Jumaat, 18 Mei 2012

SAMAN JANGAN TAK SAMAN...PERBUATAN YANG MELAMPAU...CUAI DALAM MENAPIS TAJUK...ATAU MENGUJI KEKUATAN...JUANG ABIS2AN...KELUAR DARI YANG TAK IKUT SYARIAT ITU WAJIB...MEMILIH YANG LEBIH BAIK MEMANG DITUNTUT....

Bapa Kafir: Saman terhadap NST minggu depan

Harakahdaily, 18 Mei 2012


(Laporan NST yang mendakwa Nik Aziz bapak kafir)

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantar notis saman kepada semua yang terlibat dengan laporan berita 'Nik Aziz father of kafir'.

Saman pula akan difaikan minggu depan terhadap mereka yang terlibat di New Strait Times dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor.

Saman itu dibuat ekoran kegagalan kedua dua pihak memohon maaf dan menarik balik tuduhan terhadapnya sebagai “bapa kafir” dalam tempoh yang diberikan.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan Hisham Fauzi (gambar) berkata, pihaknya kini sudah menyiapkan sepenuhnya dokumen dan dijangka memfaikan saman tersebut Isnin depan.

"Minggu depan kita akan faikan saman terhadap kedua-dua pihak tersebut, dan kita jangka ianya boleh dibuat Isnin ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Sebelum ini, pihaknya telah memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara terbuka kepada Tuan Guru Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu.

Bagaimanapun tiada sebarang respon daripada Rahim malah beliau tampil menafikannya pula.

Isnin lalu pula, pihaknya menghantar notis saman kepad NST dengan memberi tempoh 48 jam untuk akhbar milik Umno itu memenuhi tuntutan.

Selain New Straits Times (NST), notis saman itu turut menamakan Ketua Editor NST serta tiga orang wartawan yang terlibat dengan berita itu iaitu Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean dan Nik Imran Abdullah.

Notis itu antara lain menuntut NST menyiarkan penarikan balik dan permohonan maaf di muka hadapan akhbar itu, manakala enam kali dalam muka yang lain.

Mereka juga menuntut disiarkan satu muka penuh sama permohonan maaf itu di akhbar Berita Harian ataupun Utusan Malaysia.

Selain itu, turut dituntut bayaran RM1 juta sebagai gantirugi penyelesaian luar mahkamah.

Naib Ketua Pemuda Umno Kampar keluar parti

Muhammad Faeez, 18 Mei 2012

(Nizar dan Sivakumar hadir semasa Zamhuri (tengah) mengisytiharkan keluar Umno.)

BATU GAJAH: Naib Ketua Pemuda Umno Kampar, Zamhuri Md Zin hari ini mengisytiharkan dirinya keluar parti dan tidak mahu lagi dikaitkan lagi dengan parti itu.

Tindakan tersebut adalah disebabkan parti yang telah memerintah lebih 50 tahun itu gagal menjaga orang melayu dan tidak lagi releven.

“Saya hari ini mengisytiharkan keluar Umno setelah lebih 27 tahun bersama parti itu,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, rasuah di dalam pertadbiran Barisan Nasional amat berleluasa dan ditahap yang membimbangkan.

Beliau yang juga seorang pengusaha pasir telah ditipu dan dinafikan haknya setelah membayar cukai dan premium kepada kerajaan.

“Saya bayar cukai RM20,125 seperti prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan tetapi apa yang saya dapat hanya tanah liat, bukannya pasir,” ujarnya.

Ahli Majlis Daerah Kampar itu sangat kesal dengan tindakan kerajaan yang menganiaya serta menindasnya sedangkan beliau adalah ‘orang kuat’ menyokong kerajaan.

“Nak bagi rasuah, ajak makan, pergi karaoke, bagi amoi dari Siam barulah nak bagi luluskan pasir, dan Ketua Umno Bahagian, Datuk Radhi Manan sebentar tadi menelefon dan mengatakan pasir yang dipohon sudah diluluskan.

“Sudah terlambat, saya tetap dengan pendirian saya akan keluar umno dan saya tidak akan toleh ke belakang.

“Dah lama saya bersabar dan hari ini saya tekad keluar Umno dan bersama-sama Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Zamhuri yang juga Ketua Cawangan Umno Changkat Tin menyatakan bahawa lebih 100 ahli di cawangannya akan mengikut jejak langkah beliau.

Sementara itu, mantan Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamaluddin ketika bersama-sama dalam pengisytiharan itu mengalu-alukan hasrat beliau.

Mohammad Nizar menjelaskan, di zaman pemerintahan Pakatan Rakyat selama 11 bulan, Zamhuri pernah memohon pasir dan diluluskan.

“Walaupun dia Umno tetapi Pakatan Rakyat luluskannya kerana itu hak dia sebagai penjual pasir.

“Kalaulah orang kuat Umno pun mereka tidak boleh tolong, inikan lagi orang Pakatan Rakyat.

Justeru, beliau menyeru ahli Umno yang lain turut bersama-sama mengikut jejak langkah Zamhuri dan menyertai perjuangan Pakatan Rakyat.

Hadir sama dalam pengisytiharan tersebut ialah Adun Tronoh, V Sivakumar serta penyokong Pakatan Rakyat.

SMM dan perjuangan gerakan mahasiswa

Masturah Abu Bakar,
Terlibat dengan gerakan mahasiswa selama menjadi mahasiswa menjadikan saya membina pandangan alam yang lebih luas. Gerakan mahasiswa bukan saja terdedah kepada politik nasional secara langsung, bahkan entiti ini harus mendepani cabaran-cabaran untuk terus membina gelombang rakyat. Membaca tulisan-tulisan 'pemerhati dan penganalisa politik' gerakan mahasiswa membuatkan tulisan ini hadir sebagai individu yang terlibat secara langsung dengan entiti ini.

Pandangan 'luar ke dalam' sebenarnya sangat diperlukan memandangkan gerakan ini bukanlah gerakan yang sempurna. Kritikan sama ada ia membina atau menjatuhkan menjadi elemen semak imbang gerakan. Namun amat memalukan jika pemerhati dan penganalisa politik mempunyai maklumat yang dangkal dan menulis atas persepsi sahaja. Menulis biarlah didasari tradisi keilmuan, kajian dilakukan dengan turun padang, mengobservasi secara langsung. Ia lebih tepat dan berkualiti.

Sejarah dan cabaran gerakan masa kini

Suatu perkara yang menjadi kewajipan mereka yang menganalisa entiti ini ialah dengan mengaitkannya dengan sejarah. Gerakan mahasiswa dengan latarbelakang historikal yang mencengkam sejarah negara dengan sendirinya membina cabaran yang harus didepani gerakan mahasiswa masa kini.Hakikatnya, ramai orang ternanti-nanti aksi yang lebih hebat daripada demonstrasi Baling ,gerakan manifesto mahasiswa 1969 atau paling kurang mencipta satu badan yang independent seperti University Malaya Student Union(UMSU).

Penganalisa politik gerakan mahasiswa kebanyakannya cenderung untuk membanding-bandingkan gerakan mahasiswa hari ini dengan lagenda sebelum mereka. Namun keberjayaan SMM dalam menerajui gelombang rakyat ini sedikit sebanyak menampakkan hasil. 

Kronologi perjuangan SMM (Sepanjang 2011 - April 2012)

Bermula dengan inisiatif SMM menubuhkan Gerakan Mahasiswa Selamatkan Rakyat(GMSR) dengan kempen Anti Politik Lucah, SMM membuat Jelajah Mahasiswa ke Seremban menaiki komuter(KTM). Slogan seperti "Mahasiwa tolak politik lucah", "Tolak budaya fitnah" dan "tolak politik wang" dipamerkan kepada awam. Walaubagaimanapun jelajah ini berakhir dengan tangkapan 8 orang mahasiswa di KL Sentral oleh pihak Polis.


Di bawah GMSR, kempen Sokong Media Alternatif dibentuk. Kempen ini melibatkan semua media alternatif utama dengan tujuan untuk mengalihkan sumber maklumat masyarakat daripada bergantung kepada media arus perdana semata-mata.

GMSR kemudiannya melancarkan kempen Anti Lynas. GMSR menyatakan bantahan terhadap pembinaan kilang oleh Lynas bersama-sama gerakan seperti STOP LYNAS, BADAR dan NGO lain yang turut membantah. Aktivis-aktivis gerakan mahasiswa, turun padang bersama-sama rakyat di Gebeng, Kuantan, berbincang dengan pemimpin rakyat di sana, membuat kajian respon rakyat, mengadakan pencerahan, ceramah, edaran risalah dan lain-lain.

SMM memacu lebih kehadapan dengan menubuhkan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik(BEBAS) susulan daripada beberapa isu sekatan yang dibuat kepada ahli akademik dan mahasiswa termasuklah isu Dr. Abdul Aziz Bari, bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM). Pelancaran  BEBAS pada 22 November 2011 ini menyaksikan rentetan aksi yang lebih agresif daripada mahasiswa. Usaha pencerahan seperti perbincangan, memorandum, meja bulat, forum, wacana, ceramah, diskusi, edaran risalah dan debat digiatkan menjelang Himpunan Kebebasan Akademik pada 17 Disember 2011. Flash Mob BEBAS pada 27 November dengan tujuan pencerahan kepada masyarakat awam berkenaan kebebasan akademik akhirnya menjadi kecoh apabila lebih 17 orang mahasiswa ditangkap di KL Sentral.

Aktiviti kemuncak BEBAS, himpunan menuntut Kebebasan Akademik berjalan dengan aman tanpa sekatan polis. Seramai 300 mahasiswa turun ke jalanan membawa sepanduk dan kain rentang menuntut kebebasan akademik. Kami berarak daripada Masjid Jamek hingga ke Sogo, berpidato, kemudian kembali berarak menuju ke PWTC. Di sinilah tercetusnya sejarah baru gerakan mahasiswa yang mencetuskan gelombang besar.

Adam Adli, mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI) di dalam himpunan di PWTC bertindak menurunkan bendera Perdana Menteri dengan tujuan menaikkan bendera BEBAS seiring dengan menaikkan bendera Perdana Menteri. Tindakan ini kemudiannya mendapat reaksi pelbagai pihak, tersebar di media arus perdana yang kemudiannya dibaca oleh masyarakat di seluruh negara. Tindakan ini dikecam hebat oleh ahli UMNO dalam kenyataan mereka, video rakaman yang disebar di Youtube, laman-laman sosial Facebook dan Twitter. Tidak kurang hebatnya, tindakan Adam Adli mendapat sokongan parti politik Pakatan Rakyat, mahasiswa-mahasiswa, pensyarah dan NGO yang menunjukkan solidariti sokongan.

Peristiwa ini mencetuskan gelombang baru apabila nama SMM mula dikenali oleh masyarakat di pelbagai peringkat. Bermula dengan peristiwa 'turun bendera' ini, SMM berpeluang menjelajah seluruh negara memberi pencerahan kepada masyarakat. SMM yang diterajui nama-nama figura anak muda seperti Ahmad Syukri Abd Razab(Pengerusi SMM), Safwan Anang(Pengerusi BEBAS), Syahid Zaini(YDP MPMUM), Adam Adli(Pengerusi Legasi Mahasiswa Progresif) dan aktivis-aktivis lain turun ke Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan seluruh Lembah Klang.

Kesan daripada tindakan menurunkan bendera, Adam Adli dijatuhkan hukuman tatatertib, digantung tiga semester. Rentetan daripada ini, SMM membuat keputusan untuk membuat himpunan di hadapan UPSI menuntut supaya universiti itu menarik semula hukuman. Tanggal 31 Disember, malam tahun baru, menyaksikan tragedi berdarah UPSI. Safwan Anang, Pengerusi BEBAS cedera dibelasah oleh Polis dengan ditendang di perut dan ditumbuk di mulut. Ammar Ismail, aktivis mahasiswa daripada Universiti Malaya turut tercedera di kepala akibat terkena cermin pintu ketika pergelutan di Klinik swasta berdekatan UPSI. 21 aktivis mahasiswa ditangkap termasuklah majoriti besar figur-figur SMM dalam OPS-Solidariti yang dilakukan oleh pihak Polis.

Persitiwa ini memberi kesan besar kepada gerakan mahasiswa. Kebangkitan rakyat yang menyokong gerakan anak muda mula bersinar. Usaha yang mengambil proses yang lama sedikit sebanyak memberi kesan dalam proses sosialisasi politik rakyat. Usaha ini silih berganti, memenuhi hari dan minggu tanpa henti.

Selepas kontroversi Tragedi Berdarah UPSI, Isu PTPTN mengambil tempat. Setelah lebih dua bulan menyelesaikan isu-isu sekitar Tragedi Berdarah UPSI dengan tumpuan kepada memberi pencerahan berkenaan isu ini, SMM kembali mengatur perancangan baru. Konsekuensi kepada BEBAS adalah gerakan Malaysia Bangkit yang merupakan gerakan gabungan anak muda yang membawa 9 tuntutan ke arah Malaysia yang lebih sejahtera. Umumnya, gerakan ini merupakan gerakan yang lebih bersifat perjuangan kolektif dengan membawa isu-isu seperti hentikan rasuah, pilihanraya bersih, mansuhkan ISA dan AUKU, media yang bebas dan lain-lain termasuklah tuntut penghapusan PTPTN.

Isu PTPTN yang menjadi isu yang lebih dekat dengan kebanyakan rakyat ketika itu diangkat menjadi prime-issue Malaysia Bangkit. Isu ini juga hangat diperdebatkan di pentas politik, ahli akademik dan masyarakat awam. Selepas pelbagai perbincangan dan rundingan meja bulat, SMM akhirnya membuat keputusan untuk mengadakan himpunan menuntut mansuh PTPTN. Pada 14 April 2012, lebih kurang 1000 peserta himpunan hadir yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang berhimpun di Masjid Jamek, berarak ke Sogo dan berakhir di Dataran Merdeka. Bermula 14 April, SMM kemudiannya meneruskan bantahan dengan pekhemahan 14 hari di Dataran Merdeka yang mendapat perhatian ramai pihak. Sumbangan yang bertalu-talu di tapak perkhemahan oleh orang ramai, ceramah, diskusi dan wacana memeriahkan perkhemahan hingga peristiwa kemuncak 28 April, Bersih 3.0.

Penubuhan gerakan-gerakan yang bervariasi oleh SMM tidak harus dilabel sebagai tidak konsisten, namun ia adalah konsekuensi dalam usaha memperjuangkan suara rakyat secara kolektif. Mencatat peristiwa-peristiwa secara teks ini sesuatu yang mudah. Tetapi membacanya dengan konteks adalah sesuatu yang tidak mudah. Saya tinggalkan catatan ini sebagai teks sejarah dan ulasan sebagai bacaan konteks sejarah. Moga-moga ia menjadi sumber maklumat para pemerhati dan penganalisa politik gerakan mahasiswa di luar sana dan juga sebagai rujukan generasi akan datang.

Kebijakan aksi menjadi tumpuan

Berdiri di pentas nasional sama seperti menjadi aktor politik. Bukan semata-mata dalam lingkungan ahli politik dan politik kepartian, jauh daripada itu SMM hakikatnya menerajui gerakan masyarakat sivil dalam ruang awam. Dalam hal ini, tentulah segala aksi, kenyataan respon atau apa saja keputusan yang dibuat oleh SMM menjadi tumpuan masyarakat. Hal ini merupakan cabaran buat entiti ini untuk mempamerkan segala kebijakan politik yang bebas, substansial, intelek dan tepat. Kesalahan-kesalahan dalam ijtihad dan aksi menjadi tumpuan khususnya buat golongan yang anti gerakan mahasiswa vokal sebegini.

Dalam menerajui gerakan, tindakan-tindakan seperti turun bendera, kalungan bunga dan adab dalam demonstrasi menjadi perhatian perdana. Secara tidak sedar, isu sebegini mengalih tumpuan masyarakat kepada tuntutan yang lebih utama. Kempimpinan dan akivis gerakan mahasiswa perlu lebih berhati-hati menangani isu sebegini. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, isu-isu sebegini perlukan kebijakan strategi politik. Saya tidak nafikan kadangkala isu-isu kecil seperti adab dalam himpunan dianggap remeh oleh kepimpinan gerakan mahasiswa. Berhati-hati dalam ini juga harus diteliti supaya ia tidak menjadi lubuk serangan musuh. Slogan-slogan yang tidak munasabah, yang tidak menggambarkan matlamat himpunan dan yang bertentangan dengan nilai-nilai moral harus dibuang. (Saya sangat tidak suka slogan "Hancur Rosmah" diguanakan kerana ia tidak ada kena mengena pun dengan matlamat himpunan.)

Kepelbagaian dalam gerakan

Peningkatan sokongan dan partisipasi terhadap SMM membuka suatu ruang baru kepada penyertaan aktivis-aktivis di dalam SMM. Kalau dahulu SMM hanya didominasi oleh aktivis mahasiswa dari Universiti Malaya, atau mereka yang berlatarbelakangkan islamic student movement(GMI), kini SMM makin berkembang. Perkembangan ini dengan sendiri mencipta cabaran yang besar seperti juga perkembangan yang dialami oleh Islam dahulu. Ideologi dan latarbelakang yang pelbagai mungkin merupakan suatu peluang besar buat SMM dalam mewacanakan gerakan.

Namun apa yang harus menjadi tanggungjawab SMM ialah untuk mengekalkan prinsip tradisi gerakan mahasiswa iaitu intelektualisme, idealisme dan aktivisme. Apa yang saya risaukan ialah partisipasi dalam perjuangan SMM hanya didasari oleh semangat bukan dengan ilmu yang mendalam. Aktivis-aktivis perlu didedahkan kepada latihan-latihan pembangunan untuk aktivis yang memberi pencerahan berkenaan apa itu perjuangan gerakan mahasiswa agar kita tidak dilihat tergelincir dari matlamat yang sebenar.

Kesimpulan

Kepada aktivis gerakan mahasiswa, hakikatnya proses memahamkan masyarakat mengambil masa yang panjang.  Iklim politik, ekonomi dan sosial yang mencipta cabaran yang lebih besar meletakkan suatu keperluan kepada SMM untuk menjadi gerakan yang lebih dinamik. Kebijakan aksi, elemen intelektual, keberanian melawan kezaliman, pasakan kefahaman kepada aktivis perlu diberi perhatian. Kepada para pemerhati dan penganalisa politik SMM, gerakan ini harus dikaji secara holistik dan menyeluruh. Sisi negatif atau positif dalam kritikan itu hanya hadir sebagai outcome kepada kajian dan observasi yang bijaksana.

Penulis ialah mahasiswa tahun akhir Jabatan Sains Politik Islam, Universiti Malaya dan aktivis Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

PAS anjur Ekspresi Hijau Anak Muda ke Putrajaya

Harakahdaily, 18 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan menganjurkan satu program anak muda besar-besar yang dipanggil “Xpresi Hijau Anak Muda ke Putrajaya”.

Program itu akan diadakan pada 1 Jun depan bertempat di Stadium Darul Aman Kedah bermula jam 4.00 petang sehingga ke 7.00 malam.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, program tersebut merupakan program mega Dewan Pemuda PAS Malaysia sebagai kesinambungan Bersih 3.0 baru-baru ini.

“Xpresi Hijau Anak Muda Ke Putrajaya ini adalah antara projek fasa akhir Dewan Pemuda PAS Malaysia menjelang pilihanraya umum ke 13 pasca Bersih 3.0.

"Ia juga merupakan kesinambungan kebangkitan anak muda yang ditonjolkan ketika BERSIH 3.0 sebelum ini," katanya.

Manurut Nasruddin lagi, himpunan itu juga adalah bagi mengembeleng anak muda seluruh negara dan memimpinnya agar berjuang bersama PAS untuk menegakkan cita-cita perjuangan Islam  melalui tawaran induk PAS iaitu Negara Berkebajikan.

Selain penampilan pimpinan parti, program tersebut juga bakal menampilkan ikon anak muda seperti Ustaz Azhar Idrus, Bob Lokman dan ramai lagi.

Selain itu, Nasruddin dijangka akan mengetuai konvoi motosikal berkuasa tinggi dari Kuala Lumpur ke tempat program itu nanti.

Potong gaji: Pakatan sedia ikut jejak Perancis

Salmiyah Harun, 18 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat bersedia mengikut jejak langkah pimpinan baru Perancis, Francois Hollande yang mengarahkan Perdana menteri dan menterinya memotong 30 peratus gaji, apabila berjaya mengambil alih Putrajaya.

Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, tidak salah untuk pimpinan Pakatan Rakyat menunjukkan komitmen kepada rakyat dengan memotong gaji mereka.

"Tidak ada masalah, sama ada kita potong beberapa peratus untuk menyatakan komitmen kita pada rakyat, bergantung pada keadaan pada waktu itu," katanya kepada Harakahdaily.

Malah, katanya, sikap pimpinan Pakatan Rakyat hari ini sudah membuktikan mereka mampu melaksanakan usaha, apabila menolak syor kerajaan menaikan gaji ahli parlimen.

"Bila Najib umum naikkan gaji wakil rakyat, kita di kalangan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menolak kenaikan itu pada masa ini kerana lebih utamakan bajet itu untuk rakyat," katanya.

Jelasnya, penolakan itu sebagai contoh kesungguhan Pakatan Rakyat apabila peruntukan kenaikan pangkat sebanyak RM30 juta  dimanfaatkan untuk rakyat sebaiknya.

Mujahid turut menyokong usaha kerajaan pimpinan baru Perancis dari kerajaan Sosialis, Francois Hollande dalam mesyuarat pertamanya sebagai langkah untuk menangani ekonomi negaranya.

"Saya amat menyokong usaha itu. Kerajaan Perancis tunjuk contoh yang baik, mesyuarat pertama terus arah potong gaji.

"Inilah pemimpin yang kita suka, amat mulia seorang pemimpin melihat keperluan rakyat lebih diutamakan," katanya.

Perdana Menteri Perancis, Jean-Marc Ayrault sebelum itu berkata, agenda utama mesyuarat pertama kabinetnya adalah mengenai potongan gaji yang menjadi salah satu janji pilihan raya sekali gus menjadi contoh kepada Perancis.

Langkah itu, sebagai usaha menangani masalah hutang negara selain,  bertujuan bagi menunjukkan perbezaan di antara gaji yang diterima Hollande dan bekas Presiden, Nicolas Sarkozy yang sebelum ini menerima pendapatan 19,000 euro (RM75,241) sebulan.

Hero senaman punggung mengaku beli 'datuk'

Harakahdaily, 18 Mei 2012


(Senaman 'punggung' di depan rumah Datuk S Ambiga)


KUALA LUMPUR: Siapakah sebenarnya tokoh di belakang 'senaman punggung' di depan rumah Datuk S Ambiga kini menarik perhatian ramai kerana beliau juga mengeluarkan fatwa air '100 plus' haram untuk orang Islam.

"Kami orang Islam tak minum air ni, kami minum air suam sahaja," kata Mohd. Ali Baharom kepada Ambiga.

Beliau mengetuai sekumpulan bekas tentera membuat senaman 'punggung' di depan rumah pemimpin Bersih itu baru-baru ini.

Jawapan itu diberikan Ali ketika menjawab tawaran air tin '100 Plus' oleh Ambiga selepas kesemua mereka kelihatan letih membuat senaman itu di depan rumahnya.

Rupanya, Mohd. Ali (gambar) jugalah salah seorang yang membeli gelaran 'datuk' untuk dipakainya sebelum ini.

Pengakuan ini dibuat beliau dalam akhbar Umno, Utusan Malaysia pada 12 Januari 2011 lalu.

Dalam berita itu, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), (Datuk) Mohd. Ali Baharom itu memohon maaf kepada semua pihak yang mengenalinya dengan gelaran ‘Datuk’ sebelum ini kerana ia sebenarnya palsu dan tidak diperakukan.

Menurutnya, kesilapan itu perlu diakui dan diperbetulkan segera memandangkan beliau kini bergiat aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan tidak mahu ia disalah anggap pada masa depan.

“Hari ini saya mahu membersihkan nama saya dengan memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak termasuk media kerana menggunakan gelaran ‘Datuk’ yang telah saya ‘beli’ pada 2006 dengan RM250,000.

“Selain untuk saya sendiri, saya juga membelikan gelaran ‘Datuk’ buat seorang lagi kawan dengan harga sama dan kos keseluruhan termasuk menyediakan hiburan kepada penjual adalah sekitar RM1 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Ali memakai gelaran itu yang kononnya dianugerahkan oleh institusi diraja dari sebuah negeri di bahagian utara Semenanjung pada 2006 menerusi seorang ejen dan ahli kerabat institusi itu.

(Mohd. Ali [tengah] ketika dalam satu majlis bersama anggota Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan)

Mohd. Ali memimpin 15 rakan-rakannya membuat senaman punggung dengan cara menonggengkan punggung mereka ke rumah Datuk Ambiga kerana membantah penglibatannya dalam Bersih.

Bagi Mohd. Ali, Ambiga tidak menghormati Perdana Menteri ketika menganjurkan perhimpunan Bersih yang dihadiri oleh lebih 250,000 orang yang kebanyakannya anak muda itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan