Sabtu, 16 Jun 2012

SIBUK DENGAN KEBURUKAN DAN KELEMAHAN ORANG LAIN...KELEMAHAN DIRI TERLEPAS PANDANG...SIBUK RASA HEBAT DIRI LUPA ORANG LAIN LAGI HEBAT...SIBUK CERCA ORANG...ORANG BERDOA KEJAHATAN KITA SERTA KEZALIMAN KITA TAK TAHU...SIBUK KEJAR DUNIA...AKHIRAT LANGSUNG TAK PENDULI...

Beli MP Pakatan: Khalid sahut cabaran Zamil

Anis Nazri, 16 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bersedia mendedahkan 'lebih banyak' rakaman video membabitkan 'penglibatan' Bekas Ketua Pemuda PKR Kedah, Zamil Ibrahim dengan isu 'pembelian' ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu, berkata pihaknya memang merancang untuk mendedahkan baki rakaman video terbabit, termasuk seorang lagi 'agen' yang turut wujud dalam rakaman tersebut.

"Tiada masalah, kita memang ada rancangan untuk mendedahkan keseluruhan rakaman tersebut.  Malah, kita juga akan dedahkan tentang seorang lagi yang ada dalam video tersebut," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menyahut cabaran yang dikemukakan Zamil yang meminta beliau mendedahkan lebih banyak rakaman video berkenaan isu tersebut.

Sebelum ini, ahli parlimen Pakatan Rakyat mendedahkan rakaman video yang menunjukkan berlakunya 'pembelian' anggota parlimen pembangkang membabitkan Zamil yang dikatakan menjadi 'agen Umno'.

Mengulas lanjut, Khalid berkata kenyataan balas Zamil berhubung pendedahan video tersebut menunjukkan beliau mengakui terbabit dengan beberapa siri pertemuan dengan beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat yang dikatakan tidak berpuas hati dengan pimpinan Pakatan Rakyat.

"Secara tidak langsung, dia telahpun mengakui terlibat dengan beberapa pertemuan dengan wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat. Sejak bila dia menjadi kaunselor untuk BN, dia kena jelaskanlah," tegas Khalid.

Mengulas permintaan Zamil kepada beliau untuk menjelaskan tentang pertemuan mereka dua tahun lepas, di sebuah restoran Cina di Kajang, Khalid secara sinikal berkata pertemuan tersebut tidak ada dalam ingatannya.

"Seingat saya, tidak ada pertemuan antara saya dengan dia.  Saya pun tidak pernah mengenali dia, tidak pernah berjumpa dengan dia. Kalau betul ada, saya minta Zamil sendiri dedahkanlah butirannya.  Seingat saya, memang tidak ada (pertemuan)," tegas beliau.

Pengundian bermula pilih presiden baru Mesir

Dr. Syed Azman Syed Ahmad, 16 Jun 2012


(Penulis bersama rakyat Mesir berkempen memilih Presiden baru mereka)

Setelah tamatnya tempuh berkempen bagi pilihanraya Presiden pusingan kedua tengah malam semalam, hari ini bermulanya proses pengundian bagi setiap pusat-pusat mengundi di seluruh Mesir.

Adalah dijangkakan lebih 60 peratus penduduk Mesir akan sekali lagi keluar mengundi dari kalangan 50 juta pengundi yang layak mengundi.


Proses pengundian pusingan kedua ini meletakkan calon dari Freedom and Justice Party (FJP), Dr. Mohamad Morsi bersaing sengit dengan Ahmed Shafiq bekas Perdana Menteri dan bekas komander tentera udara ketika pemerintahan Hosni Mubarak. Proses pengundian pusingan kedua ini akan berlangsung selama 2 hari iaitu pada 16 hingga 17 Jun.

(Kasut untuk Ahmad Syafik)


Namun proses pengundian pusingan kedua ini di cemari oleh keputusan Mahkamah Perlembagaan Mesir yang telah menerima pencalonan Ahmad Syafik sebagai calon yang ‘sah’ bertanding dalam pilihanraya Presiden yang sedang berjalan ini.

Begitu juga dengan keputusan Mahkamah membatalkan pilihanraya Parlimen yang di adakan baru-baru ini di mana majoritinya di menangi oleh calon-calon dari parti Ikhwan Muslimin FJP dan Parti Nour dari gerakan Salafi.

Keputusan mahkamah ini telah menimbulkan kemarahan dari pelbagai pihak di seluruh Mesir. Ia dianggap sebagai suatu percubaan ‘rampasan kuasa’ dengan menggunakan keputusan Mahkamah dimana majoriti hakim-hakim masih dikuasai oleh mereka yang setia kepada bekas Preiden Mubarak.

Pimpinan FJP menggangap keputusan mahkamah ini sebagai satu malapetaka besar kepada seluruh rakyat Mesir dan adanya usaha untukmerampas kembali Revolusi rakyat yang di lakukan oleh setiap warga Mesir yang cintakan keadilan.

Begitu juga pihak tentera SCAF yang melakukan pelbagai usaha dan cara  bagi memastikan calon ‘tajaan’ mereka Ahmad Syafik akan menang dalam pilihanraya ini. Syafik juga telah diberikan  pelbagai publisiti oleh media barat terutamanya BBC dan CNN ‘sebagai calon penyalamat’ bagi membangun semula Mesir selepas kejatuhan rejim Mubarak.

Calon Ikhwan dari FJP, Dr. Mohamd Morsi pula,telah diberikan pelbagai publisiti negatif dan diserang secara bertubi-tubi.

Menurut Setiausaha Agong FJP, Dr. Ahmed Solaiman, akan tetap ada usaha dan perancangan penipuan besar-besaran bagi memastikan kemenangan calon 'feloul' Ahmed Syafik ini yang terlibatsecara langsung dalam jenayah kekejaman sepanjang pemerintahan rejim Mubarak dan turut menjadi sebahagian dari pimpinan rejim Mubarak.

(Rakyat Mesir berkempen)

Namun beliau yakin bahawa kekuatan jentera pilihanraya dari calon FJP akan dapat menyekat penipuan besar-besaran serta dapat menyaingi jentera Ahmad Syafik yang didokong oleh pihak tenteraSKAF dan saki baki penyokong Mubarak.

Pemuda-pemuda FJP kini bersiap menjaga setiap peti undi dari dicemari dan mereka terus berkempen dengan menggunakan media baru seperti Twitter dan facebook mengajak semua pihak termasuk golongon muda revoluser untuk keluar mengundi.

Begitu juga dengan kempen dari rumah kerumah yang dijalankan oleh pemuda dan muslimat ikhwan di seluruh Mesir bagi mengajak rakyat Mesir keluar beramai-ramai untuk mengundi Dr. Mohamad Morsi bagi menolak calon ‘feloul’ Ahmad Syafik.

Keputusan tidak resmi hanya dijangka akan dapat diketahui pada malam Ahad ini. Walaupun berhadapan dengan keadaan yang genting, parti FJP tetap berkeyakinan bahawa ‘Kuasa Rakyat’ akan dapat mengalahkan saki-baki penyokong Mubarak yang masih menguasai hampir setiap institusi di Mesir termasuk polis dan tentera.
--------------------------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS. Beliau boleh dihubungi melalui Twitter:@syedazman  e-mail: syedazmans@yahoo.co.uk


Muhyiddin ke Perak disambut bangunan Umno Bukit Gantang disita

http://omakkau.blogspot.com, 16 Jun 2012

Saturday, 16 June 2012


GEMPAR PANAS PUNYA KISAH!!!... ESOK TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN KE PERAK, AKAN DISAMBUT DENGAN PEMBERIAN HADIAH KISAH BANGUNAN UMNO BUKIT GANTANG DISITA SEBAB BERHUTANG LEBIH RM1.7JUTA...


Sila klik pada foto-foto untuk paparan yang lebih besar dan jelas


Esok ketibaan Timbalan Perdana Menteri ke Bukit Gantang,Perak akan disambut dengan pemberian hadiah,  pejabat utama Umno Bahagian disita,  berikutan satu pertikaian dimahkamah.

Pada pukul 10.0 pagi semalam, 15hb Jun 2012 , JRAS Corporation telah berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menyita bangunan Umno Bukit Gantang berikutan kegagalan satu projek di Trong.
Penyitaan tersebut sepatutnya dibuat kelmarin, tetapi oleh kerana terdapat beberapa masalah teknikal, maka ianya hanya dapat dilakukan semalam. Bailif Mahkamah Taiping telah melekatkan surat penyitaan dipintu utama bangunan tersebut.
Tidak ada kakitangan Umno Bahagian Bukit Gantang yang datang bertugas semalam kerana mereka telah mendapat tahu lebih awal dan pintu bangunan telah dikunci dari dalam. Pihak mahkamah terpaksa menggunakan khidmat tukang kunci untuk memastikan semua pintu masuk dikunci.

KALAU BANGUNAN SEBESAR ITU PUN UMNO GAGAL NAK URUS DENGAN BAIK.. IKUT HUKUM LOGIK KALAU DIBERI TERUS AMANAH UNTUK MENGURUS DAN MENTADBIR NEGARA, MAKA TIDAK HAIRAN DAN TERKEJUT NEGARA KITA BOLEH MUFLIS DAN TERGADAI.

Umat Islam perlu cipta sesuatu yang baru

Salmah Mat Husain|Foto: Rizal Tahir, 16 Jun 2012
KOTA BHARU: Ekspo Perdagangan Dunia Islam dan Konvensyen Halal Dinar Dirham bermula malam tadi apabila majlis perasmiannya telah dilakukan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Acara penuh meriah apabila kesemua peserta dari luar Negara yang berhasrat untuk menyertai program itu turut hadir untuk mempamerkan barangan jualan mereka termasuk Iran yang paling banyak membuat tempahan gerai jualan.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu menyeru umat Islam di negara ini, mencipta sesuatu yang baru hingga boleh terkenal ke seluruh dunia.

Katanya, ianya amat penting bagi mengembalikan kegemilangan orang Islam yang telah masyhur di zaman silam dalam mereka cipta sesuatu yang baru.

“Sekarang ni pelbagai alat canggih berada di pasaran, tetapi ianya dicipta oleh golongan barat yang tidak beragama Islam,” ujarnya.

Turut berucap pada majlis perasmian itu, Gabenor Wilayah Qom Iran, Mohamed Hussien dan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa.

Sementara itu, Tuan Guru berkesempatan menaiki motosikal buatan Iran sempena majlis ekspo terbabit disamping merasmikan logo tuntutan Royalti ‘R’.

Ekspo berkenaan bermula semalam 15 Jun dan dijangka berakhir 21 Jun ini.

Pelbagai pameran dan jualan disediakan untuk orang ramai, termasuk motosikal keluaran Iran yang bakal menjadi tarikan masyarakat di negeri ini.

Ekspo ini terbuka kepada orang ramai yang bermula 10.00 pagi hingga 11.00 malam.

Syukur, muhasabah diri tanda taqwa

Asmaa' Syahirah As'ari, 16 Jun 2012
Sebagai manusia kita seharusnya bersyukur kerana Allah telah menciptakan kita sebagai sebaik-baik makhluk dan ciptaan. Manusia diciptakan berakal, berperasaan dan mempunyai fitrah semulajadi yang tidak semua dikurniakan kepada makhluk-makhluk Allah yang lain. Seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah at-Tin: Ayat 4).

Justeru, kita seharusnya merafakkan tanda syukur kita kepada Tuhan dengan cara menjadikan diri kita sesempurna insan. Dalam erti kata lain, mencontohi nabi kita Muhammad SAW yang mana baginda merupakan uswatun hasanatun atau contoh ikutan terbaik untuk umat manusia sepanjang zaman.

Hal ini kerana peribadi dan akhlak baginda Rasulullah begitu mulia dan terpuji semulia nama baginda. Baginda telah menunjukkan sifat dan peribadi yang begitu agung, di mana sekali pun baginda SAW tidak menzahirkan kemarahan atau kebencian bila mana baginda dihina, dicaci, dicerca dengan begitu hebat sekali semasa zaman baginda, bahkan segala keburukan yang dilemparkan ke atas baginda dibalas dengan baik, sabar, malah mendoakan kebaikan kepada musuh-musuh baginda.

Lantaran itu, asbab kemuliaan sifat yang diperlihatkan Nabi Muhammad itulah yang telah menyedari seterusnya mengubah persepsi musuh-musuh baginda dan secara tidak langsung menyebabkan keislaman majoriti daripada mereka. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa hebatnya peribadi dan akhlak nabi tercinta kita, Muhammad SAW. Di mana kan kita cari ganti serupa dengan baginda bukan?

Namun demikian, hidup di dunia akhir zaman ini begitu banyak ranjaunya. Antara manusia masing-masing berlumba-lumba mengejar kenikmatan hidup dan habuan duniawi. Sehingga kadang-kadaang terlupa bahawa segala kesenangan di dunia hanya bersifat sementara dan segalanya akan dipulangkan kembali kepada pemilik asal yang hakiki iaitu Allah SWT.

Dengan keadaan sedimikian, tidak hairanlah jika ramai manusia yang saling berdengkian antara satu sama lain. Hanya kerana tidak sanggup jika nikmat yang dimiliki orang lain melebihi diri sendiri, kehendak nafsu diturutkan. Misalnya, peniaga yang dengki dengan kejayaan yang diperoleh pesaingnya sanggup mengenakan sihir semata-mata untuk menghilangkan nikmat yang dikecap oleh orang lain, di samping ingin menjadi masyhur dan cepat kaya tanpa ada tandingan.

Hal ini jelas terbukti apabila media massa saban hari melaporkan kes-kes jenayah yang berlaku bahana daripada perbuatan dengki khianat. Masyarakat juga sering didedahkan dengan amalan-amalan khurafat seperti sihir, ilmu hitam dan magis yang mana digunakan oleh dukun, pawangmahupun bomoh seperti yang dipertontonkan melalui kebanyakan rancangan televisyen terutama filem dan drama Melayu.

Ekoran dengan itu, perbuatan itu secara tidak langsung menggalakkan masyarakat untuk mencuba sesuatu yang boleh dianggap luar biasa bagi mereka. Apa tidaknya, jika sering didedahkan dengan informasi negatif, tidak mustahil jika inkuiri seseorangyang pada mulanya hanya tertarik dan kagum bertukar menjadi kehendak untuk mencuba, lalu membenamkan kewarasan akal serta iman di dada.

Fitrah manusia adalah cintakan dan suka melakukan kebaikan. Walau bagaimanapun, disebabkan iman yang tipis mereka tewas dan cenderung untuk melakukan kejahatan dan keburukan. Hanya kerana? terpedaya dengan hawa nafsu dan hasutan syaitan. Oleh itu tidak hairanlah jika dikatakan orang yang jahat sekalipun masih inginkan layanan yang baik diberikan kepada mereka.

Dan kerana itu jugalah wujudnya manusia yang tidak beriman kepada Allah tetapi masih membuat kebaikan. Hal ini disebabkan seseorang itu berfitrah dengan fitrah hasanah atau kebaikan. Banyak contoh yang dapat kita lihat, antaranya melihat kepada negara yang mendapat jolokan negara paling bersih iaitu Switzerland.

Sebagaimana yang kita maklum bahawa Switzerland bukanlah sebuah negara Islam, namun mengamalkan aspek kehidupan yang amat dituntut dalam Islam iaitu bersih. Malah Islam itu sendiri adalah agama yang suci dan bersih. Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menjadi bersihlah kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih.” (Hadis Riwayat: Ibnu Hibban).

Manakala sabda baginda lagi yang bermaksud: “Kebersihan itu dapat mengajak orang kepada iman. Sedang iman itu akan bersama pemiliknya ke syurga.” (Hadis Riwayat: Thabrani). Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya kebersihan dan Islam itu agama yang mengajak kepada kebersihan.

Namun demikian jika dilihat dari sudut yang berbeza, manusia juga cenderung untuk melihat keburukan orang mengatasi kebaikan yang dilakukan. Jika dilihat dan dinilai pada keburukan dan kesilapan, semua orang tidak terlepas dari melakukannya. Sedangkan para nabi juga melakukan kesilapan, apatah lagi kita sebagai manusia biasa yang lebih banyak terdedah pada dosa.

Sekiranya penilaian manusia terhadap manusia yang lain berdasarkan kesalahan yang dilakukan, apa akan berlaku jika seseorang pendakwah turut melakukan perkara yang sama. Benar, semua orang tidak terlepas dari melakukan dosa. Namun, jika manusia menghukum sedemikian terhadap perdakwah misalnya, sudah semestinya sebagai manusiabiasa yang lemah, berat untuk mengikut apa yang disampaikan oleh mereka. Kerana hati kecil pasti berkata, tiada guna mengikut orang yang mengajak kebaikan sedangkan diri sendiri juga tidak sempurna, turut melakukan dosa seperti orang lain.

Kerana itulah perlunya kita meneliti apa yang dimaksudkan dengan kata-kata Saidina Ali r.a iaitu “Janganlah melihat kepada siapa yang berkata, lihatlah kepada apa yang dikatakan.” Di samping itu, perlulah juga kita ketahui bahawa dua perkara yang perlu kita ingat iaitu keburukan kita terhadap orang lain, dan kebaikan orang terhadap kita. Begitu juga dua perkara yang perlu kita lupakan iaitu kebaikan kita terhadap orang dan keburukan orang tehadap kita.

Dengan itu, secara tidak langsung kita dapat perbaiki diri kita menjadi insan yang lebih baik. Justeru,jadilah orang yang beruntung di mana hari ini lebih baik darisemalam. Hal ini selari dengan maksud hadis Rasulullah iaitu “Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam.” (Hadis Riwayat: Bukhari dan Muslim)

Lantaran itu, janganlah sentiasa melihat keburukan yang ada pada orang lain, sebaliknya selalu bermuhasabah dan melihat pada diri sendiri. Banyak mana dosa dan kebaikan yang diperbuat saban hari. Lihat kembali ke dalam diri, apa yang masih kurang. Kebaikan apa yang masih belum mencukupi. Tambah nilai segala kekurangan diri dan dosa-dosa yang pernah dilakukan dengan cara selalu mengingati mati, di samping dapat meningkatkan iman dan menggalakkan melakukan kebaikan.

Tambahan pula, tiada kebaikan yang diperoleh jika masa yang dihabiskan hanya dengan melihat keburukan dan aib orang lain tanpa berbalik kepada diri sendiri. Bahkan mendapat kemurkaan Allah dan juga menutup ruang untuk perbaiki diri sendiri.

Hal ini turut disebut dalam firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah al-Hujurat: Ayat 12).

Justeru marilah sama-sama kita bermuhasabah dengan merenung jauh-jauh ke dalam diri. Tambahkan amal jika berasakan masih kekurangan amal untuk dijadikan bekalan dikemudian hari. Juga berfikirlah sambil menghisab diri sendiri, kerana sesungguhnya berfikir sejenak itu lebih baik daripada beramal sepanjang malam.

Tuntasnya, sebagai hamba Allah yang bertaqwa, kita seharusnya sering bersangka baik terhadapNya walau apa pun ujian yang datang melanda. Kerana Allah adalah menurut sangkaan hambaNya terhadapNya.

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan