Sabtu, 21 Julai 2012

JANGAN BIMBANG TERSEBARNYA ISLAM..RAMAINYA AKAN FAHAM TENTANG ISLAM...ISLAM AKAN BANGUN...NI SEMUA KERJA ALLAH...MAKHLUK TAK BOLEH SEKAT...MALAH ORANG ISLAM MENENTANG PERKEMBANGAN ISLAM...ROSAK IMANNYA....

Umno terbukti diresapi komunis - Mahfuz

Abdul Aziz Mustafa, 21 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Umnolah yang terbukti diresapi komunis malah pernah menjadi pemimpin parti itu, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Malah yang meyakinkan rakyat bahawa Umno diresapi komunis ialah Umno sendiri dan sebab itulah saya percaya masih ada saki baki komunis di dalam Umno hasil perkaderan pemimpin-pemimpin Umno berkenaan," kata beliau ketika menolak tuduhan dalam laporan Bernama kononnya pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan komunis cuba meresapi Pakatan Rakyat.

Agensi berita tersebut melaporkan kononnya risikan Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa terdapat pengganas JI dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti politik pembangkang selain cuba menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penolong Pengarah E2 (M), Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin berkata Cawangan Khas itu mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi PAS selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.

Mahfuz mengecam dakwaan tanpa bukti itu sambil mengingatkan polis supaya jangan cuba mengalihkan isu sebenar sekarang tentang kegagalan polis mengatasi jenayah.

"Rakyat berada dalam ketakutan malah bank-bank pun mahu mengalihkan mesin ATM mereka dari tempat-tempat awam seperti stesen minyak kerana peningkatan jenayah yang tinggi.

"Tiba-tiba polis buat cerita kononnya kadar jenayah turun, jangankan orang lain, bekas Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) pun tak percaya," katanya sambil menyifatkan dakwaan terbaru polis terhadap Pakatan Rakyat itu sama tarafnya dengan dakwaan polis kononnya kadar jenayah telah turun.

Dakwaan tanpa bukti itu, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, bukan sahaja tidak dipercayai, malah menjadi bahan persendaan rakyat.

"Saya harap pihak polis ada kakitangan untuk membaca ruangan-ruangan komen dalam portal-portal berita juga komen-komen dalam laman-laman sosial di mana rakyat mempersendakan dakwaan itu.

"Rakyat yang tidak menjadi aktivis politik pun tahu bahawa dakwaan kononnya beberapa elemen JI cuba meresapi PAS bertujuan menakut-nakutkan pengundi Cina kepada PAS dan dakwaan kononnya elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP bertujuan menakut-nakutkan pengundi Melayu kepada parti itu," katanya.

Reaksi rakyat itu, kata Mahfuz, menunjukkan mereka sudah tahu muslihat di sebalik tuduhan itu.

"Belum sempat Umno dan polis nak panjang-panjangkan cerita serta nak buat gempar, komen-komen rakyat itu membuktikan hanya orang tidak berakal dan tidak siuman sahaja yang akan mengutip cerita fiksyen seperti itu.

"Kalau dipanjangkan lagi cerita itu kononnya ada bukti dan entah apa dakwaan lain lagi, saya yakin cerita itu akan menjadi bahan tertawaan lebih ramai rakyat lagi sehingga semakin menjatuhkan imej polis," katanya.

Mahfuz juga menyifatkan apa yang berlaku itu membuktikan Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin terdesak untuk mendapatkan undi.

"Apa yang berlaku itu juga menunjukkan Umno tidak ada keberanian lagi untuk berhadapan dengan rakyat sehingga terpaksa memerintahkan polis mencipta dakwaan yang akhirnya menjadi bahan tertawaan rakyat," katanya lagi.

Beliau juga yakin dakwaan-dakwaan seperti itu akan menyebabkan semakin ramai rakyat akan menghukum Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang.

PPKB: Reputasi buruk, Pemuda PAS bantah Astaman

Harakahdaily, 21 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) merasa kesal dengan pelantikan Datuk Astaman Abdul Aziz, sebagai Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB).
“Bagi DPPKT, pelantikan Datuk Astaman Abdul Aziz tidak kena pada masanya kerana kelayakannya dan latar belakang beliau bagi mewakili kepentingan rakyat Kampung Baru itu,” kata Ketua DPPKT, Mohd Suhaimi Abdul Aziz.

DPPKT, katanya mendapati ramai penduduk Kampung Baru merasa terkilan dengan pelantikan Astaman memandangkan beliau bukan anak jati Kampung Baru dan beliau juga tidak dibesarkan di kampung tersebut.

Menurutnya, Astaman dilihat bukan mewakili penduduk atau pemilik Kampung Baru justeru beliau tidak dapat merasakan sentimen yang mendalam bagi memperjuangkan isu Kampung Bharu.

Beliau mempersoalkan apakah Astaman boleh merasai denyut nadi dan keperihan penduduk kampung tersebut dalam memperjuangkan nasib mereka.

DPPKT, ujarnya merasa hairan mengapa Umno tidak mengenengahkan tokoh lain yang lebih berwibawa dan mempunyai latar belakang yang bersih serta anak tempatan.

“Apakah Umno Titiwangsa sudah ketandusan kepimpinan sehingga terpaksa membawa tokoh  kontroversi tersebut?” soalnya dalam satu kenyataan.

Sebagai makluman, katanya Astaman pernah digantung oleh Umno selama tiga tahun kerana terlibat dengan rasuah ketika bertanding dalam pemilihan agung Umno beberapa tahun lepas.

“Dengan rekod dan reputasi yang buruk ini, ramai merasa curiga Datuk Astaman mampu memperjuangkan nasib mereka, atau mungkin Kampung Baru akan terus digadai dengan kepimpinan yang dipersoalkan ini,” katanya.

Katanya lagi, DPPKT merasa khuatir jika Kampung Baru akan menerima nasib yang sama dengan Felda di mana kerajaan melantik Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusinya.

Ini, ujarnya kerana Isa adalah pemimpin yang dipalitkan dengan rasuah dan telah dihukum kerana kesalahannya.

“Beliau masih mendapat kepercayaan pemimpin Umno untuk mengemudi Felda meskipun rata-rata warga Felda menolak kepemimpinan Isa,” ujarnya.

Tambahnya, nasib Felda menjadi tidak menentu dengan tindakan penyenaraiannya di Bursa Malaysia yang menjadi kemarahan peneroka.

Kemuncaknya, kata beliau rakyat turun ke jalan raya dalam perhimpunan Oren pada 14 Julai lalu.

Justeru, tegasnya DPPKT mendesak kerajaan menarik balik pelantikan Astaman sebagai Pengerusi PPKB.

“Jika kerajaan benar-benar ikhlas mahu membangunkan Kampung Baru, pelantikan Pengerusi PPKB mesti mendapat mandat dan kerelaan pemilik Kampung Baru seluruhnya dan mewakili kepentingan mereka,” katanya.

Walaupun berkaki satu, pemuda ini tegak berdiri semasa solat

http://kerabubersuara.blogspot.com, 21 Jul 2012
http://a4.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/208947_10151322647434572_2044384032_n.jpg

Solat Kewajipan Utama

Dalam Surah Maryam ayat 59 Allah berfirman :


فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلاَة َوَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيَّا


Maksudnya : Maka datanglah sesudah mereka pengganti yang mengabaikan solat dan mengikut hawa nafsunya. Maka mereka kelak akan menghadapi azab di dalam neraka.


Itulah secebis gambaran Al Quran terhadap golongan manusia yang akan mula melupakan Allah s.w.t. dengan mengabaikan satu tuntutan pengabdian makhluk kepada Khaliqnya. Tuntutan syahadatain ( 2 kalimah syahadah) tidak dijelmakan dengan perlakuan yang disyariatkan Allah. Mereka menjadikan hawa nafsu sebagai ikutan lalu mengabaikan solat fardu yang disyariatkan Allah . Akibatnya mereka dihumbankan Allah ke lembah kehinaan yang tidak ada tolok banding azabnya iaitulah neraka.


Satu kewajipan yang telah diketahui umum yang mempunyai dalil yang jelas daripada Al Quranul karim dan hadith Nabi s.a.w. serta kefarduannya disepakati oleh seluruh ulamak Islam ialah solat. Ungkapan “dirikanlah solat” atau ungkapan yang seumpamanya diulang-ulang dalam Al Quranul Karim adalah dalil yang diterima dan tidak dipertikaikan , samada oleh ulamak Salaf atau Khalaf, kalangan para sahabat dan imam-imam mujtahidin selepas itu, malah sampai ke zaman kita ini.


Orang yang mendirikan solat dianggap dia telah mendirikan satu asas agama yang utama, kerana ia adalah ibadat utama yang tidak boleh diatasi oleh ibadat-ibadat lain . Ibadat yang difardukan langsung kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. pada malam Mikraj. Rasulullah s.a.w bersabda :

الصَّلاَةُ عِمَادُ الدِّيْنِ وَمَنْ أَقَامَهَا فَقَدْ أَقَامَ الدِّيْن وَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ هَدَمَ الدِّيْن
Maksudnya : Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat sesungguhnya dia telah mendidikan agama, dan sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama.

Solat adalah satu kewajipan, selama ruh dikandung badan. Selagi akal masih siuman . Tidak ada alasan untuk kita meninggalkan solat . Sebab itu dalam Syariat Islam berbagai hukum, peraturan dan kaedah telah ditetapkan bagi mereka yang tidak mampu menunaikan solat dalam keadaan biasa


Bagi memastikan kewajipan ini dilaksanakan oleh umat Islam dalam situasi tertentu maka kita dibolehkan bertayammun. Bagi mereka yang tidak dapat solat secara biasa, dibolehkan mereka melakukan secara sambil duduk berbaring dan sebagainya . Semasa dalam perjalanan diharuskan kita menunaikan solat secara Jamak dan Qasar . Malah dalam suasana perang sekalipun, solat mesti ditunaikan dengan kaifiyyat yang tertentu.


Solat menjadi amalan pertama sekali yang akan dihisab oleh Allah s.w.t. Kesempurnaan solat yang ditunaikan akan menyelamatkan amalan-amalan kebaikan yang lain daripada ditolak begitu sahaja. Segala penat lelah semasa di dunia menjadi sia-sia . Begitulah besarnya kewajipan solat berbanding amalan-amalan lain. Rasulullah s.a.w bersabda :


أوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ الصَّلاَة، فَإِنْ صَلَحَتْ صَلَحَ سَائِرُ عَمَلِهِ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَسَدَ سَائِرُ عَمَلِهِ

Maksudnya : Perkara pertama yang akan dihisab ke atas seseorang pada hari qiamat ialah solat. Apabila baik solatnya maka baiklah seluruh amalannya. Dan jika rosak maka rosaklah segala amalannya.
(HR. Tobarani)
Solat yang sempurna dapat menjadi penangkis yang paling berkesan menghindarkan seseorang daripada terjerumus ke lembah maksiat dan mungkar . Solat yang didirikan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan akan merubah personaliti seseorang menjadi insan yang tunduk kepada perintah Allah dan takut melakukan sebarang penyelewengan dalam kehidupan di dunia ini. Solat yang seumpama ini mampu menjadi ubat yang paling mujarab menyembuhkan berbagai penyakit sosial yang melanda umat pada hari ini.Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut : 45

أَقِمِ الصَّلاَةَ إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ


Maksudnya : Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah kamu daripada keburukan dan kemungkaran.

Syor parkir untuk wanita elak jenayah

Salmiyah Harun, 21 Jul 2012
AMPANG: Pegurusan pusat membeli-belah disyorkan merizabkan sebilangan unit parkir kenderaan bertanda 'w' khususnya kepada wanita berdekatan pintu masuk setiap premis perniagaan mereka.

Cadangan itu dikemukakan oleh Exco Perumahan Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad ketika menerima memorandum daripada Gabungan Wanita Pandan di Pasaraya Tesco Ampang, di sini hari ini.

Beliau berkata, tujuan utama merizabkan tempat letak kereta untuk wanita berhampiran pasar raya untuk mengelakkan mereka terdedah dengan sebarang kejadian berbahaya.

Beliau juga berjanji akan membawanya ke mesyuarat Exco agar ia mendapat perhatian pasaraya-pasaraya lain di Selangor.

Tambahnya, cadangan di dalam memorandum tersebut adalah baik dan wajar dijadikan satu peraturan wajib oleh pihak berkuasa tempatan.

Malah katanya, cadangan itu wajar dilaksanakan memandangkan banyak kejadian jenayah sering berlaku di kawasan tempat letak kenderaan pusat membeli-belah.

"Sebelum ini sudah ada tempat letak kereta khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dekat dengan bangunan pasar raya, jadi saya rasa tiada masalah merizabkan parkir khas kepada wanita seperti yang disediakan kepada OKU," katanya di dalam blognya.

Memorandum yang akan diserahkan kepada semua pasar raya besar di Ampang bermula hari ini, katanya, turut mencadangkan unit parkir tersebut ditanda 'W' sebagai tanda ia dikhususkan kepada wanita.

Tegasnya, tempat letak kereta bertanda 'W' hanya boleh digunakan oleh pelanggan wanita yang mengunjungi pasar raya tanpa ditemani pelanggan lelaki dewasa sahaja.

Terdahulu, Gabungan Wanita Pandan di dalam memorandumnya menggesa agar dirizabkan unit-unit letak kereta berhampiran dengan bangunan pasaraya agar keselamatan pelanggan-pelanggan wanita terjamin.

Menurut Gabungan Wanita Pandan, seorang pelanggan wanita telah diserang dan cuba dirompak di tempat letak kereta sebuah pasaraya besar.

Mereka turut mencadangkan agar tindakan juga perlu kenakan ke atas pelanggan-pelanggan yang menyalahguna tempat letak kereta ini seperti mengunci tayar atau "clamping".

Memorandum telah diserahkan kepada wakil Tesco Ampang, Sivalingam oleh wakil Gabungan Wanita Pandan, Puan Hajjah Basmatul Uyun Mohd. Yusof, Hajjah Musalmah Osman dan Cik Lee Shok Jing.

Imej polis tercemar kerana dakwaan ektremis

Tuan Ibrahim Tuan Man, 21 Jul 2012
PAS memandang berat kenyataan bersifat politik yang dikeluarkan oleh Ketua Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin yang bertentangan dengan etika kepolisian dan perkhidmatan awam.
Pendedahan awam yang dibuat jelas bersifat tidak berasas, berat sebelah dan tidak profesional.

Sebagai Pegawai Risikan Cawangan Khas, tindakan beliau kini mengesahkan bahawa Cawangan Khas kini menjadi alat kepada BN untuk menjamin kesinambungan kuasa BN.

Pendedahan beliau dilihat untuk menakutkan rakyat ysng kini mulai muak dengan gaya hidup melampau, pembaziran, rasuah, serta salahguna kuasa kerajaan BN.

Apakah ini cara untuk mendedahkan maklumat risikan sulit kepada awam? Jelas tidak, maka motif ledakan ini amat mencurigakan.

Sepatutnya ia mesti bertindak terus bukan mendedahkan maklumat tanpa bertindak. PAS mencabar beliau mendedahkan siapa yang beliau maksudkan kerana ia kini menjadi tandatanya kepada orang  awam.

PAS juga mendesak Ketua Polis Negara bertindak di atas pendedahan maklumat sulit siasatan dan beranggapan beliau tidak layak berada di Cawangan Khas.

Mungkin beliau lebih sesuai diletakkan di jabatan Biro Tatanegara atau Kemas.

PAS ingin tegaskan bahawa kami menentang sebarang eleman ekstrem di dalam parti. Kita mengambil jalan politik demokrasi dengan menyertai pilihanraya dan menuntut sistem pilihanraya yang adil dan telus.

Sebagai contoh, himpunan rakyat yang disertai PAS samada dalam Himpunan Kuning atau Himpunan Oren adalah berlandaskan demokrasi dan penyataan rakyat yang menuntut sistem pilihanraya yang adil dan usaha menyelamatkan tanah ribuan hektar dari dicagar kepada Felda Global Venture Holding.

PAS kesal kerana himpunan pembangkang dilabel sebagai petanda resapan Jemaah Islamiah (JI) dan komunis. Sedangkan yang banyak mengadakan hubungan dengan parti komunis ialah Umno sendiri, samada secara rasmi atau tidak.

Namun, sikap double standard dan tidak profesional Sofian telah menyebabkan imej Cawangan Khas kini turut tercemar teruk seperti yang dialami polis atas tindakan ganasnya di himpunan-himpunan yang dianjurkan Bersih dan penyiasatan berat sebelah yang ketara dalam kes melibatkan BN dan Pakatan Rakyat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Masjid: Bukan fitnah tetapi sebar kebenaran

Muhammad Yusri Amin, 21 Jul 2012


(Orang bukan Islam turut sumbang untuk Ihya' Ramadhan di Kelantan)

KOTA BHARU: PAS setuju bersetuju supaya tidak ada pihak menggunakan masjid untuk menabur fitnah, mengadu-domba, bahkan bercakap dusta dalam masjid tetapi kebenaran Al-Quran dan As-Sunnah mestilah disebarkan di masjid.

“Ini kerana masjid juga tempat untuk memberi kefahaman tentang ilmu kepada masyarakat terutama pada bulan Ramadhan ramai orang (ahli jemaah) berhimpun.

“Maka sesuailah kita mengambil peluang untuk menyebarkan kebenaran Islam kepada masyarakat," kata Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Nik Mohamad Amar Abdullah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan itu berkata, dalam Islam masjid bukan tempat sembahyang saja, tetapi adalah juga pusat ilmu.

Sehubungan itu Nik Amar mendakwa, selama ini Kerajaan Barisan Nasional menjadikan masjid tidak lebih hanya untuk tempat sembahyang, untuk beribadat dalam pengertian sempit.

“Sedangkan fungsi masjid yang sebenar pada zaman Nabi saw ialah sebagai pusat pentadbiran, pusat ilmu, pusat sosial.

“Semuanya berada di masjid, bahkan Nabi Muhammad saw bermesyuarat untuk berperang pun adalah di dalam masjid.  Menerima deligasi-deligasi asing dan memutuskan sesuatu serta mesyuarat untuk pergi berperang pun di dalam masjid," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa kesucian masjid tidak seharusnya dicemarkan semata-mata kerana ingin mencari pengaruh atau mengaut keuntungan politik.

Media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  mengingatkan umat Islam agar tidak menjadikan masjid sebagai gelanggang memfitnah pemerintah.

Beliau bersetuju kalau fungsi masjid itu diperluaskan, dikembalikan seperti zaman Rasulullah saw.

Ramadhan

Dalam pada itu, Nik Amar berkata, orang yang berfikiran sekular dan hidup secara sekular sering merasa gerun dengan kedatangan Ramadhan Al-Mubarak terutama pada program pengisian dan pengimarahan masjid dan tempat beribadat.


(Orang ramai menyumbang untuk Ihya' Ramadhan)

Ini kerana pengimarahan masjid biasanya tidak lepas daripada tazkirah dan ceramah yang disampaikan ilmuan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan itu mendakwa golongan itu sering menganggap masjid hanya untuk tempat beribadat semata-mata.

“Boleh jadi ada orang bimbang sebab kita memanfaatkan bulan Ramadhan untuk mempertingkatkan kefahaman Islam di kalangan masyarakat dan ahli jemaah tentang kebenaran  Al-Quran dan As-Sunnah.

"Mungkin ada orang yang tidak senang dengan keadaan ini terutama mereka mempertahankan pemikiran sekular dan hidup (secara) sekular, dan orang menganggap masjid ini hanya untuk tempat beribadat semata-mata," katanya.

Justeru Nik Amar mendakwa pihak Kerajaan Negeri cuba memecahkan kefahaman yang salah itu sekaligus membetulkan tanggapan masyarakat terhadap fungsi masjid dan peranan masjid yang sebenar.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan bercakap kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Tabung Ihya’ Ramadhan 1433 bersamaan 2012 di Medan Ilmu di sini pagi semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan Dato’ Ismail Samah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Fauzi Mat.

Majlis tersebut dilancarkan Nik Amar yang mewakili Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

RM1 juta untuk program Ihya' Ramadhan di Kelantan

Muhammad Yusri Amin, 21 Jul 2012

(Takiyuddin menyampaikan amanat kepada anggota Aamilin dan Aamilat sempena Ihya Ramadhan)

KOTA BHARU: Program Ihya’ Ramadhan 1433 Hijriah bersamaan 2012 dijangka berlangsung lebih meriah berbanding tahun lepas di Kelantan.

Ini kerana pada program yang memakan perbelanjaan dianggarkan RM1 juta itu akan diisi dengan program  ‘mantap’ termasuk Ijtimak Ulama Nusantara yang menghimpunkan ulama Pondok dari Pondok-Pondok di Nusantara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata sambutan Ihya’ Ramadhan tahun ini juga dikemaskinikan sempena Tahun Melawat Kelantan 2012.

Bahkan pengisianya dimeriahkan dengan pakej ‘Qiam With Me’ yang dijangka pada ‘upacara hadapan’ turut berangkat Sultan Muhammad V,  Tengku Mahkota Kelantan, Kerabat D’Raja dan kakitangan kerajaan.

Program bermula 10.00 malam hingga waktu Subuh itu diadakan pada 20 Ramadhan bersamaan 9 Ogos di Istana Kubang Kerian dekat sini.  Dijangka disertai 5,000 orang.

Selain itu, program Akademi Tarannum Al-Quran yang ‘berkonsepkan’ Akademi Fantasia diadakan, disertai pelajar tahfiz Al-Quran yang sudah pun mengikuti program Al-Quran.

“Pada 26 Ramadhan akan diadakan ‘Sejuta Selawat Zikir Munajat Lailatul Qadar diketuai tokoh ulama dari dalam dan luar negara.

“Tidak ketingalan program Imam Muda, program Bersama Selebriti disertai selebriti termasuk Bob Lokman dan Abby Abadi (untuk peserta muslimat)," katanya.

Dalam satu kenyataan medianya di sini hari ini, Takiyuddin berkata bagi menjayakan program Solat Terawih sepanjang Ramadhan tahun ini,  diimamkan syeikh tersohor dari tanah Arab.

Mereka ialah Sheikh Ramadhan, Ayub Musa dan Sheikh Hisham Abdul Bari.

Sementara program Ustaz Azhar Bersama Remaja akan diadakan pada 14 Ramadhan, mulai 5.00 petang.

Terdahulu pada hari sama (mulai 3.00 petang) diadakan program Jejak Kasih Remaja Ramadhan di mana menerusi program itu remaja bermotorsikal akan membawa bahan-bahan makanan dan akan mengagihkannya kepada golongan miskin sepanjang penjelahannya ke kawasan tertentu di Kota Bharu.

“Alhamdulillah, pada tahun ini Tahun Melawat Kelantan, dan keadaan ini menambah rezeki baru kepada pengusaha hotel di Kota Bharu khasnya dan di negeri ini amnya.

“Biasanya pada bulan Ramadhan, hotel kurang pelanggan, namun pada tahun ini lebih meriah, bahkan ada antara hotel berkenaan memberi diskaun khas istimewa sempena Ramadhan kepada pengunjungnya," katanya.

Program Ihya’ Ramadhan yang diadakan setiap tahun itu merupakan produk pelancongan Kelantan, bahkan prodak pelancongan agama dengan menarik ramai pelancong dalam bulan Ramdhan sama ada dari dalam dan luar negara.

Takiyuddin berkata tahun ini seperti juga tahun lepas, pelancong luar negara itu  menghubungi penganjur Ihya Ramadhan memaklumkan mereka akan memabawa rakan-rakan mereka ke negeri ini bagi menyaksikan persembahan program Ihya Ramadhan, ini kerana bagi mereka unik dan tidak ada di tempat lain.

Ramadhan: Kelantan tekan 5 aspek

Salmah Mat Husain I Foto Zamani Mohd Zain, 21 Jul 2012

(Anggota exco kerajaan negeri Datuk Abdul Fatah Mahmood, bergambar kenangan bersama dua imam dari Mesir)

KOTA BHARU:  Kerajaan Kelantan menekan lima aspek penting untuk diamalkan oleh rakyat di negeri itu sebagai tema Ramadan.

Kurangkan makan, perbanyakkan sedekah, perbanyakkan bacaan al-Quran dan tahajjud dan berlumba-lumba menjejaki malam lailatul qadar.

Bagi mengingatkan masyarakat tentang hasrat kerajaan negeri itu, setiap banting yang dikeluarkan, akan tertera tulisan tersebut untuk dihayati serta diamalkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Ahmad, ketika ditemui selepas solat sunat itu memberitahu, peringatan itu dibuat hasil cetusan idea Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Tuan Guru sebagai seorang ulama sentiasa mengingatkan kita supaya merebut peluang itu sebaik mungkin agar ianya tidak berlalu dengan begitu sahaja,”ujarnya.

Sementara itu, seramai 3,000 jemaah menunaikan solat sunat Tarawih pada malam pertama di Qaryah Ramadan malam tadi.

Solat berkenaan diimamkan oleh Sheaik Ramadan Ahmad dari Kaherah, Mesir.

Kata Takiyuddin, beliau dipilih oleh kerajaan negeri untuk mengimamkan solat sunat itu buat kali ketiga tahun ini dan Sheikh Hisyam Abdul Bari, dari Iskandariah. Beliau merupakan tahun kedua menjadi imam di sini.

Sambungnya, sambutan orang ramai untuk turut serta menunaikan solat sunat di situ begitu memberangsangkan pada malam pertama ini.

Menurutnya, tahun sebelumnya termasuk tahun lalu hanya 1,500 hingga 2,000 peserta sahaja yang hadir pada majlis ini, berbanding mala mini.

“Kebetulan kita telah menambah satu lagi khemah terbuka yang besar untuk kemudahan peserta qaryah untuk menunaikan solat di sini,”ujarnya.

Beliau turut memberitahu beberapa program menarik telah disusun untuk orang ramai antaranya Sepetang Bersama Imam Muda pada 7 Ramadan, Bicara Ramadan bersama Ustaz Azhar Idrus pada 14 Ramadan.

Selain itu katanya, motivasi armalah bersama Abby Abadi pada 19 Ramadan termasuk program qiyam with me bersama Sultan Kelantan di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan