Ahad, 29 April 2012

SUSAHKE NAK CAKAP BENAR DAN JUJUR...

CERITA BERCANGGAH2...SAPE PENIPU DAN PEMBODEK..SUSAHKAH NAK BERCAKAP BENAR KOD...

Bersih 3.0 jadi huru-hara

SEBAHAGIAN daripada penyokong perhimpunan Bersih 3.0 cuba merempuh sekatan polis berdekatan Dataran Merdeka semalam.


KUALA LUMPUR - Perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 3.0 yang kononnya mahu menuntut pilihan raya yang adil bertukar ganas apabila penyokongnya bertindak mencederakan 11 anggota polis serta merosakkan harta benda awam ketika menyertai perarakan haram menuju ke Dataran Merdeka semalam.
Kesemua anggota tersebut termasuk seorang anggota wanita dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan pesakit luar akibat kecederaan di kepala, tangan serta patah gigi.
Dua daripada anggota itu ditumbuk dan dipukul dengan kon dalam insiden sebuah kereta peronda Proton Waja diterbalikkan di hadapan kompleks beli-belah Sogo.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pihaknya masih berjaya mengawal keadaan, malah berjaya menyekat para penyokong Bersih 3.0 daripada memasuki Dataran Merdeka.
Polis kelmarin mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang melarang pihak berkenaan daripada berkumpul di Dataran Merdeka mulai tengah malam kelmarin hingga 1 Mei.
Katanya, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air kerana perusuh bertindak ganas.
"Mereka membaling objek kepada polis dan memaksa polis membuka laluan untuk memudahkan mereka bergerak menghampiri Dataran Merdeka," katanya.
Antara yang menyertai Bersih 3.0 ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Kemuncak perhimpunan pada pukul 12 tengah hari itu ialah perarakan seramai 25,000 penyokong pembangkang yang dibawa dari seluruh negara untuk menceroboh Dataran Merdeka tetapi usaha mereka gagal.
Bersih 3.0 berakhir dengan 'hodoh'
FARAH ZAMIRA FARUSH KHAN
28 April 2012
Polis guna gas pemedih mata surai peserta Bersih
Peserta dan penyokong cuba bergerak keluar dari kawasan berhampiran selepas polis melepaskan gas pemedih mata sekitar 3.15 petang tadi. Foto ihsan oleh Fareez K.Intidzam
KUALA LUMPUR - Perhimpunan Bersih 3.0 yang dirancang untuk diadakan secara aman berakhir dengan kekecohan apabila segelintir peserta dan penyokong merempuh pagar halangan polis untuk memasuki Dataran Merdeka, pada jam 3 petang tadi, menyebabkan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menembak gas pemedih mata.
Rempuhan itu dibuat hanya beberapa minit selepas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin lain, termasuk Datuk Ambiga tiba di tengah-tengah lautan penyokong.
Penyokong Bersih tidak bersurai sepenuhnya dan ada yang dilihat membaling semula bekas gas pemedih mata yang dilepaskan, menyebabkan FRU menggunakan meriam air.
Sebelum itu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengumumkan penganjur Bersih sedang berunding dengan pihak polis untuk dibenarkan memasuki dataran dan berjanji perhimpunan itu kekal aman.
Namun permintaan Azmin supaya penyokong bertenang sementara menunggu keputusan rundingan, tidak dilayan.
Terdapat penunjuk perasaan ditahan di akhir perhimpunan, namun jumlah sebenar belum diketahui.
Perhimpunan kali ini menyaksikan hampir 80,000 penyokong Bersih berkumpul di jalan raya sekitar Dataran Merdeka bagi menuntut pilihan raya yang adil.
Mengikut kenyataan awal polis, sekitar 25,000 orang berkumpul di ibu negara hari ini.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dipetik berkata pihaknya menganggarkan lebih 100,000 menyertai perhimpunan hari ini.
Difahamkan kira-kira 100 orang, yang menyertai perhimpunan Bersih 3.0, dipercayai ditahan berhampiran kawasan Dataran Merdeka petang ini selepas tidak mematuhi arahan polis dan merempuh sekatan yang didirikan.
Difahamkan sebahagian daripada mereka juga kanak-kanak.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa polis berjaya menghalang percubaan peserta perhimpunan haram untuk menceroboh Dataran Merdeka hari ini dengan merempuh pengadang dan kawat berduri dipasang selepas Mahkamah Majistet mengisytiharkan dataran itu sebagai kawasan larangan.
Sebelum bertindak, polis yang berada di belakang pagar penghalang itu telah mengeluarkan amaran sebanyak tiga kali kepada peserta perhimpunan agar tidak memasuki kawasan larangan itu.
Namun peserta tetap berdegil lalu merempuh serta cuba melepasi pagar halangan tersebut menyebabkan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan air mengandungi bahan kimia untuk menyurai dan mententeramkan keadaan dalam insiden kira-kira jam 3 petang.
Tindakan polis itu mengakibatkan peserta perhimpunan melarikan diri ke arah kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut.
Peserta perhimpunan bertindak balas membaling botol air plastik, botol air kaca dan kayu ke arah polis.
Pengerusi Bernama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan dan pemimpin pembangkang lain turut beredar dari tempat perhimpunan tersebut setengah jam kemudian serta turut meminta peserta untuk beredar.
Peserta perhimpunan sehingga kini masih berada berhampiran kawasan dataran dan kompleks membeli belah Sogo.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini melarang penganjur mengadakan perhimpunan tersebut di Dataran Merdeka kerana tempat itu hanya dibenarkan untuk acara-acara rasmi bertaraf nasional.
Polis semalam mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang melarang pihak berkenaan daripada berkumpul di Dataran Merdeka mulai tengah malam tadi hingga 1 Mei.
Tindakan boleh diambil terhadap mereka yang melanggar perintah itu, mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Polis dijadual mengadakan sidang media dalam waktu terdekat.
Bersih membuat perancangan untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka antara 2 dan 4 petang. Bagaimanapun usaha itu tidak diluluskan oleh polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kelmarin, polis memperoleh perintah mahkamah mengisytiharkan Dataran Merdeka sebagai kawasan larangan kepada penganjur Bersih 3.0 dan publik.
Ekoran rempuhan dan kekecohan itu, Anwar dan pemimpin lain dipercayai dibawa ke lokasi selamat sebaik penyokong merempuh pagar.
Penganjur Bersih 3.0 gagal patuhi Akta Perhimpunan Aman?

28 April 2012
Sebahagian daripada peserta berhimpun di kawasan berhampiran Dataran Merdeka, petang tadi sebelum di
Sebahagian daripada peserta berhimpun di kawasan berhampiran Dataran Merdeka, petang tadi sebelum disuraikan oleh polis. - Foto Khiru Shalleh Abdullah
KUALA LUMPUR - Perlakuan ganas, merempuh sekatan polis serta membawa anak kecil memperlihatkan bahawa penganjur perhimpunan badan bukan kerajaan (NGO) yang disokong pembangkang gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2011.
Meskipun penganjur telah pun memberi jaminan akan memastikan bahawa perhimpunan yang kononnya bertujuan untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil itu berlangsung dengan aman, namun perhimpunan itu tetap disusuli dengan pelbagai insiden yang melanggar undang-undang.
Misalnya, akta tersebut menggariskan seseorang di bawah umur 21 tahun tidak boleh menjadi penganjur manakala kanak-kanak bawah 15 tahun tidak boleh menyertai mana-mana perhimpunan.
Mana-mana orang yang merekrut atau membawa kanak-kanak ke perhimpunan atau membenarkan kanak-kanak pergi ke perhimpunan juga dianggap telah melakukan kesalahan, dan jika disabitkan boleh didenda sehingga RM20,000.
Pemerhati politik, Che Hamdan Mohamed Razali, daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu, berpendapat penganjur perhimpunan yang diketuai Datuk S.Ambiga disertai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang gagal mematuhi akta tersebut selain gagal mengawal pesertanya.
"Dari segi mengumpulkan orang untuk berhimpun memang Ambiga serta pemimpin pembangkang lain telah berjaya tetapi beliau selaku Pengerusi Bersama NGO itu gagal untuk mengawal para pesertanya supaya berkelakukan baik dan sopan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pensyarah Sains Politik itu berkata tindakan membawa kanak-kanak ke perhimpunan tersebut juga secara tidak langsung memberi isyarat bahawa tidak salah menentang pihak berkuasa.
Perhimpunan tersebut juga dilihat tidak hanya menjurus kepada tuntutan pilihan raya yang adil dan bersih, sebaliknya turut membawa beberapa isu lain antaranya isu Lynas, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) serta penyenaraian Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.
Menurut Che Hamdan, jika penganjur hanya mengutamakan isu berkaitan pilihan raya sahaja, beliau percaya peserta yang menyertai perhimpunan tersebut tidak ramai dan hanya berjumlah kira-kira 8,000 orang.
Sementara itu, perhimpunan tersebut juga boleh dikatakan gagal kerana tidak mencapai sasaran penyertaan iaitu 100,000 dengan polis menganggarkan seramai 20,000 peserta.
Bersih 3.0: KL pulih selepas lumpuh tujuh jam

28 April 2012
 Tinjauan dari udara peserta perhimpunan Bersih 3.0 berkumpul di Dataran Merdeka petang tadi. - Foto
Tinjauan dari udara peserta perhimpunan Bersih 3.0 berkumpul di Dataran Merdeka petang tadi. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Beberapa lokasi tumpuan awam pada hujung minggu di sekitar ibu kota kembali pulih menjelang 7 malam ini selepas hampir lumpuh selama tujuh jam ekoran perhimpunan yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan disokong pembangkang.
Peserta perhimpunan yang mula memasuki ibu negara seawal pagi di beberapa lokasi pertemuan yang paling berdekatan dengan Dataran Merdeka antaranya Masjid Negara, Masjid Jamek dan Menara Maybank akhirnya bersurai secara berperingkat.
Walaupun sekitar kawasan itu kembali 'hidup' semula, tinjauan Bernama mendapati anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis masih berada di lokasi tertentu bagi memastikan peserta perhimpunan itu tidak berkumpul semula.
Namun begitu, masih ada segelintir peserta perhimpunan masih berlegar di sekitar Jalan Tun Perak berhampiran Masjid Jamek.
Beberapa kawasan yang sebelum ini sesak kerana menjadi tumpuan demonstrasi jalanan, menjadi lengang manakala lalu lintas kembali pulih apabila demonstran meninggalkan lokasi tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang media selepas itu memaklumkan polis telah menjalankan tugas dengan profesional dalam menangani perhimpunan yang bertukar menjadi luar kawalan di sekitar Dataran Merdeka.
Dilaporkan seramai 388 demonstran telah ditahan dan dibawa ke Pusat Latihan Polis di sini sehingga 8 malam ini.
Di IPOH, satu perhimpunan di perkarangan Taman Rekreasi Sultan Azlan Shah berakhir kira-kira 3.30 petang tanpa kejadian yang tidak diingini tetapi cuma kesesakan lalu lintas dilaporkan berlaku di kawasan berhampiran tempat perhimpunan.
Di MELAKA, beberapa anggota Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengalami kecederaan ringan ketika menjalankan tugas di kawasan perhimpunan di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir.
Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lyle berkata, kejadian tersebut berlaku ketika petugas MBMB dan polis menghalang peserta perhimpunan itu yang dikhuatiri mengganggu pertandingan pancaragam di dataran tersebut. - Bernama
Ambiga: Bersih 3.0 berjaya, desakan didengar
Mohd Zulfadli Sharifudin
28 April 2012
Ambiga: Bersih 3.0 berjaya, desakan didengar
Ambiga yang dikawal ketat oleh pihak keselamatan dan Unit Amal Pas melambai ke arah peserta perhimpunan dan sempat berucap pendek.
KUALA LUMPUR - Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga menyifatkan perhimpunan Bersih 3.0 berjaya walaupun ia berakhir dengan pertembungan antara ribuan penyokongnya dan pasukan polis.

"Hari ini ialah hari yang bersejarah buat kita semua. Walaupun kita tak sampai Dataran Merdeka, kita sudah berjaya hari ini.

"Desakan kita sudah didengari kerajaan dan seluruh dunia. Semua kaum datang untuk pilihan raya yang bersih dan adil. Kita berjuang bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk anak-anak kita dan masa depan Malaysia," kata beliau.

Perhimpunan hari ini, walaupun tidak mendapat kebenaran untuk diadakan di Dataran Merdeka, ia diteruskan dan dicemari insiden merempuh sekatan didirikan oleh polis di lokasi bersejarah itu.

Beliau berucap dari atas sebuah kereta pacuan empat roda, di hadapan stesen LRT Masjid Jamek, sebelum berarak menuju ke persimpangan menuju ke Dataran Merdeka.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata: "Kami ucapkan terima kasih pada semua yang hadir."

"Kita nakkan pilihan raya yang bersih dan adil bukan kotor.

"Kita berhimpun untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan ini membuktikan perhimpunan ini berjaya apabila rakyat turun beramai-ramai secara aman tanpa sebarang kekacauan," kata beliau.
Hishammuddin: 'Saya sedih dengan apa yang berlaku'
Wartawan Sinar Harian
28 April 2012
Sebahagian peserta perhimpunan Bersih 3.0 baring di atas jalan.
Sebahagian peserta perhimpunan Bersih 3.0 baring di atas jalan.
KUALA LUMPUR - Polis telah menjalankan tugas secara profesional dalam menangani perhimpunan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disokong pembangkang yang bertukar menjadi luar kawalan di sekitar Dataran Merdeka di sini hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau berasa kagum dan bangga dengan polis yang tidak mudah melatah dengan provokasi yang dilakukan kira-kira 20,000 peserta perhimpunan itu.
"Saya sedih dengan apa yang berlaku hari ini, penganjur menjanjikan perhimpunan aman sebaliknya bertukar menjadi tidak terkawal walaupun kerajaan sedaya upaya memberi kebenaran untuk rakyat berkumpul secara aman di tempat yang
disyorkan.
"Mereka masih berdegil ingin mengadakan di Dataran Merdeka," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau mengulas kejayaan polis menghalang percubaan peserta perhimpunan haram itu menceroboh Dataran Merdeka dengan merempuh penghalang dan kawat berduri dipasang selepas Mahkamah Majistet mengisytiharkan dataran itu sebagai kawasan larangan mulai semalam hingga 1 Mei.
Hishammuddin kesal dengan pihak penganjur dan peserta yang sanggup memperjudikan keselamatan umum demi kepentingan minoriti seperti mereka.
Katanya, peserta perhimpunan itu perlu 'membayar balik setimpal' apa yang mereka lakukan iaitu menggadaikan keselamatan majoriti orang awam demi menyuarakan hak asasi mereka.
"Saya sedih dengan usaha transformasi kerajaan yang cuba kita bawa, seperti menghapuskan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan mewujudkan Akta Perhimpunan Aman, tetapi telah dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan
mengambil kesempatan mengajak rakyat berdemonstrasi dan mengancam keselamatan awam," katanya.
"Perkara mengenai orang ramai perlu lihat secara teliti, apa yang cuba penganjur katakan perhimpunan ini adalah aman tetapi tidak aman," katanya.
Hishammuddin berkata, bukan perkara mudah bagi kerajaan untuk mencapai keseimbangan antara hak asasi manusia dengan menjaga keamanan negara.
Beliau berkata, perhimpunan hari ini tidak menjejaskan keselamatan dan kepentingan awam di negara ini dan yakin dengan kemampuan polis menjaga keselamatan awam. - Bernama

PDRM nafi anggotanya terbunuh


MARAHKAN NYAMUK KELAMBU DIBAKAR... Aksi ganas penyokong perhimpunan Bersih 3.0 merosakkan sebuah kereta peronda di hadapan kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur semalam. Ada tompokan darah di atas kaki lima jalan.


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam tadi menafikan ada anggotanya yang terkorban ketika ditugaskan mengawal demonstrasi Bersih 3.0 yang bertukar ganas semalam.
Penafian itu dibuat PDRM melalui akaun Twitter rasmi pasukan itu.
Sebelum ini khabar angin tersebar kononnya seorang anggota polis dipercayai dari unit trafik terbunuh akibat dibelasah peserta Bersih 3.0 di hadapan kompleks beli-belah Sogo.

Maut tersepit jentera


TON menunjukkan tempat Mohd. Hishammudin yang maut selepas tersepit di antara jentera pembajak dengan lantai kayu rumahnya di Kampung Simpang Empat,Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Seorang peniaga pasar malam maut selepas tersepit di antara jentera pembajak kecil dengan lantai kayu tingkat atas sebuah rumah petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa, Mohd. Hishammudin Yusoff, 22, mahu mengeluarkan jentera jenama Jentani milik bapanya yang disimpan di ruang bawah rumah neneknya, Ton Yaakob, 70, di Simpang Empat Kangkung di sini.
Bagaimanapun, jentera tersebut secara tiba-tiba terjungkit menyebabkan mangsa yang duduk di tempat duduk terangkat ke atas lalu tersepit di lantai kayu rumah tersebut.
Bapa mangsa, Yusoff Ayob, 59, berkata, dia yang berada di tempat kejadian cuba menurunkan bahagian jentera yang terjungkit itu namun tidak terdaya kerana terlalu berat.
"Saya cuba menyelamatkan anak saya tetapi tidak boleh kerana bahagian dadanya dihimpit besi jentera dan belakangnya pula tersepit kayu lantai," katanya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Empat Kangkung di sini semalam.

Air 'sirap' telaga Pasir Puteh berbahaya

KOTA BHARU - Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan semalam mengingatkan orang ramai supaya jangan meminum air daripada sebuah telaga di Kampung Pintu Gerbang, Pasir Puteh kerana dipercayai mengandungi kandungan besi yang berlebihan dan boleh mendatangkan komplikasi buah pinggang.
Timbalan Pengarahnya, Abd. Rashid Ahmad berkata, fenomena air bertukar merah itu bukan peristiwa aneh khususnya di negeri ini memandangkan bentuk buminya mempunyai banyak kandungan mineral termasuk besi.
Menurutnya, mengikut Standard Kualiti Air Minuman 2009 Kementerian Kesihatan, kadar kandungan besi dalam air yang selamat diminum hanya 0.3 miligram seliter.

Pusaran angin setinggi bumbung


SHAHROM menunjukkan cermin tingkap rumahnya yang pecah akibat kejadian ribut di Muar semalam.


MUAR - Penduduk di Taman Sri Jeram 3, Bakri di sini terkejut apabila ternampak pusaran angin setinggi bumbung semasa kejadian ribut yang menyebabkan 16 buah rumah rosak teruk awal pagi semalam.
Seorang mangsa, Md. Saat Ali, 49, berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi, lebih kurang 15 minit selepas angin kuat dan hujan lebat.
Menurutnya, pada mulanya, dia terdengar bunyi angin kuat dari luar rumah yang berhampiran kebun kelapa sawit.
Bapa kepada dua anak itu terkejut apabila ternampak satu pusaran setinggi bumbung sedang melalui depan rumahnya dan terus bertindak menyelamatkan diri.
"Saya bersyukur kami sekeluarga selamat dan selepas ribut hilang saya dapati beberapa bahagian atap rumah saya musnah dan juga barangan dalam rumah rosak.
"Kejadian ini dirasakan begitu pantas sekali. Kerugian yang kami alami dianggarkan lebih RM3,000," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Mohd. Nazri Mohd. Robak, 42, pula masih terbayang-bayang pusaran ribut tersebut yang menakutkan itu.
"Ribut tersebut berbentuk pusaran angin dengan campuran air dan desiran kuat yang pada mulanya saya sangka bunyi orang bergaduh di luar rumah kira-kira pukul 6.30 pagi.
"Melihat keadaan itu, saya, isteri, seorang anak dan ibu yang berkerusi roda hanya berlindung dalam rumah serta berdoa tidak berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Perkhidmatan Rahsia keluar garis panduan


SEORANG pelacur sedang berjalan untuk mencari pelanggan di Cartagena, Colombia. - Reuters


WASHINGTON - Malu dengan skandal seks yang berlaku baru-baru ini, Perkhidmatan Rahsia Amerika Sarikat (AS) semalam mengeluarkan satu garis panduan baharu yang melarang ejen-ejennya daripada melawat lokasi-lokasi tidak diketahui atau membawa orang asing ke bilik hotel mereka.
'Standard moral' yang berkuat kuasa serta-merta itu juga melarang anggota pasukan yang bertanggungjawab atas keselamatan presiden daripada meminum minuman keras sepuluh jam sebelum melapor diri untuk bertugas.
Malah, seorang penyelia daripada Pejabat Tanggungjawab Profesional akan menyertai pasukan terbabit dalam tugasan-tugasan luar.
Garis panduan itu dibuat selepas sekumpulan ejen Perkhidmatan Rahsia AS dan anggota tentera diarah pulang dari Cartagena, Colombia. Mereka berada di sana untuk memastikan aspek keselamatan untuk lawatan rasmi Presiden AS, Barack Obama.
Namun, mereka dituduh mabuk, mengunjungi sebuah kelab bogel dan membawa pelacur ke bilik masing-masing. Sehingga kini, seramai lapan orang ejen telah dipecat dan tiga yang lain dibebaskan daripada tuduhan salah laku.
Pihak berkuasa AS juga kini sedang menyiasat satu tuduhan baharu berkaitan salah laku yang berlaku di El Salvador tahun lalu. Sekumpulan ejen dikatakan membayar perkhidmatan di sebuah kelab bogel dan membawa pelacur ke bilik masing-masing, sebelum lawatan rasmi Obama ke sana. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan