Rabu, 27 Jun 2012

TAKUT HANYA PADA ALLAH...BUKAN UMNO...NI BOLEH MEMBAWA SYIRIK.......

Rohingya: Mapim usaha misi kemanusiaan ke Arakan

Harakahdaily, 26 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengumumkan akan mengusahakan Misi Kemanusiaan ke Arakan secepat mungkin.
Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, maklumat yang diperolehi secara langsung dari Arakan mendapati keadaan semakin tidak reda malah terus meruncing.

Menurutnya, penangkapan, pembunuhan warga Rohingya Muslim serta pembakaran perkampungan dan masjid semakin meningkat manakala pelarian Rohingya yang cuba menyeberang ke Bangladesh walaupun dihalau oleh pihak keselamatan Bangladesh, mencecah puluhan ribu.

Katanya, dalam suatu angka yang tidak rasmi warga Rohingya yang terbunuh mencecah anggaran 20,000 orang manakala yang ditahan adalah 5,000 orang sejak 3 Jun lalu.

Jelasnya lagi, kebuluran berlaku yang mengakibatkan ramai yang mati kerana terputus bekalan makanan sema ada kerana terpaksa melarikan diri mahupun yang terperangkap di dalam rumah selama berhari-hari apabila polis dan tentera menembak mereka yang cuba keluar dari rumah.

“Mapim tidak punyai pilihan kerana kerajaan Myanmar sehingga kini nampaknya membiar keganasan oleh esktrimis Rakhine terus menyerang warga Rohingya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Lebih malang, ujarnya agensi antarabangsa seperti PBB, OIC dan Asean tidak mengambil sebarang langkah untuk menyelamatkan warga Rohingya yang menjadi mangsa pembunuhan etnik oleh gabungan esktrimis Rakhine, polis dan tentera Myannmar.

“Mapim juga kecewa terhadap semua pemimpin negara Asean yang tidak menunjukkan sebarang keprihatinan terhadap nasib warga Rohingya yang disembelih dengan kejam sehingga kini,” ujarnya lagi.

Tambahnya, tidak ada seorangpun pemimpin Asean setakat ini yang mengambil initiatif untuk berhubung langsung dengan kerajaan Myanmar agar pemangsaan etnik Rohingya dihentikan.

Sehingga hari ini, jelasnya Mapim telah menulis surat rayuan dan bantahan kepada Presiden Myanmar Thien Sien, Aung San Suu Kyui, Setiausaha Agung Asean, Dr. Surin Pitsawan dan Setiausaha Agung PBB Ban Ki Moon.

Manakala di tanah air, katanya Mapim menghantar surat kepada Perdana Menteri, Menteri Luar, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Membiarkan pembunuhan secara extra-judicial (di luar pembicaraan Mahkamah) di Arakan oleh tentera dan polis yang membantu esktremis Rakhine, ditambah tidak ada sebarang agensi kemanusiaan dibenarkan masuk ke dalam Arakan, menyebabkan Mapim bertekad untuk merancang masuk Arakan bukan sekadar untuk  menyampaikan bantuan kemanusiaan tetapi juga untuk menuntut kerajaan Myanmar menghentikan pembunuhan etnik yang sudah mengambil puluhan ribu nyawa warga Rohingya,” katanya.

Menurutnya, Mapim akan mencuba semua laluan sama ada dari laut, darat mahupun udara untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Mapim juga, ujarnya mengambil kira bahawa usaha masuk ke Arakan berkemungkinan akan dihalang oleh kerajaan Myanmar, namun segala saluran rasmi sama ada melalui undang-undang antarabangsa mahupun atas nama agensi serantau akan diguna supaya bantuan dapat disampaikan.

“Bantuan yang akan dibawa adalah makanan, ubatan dan alat khemah. Mapim belum pasti berapa kuantiti yang akan dibawa kerana ia bergantung kepada berapa banyak sumbangan akan dapat diperolehi dari penyumbang,” katanya lagi.

Orang ramai boleh menyumbang kepada Akaun SEKRETARIAT HIMPUNAN ULAMA RANTAU ASIA (SHURA) BIMB 12047010-03-7282 yang telah mewujudkan Tabung Bantuan Mustadh'afin Rohingya.

Pemuda PAS sedia kerja sama dengan Ahmad Phesal

Harakahdaily, 26 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS WP (DPPWP) mengucapkan tahniah kepada Datuk Ahmad Phesal Talib (gambar) kerana dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu.
Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Setiausaha di Kementerian WP pada tahun 2007 yang lalu dilantik menggantikan Tan Sri Ahmad Fuad yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 15 Julai ini.

Ketua DPPWP, Kamaruzaman Mohamad berkata pihaknya berharap agar perlantikan Ahmad Phesal akan dapat memperkuatkan organisasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) nanti apatah lagi setelah menerima tekanan hebat berikutan Himpunan Bersih 3.0.

“Semoga dengan perlantikan beliau ini, beberapa krisis dan isu yang melanda Kuala Lumpur seperti isu Kg. Baru, isu penjaja haram, isu banjir dan banyak lagi isu setempat dapat ditangani dengan berhemah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, DPPWP juga berharap agar beliau dapat bekerjasama dengan semua pihak termasuklah DPPWP bagi menangani masalah-masalah di Kuala Lumpur ini.

Katanya, pelbagai pertemuan dan dialog di antara pihak DBKL bersama DPPWP amatlah dialu-alukan.

“DPPWP akan terus berusaha bagi membantu pihak DBKL untuk bersama-sama membangunkan kemajuan di bumi Kuala Lumpur ini. Tahniah Datuk Ahmad Phesal Talib,” ujarnya.

Jerebu berulang-ulang

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat bimbang mengenai kejadian jerebu yang berulang-ulang yang kini telah menjadi satu hakikat dalam kehidupan di negara ini. Pada hakikatnya, jerebu merupakan masalah yang muncul akibat perbuatan manusia namun boleh dielakkan.

Beberapa minggu yang lalu pencemaran udara pada hari tertentu dan di lokasi khusus seperti Seberang Jaya, Pulau Pinang dan Miri, Sarawak telah mencapai paras tidak sihat.

Setelah 15 tahun berlalu sejak rantau ini menyaksikan salah satu bencana alam sekitar, ekonomi dan kesihatan paling buruk di mana pencemaran udara mencapai paras berbahaya. Hampir 70 juta orang terjejas oleh jerebu pada 1997 apabila sekitar 5 juta  hektar tanah termasuk hutan, padang ragut dan ladang terbakar. El Nino yang teruk telah memburukkan lagi situasi yang tidak tertanggung dan penduduk berisiko berdepan dengan penyakit berkaitan jerebu.

Ketika situasi pada masa kini tidak mencapai paras berbahaya, rakyat Malaysia masih terdedah kepada jerebu tahunan yang disebabkan oleh masalah sama yang mencetuskan bencana pada 1997.

Asap merentasi sempadan daripada kebakaran hutan dan tanah di Indonesia ketika tempoh musim kering antara Jun dan Oktober menjadi penyebab utama jerebu di Malaysia dalam beberapa dekad lepas.

Isu jerebu tidak boleh hanya disalahkan kepada negara jiran sahaja memandangkan syarikat perladangan Malaysia juga turut bertanggungjawab terhadapnya. Jika kita mahu membasmi masalah tahunan ini, pihak syarikat mestilah dipertanggungjawabkan terhadap kemusnahan dan bahaya yang disebabkan olehnya.

Jika penunjuk perasaan yang didakwa menyebabkan kerosakan dan kerugian boleh disaman oleh pihak berkuasa, kami melihat tiada alasan kenapa tiada tindakan diambil terhadap syarikat Malaysia yang menyebabkan bahaya dan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan lagi.

Pada 2002, kerajaan ASEAN menandatangani Perjanjian Jerebu Merentas Sempadan, yang menyediakan garis panduan bagi pencegahan dan pemantauan pencemaran jerebu merentas sempadan. Negara yang menandatangani perjanjian perlu memastikan bahawa sebarang eksploitasi sumber mereka tidak menyebabkan sebarang bahaya atau kemusnahan kepada kesihatan manusia atau alam sekitar negara lain. Bagaimanapun isu itu tidak ditangani dengan berkesan dan mereka yang mencabuli perjanjian itu tidak dikenakan denda.

Masalah utama ialah Indonesia masih belum meratifikasi Perjanjian Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan. SAM dan CAP menggesa kerajaan Malaysia supayameningkatkan usaha untuk memastikan kerajaan Indonesia menyatakan kesanggupan untuk menangani masalah jerebu dan menjalankan kewajipannya. Jika ini tidak dapat dilakukan dalam rangka kerja ASEAN, maka kerajaan perlu mempertimbangkan untuk penyelesaian alternatif melalui saluran diplomatik dan perundangan di luar rangka kerja ini.

Di pihak kerajaan, ia perlu mengambil langkah untuk menghentikan amalan yang memburukkan lagi pencemaran udara. Adalah penting bagi kerajaan Malaysia memulakan satu pasukan petugas yang lebih berkesan dalam usaha untuk memastikan langkah berjaga-jaga diikuti dengan ketat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang mencabuli undang-undang.

Sebagai maklumat rasmi pencemaran udara, adalah penting bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) dipaparkan di dalam laman sesawang Jabatan Alam Sekitar serta disebarkan dengan meluas melalui media dengan kekerapan pengumuman dibuat kepada orang ramai terutama sekali kepada mereka yang tua dan mudah terjejas boleh mengambil langkah berjaga-jaga.

SAM dan CAP merasakan bahawa bacaan API perlu disebarkan sepanjang tahun dan tidak hanya ketika jerebu. Ia seharusnya menjadi sebahagian penting maklumat dalam buletin cuaca harian memandangkan ramai penduduk di negara ini yang mengalami masalah pernafasan dan penyakit lain amat memerlukan maklumat seperti itu untuk memastikan mereka mengambil langkah berjaga-jaga yang sepatutnya bagi melindungi kesihatan mereka.

S. M. Mohamed Idris
Presiden
Sahabat Alam Malaysia
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Himpunan Hijau: Harapan baru rakyat Pahang

Khairil Abdul Rahim, 26 Jun 2012
TEMERLOH: PAS Pahang menganjurkan Himpunan Hijau Ke Putrajaya pada 1 Julai ini bagi mengajak seluruh rakyat negeri ini supaya bangkit membuat perubahan politik pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan datang.
Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, program yang bertemakan ‘Harapan Baru Pahang’ itu akan diadakan di tapak Kompleks PAS Pahang, Kerdau dekat sini.

Tambahnya, program lanjutan daripada himpunan raksasa I Jun di Alor Setar tempoh hari, akan bermula daripada jam 3.00 petang sehinggalah ke tengah malam dengan pelbagai acara telah disusun.

“Program bermula dengan Talk Show anjuran Dewan Muslimat yang menampilkan selebriti terkenal Aishah bersama Setiausaha Majlis Syura PAS Ustaz Nik Zawawi Saleh, kemudian diikuti majlis santai anjuran Dewan Pemuda yang menampilkan penyanyi Pak Long dan kumpulan UNIC.

“Pada waktu yang sama 100 kumpulan bermotosikal Pemuda ARC akan berkonvoi dari Taman Kubang Gajah ke tapak program. PAS mahu menonjolkan model himpunan paling baik untuk dinilai sehingga rakyat boleh membanding, meneliti dan membuat keputusan antara dua himpunan anjuran Umno dan PAS,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat menjelaskan pada permulaan malam akan diadakan Solat Maghrib, Solat Hajat dan munajat di dataran tersebut yang akan dipimpin oleh Dewan Ulamak PAS Pahang.

Tambahnya, himpunan tersebut menjadi satu medan mendekatkan diri sebagai makhluk Allah dengan rayuan, bermunajat dan memohon kepada Allah agar kemenangan Islam dapat dicapai dalam PRU ke 13.

“Pada ceramah sebelah malam akan berlaku satu kejutan dengan perisytiharan tokoh tertentu yang akan menyertai PAS Pahang serta ikrar perjuangan sebagai satu perisytiharan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat sudah bersedia menggalas cabaran menggantikan Umno dan BN di negeri ini.

“Turut akan berucap ialah Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan Aishah manakala Tuan Guru Presiden akan menyampaikan amanat di kemuncak acara,” terangnya dalam kenyataan media di sini.

Mengenai kehadiran, beliau berkata PAS Pahang mensasarkan sekurang-kurangnya 10,000 ahli dan penyokong PAS namun berdasarkan komitmen PAS kawasan-kawasan perhimpinan boleh menjangkau 20,000 orang.

Tambahnya lagi, perhimpunan ini menjadi syiar kebangkitan rakyat Pahang bersama PAS di samping menyemarakkan lagi semangat dan daya juang ahli-ahlinya sebagai titik tolak merealisasikan hasrat menuju ke Wisma Sri Pahang.

Mengenai pemilihan Kerdau, Tuan Ibrahim berkata, ini bertepatan dengan PAS Pahang yang mula-mula ditubuhkan di situ oleh anak Kerdau sendiri iaitu Allahyarham Mohd Yasin Saleh.

Berdosa jika pilihan raya dilaksanakan musim haji

Multaqa Asatizah & Du’at, 26 Jun 2012
Kami, selaku pendakwah dan asatizah telah dan kerap ditanya berkenaan isu mengadakan pilihanraya sewaktu musim haji. Justeru itu, sebagai respon kepada pertanyaan tersebut, pihak Multaqa Asatizah & Duat (MURSHID) dalam mesyuarat yang lalu berpendapat seperti berikut:-

Di dalam sistem demokrasi, pilihanraya dan proses pengundian adalah ibarat suatu mahkamah besar bagi memilih siapa yang lebih layak diberikan amanah memerintah, maka sewaktu sistem demokrasi dijadikan panduan dan diterima oleh majoriti rakyat, tugas terbesar kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah memastikan semaksima mungkin penyertaan rakyat dalam pilihanraya, justeru kempen untuk pendaftaran pengundi mestilah dipertingkatkan kecanggihannya dan dipermudah di seluruh tanahair. Rakyat Malaysia selaku pengundi layak yang berada di luar negara perlu di jamin hak mereka agar boleh mengundi melalui kaedah yang berkesan lagi dipercayai.

Kami juga bersepakat bahawa Pilihanraya dan proses pengundian TIDAK BOLEH atau HARAM dilaksanakan sewaktu musim perayaan dan ibadah umat Islam khususnya musim haji yang mana berpuluh ribu pengundi dan petugas haji sedang berada di luar Negara.
Sekiranya pilihanraya tetap dilakukan di musim haji, itu merupakan suatu pengkhianatan terhadap amanah dan sistem pemilihan. Ini adalah kerana proses pengundi adalah suatu proses KESAKSIAN. Firman Allah:

(وأشهدوا ذوى عدل منكم ..(الطلاق: 2
Mafhum : “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu”( At-Talaq: 2)

Juga Firman Allah :
وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُوا
Ertinya : Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil ( Al-Baqarah : 282)


Dalil-dalil di atas menunjukkan, apabila kita berada di dalam suatu situasi atau keadaan sistem yang memerlukan mereka yang bermaklumat memberi kesaksian demi memberikan keputusan demi keadilan, mereka adalah dikira sebagai saksi yang diharamkan untuk menolak dari memberikan keterangan dan kesaksian.

Dalam konteks pilihanraya, rakyat sebenarnya bertindak sebagai SAKSI sama ada untuk menyokong atau menolak mana-mana calon yang bertanding. Justeru, SEKIRANYA pihak berkuasa memutuskan pilihanraya akan dijalankan pada musim haji, ia adalah suatu tindakan yang akan menghalang rakyat dari keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.

Jika seorang saksi TIDAK DIBENARKAN untuk menolak tanggungjawab memberi kesaksian, maka tentunya DIHARAMKAN juga bagi pihak ketiga untuk menghalang saksi dari memberikan kesaksian seperti sengaja mengadakan sesi perbicaraan ketika saksi berada di luar negara.


Justeru, setiap individu yang mempunyai hak dan berkelayakan memberikan kesaksian samada di mahkamah, termasuk kesaksian dalam bentuk mengundi sewaktu pilihanraya, tidak dibolehkan untuk sengaja menyembunyikan kesaksian atau dinafikan hak dan ruang memberi kesaksian termasuk oleh pihak berkuasa sekalipun.

Firman Allah Ta'ala:

وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
"Maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Al-Baqarah :283)

Akhirnya, kami menyeru pihak berkuasa agar teguh menjalankan amanah yang terbaik buat rakyat bagi mereka menjalankan tugas dan amanah selaku pengundi yang perlu memberi penyaksian parti dan calon yang dipercayainya. Kami yakin, pihak berkuasa tentunya bijak dalam memutuskan keputusan dalam hal ini.

Sekian dari kami:

1. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
2. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malek
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohammad
10. Ustaz Zamri Zainuldin
11. Ustaz Mohd Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisham Tuan Padang
18. Ustaz Ramadan Fitri Elias
19. Ustaaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Naseer Abd Rahman


Himpunan Hijau PAS di tapak penubuhannya

Mohd Sabri Said, 26 Jun 2012

(Orang ramai yang memenuhi Padang Ahmad Badawi)

BUTTERWORTH: Bak kata perpatah 'bagaikan sireh pulang ke gangang' itulah perumpamanya yang boleh digarapkan bila melihat kira-kira 10,000 ahli dan penyokong PAS membanjiri Padang Haji Ahmad Badawi iaitu tempat di mana PAS mula ditubuhkan tahun 1951.

Bezanya dulu perhimpunan para ulamak dan pemikir Islam tetapi setelah 61 tahun perhimpunan besar PAS berulang kembali di tempat asal penubuhanya setelah Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat.

Itulah kelainan PAS dulu dan sekarang.  Ianya nampak lebih mantap dan sesuai dengan peredaran zaman yang menyaksikan Malaysia tetap bersatu dalam suasana berbilang bangsa.

(Afnan [kiri] mengendalikan majlis)

Ada suara yang mengatakan PAS tidak boleh bersama dengan bangsa atau agama lain ekoran berlainan adat dan budaya namun hari ini hasil pendekatan para pemimpin PAS yang mengkaji dan meneliti senario politik semasa.

Mereka membuat pendekatan baru dengan berusaha untuk mentadbir negara bersama Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pakatan Rakyat.

Isu inilah yang kadang-kadang tidak difahami oleh sebahagian kecil ahli PAS yang sampai kini tidak boleh terima perubahan yang dilaksanakan dalam PAS berdasarkan keputusan Majlis Syura Ulama berdasarkan pandangan ulama luar yang berkalibar.

"Taaluf Siasi bukan keputusan persendirian saya sebagai Presiden.  Ia adalah keputusan jemaah serta kesepakatan dalam Majlis Syura, " ungkapan itu sering kedengaran ketika Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap dalam majlis tertutup dengan jentera parti khususnya di peringkat negeri.

Perubahan yang tercetus dalam organisasi PAS pada suatu ketika dulu bekerjasama dengan CCC sehingga meletakan calun berbangsa Tionghua sekitar penghujung tahun 1980 an.


(Masyarakat Cina yang turut serta)

Seterusnya PAS bergabung dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46) pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, Hamim dan Berjasa membolehkan PAS merampas kembali Kelantan pada pilihanraya umum tahun 1990.

Kaedah dan peluang itulah diambil apabila berlakunya pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim penghujung 1998 oleh Datuk Fadhil Noor.

Waktu itu beliau yang bertimbalankan Ustaz Abdul Hadi menubuhkan GERAK dengan kerjasama erat beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) sehingga berjaya menonjolkan kecemerlangan PAS apabila PAS berjaya menambah banyak kerusi di Parlimen.

Selepas Anwar Ibrahim dibebaskan dan pemergian Al Marhum Datuk Fadhil ke rahmatullah semangat perjuangan diteruskan oleh Anwar yang menawarkan pendekatan demi pendekatan serta berjaya menghubungkan kembali keretakan antara DAP dan PAS khususnya berkenaan isu 'Negara Islam'.

Hari ini PAS, DAP dan PKR berjaya melangkah atau dengan kata lain melayarkan bahtera dengan selamat.

Walaupun ada kalanya berdepan dengan badai besar tetapi tidak memberi kesan kerana pembinaan kapal berlantaikan kayu yang cukup baik dan berlayarkan kain yang mahal.

Manakala Umno pula mempunyai kapal yang sarat dengan barangan lama dan usang.  Bukan sahaja barangan muatanya merupakan barangan yang sudah 'berkarat' bahkan badan kapal juga sudah berlubang di sana sini.

Ia hanya menanti badai laut mengakibatkan kapal lama itu bakal tenggelam ke dasar laut tanpa kesan.

Berbalik kepada Himpunan Hijau Peringkat Negeri Pulau Pinang kedatangan bukan Melayu untuk mendengar kupasan isu terkini bukan lagi perkara pelik sebaliknya sudah menjadi kebiasaan.

Tertubuhnya Kelab Penyokong PAS yang kini bertukar nama kepada Dewan Perhimpunan PAS nampak lebih efisyen dan mengusarkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Kedatangan anak-anak muda yang terus duduk sehingga selesai majlis penutupan dengan bacaan doa oleh Ustaz Nasrudin sendiri menyaksikan betapa berakhlaknya ahli dan penyokong PAS tidak meninggalkan majlis sebelum semuanya selesai.

Sejak petang lagi berbagai program diatur khas untuk pemuda seperti konvoi bermotorsikal berkuasa tinggi, persembahan silat, persembahan pentas dari Zua XPDC dan boria hasil sumbangan kreatif anak muda Kampung Dodoi Pulau Pinang amat mencuit hati.

(India juga turut serta)

Apapun segunung penghargaan dan tahniah kepada pasukan IT Pulau Pinang dan Kedah yang buat pertama kalinya bergabung tenaga mengadakan siaran secara langsung ucapan Presiden PAS dari Dubai dan Mursyidul Am PAS dari Kelantan.

Antara lain yang berucap di majlis yang bermakna buat negeri Pulau Pinang itu ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat,  Dr Khairudin Aman Razalo At Takiri, Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Rosni Adam.

Personaliti TV9, Ustaz Syed Abdul Qader Al Jufree dan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan  Kamalrulzaman Mohamad.

Sepanjang majlis tersebut diacarakan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Afnan Hamimi dan Pengarah Jabatan Penerangan dan Media Baru Dewan Pemuda PAS Malaysia, Saudara Nurul Islam.

Tidak perlu takut tinggalkan Umno - Tamrin

Bashir Ishak, 26 Jun 2012

(Tamrin berucap di Himpunan Hijau ke Putrajaya baru-baru ini)

ARAU: Veteran Umno yang juga anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Tun Ghafar berkata ahli-ahli Umno tidak perlu takut untuk meninggalkan parti itu kerana pimpinan parti itu telah lari dari matlamat asal perjuangan mereka.

Berucap di program Himpunan Hijau Ke Putrajaya Peringkat Negeri Perlis 22 Jun lalu, beliau berkata Umno ditubuhkan untuk berjuang demi rakyat tetapi selepas lebih 54 tahun Umno dan BN memerintah negara ini, rakyat telah diperkotak-katikkan, ditipu dan diperbodohkan.

"Ahli Umno tak perlulah takut dan tak berdosapun kalau tinggal Umno tu. Kita jangan fikir dunia saja, akhirat pun kena fikir sama," kata Tamri  yang masih menjadi ahli Umno tetapi tidak bersama-sama dengan pimpinan Umno sekarang itu.

Sebelum ini, beliau berucap di Himpunan Hijau di Pulau Pinang.

"Kalau ada orang Umno dalam majlis ini, fikir baik-baiklah sebab kita berjuang untuk rakyat. Kalau pemimpin kita menipu rakyat adakah kita nak terus sokong? Jawablah esok di padang mahsyar.

"Kita ni dah berumur dah, bila-bila masa saja (boleh dipanggil Allah). Bertaubatlah, cukuplah. Tak  payahlah kita ni fanatik sangat dalam nak sokong pemimpin, kalau pemimpin betul kita sokong,"katanya.

Program Himpunan Hijau tersebut diadakan di Markas PAS Paya dekat sini dan dihadiri lebih 5000 orang.

Rakaman manifesto: SPR jangan main wayang

Harakahdaily, 26 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bersungguh mahu memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung dalam keadaan yang telus dan bersih.
Ini ekoran kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yusof yang mahu setiap parti politik yang ingin membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) hanya dibenarkan berbuat demikian secara rakaman dan bukannya secara langsung.

“Tindakan SPR seperti mahu meneruskan sikap berat sebelah dan zalim  pemerintahan Umno BN selama ini,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor.

Menurutnya, meskipun mahu dilihat keluar dari persepsi buruk rakyat terhadap mereka dengan tanggapan SPR adalah ‘budak suruhan’ BN, tindakan SPR terbaru ini menunjukkan mereka masih lagi dipengaruhi oleh kuasa politik.

Justeru, ujarnya DPPM merasa curiga mengapa SPR masih tidak membenarkan siaran secara langsung kepada parti politik bagi membentangkan manifesto mereka.

Katanya, apa yang amat dibimbangi oleh SPR sehingga tidak berani menyiarkannya secara langsung dan adakah SPR bertindak sedemikian bagi memastikan BN berada dalam zon selamat.

Beliau berkata, rancangan secara rakaman dikhuatiri akan berlaku suntingan terhadap mana-mana slot penting yang perlu diketahui oleh rakyat.

Riduan menambah, slot yang seharusnya berlangsung dalam satu masa tertentu akan dipendekkan mengikut selera penerbit.

Tambahan lagi, ujar beliau slot yang diberikan kepada Pakatan Rakyat mungkin akan diberikan bukan di waktu kemuncak, dan hanya disiarkan ketika rakyat sudah lena di waktu malam.

“Yang lebih dibimbangkan adalah jika berlaku penyuntingan di mana-mana slot sehingga ia dimanipulasi menjadi kempen negatif pula kepada Pakatan Rakyat.

“Ia pula berlangsung di saat akhir berkempen, di mana sukar bagi Pakatan Rakyat untuk menjawabnya,” katanya.

Setakat ini, ujar beliau lagi tiada jaminan jika suntingan tidak dibuat dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ini semua, katanya kemungkinan akan berlaku sekiranya ianya hanya berbentuk rakaman dalam media.

Oleh yang demikian, ujar Riduan DPPM meminta SPR agar tidak ‘bermain wayang’ dengan kelonggaran parti-parti politik untuk mengutarakan manifesto di TV, namun hakikatnya masih dalam ruang yang sempit.

“DPPM menegaskan, sekiranya SPR benar-benar mahu menjadi pengadil yang adil, SPR perlu berlepas diri dari pengaruh mana-mana parti politik.

“Benarkan siaran langsung kepada semua parti politik dan pemimpinnya untuk menampilkan manifesto mereka tanpa tapisan atau dibuat secara rakaman,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan