Rabu, 16 Mei 2012

GURU YANG BAIK IALAH YANG MURSYID...MENGIKUT SYARIAT...TIDAK MEMBUAT PERKARA2 YANG DILARANG ALLAH...KITA INI BERADA SISTEM SEKULAR...YANG BANYAK MEMBELAKANGI HUKUM...TERUTAMA MASALAH BERCAMPUR GAUL..MASALAH AURAT DLL...MOHONLAH KEAMPUNAN...

Tahniah guru, jasamu tidak dilupakan

Harakahdaily, 16 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 16 Mei: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan selamat Hari Guru bagi tahun 2012 kepada semua pendidik di negara ini.

“Syabas dan tahniah kepada para guru yang berterusan memberikan perkhidmatan dalam dunia pendidikan tanpa berasa lelah, jemu dan berputus asa bagi memastikan kecemerlangan akademik terhadap pelajar-pelajar setiap tahun,” kata Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, DPPM menyanjung tinggi segala pengorbanan yang dicurahkan oleh golongan pendidik dalam melahirkan generasi yang beriman, bertaqwa dan berharga dalam masyarakat.

Menurutnya, mereka umpama obor yang menerangi alam dengan ilmu dan hikmah yang mereka tebarkan.

“Tanpa mereka tiadalah semua golongan cendikiawan, cerdik pandai, pemimpin dan ahli politik hebat seperti sekarang. Sewajarnya peranan dan sumbangan mereka dimartabatkan setingginya,” katanya.

DPPM, ujarnya menekankan bahawa komitmen Pakatan Rakyat terhadap para pendidik amat tinggi dengan berusaha pembelaan yang sewajarnya kepada mereka.

Malahan, tambah beliau segala imbalan dari kerajaan pusat untuk guru-guru termasuk ura-ura tambahan tawaran oleh kerajaan sempena Sambutan Hari Guru adalah hasil daripada perjuangan PR melalui Buku Jingga.

Pakatan Rakyat juga, kata beliau lagi berusaha memastikan pendidikan percuma dinikmati oleh rakyat segenap peringkat dari peringkat bawahan sehinggalah ke peringkat tertinggi.

“Adalah diharapkan, tiada seorang pun rakyat tercicir dari menerima pendidikan sebagai asas dalam kehidupan.

“Semoga para guru dan pendidik terus membimbing ummah sebagai insan teladan dan terpuji sepanjang zaman,” ujarnya lagi.

Justeru, katanya DPPM mendoakan para pendidik sentiasa mendapat kemuliaan di sisi masyarakat dan mereka pula berusaha melipatgandakan dedikasi mereka dalam dunia pendidikan.


Selamat Hari Guru buat semua guru Mu’alim,
Mu’addib, Murabbi, Mursyid dan Muddaris.
Tanpa mereka kita tidak akan boleh membaca,
menulis dan menguasai ilmu.

Naik kereta pergi ke kota,
Pakai baju bermacam warna,
Tanpa guru siapalah kita,
Jasamu guru amat bermakna...

“Jadilah orang yang berilmu, atau menuntut ilmu,
atau mendengarkan ilmu, atau yang mencintai ilmu.
Dan jangan menjadi org yang kelima
(yakni bukan dari 4 golongan pertama),
maka kamu akan musnah”....



Guru Bangkit Memimpin Perubahan

Normala Sudirman, 16 Mei 2012
Sempena sambutan Hari Guru pada tanggal 16 Mei 2012, Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) ingin mengucapkan ” SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU” kepada warga pendidik di seluruh Malaysia.
Warga pendidik yang dihormati.

Sejarah telah membuktikan bahawa peranan guru dan pendidik amat besar dalam mengubah lanskap politik negara sejak sebelum merdeka lagi yang membabitkan kelompok guru-guru pondok, guru-guru agama, guru-guru sekolah kebangsan Melayu dan sebagainya. Gerakan mereka berjaya memimpin massa menuntut kemerdekaan dan seterusnya mencorakkan masa depan pendidikan negara hingga sekarang.

Namun kealpaan, kecuaian, pengabaian, campur tangan politik yang berlebihan sama ada dilakukan sengaja atau tidak sengaja, kelemahan perancangan dengan tendensi melakukan perubahan demi perubahan pendidikan kononnya atas  tiket mengangkat pendidikan negara bertaraf dunia telah menjadikan sistem pendidikan negara menjadi caca marba. Hal ini berasas kerana polisi  trial and error dan project based yang diamalkan oleh pemerintah tidak kira berjaya atau sebaliknya sesuatu dasar itu dijalankan telah meninggalkan ’luka’ di hati masyarakat pendidik, ibu-bapa dan rakyat Malaysia umumnya. Antaranya isu PTPTN, PPSMI, Perubahan Status Sekolah Bestari yang akhirnya dijadikan sebagai Pembestarian Sekolah, Pengenalan Semula Dasar Memartabatkan Bahasa Kebangsaan, Penarikan balik buku teks kajian Komponen Sastera iaitu Novel Interlok Sasterawan Negara Abdullah Hussain kononnya mencemar nama baik sesuatu kaum, dan yang terbaharu pembatalan SBPA sebagai skim gaji baru penjawat awam telah melibatkan kerugian kos berjuta-juta ringgit kerana sikap terburu-buru dalam merancang dan membuat keputusan tentang masa depan pendidikan negara.

Kini, peluang untuk membetulkan keadaan ini telah  dirintis menerusi penubuhan Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidikan Kebangsaan (PENDIDIK) yang diharap mampu menggerakkan momentum memimpin masyarakat guru dan massa untuk mengubah landskap pendidikan tanah air. Pelancaran NGO PENDIDIK  yang telah melakar sejarah dalam persada pendidikan negara ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Presiden PAS di Dewan Putra, Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuwan Selangor pada 12 Februari 2012 yang lalu.

Warga pendidik yang dihormati,

Sudah tiba masanya kita hentikan kezaliman ini dan tidak akan membiarkan minda dan jiwa guru dikongkong dengan ’penjajahan alaf baru’ yang tidak bertamadun dan menzalimi pendidik yang berjiwa mulia serta ikhlas mendidik anak bangsa selama ini.

Justeru, satu wahana dan platform untuk para pendidik di seantero Malaysia telah diwujudkan untuk menyalurkan aduan, pandangan serta luahan demi memperkasakan pendidikan tanah air di samping tidak meminggirkan hak dan kebajikan para pendidik dalam memacu halatuju pendidikan negara. Sudah pasti NGO PENDIDIK ini berfungsi sebagai entiti yang  menggalas tugas profesional dalam kerjaya pendidikan akan berkhidmat berteraskan prinsip takwa, iman dan ihsan selain konsisten dalam memperjuangkan keadilan sejagat, kebajikan, maruah guru dan  maruah profesion pendidikan negara.

Semoga Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) akan menjadi   wadah yang tersohor, dan karismatik dalam memperjuangkan martabat, nasib, dan dinamika profesion keguruan agar terus dihormati dan menjadi ikon kebanggaan masyarakat pendidik”.

Sekretariat Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) mengharapkan agar semua para pendidik yang pernah menjadi mangsa ’tekanan politik’ atau ’mangsa pertukaran akibat dendam politik’ mengikut prosedur yang tidak betul sangat dialu—alukan untuk menyalurkan aduan ke alamat email ; _ HYPERLINK "mailto: aduanpendidik@gmail.com.Semoga" _aduanpendidik@gmail.com._

Platform ini akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada perkembangan dan kemajuan pendidikan negara di samping meramaikan kelompok profesional yang bakal mewarnai persada pendidikan negara ke arah menyediakan pendidikan yang lebih berkualiti demi melahirkan modal insan yang memiliki akhlak yang terpuji.

Mutakhir ini masih ada lagi  warga pendidik yang pernah menjadi mangsa kezaliman akibat ditukarkan ke sekolah lain sepanjang perkhidmatan tanpa mengikut prosedur yang betul dan bukan ’atas keperluan perkhidmatan’. Apa yang berlaku sebaliknya adalah ramai di kalangan warga pendidik telah ditukarkan hanya kerana ’dendam politik ’ dan ’tekanan politik’ dari pimpinan Umno Barisan Nasional.

NGO PENDIDIK mengharapkan agar semua warga pendidik di seluruh Malaysia tampil untuk menyuarakan pandangan dan berkongsi pengalaman tentang kezaliman yang telah dilakukan sejak 54 tahun oleh UMNO Barisan Nasional  sehinggalah kini. Jadi sudah tiba masanya kita hentikan kezaliman ini dan tidak akan membiarkan minda dan jiwa guru dikongkong dengan ’penjajahan alaf baru’ yang tidak bertamadun dan menzalimi pendidik yang berjiwa mulia serta ikhlas mendidik anak bangsa selama ini.

Dalam waktu terdekat,’Roadshow NGO PENDIDIK ’ akan dilaksanakan akan diadakan di lokasi yang sesuai untuk menggerakkan  kebangkitan guru di seluruh Malaysia. Diharapkan dengan sokongan dan kerjasama semua para pendidik , NGO PENDIDIK  berharap akan dapat menangani isu-isu pendidikan negara dengan cara yang profesional dan bijaksana di samping  memaksimumkan penerangan,  perkhidmatan dan latihan menerusi peranan setiap sekretariat yang telah  diwujudkan. Ia juga diharapkan dapat menjadi medan dan wasilah warga pendidik dan guru menyuarakan pandangan, pendapat, dan idea untuk membangunkan kecemerlangan pendidikan nasional dalam persada pendidikan negara.

Akhir kata , Selamat Menyambut Hari Guru 2012 dengan tema yang dipilih oleh NGO PENDIDIK pada tahun ini ”BANGKIT GURU MEMIMPIN PERUBAHAN”

Normala Sudirman (Cikgu Mala) ialah Presiden Persatuan Gerakan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK).

Pesanan untuk membentuk citra guru mujahid

Harakahdaily, 16 Mei 2012

Guru selayaknya seorang mujahid. Demikian yang ditunjukkan oleh Ustazul Mukminin, Rasulullah s.a.w. ketika baginda menjalankan dakwahnya, bermulalah jejak tugas seorang guru kepada manusia.

Tugas mudaris dan mujahid tidak selayaknya dipisahkan. Yang menyatukan tanggungjawab antara seorang  pendidik dengan seorang mujahid ialah hadaf yang satu. Iaitu yang seharusnya dicapai adalah untuk mengeluarkan manusia dari pengabdian kepada selain Allah dan membawa manusia kepada hanya menyerah diri dan mengabdi total hanya kepada Allah.

Kami mengungkap tema Guru Mujahid kerana persoalan fungsi guru membentuk insan pelajar kini tidak diserasikan antara kerja mengajar dan kerja menghidupkan kecintaaan pelajar kepada Islam.

Malah yang sering dapat diperhatikan ialah guru hanya dilihat sebagai profesi yang mengejar kecemerlangan hanya pada kerangka kerjaya yang diukur mengikut pencapaian yang digariskan oleh skima perjawatan JPA.

Lalu berlumba-lumbalah guru bekerja keras untuk menepati pencapaian tersebut tanpa melihat garis ukur yang jauh lebih murni, jauh lebih suci. Iaitu apakah generasi yang dididik melalui sistem pendidikan yang ada mampu melahirkan generasi yang memenuhi ciri-ciri ibadurrahman dan sejauh mana seorang guru turut terlibat di medan perjuangan untuk menegak dan membela Islam.

Hari Guru yang saban tahun disambut membawa erti besar kepada para warga pendidik. Sayang jika para guru sendiri tidak merasa ini suatu hari yang bermakna.

Setelah gugurnya bom atom di Nagasaki dan Hiroshima pada tahun 1945, Kaisar Jepun  pernah bertanya suatu hal yang menyebabkan orang terpinga-pinga. Sebabnya dia bertanya dalam ribuan rakyat Jepun yang terkorban, " adakah ada lagi guru yang maseh hidup?". Demikian Kaisar Jepun memberi kepentingan kehadiran guru untuk melihat peluang untuk bangkit semula diatas runtuhan dan kehancuran akibat bom atom yang digugurkan oleh tentera Ameirika Syarikat.

Sebetulnya kami telah memikirkan apakah tema yang seharusnya boleh merangsang para guru untuk benar-benar merasa bahawa profesi seorang guru itu adalah profesi yang membawa kesan jauh lebih bermakna dari kerja keras untuk mencapai kecermelangan dalam peperiksaan umum bagi tujuan menaikkan nama sekolah dan jabatan.

Kami sangat prihatin betapa menjadi seorang guru dalam situasi kini sangat menghimpit. Kerap yang disunguti ialah guru kini tidak menjiwai perjuangan dalam bidang pendidikan  berbanding  guru masa lampau.

Tidak dapat disangsikan para guru pada zaman kolonial adalah sebahagian besarnya adalah kelompok yang berada di saf peneraju perjuangan kemerdekaan tanah air. Guru membawa imej pembentuk jiwa merdeka untuk rakyat. Guru sinonim dengan pejuang kemerdekaan. Bukan setakat mengajar disekolah untuk mencemerlangkan penuntut dalam pencapaian peperiksaan malah guru berada di barisan depan mempelopori perjuangan kemerdekaan.

Sungutan betapa guru lebih banyak terbeban dengan kerja pentadbiran (paper work') berbanding menjalankan fungsi mendidik adalah suatu yang malang. Dalam keghairahan pihak atasan mahu mencapai KPI dan lantaran itu guru yang berada dalam bilik darjah dibebankan untuk menyiapkan segala tugas yang terlepas dari kerja mendidik yang sebenar pada hakikatnya akan merugikan.

Natijahnya amat mendukacitakan. Guru lelah mengejar masa antara menyelesaikan Rancangan Mengajar, ditambah lagi dengan beban menyiapkan pelbagai tugas pentadbiran.

Kami tidak hairan bagaimana sistem pendidikan masakini gagal melahirkan guru yang berkualiti mujahid. Malah tidak terbayangpun konsep Guru Mujahid itu sendiri dalam skima melatih guru. Bercitra sebagai Guru Mujahid mungkin dilihat terlalu menggugat. Lantaran guru hanya sebagai karieris sudah memadai supaya masing-masing hanya berfikir untuk menjadi cemerlang dalam konteks kerjaya semata-mata.

Bukan sahaja beban kerja sangat melelahkan malah sistem yang sedia ada lebih banyak tertumpu kepada kerja di luar tugas mendidik.

Seorang guru yang bercitra mujahid bermula dari niatnya yang merentas kepentingan duniawi. Apa yang terpendam dalam sanubari guru mujahid adalah membentuk watak anak muridnya berpandukan susunatur ilmu yang disampaikan.

Lebih penting dari itu ialah bagaimana ilmu yang disampaikan itu mampu diterjemahkan dalam aplikasi seharian buat dijadi pedoman untuk pendewasaan anak murid. Tidak kira dia seorang yang berada atau sebaliknya. Pokoknya ilmu yang disampaikan  adalah bagaikan menyemai benih untuk kemudian tumbuh sebagai pohon yang merimbun memberi manfaat kepada siapa sahaja yang berlindung di bawahnya.

Sebenarnya kita sangat mendambakan guru yang bersifat Dzu Wujuh, iaitu menpunyai banyak wajah dalam arti yang baik. Ia adalah seorang guru bangsa, pendidik ummat dan mujahid da’wah, ia adalah seorang budayawan atau pemikir budaya, ia adalah seorang ‘alim dengan segala atribut yang lekat dengan gelar itu, ia adalah seorang berfikiran matamg dalam membaca politik masa depan.

Seorang guru harus memilikki pandangan pendidikan  tidak terlepas dari grand konsep yaitu dakwah. Secara idealnya pada diri seorang guru akan menemukan konsep yang konsisten baik yang berhubungan dengan dakwah maupun pendidikan. Dalam ertikata lain  dalam perumusan tujuan hidup seorang guru dalam konsep da’wah sama dengan tujuan hidup dalam konsep pendidikan.

Seorang guru harus memiliki kefahaman bahawa  tujuan pendidikan ada dua macam, iaitu: a. Menjadi hamba Allah; b. mencapai kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

Dengan mengacu kepada surat Adz-Dzariyat ayat 56 yang ertinya: “Dan Aku (Allah) tidak menjadikan jin dan manusia, melainkan untuk menyembah Aku”.

Selanjutnya dengan mengacu kepada surat al-Fathir ayat 28, yang ertinya: “Bahwa yang sebenar-benarnya takut kepada Allah itu, ialah hamba-Nya yang mempunyai ilmu”,

Perhatikan catatan DR. G. J. Nieuwenhuis mengatakan, “suatu bangsa tidak akan maju, sebelum adanya guru yang mau berkorban untuk kemajuan bangsa tersebut”.

Kami kutip pernyataan itu kerana nampaknya ada tanda bahawa pada saat ini minat kalangan akademik untuk menjadi guru yang menjiwai erti pengorbanan sudah mulai menurun.

Lantaran itu sempena Hari Guru untuk tahun 2012 ini kami menghimbau pesanan yang diharap diperhatikan setiap guru yang memilih untuk terjun dalam medan pendidikan sebagai medan jihad.

Adalah diharapkan tatkala sistem pendidikan yang ada sekarang maseh jauh dari memenuhi maksud pendidikan dalam ertikata sebenar, maka ditangan gurulah amanah membentuk generasi akan dipertaruhkan. Bermakna para guru harus siap memainkan peranan diluar kotak sistem yang kini sangat ditentukan oleh pasaran ekonomi.

Kami mengharapkan agar fungsi memanusiakan pendidikan dalam erti yang dituntut Allah ke atas diri kita akan direalisasikan oleh warga guru yang ada. Moga para guru siap menjadi Guru Mujahid yang boleh membawa islah kepada ummah dan dunia.

Selamat Hari Guru 2012

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Teras

Ustazah Rubiyah Haron
Timbalan YDP SALIMAH

Perutusan Hari Guru 2012

15 Mei 2012
Assalamualaikum,

Sempena sambutan Hari Guru 2012, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan dan penghargaan kepada semua guru di atas segala pengorbanan dalam mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Guru merupakan golongan yang paling penting dalam pembangunan sesebuah negara. Bahkan Islam mengiktiraf peranan guru sebagai murabbi.

Quran menegaskan betapa tingkatan taraf kemanusiaan diangkat oleh Allah melalui dua unsur iaitu keimanan dan keilmuan. FirmanNya: "Sesungguhnya Allah mengangkat darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan mereka yang diberi ilmu dengan beberapa darjat."

Keimanan dan keilmuan adalah dua eleman utama manusia diangkat darjat oleh Allah. Benarlah kata kata Saidina Ali bilamana ditanya manakah yang kamu inginkan antara harta dan ilmu.

Lalu jawab Saidina Ali: "Aku akan mengambil ilmu."

Bilamana ditanya kenapa ia memilih ilmu lalu jawab Saidina Ali:

"Sesungguhnya orang yang ada ilmu boleh mencari harta , tetapi mereka yang ada harta belum tentu mampu mencari ilmu. Ilmu telah disediakan tempat menyimpannya oleh Allah, sedangkan harta perlu mencari bekas untuk menyimpannya, biasanya orang yang mempunyai ilmu akan tawadduk, manakala manusia memiliki harta akan takabur."


Seorang guru inginkan muridnya berjaya lebih tinggi darinya, dan ia gembira bilamana muridnya berjaya, dan berdukacita bilamana muridnya gagal. Ia sanggup menghabiskan masa berjam-jam mendidik muridnya, lebih dari masa ia mendidik anaknya.


Rasulullah s.a.w menjelaskan bilamana mati anak Adam, maka putuslah amalannya melainkan tiga, iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan doa dari anak yang soleh.

Persoalan ilmu yang bermanfaat menunjukkan kepada kita bagaimana tingginya kedudukan guru yang mengajar ilmu pengetahuan di dunia dan akhirat. Lantaran itu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua guru dengan doa agar mereka sentiasa tabah, sabar dan berusaha membina generasi rabbani yang sentiasa dekat dengan Allah swt.


“SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU 2012”


Sekian Wassalam


Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan