Rabu, 27 Jun 2012

ALHAMDULLILLAH....ALLAHUAKBAR...YA ALLAH ENGKAU SEDANG MENGHUKUM MANUSIA2 YANG SOMBONG LAGI BONGKAK...YANG MENENTANG HUKUM2MU YA ALLAH...MEREKA LEMAH YA ALLAH...ENGKAU MAHA MENGETAHUI HUKUMAN SESUAI UNTUK MEREKA....YA ALLAH....




Dr Mursi Umum 4 Langkah Pertama Sebagai Presiden Mesir:-

Presiden Mesir yang baru, Dr.Muhammad Mursi mengumumkan empat langkah pertamanya sebaik saja beliau dengan rasminya diisytiharkan sebagai Presiden.

Keempat-empat langkah itu ialah:

Pertama: Menyumbangkan wang gaji Presidennya untuk kebajikan rakyat Mesir

Kedua: Mengeluarkan arahan tidak menggantungkan gambarnya di bangunan kerajaan atau menerbitkan apa-apa iklan ucapan tahniah di dalam akhbar.

Ketiga: Semalam beliau menerima kunjungan ibu kepada Khaled Said dan keluarga mereka yang terbunuh pada perhimpunan 25 Januari, di Istana Presiden dan mengarahkan pengawal istana untuk tidak menghalang keluarga mereka yang syahid itu dari menemuinya pada bila-bila masa. Beliau juga berjanji untuk menghukum mereka yang membunuh para peserta perhimpunan dengan mendakwa semula bekas Presiden Hosni Mubarak dan menteri dalam negeri, Habib al-Adli, serta lain-lain defenden di atas kes membunuh para demonstran. (Lebih 800 orang terbunuh dan 6,000 cedera semasa perhimpunan 25 Januari Hizbut-Tahrir.)

Keempat: Mengarahkan pihak keselamatan mengurangkan bilangan kenderaan bagi mengiringinya bertujuan tidak mahu mengganggu pergerakan lalulintas rakyat awam dan rkata, pihak tertinggi pasukan keselamatan juga meminta Mursi dan menolak permintaan pihak keselamatan yang meminta keluarga beliau berpindah ke Villa As-Salam bersebelahan Istana Itthadiyah akan tetapi Mursi tetap mahu kekal tinggal di kediamannya sebelum ini di Tajammuk.

"Saya Tidak Mahu Rakyat Benci Saya Hanya Kerana Kenderaan Saya"- Mursi

Presiden Mesir, Dr.Muhammad Mursi ketika memasuki Istana Presiden Isnin semalam bagi meninjau keadaan istana yang dikosongkan lebih setahun lalu meminta pihak keselamatan mengurangkan bilangan kenderaan bagi mengiringinya bertujuan tidak mahu mengganggu pergerakan lalulintas rakyat awam.

Memetik sumber "Al-Masryl Youm" bahawa sewaktu melawat Istana Ittihadiyah semalam, Mursi meminta pihak keselamatan mengurangkan kenderaan pengiringnya. Beliau dipetik berkata, "Saya tidak mahu rakyat bencikan saya dengan sebab kenderaan Presiden."

Sumber dipetik sebagai berkata, pihak tertinggi pasukan keselamatan juga meminta Mursi dan keluarga beliau berpindah ke Villa As-Salam bersebelahan Istana Itthadiyah akan tetapi Mursi tetap mahu kekal tinggal di kediamannya sebelum ini di Tajammuk Khamis.

Sementara itu, Dr. 'Isom 'Iryan, Naib Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) dalam satu temuramah berkata, Dr.Mursi juga akan menyumbangkan gajinya untuk kebajikan rakyat Mesir.

Ulasan: Kepada mereka yang sempat di zaman Mubarak, bagaimana keadaan jalan raya jika Mubarak hanya akan melalui jalan tersebut?

1) Dua jam sebelum Mubarak tiba, jalan raya akan ditutup.
2) Amnu Daulah akan turun berkawal dan mereka akan berada di atas bumbung di tepi jalan bagi memastikan keselamatan Mubarak terjamin.
3) Polis dan tentera akan berdiri di sepanjang jalan dalam keadaan membelakangi jalan raya, tidak boleh melihat Presiden.

Jika dahulu tempat itu diletak gambar Presiden Husni Mubarak, namun selepas revolusi, ia diletakkan dengan kalimah yang Maha Agung Allah semulia-mulia nama.

Harakahdaily

Haji, pilihan raya dan Umno

Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 27 Jun 2012
Saya merasa hairan sekiranya Umno yang memimpin kerajaan BN tidak mengizinkan pilihanraya diadakan di musim haji, kalau berlaku sebaliknya memang menghairankan. Umno pernah menggunakan kuasanya mengadakan pilihanraya umum di musim haji, kerana dasar dan konsep perjuangannya terus berpegang teguh dengan nasihat Suruhanjaya Reid yang meletakkan agama sebahagian sahaja daripada aspek politik dan urusan negara sebagaimana Umno melaksanakan tugasnya menghapuskan tulisan jawi dan meletakkan kedudukan agama yang ada di bawah kuasa raja-raja sekarang tanpa perubahan walaupun kemerdekaan sudah berlalu lebih lima puluh tahun.  Maka mengadakan pilihanraya di musim haji terlalu kecil bagi Umno, kerana pilihanraya dianggap tidak ada hubungan dengan dosa dan pahala boleh menipu, rasuah dan sebagainya. Kalau berdosa pun boleh ditampung dengan haji dan umrah subsidi.
Kepada Umno ibadat haji boleh dipolitikkan, bukan sahaja mengadakan pilihanraya di musim haji dengan menafikan hak mengundi kepada kalangan umat Islam yang berada di Makkah atau Madinah. Pilihanraya boleh diadakan di musim haji sekiranya mengurangkan sedikit undi yang boleh memberi kemenangan kepada BN  walaupun dengan majoriti kecil khususnya di negeri-negeri utara dan Pantai Timur Semenanjung. Bahkan Umno boleh mempolitikkan haji dengan mengeluarkan wang peruntukan kerajaan bagi memberi subsidi haji kepada imam-imam, JKKK dan sebagainya. Walaupun rukun haji diwajibkan kepada seseorang yang mampu secara individu bagi dirinya dan berbuat kebajikan sunat kepada kalangan keluarga dan sahabat. Maka memberi subsidi haji dan umrah oleh kerajaan tidak wajib dan menerimanya juga tidak wajib, bahkan haram sekiranya menjejaskan peruntukan rakyat miskin yang pendapatannya tidak mencukupi  sara hidup, begitu juga pelajar-pelajar miskin yang menuntut ilmu fardu kifayah. Memang ternyata masih ramai yang tercicir dan ada yang dinafi dan dibatalkan haknya kerana tidak menyokong Umno.

PAS tetap menegaskan bahawa memilih musim haji bagi tarikh pilihanraya adalah bercanggah dengan Islam, kerana politik adalah sebahagian penting bagi agama Islam dan menjadi syarat kepada melaksanakan hukum-hukum Islam yang banyak, termasuklah membuktikan Islam itu adil kepada seluruh manusia dan seluruh alam serta melaksanakan kewajipan amar makruf dan nahi munkar dengan kuasa pemerintahan negara.

Saya telah menjelaskan hujah syarei dalam tulisan sebelum ini, walaupun ramai yang tidak boleh menerimanya kerana asas ilmu feqah politik yang tidak ada sedikit pun. Allah pernah menempelak para pemimpin Makkah yang berbangga dengan khidmat hajinya dan memakmurkan Al Masjid Al Haram, di mana pahalanya seratus ribu kali ganda daripada beramal di masjid yang lain daripada Masjid Madinah dan Masjid Aqsa.

Firman Allah:
أجعلتم سقاية الحاج وعمارة المسجد الحرام كمن آمن بالله واليوم الآخر وجاهد في سبيل الله , لا يستوون عند الله والله لا يهدي القوم الظالمين . التوبة 19
(Adakah kamu jadikan amalan memberi layanan minuman air kepada para jamaah haji dan mengimarahkan Al Masjid Al Haram itu, sama seperti kalangan yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, serta berjihad pada jalan Allah (menegakkan agamanya )? Sebenarnya mereka tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim ).

Mengundi adalah hak yang ditunaikan bagi memilih pemimpin dan kerajaan. Kewajiban ini mengikut ajaran Islam adalah satu amanah yang sangat besar dibebankan kepada umat Islam.

Firman Allah:
إن الله يأمركم أن تؤدوا الآمانات إلى إهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا  . (النساء ).
Sesungguhnya Allah memerintah kamu supaya menunaikan amanah dengan menyerahkan kepada orang yang mampu menunaikannya. Dan apabila kamu melaksanakan hukuman di kalangan manusia hendaklah berlaku adil, sesungguhnya Allah menyuruh kamu melakukan ajaran yang terbaik, sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Melihat.)

Maka pilihanraya memilih pemimpin dan kerajaan adalah kewajipan besar dalam ajaran Islam, bagi menunaikan amanah, menyerahkan amanah yang menentukan baik dan buruk, adil dan zalim yang menjadi kepentingan umum dan masa depan dunia sehingga akhirat. Rasulullah S..A.W. meletakkan hilangnya amanah memberi tugas memimpin umat kepada orang yang tidak melaksanakan Syariat Allah menjadi punca kemusnahan yang membawa berlakunya ajal dunia. Memilih pemimpin bukan kerana kelayakan agama, akhlak dan ilmunya tetapi kerana wang, pangkat dan sebagainya adalah mengkhianati Allah dan Rasul.

Sebahagian besar para sahabat R.A. hanya bersembahyang jenazah Rasulullah S.A.W. kemudian berundur meninggalkan upacara mengebumikan jenazahnya yang mulia kerana menghadirkan diri dalam perhimpunan di Thaqifah Bani Saidah, melaksanakan amanah yang lebih besar daripada mengebumikan jenazah Rasulullah S.A.W. iaitu amanah pemilihan Khalifah pertama, yang membuat keputusan majoriti memilih Abu Bakar R.A.

PAS hanya mampu mengerahkan segelintir ahlinya sahaja dengan penyebaran ajaran politik Islam, supaya menangguhkan haji wajib kalau berlaku pilihanraya, kerana memilih wajib menunaikan amanah besar yang tidak boleh ditangguh kerana dipaksa. PAS tidak mampu menyebarkan kefahaman ini kepada masyarakat Islam seluruhnya, kerana khutbah Jumaat di masjid-masjid, ustaz-ustaz upahan dan media digunakan oleh BN bagi menyempitkan fahaman umat Islam terhadap ajaran Islam dan menyebarkan fitnah terhadap PAS melalui segala medan, termasuk media yang berlagak Islam, mencampurkan dosa dan pahala, benar dan bohong, laksana lembu yang mengibas ekor di belakang terhadap sesiapa sahaja dan hanya melihat ke hadapan ke arah rumput yang boleh diisi ke dalam perut.

Warga Turki yang bekerja di Australia yang peka dengan amanah ini, pulang ke negaranya dengan tambang berlipat kali ganda daripada menunaikan haji. Mereka pulang untuk mengundi parti Islam sehingga mengalahkan kaum Kamal Atarturk yang memaksa umat Islam Turki dengan pemerintahan sekularisme yang melemahkan Turki dan merosakkannya. Warga Mesir dan Tunisia di luar negara berjaya memenangkan parti Islam setelah berlakunya kesedaran politik sehingga mengalahkan parti ala Umno di negara masing-masing.

Harapan PAS kepada umat Islam di negara ini supaya bersedia menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 walaupun Umno BN melaksanakannya tanpa mengira musim haji. Tema politik itu kotor (politic is dirty), adalah penipuan penjajah terhadap umat Islam supaya meninggalkan politik dan memberi ruang dan peluang kepada mereka dan pengikut mereka menjajah selama-lamanya dan menghalang Islam berdaulat. Sebenarnya merekalah yang mengotorkan politik yang menjadi amanah Allah yang termasuk dalam perkara kerasulan yang membawa rahmat Allah kepada seluruh  alam dengan melaksanakan Islam yang adil kepada semua dan matlamat kejadian manusia yang dihisab pada Hari Akhirat nanti. Akhirnya Rasulullah S.A.W. memberi jaminan daripada Allah, bahawa sesiapa yang melaksanakannya dengan sempurna menjadi kalangan pertama daripada tujuh jenis manusia yang bernaung di bawah naungan Allah di padang Mahsyar.

Presiden PAS


Gantung Ambiga sampai mati: DAP mahu lapor polis

Hazayani Zakaria, 27 Jun 2012
KUALA LUMPUR, 27 Jun: DAP mengarahkan wakil rakyatnya membuat laporan polis beramai-ramai terhadap Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berhubung kenyataannya yang bersifat ekstrimis.

Aziz, wakil BN dalam ucapannya di Dewan Rakyat semalam meminta Pengerusi Bersama Gabungan Menuntut Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan digantung sampai mati kerana didakwa mahu menggulingkan negara.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya tidak mahu membuang masa meminta Aziz menarik balik kenyataan tersebut tetapi mahu semua wakilnya membuat laporan polis agar Aziz dapat disiasat sewajarnya.

Katanya, laporan polis akan dibuat esok namun belum dinyatakan di balai polis mana.

"Semalam kita amat terkejut dengan kenyataan Sri Gading yang mengatakan bahawa kita harus gantung ambiga kerana menganjurkan Bersih.

"Ini adalah kenyataan yang menghasut dan bersifat ekstrimis dan mengancam nyawa Ambiga dan bersifat perkauman kerana ditujukan kepada seorang wanita berbangsa India dan beragama Hindu," kata Ahli Parlimen Bagan itu pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Guan Eng juga berkata, kenyataan Aziz itu sangat tidak relevan kerana penganjuran Bersih bukan satu kesalahan.

"Ini adalah saranan yang serius untuk minta gantung sampai mati. Tak pernah ada ahli parlimen di dunia minta seorang dibunuh.

"Apakah kesalahan Ambiga? Beliau hanya salah seorang penganjur Bersih yang merupakan perhimpunan aman.

"Kenapa hanya Ambiga? Kami yakin sebab Ambiga seorang India dan wanita. Sasaran yang mudah. Sikap ini harus dibantah," katanya.

Menanti natijah Tahrir Square di Dataran Merdeka

Mohd Sayuti Omar, 27 Jun 2012
Pengesahan secara rasmi Dr Mohamed Morsi, 61, sebagai presiden baru Mesir beberapa hari lepas disambut dengan linangan air mata kesyukuran dan laungan Allahuakbar oleh umat Islam bukan saja 26 jaziah Mesir tetapi di seluruh dunia. Mereka yang berjiwa Islam akan emosi dengan kemenangan itu.


Pengumuman itu yang hakikatnya kemenangan Ikhwan Muslim dianggap sebagai satu kejayaan besar umat di seluruh dunia yang mencintai tertegaknya hukum Allah dan syariah Muhammad di atas muka bumi ini. Ini kerana Ihwan Muslim dianggap sebagai siasah politik Islam yang bukan saja diterima pakai di Mesir tetapi di seluruh dunia. Jauh dari itu diharap perubahan atau kejayaan Islam di Mesir akan menjadi penyuntik semangat gerakan Islam di tempat lain termasuk Malaysia juga.

Apa lagi di Nusantara ini, Malaysia dan Indonesia, semangat jihad Ikhwan Muslimim sudah lama terhimbau ke mari, dibawa oleh pemuka-pemuka Islam Melayu yang menuntut di Timur Tengah tahun-tahun 30-an hingga 50-an. Keberanian orang Melayu melawan kolonialisme sedikit sebanyak dipandu oleh semangat Ikhwan Muslimim. Justeru kemenangan di Mesir itu juga dirai atau dirasakan kemenangan bersama harakah Islamiyah di Malaysia terutamanya mereka yang intim dan akrab dengan Ikhwan Muslimim.

Dari sisi lain kemenangan Ikhwan Muslimim dan pemilihan Dr Mohamed Morsi itu menjadi ubat kedukaan dan kekecewaan umat Islam di sebelah sini yang masih belum menggenggam kemenangan sebenar? Umno walaupun ianya ditonggaki Melayu namun kerana perjuangannya tidak berasaskan kepada Quran dan Hadith secara holistik, tepatnya sekular, sekular maknanya jahiliah, tidak dianggap sebagai gerakan dan siasah Islam.


Walaupun ada cendekiawan dan ulamak cuba mempertahankan Umno sebagai perjuangan Islam dan UBN kerajaan Islam namun penemuan dan bukti-bukti kemungkaran, rasuah, penyelewengan, politik fitnah dan sebagainya yang dipraktik oleh UBN menafikan Malaysia sebagai sebuah kerajaan Islam.


Sejajar itu maka harapan yang membunga akan berlaku perubahan di Malaysia sudah berputih dengan kejayaan induk mereka itu. Timbul harapan tinggi menggunung di dalam dada para mujahidin di sini yang gerakan Islam di Malaysia terutamanya badan siasah seperti PAS, NGO seperti Abim, Jim, dan lain-lain mengimpikan kemenangan itu dan ia akan juga akan tergapai.


Teori domino akan berlaku, yang dimulakan di Mesir itu. Atau kejayaan muqadimmahnya lebih awal dari itu ia bermula di Tunisia apabila diktator Zainal Abidin Ali dijatuhkan, ia merebak ke Mesir menumbangkan Hosni Mubarak kemudian ke Libya meranapkan kerajaan 'kuffar' moden Muammar Ghadafi. Kejayaan awal Ikhwan Muslimim ialah apabila berjaya menumbangkan Hosni Mubarak menerusi tunjuk perasaan besar-besar selama 18 hari di Tahrir Square. Kejatuhan Hosni memberi signifikan besar kerana Ikhwan Muslimim itu sendiri ditubuhkan di Mesir, 1928 M.


Himpunan di Tahrir Square itulah terilhamnya Bersih 3 di Kuala Lumpur? Ia menggerakkan semangat anak-anak muda untuk berhimpun dan membuat penentangan secara agresif dan terbuka. Pemerhati dan pemimpin politik kita juga percaya penyakit di Mesir itu akan berlaku di sini. Bukan saja pemimpin pembangkang melaungkan serunai itu semerdunya, tetapi pemimpin UImno juga naik menggeletar menyaksikan ledakan himpunan itu. Apa tidaknya Perdana Menteri Najib Razak sendiri bermimpi ada darah merah di Dataran Merdeka bakal menyumbatkan hidungnya lantas itu tunjuk perasaan yang dijanjikan secara aman, duduk dan bantah dilarang keras.


Kejayaan calon Ikhwan Muslimim dipilih sebagai Presiden Mesir itu menyemarakkan lagi semangat umat Islam dan Islam di Malaysia untuk menumbangkan kerajaan UBN yang dilihat tidak Islamik. Ini menyebabkan orang-orang di sini merasakan semangat Medan Tahrir dan aura perjuangan Ikhwan Muslimim itu sedang mara ke Malaysia. Gema perjuangan menuntut hak dan keadilan di Kaherah sedang terbang ke Kuala Lumpur. Semua pihak peka dan bangkit melambai kedatanagnnya. Persoalan kini apakah keadaan di Mesir itu akan berlaku di sini?


Jika dilihat secara fizikal dan geografi politik memang ada kemungkinan itu. Secara alaminya sesuatu kebangkitan itu akan berjangkit ke sebuah negara ke sebuah negara lain. Negara lain dijadikan cermin oleh rakyat negara lain untuk ditiru segala-galakannya baik politik, budaya, fesyen dan sosial. Kebangkitan rakyat, kesedaran rakyat persis penyakit atau wabak yang cepat menular, seperti Aids, ataupun wabak selesema burung atau H1N1 dan sebagai. Kelupaan atau kegagalan menyangkal menyebabkan penyakit akan mudah berjangkit dan akan berlaku kematian.


Justeru mereka atau individu kurang daya tahan, kurang antibodi akan cepat disinggahi penyakit. Soalnya apakah kita rakyat Malaysia mengalami kekurangan daya tahan dan mengalami sindrom untuk sedia menerima; kemarahan dan kemaraan rakyat seperti di Medan Tahrir?


Saya ada pandangan dan simpulan-simpulan sendiri di dalam soal ini. Secara adilnya saya bersetuju kalau berlaku kebangkitan yang kemudian merubah dan menggantikan apa yang ada. Lagipun sudah lebih setengah abad kerajaan yang bertakhta hari ini bermain dengan kuasa kotornya. Dalam kata lain kalau kerajaan ini adalah sultan atau raja ia sudah zalim yang tidak lagi wajar disembah tetapi patut disanggah.


Kita tengok apa yang berlaku di Mesir dahulu kemudian kita bandingkan kemungkinan-kemungkinan yang akan terjolor mari. Hanya persamaan suasana, persamaan keadaan, persamaan perasaan, persamaan tuntutan, persamaan kerjasama, persamaan keyakinan (tauhid) saja yang boleh memungkinkan itu. Tanpa persamaan-persamaan atau ruang-ruang itu ia tidak akan mudah terjadi, atau pun kalau ia marak, kemarakannya mudah ditangani.


Perkara pokok yang wajar direnungi apakah tapak perjuangan bangsa atau rakyat negara ini sama dengan tapak perjuangan Ikhwan Muslimim di Mesir itu. Apakah kebenaran ada dalam perjuangan rakyat negara ini sama dengan kebenaran dalam badang perjuangan Ikhwan Muslimim? Kita perhatikan ini secara ringkas pada perkara-perkara pokok.


Perjuangan di Mesir ialah menuntut agar syariat Islam dilaksanakan di atas muka bumi ini. Intipati perjuangan itu diterima oleh umum. Lantas itu Ikhwan Muslimim diwujudkan untuk menyediakan tentera atau pejuang-pejuang, para mujahid yang berani menuntut hak dan kewajiban itu. Dalam erti kata lain Mesir sudah ditabur dengan pejuang menegakkan Islam sejak lebih 80 tahun. Gerakan Ikhwan Muslimim yang diasaskan oleh Hassan Al Bana lah bertanggung jawab menyemaikan benih ini.

Apakah keadaan sama wujud di negara kita? Kalau pun ada benih-benih yang menyamai di Mesir itu ianya dilakukan oleh Parti Islam Se Malaysia (PAS). Dalam masa sama pula PAS menghadapi tentangan hebat dari Umno untuk membangkutkan benih yang PAS selam dalam baja itu selama ini. Usia benih yang disemai PAS baru berusia 60 tahun. Mungkin ia sudah pramatang tetapi PAS atau benih Islam menghadapi beberapa hambatan-hambatan lain yang tidak dialami oleh Ikhwan Muslimim.


Dari kira-kira 27 juta rakyat negara ini tidak sampai 5 juta yang tersemai dengan benih Islam itu. Ia berbeza dengan di Mesir dari 74 juta penduduknya 90% adalah beragama Islam dalam erti kata lain mempunyai agenda dan kepercayaan yang sama. Ertinya dari jumlah kualiti dan kuantiti benih Islam di Mesir yang ditanam Ikhwan Muslimim jauh lebih besar dari apa yang wujud di Malaysia. Selain itu juga konsep, semangat dan roh Ikhwan Muslimim itu terhimbau dan dikenali di seluruh dunia, sebaliknya PAS masih bergelewatan di bumi sendiri.


Perkara lain yang perlu difikirkan ialah mengenai keadaan sosial, jenis-jenis (kaum) rakyat negara kita dengan Mesir. Di Mesir negera itu tidak ada masalah kerana majoritinya bangsa Arab beragama Islam yang mempunyai akidah dan mazhab yang sama. Jadi kedudukan ini mudah untuk diuruskan kerana ia tidak ada pertikaian kepentingan dan konflik sesama sendiri.


Di Malaysia umat Islam hanya 15  atau 17 juta sahaja. Itu pun ia terbahagi kepada dua bahagian besar yang dipisahkan oleh fahaman dan mazhab politik PAS dan Umno. Walaupun kedua-duanya Islam tetapi mereka diasingkan atau terasing dengan ideologi politik di mana ideologi politik dilihat berada di atas dari kepercayaan agama. Ini tidak termasuk lagi perpecahan-perpecahan kecil yang membentuk dari sukuan fahaman Islam yang tidak sekata dengan kedua kelompok besar itu, Umno dan PAS.


Suasana atau perbezaan yang tidak seharus berlaku ini menjadi masalah dan sekaligus menjadi penghalang.  Realiti ini boleh dilihat bila mana PAS ingin melaksanakan Islam syumul, Umno hanya menerima Islam sebahagian saja atau dari aspek atau juzuk-juzuk yang meyelesakan kehidupan atau menggemukkan amarah mereka. Dalam soal menamakan Islam pun wujud perbezaan di antara PAS dengan Umno. Umno kata Islam Hadhari (kini tukar kepada Islam Wasatiyah) Pas kata Hadarah Islamiyah. Dari sudut bahasa dan istilah pun masih belum berlaga.


Perbezaan dan ketidaksekata inilah yang menjadi penghalang dan dosa-dosa terhijab yang menyulitkan kepada pembentukan Islam syumul di Malaysia.


Hanya berdasarkan kepada dua faktor ini saja meletakkan sukar untuk Malaysia mewujudkan Tahrir Squarenya sendiri. Selain itu sedar atau tidak, bahawa mereka tidak beragama Islam terus berjuang menghalang tertegaknya Islam di negara ini. Golongan ini menyelit menjadi kawan baik dengan Islam menerusi parti-parti politik atau persepakatan politik yang tidak memberi untung dari konteks agama.


Selain dari perbezaan itu masih ada perbezaan lain yang tidak mudah untuk berlakunya kebangkitan seperti di Medan Tahrir itu. Seperti diketahui sistem ekonomi dan politik di Mesir sudah lama menekan rakyat bawahan. Penekanan itu sudah sampai peringkat zalim yang perlu diperangi hatta sampai nyawa tergadai. Kadar kemiskinan dan kemeranaan hidup rakyat begitu teruk sekali. Manifestasi kezaliman Firaun yang memerintah Mesir kuno telah terbawa ke zaman Mesir moden.

Kerajaan moden Mesir tidak ada program untuk memajukan rakyat seperti mana berlaku di Malaysia. Pembangunan tanah, DEB, pendidikan dan sebagainya tidak diwujudkan di Mesir. Berlainan di Malaysia, kerajaan melakukan apa saja terfikir untuk memajukan rakyat. Dalam kata lain kepedulian kepada rakyat dan nasib rakyat ada di sini tetapi tidak di Mesir.


Justeru tahap kemarahan rakyat negara ini kepada kerajaan kerana kemeranaan dan kemelaratan hidup tidak sampai seperti di Mesir. Rakyat di Malaysia masih boleh berbangga bahkan pencapaian kemajuan infrastruktur dan sistem pentabdiran jauh lebih baik dari Mesir. Realiti ini sekali lagi akan tidak menjadi faktor penyebab untuk rakyat bangkit seperti di Medan Tahrir itu atas asas-asas dan faktor yang berlaku di Mesir.


Tegasnya berdasarkan kenyataan dan suasana itulah maka saya berpandangan pembangkitan seperti di Medan Tahrir itu tidak mungkin akan berlaku di Malaysia ini. Kita hanya boleh mengangan-angankan tetapi tidak boleh mengharap ia akan berlaku. Kalau pejuang Islam termasuk PAS di Malaysia menunggu akan berlakunya kebangkitan seperti di Medan Tahrir itu, ia satu penungguan yang sia-sia sahaja persis mengharapkan air dari fotomargana. Melainkan sudah ada penyatuan zahir dan batin dari kalangan umat Melayu dan Islam dari semua cabang ideologi politik, dari semua aliran dan mazhab barulah kita akan menerima natijah seperti dari gelora di Medan Tahrir itu. - http://www.msomelayu.blogspot.com/

Import makanan, BN perjudi keselamatan rakyat

Dr Azman Ibrahim, 27 Jun 2012
Jawapan Timbalan Menteri Pertanian di Parlimen kelmarin yang menyatakan bahawa negara kita telah membelanjakan sejumlah RM221.81 bilion sejak 10 tahun lalu bagi tujuan pengimportan bahan-bahan makanan adalah suatu bukti jelas kegagalan kerajaan BN menjana pengeluaran sumber makanan dalam negara.


Pergantungan keterlaluan negara kita kepada sumber bahan-bahan makanan yang diimport, menghadirkan hakikat yang kita tidak sedari, bahawa ia adalah juga ancaman kepada keselamatan rakyat dan survival kehidupan mereka.

Fenomenanya jelas, sebarang bencana alam yang berlaku kepada negara lain akan turut memberi kesan kepada negara kita. Banjir di Thailand tetapi orang kita juga tumpang susah. Bukan setakat menyebabkan harga beras meningkat, malah berlaku juga kenaikan harga sayur-sayuran, ayam dan ikan.  Semua ini disebabkan kita masih bergantung kepada sumber makanan dari  luar khususnya negara jiran.

Bayangkan jika negara-negara yang menjadi tempat kita bergantung import makanan selama ini menghadapi bencana serentak - banjir, ribut, kemarau panjang, gempa bumi atau terlibat dalam kancah peperangan.  Krisis makanan tentulah akan memuncak dan mampukah bekalan yang dihasilkan di dalam negara untuk menyuap mulut rakyat kita seramai 28.6 juta dan pendatang asing seramai 2.3 juta?

Dalam suatu lagi kemungkinan, bagaimana jika negara kita pula yang dikenakan sekatan ekonomi yang akan menghentikan sebarang urusan perdagangan dengan dunia luar sebagaimana yang pernah menimpa Iraq, akan kebulurankah rakyat kita?

Ahli hikmat ada berkata, ketika saat ketiadaan bekalan makanan, mereka yang mempunyai stok makanan adalah orang yang paling kaya. Lebih kaya dari mereka yang mempunyai emas berbongkah-bongkah. Lihatlah dalam sejarah, bagaimana pengeluaran sumber makanan Negara Mesir yang dirancang dan dilaksanakan dengan begitu bijak oleh Nabi Yusof a.s sehingga kemarau panjang selama 7 tahun tidak menyebabkan rakyatnya kebuluran malah mampu untuk membantu menyuap mulut rakyat negara-negara berdekatan. Beginilah Islam mengambil berat dengan keperluan asasi rakyat.

Di manakah silapnya sistem pertanian kita. Dengan keluasan dan kesuburan muka bumi anugerah Allah, berbilion ringgit peruntukan tahunan, sungai-sungai yang membelah daratan membentuk dataran yang subur, rakyat yang sedia membanting tulang, tetapi pertanian kita belum lagi mencapai tahap sara diri apatah lagi untuk dieksport.

Dengan kata lain, kerajaan telah gagal! Hujahnya, Malaysia telah membelanjakan sejumlah sekitar RM22 bilion setiap tahun untuk mengimport keperluan makanan seperti sayur, ikan, gandum, tepung, susu, koko, teh, daging, ubi kentang, bawang serta buah-buahan. Jumlah import beras dari Thailand sahaja mencecah 307,000 tan metrik setahun.

Bolehkah kita menerima alasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pertanian bahawa kebanyakkan komoditi yang diimport adalah tidak ekonomik untuk dihasilkan dalam negara berikutan kos pengeluaran tinggi. Kalau Negara asal  di mana sumber komoditi itu diimport boleh menghasilkannya dengan kos pengeluaran yang rendah, kenapa kita tidak boleh?

Budak sekolah pun boleh faham sifir ini. Hasil yang kita tanam dan ternak sendiri sudah tentu lebih murah berbanding kita beli dari orang lain! Dulu pun ada kempen di pihak kerajaan yang menggalakkkan rakyat menanam sendiri sayur-sayuran di sekeliling rumah mereka untuk kegunaan sendiri agar ianya boleh membantu mengurangkan kos hidup seharian. Memang ini menepati kaedah, penghasilan sendiri lebih menjimatkan kos!

Ada isu besar yang perlu diteliti. Di Terengganu contohnya, masih banyak tanah sawah terbiar tanpa dapat diusahakan lantaran masalah infrastruktur seperti pengairan. Ada projek-projek yang dikira boleh menghasilkan sumber makanan negeri seperti projek ternakan kambing kaprima Telaga Papan Setiu, projek ternakan ikan dalam sangkar Zon Industri Akuakultur Tasik Kenyir, Projek tanaman kelapa pandan di Rhu Tapai semuanya gagal walaupun ratusan juta ringgit telah dibelanjakan.

Wang peruntukan lesap tapi di mana kambing, ikan dan kelapa pandan? Gahnya bunyi genderang projek dengan sasaran hasilnya akan dieksport, akhirnya melopong! Belum disebut lagi projek tanaman strawberi yang namanya pun dah dilupakan orang. Terkini projek udang Setiu. Sasarannya juga untuk dieksport sebagaimana Mat Said pernah bercita-cita untuk mengeksport kelapa pandan dari Rhu Tapai ke Jepun!

Belanda, sebuah negeri bersaiz kecil, muka buminya pula berada di bawah paras laut tapi mampu menjadi antara negara pengeluar sumber makanan dunia, walaupun di sana Umno tak dikenali…

Penulis ialah Pengerusi Lujnah Pengguna PAS Terengganu.

Subhanallah...Sujud syukur di lebuhraya

Harakahdaily, 27 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Sebaik menerima berita kemenangan Dr. Mohamed Mursi (Presiden baru Mesir), mereka memberhentikan kereta lantas sujud tanda syukur di atas anugerah Allah.

Menurut seorang Imam yang baru pulang dari Mesir, beliau melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana lebuhraya yang beliau lalui dari ibu kota ke lapangan terbang Kaherah penuh dengan kereta berhenti.

Dan mereka berhenti bukan untuk membuang air kecil tetapi sujud syukur atas pengesahan kemenangan Dr Mohamed Morsi sebagai Presiden baru Mesir.

"Ikhwanul Muslimin menang pilihan raya ini selepas 40 tahun berdakwah untuk menyedarkan rakyat Mesir kepentingan politik dalam Islam," kata beliau kepada Harakahdaily.

Imam ini meninggalkan rumahnya kira-kira jam 1 tengahari menuju lapangan terbang walaupun penerbangannya dari Kaherah ke Kuala Lumpur hanya pada jam 11 malam.

"Namun kerana bimbang jalan jam, saya keluar awal. Bila sampai tengah jalan dalam jam 3.15 waktu Mesir, saya lihat banyak kereta berhenti dan penumpang serta pemandunya sujud di atas jalan raya itu.

"Barulah saya sedar, mereka membuat sujud syukur atas kemenangan Dr Mursi secara rasmi," katanya


Dr Mursi diumumkan menang pilihan raya presiden Mesir kira-kira jam 10.30 malam waktu Malaysia Ahad lepas.

Kemenangan beliau diisytiharkan secara rasmi selepas seminggu pilihan raya itu selesai.

Kira-kira sejuta penyokong beliau berkumpul di Dataran Tahrir berkumpul bagi memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir mengumumkan Morsi sebagai pemenang kerana kiraan yang dibuat oleh Ikhwan sudah menunjukkan Morsi menang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan