Khamis, 26 April 2012

SEPATUTNYA SEMUA SOKONG...TENTU NALURI MANUSIA INGINKAN BERSIH DARI PENIPUAN....JIKA TAK SETUJU BERSIH DARI PENIPUAN..NI AKAL ADA SOMETHING YANG TAK KENA...

MPK bertindak segera bersih sampah haram

Harakahdaily, 25 Apr 2012
KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil tindakan segera dengan membersihkan kawasan longgokan sampah haram yang menyebabkan gangguan khususnya penduduk sekitar Sungai Pinang, di sini.


Pemangku Yang Dipertua MPK, Ehsan Mukri berkata, majlis telah menggunakan sebuah jengkaut, tiga lori dan sebuah tong besar untuk tujuan itu dan dijangkakan kawasan sekitar dapat dibersihkan dalam masa dua minggu lagi.

Menurutnya, longgokan sampah haram itu seberat 60 tan akan diangkut dan dihantar ke pusat pelupusan sampah di Jeram, Kuala Selangor serta pada masa yang sama pihaknya juga akan memantau lokasi berkenaan untuk memastikan isu itu tidak berulang lagi.

“Kita prihatin dengan nasib yang menimpa penduduk dan kerjasama semua pihak telah memastikan masalah ini dapat diselesaikan dengan efektif dan ia akan berterusan (kerja-kerja pembersihan) di sini.

“Selain daripada itu, masalah ini juga perlu disegerakan kerana ia akan menyebabkan penduduk menanggung pelbagai risiko termasuk ancaman denggi,” katanya.

Ehsan berkata, selain daripada penglibatan pelbagai jabatan MPK, pihaknya juga  mendapat kerjasama daripada Pejabat Tanah Dan Daerah Klang yang turut komited membantu majlis menyelesaikan aduan yang dikemukakan penduduk sejak enam bulan lalu itu.

Menurutnya, majlis telah menyiasat pihak yang bertanggungjawab membuang sampah di situ dan MPK  telah mengenalpasti kumpulan berkenaan untuk dikenakan tindakan bagi mengelak kejadian itu berulang lagi kelak.

Kes Scorpene: Keengganan Zahid kerjasama dikesali

Khaulah Azwar, 25 Apr 2012
SHAH ALAM: Badrul Hisham Shahrin atau  Chegu Bard, Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) meminta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi mengotakan kata-kata beliau sebelum ini yang mendakwa bersedia berkerjasama untuk menegakkan keadilan berhubung isu komisen kapal selam Scorpene.

“Dalam pertengahan tahun lepas bila isu Scorpene ini dibangkitkan, dia seolah-olah bongkak di dalam negara.

“Dia kata tak ada masalah kalau diperlukan di mana juga mahkamah, dia berikan kenyataan, 'sanggup beri kerjasama' kononnya tiada benda yang nak diselindungkan dan berikan mahkamah tegakan keadilan.

“Tetapi yang terbaru sekali, bila kes ini betul-betul disebut di mahkamah Perancis ternyata dia pulak takut dengan alasan tak ada sebab nak gunakan duit sendiri untuk pergi ke mahkamah Perancis.

“Kata mahu mahkamah tegakkan keadilan tetapi tak mahu beri kerjasama. Cakap apa ini, selalu nak putar belit,” kata  Chegubard ketika dihubungi  harakahdaily hari ini.

Semalam Zahid telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan hadir ke mahkamah di Perancis samada dibiayai kerajaan mahupun dengan menggunakan wang dari poket sendiri.

Menurut Chegu Bard keengganan menteri pertahanan untuk hadir dalam siasatan di mahkamah Perancis akan memalukan rakyat dan menjejaskan imej negara.

“Kita difahamkan bahawa mahkamah Perancis telah menerima Najib dan Zahid selaku saksi dalam kes tersebut.

“Oleh kerana itu, jika Najib dan Zahid mengelak untuk hadir ketika dipanggil, menurut sumber perundangan, mahkamah Perancis boleh mengeluarkan waran tangkap kepada Najib yang suatu ketika dahulu adalah Menteri Pertahanan dan juga Menteri Pertahanan sekarang.

“Lebih penting lagi sekiranya ianya berlaku, ia bukan sahaja menjejaskan soal imej negara tetapi juga soal keselamatan negara," katanya.

Beliau turut meminta agar rakyat malaysia fikir “Apakah rasanya sebagai rakyat Malaysia apabila PM kita menjadi buruan di peringkat antarabangsa? Tentu memalukan kita semua.

“Ia tak mustahil, jika tak hadir sudah tentu waran tangkap boleh dikeluarkan melalui rangkaian Interpol dan sebagainya dan ini pernah berlaku terhadap diktaktor Augusto Pinochet yang ditangkap oleh rangkaian interpol di hospital,” ujar beliau merangkap Ketua PKR Cabang Rembau.

Terdahulu pada 29 Mei 2011, Zahid ketika menjawab soalan wartawan dalam isu yang sama berkata, di samping mahukan ketelusan dalam siasatan beliau juga mahukan mahkamah menentukan kebenaran.

Zahid turut memberitahu bahawa beliau bersedia untuk ke mahkamah sekiranya diminta berbuat demikian oleh mahkamah.

“Mereka boleh cabar kita di mahkamah. Kita mahu lebih telus. Berhubung dakwaan mereka, biar mahkamah tentukan kebenaran.

“Saya sedia ke mahkamah jika diminta berbuat demikian tetapi, syaratnya mesti diluluskan oleh kabinet

"Jika kabinet tidak benarkan, maka saya tidak perlu pergi,” menurut Zahid ketika itu yang jelas bertentangan dengan kenyataan terbaru beliau yang enggan berkerjasama untuk mahkamah membuktikan kebenaran,” ujar Chegu Bard.

Skandal pembelian scorpene oleh kerajaan Malaysia menimbulkan pelbagai kontroversi termasuk dikaitkan dengan pembunuhan warga monggolia, Altantuya Shaariibu.

Rakyat Sabah diajak turun ke Bersih 3.0

Harakahdaily, 25 Apr 2012
KOTA KINABALU: Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) mengajak seluruh rakyat Sabah untuk turun beramai-ramai bagi menyertai Himpunan Rakyat Bangkit 2.0 pada 28 April ini di Padang Merdeka, di sini.

Pengerusinya, Hisammuddin Sulaiman berkata, ia merupakan himpunan lanjutan yang terpaksa diambil setelah pelbagai kaedah yang sama sebelum ini gagal diselesaikan dengan baik oleh Kerajaan Negeri terutama melibatkan tanah rakyat. 

“Isu ini bukan pertama kali diketengahkan, bahkan kita juga sudah banyak menerima rungutan dan keluhan rakyat yang mengalami masalah tanah.

“Kita juga sudah membawa isu ini ke pengetahuan media dan perhatian Pejabat Ketua Menteri, namun apa yang dikesalkan ialah tindakan dan perhatian sewajarnya oleh pihak berkenaan tidak dipedulikan malah menyulitkan lagi keadaan,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Pemuda PAS Sabah, dekat Kingfisher pagi tadi.

Menurutnya, rakyat Sabah perlu sedar dan bangkit dalam menuntut hak dan keadilan. Hal ini bagi mengelakkan berlakunya penindasan di kalangan rakyat.

“Sebagai rakyat, kita perlu sedar bahawa kita juga mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan. Seperti apa yang berlaku sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman bukan sahaja mengelak untuk berjumpa dengan rakyat malahan melayan rakyat dengan cara yang tidak masuk akal.

“Tanah ini bukan untuk seminggu dua saja, tapi ianya digunapakai buat kepada generasi-generasi yang akan datang. Bila tanah kita ini dirampas dengan cara yang jahat, maka hak kita turut dinafikan oleh mereka.

Hisammuddin berkata, pihak kerajaan negeri perlu merangka satu mekanisma terbaik dan bertindak secara adil untuk menyelesaikan masalah tanah yang berlaku.

“Sudah menjadi kewajipan setiap kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tanah ini dengan cara yang bijak dan bukan dengan cara menindas golongan rakyat. Beberapa isu berkaitan perlu ditangani berkenaan seperti ketelusan dalam pemberian tanah, Tanah Hak Adat Sabah, pampasan dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau juga katanya akan memobilisasi rakyat bagi membangkitkan kesedaran untuk sama-sama turun dalam himpunan kelak yang juga turut dihadiri Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau 3.

50,000 muslimat PAS dijangka sertai Bersih 3.0

Hazayani Zakaria, 25 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menganggarkan tidak kurang 50,000 ahli dari seluruh Malaysia akan menyertai Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, 28 April ini bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf (gambar) berkata, DMPP mensasarkan 1,000 orang bagi setiap Dun dan surat pemberitahuan telah dikeluarkan oleh pusat ke setiap negeri dan kawasan.

"DMPP mengarahkan seluruh ahli dan jentera kita di peringkat cawangan, kawasan dan negeri untuk turun ke Bersih 3.0 dan DMPP mensasarkan 1,000 orang setiap Dun.

"Kerahan ini sudah diselaraskan mengikut negeri dan surat pun sudah dikeluarkan," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Rantau Panjang itu juga, terserah kepada setiap negeri untuk mengatur perjalanan ahli-ahlinya pada hari tersebut.

"Mekanisme perjalanan dan pergerakan terpulang kepada setiap negeri tapi DMPP menggalakkan mereka yang hadir berpakaian mengikut warna tema iaitu kuning.

Katanya lagi, DMPP juga giat mempromosikan program tersebut melalui media baru seperti facebook, twitter, blog dan medium ceramah ke setiap kawasan.

"DMPP memang sentiasa mewarwarkan Bersih 3.0 di laman sosial dan saya sendiri pun setiap kali ceramah sakan menyebut mengenai kepentinagn muslimat menyertai Bersih 3.0," katanya.

Justeru beliau berharap muslimat dapat bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) lain bagi menunjukkan solidariti terhadap tuntutan rakyat.

"DMPP berharap gelombang muslimat dapat menyemarakkan lagi perjuangan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil walaupuin mendapat pelbagai tentangan," katanya.

Teras tuntut Felda batal penyenaraian

Harakahdaily, 25 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menuntut agar langkah penyenaraian Felda melalui Felda Global Ventures Berhad Holdings (FGVH) dibatalkan segera.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata tujuan penyenaraian tersebut semakin jelas tidak memihak kepada kebajikan dan manfaat jangka panjang peneroka Felda.

Apatah lagi, katanya dalam pengagihan saham nanti telah terdedah wujudnya peruntukan untuk Felda memberi laluan kepada strategic partner yang melibatkan syarikat luar dari Israel.

“Felda yang kini adalah sebuah agensi cash rich. Oleh itu tidak perlu menyenaraikan Felda dalam bursa saham yang terdedah kepada naik surutnya harga saham,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau juga mempersoalkan apa perlu Felda menyenaraikan aset peneroka dalam pasaran saham untuk mengumpul modal jika jelas Felda memiliki wang tunai yang banyak.

Katanya, Teras berpendapat jika aset peneroka ditukar dalam bentuk saham yang tidak menentu harganya dan di luar kawalan Felda, maka risiko jangka panjang amat tinggi bila monopoli oleh syarikat besar akan mengambilalih seluruh saham Felda.

“Apa jaminan pihak kerajaan bahawa aset tanah peneroka akhirnya tidak juga terheret dalam perniagaan saham terbuka?” soalnya lagi.

Setakat ini, ujarnya jaminan Perdana Menteri bahawa tanah Felda yang ada peneroka tidak akan dilibatkan hanya pengumuman lisan dan tidak ada jaminan ia tidak akan berlaku.

Menurutnya, pihak kerajaan tidak menjelaskan bagaimana aset tanah akan terhindar dari pemindahan milik jika Felda tidak ada kuasa menentukan hal ini di Bursa Malaysia.


“Malah, pengagihan saham bila IPO diisytiharkan setakat ini tidak dijelaskan bagaimana ia tidak akan merugikan peneroka bila pihak lain mula membeli saham secara proksi,” katanya.

Setakat ini, ujarnya bantahan oleh peneroka tidak boleh diketepikan hanya dengan keputusan sebuah mesyuarat agung KPF yang tidak sebenarnya diwakili oleh majoriti peneroka.

Mohd Azmi menambah, oleh kerana penyenaraian itu adalah suatu langkah yang sangat besar dan melibatkan masa depan peneroka Felda, maka suara bantahan yang wujud di kalangan peneroka tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

“Teras menuntut supaya ia dibatalkan di atas fakta bahawa  sekarang isu ini berada di tahap penuh kontroversi yang memerlukan pihak kerajaan perlu menimbang semula keputusannya,” ujarnya.

Beliau berkata, kini Felda adalah satu-satunya agensi yang mengendalikan aset tanah paling luas dalam negara.

Katanya lagi, aset tanah yang ada tidak boleh diperjudikan melalui pasaran saham kerana ia adalah aset strategik sebuah negara, ia bukan aset Felda tetapi hanya menguruskannya.

Tambahnya, tidak ada gunanya harga saham mencapai tahap tinggi sedangkan aset sebenar telah dimiliki pihak lain.

“Teras menuntut agar penolakan peneroka yang tidak sedikit terhadap penyenaraian ini akan mengujudkan keadaan yang tidak stabil kerana Felda bukan lagi dilihat sebagai pembela nasib peneroka,” katanya.

Perlu diingatkan, ujarnya peneroka tidak mendapat harta tanah dalam rancangan Felda secara percuma.

Malah, katanya setiap perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Felda perlu dibayar semula oleh peneroka melalui pemotongan hasil yang diperolehi dari hasil ladang.

“Malah masih ramai di kalangan mereka yang dicatat sebagai peneroka yang masih berhutang kepada Felda.

“Oleh kerana itu peneroka berhak bersuara ke atas sebarang usaha yang melibatkan nasib mereka dalam jangka panjang,” ujarnya lagi.

Persada seru ahli turun Bersih 3.0

Salmiyah Harun, 25 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Kelantan Darul Naim di Selangor dan Kuala Lumpur (Persada) sebagai sebuah NGO bebas menyokong sepenuhnya sebarang usaha ke arah memastikan PRU di Malaysia telus, bersih dan profesional.

Persada juga berpendapat, penganjuran Himpunan Bersih 3.0 'Duduk Bantah' adalah satu tindakan yang proaktif dalam mencapai hasrat murni seluruh masyarakat yang cintakan keadilan dan integriti.

"Ia sesuatu yang harus disokong dan didokong oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira anutan agama mereka batasan kaum, pegangan ideologi politik dan sahsiah," demikian tegas Setiausaha Agong Persada Razali Mat Ail.

Katanya, Himpunan Bersiah 3.0 pada 28 April ini tidak harus dilihat sebagai satu tindakan politik tertentu tetapi menjangkau lebih daripada itu.

Jelasnya kepada Harakahdaily, semua pihak perlu melihat dari pelbagai aspek lain yang lebih penting terutamanya dalam mendesak pengendalian proses pilihan raya yang harus diperbaiki untuk memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati hasil yang bersih dan adil.

"Imej Malaysia sebagai sebuah negara yang dipimpin oleh kerajaan yang diberi mandat secara sah telus dan adil perlu diperbaiki dan tidak diragui," katanya.

Justeru, Persada juga ingin menyeru ahli-ahlinya untuk turut mengambil bahagian secara aktif dalam usaha ke arah mobilisasi rakyat bagi menjayakan Perhimpunan Bersih 3.0 dan menegaskan bahawa perhimpunan secara aman adalah menjadi hak rakyat Malaysia.

P.Pinang wujudkan akademi pembelajaran, badminton

Salmiyah Harun, 25 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bakal menyediakan pusat pembelajaran dan akademi badminton yang pertama khususnya kepada anak muda negeri itu.

Menurut Ketua Menterinya Lim Guang Eng, Pusat Pembelajaran Pulau Pinang (PLC) dan Akademi Badminton Pulau Pinang (PBA) yang menelan belanja RM4 juta ini akan mengambil masa selama 18 bulan untuk siap.

Beliau percaya bahawa PLC dan PBA akan memberikan khidmat kepada masyarakat dari segi menyediakan lokasi yang unik di mana pelajar yang kurang bernasib baik akan mempunyai tempat yang sesuai untuk mengikuti kelas tuisyen dan mempelajari bahasa baru serta cemerlang dalam badminton.

Katanya, pembinaan kedua-dua tempat berkenaan disumbang oleh Yayasan ECMLibra dan 3 rakan kongsinya iaitu, Lim Kian Onn, Dato' Seri Kalimullah Hassan dan Dato' David Chua Ming Huat.

Tanah seluas 2.9 ekar milik Kerajaan Negeri ini terletak berhampiran Kampung Buah Pala di Sri Delima dan Bukit Gelugor.

Pembinaan Pusat Pembelajaran Pulau Pinang dan Akademi Badminton Pulau Pinang akan memenuhi keluasan sebanyak 1 ekar.

Apabila siap, katanya dua buah bangunan tersebut akan diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri yang juga akan menguruskannya.

"Sebuah perpustakaan, tujuh buah kelas bahasa dan tuisyen, enam hingga lapan gelanggang badminton dan kantin akan disediakan.

"Antara bahasa yang akan diberi tumpuan ialah bahasa asing selain daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil. Pengguna juga boleh mendapatkan makanan dan minuman di dalam bangunan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada Yayasan ECM Libra yang telah banyak menyumbang ke arah menggalakkan pendidikan dan penguasaan bahasa terutamanya untuk generasi muda.

Katanya, ini akan membantu Pulau Pinang mencapai aspirasi menjadi sebuah bandar antarabangsa dan pintar yang bersih, hijau, selamat

Simbah cat rumah Mazlan ke-3 dalam seminggu

Harakahdaily, 25 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Gabungan Tanah Rakyat (Tanah) cukup kesal dengan pihak-pihak tertentu yang cuba mengancam dengan menyimbah cat merah di rumah Pengerusi Tanah yang juga Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Setiausaha Tanah, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, kejadian itu disedari oleh isteri Mazlan pada jam 3.30 pagi selepas beliau balik daripada suatu program ceramah di Parit Sulong.

“Isteri beliau terhidu bau cat minyak di bekalang rumahnya di Felda Bukit Ramun, Kulai,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, kejadian itu merupakan kejadian ketiga berlaku dalam tempoh seminggu di Negeri Johor.

Jelasnya, insiden pertama berlaku pada 19 April lepas di Markaz PAS Air Merah, Mersing dan kedua pada 22 April di kedai makan Setiausaha Persatuan Anak Pengerang (PAP), Azhar Mansor.

Baginya, perbuatan tidak bermoral itu berkemungkinan ada kaitan dengan cadangan Tanah yang akan menganjurkan suatu Himpunan Tanah Rakyat pada 5 Mei depan bermula jam 2.00 petang di Plaza Angsana, Johor Bahru.

Menurut Suhaizan lagi, antara tuntutan Tanah adalah menuntut kembali Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, menyiasat penyerahan tanah KTMB Tanjung Pagar, menghentikan pengurniaan tanah kepada KPRJ/kroni dan merampas tanah penyeleweng.

Semalam, Mazlan dalam kenyataannya kepada media memberitahu akan menurunkan 10 ribu ahli dan penyokong-penyokong Tanah ke Dataran Merdeka pada 28 April ini sebagai tanda sokongan Tanah kepada Himpunan Bersih 3.0.

Katanya, Tanah akan bekumpul di Menara Maybank jam 1.30 petang kemudian berarak secara beramai-ramai ke Dataran Merdeka.

Ekoran kejadian di rumah Mazlan itu, Suhaizan berkata, Tanah mendesak kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap motif kejadian dan mendakwa pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian itu.

“Ini bagi mengelakkan kejadian di ingini berlaku selepas ini,” ujarnya.

Unggun Bersih 3.0 sudah mulai nyala

Mohd Sayuti Omar, 25 Apr 2012
Suasana himpunan Bersih - Duduk dan Bantah kini mulai hangat. Wap dan petanda KL akan banjir dengan manusia Sabtu depan sudah makin jelas. Kalau beberapa hari lalu Bersih seperti sejuk dan tidak ghairah, kini suhunya sudah berlainan. Di mana-mana orang sudah mulai bercakap fasal baju kuning dan Bersih.  Dada juga sudah mendidih dan bulu tengkok sudah merinding. Begitu juga para pasukan keselamatan sudah mula membuat perancangan masing-masing bagaimana untuk menghadapi armada Bersih.
Mereka menyokong penuh Bersih.
Hari ini saya beberapa orang teman Fb saya menghubungi atau bertanya saya di mana boleh dapatkan baju kuning bertulis Bersih 3.0. Ada yang yang oder sampai 100 helai. Panggilan datang dari dari Johor, Pahang, Melaka dan juga Kedah. Ini memberi gambaran warna kuning sudah mulai menabiri mata orang ramai di seluruh negara. 

Kehangatan ini ketara sejak dua hari lepas, apabila pihak DBKL mulai bertindak merampas khemah dan peralatan perkhemahan pelajar membantah PTPTN di Dataran Mereka.

Penangkapan tersebut menjadi perhatian umum dan secara tidak langsung mengingatkan orang ramai kepada Bersih. Sebelum itu serangan samseng tahi minyak juga menimbulkan kemarahan. Setiap kali orang melihat muka pelajar bersembur dengan darah yang terpampang di wall FB  maka ketika itu juga mereka ingat kepada Bersih. Bersih akan dijadikan medan untuk 'membalas' dendam. Bagi mereka pelajar berkenaan tidak seharus dilayan seburuk itu.

Situasi itu ditambah pula oleh 'pertunjukan sarkas' budak-budak atau politician hingusan cap buntal tibai gambar Anwar Ibrahim di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru. Sekumpulan manusia buntal beramai-ramai telah mengamuk dan menimbai gambar Anwar kerana marahkan kepada pemimpin itu yang tidak memenuhi kehendak mereka.

Tembakan Bersih 2.0 oleh Fru.
Acara diketuai presiden Perkasa(am) yang terkenal dengan ketololan itu dianggap paling bodoh dan setaraf dengan aksi sekumpulan manusia yang memijak kepala lembu tidak lama dulu. Perbuatan itu bukan saja sia-sia tetapi mendedahkan kecetekan akal budi mereka dan kerendahan moral mereka.  Mereka mendedahkan standard politik kelas mereka. Bunyi khabar Umno berdukacita di atas kejadian itu. Umno yang cerdik dan intelek tidak bersetuju dan mereka sendiri pun tidak mengiktiraf perwujudan kumpulan buntal itu.

Pakatan pertahanan rakyat Bersih 2.0
Demikian juga dengan sikap 'mulut manis jubur masam' Menteri Dalam Negeri dan Datuk Bandar DBKL yang berdolak dalih untuk menyekatkan himpunan itu, menambahkan minat orang ramai untuk bangkit menyertai Bersih 28 April ini. Sikap dolak dalih dan cakap tak serupa bikin itu menjadikan orang ramai naik meluat dengan kedua institusi itu. Baik orang ramai tidak peduli kepada rapat itu menjadi mereka mula memberi perhatian.

Lautan rakyat Bersih 2.0
Hishamuddin mulanya mengatakan dia tidak ada apa-apa masalah dan membenarkan himpunan berkenaan, tetapi selepas tidak sampai setengah jam polis membuat kenyataan akan melarang himpunan itu kalau diadakan di Dataran Merdeka. Apakah erti semua ini kalau bukan politik standard budak-budak. Datuk Bandar Kuala Lumpur pula tumpang sekaki mempersendakan dan cuba menunjuk baik hati dengan menawarkan tempat lain untuk Bersih.

Sebahagian wanita Bersih 2.0 melangkah gagah.
Pengerusi Bersih, Pak Samad Said namun tidak berganjak tetap mahukan Bersih diadakan di Dataran Merdeka juga. Apa hendak jadi, jadilah. Keberanian Pak Samad sebagai komandan kali ini seakan mencabar orang lain yang lebih kuat dan gagah dari untuk ramai-ramai hadir pada 28 April depan. Syabas dan tahniah kepada Pak Samad yang juga wajar dilantik sebagai Presiden Sasterawan Negara.

Dari beberapa maklumat kini para peserta dari seluruh negara sudah membuat persiapan rapi. Misalnya ada yang menempah tikit bas dan keretapi untuk ke Kuala Lumpur. Sesetengah syarikat bas ekspres dari Kelantan dan Terengganu sudah kehabisan tiket pada tarikh berkenaan. Yang lain pula akan turun dengan kereta sendiri atau menumpang kawan-kawan atau pun keretapi.

Orang ramai dijangka mulai memenuhi ibu kota mulai lusa kerana sesetengah negeri hujung minggu mereka ialah hari Jumaat.

Sementara di Kuala Lumpur dalam tinjauan ringkas, hotel budget di beberapa kawasan KL telah pun habis ditempah sejak beberapa hari ini. Ia memuncak dua tiga hari lepas selepas pihak berkuasa DBKL dan Polis mula bertindak ke atas perhimpunan mahasiswa di Dataran Merdeka. Sementara itu ramai yang telah menghubungi waris warah yang berada di Shah Alam, Kelang, Setapak, Cheras dan Gombak untuk tumpang tidur.

Keadaan ini tambah disemarakkan lagi apabila parti politik terutamanya Pas membuat kerahan terbuka supaya ahlinya datang beramai-ramai. Mursyidul Amnya, Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meminta ahli parti itu menghadiri ke himpunan itu. Katanya kehadiran adalah wajib. "Kita perlu hadir untuk menentang ketidakadilan," katanya. Seruan itu cukup untuk dijadikan fatwa kepada orang-orang Pas untuk membanjiri Dataran Merdeka.

Manakala Presiden Pas Abdul Hadi Awang siang-siang lagi menyatakan kesediaan untuk hadir ke himpunan berkenaan. Presiden Amanah Mereka, Tengku Razaleigh Hamzah yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada himpunan Duduk dan Bantah itu telah membatalkan permergiannya ke Sabah yang dijadualkan pada tarikh sama. Maklumat dari Sabah memberi tahu program perlancaran Amanah Sabah ditunda ke tarikh lain kerana ia bertembung dengan Bersih 3.0.

Dipercayai penundaan itu ada kena mengena dengan kenyataan Tengku Razaleigh yang menyatakan sokongan terbuka kepda Bersih.  Bagaimana pun sehingga saat ini belum dipastikan apakah Tengku Razaleigh akan ikut bersama dalam himpunan bersejarah Duduk dan Bantah itu.

Dalam perkembangan lain pihak DBKL katanya hari ini sudah mula memagarkan kawasan Dataran Merdeka tempat yang dijadikan tumpuan itu. Katanya DBKL akan meletakkan gelong kawat duri di sekeliling kawasan itu. Tindakan DBKL akan menyebabkan keghairahan orang ramai untuk membanjiri Ibu Kota 28 April ini semakin menjadi-jadi lagi.

Kawat, water cannon, belatan tidak akan mampu menghadang kuasa rakyat 28 April ini. Apa yang saya bimbang nanti apabila sudah ratusan ribu berhimpunan di Dataran Merdeka mereka akan menggulung polis, rela dan petugas DBKL termasuk SB sendiri dalam kawat duri.

Melihat kepada kehangatan ini pihak penganjur Bersih sepatutnya berterima kasih kepada DBKL, Polis dan juga kumpulan yang melakukan upacara menibai gambar Anwar di Kampung Baru malam kelmarin.. kerana gara-gara aksi mereka yang tidak masuk akal dan bebal itulah menyebabkan unggun Bersih 2.0 kini sudah mulai berasap untuk membentuk api Bersih 3.0 lebih besar dan hangat. Barang kali di sinilah hikmat di atas kejadian itu yang kita merasakan ianya tidak ada faedah sebaliknya membawa manfaat besar. - http://www.msomelayu.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan