Selasa, 26 Jun 2012

YANG HARAM PADA PUAK TERTENTU...PUAK YANG LAIN TAK PE...DAN BUKAN RASUAH...MEREKA DAN KUNCU2NYA AKAN JAWAB DIHADAPAN ALLAH...JIKA DIDAPATI BERSALAH....ALLAH MASUKKAN DALAM NERAKA....

Dinar: Nik Aziz beri '25 jam' untuk siasat KGT

Muhammad Faizal, 26 Jun 2012
SHAH ALAM: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu pihak berkuasa boleh menyiasat bila-bila masa isu dakwaan penyelewengan dalam pertadbiran Kelantan Golden Trade Centre Sdn Bhd (KGT).

Beliau yang ditemui di Auditorium Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini turut menyatakan siasatan tersebut boleh dilakukan 25 jam.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali.

"Kita sedia disiasat dan saya berikan 25 jam ruang waktu untuk mereka siasat walaupun kita ada 24 jam tapi 25 jam saya bagi.

"Siasatan boleh dilakukan bila-bila masa dan kita tidak takut," jelasnya.

Beliau yang sebelum itu berucap pada majlis Wacana Ilmu 'Buku Rasuah' menjelaskan amalan rasuah tidak dapat dibendungi kerana undang-undang yang ada sekarang adalah ciptaan manusia.

"Kalau kita ingin mengatasi masalah rasuah sepenuhnya, kita perlu kembali kepada ajaran Islam dan Allah Taala.

"Jika ini tidak dapat dilaksanakan terlalu sukar untuk kita mengatasinya kerana kita adalah manusia yang mempunyai banyak kelemahan," ucapnya.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz turut memberitahu amalan memberi habuan terutama dalam memancing undi pada pilihan raya adalah rasuah dan haram dilakukan.

"Pemberian habuan pada pilihan raya juga merupakan rasuah dan haram tetapi itu tidak dipedulikan kepada mereka yang mengamalkan prinsip sekular dan demokrasi.

"Selagi pemimpin-pemimpin sekular tidak mengikuti ajaran Islam selama itulah rasuah akan terus menjadi raja di negara ini," sambung beliau lagi.

Sebelum itu, Kementerian Kewangan memberi tempoh tiga minggu mulai Ahad kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membuat siasatan terperinci berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam pertadbiran Kelantan Golden Trade Centre Sdn Bhd (KGT).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata hasil siasatan terhadap syarikat yang mengeluarkan mata wang dinar dan dirham milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), hendaklah didedahkan kepada rakyat.

Awang Adek berkata demikian ketika diminta mengulas tiga laporan polis yang dibuat terhadap apa yang didakwa berlaku salah laku membabitkan seorang daripada pegawai kanan KGT, oleh bekas Pengarah Eksekutif KGT Nik Mahani Mohamad pada 31 Januari lepas, seorang pelabur Jepun Takao Kono pada 28 Mei dan seorang rakyat Perancis Mohamed Esfih pada 1 Jun.

Mufti dengan haji dan pilihan raya

Subky Latif, 26 Jun 2012
SAMA ada Perdana Menteri Najib dapat petunjuk atau tidak  dapat petunjuk rasanya dia tidak akan mengadakan pilihan raya dalam musim haji.
Jika dia hendak mengadakan pilihan raya berhampiran dengan musim haji, maka dia akan pastikan belum ada jamaah yang sudah berangkat ke Mekah dan sesudah semuanya balik baru Parlimen dibubarkan.

Kalau Dr. Mahathir yang lebih degil daripadanya tidak lagi mengganggu orang haji selepas PRU 1986 setelah kerajaan  dikritik gara-gara PAS bercadang untuk menangguhkan haji, maka Najib juga tentu mengambil ikibar daripada kecaman dan ingatan PAS itu.

Simpati  rakyat kepada PAS atas isu ini boleh menjejaskan peluang Najib bagi mengekalkan kuasa.

Tindakan Najib itu dibuat setelah mengambil kira hisab politik, bukan kerana mendengar alasan setegah mufti yang kebanyakan mahir dengan kitab kuning yang tidak memahami politik itu adalah satu juzuk penting dalam Islam.

Baik Mufti Selangor mahu pun Mufti Perak hanya tahu siapa yang  cukup syarat menangguhkan haji kalau mati sebelum menunaikan haji wajib, maka matinya mati Yahudi,  Nasrani dan mati jahiliyah. Tidak langsung ada mempelajar kitab ulama terbaru seperti Sheikh Yusof  Qardawi, Hassan al-Banna, Abdul Karim Zaidan dan lain-lain.

Mungkin ulama PAS itu politik belaka. Tetapi pandangan bekas Mufti Perlis,
Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin yang mengajinya bukan sekadar di institusi pengajian tinggi  Islam antarabangsa tetapi mengaji juga di Universiti Oxford ternyatalah tidak standardnya setengah mufti kita.

Dr. Maza berpendapat adalah satu kesalahan mengadakan pilihan raya pada waktu haji. Ia seperti mengadakan  solat  di  tengah jalan, tempat orang lalu lintas. Kesalahan itu bukan terhadap orang yang lalu lalang di depan  dan belakang orang yang solat, tetapi orang yang memilih solat di tempat  seperti itu yang berdosa.

Padanya perkara ini pernah dibahaskan oleh ramai ulama termasuk  Ibn Hajar yang menghasilkan kitab Fathul Bari.

Setakat ini pandangan Dr. Maza itu adalah lebih kuat dari pandangan beberapa mufti yang menyanggah amaran PAS tentang isu itu.

Dr. Maza adalah bekas mufti  dan ada pengalaman sebagai pembuat fatwa. Dia tidak lagi jadi mufti bukan kerana  dibuang atau pandangannya tidak disenangi oleh kerajaan Perlis. Dia berhenti sendiri dengan dia saja yang tahu sebabnya.

Semasa jadi mufti dulu ada juga pendapatnya disanggah orang. Tetapi Dr. Maza belajar lagi. Dia tidak terhenti dengan ilmu yang ada. Sekali pun pandangannya lebih menarik dari setengah mufti, tetapi merasai tidak memada dengan ilmu yang ada.

Pandangan bebas Dr. Maza dalam isu itu menyebabkan kenyataan beberapa mufti mengenainya dirasakan amat koman.

Adalah dipercayai Penasihat Agama Perdana Menteri dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dalam urusan agama Islam tentu boleh menasihatkan Perdana Menteri tentang pandangan Dr. Maza dalam perkara itu.

Kesimpulan Dr. Maza, berdosa mengadakan pilihan raya  dalam musim haji. Najib mestilah mengelak perbuatan yang mendatangkan dosa.

Pandangan Dr. Maza dipercayai mempengaruhi Perdana Menteri mengelakkan pilihan  raya musim haji.

Tetapi elok juga Penasihat Agama Perdana Menteri dan JAKIM mencadangkan supaya para mufti menghadiri kursus singat mengenai siasah syariyah supaya  dapat membandingkan isu-isu politik. Dr. Maza boleh diberi slot bagi melengkapkan mufti dengan  perkembangan semasa dan kepentingan ummah.

Dalam isu ini PAS dilihat menang. Ternyatalah ulama PAS bukanlah terdiri ulama haid dan nifas seperti yang al-Marhum Imam Khomeini pernah kata. Dengan pandangan setengah mufti itu seolah-olah mereka mahir hukum haid dan nifas saja.Berdosa Jika Pilihanraya Dilaksanakan Sewaktu Musim Haji

Oleh
Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID)

Kami, selaku pendakwah dan asatizah telah dan kerap ditanya berkenaan isu mengadakan pilihanraya sewaktu musim haji. Justeru itu, sebagai respon kepada pertanyaan tersebut, pihak Multaqa Asatizah & Duat (MURSHID) dalam mesyuarat yang lalu berpendapat seperti berikut :-

Di dalam system demokrasi, pilihanraya dan proses pengundian adalah ibarat suatu mahkamah besar bagi memilih siapa yang lebih layak diberikan amanah memerintah, maka sewaktu sistem demokrasi dijadikan panduan dan diterima oleh majoriti rakyat, tugas terbesar kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah memastikan semaksima mungkin penyertaan rakyat dalam pilihanraya, justeru kempen untuk pendaftaran pengundi mestilah dipertingkatkan kecanggihannya dan dipermudah di seluruh tanahair. Rakyat Malaysia selaku pengundi layak yang berada di luar negara perlu di jamin hak mereka agar boleh mengundi melalui kaedah yang berkesan lagi dipercayai.

Kami juga bersepakat bahawa Pilihanraya dan proses pengundian TIDAK BOLEH atau HARAM dilaksanakan sewaktu musim perayaan dan ibadah umat Islam khususnya musim haji yang mana berpuluh ribu pengundi dan petugas haji sedang berada di luar Negara.
Sekiranya pilihanraya tetap dilakukan di musim haji, itu merupakan suatu pengkhianatan terhadap amanah dan sistem pemilihan. Ini adalah kerana proses pengundi adalah suatu proses KESAKSIAN.

Firman Allah :
وأشهدوا ذوى عدل منكم ..(الطلاق: 2)
Mafhum : “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu”( At-Talaq: 2)

Juga Firman Allah :
وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُوا
Ertinya : Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil ( Al-Baqarah : 282)

Dalil-dalil di atas menunjukkan, apabila kita berada di dalam suatu situasi atau keadaan sistem yang memerlukan mereka yang bermaklumat memberi kesaksian demi memberikan keputusan demi keadilan, mereka adalah dikira sebagai saksi yang diharamkan untuk menolak dari memberikan keterangan dan kesaksian.

Dalam konteks pilihanraya, rakyat sebenarnya bertindak sebagai SAKSI sama ada untuk menyokong atau menolak mana-mana calon yang bertanding. Justeru, SEKIRANYA pihak berkuasa memutuskan pilihanraya akan dijalankan pada musim haji, ia adalah suatu tindakan yang akan menghalang rakyat dari keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.

Jika seorang saksi TIDAK DIBENARKAN untuk menolak tanggungjawab memberi kesaksian, maka tentunya DIHARAMKAN juga bagi pihak ketiga untuk menghalang saksi dari memberikan kesaksian seperti sengaja mengadakan sesi perbicaraan ketika saksi berada di luar negara.

Justeru, setiap individu yang mempunyai hak dan berkelayakan memberikan kesaksian samada di mahkamah, termasuk kesaksian dalam bentuk mengundi sewaktu pilihanraya, tidak dibolehkan untuk sengaja menyembunyikan kesaksian atau dinafikan hak dan ruang memberi kesaksian termasuk oleh pihak berkuasa sekalipun. Firman Allah Ta'ala :

وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
"Maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Al-Baqarah :283)

Akhuirnya, kami menyeru pihak berkuasa agar teguh menjalankan amanah yang terbaik buat rakyat bagi mereka menjalankan tugas dan amanah selaku pengundi yang perlu memberi penyaksian parti dan calon yang dipercayainya. Kami yakin, pihak berkuasa tentunya bijak dalam memutuskan keputusan dalam hal ini.

Sekian dari kami,
1. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
2. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malek
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohammad
10. Ustaz Zamri Zainuldin
11. Ustaz Mohd Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisham Tuan Padang
18. Ustaz Ramadan Fitri Elias
19. Ustaaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Naseer Abd Rahman



Aktivis Royalti dipukul dapat simpati MB

Aslani M, 26 Jun 2012

KOTA BHARU: Menteri Besar merakamkan ucapan takziah dan simpati terhadap lima mangsa keganasan pihak tertentu pada Himpunan Menyokong Royalti di hadapan Kota Darulnaim pagi tadi.

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berada di Shah Alam hari ini melahirkan rasa kesal terhadap insiden yang disifatkan tidak wajar berlaku.

“Sekiranya semua pihak menghormati hak bersuara yang dijamin dalam perlembagaan tentunya tidak berlaku perkara buruk seperti itu,” katanya melalui kenyataan dikeluarkan Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari.

Menteri Besar berada di Selangor menyampaikan ucaptama di Majlis Wacana Ilmu Mengenai Rasuah anjuran kerajaan negeri terbabit.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menyampaikan sumbangan peribadi tanda simpati kepada semua mangsa terbabit.

Sumbangan disampaikan angggota Exco, Dato’ Abdul Fattah Mahmood sebagai mewakilinya. Sumbangan berkenaan disampaikan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu ketika mangsa membuat laporan polis.

“Tuan Guru turut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan yang ditunjukkan rakyat Kelantan terhadap usaha kerajaan negeri menuntut royalti minyak dan pendaratan gas yang dinafikan kerajaan pusat.

“Juga terima kasih kepada pihak keselamatan yang telah memberikan kerjasama memastikan perhimpunan aman tersebut berlangsung dengan baik,” kata Fadhli.

Bekas timbalan pengarah Jakim masuk PAS

Salmiyah Harun, Foto: Nasir Sudin, 26 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengalu-alukan sesiapa sahaja atau di kalangan mereka yang mempunyai peranan untuk menyertai Parti PAS.

Katanya, PAS bersikap terbuka dan menerima siapa sahaja bukan hanya di kalangan ahli politik bahkan mereka di kalangan teknokrat.

Mengulas fenomena bekas kakitangan kerajaan, artis dan selebriti secara terbuka menyertai PAS pada hari ini,  Abdul Hadi berkata, itulah satu kekuatan dan nilai tambah kepada PAS.

Beliau berkata demikian selepas menerima penyerahan borang keahlian daripada bekas Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Yusof Hassan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut tengah hari tadi.

Yusof Hassan yang juga bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang berasal dari Parit Buntar Perak dan berhijrah ke Selangor kira-kira 30 tahun yang lalu.

Selepas dua tahun berkhidmat dalam Kerajaan Pulau Pinang di bawah pentadbiran Koh Tsu Koon, Yusuf berpindah ke Jakim kerana beliau merasakan tidak serasi dengan Ketua Menteri terbabit yang dilihat terlalu BN.

Ekoran itu, beliau hanya bertahan selama dua tahun sahaja dengan kerajaan Pulau Pinang sehingga akhir 2004.

"Saya berasal daripada keluarga yang kuat PAS, dan saya sememangnya adalah PAS, di kalangan kawan-kawasan saya dikenali ahli PAS. Cuma pada hari ini adalah secara rasmi saya masuk PAS," katanya.

Penyerahan borang keahlian PAS hari ini, Yusof menyifatkan apa yang disyaki oleh rakan-rakan sekerjanya sebelum ini adalah tepat.

"Rakan-rakan di dalam Jakim selalu menuduh saya orang PAS apabila mereka meneliti riak-riak dan hujah-hujah saya, cuma mereka tidak ada bukti. Jadi hari inilah buktinya. Tuduhan rakan-rakan saya adalah benar," katanya.

Beliau yang baru enam bulan bersara daripada Jakim, mengakui ramai di kalangan rakan-rakan di dalam jabatan itu mahu menyertai PAS cuma masanya belum tiba lagi.

Bagaimanapun beliau menafikan penyertaannya dalam PAS hari ini ekoran fenomena ramai individu termasuk artis dan selebriti secara terbuka menyertai  parti Islam itu.

"Tidak, bukan kerana ramai yang mula menyertai PAS, saya pun masuk PAS. Sebenarnya hasrat itu sudah lama lahir dari lubuk hati saya," katanya.

Turut bersama ketika penyerahan borang keahlian itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, Sallehen Mukhyi serta beberapa wakil PAS Selangor.

KGT: Husam minta Awang Adek teliti sebelum ulas

Muhammad Yusri Amin, 26 Jun 2012
KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa mendakwa Awang Adek Hussin sebagai pemimpin mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa dalam isu membabitkan pengurusan Kelantan Golden Trade (KGT), dinar dan dirham Kelantan.

Husam yang juga Naib Presiden PAS Pusat mendakwa tindakan Timbalan Menteri Kewangan itu berpijak kepada ‘habuk-habuk fitnah’ dalam membuat kenyataan.

“Bahkan sebagai Timbalan Menteri Kewangan, tidaklah wajar bagi Awang Adek terburu-buru memberikan kenyataan tanpa memeriksa fakta kes termasuk apa laporan, apa isi laporan polis dan apa komen polis (dalam isu berkaitan).

“Tiba-tiba terus terburu-buru, (justeru) seakan-akan memberikan implikasi adanya ‘penyelewengan’ dalam KGT,  dinar dan dirham Kelantan.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan bercakap kepada pemberita selepas menerima Plak dan Memorandum Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (ROYALTI) di depan Kota Darulnaim di sini pagi tadi.

Penyerahan plak dan memorandum pada pukul 10.49 pagi itu diketuai Pengerusi ROYALTI Nazeri Deraman dan pimpinan ROYALTI Kelantan.

Husam mendakwa sehingga hari ini tidak ada fakta kes diketengahkan.

Sehubungan itu, Husam menasihati Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu, lain kali jangan berpijak kepada ‘habuk-habuk fitnah’.

“Sebagai Timbalan Menteri Kewangan dia kena ada fakta-fakta kes.

“Dan apabila dia enggan berdebat dengan saya, saya anggap beliau seorang pemimpin yang membuat kenyaan ‘tanpa usul periksa’.

Media hari ini melaporkan Exco Keajaan Negeri itu mencabar untuk berdebat dengan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin mengenai isu didakwa penyelewengan berlaku dalam KGT.

Terdahulu, Awang Adek mendakwa supaya Kerajaan Negeri menyiasat skandal membabitkan KGT.

Husam memberi tempoh 21 hari bagi Awang Adek memberi jawapan sama ada bersetuju perdebatan itu diadakan menerusi forum terbuka di televisyen.

Husam mendakwa, sejak seminggau lalu ‘serangan’ terhadap KGT dilakukan tanpa maklumat yang jelas khsusunya apa yang didakwa berlaku 'penyelewengan' membabitkan pengurusan dinar dan dirham Kelantan.

Timbalan Menteri Kewangan itu meminta supaya Husam tidak melenting dengan kenyataannya sebelum cabaran perdebatan dengan Husam itu dipertimbangkan.



Terima memorandum Royalti


Mengulas ‘perhimpunan aman’  kira-kira 3,000 orang di depan Kota Darulnaim di sini pagi tadi, yang disertai kumpulan NGO ROYALTI dan kumpulan disertai Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Husam mendakwa kumpulan ROYALTI telah menulis surat kepada Menteri Besar Kelantan.

Ekoran surat itu Husam diarahkan oleh Tok Guru Menteri Besar mewakili Kerajaan Negeri menyambut plak itu serta penyerahan ‘memorandum’ berkaitan tuntutan royalti petroleum Kelantan.

“Dan  saya bagi pihak Tok Guru dan Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada semua anak-anak muda negeri Kelantan yang telah bertungkus-lumus bekerja, mempunyai kesedaran tinggi untuk menuntut hak (royalti petroleum) dan hak rakyat Kelantan seluruhnya,” kata Husam.

Difahamkan satu kumpulan lain itu berdemontrasi tetapi mereka tidak pernah menulis surat rasmi kepada Menteri Besar Kelantan.

Justeru Husam tidak diarahkan meneriman apa-apa daripada kumpulan  itu.

Saya doa jatuhkan pemimpin zalim - Khatib

Harakahdaily, 26 Jun 2012
BUKIT MERTAJAM: Khatib yang didakwa mendoakan supaya kerajaan digulingkan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang ketika menyampaikan khutbah di sebuah masjid (gambar) di sini Jumaat lalu, menegaskan doanya itu ditujukan kepada pemimpin zalim dan rasuah.

Katanya, doa yang beliau baca itu adalah umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana parti atau kerajaan.

Menurutnya, ia hanya ditujukan kepada pemimpin zalim dan amal rasuah.

“Saya tak sebut pun nak jatuhkan kerajaan BN (Barisan Nasional) atau PR (Pakatan Rakyat). Kenapa individu berkenaan perlu terasa hati?

“Saya hanya berdoa, tujukan pada pemimpin yang zalim, yang rasuah supaya dikalahkan (dalam pilihan raya).

Sepatutnya tak timbul sebarang isu, sebab saya tak sebut atau tujukan pada kerajaan pun,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh Sinar Harian.

Khatib itu menjadi guru sekolah di kawasan utara sebelum bertukar ke negeri lain baru-baru ini, bersetuju bercakap dengan Sinar Harian dengan syarat, namanya tidak disiarkan 'atas faktor tertentu'.

Beliau kesal dengan cerita mengenai perkara itu yang disifatkan sebagai putar belit pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap media jika nama dan tempat beliau bertugas disiarkan.

Beliau tampil memberi penjelasan selepas Umno Pulau Pinang kelmarin meminta Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang menyiasat seorang khatib yang dikatakan mendoakan Kerajaan Pusat digulingkan dalam PRU akan datang.

Timbalan Pengerusi Umno Negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dilaporkan Bernama sebagai berkata, tindakan khatib itu boleh disifatkan sebagai menghasut dan memecahbelahkan umat Islam.

19 kematian, 21 cacat kekal sejak PLKN dilaksana

Harakahdaily, 26 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Sejak diperkenalkan pada tahun 2004, sejumlah 19 kematian direkodkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Selain itu, 21 kes lagi melibatkan kecederaan kekal ke atas pelatih dalam tempoh sama.

Kematian pelatih adalah disebabkan pelbagai punca termasuk masalah kesihatan yang dihidapi pelatih.

Perkara itu dimaklumkan kerajaan dalam jawapan bertulis hari ini terhadap soalan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) di Dewan Rakyat.

Nizar dalam soalannya bertarikh 12 Jun lalu meminta Menteri Pertahanan menyatakan jumlah pelatih yang meninggal dunia dan mengalami kecacatan kekal semasa tempoh latihan.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat itu juga mahu penjelasan menteri berhubung berapakah jumlah pampasan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.

Menjawab jumlah pampasan, kerajaan memaklumkan sejumlah RM8.3 juta telah dibelanjakan melalui perlindungan insurans kepada pelatih meliputi kemalangan, kecederaan, kesakitan dan kematian.

Pesawah tuntut kerajaan naikkan subsidi

Hazayani Zakaria, 26 Jun 2012

KUALA LUMPUR, 26 Jun:
Sekumpulan pesawah Malaysia hari ini menggesa kerajaan menaikkan harga padi dan subsidi kepada petani.

Pengerusi Badan Bertindak Pesawah Malaysia, Mohamad Fuad Yaakob berkata, kerajaan harus mengkaji harga padi terkini yang disifatkan tidak lagi relevan pada masa kini.

Pendapatan 140,000 keluarga pengusaha tanaman padi dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dengan keluasan 240,000 hektar hanya berpendapatan RM480 sebulan iaitu di bawah paras miskin tegar.

"Kos pengeluaran makin hari makin meningkat. Walaupun input diberi kepada kami untuk mengurangkan bebanan, tapi bermula musim satu 2010 hasil padi makin mengurang sedangkan kos semakin meningkat.

"Kami mendesak kerajaan mempertimbang hasrat kami kerana kami menyumbang keringat dan peluh kami ke arah menjaga keselamatan beras negara.

"Hari-hari rakyat sama ada orang kaya atau miskin, kita makan nasi sedangkan Felda dapat imbuhan tapi pesawah menghadapi masalah," kata beliau pada sidang media bersama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di lobi Parlimen, hari ini.

Menurutnya juga, perbandingan harga beras dan padi di pasaran kini yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu harga beras RM2.60 sekilogram manakala harga padi RM0.75 sekilgram dan subsidi RM0.24 sekilogram.

"Kos pengurusan dalam mengusaha sawah padi secara purata sehektar berjumlah RM5814.55 manakala pendapatan purata sehektar dengan hasil 6.0 tan berjumlah RM6,198.60," katanya.

Tambahnya, keuntungan bersih RM384.05 dan jika diicampur dengan projek NKEA, subsidi dan Skim Insentif seperti SBKPKP, SIPP dan PDJBMN keseluruhannya berjumlah RM2,884.05.

Jika dibahagikan enam bulan pendapatan pengusaha tanaman padi mendapat untung kasar RM480 sehektar.

Oleh itu pihaknya mencadangkan harga padi dinaikkan kepada RM1.25 sekilogram dan subsidi pula RM0.50 sekilogram.

"Dengan kenaikan ini hasil pendapatan pengusaha padi lebih kurang RM1,080 sebulan. Ini amat bersesuaian dengan kos sara hidup buat masa sekarang," katanya.

Turut bersama pada sidang media ialah Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria dan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan