Isnin, 9 Julai 2012

LAGI BANYAK PEMBOHONG BERTAMBAH2 RAKYAT TAK PERCAYA LAGI...BILA AIR YANG DITEPUK MEMBASAH KUYUPKAN MUKA...MAKA SEKARANG SAPE PULAK YANG TAK TAHU MALU...KITA MERANCANG...ALLAH JUGA MERANCANG.....

NGO Terengganu sokong debat Wahid-Ahmad

Khairul Azlam Mohamad, 09 Jul 2012
KUALA TERENGGANU: Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu menyokong penuh usaha Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu yang bersedia menganjurkan debat atau dialog terbuka antara wakil kerajaan dengan pembangkang di negeri ini.

Amanah Terengganu menawarkan diri sebagai orang tengah bagi pertemuan langsung antara Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

Harakahdaily turut mendapat reaksi positif dari beberapa NGO di negeri ini yang menyatakan sokongan serta mengalu-alukan majlis debat atau dialog terbuka itu.

Setiausaha Persatuan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (Perantau), Suhaimi Embong berkata pihaknya menyokong penuh serta bersedia memberi kerjasama bagi menjayakan program debat tersebut.

Katanya, rakyat Terengganu termasuk yang berada di perantauan sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang berlaku di negeri ini di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita (Perantau) antara NGO pertama yang menyokong usaha Amanah Terengganu untuk pertemukan antara Datuk Seri Ahmad Said dengan Mohd Abdul Wahid Endut.

“Perantau sentiasa ikut perkembangan politik di negeri ini dan banyak isu-isu berbangkit yang rakyat perlukan penjelasan dan pengesahan kerajaan Terengganu,” ujarnya kepada Harakah.

Menurutnya, debat atau dialog terbuka wajar diadakan agar rakyat secara langsung boleh menilai antara kedua-dua parti sebelum memilih pada pilihan raya umum kelak.

Kata Suhaimi, pihak kerajaan atau pembangkang tidak perlu menolak cadangan tersebut demi kepentingan rakyat dan negeri.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Mohamad Fauzi Abu Samah mengalu-alukan cadangan tersebut bagi kepentingan rakyat.

Katanya, cadangan debat atau dialog terbuka antara dua pemimpin parti tersebut amat baik bagi mencari penyelesaian masalah rakyat dan negeri.

“Kami dari Mampat sangat bersetuju dan mengalu-alukan. Bahkan, sedia memberi kerjasama untuk menjayakan agenda pertemuan antara dua pemimpin Melayu Islam.

“Debat itu bukan untuk cari kelemahan tetapi untuk cari penyelesaian masalah rakyat, masalah negeri supaya lebih baik dan terjamin.

“Abdul Wahid (PAS) kena terima teguran Ahmad Said (Umno) jika ada cadangan, teguran dan kritikan yang baik untuk agama, rakyat dan negeri. Begitulah sebaliknya,” tegas beliau.

Menurutnya, Mampat sangat berharap agar pihak kerajaan atau pembangkang tersebut tidak menolak cadangan debat berkenaan.

Pengerusi Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Negeri Terengganu (Yakep), Ustaz Abu Bakar Abdullah menyifatkan isu debat antara dua pemimpin kerajaan (Umno) dengan pembangkang (PAS) bukan baru.

“Abdul Wahid telah acap kali ajak Ahmad berdebat dalam isu-isu yang berlaku di negeri Terengganu ini. Tapi, tidak pernah disahut cabaran (debat) itu.

“Kita (Yakep) mahu lihat debat secara ilmiah, dialog secara terbuka di hadapan rakyat untuk dinilai dan cari jalan penyelesaian,” ujarnya.

Menurutnya, isu-isu berbangkit yang secara langsung melibatkan rakyat, harta negeri dan urus tadbir lemah perlu dijelaskan kepada rakyat.

Presiden Lepasan Siswa-siswi Institut Berakan (Sisbakti), Mohd Syaiful Ambia Darusa mahukan kedua-dua pemimpin politik tersebut bersifat ‘gentleman’ berhadapan dengan rakyat.

Katanya, terlalu banyak isu-isu di negeri ini yang melibatkan kepentingan rakyat serta perlukan penjelasan pihak berkuasa.

“Debat ini bagus, rakyat boleh dapat penjelasan secara langsung dari isu-isu yang berlaku di negeri ini. Isu royalti, isu bumbung stadium runtuh, isu kemiskinan, isu diskriminasi, isu tanah rakyat, pembaziran, salahguna kuasa dan banyak isu yang belum selesai,” jelasnya.

Menurutnya, jika ada mana-mana pihak yang menolak debat atau dialog terbuka itu bermakna tidak berani menghadapi kenyataan.

DAP90: Utusan pembohong - Lim Kit Siang

Harakahdaily, 09 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini berkata, Utusan Malaysia hari ini sah sebagai ”surat khabar pembohong” dan bukannya akhbar apabila ia jelas tidak jujur dan membelakangkan etika kewartawanan.

Ini ekoran laporan mereka yang mendakwa bahawa DAP akan bertanding di 90 kerusi parlimen untuk mendominasi Pakatan Rakyat dan melantik Perdana Menteri pada pilihan raya umum ke 13 nanti sebagai tajuk utama muka hadapan.

Utusan yang mendakwa bahawa DAP akan bertanding 90 daripada 222 kerusi parlimen meliputi 40.5% jumlah kerusi parlimen, manakala PAS dan PKR akan bertanding masing-masing 66 buah kerusi  parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

"I merupakan sebuah kempen jahat, anti-nasional dan tidak bertanggungjawab oleh propagandis UMNO semata-mata untuk menyemarakkan lagi kecurigaan  antara kaum bahawa orang Melayu akan kehilangan kuasa politik sekiranya UMNO tewas dan barisan Nasional digantikan dengan Pakatan Rakyat pada pilihan raya ke 13 nanti," kata Kit Siang dalam kenyataannya.

Menurutnya, pada minggu lalu, beliau telah menempelak taktik menakut-nakutkan rakyat oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad  sendiri apabila beliau memberi amaran bahawa pengundi Cina merupakan penentu (kingmakers) keputusan pilihan raya umum ke 13.

Orang Melayu dakwa beliau dibahagikan kepada tiga bahagian kecil malah dakwanya lagi bahawa pengundi Cina pula akan menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya.

"Saya telah menjelaskan bahawa realiti yang sebenarnya menunjukkan bahawa pengundi Cina tidak akan menjadi penentu berdasarkan aritmetik pilihan raya,” jelasnya.

Faktanya, cuma terdapat 34 buah kerusi dari 222 kerusi parlimen yang menempatkan majoriti pengundi Cina.

Malah sekiranya Pakatan Rakyat memenangi semua kerusi pengundi Cina, ia cuma sekadar mewakili 15 peratus dari jumlah keseluruhan kerusi parlimen.

Lagipun, jelasnya, terdapat 55 kerusi parlimen lagi dimana pengundi Cina cuma membentuk 30 hingga 50 peratus pengundi.

Walaupun sekiranya PR mampu untuk memenangi 80 peratus undi masyarakat Cina, ia masih memerlukan antara 35 hingga 40 peratus sokongan dari komuniti lain untuk memenangi kerusi-kerusi tersebut.

Secara keseluruhan ia bermaksud pengundi Cina hanya membentuk lebih 30 peratus jumlah pengundi di 89 kerusi parlimen, jelas beliau.

Malah sekiranya PR memenangi keseluruhan kerusi ini (yang mana ia memerlukan sokongan majoroti dari komuniti lain), ia hanya akan membentuk 40 peratus dari jumlah keseluruhan kerusi parlimen yang sebenarnya tidak mencukupi untuk merangkumi majoriti kerusi parlimen.

"Sekarang, propagandis Umno telah melakukan kempen menakut-nakutkan rakyat untuk menyemarakkan rasa curiga dan saling tidak percaya antara kaum – yang mendakwa bahawa DAP akan bertanding 90 kerusi manakala PKR dan PAS masing-masing 66 kerusi.

"Dakwaan ini adalah dakwaan liar dan tidak berasas sama sekali," tegas beliau.

Penentuan kerusi antara parti-parti Pakatan Rakyat juga masih belum selesai sepenuhnya dan DAP pula tidak akan mempertimbangkan untuk bertanding lebih dari 60 kerusi atau kurang dari 28 peratus dari 222 kerusi parlimen.

Walaupun pembohongan yang mengatakan DAP akan bertanding di 90 kerusi parlimen telah ditempelak dan dinafikan sekeras-kerasnya, cerita palsu ini akan dicanang semula oleh propagandis dan pemutarbelit Umno mengunakan helah penipuan yang lain.

Ia bertujuan menakutkan pengundi Melayu dengan dakwaan bahawa DAP akan menjadi parti yang mendominasi berbanding PAS dan PKR, sehingga dakwaan mereka ke tahap memutuskan siapa yang akan menjadi Perdanan Menteri.

Bagi Kit Siang, rtakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama maupun daerah sedang berhadapan dengan ujian besar dalam sejarah negara yang melihat samada mereka  dapat membezakan pembohongan dan kepalsuan sebagai fakta seperti dipaparkan pada “akhbar pembohong” seperti Utusan Malaysia.

"Ia juga merupakan ujian kritikal kepada kita semua samada negara dan demokrasi di Malaysia telah matang apatah lagi ia telahpun melangkau usia lebih separuh abad," tambahnya.

Faktar sebenar mengenai perkara ini ialah adakah hanya kerana dengan perkara tersebut menentukan sokongan majoriti pengundi Melayu dan bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat, katanya.

"Tetapi apa yang membuatkan saya terfikir dari pembohongan terkini propagandis Umno ini enunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semakin terdesak  dan mereka semakin percaya bahawa Umno-BN boleh ditewaskan melalui peti undi pada pilihan raya umum ke 13 nanti," katanya lagi.

Ini juga, tambahnya, merupakan sebab Najib terus menunda tarikh pilihan raya umum ke 13.


Strategi cantas pelapis dimulakan Dr Mahathir

Rossem, 09 Jul 2012
KETEREH: Perbuatan mencantas bakat tokoh-tokoh muda semata-mata bagi mengekalkan kuasa dianggap bekas pemimpin Umno dimulakan di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Exco Pemuda Umno Malaysia, Aspan Alias mendakwa sikap itu diamalkan Presiden Umno terbabit kerana bimbang ada pemimpin lain akan menyaingi kedudukan beliau.

Menurut beliau strategi tersebut ternyata memberi kesan buruk kepada struktur kepemimpinan Umno apabila pengganti-pengganti Dr Mahathir dilihat kurang berwibawa.

“Umno tidak dapat melahirkan barisan pemimpin pelapis yang benar-benar berwibawa untuk menerajuai parti dan negara.

“Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dilantik selepas itu dianggap ramai sebagai seorang pengganti yang lemah.

“Begitu juga Datuk Seri Najib Razak, kelemahannya dilihat lebih ketara berbanding pemimpin sebelumnya termasuk masalah peribadi,” katanya pada ceramah di Kampung Pagar Pisang, Melor malam semalam.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh, anggota Parlimen Ketereh, Abdul Aziz Abdul Kadir  dan ahli jawatankuasa PAS Ketereh, Ahmad Rosli Ibrahim.

Aspan berkata, selama 23 tahun Umno di bawah Dr Mahathir, parti itu kehilangan tokoh yang berwibawa untuk diketengahkan bagi meneruskan kesinambungan parti terbabit.

Beliau yang juga seorang penulis kini bersama DAP berkata, kezaliman dilakukan pemimpin Umno menjadi penyumbang besar kepada kejatuhannya.

Contoh yang jelas berlaku di Kelantan sekarang apabila pemimpin Umno sewenang-wenang menafikan hak rakyat Kelantan mendapat royalti petroleum.

“Najib mengikut jejak Dr Mahathir dan Abdullah mengkhianati perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan pusat dan Kelantan.

“Pusat sepatutnya membayar 5 peratus royalti setiap tahun tetapi mereka melanggarnya,” ujar beliau.

Rebat air lebih besar dari BR1M

Anis Nazri, 09 Jul 2012
SHAH ALAM: Rebat air yang diberikan kerajaan negeri Selangor kepada rakyat di negeri itu jauh lebih besar nilainya berbanding pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Biarpun nilai RM11.20 sebulan itu dilihat kecil, namun apabila dikira untuk tempoh setahun sepanjang Pakatan Rakyat memerintah Selangor menjadikan jumlahnya hampir RM540.

"Ini bermakna, rebat yang kita berikan kepada rakyat Selangor lebih RM40 dari yang kerajaan pusat beri.  Sebulan RM11.20 didarabkan kepada 12 bulan dan darab lagi dengan empat tahun pemerintahan Pakatan Rakyat.

"Sedangkan, BN yang telah memerintah negara sejak 52 tahun lalu hanya boleh memberikan RM500 untuk setahun.  Mana lebih baik?" soal Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei ketika sidang Dun Selangor, petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika membidas Adun Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun, yang dilihat membandingkan usaha kerajaan negeri itu dengan pemberian BR1M yang lebih besar jumlahnya.

Kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk memberi rebat bagi penggunaan 20 meter padu yang pertama kepada seluruh pengguna di negeri itu selepas mengambilalih pentadbiran Selangor pada Mac 2008.

DAP90: Politik Najis Umno - Mahfuz

Abdul Aziz Mustafa, 09 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya DAP akan bertanding di 90 kawasan Parlimen adalah satu lagi bukti politik najis Umno, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.


(Keakrapan yang cuba dileraikan Umno)

"Umno terlalu terdesak kerana takut kehilangan kuasa sehingga pendakyah utama parti itu tidak merasa bersalah sedikit pun bermain politik kotor.

"Ini satu lagi politik najis Umno," kata beliau ketika menolak pembohongan Utusan Malaysia kononnya DAP bakal menjadi parti paling dominan dalam Pakatan Rakyat (PR) selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) parti itu didakwa oleh akhbar tersebut akan bertanding di 90 kawasan Parlimen.

Ketua anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang turut serta dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan berkata, jumlah 90 kerusi tidak pernah timbul dalam mana-mana perbincangan.

Paling banyak, DAP hanya akan bertanding 60 kerusi, kata beliau.

Sementara itu, Mahfuz yang juga anggota Parlimen Pokok Sena menyifatkan pembohongan itu sebagai sebahagian dari politik perkauman Umno.

Ia akibat dari ketakutan yang amat sangat untuk menghadapi kesedaran semakin ramai rakyat yang tidak sabar-sabar untuk menolak Umno dalam pilihan raya akan datang.

"Ketika Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah berputus asa sama sekali untuk mendapatkan undi dari kaum Cina terutamanya, ia kini semakin cemas apabila melihat semakin ramai orang Melayu yang menyokong PR.

"Sudah tentu Umno mendapat laporan bahawa semakin ramai orang Melayu yang sakit hati kepadanya dan tidak sabar-sabar lagi menanti pilihan raya umum untuk mengajar parti itu," kata Mahfuz sambil memberitahu peningkatan sokongan orang-orang Melayu kepada PAS dan PKR semakin konsisten.

"Jumlah kehadiran orang-orang Melayu ke majlis-majlis dan program-program kita semakin bertambah termasuk di Johor.

"Peningkatan keahlian baru PAS contohnya begitu konsisten dan tidak pernah berkurangan," katanya.

Untuk menghadapi keadaan itu, Umno mencipta pelbagai pembohongan untuk menakut-nakutkan orang Melayu kepada PR.

"Umno yang selama ini menggadai dan mengkhianati kepentingan orang-orang Melayu cuba menggambarkan para pemimpin Melayu dalam PR juga akan menggadai kepentingan orang-orang Melayu seperti yang dilakukannya.

"Pencuri sentiasa menuduh orang lain pun akan mencuri seperti dia,

"Umno yang mengkhianati Melayu tak henti-henti cuba memfitnahkan PR juga akan mengkhianati Melayu seperti yang dilakukannya," kata Mahfuz (gambar).

Dalam perkembangan berkaitan, DAP menyangkal laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia itu.

"Karut, karut, karut!" Malaysiakini memetik Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke, yang turut terbabit dalam rundingan agihan kerusi bagi parti komponen Pakatan.

"(Bilangan kerusi yang ditandingi) DAP adalah yang paling sedikit di kalangan tiga (parti komponen Pakatan). Rundingan masih berjalan tetapi ini tidak benar sama sekali," katanya sambil menambah bahawa parti itu mendapat kerusi paling kurang di setiap negeri kecuali Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Loke, yang juga Ahli Parlimen Rasah, berkata "laporan yang berniat jahat" itu adalah satu lagi percubaan untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

KWAP belanjakan RM335 juta untuk FGVH

Harakahdaily, 09 Jul 2012

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) telah membeli 64.11 juta saham dalam Felda Global Venture (FGVH) pada hari penyenaraiannya 28 Jun lalu.


(Nejib ketika melancarkan FGVH)

Ia menjadikan KWAP membeli 24.5 peratus dari jumlah 262 juta saham yang diniagakan pada hari tersebut.

Hasilnya, KWAP menguasai 193.49 juta saham atau 5.3 peratus saham FGV, lapor The Malaysian Reserve.

Berdasarkan harga RM5.24 pada Khamis lepas, transaksi ini bernilai RM335.94 juta.

Namun dimaklumkan juga, KWAP menjual 123,800 sahamnya dalam FGVH pada hari 28 Jun berkenaan.

Selain KWAP, pemegang saham utama FGVH adalah syarikat induknya iaitu Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan yang memegang 40 peratus, Lembaga Tabung Haji 7.55 peratus dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 5.07 peratus.

Perdana Menteri berulang kali memaklumkan IPO FGVH telah memberikan untung besar khasnya kepada peneroka.

Beliau juga memaklumkan, IPO FGVH adalah yang kedua terbesar di dunia selepas Facebook.
Dengan maklumat ini bermakna, kekuatan FGVH adalah selepas pembelian saham oleh badan-badan kerajaan bukannnya dari syarikat bebas.

Penyenaraian FGV: Pukulan maut buat Umno PRU13

Mohd Nasaie Ismail, 09 Jul 2012
Semuanya bermula dengan pengumuman Perdana Menteri dalam pembentangan bajet 2012 untuk menyenaraikan Felda di Bursa Malaysia. Maka bermulalah Tan Sri Isa Samad yang belum setahun menjadi Pengerusi Felda menunjukkan belangnya. Selepas struktur penyenaraian dibentangkan kepada lembaga pengarah Felda, beberapa ahli lembaga pengarah tidak bersetuju dengan struktur penuh cadangan penyenaraian. Antara yang menentang ialah Datuk Zulkifli Abdul Wahab, Pengarah Besar Felda yang juga pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF). Masalah utama ditentang kerana Felda yang berpendapatan purata RM2.5 bilion setahun dan perbelanjaan purata sekitar RM2 bilion, hanya akan menerima RM508 juta sahaja hasil pajakan tanah-tanah Felda Plantation dan lain-lain aset Felda kepada FGV.

Ini bermakna Felda akan mentadbir dengan bajet yang berkurangan 75 peratus. Sudah semestinya juga ia adalah proses penyingkiran Felda secara tidak langsung sebagai entiti induk dan meletakkan FGV lebih atas daripada itu. Maka diberikan cuti wajib sambung belajar 9 bulan kepada Datuk Zulkifli Abdul Wahab. Penentangan juga khabarnya datang daripada orang nombor dua Felda iaitu Encik Abidin Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Besar Felda yang juga setiausaha Koperasi Permodalan Felda (KPF). Maka beliau dipindahkan daripada Felda ke Jabatan Perdana Menteri dengan tugas menjaga perpustakaan sahaja.


Lebih mengejutkan, Pengerusi Gabungan Naib-Naib Pengerusi JKKR rancangan-rancangan Felda Shamsudin Osman turut menentang. Beliau mengadakan sidang akhbar pertama dihadiri oleh 9 daripada 11 naib-naib pengerusi Wilayah Felda dan sebahagian besar pengerusi GPW (Penerokawati) Felda. Shamsudin Osman merupakan ketua kepada seluruh peneroka-peneroka di Felda di Malaysia dan beliau juga salah seorang ahli lembaga pengarah Felda.


Penentangan seterusnya daripada Datuk Zainal Hasan yang juga ahli lembaga pengarah Felda Holding dan Koperasi Permodalan Felda (KPF). Beliau merupakan peneroka Felda Sungai Nerek Pahang yang juga bekas adun Jengka 1990-1999 sebelum ditewaskan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS) 1999. Khabarnya Tan Sri Isa Samad meninggalkan mesyuarat lembaga pengarah KPF yang dirampas beliau pada awalnya selepas disergah beberapa ahli lembaga pengarah. Individu-individu lain yang turut menentang ialah Dr Kamari Kasan bekas Pegawai Khas Tan Sri Yusof Nor bekas pengerusi Felda dan Tan Sri Rozali Ismail (GWGF).


Senario yang berlaku adalah kejutan kepada Perdana Menteri. Ini kerana kesemua nama disebut di atas adalah 'orang kuat UMNO'. Datuk Zulkifli Abdul Wahab ahli UMNO di Keramat. Abidin Abdul Rahman, Pengarah setiap Pilihanraya Kecil mewakili Felda untuk membantu BN. Datuk Zainal Hasan bekas exco kerajaan negeri Pahang yang juga setiausaha UMNO bahagian Maran. Shamsudin Osman juga ajk Umno bahagian di Johor. Bermakna, penentangan bukanlah atas sifat 'kepembangangan' mereka. Tetapi atas sikap tidak dapat menerima 'keburukan dan kebusukan' terlampau dalam penyenaraian ini dilakukan oleh Najib dan Isa Samad. Ini hanya sebahagian nama-nama ternama yang disebutkan dan banyak lagi individu diperingkat pentadbiran kanan dan pertengahan Felda dan lain-lain pihak yang menentang keras usaha ini.


Situasi ini bakal memberi pukulan maut kepada BN dalam PRU akan datang. Ini dapat dilihat dalam beberapa hal. Antaranya individu seperti Mazlan Aliman, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka (Anak) yang konsisten menentang penindasan di Felda sejak 17 tahun dahulu. Saya yang hampir dengan beliau boleh katakan, lebih separuh 'musuh-musuh' lama beliau yang selama ini menyerang usaha beliau perjuangkan isu Felda, kini menjadi kawan. Samada dikalangan kakitangan, tokoh-tokoh Umno sendiri dan ahli-ahli koperat yang rapat dengan Felda berpatah arang menyokong perjuangan Anak. Jika 'dijelmakan' kesemua wajah mereka, pasti mengejutkan politik Malaysia dan Perdana Menteri boleh terbeliak, terduduk dan tersandar. Kerana orang yang tidak disangka yang mungkin ada talian darah, pernah sebantal, serumah juga menentang penyenaraiaan ini daripada belakang.


Keduanya di kalangan kakitangan Felda yang berkhidmat di Pejabat Felda dan anak-anak syarikat khususnya merasa tertekan dengan situasi yang berlaku. Mereka berada dalam ketidak-tentuan dengan perubahan mengejut melanda Felda. Apatah lagi 'pembuangan terancang' bos nombor satu dan dua Felda yang selama ini berkhidmat berbelas tahun bersama dengan mereka penuh gigih. Kakitangan sayangkan Datuk Zul dan Encik Abidin. Dibawah mereka dividen KPF yang turut disertai kakitangan berada pada paras cemerlang 10-15 peratus setahun dan menjadi koperasi terbaik di Malaysia. Semua yang berlaku memberi kesan kepada mereka. Maka tidak pelik, kita diberi maklumat, paling sedikit 70 peratus kakitangan Felda protes dengan kelakuan Isa Samad di Felda dan ia akan diterjemahkan dalam undi dipilihanraya. Harus diingat, kakitangan-kakitangan seramai 23 ribu ini amat berpengaruh di kalangan peneroka-peneroka Felda. Maka tidak mustahil Felda yang putih bagi pihak BN selama ini akan bertukar gelap dalam PRU akan datang.


Penulis ialah Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda di Lembah Klang.

Moral: Najib umpama ‘menepuk air di dulang’

Harakahdaily, 09 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS WP (DPPWP) melihat kenyataan Datuk Seri Najib yang mengatakan bahawa pemimpin yang ingin menjadi Perdana menteri Malaysia mesti bebas daripada belenggu masalah moral umpama menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.


“Kata-kata beliau itu sendiri sebenarnya membuktikan bahawa beliaulah orang yang paling tidak layak menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia sebenarnya,” kata Ketua DPPWP, Kamaruzaman Mohamad.

Katanya, Najib tanpa rasa malu dan bersalah menuding kesalahan kepada orang lain dan berasakan hanya beliau sahajalah yang tiada masalah moral.

Sedangkan, ujarnya seluruh Malaysia dan dunia tahu pelbagai isu moral yang sedang terpalit di badannya, ianya bukan sahaja terhadap dirinya sahaja tetapi turut melibatkan isterinya juga.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, Najib seharusnya membersihkan dahulu isu-isu dan skandal-skandal yang sedang dihadapinya.

Ujarnya, umum mengetahui bagaimana Najib terpalit dengan isu pembunuhan Altantuya dan yang terkini skandal komisyen pembelian kapal selam Scorpene yang turut melibatkan diri beliau sendiri.

“Ketidaklayakan Najib sebagai seorang Perdana Menteri turut dipersoalkan apabila isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor turut sama terpalit dalam isu pembelian cincin RM24 juta,” katanya.

Menurut Kamaruzaman, nyatalah Najib kini menjadi liabiti bukan sahaja kepada Umno BN tetapi juga kepada rakyat Malaysia.

“Ianya turut ditambah dengan penglibatan isterinya, Rosmah. Namun harus diingat, bukan sahaja Najib yang mempunyai isu dan skandal moral, malahan pemimpin Umno BN memang terkenal dengan pelbagai isu tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, Malaysia akan punah apabila ditadbir oleh ahli keluarga yang penuh dengan pelbagai skandal dan isu moral.

“Sudah sampai masanya rakyat Malaysia menolak bukan sahaja Najib, tetapi juga parti Umno BN yang kini  hari kian menjadi beban. Mengundi Umno BN bagaikan mendukung biawak yang hidup,” katanya lagi.

Mogok lapar: GMI desak Hishammuddin beri respons

Anis Nazri, 09 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan terus menggesa Menteri Dalam Negeri memberikan respons berhubung nasib 45 tahanan yang masih terkurung di Kem Tahanan Kamunting (Kemta).

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata biarpun selepas beberapa siri protes diadakan badan anti-ISA itu, menteri terbabit tidak pernah memberikan respons serius terhadap tuntutan GMI.

"Kita mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien memberikan jawapan serius tentang nasib 45 tahanan ISA yang kini sedang melancarkan mogok lapar.

"Kita mahu jaminan menteri dan kerajaan tentang nasib mereka ini selepas ISA dimansuhkan, dan menggesa agar mereka dibebaskan selaras dengan pemansuhan akta itu," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau juga mengingatkan Hishammuddin dan kerajaan bahawa badan itu akan terus mengadakan siri-siri protes di hadapan Kemta, selain mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung isu ini.

Semalam, kira-kira 500 peserta menyertai protes di hadapan Kemta dan protes itu akan terus dilakukan pada 15 Julai akan datang, di lokasi sama.

"Sebelum ini, pada 1 Julai lalu, kira-kira 50 hingga 100 orang menyertai protes tersebut.  Dan semalam, kira-kira 500 orang datang. Jadi, kita harap pada 15 Julai akan datang, lebih ramai yang akan hadir menyatakan sokongan kepada 45 tahanan ISA ini," kata beliau.

Beliau juga dimaklumkan, biarpun menteri tidak memberikan sebarang respons terhadap protes mereka, pihaknya dimaklumkan protes tersebut memberi tekanan kepada pihak kem.

Dalam pada itu, beliau berkata GMI terus menggiatkan kempen berkenaan ISA sepanjang bulan Ramadan seperti kempen kad ramadan, kad ucapan raya, penghantaran buah kurma sebagai tanda ingatan dan sokongan rakyat di luar Kemta.

Syed Ibrahim juga turut menyatakan pihaknya mempunyai perancangan untuk bertemu dengan Hishammuddin, sama ada mengadakan perbincangan ataupun protes di hadapan pejabat Kementerian Dalam Negeri.

DAP 90: Utusan cuba takutkan pengundi Melayu

Muhammad Faizal, 09 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Tindakan akhbar Umno, Utusan Malaysia melaporkan bahawa DAP akan bertanding di 90 kawasan Parlimen adalah satu usaha untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu.

Pendapat itu dikongsi bersama oleh Ahli Dewan Negara daripada Pakatan Rakyat ketika ditemui Harakahdaily pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Menurut Senator Datuk Dr Johari Mat (gambar) yang mewakili Kelantan, isu yang dimainkan itu merupakan isu lama dan ia adalah sebagai usaha sentimen untuk menakutkan rakyat negara ini terutamanya Melayu bahawa negara ini bakal diterajui oleh DAP.

"Ia lebih kepada politik untuk menakut-nakutkan orang Melayu supaya tidak memilih Pakatan Rakyat pada pilihan raya nanti.

"Selain itu juga ia merupakan isu lama yang sentiasa digembar-gemburkan setiap kali tibanya pilihan raya walaupun tiada asasnya tetapi mereka tetap melakukannya," jelasnya.

Senator Syed Shahir Syed Mohamud yang mewakili Pulau Pinang pula mempersoalkan dari manakah fakta itu diperolehi.

"Kita ingin tahu dari mana fakta tersebut diperolehi dan bagi saya ia adalah satu angka yang luar biasa dan mustahil.

"Kita tidak boleh main politik seperti ini dengan budaya ugut dan menakutkan pengundi dalam keadaan kita berada pada senario politik yang matang," katanya.

Menurutnya lagi, rakyat perlu lebih berwaspada dalam setiap isu yang ingin dimainkan demi perpaduan kaum negara ini.

Sebelum itu, Utusan Malaysia mendakwa DAP bakal menjadi parti paling dominan dalam pakatan pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 apabila maklumat mesyuarat pembahagian kuota kerusi pembangkang mendedahkan, parti itu dikatakan akan bertanding 90 kawasan Parlimen.

Manakala PAS dan PKR pula masing-masing akan bertanding di 66 kawasan Parlimen.

Tiada ulasan: