar Islam.

Jawapan awal daripada pihak tuan amat dialu-alukan. 

Terima kasih.


Yang benar,
S.M Mohamed Idris
Pengerusi, Citizens International

Kejayaan besar Himpunan Hijau seluruh negara

Abd Shukur Harun I shukurharun@yahoo.com, 18 Jul 2012


Sepanjang tepi jalan dua kilometer menuju Himpunan Hijau peringkat Negeri Selangor di Kuala Selangor malam 15 Julai lalu menghantar suatu isyarat jelas bahawa sambutan rakyat Selangor, khususnya kawasan berdekatan terhadap PAS/Pakatan Rakyat sangat menyerlah.

Ternyata sokongan terus bertambah, walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berdepan dengan serangan propaganda dari Umno/BN siang dalam malam.

Ini kerana Selangor yang kaya dan strategic telah menjadi negeri yang sangat menyerlah dari segi pembangunan fizikalnya, dengan taburan institusi pengajian tinggi kerajaan dan swasta, industri besar, sederhana dan kecil, bangunan bersejarah dan segalanya dan dengan Shah Alam sebagai Ibu Negeri yang serba anggun dan meriah.

Sebab itu limpahan melebihi 30,000 orang yang hadir sejak petang hingga malam di Stadium Kuala Selangor itu memberi gambaran bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor masih mendapat sokongan penuh rakyat.

Bendera PAS yang berkibar puluhan ribu banyaknya di sekitar stadium itu adalah alunan gelombang hijau yang akan sampai ke Puterajaya yang jaraknya tidak begitu jauh dari Shah Alam.

Keadaan petang hingga ke malam di sekitar stadium tersebut begitu meriah, bagai sebuah pesta besar di bandar tepi laut itu.

Cuaca cerah di sebelah petang, membawa ke malam, walaupun ada sedikit rintik menjelang tengah malam, namun orang ramai tidak berganjak di dalam stadium, mendengar ceramah dari pemimpin PAS/Pakatan Rakyat, bekas pemimpin Umno dan bekas pegawai kerajaan yang menyertai PAS.

Layar besar terkembang memaparkan wajah Muhamad Sabu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail, Tan Sri A. Kadir Sheikh Fadzil, Dr. Dzulkifly Ismail, Dr. Siti Mariah Mahmud, Teresa Kok dan lain-lain.

Di malam itu, tiga lagi bekas pegawai tinggi kerajaan menyerahkan borang permohonan keahlian PAS pada Himpunan Hijau tersebut.
Mereka bekas Pengarah Kanan Lembaga Pertubuhan Peladang selama 31 tahun, Abdul Rahman Taib. Seorang lagi adalah bekas Pegawai Tadbir Diplomatik selama 33 tahun dan juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah.

Manakala tokoh ketiga ialah bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang Bahagian Pengurusan dan bekas Pengarah Perhubungan dan Sumber Manusia di Jakim, Yusuf Hassan. Ketiga-tiga tokoh tersebut menyerahkan borang keahlian PAS kepada Timbalan Presiden, Mohamad Sabu.

Juga sangat menarik di malam itu ialah kehadiran ramai kalangan kaum Tionghua dan India, malah ada di antara mereka mengibarkan bendera PAS.

Seorang dari mereka yang memperkenalkan dirinya, Mr. Lai memberitahu saya bahawa beliau membawa isterinya datang ke stadium ini untuk bersama-sama memberi sokongan kepada PAS, juga untuk mendengar ceramah pemimpin Pakatan Rakyat.

Dengan agak fasih berbahasa Melayu, Mr. Lai berkata: “Saya tengok penyokong Pakatan Rakyat begitu serius untuk mempertahankan Selangor. Saya rasa megah.”

Isterinya yang berdiri di sebelahnya mencelah, “Kami harap Pakatan dapat kekalkan Selangor’.

Seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya, Wak Raden memberitahu, kalau macam ini kehadiran orang ramai, payahlah BN nak rampas Selangor. Ia disetujui oleh isterinya, “Saya fikir begitu juga.”

Naib Yang Dipertua PAS Kelana Jaya, Muzammil Hafiz pula berkata bahawa kehadiran yang ramai ini membuktikn bahawa usaha musuh PAS melaga-lagakan PAS dengan DAP tidak berhasil.

Pakatan Rakyat, katanya, masih padu di mana ramai orang bukan Islam turut hadir di Himpunan ini malam ini.

Parlimen Kuala Selangor diwakili oleh Dr. Dzulkefly Ahmad, sementara tiga Dunnya, Bukit Melawati diwakili oleh Muthiah Maria Pillay (PR), Ijok Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PR), sementara Jeram diwakili oleh Amiruddin Setro (BN).

Bagi pihak panitia sambutan Himpunan Hijau Kuala Selangor, Dr. Dzul mengucap setinggi-tinggi terima kasih kepada mereka hadir dan memberi sokongan terhadap perjuangan PAS/Pakatan rakyat.



4 sertai PAS di Johol

Sementara itu, di Johol, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, ribuan orang, termasuk bukan Islam, telah menghadiri Himpunan Hijau Menuju Puterajaya peringkat Negeri Sembilan serentak di Himpunan Kuala Selangor.

Di majlis yang meriah itu, empat bekas pemimpin setempat dan bekas pegawai tinggi kerajaan ini telah diumumkan menyetai PAS.

Mereka ialah bekas Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Zainal Isa; bekas Pengurus Pos Malaysia Berhad Zon Selatan, Mokhtar Musa, bekas Pembantu Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Anuar Hashim dan bekas Pengerusi JKKK Kampung Pilin, Rembau, Ramli Jalun.

Ketika Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Norazman Mohamad memperkenalkan mereka di depan ribuan yang hadir, disambut dengan laungan takbir. Mokhtar, Anuar dan Ramli juga merupakan ahli Umno sebelum menyertai PAS.

Turut berucap di majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar; Datuk Tamrin Ghafar; Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr. Rosli Yaakub menyatakan puas hatinya akan kehadiran orang ramai dan merasa amat terharu kerana semakin ramai – dari pelbagai golongan - menuyertai PAS.

Walaupun  mengharungi pelbagai fitnah dan tuduhan dari musuh PAS, katanya, namun rakyat semakin ramai menyokong PAS. Menurut beliau, tuduhan bahawa PAS jadi alat DAP dan DAP jadi alat PAS yang dijajah di sana sini oleh musuh PAS, ternyata tuduhan itu ditolak oleh rakyat.

Kini selesai sudah Himpunan Hijau seluruh Semenanjung dan pelbagai pihak mengharapkan himpunan ini akan menjadi gelombang besar menghantar tsunami politik yang akan merobah geopolitik negara yang selama lebih setengah abad didominasi oleh Umno/BN.

Saya tak boleh lupa bendera parti - Nik Aziz

Muhammad Yusri Amin, 18 Jul 2012

Gambar: Tuan Guru Nik Abdul Aziz memukul gendang sebagai gimik pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-55 Tahun 2012 Peringkat Negeri Kelantan sambil disaksikan Mustapa Mohamed. Foto: Rizal

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak boleh melupakan ‘bendera parti’ walau pun Kempen Kibar Jalur Gemilang diadakan.


Ini, katanya kerana kalau tidak ada parti, maka negara atau negeri tidak dapat diperintah.


“Zaman dahulu, zaman tidak ada parti politik.  Justeru negara atau negeri pada masa itu diperintah oleh raja-raja. Tetapi sekarang ada parti politik, maka di samping Jalur Gemilang, bendera parti ‘ada juga’," kata beliau yang juga Mursyidul Am PAS kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-55 Tahun 2012 Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini malam tadi.



Beliau juga menggesa masyarakat tidak lupa bahawa orang pertama memerdekakan tanah air, bahkan memerdekakan manusia iaitu Nabi Muhammad s.a.w.


Katanya, Nabi Muhammad s.a.w. bukan saja memerdekakan tanah air tetapi juga memerdekakan akal manusia daripada dijajah oleh keduniaan dan ‘taghut’.


Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata Nabi Muhammad s.a.w. walau pun baginda miskin ketika itu, namun apabila baginda sampai di Madinah disambut meriah sebagai ‘Perdana Menteri’.


“Dan ini satu benda yang pelik.  Baginda miskin, ibu bapa tidak ada, bahkan Madinah bukan negeri dia, negeri dia di Mekah, tetapi orang menerima baginda di Madinah sebagai seorang ‘Perdana Menteri’, segala kata-katanya dihormati, segala perbuatannya dihormati dan tindak-tanduknya dihormati.


“Inilah benda yang kita nak buatkan di seluruh dunia termasuklah Kelantan khasnya. Mudah-mudahan rakyat Kelantan faham bahawa Islam bukan sekadar meminta negara dimerdekakan, tetapi negara dan kalbu manusia juga dimerdekakan daripada fikiran taghut dan pemikiran keduaniaan,” ujarnya.

Presiden PAS jangka PRU13 selepas raya

Nazri Abdullah, 18 Jul 2012


(Gambar atas: Presiden PAS bersama wakil pimpinan gerakan Islam lain menyertai muktamar ke 7 parti Keadilan Dan Pembangunan Maghribi.)

RABAT: PAS menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan pembubaran parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, selepas cuti Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, BN berkemungkinan menggunakan peluang itu kerana pengundi luar akan sukar untuk pulang ke kampung dua kali berturut-turut selepas baru sahaja menghabiskan cuti Aidilfitri mereka di kampung halaman.

"Kita jangka BN akan menggunakan peluang mengadakan pilihan raya selepas cuti hari raya Aidilfitri ini.

"Sudah tentu jika itu berlaku, pengundi akan berfikir banyak kali untuk pulang sekali lagi ke kampung masing-masing selepas mereka baru sahaja balik bercuti hari raya," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Muktamar Parti Islam Pembangunan dan Keadilan (PJD) Maghribi di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan PRU-13 tidak akan diadakan tahun depan dan menganggap tahun ini adalah masa yang terbaik.

Dalam kenyataannya kelmarin itu, Muhyiddin juga turut membayangkan ianya "mungkin beberapa bulan akan datang".

Mengulas lanjut, Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, banyak faktor yang akan menjadi pertimbangan rakyat untuk pulang kali kedua ke kampung termasuk soal kos yang terpaksa ditanggung dan cuti yang terpaksa diambil mereka.

"Jika berlaku, kesannya akan lebih teruk lagi berbanding dengan kesan PRU musim haji," katanya.

Sehubungan itu katanya, jika BN memanggil pilihan raya selepas cuti Aidilfitri, ianya sekaligus akan menyusahkan rakyat khususnya yang berada di perantauan.

Sebelum ini, PAS juga membantah keras jika PRU-13 kali ini dibuat di musim haji kerana ianya bakal menafikan hak hampir 30,000 rakyat negara ini yang pergi mengerjakan haji di Mekah untuk mengundi.

Awal bulan lalu, Najib ada membayangkan PRU-13 hanya akan diadakan selepas genap tempoh lima tahun penggal ini.

Bagaimanapun kenyataan terbaru dari Muhyiddin kelmarin seperti mengesahkan desas-desus bahawa PRU-13 berkemungkinan diadakan September atau penghujung tahun ini dan bukannya tahun hadapan.

(Gambar bawah: Presiden PAS bersalaman dengan Perdana Menteri Maghribi yang juga Ketua Parti Pembangunan dan Keadilan Islam (PJD), Abdelilah Benkirane.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan