Isnin, 9 April 2012

KITA PATUT KEJAR KEREDAAN ALLAH SERTA RAHMAT ALLAH...BUKAN KEJAR DUNIA HINGGA DERHAKA PADA ALLAH SERTA MELAWAN SYARIAT....INGAT MATI...INGAT HARI KEBANGKITAN@AKHIRAT..SEMUA AKAN DIHUKUM MENGIKUT KEJAHATAN MASING2 DAN TIADA SEORANG PUN YANG AKAN TERLEPAS...BODOH AGAMA KESAN TAK BELAJAR DAN BERAMAL...DITAMBAH TELAH DISESAT OLEH SYAITAN...

Sabah dan misi Pakatan ke Putrajaya

Ahmad Lutfi Othman, 08 Apr 2012
Selain Kelantan, rakyat Negeri Di Bawah Bayu juga popular dengan kecenderungan siasahnya yang lebih terbuka dan berani membuat keputusan. Lama sebelum tsunami politik melanda Semenanjung, Mac 2008, bumi Sabah sudah menyaksikan perubahan kepemimpinan negeri; ada kalanya berlaku secara mengejut dan tidak dijangka.

Parti-parti yang menerajui kerajaan negeri bersilih ganti. Daripada United National Kadazan Organization (UNKO), pimpinan Donald Stephens, kepada United Sabah National Organizatin (USNO), diasaskan Datu Mustapha Datu Harun, kepada Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) diketuai Fuad Stephens dan Haris Sallah, seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) diterajui Joseph Pairin Kitingan.

Penyertaan mengejut PBS bersama Gagasan Rakyat pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah menjelang Pilihan Raya Umum 1990 mendorong Umno bertapak di Sabah, seterusnya menguasai negeri itu sehingga kini.

Sabah dan Sarawak menyumbangkan kerusi Parlimen yang agak besar, masing-masing 31 dan 25, menjadikannya 56 kerusi. Ia membentuk satu perempat atau 25 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat.

Dalam kedudukan BN buat pertama kali telah dinafikan majoriti dua pertiganya di Parlimen dalam pilihan raya 2008, dan kini banyak pihak bercakap tentang kemungkinan tampuk pemerintahan Pusat bertukar tangan,  tumpuan tidak dapat lari daripada meneliti setiap perkembangan di Sabah dan Sarawak.

Kita dapat menyaksikan bagaimana kedua-kedua negeri itu mula diberi perhatian dan layanan "istimewa", terutama selepas ura-ura ramai ahli Parlimen BN akan melompat parti, menjelang 16 September 2008.

Di atas kertas, digembar-gemburkan peruntukan pembangunan di sana ditambah, begitu juga jawatan strategik dalam kabinet dan kerajaan, juga posisi penting di Parlimen. Namun begitu, sebenarnya Sabah dan Sarawak masih tertinggal jauh, termasuk daripada segi kemudahan paling asas.

Dalam suasana setiap kerusi (malah setiap undi) begitu penting dalam PRU13 -- bagi memudahkan laluan ke Putrajaya dan  membentuk kerajaan Persekutuan -- maka Pakatan Rakyat tidak  boleh memandang ringan setiap potensi yang ada di Sabah dan Sarawak.

Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10, pada April 2011, telah menyuntik semangat dan keyakinan baru kepada aktivis Pakatan Rakyat. Kubu kebal BN di negeri yang dianggap "simpanan tetap" atau "fixed deposit" itu mulai retak. Daripada 71 kerusi Dun yang dipertandingkan, BN kalah 16 kerusi, dengan DAP menang 12 dan KeADILan, 3.

Dalam PRU12, BN Sarawak hanya kalah satu kerusi Parlimen. Diunjur daripada trend pengundian 2011 itu, sekurang-kurangnya sepuluh kerusi diramalkan dikuasai Pakatan, sebahagian besarnya di kawasan majoriti pengundi Cina. (Saya akan mengulas hal ini dalam Harakah keluaran akan datang).

Ya ... tiba-tiba Sabah yang agak muram pergolakan politiknya seperti mendapat inspirasi menakjubkan. Rakyatnya mula ghairah berbicara soal perubahan dan keperluan untuk merobah kerajaan Persekutuan, kalaupun belum bersedia menumbangkan Ketua Menteri, Musa Aman.

"Target yang lebih praktikal adalah untuk Sabah bersama-sama menyumbangkan kerusi Parlimen yang mencukupi untuk Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Pusat," kata penganalisis politik, Musli Oli.


Senario menarik negeri jiran Sarawak itu bakal merebak ke Sabah. BN dilihat tidak sehebat mana lagi, terutama berdepan pelbagai isu membabitkan salah guna kuasa, penyelewengan, korupsi, kronisme dan juga pengabaian yang begitu ketara terhadap kemudahan awam, terutama bekalan air bersih.

Apabila diminta mengisi slot dalam seminar kewartawanan dan media baru PRU13 di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Sabah, 31 Mac lalu, saya dapat merasai komitmen padu penggerak parti, diketuai pesuruhjaya sendiri, Aminuddin Aling.

"Sdr perlu selalu turun ke Sabah, melaporkan aktiviti PAS yang kian meriah dan mendapat sambutan hangat, agar bukan saja kami bertambah semangat, malah aktivis parti seluruh negara dapat berkongsi sama dengannya," bisik Timbalan Pesuruhjaya Hamzah Abdullah kepada saya, selepas beliau, Aminuddin dan Setiausaha Perhubungan, Ustaz Awang Leman Ikin selesai mengadakan sidang akhbar mengenai penggunaan kalimah Allah. Hamzah merupakan Pesuruhjaya PAS Sabah pertama ketika mula bertapak pada  1986.

Jika dalam pilihan raya 1986 PAS bertanding tiga kerusi Parlimen, iaitu Kota Belud, Jambongan dan Kimanis, saya difahamkan  untuk PRU13, Parti Islam ini mungkin diamanahkan untuk bertanding sejumlah kerusi yang jauh lebih besar, mungkin mencatat rekod sepanjang 26 tahun berjuang dengan penuh getir di Sabah.

BN kalah 14 kerusi Parlimen?


Dalam kunjungannya ke Kota Kinabalu, 31 Mac lalu, di sebuah restoran di bawah Pejabat Perhubungan PAS Negeri Sabah, wartawan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN sempat berbicara dengan penganalisis politik Sabah, Musli Oli, 52, yang juga Penolong Ketua Penerangan KeADILan, Sabah. Lulusan ekonomi yang banyak menulis buku-buku politik ini merupakan bekas Presiden Mahasiswa Sabah Universiti Malaya, awal tahun 80-an.


HARAKAH: Bagaimana sdr melihat situasi politik Sabah?


MUSLI OLI: Dalam pilihan raya 2008, BN menang 24 daripada 25 kerusi Parlimen. Hanya kerusi Kota Kinabalu dikuasai DAP. Sebenarnya ada empat atau lima kerusi parlimen boleh dimenangi parti pembangkang jika "satu lawan satu". Daripada 60 kerusi Dun, hanya satu dimenangi DAP, iaitu Sri Tanjung.


Waktu itu, Sabah dan Sarawak tidak mendapat isyarat yang jelas daripada negeri-negeri lain di Semenanjung. Justeru, rakyat "play safe" dan terus beri sokongan  kepada BN.

Situasi hari ini jauh berbeza. Ramai secara terbuka menyatakan perasaan tidak puas hati dengan isu-isu yang menyelubungi rakyat terutama isu pendatang tanpa izin, isu kemiskinan dan banyak lagi, yang gagal ditangani kerajaan BN.

Daripada urutan sejarah politik,   pemimpin Kadazandusun (KDM) seawal Tun Stephens amat berpengaruh dan mendapat sokongan daripada kaum mereka kerana sentimen tidak bersetuju dengan dasar kerajaan Pusat kepada Sabah.

Atas faktor sentimen marahkan dasar BN di peringkat Persekutuan itu, Sabah bertukar kerajaan beberapa kali dengan kebangkitan semangat KDM. Ia bermula pada 1976 bila USNO tumbang kepada  Berjaya pimpinan Stephens.

Diikuti kebangkitan PBS di bawah pimpinan  Joseph Pairin Kitingan pada pilihan raya 1985. Berjaya yang mendapat sokongan "sink and swim" dari Dr Mahathir  Mohamad hanya tinggal enam daripada 48 kerusi Dun!

Kerana taktik "pecah dan perintah"  Kuala Lumpur, KDM dipecahbelahkan kepada beberapa parti politik selepas pilihan raya negeri 1994. PBS, UPKO dan PBRS adalah parti-parti politik utama pimpinan KDM, di samping jumlah yang signifikan menyertai Umno.

Setelah PBS menyertai semula BN pada 2001 dan persempadanan semula kawasan pilihan raya (daripada 48 kerusi kepada 60), jumlah kerusi majoriti pengundi KDM, yang asalnya 20 menjadi 17 sahaja.

Dengan dua faktor itu sokongan KDM tidak lagi menjadi penentu politik Sabah.

Keadaan terkini pengundi KDM macam mana, ya?


Daripada 25 kerusi Parlimen Sabah, lapan kerusi majoriti KDM berada dalam situasi "tidak menentu"  berikutan isu-isu politik mutakhir terutama janji Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga yang begitu dekat dengan hati kaum KDM.

Antara isu-isu yang mendapat sokongan KDM ialah: Pertama, memulihkan Perjanjian 20 Perkara. Kedua, menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963. Ketiga,  menaikkan royalti minyak daripada 5 peratus kepada 20 peratus. Keempat,  menubuhkan siasatan diraja mengenai pendatang tanpa izin.

Kelima, memansuhkan dasar kabotaj yang menjadi punca harga barang keperluan di Sabah lebih mahal secara relatif dengan Semenanjung. Dan keenam, melaksanakan sepenuhnya dasar Borneonisasi.

Jika tidak ada perpecahan undi dan tercapai persetujuan "satu lawan satu parti" sesama pembangkang, lima kerusi Parlimen KDM  boleh ditawan Pakatan pada PRU13.

Janji Pakatan ini secara umum bukan sahaja menarik sokongan KDM yang terkenal dengan keberanian mereka menukar kerajaan tetapi juga mempengaruhi sokongan kaum Bumiputera Islam yang masih dibelenggu kemiskinan.

Dengan kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia, di samping kadar pengangguran di Sabah yang teratas sekali,  golongan  muda mula secara terang menunjukkan protes terbuka terhadap BN dan Umno.

Jangkaan sdr ...
Saya meramalkan daripada 14 kerusi Parlimen diwakili Umno, lima hingga tujuh boleh dimenangi Pakatan, antaranya Kota Belud, Kudat dan Kimanis. Kerusi Parlimen yang sebelum ini diwakili LDP (1), SAPP (2) akan ditawan Pakatan di samping mengekalkan Kota Kinabalu.

Keseluruhannya, lima kawasan KDM, lima kerusi Melayu dan empat kerusi Cina, semuanya 14 akan jatuh kepada  Pakatan. Namun, saya kira BN masih mampu mempertahankan kerajaan negeri kerana fokus rakyat Sabah lebih kepada menawan Putrajaya.


Dalam PRU13 nanti, Umno-BN cukup mengharapkan Sabah dan Sarawak menjadi benteng terakhirnya. Tetapi dari tanggapan sdr itu, maknanya, Sabah bukan lagi "simpanan tetap" BN?

Istilah "simpanan tetap" adalah istilah Dato' Seri Najib Razak sewaktu berucap di Tuaran, Sabah pada 2008, beberapa bulan selepas  PRU12.

Rakyat Sabah hari ini mempersenda istilah itu dengan kata-kata seperti "jika ada bank yang tawarkan interest 20 peratus, buat apa simpan di bank yang bayar interest lima peratus"!

Lanskap politik Sabah berubah setelah PRU12, apatah lagi selepas melihat keputusan rakyat Sarawak pada pilihan raya negeri Sarawak, April 2011.

Apa sebenarnya isu-isu kritikal yang dihadapi rakyat Sabah?

Isu pokok ialah Perkara 20 dan Perjanjian Malaysia 1963 yang tidak dihormati kerajaan Persekutuan yang diterajui Umno-BN! Begitu juga isu tanah adat dan tanah warisan. Di Sabah setakat ini 485 kes pending di mahkamah berhubung  tindakan syarikat-syarikat yang merampas tanah rakyat.

Begitu juga isu royalti minyak. Dua pemimpin Sabah terkorban  kerana isu ini. Seorang korban jawatan, Tun Mustapha yang ditentang Tun Razak kerana meminta royalti lebih daripada 5 peratus  dan  Tun Fuad terkorban nyawa pada 6 Jun 1976 kerana enggan tanda tangan perjanjian dengan Petronas yang beri 5 peratus royalti.

Isu lain ialah kebanjiran pendatang tanpa izin dari Filipina dan Indonesia. Janji KLmemujuk rakyat Sabah menyertai gagasan Malaysia ialah melindungi Sabah daripada Filipina dan Indonesia ternyata tidak benar. Sebaliknya KL membiarkan Sabah dimasuki secara bebas dan Umno terlibat memberi kad pengenalan dan kerakyatan kepada mereka.

Selain itu, isu kemiskinan dan kemudahan infrastruktur yang daif. Pada tahun lalu, Penolong  Pengarah Kanan Jabatan Kebajikan Persekutuan, Asri Aziz dalam majlis "sedetik dengan media" menyatakan 68 peratus rakyat Sabah masih hidup di bawah paras garis kemiskinan.

Jika di Sarawak, Ketua Menteri, Taib Mahmud yang mentadbir lebih 30 tahun dianggap membebankan BN di negeri itu, bagaimana pula dengan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman? Sepanjang saya berada di sini, ramai bercakap tentang banyak projek pembangunan dikaitkan dengannya.

Seperti Harris Salleh yang tumbang dengan  Berjaya pada 1985, Musa Aman tidak mewakili kaum majoriti pribumi Sabah iaitu kaum KDM dan kaum Bajau. Musa terlalu fokus untuk memperkaya kaum keluarga dan kroninya.

Isu pengambilan tanah rakyat didalangi Musa Aman kerana kuasa meluluskan tanah adalah hak mutlak Ketua Menteri Sabah.

Suasana atau lingkungan politik nampaknya memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat, tetapi sejarah di Sabah menunjukkan pembangkang juga sering berdepan masalah sesama sendiri ...


Masalah pokok ialah untuk mencapai persetujuan dan kerjasama dengan parti-parti bukan Pakatan Rakyat seperti SAPP dan STAR. Jika gagal dicapai persetujuan "satu lawan satu" agak sukar untuk menggugat kedudukan BN yang mungkin menjadi dalang di belakang parti-parti pembangkang ini.

Begitu juga dengan masalah kewangan dan logistik yang masih menjadi halangan besar kepada pembangkang kerana keadaan dan geografi di Sabah

Hapus PTPTN, Pendidikan Percuma: Rasional atau Tidak?

Nasrudin Hassan, 06 Apr 2012
Isu penghapusan Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional [PTPTN] semakin rancak apabila reaksi mahasiswa dan anak muda terhadap tindakan kerajaan menafikan hutang Tan Sri Tajudin Ramli sebanyak RM589 juta.

Tan Sri Tajuddin menyebabkan liabiliti tanggungan RM8 bilion. YAB Datuk Seri Najib Tun Abd Razak memutuskan hutangnya sebanyak RM589 juta kepada Dana Harta dihapus kira walaupun tiga tahun lalu mahkamah memerintahkan beliau melangsaikannya.

Berbangkitnya  isu PTPTN oleh anak - anak muda dewasa kini, juga ekoran tindakan PTPTN bermaharajalela melebihi bank dan dilihat menindas graduan. PTPTN tidaklah dilesenkan sebagai sebuah institusi kewangan di bawah peruntukan Akta Perbankan dan Institusi Kewangan, apatah lagi tidak dikawal selia di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia.

Kalau kita disenaraihitamkan oleh bank kerana tidak membayar hutang, samaada hutang rumah atau kereta, mereka dakwa kita di mahkamah mengikut prosedur, dan kita masih boleh ke mana-mana hatta ke luar negara sekali pun.


Along Negara


Malangnya kes PTPTN ini, sebagai contoh pada 8 Jun 2011, Mandeep Singh [ isu pelajar UNISEL ] telah menjelaskan tunggakan sebanyak RM2,330.82 dan PTPTN telah mengesahkan pembayaran tunggakan itu, tetapi 6 Julai 2011 pelajar terbabit ditahan di LCCT oleh pegawai Imigresen kerana disenaraihitamkan dalam sistem komputer Jabatan Imigresen Malaysia.

Insiden ini menyebabkan PTPTN dilihat tidak ubah seperti Along berlesen.


Along berlesen ini terus menjadi igauan ngeri yang sering menghambat keselesaan hidup anak muda yang terlibat.  PTPTN asalnya bukan wajib dipinjam, ia adalah optional disamping biasiswa negeri dan JPA.
Namun wang PTPTN terpaksa dipinjam kerana ibu bapa tidak terdaya menanggung bayaran pengajian dan kampus yang tinggi. Sehingga kini negara mempunyai  1.8 juta peminjam PTPTN dan mereka ini antara golongan muda yang berumur 20 hingga 35 tahun.
Tapi  lihatlah apa musibah PTPTN ke atas mereka :

a]  Purata sehari seramai 60 peminjam PTPTN ditahan Imigresen di lapangan terbang antarabangsa.

b] Seramai 69,573 daripada 104,083 peminjam yang disaman oleh mahkamah sehingga Oktober 2011, kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka. (66.9% disaman)

c] Sehingga September 2011, PTPTN hanya berjaya memungut RM2.74 bilion iaitu 48.34% berbanding RM6.04 bilion, jumlah yang sepatutnya diperolehi,  maka seramai 132,801 pelajar telah disenarai hitamkan dan tidak boleh keluar negara kerana tidak menjelaskan pinjaman.

Kurangkan beban rakyat


Justeru telah menjadi suatu yang telah diketahui umum bahawa komitmen Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara ialah menjaga kebajikan rakyatnya serta dalam masa yang sama memastikan pendapatan negara melalui pertumbuhan ekonomi sihat dan subur.

Maka saya melihat Kerajaan Pakatan Rakyat kelak sangat berpotensi untuk melunaskan komitmen tersebut melalui pembentukan sebuah pentadbiran yang adil, amanah, telus dan berintegriti atau menepati piawaian sebuah kerajaan yang disebut sebagai Good Governence.

Kerajaan selayaknya menjadi Payung Rakyat bukan menjadi Along Negara yang menghambat rakyat. Guna kekayaan anugerah Allah kepada negara kita untuk rakyat dan bangunkan negara melalui pembangunan yang memulangkan manafaat kepada rakyat terbanyak bukan hanya kepada kelompok elit dan kroni.

Sebelum ini, sejarah  Kerajaan UMNO dan BN sering dilihat menggunakan wang negara bernilai tinggi untuk bailout dan menjaga kepentingan syarikat GLC dan kroni yang mengalami kerugian besar dan hampir bankrap. Sebagai contoh mudah ialah :

a] MAS yang rugi sebanyak RM478 juta dan kerugian bersih setakat ini, sebanyak RM 1.2 billion. Bagaimana syarikat MAS mampu survive jika tanpa campur tangan kerajaan yang menyokong syarikat berkerugian besar ini ? persoalan lain yang berkaitan ialah bagaimana syarikat yang sepatutnya membawa pulang keuntungan besar tiba - tiba mengalami kerugian berskala besar pula ?

b] Syarikat milik penuh kerajaan Malaysia, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaporkan telah membeli Tanjong Energy Holdings, sebuah syarikat penjanakuasa bebas milik Ananda Krishnan yang memiliki loji janakuasa di serata Asia. Dilapor oleh The Singapore Straits Times  bahawa 1MDB telah mengambil alih kepentingan Ananda dalam Tanjong Energy pada nilai RM8.5 Bilion.

c] Menyuntik modal RM750 juta kepada BBMB, sebuah bank milik kerajaan sebelum diambil alih oleh bank milik UMNO, Bank of Commerce dan membentuk Bank Bumiputera Commerce (BCBB)

d] Pembelian saham Technology  Resource Industries (TRI) oleh Dana Harta

e]  Pengambilalihan Celcom, anak syarikat TRI oleh Telekom
f]  Memaksa KWSP membiayai projek LRT Putra serta menyelamatkan L&G dan PLUS

g] Memaksa Petronas membeli saham Proton dan ambil alih Litar Sepang

h]  Pengambilalihan semula MAS oleh kerajaan daripada Tan Sri Tajuddin Ramli yang bernilai RM 1.8 bilion

i] Pengambilalihan syarikat UMNO, Renong dan UEM oleh kerajaan melalui Dana Harta

j] Pelaburan Tabung Haji melalui TH Technologies Sdn Bhd dalam projek ERL dengan penguasaan 80% saham yang menguntungkan kroni Perdana Menteri yang menjadi rakan kongsi YTL Corporation

k] Mamaksa Dana Harta menanggung hutang lapuk berjumlah RM39.326b milik BBMB, Sime Bank dan 66 institusi kewangan yang lain.

l] Memiliknegarakan IWK setelah ia mengalami kerugian.

Melalui pentadbiran jimat cermat dan bebas rasuah, saya berkeyakinan Kerajaan Pakatan mampu melunaskan komitmen yang diberi. Selama ini, dibawah pentadbiran UMNO dan BN, dana negara tiris dan bocor lalu mengalir ke longkang projek yang tidak mendatangkan manafaat kepada rakyat terbanyak. Sebagai contoh : [ wang negara boleh dijimatkan jika tiada perkara ini ]

a] Projek Menara 100 tingkat

b] kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya bakal menelan RM65 juta untuk kos tambahan dan pengubahsuaian, menjelaskan bagaimana peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri memecah rekod dengan catatan RM 15.8 bilion.

c] PERMATA [Rosmah]  projek tanpa hasil signifikan kepada pembangunan negara. Perlaburan yang kabur dan tiada pulangan dalam masa terdekat.

Realitinya, sejumlah RM 28 bilion kerugian yang terpaksa ditanggung oleh negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa sebagaimana yang dinyatakan dalam Laporan Audit Negara 2009.

Jika ketirisan wang negara [peruntukan kerajaan] dapat dikawal, RM 28 bilion dan untung Petronas RM 90 bilion sepatutnya mampu untuk meringankan beban rakyat terutama dalam menjamin masa depan pendidikan rakyat.

Bagaimana PTPTN boleh mansuh


Sebenarnya tidaklah sukar untuk melihat PTPTN ini dimansuhkan. Justeru PTPTN adalah simptom akibat tradisi korporat, komersial dan kapitalisme dalam kampus tempatan sehingga menyebabkan pendidikan tinggi sebagai suatu perjudian sehingga mahasiswa dan keluarga mereka terpaksa bergolok gadai.

Jika Pakatan Rakyat benar - benar mampu mengawal pentadbiran dan dana negara dari pembaziran, rasuah, ketirisan dan penyelewengan ditambah pula keupayaan menjana pertumbuhan ekonomi sihat dan subur, maka kerajaan boleh menyediakan pakej kos pengajian tinggi yang paling minima dan tidak membebankan,  malah boleh sampai ke peringkat menyediakan tawaran pendidikan percuma kepada rakyat.

Apabila ini boleh dilakukan dan sepatutnya kerajaan boleh melakukannya, maka dengan sendirinya tiada siapa yang akan pergi menjerut leher di pintu masuk PTPTN.

Pendidikan percuma dari peringkat asas sehingga pengajian tinggi, suatu Sorotan

Kelihatan retorik dan tidak relevan tetapi ia [pendidikan pengajian tinggi percuma] adalah suatu kewajipan asas bagi sesebuah kerajaan adil perlu diberikan kepada rakyat.
Negara Libya [era Gaddafi ] pernah mencipta rekod pendidikan percuma dan elaun khas untuk mahasiswa yang berjaya ke menara gading. Libya hanya memutar wang minyak sahaja kepada kebajikan rakyat bukan melalui sumber lain selain polisi kerajaan untuk berjimat.

Belum ada kes atau rujukan negara yang muflis atau mundur kerana pendidikan percuma, sebaliknya pendidikan tinggi adalah modal pembangunan kerajaan bahkan negara akan mudah maju dan makmur jika ramai mahasiswa dapat dihasilkan.

Mahasiswa atau graduan yang kurang atau tiada hutang akan menjadikan mereka lebih fokus untuk memajukan diri, industri dan negara bukan sekadar bekerja over time siang malam untuk memikirkan hutang keliling pinggang.  Natijahnya mahasiswa yang gradusi dengan hutang tinggi akan menghasilkan modal insan robot yang bekerj untuk tembolok sendiri.

Negara yang mengekalkan pelaksanaan pendidikan percuma sehingga peringkat pendidikan tinggi ialah :

Sweden
Norway
Finland
Arab Saudi,
Kuwait
Cuba
Sri Lanka

Selepas yuran kampus dihapuskan, tiada lagi keperluan institusi kewangan atau tabung tertentu untuk memenuhi kehendak kapitalisme menara gading. Jua tidak lagi perlu berhutang dari Along Negara dan Along Negara bolehlah gulung tikarnya.

Contoh pengiraan  [Universiti Malaya]

a] 20,000 orang pelajar dengan yuran sebanyak RM3,000 setahun.

b] RM3,000 x 20,000 orang berjumlah RM60 juta.

c] Jumlah IPTA terkini 20 buah :

1. Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur,

2. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor,

3. Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor,

4. Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang,

5. Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor,

6. Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pahang,

7. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), KL,

8. Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah,

9. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sarawak,

10. Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah,

11. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak,
12. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), N9,

13. Universiti Teknologi MARA (UiTM), Selangor,

14. Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu,

15. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor,

16. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka,

17. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Perlis,

18. Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Terengganu,

19. Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kelantan,

20. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), KL

d] 20 buah x RM 60 juta = RM 1200 juta  [RM 1.2 bilion]

Jumlah ini masih mampu ditanggung kerajaan jika pembelian atau bailout syarikat kroni tidak dilakukan secara berleluasa serta wang tiris dikawal sementara wang untung seperti yang dihasilkan oleh Petronas diurus secara telus.

Rakyat terbanyak akan mendapat manafaat dari konsep Negara Berkebajikan yang jelas menepati kehendak Allah swt dan melandasi WahyuNya.

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka ( pintu pengurniaan rezeki ) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Surah al A'araaf : 96
------------------------------
Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Makin ramai penyokong, ahli tinggalkan Umno

Yaakub Dasan, 08 Apr 2012
RANTAU PANJANG, 8 April: Impian Datuk Seri Mustapa Mohamed mahu merampas Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 tergugat apabila semakin ramai ahli dan penyokong Umno meninggalkan parti itu.

Minggu lepas 69 bekas ahli dan penyokong Umno di Dun Gual Periuk menyertai PAS beramai-ramai membabitkan cawangan Umno Kampung Dangar dan Kampung Kedap.

Dan malam tadi pula seramai 152 lagi ahli Umno iaitu di Kampung Rengas, Chicha Tinggi Dun Bukit Tuku menyertai PAS beramai-ramai selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno Kelantan dan Rantau Panjang.

Pengasas Umno cawangan itu Awang Ismail, 55 atau lebih dikenali sebagai Che Seman berkata, beliau bersama rakan-rakan tidak mahu lagi bersekongkol dengan masalah yang melanda Umno sekarang.

“Ketua Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin dan pimpinan peringkat bahagian tidak lagi menjenguk dan melawat kami di peringkat akar umbi.

“Ini menyebabkan kami susah hendak mengadu sesuatu masalah. Selain itu banyak masalah lain yang membelit Umno sekarang. Ini menyebabkan kami berpakat meninggalkan Umno beramai-ramai,” katanya ketika ditemui selepas program ceramah dan penyerahan borang menyertai PAS.

Turut mengisytihar menyertai PAS, Umno Ketua Cawangan Umno Kampung Rengas, Zakaria Ismail, 45. Che Seman mewakili rakan-rakan menyerah borang kepada  Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun,  Adun Gual Periok, Ustaz  Mohamad Awang dan Presiden Persatuan Boksing Kelantan, Ramli Awang.

Sementara itu dalam majlis berasingan malam Jumaat lalu Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa meraikan ahli-ahli dan penyokong Umno Kubang Kerian pada satu program di tapak pasar minggu Kampung Binjal.

Program yang bermula jam 3 petang itu ahli-ahli Umno terbabit diraikan dengan jamuan bakar ayam dan minum petang. Manakala pada sebelah malam pula diadakan program Pemimpin Bersama Rakyat.

(Ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Ganti kerajaan yang tiada agenda laksana syariat

Mohd Azmi Abdul Hamid, 08 Apr 2012
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan kerajaan yang sedia ada yang tidak mahu melaksanakan syariat sepenuhnya, perlu diganti.

Akibat menolak syariat sebagai suatu alternatif  kepada sistem yang ada, yang gagal memperbaiki bukan sahaja nasib umat Islam malah gagal menjaga amanah uruskelola  negara dari segala kepincangan salahguna kuasa dan kewangan rakyat, Malaysia kini berhadapan dengan pelbagai isu sosio-ekonomi yang buruk.

Sebagai natijah kepada kerajaan yang tidak mempunyai sikap yang jelas terhadap menegakkan syariat, Mapim mendapati perlaksanaan syariat Islam terhalang di negara ini adalah akibat terbentuknya gejala masyarakat Islam sendiri tidak yakin dengannya sebagai alternatif kepada sistem yang sedia wujud.

Di samping itu juga pemimpin dan pihak kerajaan sendiri yang tidak mempunyai agenda untuk melaksanakan syariat Islam sepenuhnya di negara ini.

Sungguhpun soal syariat sebagai hukum Allah adalah suatu tuntutan dalam keimanan orang Islam, namun akibat kerajaan melaksanakan sistem pendidikan yang tidak memberi kefahaman yang betul  terhadap Islam, masyarakat Islam sendiri menjadi penghalang.

Lebih parah lagi sistem pendidikan sekular yang memisahkan pelajaran akademik dengan nilai serta pandangan hidup Islam telah menyebabkan generasi demi generasi yang lahir dari sistem yang ada tidak mesra dengan ilmu syariat malah menjadi amat terasing dari syariat.

Ditambah lagi golongan elit yang sekular di kalangan masyarakat Islam, yang memegang keyakinan bahawa sistem undang-undang Barat lebih superior, menjadi peneraju kepada pelbagai bidang pembangunan negara sehingga tidak meletakkan agenda menegakkan syariat sebagai tanggungjawab mereka.

Mapim mendapati pemimpim-pemimpin Melayu Islam kebanyakannya mempunyai aliran pemikiran yang amat asing dari Islam sehingga tidak terdapat kesungguhan mahupun kemahuan yang kuat untuk menjadikan syariah sebagai sistem arus perdana dalam negara ini.

Akibat dari itu, memasukkan kembali perundangan hudud dalam perundangan negara terbantut.

Kami berpendrian sepatutnya hukum hudud boleh dilaksanakan oleh negeri-negeri tanpa sebarang halangan dari Perlembagaan Persekutuan kerana tidak terdapat sebarang peruntukan yang tecatat yang menghalang hukum Islam dilaksanakan.

Mapim kesal wujudnya persekongkolan antara pemimpin Islam dan bukan Islam yang membiarkan hukum hudud yang disyariatkan dalam Islam dijadi bahan kritikan sehingga mengujudkan gejala fobia yang keterlaluan terhadap syariat.

Pernyatan terbuka pemimpin bukan Islam dalam kerajaan  yang menghina dan menyerang hudud tanpa asas dan hujah ilmu yang betul, adalah suatu fitnah yang dibenarkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu Islam dalam kerajaan.

Jelas pandangan mereka berasaskan sikap prejudis yang sangat tebal terhadap syariat Islam. Malangnya pemimpin-pemimpin Islam menyuburkan lagi sikap ini sehingga perlaksanaan syariat sepenuhnya terhalang.

Lebih parah lagi kejahilan beberapa individu yang dahulunya memegang kedudukan tinggi dalam kerajaan  menyatakan “Hudud tidak ada dalam Al-Quran” dan “ayat judi tidak ditemui dalam Al-Quran”.

Bukan sahaja ia mengesahkan kejahilan malah ia telah menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat. Malangnya Menteri Hal Ehawal Islam dan ulama dalam kerajaan tidak menegur dan memperbetulkan kenyataan mereka.

Mapim  menegaskan jika kerajaan gagal meletakkan perlaksanaan syariat Islam sepenuhnya sebagai agenda utama, maka selayaknya kuasa pemerintahan hendaklah diserah kembali kepada umat Islam untuk memilih pemimpin kerajaan yang lebih layak untuk mengembalikan kemuliaan syariah di negara ini.

Penulis ialah Setiusaha Agung Mapim/Pengerusi Gerakan Sokong Syariah (Gesa).

Integriti: Awang Adek terlepas, Shahrizat kena

Aslani M, 08 Apr 2012
BACHOK, 8 April: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dianggap tidak mengendah soal integriti apabila mengekalkan pelantikan Datuk Dr Awang Adek Hussin sebagai anggota Dewan Negara (Senator).

Sedangkan pada 6 Mei 2010 Timbalan Menteri Kewangan itu mengumumkan kerajaan mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Kenyataan berkenaan dikecam pelbagai pihak sehingga akhirnya kerajaan Barisan Nasional (BN) membatalkan cadangan tersebut.

Kewibawaannya lebih tercalar apabila beliau mengakui menerima RM100,000 yang dibayar kepada akaun peribadinya untuk kontrak yang dilulus pada November 2010.

Wang tunai itu difahamkan dimasuk ke akaun peribadi Awang Adek di sebuah bank di Bachok. Dakwaan tersebut dibuat blog Thewhistleblower711.

Bagaimanapun esok Awang Adek dijadual  mengangkat sumpah Ahli Dewan Negara bersama beberapa menteri termasuk Datuk Raja Nong Chik, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yussof berkata, transformasi ke arah lebih berintegriti yang disebut-sebut Perdana Menteri sebelum ini diangggap tidak memberi sebarang makna.

Ini kerana Fasal 45 (2) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan seseorang yang dilantik sebagai Senator hendaklah dipasti terbukti memberi perkhidmatan cemerlang kepada negara.

“Namun Dr Awang Adek sudah terpalit dengan banyak isu berkaitan soal integriti. Kalau Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak disambung sebagai Senator kerana isu RM250 juta, sepatutnya Ketua Umno Bachok juga perlu berdepan dengan situasi serupa.

“Seseorang anggota kabinet memasuk wang sumbangan ke dalam akaun peribadi tidak boleh dipandang mudah. Kita berharap SPRM tidak membiarkan kerana ia menyentuh soal integriti seperti dihasrat Perdana Menteri,” katanya di sini.

Pada 9 April 2009 Awang mengangkat sumpah sebagai Senator bagi membolehnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II. Sebelum ini beliau pernah dilantik sebagai Senator selepas pilihan raya umum 1999.

Bagaimanapun difahamkan penggal pertama pelantikannya sebagai Senator tidak mencukupi tiga tahun disebabkan parlimen dibubarkan pada 2004.

Wan Nik yang juga bekas anggota parlimen Bachok berkata, tempoh pelantikan Dr Awang Adek sebagai senator mungkin hanya tinggal setahun lagi bagi mengenapkan tempoh dua penggal.

Kata beliau sekiranya Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan terbabit gagal memenangi kerusi parlimen Bachok pada pilihan raya umum ke-13, tempohnya sebagai Senator akan berakhir.

PR bergaya ke Putrajaya jika pilihan raya bersih

Hazayani Zakaria, 08 Apr 2012
SHAH ALAM, 8  April: Kemampuan PAS melebarkan sayapnya dari kawasan kampung ke bandar-bandar besar membuktikan parti itu kini berupaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 bersama Pakatan Rakyat.

Timbalan Presiden, Mohamad Sabu (gambar) berkata, PAS yang pada mulanya bertapak di Pulau Pinang dan merebak ke kawasan yang mempunyai sekolah pondok akhirnya menembusi kawasan bandar, sehingga Shah Alam berjaya menyambut Jubli Peraknya.

"Apabila PAS mula merebak ke kawasan-kawasan yang ada pesantren, ia menjadi tapak kekuatan PAS khasnya di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak Utara. Selangor kalau ada pun sebelah Tanjung Karang dan Sabak Bernam.

"Kita mula merebak masuk ke kota-kota pada tahun 80-an dan 90-an. Di Shah Alam ini pun kita mula bertapak di sekitar kampung iaitu di Meru, Jalan Kebun.

"Sekarang PAS sudah berada di bandar, di taman-taman, Shah Alam, Bangi, Petaling Jaya. Bila kita berada di tempat-tempat ini bermakna kita akan ambil alih pemerintahan Putrajaya," kata beliau dalam ceramahnya di program Munajat Perdana Pertahankan Selangor sempena 25 tahun PAS Shah Alam di Stadium Melawati, dekat sini malam tadi.

Namun Mohamad berkata, hasrat PAS dan Pakatan Rakyat mara ke Putrajaya hanya akan tercapai jika pilihan raya berjalan secara bersih dan adil.

"Kita yakin mampu mara ke Putrajaya dengan gagah dan bergaya, dengan syarat pilihan raya bersih dan adil," katanya.

Justeru beliau berkata, perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini adalah suatu medan untuk menuntut pilihan raya yang bersih.

"Datuk A. Samad Said yang menyambut hari lahirnya yang ke-77 hari ini mengajak orang ramai duduk bantah menuntut pilihan raya bersih.

"Kalau anak muda umur 23 tahun tak turun, malulah," katanya.

Seruan sama turut dibuat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan kira-kira 5,000 hadirin.

"Sampai bila kita mahu ditipu dalam sistem pilihan raya? Maka, kena ada kekuatan raksasa rakyat dalam himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini," kata beliau.

Beliau turut mengingatkan jentera Pakatan Rakyat Selangor tidak leka kerana Umno BN mampu menggunakan apa sahaja cara untuk merampas kembali negeri itu.

"Di Selangor, kita jangan ambil mudah. Kalau 2008 Pakatan Rakyat ambil Selangor, tahun 2012 tanggungjawab kita untuk pertahankan Selangor," katanya.

Turut berucap malam tadi ialah Pesuruhjaya Selangor, Dr Rani Osman dan Yang Dipertua Shah Alam, Khalid Samad.

Revolusi yang diperlukan Pemuda PAS


07 Apr 2012
Kolum Kesatuan Fikrah adalah wadah untuk rakyat memperlihatkan kepelbagaian idea daripada lapisan-lapisan pemimpin PAS, dari yang veteran ke pemuda dalam isu-isu hangat yang membelungi negara kini.

Mewakili PAS Pusat ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, suara ulama diwakili oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama Ustaz Nik Muhammad Zawawi bin Hj Salleh manakala suara pemuda diwakili Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Jika anda mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanyakan kepada Abang Mat, Ustaz Tuan, Datuk Mahfuz, Ustaz Nik Zawawi dan Ustaz Nasrudin, sila email kepada hdaily.kesatuan.fikrah@gmail.com

Minggu ini, mereka berlima berbicara dengan soalan berikut:

Soalan apakah revolusi yang perlu ada dan dilaksanakan pemuda PAS untuk mendekati pemuda tanpa mengira agama dan bangsa?


Abang Mat



Reform perlu dibuat terhadap sejarah Islam itu sendiri. Sejarah Islam kini banyak yang dibawa oleh golongan monarki dan feudal.

Konsep oppressed dan oppressor (yang ditindas dengan yang metindas) dalam perjuangan perlu dibawa oleh ulama muda dalam PAS. Pemuda PAS perlu membuka minda dan memahami sejarah Islam daripada sudut lain, bukannya daripada sejarah yang dibawa oleh golongan monarki dan feudal.

Model kerajaan khalifah Umar Abd Aziz perlu diikuti dan dijadikan tauladan dan rujukan pemuda PAS.

Ini penting untuk perbandingan terhadap pemerintahan di negara – membolehkan pemuda PAS memberikan saranan bermutu dan rasional bagaimana sistem pemerintahan negara, dan kerajaan di negeri Pakatan Rakyat boleh diperbaiki berdasarkan model kerajaan Umar Abd Aziz.

Secara tidak langsung, ini akan menunjukkan bahawa Pemuda PAS turut memberikan penekanan kepada good governance sebagaimana hal ehwal Islam yang diperjuangkan sayap itu selama ini – dan ini bakal memudahkan tugas untuk mendekati pemuda tanpa mengira agama dan bangsa.



Pendekatan untuk menarik pemuda mestilah menyesuaikan segala agenda selaras dengan minat yang ada pada pemuda dengan memandu mereka ke arah pembinaan sahsiah dan jati diri yang sempurna.

Pemuda mempunyai masa depan yang panjang, maka mereka mesti disusun sesuai dengan tempoh pembesaran minat dan jiwa remaja mereka. Pemuda juga mempunyai semangat yang tinggi yang mesti diarah kepada perjuangan bagi membina masa depan negara  dan ummah.

Semangat yang berkobar- kobar tanpa bimbingan akan menjurus kepada semangat melulu, tindakan melampau dan bertentangan dengan nilai dan akhlak Islam.

Bagi mendekati pemuda, perlu digerakan rakan sebaya mereka ke arah perubahan. Biasanya jiwa orang muda adalah jiwa memberontak dan tindakan ini adalah pencetus semangat revolusi perubahan politik yang perlu digerakkan.

Dengan itu, program pemuda mestilah sesuai dengan mood pemuda kini. Penggunaan media baru yang menjadi saluran orang muda mesti dikuasai dengan baik dan berkesan.

Saya lihat kini pemuda telah berjaya menerokai bidang ini, dan apa yang perlu ialah peningkatan pengisian dan program bagi membina jati diri remaja.

Pemuda biasanya memerlukan sesuatu yang mencabar samada secara fizikal mahupun minda. Menubuhkan kelab rekreasi adalah salah satu jalan bagi menggerakkan program mencabar. Ekspedisi dan rekreasi mampu menarik minat remaja untuk berpatisipasi sama.

Penekanan harus diberikan pada persamaan antara bangsa dan agama bagi merentasi jurang bangsa dan agama yang sentiasa menjadi modal permainan parti pemerintah.

Pemuda mesti dididik melahirkan rasa meluat terhadap kezaliman, penyelewengan, penindasan, penipuan dan rasuah yang berlaku dalam pentadbiran negara. Pemuda mesti dibimbing untuk memahami pentingnya good governance dalam satu-satu pemerintahan dalam negara.

Perkara-perkara inilah yang boleh merentasi bangsa dan agama – dan inilah yang perlu diperkasakan dalam perjuangan Pemuda PAS untuk mendekati pemuda-pemudi negara daripada semua lapisan masyarakat.

Ustaz Tuan




Anak muda secara keseluruhannya adalah amanah dan tanggungjawab Pemuda PAS untuk didekati, didampingi serta membimbing mereka. Justeru Islam adalah prinsip perjuangan PAS dan Pemudanya, maka objektif dekat dan damping serta hala arah bimbingan itu juga adalah Islam.

Mendekati anak muda tentunya dalam pelbagai versi lantaran wajah anak muda juga dalam pelbagai kategori. Kreativiti sangat diperlukan bagi menjayakan hasrat pemuda PAS mendekati anak muda. Ia adalah dakwah yang sangat unik dan mengujakan, terutama berdepan karenah anak muda di zaman ini.

Langkah paling utama bagi Pemuda PAS lakukan ialah  membentuk satu mindset yang positif bahawa Pemuda PAS mesti merobohkan apa jua tembok yang memisahkan mereka dengan pelbagai colour anak muda di luar sana.

Samada tembok yang dibina oleh warna kulit dan rupa bangsa begitu jugalah tembok yang dibina oleh apa jua bentuk sentimen, Pemuda PAS mesti mencari jalan untuk segera merobohkannya.

Mudahnya Islam mengajar penganut dan pendokongnya dengan akhlak dan nilai kemanusiaan yang tinggi. Menolak sengketa dan permusuhan sebaliknya Islam mendidik agar saling bertolong bantu dalam perkara yang membawa kebaikan kepada semua pihak.

Langkah kedua, Sayugia, Pemuda PAS mesti menjadikan PAS rasa dimiliki oleh semua anak muda pula bijak berbahasa dengan bahasa anak muda. Rendahkan sayap, tanpa terkurung dalam kelompok sendiri  lalu keluar untuk menyelinap di hotspot anak - anak muda.

Pemuda PAS selayaknya memiliki pakej yang menepati setiap aspek dan sudut hati budi anak muda khasnya di zaman langit terbuka ini.

Islam tidak pernah memusuhi agama, bangsa, bahasa dan warna kulit sebaliknya Islam datang untuk menghulur dan memberikan tawaran kesejahteraan, keamanan, perpaduan, keadilan, kesaksamaan, ketelusan, keselesaan, saling hormat menghormati dan keselamatan di dunia jua di akhirat.

Islam hanya memusuhi kezaliman, penindasan, penyelewengan, perpecahan, pengkhianatan, pecah amanah, penipuan dan sebagainya.

Sebagaimana prinsip Islam maka begitulah sewajarnya tindakan Pemuda PAS sekalipun terhadap anak muda bukan Islam. Justeru, Islam juga menganjurkan hubungan yang harmonis antara umat Islam dan bukan Islam. Malah bukan Islam mempunyai hak-hak tertentu yang dijamin dan dipelihara oleh Islam.

Tidak hairan jika Islam membenarkan Tahaluf Siyasi [ kerjasama politik ] antara umat Islam dan bukan Islam. Suatu kerjasama yang dibina atas kesamaan tindakan dan sikap terhadap kezaliman, penindasan, penyelewengan, rasuah dan sebagainya. Maka untuk merentasi sempadan bangsa dan agama, maka fokus penerangan juga harus ditekankan kepada usaha menentang kezaliman, penindasan, penyelewengan dan rasuah yang kian tidak terkawal di negara Malaysia.

Sementara itu, jalur kemanusiaan dan sistem nilainya memberi lebih erti dan makna betapa Pemuda PAS mesti membina hubungan dengan semua pihak sungguhpun berlainan bangsa dan agama.

Stigma lama yang masih lekat dalam kepala sebahagian ummat Islam di Tanah Melayu ini mesti dihakis segera, seperti memberi gelaran negatif dan tidak selayaknya kepada bukan Islam. Doktrin perkauman dan asabiah mesti ditolak oleh Pemuda PAS.

Pemuda PAS juga harus menekankan penerangan bahawa Islam adalah suatu sistem kehidupan yang syumul, dan bagaimana Islam dapat menjaga hak-hak semua yang duduk di bawah sistem kurniaan Allah ini.


Ustaz Nasrudin




Ustaz Nik Zawawi

Dewan pemuda mesti lebih profesional dan efisyen dalam mengatur sterategi dakwah dengan Islam sebagai tunjang, dan penekanan harus diberi kepada bagaimana Islam adalah satu sistem kehidupan yang syumul, di mana semua mempunyai tempat dan hak yang saksama terjamin di dalam Islam.

Pemuda PAS juga mesti lebih peka kepada tuntutan perubahan semasa seperti menggunakan teknologi IT terkini sebagai medan dakwah baru untuk mendekati para pemuda. Dalam berdakwah, boleh disertakan juga fakta-fakta situasi semasa isu hangat yang sedang membelunggi negara.

Selain itu, pemuda PAS juga mesti mendalami isu-isu agama yang mempunyai persamaan dengan agama lain dan boleh diperjuangkan secara bersama – seperti menolak rasuah, kezaliman, penindasan dan penyelewengan.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan