Isnin, 21 Mei 2012

HAI BERCAKAP MACAM ORANG LUAR AJE...MACAM BUKAN MENGANGGOTAI MANA2 PARTI JE...LAIN AJE BUNYINYA..

Fauzi, bekas pengarah PDRM sertai Pas
Ismaniza Ahmad
20 Mei 2012
Fauzi (kiri) menyerahkan borang keahlian kepada Abdul Hadi sambil diperhatikan oleh Mohamad Sabu.
Fauzi (kiri) menyerahkan borang keahlian kepada Abdul Hadi sambil
diperhatikan oleh Mohamad Sabu.
TAIPING - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari malam ini dengan rasminya menyertai Pas.

Borang keahlian diserahkan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Majlis Pengisytiharan Perdana Bekas Pegawai Tertinggi PDRM Sertai Pas di Taman Kota Wira, Ulu Sepetang di sini.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty dan Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain.

Penyerahan borang keahlian disaksikan kira-kira 5,000 penyokong Pakatan Rakyat.

AKAN MENYUSUL
Muzakarah: MCA persoal Nik Aziz

20 Mei 2012
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
KLANG - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mempersoalkan sama ada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mendapat persetujuan daripada rakannya dalam pakatan pembangkang iaitu PKR dan DAP untuk mengadakan muzakarah dengan Umno.

Beliau berkata, difahamkan PR  mempunyai satu ketetapan bahawa mana-mana dasar yang tidak dipersetujui bersama, tidak boleh menjadi dasar pakatan itu.

"Saya nak tanya adakah dia (Nik Aziz) dapat persetujuan daripada DAP dan PKR. Kalau tiada, ini bermakna kita tidak boleh pegang kepada apa yang diisytiharkan oleh pakatan pembangkang itu.

"Mereka akan berubah-ubah dengan harapan dapat meraih sokongan daripada rakyat," katanya pada majlis perjumpaan bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.

Beliau turut mempersoalkan bahawa jika tiada persetujuan daripada DAP dan PKR, adakah hasil muzakarah antara Pas dan Umno itu boleh diterima oleh anggota lain dalam pakatan itu nanti.

Mengenai peletakan jawatan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sebagai Naib Pengerusi DAP, Soi Lek berkata, beliau terkejut dengan tindakan Tunku Aziz yang mengambil masa lama untuk memahami DAP dan beliau seharusnya melihat perjuangan parti itu terlebih dahulu sebelum menyertainya.

Beliau berkata, DAP lebih bergantung kepada undi kaum Cina walaupun mendakwa ia adalah sebuah parti yang majmuk.

"DAP suka membidas Umno dan Barisan Nasional untuk segala isu yang melanda negara kita termasuk isu yang dicetuskan oleh DAP tetapi kalau kita perhatikan tidak ada calon DAP berani bertanding dengan Umno," katanya.

Justeru, Soi Lek berharap rakyat mengambil iktibar daripada pengalaman Tunku Abdul Aziz dan apa yang diperkatakan beliau bahawa transformasi yang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah lebih baik daripada demonstrasi.

Mengulas perkara lain, beliau berkata, selepas dua hari MCA menjelajah kawasan Sepang dan Banting, banyak aduan yang diterima daripada rakyat adalah berhubung janji kerajaan pakatan pembangkang yang masih tidak ditepati seperti projek tebatan banjir dan menaik taraf sistem perparitan di Klang.

"Rakyat juga mengadu tentang kos pembinaan rumah meningkat secara mendadak ekoran kadar premium yang terlalu tinggi. "Semalam, saya hadiri jamuan, ada seorang pemaju mengadu dahulu untuk lima ekar (dua hektar) dia  bayar RM80,000 (untuk premium) tetapi hari ini dia bayar RM800,000... sepuluh kali ganda," katanya. - Bernama
Muzakarah Umno-Pas patut diteruskan
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
20 Mei 2012
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
SAYA suka dengan idea muzakarah Umno-Pas. Sejak dahulu lagi saya menyokong hasrat itu. Berdialog, berbincang, berunding, cuba memahami antara satu sama lain adalah perlambangan manusia bertamadun.
Kedua parti besar itu mewakili rakyat kita yang sudah dan ingin bertamadun, maka adalah patut untuk mereka menzahirkan manifestasi ketamadunan itu dalam bentuk mampu berbincang apabila ada keperluan.

Maka di sini saya ingin sebutkan beberapa perkara yang saya lihat perlu diberikan perhatian dalam hasrat tersebut:

1. Asasnya, perbincangan ke arah meredakan permusuhan sesama muslim adalah ajaran Islam. Firman Allah: (maksudnya) “Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara keduanya; jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangilah puak yang melampau itu sehingga mereka kembali mematuhi perintah ALLAH; jika mereka kembali patuh, maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada ALLAH supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 9-10).

2. Banyak perkara negative dalam dilangsaikan melalui perdamaian perasaan sesama umat. Bisik-bisik tanpa asas yang benar di belakang, banyak menyebabkan keadaan yang lebih buruk. Firman ALLAH (maksudnya) “Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan ALLAH, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al-Nisa’: ayat 114).

3. Pemikiran bahawa salah satu parti akan mengalami kerugian sebelum perundingan ataupun muzakarah agak tidak kukuh. Sepatutnya, sebagai parti yang sudah lama dalam sejarah, keduanya mempunyai kemampuan untuk duduk berbincang secara matang dan mantap. Bahkan kesediaan mereka untuk duduk berbincang akan memberikan nilai yang positif di mata rakyat.

4. Perkara yang penting pada peringkat ini ialah membawa kedua pimpinan parti itu duduk dalam satu perbincangan dengan perasaan ukhuwwah yang berasaskan kepentingan umum melebihi kepentingan diri. Kejayaan untuk mereka duduk dalam suasana yang demikian adalah sesuatu yang besar.

5. Hendaklah dipastikan bahawa pertemuan kedua parti itu adalah atas hasrat kebaikan rakyat secara menyeluruh, bukan untuk kepentingan survival parti yang bersifat terhad. Pertemuan itu tidak sepatutnya memandulkan usaha-usaha baik kedua belah pihak. Ini seperti usaha-usaha transformasi di pihak Umno, dan usaha-usaha positif yang boleh membuka cara fikir rakyat di pihak Pas.
6. Perbincangan ataupun muzakarah itu bukan semestinya melakukan asimilasi politik yang akan menjadikan salah satu parti itu lebur ke dalam yang satu lagi. Jika itu berlaku, ia akan boleh menghilang ‘checks and balances’ dalam sebuah negara demokrasi. Itu tidak baik untuk rakyat. Sebaliknya peranan muzakarah mampu mengingatkan hakikat diri mereka semua tentang ukhuwwah islamiyyah, sekali gus mengembalikan nilai-nilai akhlak dan adab Islam apabila berbeza ataupun bersengketa.

7. Muzakarah itu tidak patut menjadi medan membahaskan kesalahan antara kedua parti kerana ruang itu sudah ada di Parlimen, sebaliknya keduanya hendak mencari ‘common ground’ antara kedua parti yang dapat memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara. Hakikatnya, sesiapa yang mendekati kedua parti ini, banyak ruang dari sudut naluri insani muslim yang sama ataupun hampir sama. Banyak hasrat dan cita yang sama. Banyak rasa yang sama. Banyak duka dan suka yang sama. Kebanyakan khilaf yang zahir disebabkan ‘perbuatan’ dalam politik dan pengurusan. Namun ruang untuk melihat persamaan masih ada.

8. Berjumpa, tersenyum, bersalaman dan nasihat menasihati dengan niat yang baik sentiasa mempunyai keberkatan dan rahmat. Ia melapangkan dada, mendatangkan hikmah dan menjadikan perasaan kita lebih dekat dengan Tuhan. Kemudian, setelah usaha ikhlas berlaku, keadaan masih tidak dapat dibaiki, semua pihak teruskan usaha yang baik yang sedia ada dan serahkan segala urusan itu kepada ALLAH. Pertemuan sekurang-kurang menjadi tanda di akhirat bahawa arahan ALLAH tentang perdamaian telah diusahakan dengan Ikhlas.

Saya rasa perasaan saya sama dengan rakyat biasa yang lain, mendoakan hasrat itu dapat dilihat dan direalisasikan dalam iklim politik yang matang.

* Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis dan kini Felo Pusat Pengajian Islam Oxford
Muzakarah platform terbaik, kata Mufti Perak
HASLINA KAMALUDIN
20 Mei 2012
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria
SHAH ALAM - Muzakarah antara Pas dan Umno perlu disegerakan dan tidak perlu ditangguhkan jika ia bertujuan demi kebaikan semua pihak terutama umat Islam.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, muzakarah adalah satu platform terbaik untuk meneliti dan menyelesaikan pelbagai masalah.

“Jangan melengah-lengahkan sesuatu yang baik. Jika tidak, ia mungkin akan melahirkan keadaan lebih parah. Segerakan perkara ini dan jangan tunggu hingga selepas pilihan raya,” kata beliau yang pernah menggerakkan inisiatif kerjasama politik Pas-Umno selepas Pilihan Raya Umum ke-12 empat tahun lalu.

Dalam perkembangan terbaru kelmarin, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau bersyukur apabila Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan persetujuan mengadakan pertemuan untuk memperbetulkan keadaan parti dan masyarakat.

Bagaimanapun, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pertemuan tersebut hanya akan dilakukan selepas Umno membetulkan sistem pilihan raya kerana beranggapan Umno tidak ikhlas dalam pertemuan tersebut.

Dalam pada itu, penganalisis melihat Pas seperti menghidup dan mematikan peluang bermuzakarah kerana menyedari dan bimbang Umno akan mendominasi sesi perbincangan itu nanti.

Pensyarah Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan berkata, sebagai langkah untuk memastikan perbincangan kedua-dua parti itu tidak berlangsung, Pas dilihat mengambil pendekatan dengan meletakkan syarat ketat kepada Umno sekiranya mahu bermuzakarah.

Menurutnya, tindakan Pas itu juga seolah-olah menggambarkan bahawa Umno tersasar dari perjuangan Islam.

“Mereka tidak mahu berbaik-baik dengan Umno sebab Pas menganggap mereka lebih kuat tanpa Umno,” katanya.

Pensyarah Kanan Kajian Komunikasi, Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir pula berkata, muzakarah antara Pas dengan Umno seperti yang digembar-gemburkan itu tidak akan berlangsung sama sekali.

Menurutnya, ia kerana sifat keterbukaan Pas untuk bermuzakarah dengan Umno itu sekadar gimik dan retorik politik semata-mata.
Nasharudin: Pas, Umno perlu berlapang dada jayakan muzakarah

20 Mei 2012
 Nasharudin Mat Isa
Nasharudin Mat Isa
BANGI- Bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa berkata pucuk pimpinan Umno dan PAS perlu berlapang dada agar kedua-dua pihak boleh bermuzakarah dan mengusahakan sesuatu untuk kepentingan ummah dan negara dalam semua aspek.

Beliau berkata jika kedua-dua parti besar dalam negara itu dapat duduk semeja untuk berbincang, banyak perkara akan dapat dihuraikan.

"Isu muzakarah ni saya rasa semua orang dah tahu pendirian saya. Saya antara yang mempromosikannya dari dulu lagi, kerana saya yakin bahawa untuk masa depan negara kita perlu mengurangkan politiking antara dua parti politik besar orang Melayu Islam di negara ini, bukan hanya untuk kepentingan orang Melayu Islam tapi juga untuk kepentingan negara.
"Walaupun syarat-syarat yang ditetapkan itu mungkin payah untuk diterima oleh tapi saya harap kepimpinan kedua-dua parti berlapang dada dalam mengusahakan sesuatu untuk kepentingan ummah dan negara dalam semua aspek," katanya yang ditemui pemberita pada majlis perkahwinan anak sulungnya di Bandar Bukit Mahkota, di sini hari ini,

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini mengeluarkan kenyataan bersetuju untuk PAS bermuzakarah dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Umno, yang menerima reaksi positif daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Nik Aziz kemudian meletakkan beberapa syarat untuk muzakarah itu termasuk perlu diadakan sebelum pilihan raya umum ke-13 dan Umno perlu menerima rakan pakatan PAS, iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat, serta menukar dasar kebangsaan
yang diguna pakai ketika ini kepada dasar Islam secara rasmi.

Mengulas mengenai pengharaman program yang melibatkan seorang pendukung gay, biseksual dan transeksual (LGBT), Irshad Manji di negara ini, Nasharudin berkata beliau amat menyokong tindakan itu.

"Kerajaan, NGO, rakyat dan semua pihak harus menolak apa saja program atau individu yang membawa pemikiran sedemikian kerana ini akan membawa kesan negatif kepada masyarakat kita," katanya.

Manji, 48, merupakan seorang Muslim berfahaman liberalisme, pluralisme dan feminisme dan dia merupakan pendukung LGBT di peringkat antarabangsa yang datang ke negara ini bagi melancarkan buku terbarunya bertajuk 'Islam, Liberty and Love'. 

Ditanya mengenai hasrat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mahu bertanding pada pilihan raya umum akan datang, Nasharudin berkata perkara itu bergantung kepada keputusan parti. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan