Selasa, 29 Mei 2012

BILA ULAMAK KONDEM ULAMAK...BILA ULAMAK CARI KASIH MANUSIA DAN DUNIA DARI KASIH ALLAH...SERTA MENJAUHKAN DIRI DARI KEBENARAN...INI BERMAKNA KITA MENJAUHI DIRI DARI RAHMAT ALLAH...KERANA DENGAN RAHMAT ALLAH LAH KITA AKAN MASUK SYURGA....

Mahathir ramal Umno ganas jika kalah?

Ahmad Lutfi Othman, 29 Mei 2012
Sewaktu debat mempertemukan Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin disifatkan sebagai permulaan budaya politik baru yang sihat dan matang, kita dikejutkan dengan siri aksi brutal terhadap program Pakatan Rakyat.

Ketika rakyat masih mengingati dengan jelas perlakuan ganas polis semasa menyuraikan himpunan aman Bersih 3.0, riak kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka bakal menjadi gelanggang terburuk dalam sejarah, seperti hampir tidak dapat dielakkan lagi.

Terbaru, 24 Mei, di Pantai Dalam, media melaporkan batu dan telur berterbangan semasa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berceramah, mengakibatkan seorang warga emas cedera di kepala. Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Nurul Balqis dturut terkena lontaran batu sebesar kira-kira penumbuk tangan.


Menurut saksi, batu itu dibaling dari kawasan ceramah Umno di kuarters Dewan Bandaraya Raya Kuala Lumpur (DBKL) Pantai Dalam yang terletak bersebelahan. Personaliti yang ghairah menabur fitnah, Ummi Hafilda Ali berceramah dengan pembesar suara dihalakan kepada audien program Pakatan Rakyat, dengan menjawab secara langsung isu-isu yang dibangkitkan penceramah Pakatan berhampiran.

Hari yang sama, di Sayong Lembah, Kuala Kangsar, pada majlis ceramah membabitkan bekas Menteri Besar Perak yang digulingkan, Nizar Jamaluddin, 11 kereta disimbah cat biru. "Cat itu kebanyakannya disimbah di bahagian lampu depan," kata Nizar.

Minggu ini juga, kumpulan anti-Bersih, yang diketuai pemilik Restoran Sekinchan Ikan Bakar, Jamal Yunus, secara berterusan melakukan provokasi dan gangguan melampau di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga selepas aksi "senaman punggung" dipamerkan pada 15 Mei.

Minggu lalu, di Melaka, batu dan telur juga berterbangan di majlis minum petang anjuran PAS, di mana Ambiga dijadual hadir. Dua Adun DAP, Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) dan Tey Kok Kiew (BAndar Hilir) berkata, tayar kenderaan mereka dipancitkan, cermin sisi pecah dan badannya kemik teruk dihantam kumpulan pengacau yang didalangi Umno, termasuk beberapa wakil rakyatnya.

Siri gangguan ke atas program dan personaliti pembangkang dijangka berterusan, malah mungkin ditingkatkan, kerana ia sudah menjadi budaya Umno sejak zaman berzaman (ingat zaman Pemuda Tahan Lasak Umno), yang kini pimpinan parti berkenaan gelabah dan kelihatan gabra menghadapi "hukuman rakyat" dalam PRU13.

Secara peribadi, saya pelik memikirkan bagaimana Umno-BN yang meniti saat-saat sukar ini, memilih pendekatan konfrontasi, yang sebenarnya semakin menjauhkan lagi parti itu daripada sokongan pengundi.

Meskipun ia ibarat "baling batu sembunyi tangan, namun banyak bukti boleh ditunjukkan bahawa segala serangan dan provokasi jahat selama ini (ingat siri gangguan sejak keputusan PRU12, Mac 2008, khususnya di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan, dengan kemuncaknya rampasan kuasa kerajaan Perak), ditaja oleh Umno.

Sepatutnya, menjelang PRU13 yang cukup kritikal itu, semua parti-parti yang bertanding mempersembahkan pendekatan terbaik bagi memikat hati dan pemikiran pengundi, bukannya melakukan tindakan agresif -- apatah lagi berunsur samseng dan ganas -- yang hanya menyebabkan masyarakat menjadi lebih marah dan jelik.

Aneh sekali strategi Umno ini, 'kan? Ketika perayu kempen berusaha dengan segala tenaga untuk melunakkan hati pengundi, mereka memilih taktik yang boleh menikam belakang sendiri!

Tentu ramai mengingati bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menghadapi asakan di luar adab kemanusiaan, termasuk dihadiahkan "kek tahi" yang menjijikkan sempena hari jadinya tidak lama dahulu.

"Apa nak dihairankan, tengok saja akhbar-akhbar yang dimiliki Umno, yang tidak malu-malu menyiarkan gambar lucah dan porno, hanya untuk memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Rakyat. Blogger yang ditaja dan diupah Umno, serta mendapat layanan istimewa pemerintah, bersikap biadab dan kurang ajar ketika memaparkan posting mereka," kata seorang teman, seorang pensyarah sains politik.

Ternyata Umno tidak sabar dan tahan uji menghadapi kekalahan, apatah lagi menunggu "saat kematian". Sedangkan selama ini, sejak pilihan raya umum pertama, pembangkang khususnya PAS, tetap  menolak pendekatan kekerasan atau militan meskipun sering diganasi secara fizikal dan istiqamah dengan  "muwajahah silmiyyah".

Pemimpin dan aktivis PAS menghadapi ujian perit, termasuk dibunuh, dipenjarakan, dibuang daerah, dinafikan hak sebagai warga dan pelbagai bentuk pengkhianatan lain. Biarpun kalah teruk -- termasuk melalui penipuan -- dalam pilihan raya, PAS tetap menghormati proses demokrasi dan pemimpinnya berjaya meyakinkan ahli-ahlinya agar tidak memilih jalan di luar batas undang-undang.

Justeru, apabila bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad cuba melakukan satu lagi provokasi jahat, bagi saya ia satu tindakan tidak bertanggungjawab dan patut dikecam.

Dalam blognya,  Dr Mahathir mendakwa jika Pakatan Rakyat tewas dalam PRU13, mereka akan menganjurkan "demonstrasi ganas" tanpa henti untuk menolak keputusan itu. Selepas itu, pembangkang akan mengusahakan pilihan raya baru yang dimanipulasi mereka diadakan.

"Tunjuk perasaan Bersih yang besar dan ganas adalah persediaan untuk menolak keputusan PRU13 jika parti lawan gagal memenanginya. Kekalahan mereka akan dituruti dengan demonstrasi ganas yang tidak berhenti-henti supaya keputusan pilihan raya ditolak dan satu kerajaan lain didirikan, yang ditunjuk oleh parti lawan," dakwanya.

Kalah dalam pilih raya bukan satu isu besar bagi pembangkang. Mereka sudah melaluinya sejak sekian lama. Sejarah menjadi saksi pembangkang dapat menerima kekalahan itu tanpa menimbulkan huru-hara. Yang panik dan gelabah apabila ditewaskan adalah Umno. Tidak dapat dengan jalan kasar, mereka memilih pendekatan membeli wakil rakyat dengan sogokan rasuah.

Namun, jika PRU13 berjalan secara tempang, penuh penipuan dan sarat dengan manipulasi, seperti tergambar melalui pelbagai komplot hari ini, saya sendiri tidak dapat menolak kemungkinan rakyat akan bangkit membantah melalui perhimpunan yang lebih ramai daripada Bersih 3.0 lagi.

Apakah Dr Mahathir sudah menduga bahawa Umno-BN sudah bersiap untuk melakukan "kejahatan dahsyat" itu dalam PRU13 nanti? Atau beliau sekadar membayangkan Umno sendiri  mungkin mencetuskan huru-hara dan keganasan sekiranya kalah dan hilang kuasa di peringkat persekutuan nanti, seperti terjelma secara kecil-kecilan sehari dua ini?

Mengapa Najib, Umno takut debat dengan Anwar?

Riduan Mohd Nor, 29 Mei 2012
Di saat budaya debat mula diterima rakyat negara ini sebagai medium membuat penialaian terhadap sesuatu isu, namun masih ada lagi yang melihat debat tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Malangnya, kenyataan 'memperlekeh' debat itu yang seolah-olah dilihat hanya mendatangkan keburukan, datang dari pemimpin negara sendiri.

Terbaru, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim yang menyifatkan debat tidak menguntungkan mana-mana pihak sebaliknya mendorong kepada perbuatan tuduh menuduh dan kata-kata nista.

Beliau merujuk kepada keperluan debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dicadangkan banyak pihak.

Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga mengeluarkan pandangan serupa bahawa, debat di antara Najib dengan Anwar tidak perlu.

Beliau memberi alasan pembangkang khususnya Anwar akan mencetuskan suatu keadaan untuk mendapatkan 'mileage' politik dalam debat itu.

Apa yang menjadi persoalan kini, adakah pemimpin Umno ini tidak melihat contoh depan mata debat antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berhubung Pemansuhan PTPTN pada 22 April lalu?

Rata-rata melihatnya sebagai sesuatu yang positif, dan langsung tidak timbul persoalan siapa menang siapa kalah antara mereka.
Bagaimana pula debat antara Anwar dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek pada Julai 2008 untuk menurunkan harga minyak. Adakah debat tersebut mendatangkan keburukan?

Terbaru sebuah NGO Asli sekali lagi mahu menganjurkan debat antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selepas debat serupa dianjurkan mereka Februari lalu.

Malah Guan Eng yang Ketua Menteri Pulau Pinang dengan hati terbuka menerima tawaran debat itu hari ini.

Jika benar budaya debat tidak membawa kebaikan, patut hapuskan sahaja pertandingan debat di sekolah mahupun di universiti yang sudah diamal sejak sekian lama.

Dalam isu debat Najib-Anwar ini, saya tidak tahu kenapa Najib dan Umno perlu mengelak sampai rapat ke dindidng.

Kenyataan dari pemimpin Umno yang mewakili suara Najib menolak debat ini hanya akan dilihat sebagai 'mengampu' bos sahaja.

Manakala sikap sepi perdana menteri menyahut debat ini hanya mengesahkan pandangan rakyat bahawa Najib sememangnya takut untuk berhadapan dengan Anwar.
Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

TG Nik Aziz yakin lebuh raya rakyat dapat disiapkan

Harakahdaily, 29 Mei 2012


(TG Nik Aziz menandatangani plak perasmian pembinaan Lebuh raya rakyat Kota Bharu - Kuala Krai semalam)


MACHANG: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat dari Kuala Krai ke Kota Bharu bernilai RM1.8 bilion akan dapat disiapkan mengikut jadual.

Mursyidul Am PAS itu berkata pembiayaan kos projek itu akan turut melibatkan sumbangan wang daripada rakyat, lapor Malaysiakini.

"Kita yakin dapat melaksanakan projek bernilai RM1.8 bilion ini walaupun tidak sepenuhnya melalui sumbangan rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan projek lebuh raya itu di Kampung Berangan Mek Nab di Machang, hari ini.

Nik Aziz mengulas kenyataan sesetengah pemimpin politik, termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang sangsi dengan kemampuan kerajaan PAS Kelantan membina lebuh raya melibatkan kos besar dan menyifatkannya sebagai gimik politik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata pembinaan lebuh raya sepanjang 73 kilometer itu bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas, dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

(Ladang Sungai terah menyumbangkan RM1 juta untuk pembinaan lebuh raya bagi meringankan kesusahan rakyat Kelantan yang pulang ke kampung pada setiap hari raya dan cuti sekolah)

Katanya lebuh raya tanpa tol, dengan empat lorong (dua lorong sehala) itu turut dilengkapi dengan kawasan rehat dan rawat (R&R).

"Pembinaannya berkonsepkan wakaf di mana kos pembinaan serta penyelenggaraannya dibiayai sebahagian daripada dana hasil sumbangan derma dan wakaf oleh rakyat dan syarikat swasta, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya.

Tok Guru Nik Aziz sendiri menyumbangkan RM5,000 wang peribadinya semalam untuk menjayakan projek ini.

Anak syarikat kerajaan negeri, Ladang Sungai Terah menyumbang RM1 juta manakala syarika Ufuk Budiman menyumbang RM100,000 kepada projek ini.

Di majlis itu, Tok Guru Nik Aziz menyeru semua lapisan masyarakat turut derma atas rasa tanggungjawab dan rasa hak bersama.

"Iapun bertepatan dengan Islam derma yang menggalakkan kita buat jalan selain masjid dan kita akan dapat pahala berpanjangan," katanya.

Kelantan minta Soi Lek jangan prejudis

Salmah Mat Husain, 29 Mei 2012
KOTA BHARU: Presiden MCA Datuk Seri  Chua Soi Lek diminta tidak bersikap prejudis terhadap kerajaan Kelantan kerana kesannya amat tidak baik baginya sebagai seorang pemimpin besar bangsa Cina di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, juga berkata Soi Lek seharusnya tidak begitu emosional dalam membuat kenyataannya yang berkaitan kerajaan Kelantan kerana ideologi politik yang berbeza.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya semalam ketika menjawab kenyataan bekas menteri itu dua hari lalu yang mendakwa kerajaan Kelantan telah menolak permohonan Persatuan Buddhist Kelantan yang ingin membuat rumah ibadat di bandar Kota Bharu.

Soi Lek dalam kenyataannya yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris itu juga mendakwa persatuan berkenaan kini sedang membuat rayuan pada kerajaan negeri agar permohonan mereka dipertimbangkan.

Jelas Takiyuddin lagi,  tidak timbul kerajaan negeri menolak dan tidak timbul persatuan terbabit membuat rayuan pada kerajaan negeri memandangkan persatuan itu tidak pernah membuat permohonan dari kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya semalam bagi mengulas kenyataan Chua Soi Lek dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

“Andainya pihak persatuan tidak pernah membuat sebarang permohonan pada kerajaan negeri, bagaimana ianya boleh timbul penolakan.

“Kerajaan negeri boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan itu, kerana ianya berbaur fitnah, tetapi rasanya cukup dengan pejelasan itu dan biarlah rakyat yang menentukannya,” ujarnya.

Sambungnya lagi, beliau baru selesai mengadakan pertemuan dengan beberapa orang anggota jawatankuasa persatuan itu untuk mendapatkan penjelasan.

Tambahnya, pihak mereka mengakui tidak pernah membuat sebarang permohonan sebagaimana yang berkaitan, bagaimanapun hanya berhasrat untuk membina sebuah dewan komuniti sahaja.

Kerajaan Kelantan, katanya sentiasa bersikap toleransi dengan pelbagai anutan agama walaupun kerajaan negeri dipimpin oleh bukan Islam.

“Kerajaan negeri sejak awal lagi telah menetapkan bangunan sebegini tidak akan disyaratkan mengikut cirri-ciri Islam, kerana ianya rumah ibadat atau komuniti masyarakat bukan Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan  pihak lawan tidak mengambil kesempatan terhadap kenyataannya sebelum ini yang mengingatkan pihak PBT atau individu yang ingin membena bangunan baru diminta menerapkan seni bina Islam.

Katanya, di bawah penyeragaman pembenaan bangunan perniagaan hanya gedung perniagaan sahaja yang terlibat dengan seni bina Islam, bagaimanapun bagi pembinaan rumah ibdat, ianya langsung tidak ada kaitan ciri-ciri itu.

FGVH: Apa fatwa libatkan tanah rizab Melayu

Harakahdaily, 29 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menuntut supaya sebuah fatwa dikeluarkan dalam isu penyenaraian FGVH yang bakal melibatkan lebih 105,000 ekar Tanah Rizab Melayu (TRM) dalam Felda.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, kehilangan tanah milik orang Islam yang berlaku di negara ini adalah mirip kehilangan tanah orang Palestin yang berpindah tangan kepada orang Yahudi.

“Pihak Majlis Fatwa Kebangsaan wajar bersidang untuk membincangkan isu ini dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Teras mendapati kuasa yang dimandatkan kepada kerajaan sekarang untuk menjamin status TRM sudah lama disalahguna.

Tambahnya, bukan sahaja TRM banyak dibatalkan pewartaannya secara tidak telus, malah saiz dan lokasi TRM yang diganti tidak pernah didedahkan kepada awam.

Sehubungan itu, tegasnya Teras membantah dengan keras penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) yang bakal melibatkan lebih 105,000 ekar TRM dalam Felda.

“Jika penyenaraian ini diteruskan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan, orang Melayu akan kehilangan TRM yang sangat luas tanpa jaminan bahawa ia akan diganti sepertimana yang diperundangkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Teras, kata beliau melihat tindakan itu sebagai suatu pengkhianatan yang jelas terhadap masa depan orang Melayu.

Katanya, penyenaraian hartanah dalam bursa saham  yang menjadi aset  penting kepada orang Melayu bakal melihat tanah milik orang Melayu dengan mudah berganti tangan kepada bukan sahaja orang bukan Melayu dalam negara malah orang dari luar negara.

“Ini adalah suatu tindakan yang tidak boleh dibenarkan.

“Kami menuntut supaya kerajaan menjelaskan dengan terperinci status TRM dalam penyenaraian yang akan dilaksanakan walaupun bantahan terus diketengahkan oleh peneroka,” katanya lagi.

Hei Mufti! Bila aku kata undi PAS masuk surga - TG Nik Aziz

cenangau.blogspot.com, 29 Mei 2012
Nampak sangat la media penchachai Umno dah habis modal. Tak habis-habis depa dok ulang isu lama. Kalau isu lama tapi relevan takpa la jugak ni depa dok guna isu lapok yang langsung tak relevan.

Dua tiga hari lepas depa spin balik isu orang bukan melayu boleh jadi PM. Isu yang dah lama Pakatan Rakyat jawab.

Kali ni depa ulang pulak pasai isu 'Undi PAS masuk syurga'. Tah mana depa dapat tiba-tiba Utusan boleh siarkan wawancara dengan Ahli Majlis Fatwa Masjidi Haram Sheikh Dr Sulaiman Saloomi yang kata "fatwa propaganda yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti adalah suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan."

Isu ni pun isu lapok yang langsung tak relevan pasai dah lama PAS jawab isu ni. Tepat sekali macam kata Salahuddin Ayub, PAS takmau layan isu ni, lebih baik PAS memberi fokus kepada persiapan menghadapi PRU13.

"Saya rasa itu langkah terdesak UMNO yang sudah tidak mempunyai modal dan isu untuk berhadapan dengan PAS. UMNO mainkan semula lagu lama untuk dapatkan simpati rakyat menjelang pilihan raya umum.

"PAS tidak akan menoleh lagi ke belakang untuk layan perkara ini, kita akan tetap dengan perjuangan dan pendirian kita bersama Pakatan Rakyat (PR).

"Kita tidak akan layan perkara macam ini, kita mempunyai agenda dan perancangan yang harus dilakukan segera.

"PAS ada strategi yang harus dilaksanakan, dan semua ini perlu kepada fokus untuk memastikan kejayaan kita," katanya. - KLPos.

Yang celakanya, akhbar KLPos yang laporkan kenyataan Salahuddin tu pilih tajuk "Fatwa Masuk Syurga : Tiada Keperluan Tarik Kembali - PAS" langsung tak sesuai dengan isi artikel tu.

Isu ni sepatutnya dah lama selesai dengan jawapan yang TG Nik Aziz bagi lama dulu. Tapi main dengan penchachai Umno ni depa bukan kira, selagi boleh spin depa akan spin, jenis tak peduli hal syurga neraka ni bukan peduli betui ka salah, selagi depa rasa boleh untungkan depa, depa akan spin.

Bagi yang tak pernah dengar lagi dari mulut TG Nik Aziz pencerahan isu "undi PAS masuk syurga" ni, hangpa patut tengok videoclip kat bawah ni sampai habih (klik untuk lihat). Dengar sendiri jawapan dari mulut TG Nik Aziz, Mursyidul Am PAS.
 
 Sumber imej: Greenbox

TULISAN BERKAITAN


PM: Tunku Aziz selari dengan Nik Aziz

Harakahdaily, 29 Mei 2012

(Sidang media Tunku Aziz di rumahnya semalam)

PETALING JAYA: Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berpandangan selari dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Perdana Menteri negara ini seharusnya beragama Islam tanpa mengira kaum.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyuarakan pendirian beliau untuk melihat seorang calon bukan Melayu jika pembangkang mendapat mandat memerintah negara.

“Mana-mana kaum di Malaysia boleh menjadi Perdana Menteri, asalkan beragama Islam. India Muslim, Cina Muslim sekalipun boleh memerintah, yang penting agama mesti Islam,” kata beliau pada sidang media di rumahnya semalam.

Karpal baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa Perlembagaan Negara tidak menetapkan apa-apa peraturan yang menetapkan hanya orang Melayu yang boleh menjadi Perdana Menteri.

DAP juga mendakwa, kenyataan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia tidak benar apabila melaporkan Karpal berkata sampai mati beliau akan memperjuangkan agar seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.

Sokongan terhadap PAS di Putrajaya meningkat

Harakahdaily, 29 Mei 2012
PUTRAJAYA: Sejak akhir-akhir ini, sokongan rakyat terhadap PAS khususnya kakitangan awam yang menetap di Putrajaya dilihat sangat memberangsangkan.

Biarpun Putrajaya terkenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di mana masyarakatnya majoriti kakitangan awam, namun mereka kini tidak lagi takut untuk mendekati PAS.

Sabtu lalu, masyarakat Putrajaya mengambil peluang mengenali PAS secara lebih dekat sempena lawatan rasmi PAS Pusat di sana.

Menurut Yang DiPertua PAS Putrajaya Mohd Nazir Zakaria, sambutan yang menggalakkan dikalangan masyarakat menunjukkan PAS bukan asing pada mereka.

"Ini membuktikan yang PAS sudah bertapak di hati mereka dan sokongan terhadap PAS di Putrajaya pada hari ini telah meningkat hampir 5 kali ganda berbanding tahun 2011.

"Perkembangan ini sangat baik yang memberi satu gambaran yang jelas tentang keupayaan PAS dan Pakatan Rakyat untuk mara ke Putrajaya," katanya.

Terdahulu, lawatan tersebut adalah anjuran bersama Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan bersama PAS Kawasan Putrajaya.

Antara Pimpinan PAS Pusat yang hadir sempena program ini ialah Setiausaha Majlis Syura PAS Pusat Ustaz Nik Zawawi, dan Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Pusat Dr. Hatta Ramli.

Pimpinan tertinggi PAS Putrajaya pula ialah YDP PAS Putrajaya Mohd Nazir Zakaria, Timbalan YDP Kamaruzaman Mohamad merangkap Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Selain petugas PAS Putrajaya, program ini dibantu oleh petugas-petugas dari Bandar Tun Razak, Cheras dan Segambut.

Program dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah di Surau Al-Mizan, Presint 8 dan diikuti dengan tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh Ust. Nik Zawawi.

Selepas solat Isyak yang diimamkan sendiri oleh Ustaz Nik Zawawi, rombongan peserta telah beramai-ramai ke Medan Selera Presint 9 untuk acara seterusnya.

Acara dimulakan dengan ceramah santai yang dikendalikan oleh Kamaruzaman Mohamad dengan ucapan dimulakan oleh Dr. Hatta.

Beliau telah menyeru kepada semua penduduk Putrajaya supaya memberikan peluang kepada PAS untuk menang di Putrajaya dan seterusnya mentadbir Malaysia.

Di dalam ucapannya, beliau turut mengucapkan takziah kepada peserta yang kemalangan dalam acara perlumbaan sempena Karnival Hari Belia di Putrajaya.

Ucapan seterusnya disampaikan oleh Ustaz Nik Zawawi. Beliau telah mengingatkan para hadirin bahawa hanya Islam sahaja yang mampu menyelamatkan negara Malaysia yang kian parah ini.

Program diakhiri dengan para pimpinan mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan para hadirin yang menjamu selera di medan selera tersebut.

Luar biasa bila Hanif teruskan siasatan

Harakahdaily, 29 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Tindakan yang paling luar biasa di akhir-akhir ini adalah apabila Tun Hanif Omar berkeras untuk terus mempengerusikan “panel penyiasatan bebas” terhadap keganasan Bersih 3.0.

Ini kerana, hampir semua pihak kecuali kerajaan Umno dan BN yang mengiktiraf perlantikan itu.

Demikian kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

Beliau mengulas tindakan Hanif yang terus mempengerusikan jawatankuasa siasatan yang tidak berwibawa dan ekoran itu tidak berani berdepan dengan wartawan.

Sesi sidang media yang telah dirancang lebih awal oleh Hanif dan panelnya telah dibatalkan semalam dan sebagai ganti hanya kenyataan media yang telah diedarkan.

"Ini merupakan satu bukti yang jelas bahawa Hanif dan panel bebas ini sedar yang orang awam tidak yakin panel ini boleh bertindak secara bebas, adil dan saksama terhadap keganasan Bersih 3.0 tanpa mengira jika mangsa-mengsa itu adalah kakitangan polis, wakil media dan perserta perhimpunan aman itu," kata Lim Kit Siang yang juga anggota Perlimen Ipoh Timur itu.

Sebelum ini, Hanif meminta agar pihak yang mengkritik serta meragui integritinya untuk mengetuai panel penasihat bebas mengenai perhimpunan BERSIH 3.0 supaya melihat kembali rekod lama semasa menganggotai beberapa jawatankuasa penyiasatan.

Namun, rekod Hanif yang tidak menjumpai ayat Al Quran yang mengharamkan judi adalah track rekodnya yang paling jelas.

Kalau ayat menentang judi tidak ditemuinya bagaimana beliau mahu memberikan keadilan kepada perhimpunan Bersih 3.0.

Bagi Lim Kit Siang (gambar), sememangnya luar biasa – apabila bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar berkeras untuk mempengerusikan “panel penyiasatan bebas” terhadap keganasan Bersih 3.0 padahal beliau dan ahli-ahli panel yang lain patut mengundur diri.

"Apa yang Kabinet patut lakukan adalah membatalkan panel ini dan sokongan penuh diberi kepada penyiasatan awam Suhakam terhadap apa-apa pencabulan hak asasi manusia dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 Aprilm," kata beliau.

Dalam tempoh sebulan yang lalu, kerajaan telah melancarkan satu kempen fitnah untuk mencerca Bersih 3.0 dan pakatan Rakyat boleh dianggap sebagai ‘watak utama’ dalam kempen fitnah ini.

Hanif sendiri memegang ‘watak utama’ dalam kempen fitnah ini dari awal lagi apabila memberi sokongan membuta tuli terhadap dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang perhimpunan Bersih 3.0 sebenarnya adalah satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan, katanya.

Apa yang lebih menghinakan, kata Kit Siang, adalah apabila Hanif berkata yang beliau dapat mengenalpasti individu-individu pro-komunis di Bersih 3.0.

Ia dibuat berdasarkan demonstrasi-demonstrasi 1970an dan memberitahu media yang ajen-ajen provokasi dan kanak-kanak digunakan dalam Perhimpunan Bersih 3.0 sebagai “taktik komunis”.

"Bagaimana Hanif akan menukar prasangka buruk mengenai Bersih 3.0 melainkan beliau menarik balik prasangka ini?" soal beliau.

Dalam beliau mempertahankan integriti beliau dan perlantikan sebagai pengerusi panel penyiasatan itu, Hanif masih tidak sedar akan situasi sebenarnya.

Jika Hanif masih tidak mahu menarik balik kenyataan prasangka mengenai Bersih 3.0, beliau haruslah mengambil tempat sebagai “saksi utama” dihadapan mana-mana penyiasatan Bersih.

Ia bertujuan untuk memberi justifikasi pendirian beliau dan bukan mempengerusikan panel tersebut untuk menyiasat apa yang benar-benar telah berlaku di Bersih 3.0.

"Jika tiada bukti yang didapati selepas penyiastan dijalankan, adakah Hanif bersedia untuk mengumumkan secara terbuka yang kedua-kedua Perdana Menteri dan diri beliau mengaku salah dalam dakwaan yang perhimpunan Bersih 3.0 adalah satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan?" soalnya lagi.

Berbanding dengan kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengambil alih kempen fitnah ini dengan tuduhan perhimpunan Bersih 3.0 adalah “persediaan” Pakatan Rakyat untuk mencetuskan kekecohan dan keganasan bagi menolak keputusan Pilihanraya Umum Ke-13, nampaknya rakyat lebih membenci dan menolak panel Hanif, dakwa Kit Siang.

Dalam tiga tahun yang lepas, selepas menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sering menyebut “era kerajaan serba tahu sudah berakhir” (“the era the government knows best is over”).

Oleh itu, bagi Kit Siang, ini merupakan satu ujian samada beliau akan benar-benar mengotakan yang disebut itu dan menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia menolah panel Hanif itu.

Najib mesti bertindak dengan lebih tegas untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa beliau dan kerajaan beliau serius dan ikhlas dengan membatalkan terus panel Hanif dan kerajaan memberi sokongan padu terhadap penyiasatan Suhakam dalam Bersih 3.0.

P’raya Presiden melakar masa depan baru Mesir

Syed Ahmad Fadhli, 29 Mei 2012
Setelah tumbangnya kerajaan pimpinan Presiden Hosni Mubarak pada revolusi Januari 2011, kini rakyat Mesir berpeluang untuk membuat pilihan secara bebas dalam pilihanraya presiden. Ia merupakan ujian yang besar untuk melihat sama ada kebangkitan di Tahrir Square  itu benar-benar membuahkan hasil dengan tamatnya riwayat rejim lama yang autokratik dan membina sebuah negara baru yang lebih demokratik.
Keputusan rasmi pilihanraya yang baru diumumkan menunjukkan calon Freedom and Justice Party (FJP), Dr Mohammed Mursi mendahului dengan meraih 24.4% bersamaan 5 764 952 undi manakala calon Pro-Mubarak, Ahmed Shafiq mendapat 23.3% undi. Ia diikuti dengan tokoh sosialis, Hamdin Sabahi daripada Parti al Karamah yang mendapat 23.3% undi manakala calon bebas yang juga merupakan bekas ahli Ikhwanul Muslimin, Abdul Moneim Aboul Futuh pula memperoleh 17.2%  undi.

Berikutan daripada tidak ada calon yang memperoleh sokongan melebihi 50% maka pusingan ‘run-off’ perlu diadakan. Pertembungan sengit dijangka akan berlaku antara Dr. Mursi  dan Shafiq. Keputusan ini agak mengecewakan bagi aktivis pro-demokrasi kerana calon pilihan mereka iaitu Sabahi dan Abdul Moneim gagal ke pusingan seterusnya. Ia juga mengejutkan sesetengah pihak bagaimana Shafiq yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri ketika di hujung pemerintahan Mubarak itu boleh mendapat undi yang besar sekaligus layak ke pusingan penentu pada pertengahan Jun nanti.

Pilihanraya presiden yang turut dipantau oleh mantan Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter ini begitu signifikan buat rakyat Mesir kerana ia merupakan titik-tolak untuk mereka memilih Presiden baru yang akan mengetuai negara setelah 30 tahun diperintah oleh diktator daripada kalangan tentera. Hasil daripada revolusi yang berlaku menunaskan harapan yang menggunung tinggi dalam jiwa sanubari rakyat untuk melihat negara Mesir yang baru.

Namun, jalan itu penuh berliku dan ia tidaklah seindah yang diimpikan bak kata pepatah “ku sangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari”.  Sehingga ke hari ini, Mesir masih ditadbir oleh Supreme Council of the Armed Forces (SCAF), yang diketuai oleh Jeneral Muhammad Hussein Tantawi. Sebagaimana yang diketahui ramai, institusi tentera Mesir merupakan antara saki-baki pewaris Mubarak yang senantiasa berusaha melemahkan kebangkitan rakyat.

Keamanan dan kestabilan masih belum dapat diwujudkan dengan sempurna. Kadar jenayah terus meningkat, ekonomi negara masih di tahap merudum dan sistem perkhidmatan awam tidak berfungsi dengan baik. Demonstrasi diadakan bersilih-ganti dan adakalanya berlaku pertempuran antara rakyat dan juga polis atau tentera. Rakyat terus mendesak Jeneral Tantawi agar segera menyerahkan kuasa kepada kerajaan yang dipilih rakyat. SCAF terus berdalih dan berjanji kuasa hanya akan diserahkan kepada Presiden yang baru pada 1 Julai nanti.

Ironinya, Presiden yang bakal menang kelak masih belum mengetahui kuasa yang akan diberikan mengikut perlembagaan.  Hal ini kerana perlembagaan yang baru masih belum disiapkan. Jawatankuasa penggubal perlembagaan yang majoritinya dikuasai oleh blok Islamis itu telah diboikot oleh blok liberalis dan ia telah digantung oleh Mahkamah Agung kerana dikatakan tidak mewakili pelbagai lapisan rakyat. Timbul kerisauan di kalangan umum sekiranya perlembagaan yang baru kelak akan memberi kuasa yang besar kepada golongan tentera. Kebimbangan ini ada asasnya apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri kerajaan sementara telah mengusulkan agar tentera mendapat bajet yang khusus yang tidak boleh disemak oleh parlimen.

Antara dua isu penting yang menjadi bahan kempen pilihanraya presiden ini ialah isu ekonomi dan keamanan. Taraf ekonomi Mesir yang sememangnya telah merudum sebelum berlaku revolusi kini masih belum pulih. Hampir separuh rakyat hidup di bawah paras kemiskinan, kadar pengangguran mencecah 25% dan kejatuhan kadar tukaran matawang asing.

Timbul juga persepsi bahawa Mesir telah menjadi semakin tidak aman dan huru-hara semenjak revolusi. Demonstrasi mingguan itu kadangkala bertukar ganas seperti yang berlaku pada awal bulan ini di hadapan Kementerian Pertahanan. Kerajaan Sementara juga tidak mendedahkan statistik kadar jenayah yang dikatakan terus meningkat termasuklah kes bunuh, rogol dan rompakan.

Walaupun undian umum media Mesir menjangkakan mantan Presiden Liga Arab, Amir Moussa yang akan mendahului dalam pemilihan pusingan pertama ini tetapi keputusan sebenar menunjukkan beliau hanya mampu berada di tempat kelima. Ada yang menganggap Dr. Mursi calon ‘spare part’ dan hanya pengganti kepada calon asal, Khairat Shater namun hasil kerja keras kempen partinya yang bertemakan “Islam is the Solution” telah membuahkan hasil. Sepanjang tempoh kempen Dr. Mursi menjadikan Renaissance Project sebagai agenda utama buat rakyat seandainya dipilih sebagai presiden kelak.

Lain pula kisah Shafiq yang digelar ‘feloul’ kerana pernah terlibat sama dalam rejim Mubarak. Shafiq tampil dalam kempen sebagai calon underdog yang lemah dan cuba meraih simpati ramai. Fokus kempennya pula berkisar pada pentingnya untuk mencegah kuasa golongan Islamis daripada terus melebar dan jaminan untuk mengembalikan kestabilan negara. Sokongan besar yang beliau perolehi ialah undi daripada golongan Kristian koptik yang risau akan kebangkitan Islam, golongan kroni Mubarak yang ingin terus mendapat manfaat, golongan polis dan tentera serta masyarat umum yang sudah keletihan dalam mencari keamanan pasca revolusi.

Antara isu lain yang menjadi tumpuan ialah polisi antarabangsa khususnya melibatkan Israel dan Amerika Syarikat. Israel pasti mengalami mimpi ngeri seandai negara jirannya ini diperintah oleh gerakan Islam yang berpengaruh, Ikhwanul Muslimin. Dr. Mursi berjanji untuk mengkaji semula Perjanjian Kem David 1979 manakala Shafiq awal-awal lagi akan terus mengekalkan perjanjian sedia ada. Kemenangan gerakan Islam juga akan turut memancarkan sinar harapan baru buat rakyat Palestin khususnya di Gaza. Manakan tidak, adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk membantu saudara seakidahnya dan membebaskan kembali tanah suci Masjidil Aqsa daripada Zionis Yahudi yang kejam itu.

Masa depan politik Mesir masih belum dapat dijangkakan dengan tepat kerana situasi semasa menunjukkan jalan berliku ini tetap perlu dilalui samada calon Islamis yang menang mahupun pewaris Mubarak yang menang. Berlakunya polarisasi di kalangan pengundi antara dua kepentingan samada menerima calon Ikhwanul Muslimin yang lebih cenderung untuk melaksanakan syariah atau memilih calon yang pernah bersekongkol dengan Mubarak. Kemenangan Shafiq pasti akan meleburkan kembali semua impian mereka yang menginginkan Mesir yang baru.

Revolusi 2011 yang telah mengorbankan 1000 nyawa itu tidak sewajarnya berakhir dengan sebegitu rupa. Pengorbanan mereka yang tak ternilai harganya itu tidak sewajarnya dibayar dengan memilih untuk kembali kepada pemerintahan silam. Sesungguhnya cabaran besar sedang menanti Presiden dan kerajaan yang baru untuk menyatukan kesemua rakyat sama ada Muslim, Kristian, liberalis dan golongan kiri di bawah satu lembayung pemerintahan baru Mesir.

Kini, amanah besar sedang digalas oleh setiap rakyat Mesir untuk melakar masa depan mereka sendiri. Janganlah pula tersilap langkah kerana buruk padah pasti menanti bak kata pepatah “terlepas mulut harimau, masuk mulut buaya”.

Sungguhpun golongan liberalis berpendapat pusingan run-off ini adalah the worst-case scenario yang membuatkan mereka terpaksa memilih antara dua persimpangan namun bagi kita semua yakinlah bahawa hanyalah Islam ad-Din yang akan menjadi penyelamat bukan sahaja di dunia mahupun akhirat sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencari agama (ad-Din) selain daripada Islam maka ianya tidak sesekali akan diterima dan di akhirat kelak tergolong dalam golongan yang rugi.”

Syed Ahmad Fadhli Syed Mahmad Hadzari ialah mahasiswa tahun 3 jurusan Sains Politik, UIAM.

Tiada rumah: Kerajaan gagal bela penjawat awam

Hazayani Zakaria, 28 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 28 Mei: Kegagalan kira-kira 60 peratus penjawat awam berpendapatan bawah RM3,000 sebulan memiliki rumah sendiri membuktikan kerajaan Umno BN gagal menjaga kebajikan rakyat.

Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat, Anuar Tahir (gambar) berkata, kerajaan seharusnya memikirkan program yang memberikan keselesaan jangka panjang kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Selama 54 tahun BN memerintah, ini yang mereka tinggalkan untuk rakyat, penjawat awam masih belum mampu memiliki rumah sendiri.

"Sepatutnya soal pemilikan rumah harus diberi keutamaan oleh kerajaan, bukan menghabiskan duit untuk projek-projek mega atau program untuk kesan jangka pendek sahaja malah tak mencapai sasaran pun. Rakyat biasa merintih tak ada rumah sendiri," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Baru-baru ini Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendapati kira-kira 60 peratus penjawat awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan terutama di Lembah Klang tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Cuepacs menjangkakan fenomena ini akan berterusan jika kerajaan tidak mengambil langkah tertentu termasuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dan menaikkan gaji kakitangan awam terbabit.

Mengulas perkara tersebut, Anuar berkata, PAS bersetuju dengan tuntutan Cuepacs agar kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan.

"PAS bersetuju dengan saranan Cuepacs itu dan Pakatan Rakyat juga mengutamakan soal pemilikan rumah kepada rakyat, bukan penjawat sahaja," katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan seharusnya mempercepat pelaksanaan gaji minimum agar rakyat yang berpendapatan rendah tidak terus terbeban dengan kos hidup yang semakin meningkat.

"Pentadbiran kerajaan tidak bersifat manusiawi jika tidka memikirkan perkara ini.

"Gaji hanya cukup-cukup makan dengan harga barang semakin naik, perbelanjaan lain, bagaimana nak membeli rumah?" soalnya.

Logo Pakatan: Rakyat tahu mana nak pilih

Anis Nazri, 28 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Selagi lapan perkara yang dituntut Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak dilaksanakan SPR, selagi itu isu dibangkitkan suruhanjaya itu tidak memberi kesan kepada Pakatan Rakyat.

Khususnya, perkara berkaitan larangan menggunakan logo sendiri membabitkan Pakatan Rakyat pada PRU ke-13, ia merupakan satu diskriminasi yang sengaja dilakukan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata biarpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertindak melarang atau menurunkan mana-mana bendera parti di kalangan Pakatan Rakyat, beliau yakin rakyat tahu menilai dan memilih parti pilihan mereka.

"Kita tiada masalah. Jika tiada logo PKR dan DAP di tempat calon PAS bertanding, kita yakin rakyat bijak memilih. Begitu juga di tempat-tempat DAP dan PKR bertanding," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, yang menyatakan Pakatan Rakyat tidak akan dibenarkan untuk menggunakan logo sendiri pada PRU ke-13 kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih belum meluluskan pendaftaran gabungan tersebut.

Tambah Salahuddin, isu yang lebih penting dibangkitkan SPR ialah isu membabitkan tuntutan Bersih, yang juga merupakan tuntutan bersama Pakatan Rakyat yang sehingga ini tidak diendahkan badan itu.

Mengulas status pendaftaran Pakatan Rakyat, Salahuddin melahirkan kekesalan kerana sehingga kini tidak mendapat sebarang jawapan daripada ROS.

"Sudah hampir dua tahun permohonan itu dibuat, sehingga kini tiada sebarang jawapan.  Saya tidak tahu mengapa, tetapi ia tidak menjejaskan jentera kita bagi menghadapi pilihan raya," tegas Salahuddin lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan