Khamis, 21 Jun 2012

JANGAN BUAT UNDANG2 SENDIRI...UNDANG2 ALLAH LAGI KUAT...HUKUMNYA BERDOSA MAKA TETAP DOSA...KITA TELANJANG@AIB KAN MUSUH MAKA KITA DI AIB BALIK....KEJAHATAN KITA JUGA DITELANJANGKAN...

Ada rahsia kes pindah wang Tabung Haji?

Anis Nazri, 21 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar beranggapan ada sesuatu yang cuba disembunyikan kerajaan berhubung isu pemindahan wang ke akaun Ketua Pengarah Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail.

Ia berikutan persoalan yang dibangkitkan beliau masih tidak dijawab secara terperinci, biarpun berulang-kali didesak berbuat demikian.

"Semalam, saya membangkitkan isu ini dengan menjelaskan butirannya, dan hari ini jawapan tersebut sudah ada di meja saya.

"Namun, masih tiada jawapan yang jelas mengenainya," kata beliau pada sidang media, di Dewan Rakyat, petang tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, desak Mahfuz perlu tampil memberikan penjelasan berkenaan pembayaran sejumlah wang tersebut secara terperinci.

"Saya minta menteri tampil menjelaskan apakah jenis pembayaran tersebut?  Adakah ia merupakan emolumen, elaun atau insentif?  Penyimpan Tabung Haji ingin tahu, jadi saya minta menteri tampil menjelaskannya," tegas beliau lagi.

Sebelum ini, pada sesi parlimen lepas, Naib Presiden PAS itu telah membangkitkan isu tersebut ketika perbahasan belanjawan 2012.

Beliau sekali lagi membangkitkan dalam soalannya pada sidang parlimen sesi ini, bagaimanapun tidak berpuashati dengan jawapan Jamil Khir.

Susulan itu, Mahfuz mengulangi lagi tuntutan beliau terhadap Jamil Khir untuk menjelaskan secara terperinci butiran pembayaran itu.

Tabung Haji dikatakan memindahkan sejumlah RM308 700 ke akaun Ismee, yang dikatakan dibuat mengikut undang-undang serta termaktub dalam syarat-syarat dan terma-terma yang terkandung dalam kontrak perkhidmatan Ismee.

Lynas: JK Himpunan Hijau tolak laporan PSC

Hazayani Zakaria, 21 Jun 2012

(Sidang media Jawatankuasa Himpunan Hijau di bangunan Parlimen hari ini)

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Himpunan Hijau mengingatkan kerajaan agar mengambil kira bantahan penduduk Kuantan berhubung pembinaan projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), di Gebeng.

Pengerusinya, Wong Tack berkata, pihaknya bersedia meneruskan gelombang bantahan jika projek itu diteruskan.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah mempercayai kewujudan Jawatankuasa Khas Parlimen berhubung isu tersebut kerana yakin jawatankuasa itu hanya untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa projek itu selamat.

“Kami tahu kerajaan tidak pernah memberikan perhatian terhadap kerisauan kami yang tinggal di kawasan berhampiran.
"Kerajaan hanya mengutamakan kepentingan politik dan membetulkan kesilapan bukan agenda mereka,” kata beliau pada sidang media bersama ahli Parlimen Pakatan Rakyat di lobi Parlimen hari ini.

Beliau juga mengajak orang ramai menyertai Himpunan Hijau 'Occupy Balok-Gebeng 24 Jam' yang akan diadakan pada 23 dan 24 Jun ini.

Pelbagai program akan diadakan sepanjang tempoh 24 jam himpunan tersebut antaranya konsert ‘hijau’, gig band tengah malam, perkhemahan, pameran dan kempen kesedaran alam sekitar, dialog dan ceramah.

Himpunan tersebut turut mendapat sokongan PAS malah Timbalan Presiden, Mohamad Sabu sebelum ini meminta seluruh ahli PAS, khususnya di Pahang dan Terengganu untuk turun menyatakan solidariti pada himpunan tersebut.

Turut bersama pada sidangmedia tersebut ialah Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Himpunan Hijau P.Pinang di Padang Ahmad Badawi

Mohd Sabri Said, 21 Jun 2012
BUTTERWORTH: PAS Pulau Pinang memilih Padang Haji Ahmad Badawi, Butterworth iaitu tapak penubuhan PAS tahun 1951 sebagai lokasi 'Perhimpunan Hijau dan XPresi Anak Muda' pada 24 Jun ini selepas Negeri Johor, Selangor dan Perak berjaya menyambutnya dengan gilang gemilang.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Saleh Man menambah, program khas untuk meningkatkan daya juang jentera PAS di negeri ini bagi menangkan lebih banyak kerusi wajar disambut sama oleh penyokong tegar atau golongan atas pagar yang mahu melihat PAS berkembang hebat sepertimana parti lain dalam gabungan Pakatan Rakyat.

"Saya selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang menjemput semua ahli PAS, penyokong atau golongan atas pagar untuk bersama mendengar amanat Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang serta beberapa tokoh tempatan pada sebelah malam, " beritahunya ketika dihubungi.

Jelas beliau, program yang bermula jam 4.00 petang sehingga 12.00 tengah malam diisi dengan berbagai program dari dua sayap parti iaitu Dewan Pemuda dan Muslimat.

Sementara itu Pengarah Program kepemudaan, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pada sebelah petang hari tersebut acara pemuda membabitkan konvoi bermotosikal berkuasa tinggi dari ARC dan kelab Scram RIDER, demontrasi silat, persembahan Zua XPDC, pertunjukan Silambam, Tarian Naga dan paluan gendang cina serta konsert kumpulan nasyid UNIC.

Selain bersantai bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi dan pelancaran Kelab Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS para peserta juga diminta membawa sejadah sendiri untuk sembahyang berjemaah magrib dan Insya di padang.

Pada sebelah malamnya pula pentas utama akan dipenuhi oleh pemidato hebat iaitu Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat, Hu Pang Chow, Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Saleh Man, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Afnan Hamimi.

Rafizi letak jawatan CEO penasihat ekonomi S'gor

Harakahdaily, 21 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli (gambar) hari ini mengumumkan perletakan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Perkara itu turut dimaklumkan dalam twiternya sebentar tadi.

"Saya telah beri notis letak jawatan dari Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Sebarang pertanyaan mengenai ekonomi Selangor dan lain-lain, rujuk Kerajaan Negeri," katanya.

Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor diterajui Ketua Umum PKR Datuk Sri Anwar Ibrahim sebagai penasihat.

Rafizi pula menyandang jawatan Ketua Eksekutif di pejabat itu sejak 2009 lalu.

"Letak jawatan proses biasa. Perlu sedikit rehat, letih buat dua kerja di Kerajaan Negeri & parti. Ramadhan dah dekat, tumpu ibadah," katanya lagi.

Dalam tulisan lanjut di twiternya, beliau berkata belum membuat sebarang perancangan namun mahukan rehat dan menumpukan kepada ibadah sempena bulan Ramahan ini.

Pemburu lembu

Rafizi juga menegaskan, dia akan terus menjadi pemburu lembu nombor 1 PKR, "Masih pengarah strategi sehingga PR menang."

Beliau berkata demikian menerusi Twiiternya ketika menjawab soalan pelbagai pihak yang ingin tahu kedudukan beliau dalam parti.

Rafizi adalah ikon penting di sebalik isu National Feedlod Centre (NFC) yang menggoncang Umno sehingga memaksa Datuk Seri Sharizat Jalil melepaskan jawatan menterinya.

Ketokohan Rafizi dalam politik tanah bertambah terserlah apabila beliau berdebat dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin baru-baru ini dalam isu PTPTN.

"Insya Allah 930 malam mula cakap," kata Rafizi yang beliau masih terus aktif dalam politik.

Beliau dijangka akan memberikan ceramahnya di  Taman Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur.

Rafizi disebut-sebut akan mencabar bekas presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat di Parlimen Pandan.

Tolak merah, Tamrin ajak rakyat hijaukan Malaysia

Mohd Sabri Said, 21 Jun 2012
TASEK GELUGOR: Veteran Umno, Datuk Tamrin Ghafar (gambar) mengajak rakyat negara ini menghijaukan Malaysia kerana warna merah yang menjadi kebanggaan Umno tidak releven lagi untuk memerintah.

Sikap kepimpinan negara yang terlalu boros, ego dan kurang turun ke padang membuatkan rakyat terlalu muak untuk memilih Umno sekali lagi pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

"Tanda merah dan lumpuh.  Marilah kita hijaukan Malaysia dengan kasih sayang, niat suci dan bertekad akan jatuhkan Umno dan BN pada pilihanraya umum ke 13, " ujarnya ketika berceramah di Padang Awam, Kampung Jarak Atas, Tasek Gelugor semalam.

Walaupun dirinya masih berada dalam Umno namun jiwanya tidak lagi suka sepertimana dulu bekerja untuk meninggikan kepentingan Umno dan kepimpinanya.

Hari ini peluang untuk Umno menang agak tipis maka tiada jalan lain bergeraklah tinggalkan parti yang bakal ranap di telan arus masa.

"Saya masih Umno tapi Umno saya dah makin hilang, " terangnya di sambut laungan takbir dari hadirin.

Sambung Tamrin, rakyat terus ditipu apabila sukar untuk mendapatkan pinjaman tetapi begitu mudah memberikan peluang kepada kroni mereka tanpa mengikut peraturan sepertimana diberikan kepada suami Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Sharizat Jalil untuk menguruskan ladang ternakan lembu secara besar besaran.

Anak dan suaminya dihadiahkan projek yang besar sedangkan keuntungan untuk kerajaan tiada langsung.

Ia semata-mata umpama habuan percuma.

"Sudah sampai masanya rakyat ubah kerajaan yang sah gagal urus tadbir pemerintahan dengan telus, " katanya.


Tamrin yang berceramah bersama Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu.

Beliau memuji langkah yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng kerana menambah peruntukan untuk Majlis Agama Islam, Sekolah Agama Rakyat (SAR) serta Guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) yang sebelum ini dipandang sepi oleh BN.

Bila kerajaan negeri berjaya tingkatkan pendapatan guru KAFA, menambah infrastruktur SAR serta pertambahan peruntukan kepada Maipp ada pihak yang tidak puas hati melemparkan berbagai fitnah yang tidak berasas, katanya.

Mereka sanggup melemparkan fitnah kononnya Lim Guan Eng berlakun untuk mendapatkan undi melayu.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) ingin menjadikan Negara Malaysia negara kristian dan sebagainya.

"Orang Melayu jangan termakan dakyah jahat Umno yang tidak mahu melihat negara ini berpindah tangan menjadi lebih baik.

"Pakatan Rakyat boleh mentadbir sepertimana yang dilakukan di negeri yang dimenangi pada pilihanraya umum 2008, " kata beliau di majlis anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor itu.

Pada majlis yang sama Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu merasmikan Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (KERABAT) Parlimen Tasek Gelugor bersama Presiden KERABAT Malaysia, Kol (B) Haji Nazari Haji Mokhtar.

Anak fail permohonan halang penyenaraian FGVH

Salmiyah Harun, 21 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Panel peguam Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk menghalang penyenaraian Felda Global Vantuer Holding (FGVH) sebelum 28 Jun ini.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, barisan panel peguamnya sedang membuat persiapan terakhir untuk membuat permohonan sebelum FGVH disenaraikan.

"Kita sudah buat penelitian dan kita yakin berjaya menghalang penyenaraian itu," katanya kepada Harakahdaily.

Sebelum itu, Anak sedang dalam rangka 'road show' pra Himpunan Oren di setiap negeri untuk mobilisasi rakyat turun pada kemuncak himpunan iaitu 14 julai ini

"Saya menjangkakan lebih 20,000 akan membanjiri himpunan itu nanti beradasarkan maklum balas yang diterima dalam 'road show' yang kita sudah jalankan," katanya.

Mengulas, Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Permodalan Felda (KPF) ke-31 berlangsung semalam tanpa kehadiran Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad  bagi Mazlan  ia sebagai pentanda kemenangan apa yang diperjuangkan peneroka selama ini.

Ternyata, katanya, kebenarannya apabila mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membekukan sementara keahlian Isa dalam koperasi tersebut.

Tegasnya, KPF ada peraturan dan undang-undang kecil tertakluk di bawah Akta Koperasi Malaysia.

"Sebagai proses keahlian bergantung kepada peruntukan tersebut dalam konteks KPF mereka layak jadi ahli adalah peneroka, ahli keluarga peneroka dan kakitanga tetap Felda," katanya.

Bahkan, Anak beberapa kali membuat aduan bahawa Isa samad tidak layak menjadi ahli KPF dan beliau boleh ditribunalkan status keahliannya.

Katanya, kemelut yang berlaku adalah agenda politik apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi keahlian kepada Isa.

"Walhal tidak ada keperluan letak Isa sebagai ahli KPF.  Keperluan tidak ada, apa justifikasi Ismail Sabri bagi pengecualian kepada Isa menjadi ahli KPF?" tegasnya.

Justeru, Mazlan mengingatkan Isa walaupun dibelakangnya ada Perdana Menteri beliau boleh buat apa yang dia suka dengan menguasai institusi tertentu semata-mata untuk memonopoli Felda sampai bila-bila.

Kelmarin, mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membekukan sementara keahlian Isa dalam koperasi tersebut.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim berkata terdapat merit untuk membenarkan empat peneroka Felda mencabar keahlian Isa dalam KPF.

Jika keahliannya tidak dibekukan, Isa dipercayai akan dicadang untuk dilantik sebagai pengerusi KPF yang baru dalam mesyuarat yang berlangsung semalam.

Video beli MP: Khalid dedah seorang lagi ajen

Hazayani Zakaria, 21 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini mendedahkan sambungan video perbincangan agen BN bersama wakil Ahli Parlimen Parlimen Pakatan Rakyat untuk melakukan pembelian wakil rakyat.

Video 30 saat yang ditayangkan kepada media itu menunjukkan wajah seorang lagi yang didakwanya sebagai 'agen Umno' yang dinamakannya sebagai Azwanddin Hamzah iaitu Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM).

Sebelum ini, rakaman video pertama yang didedahkan Khalid menunjukkan wajah salah seorang lelaki yang didakwa bekas ketua pemuda PKR Kedah, Zamil Ibrahim.

Selain menayangkan video, Khalid turut mengedarkan transkrip dialog antara Zamil dengan Ahli Parlimen PKR yang ingin dibeli itu.

Bagaimanapun, transkrip itu tidak begitu lengkap.

Zamil dalam transkrip dan video tersebut ada menyebut beberapa nama anggota PKR yang dianggap 'tidak berpuas hati dengan parti.

"Saya pun dari asal PKR. Kawan-kawan saya.. Sala...I mean..sat.. Sallehuddin dengan report itu semua...lepas itu ini Shamsul Iskandar, Jonah dan sebagainya ramai kawan-kawan lagi...kadang kala kita jumpa kita cakap termasuk Dato Rashid Din Merbuk.

"Saya rasa lebih kurang sekarang 31...saya rasa sekarang lebih dari setengah..Sani..Abdullah Sani, ini apa Amran, Ajiz Ketereh, ini semua tidak akan disenarai semula.." Kata Zamil dalam transkrip video tersebut.

Khalid berkata, terdapat usaha yang gigih dan teratur untuk membeli ahli Parlimen PKR bertujuan memburukkan parti itu.

"Mereka tumpu kepada PKR sebab nak tunjuk PKR ini lemah. Nak buat pada PAS tak boleh sebab PAS dah kuat, dah 30 tahun," katanya.

Namun ujarnya, Ahli Parlimen PKR yang ingin dibeli itu sehingga sekarang masih berada di dalam PKR.

Khalid berkata, beliau akan menayangkan secara berperingkat-peringkat video selama tiga jam itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan