Jumaat, 27 April 2012

KITA MERANCANG..TAK KITA RANCANGAN KITA JAHAT ATAU BAIK...ALLAH YANG MENENTUKANNYA...CUMA JIKA KITA GUNA YANG JAHAT...AKHIRAT AKAN DIHUKUM..DIDUNIA TIADA KEBERKATAN...

KPF kesal digugur dalam proses penyenaraian FGVH

Harakahdaily, 27 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 27 April: Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) merasa terkejut dan kesal dengan tindakan FELDA yang menggugurkan KPF daripada terlibat di dalam proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd (FGVH) sebagaimana yang diumumkan oleh Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada 25 April 2012 yang lalu.

Anggota Lembaga KPF, Datuk Zainal Hassan berkata, keputusan yang dibuat oleh FELDA itu adalah bercanggah dengan pengumuman berkaitan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa membentangkan Bajet 2012 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober 2011 yang menyatakan: “Walau apa pun, hak dan faedah peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan majoriti saham oleh Koperasi Permodalan Felda”.

“Ucapan ini jelas membayangkan pendirian rasmi kerajaan bahawa meskipun FGVH bakal disenaraikan di Bursa Malaysia, kepentingan 230,000 ahli KPF yang terdiri dari peneroka, generasi kedua dan kakitangan FELDA akan tetap terpelihara melalui pemilikan saham majoriti oleh KPF di dalam entiti FGVH yang disenaraikan,” ujarnya dalam satu kenyataan bagi pihak KPF.

Beliau menegaskan, KPF berpegang bahawa apa yang diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri itu adalah polisi kerajaan yang sepatutnya dipatuhi dan dihormati oleh FELDA.

Berikut kenyataan penuh KPF.

Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) merasa terkejut dan kesal dengan tindakan FELDA yang menggugurkan KPF daripada terlibat di dalam proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd (FGVH) sebagaimana yang diumumkan oleh Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada 25 April 2012 yang lalu.

Keputusan yang dibuat oleh FELDA ini adalah bercanggah dengan pengumuman berkaitan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia yang dibuat oleh Perdana Mentari, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa membentangkan Bajet 2012 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober 2011, di mana YAB Perdana Menteri menyatakan: “Walau apa pun, hak dan faedah peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan majoriti saham oleh Koperasi Permodalan Felda”.

Ucapan ini jelas membayangkan pendirian rasmi kerajaan bahawa meskipun FGVH bakal disenaraikan di Bursa Malaysia, kepentingan 230,000 ahli KPF yang terdiri dari peneroka, generasi kedua dan kakitangan FELDA akan tetap terpelihara melalui pemilikan saham majoriti oleh KPF di dalam entiti FGVH yang disenaraikan.

KPF berpegang bahawa apa yang diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri ini adalah polisi kerajaan yang sepatutnya dipatuhi dan dihormati oleh FELDA.

Tambah mengecewakan, keputusan FELDA ini dibuat hanya beberapa hari sahaja selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF meluluskan dengan majoriti besar usul yang dibawa oleh Lembaga KPF agar KPF terlibat di dalam penyenaraian FGVH dengan pegangan saham melalui syarikat Felda Asset Holdings Company Sdn. Bhd. (FAHC).

Sebagai sebuah entiti yang menyokong sepenuhnya hasrat kerajaan untuk menyenaraikan FGVH demi masa depan peneroka Felda, sejak dari pengumuman Perdana Menteri tersebut dan disusuli pula dengan tawaran dari FELDA untuk membeli 51% ekuiti milik KPF di dalam Felda Holdings Berhad (FHB) dan 10 anak syarikatnya, KPF telah mengambil pelbagai tindakan proaktif antaranya menubuhkan jawatankuasa penasihat penyenaraian, melantik konsultan-konsultan, menganjurkan sesi-sesi taklimat kepada ahli KPF di seluruh negara serta mengadakan pelbagai perundingan dan mesyuarat dengan FELDA dan FGVH bagi memperhalusi segenap aspek penyenaraian tersebut dan seterusnya memastikan penglibatan KPF akan memberikan impak yang positif kepada KPF dan ahlinya.

Sepanjang tempoh tersebut, begitu banyak masa, tenaga dan kos yang tinggi  dibelanjakan oleh KPF semata-mata kerana KPF ingin melihat penyenaraian FGVH ini menjadi realiti.

Maka, selepas segala komitmen diberikan, adalah tidak wajar KPF diketepikan begitu sahaja.

Berhubung dengan tindakan injunksi sementara yang diambil oleh segelintir peneroka bagi menghalang mesyuarat agung luar biasa (EGM) KPF, ianya adalah diluar kawalan KPF.

Bagaimanapun KPF akhirnya berjaya mengenepikan injunksi tersebut melalui proses mahkamah yang sudah tentu mengambil sedikit masa.

Apatah lagi KPF terikat untuk mematuhi prosedur yang ditetapkan undang-undang untuk memanggil semula mesyuarat agung luar biasa.

Namun akhirnya, mesyuarat agung luar biasa dapat diadakan pada 19 April 2012 yang lalu di mana usul yang dicadangkan oleh Lembaga KPF telah disokong oleh majoriti besar perwakilan yang hadir.

Kepimpinan KPF memikul tanggungjawab untuk memastikan mandat dan sokongan besar ahli-ahli KPF yang terdiri dari kalangan peneroka dan kakitangan FELDA agar KPF terlibat di dalam penyenaraian FGVH ini dapat dilaksanakan dengan  jayanya.

Apa yang ironi di sini, hasrat segelintir peneroka yang terpengaruh dengan pertubuhan ANAK untuk menghalang penglibatan KPF di dalam penyenaraian FGVH nampaknya tercapai dengan pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi FELDA ini tanpa perlu mereka bersusah payah memfailkan lagi injunksi di mahkamah.

Tanggapan bahawa faktor kesuntukan masa untuk melibatkan KPF di dalam penyenaraian FGVH adalah diakibatkan oleh pelbagai tawaran balas KPF kepada FELDA hingga menjejaskan struktur asas penyenaraian adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Apa yang dikemukakan oleh KPF melalui sepucuk surat bertarikh 16 April 2012 kepada FELDA hanyalah merupakan cadangan-cadangan pindaan terhadap kandungan perjanjian jual beli saham-saham milik KPF kepada FELDA dan tidak melibatkan sebarang perubahan kepada struktur asas penyenaraian FGVH.

Justeru, Lembaga KPF yang bermesyuarat pada hari Khamis (26 April 2012) telah mengambil ketetapan untuk memajukan perkara ini kepada FELDA dan seterusnya kepada YAB Perdana Menteri supaya KPF dilibatkan kembali di dalam penyenaraian FGVH sebagaimana yang telah dipersetujui sebelum ini.

KPF amat mempercayai pertimbangan yang bijaksana oleh Perdana Menteri dan kerajaan yang sudah tentu akan membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

Rakyat dimusuhi berhimpun di Dataran Merdeka

Mohd Azmi Abdul Hamid, 27 Apr 2012
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kesal sikap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang beria-ia untuk tidak mahu membenarkan rakyat berada di Dataran Merdeka sepanjang 4 hari kerana Bersih 3.0.
Bertindak sehingga mendapatkan arahan mahkamah untuk menghalang rakyat berhimpun di Dataran Merdeka menunjukkan bahawa undang-undang diguna semaksimanya untuk menyekat suara rakyat yang mahu menggunakan ruang demokrasi yang sah di negara ini.

Dataran Merdeka yang asalnya adalah khazanah rakyat kini menjadi milik parti pemerintah secara mutlak atas nama undang-undang.

DBKL nampaknya bersungguh-sungguh mahu menjadi agensi kepada parti pemerintah bukan kepada kerajaan semata-mata.

Hanya kerana rakyat memilih mahu berada di Dataran Merdeka seluruh bala tentera polis dikerah bukan kerana suatu jenayah bakal berlaku, bukan kerana ada ancaman keselamatan, bukan kerana KL akan menjadi kota kacau bilau.

Hanya satu alasan sahaja. Datuk Bandar menerima arahan dari parti pemerintah.

Nampaknya kerajaan yang sepatutnya menjadi pelindung kepada hak rakyat kini menjadi punca masalah kepada hak rakyat dinafi. Kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab untuk memastikan rakyat boleh menyuarakan pandangan untuk mendapat jaminan pilihanraya yang bersih, ditohmah malah dilihat sebagai musuh yang perlu dihancurkan.

Apakah dosa rakyat sehingga suara mereka dilihat dengan prasangka buruk oleh pegawai kerajaan yang sebenarnya digajikan dari cukai rakyat sendiri. Kenapa pegawai kerajaan harus mengambil langkah memusuhi rakyat, padahal akhirnya rakyatlah yang akan menentukan siapa akan membentuk kerajaan.

Sikap Datuk Bandar yang menghalang rakyat berada di Dataran Merdeka akan tercatat dalam sejarah sebagai hari hitam dalam sejarah negara. Simbol kemerdekaan yang dilambangkan oleh dataran tersebut kini dirampas dan dimusnah oleh pegawai kerajaan sendiri yang lebih selesa mendengar arahan politik pemerintahan dari memelihara hak rakyat yang dijamin dalam Perlembagaan. Tidak ada bezanya tindakan itu dengan tindakan penjajah British dahulu.

Seluruh saluran undang-undang dicari untuk menghalang hak asasi rakyat untuk berhimpun. Suara rakyat yang sah untuk menuntut pilihanraya yang bersih, adil dan telus, terang-terangan tidak dihirau malah rakyat diugut dengan tindakan polis dan tangkapan.

Mapim mengingatkan kepada semua pihak yang menjadi dalang menafi hak rakyat bahawa pada satu masa nanti semua konspirasi antara pegawai kerajaan dan pemimpin politik pemerintah dan pihak keselamatan akan terbongkar.

Semua alasan yang direka pada suatu waktu nanti akan terdedah. Politik angka yang cuba dimanipulasi melalui pendaftaran warga asing suatu hari akan dimaki oleh generasi akan datang sebagai kerajaan dan parti pemerintah yang mengkhianati amanah dan menjual kedaulatan negara demi mengekalkan kuasa.

Apa erti berkuasa jika ia datang dari sokongan dari warga asing yang sangat rapuh. Apa erti kemenangan jika ia dicapai dengan penipuan yang tidak akan dapat dirahsiakan selama-lamanya.

Semua harus tahu bahawa ketika kuasa imperialis British mengguna seluruh kuasa mereka untuk menghitamkan kambing rakyat yang mahu mencapai kemerdekaan, akhirnya terpaksa berhadapan dengan gelombang rakyat yang melancarkan pemberontakan melalui gerakan bawah tanah.

Kerajaan yang ada sekarang juga akan menerima akibat yang sama bila mereka merasa terlalu kuat dan menguasai semua perkakas kerajaan untuk membendung kebangkitan rakyat.

Pengalaman kebangkitan rakyat di Asia Barat harus dipelajari dengan cermat kerana ketika golongan elit politik yang kaya raya merasa selesa dan kekalahan dianggap bukan suatu pilihan, akhirnya berhadapan dengan gabungan kekuatan rakyat marhaen, petani dan buruh, professional dan pelajar, ahli seniman dan budayawan, kelompok mustadhafin dan golongan ulama, bergabung untuk bangkit menentang kezaliman.

Mapim menyeru agar semua kakitangan kerajaan dan pihak keselamatan menginsafi bahawa perubahan tidak mungkin boleh dibendung dengan kekerasan sepanjang masa. Suatu masa akan wujud dimana sejarah kuasa rakyat kembali berulang dan segala benteng akan pecah, dan mereka yang bertanggungjawab memukul dan menganiaya rakyat dengan belantan dan gas pemedih mata akan diadili rakyat di mahkamah rakyat nanti.

Penulis ialah Setiausaha Agung Mapim.

Hadir Bersih 3.0 bukti rasa cinta kepada negara

Abdul Aziz Mustafa, 27 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 27 April: Kehadiran dalam perhimpunan Bersih 3.0 esok adalah bukti rasa cinta kepada negara, tegas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar).

Beliau juga menyeru semua rakyat yang cintakan negara agar tidak mempedulikan tindakan kerajaan Umno yang tidak membenarkan perhimpunan Bersih 3.0 diadakan di Dataran Merdeka.

Bagi Mohamad, tidak pelik sama sekali jika kerajaan Umno tidak membenarkan perhimpunan Bersih 3.0 diadakan di Dataran Merdeka dan sebab itulah perhimpunan tersebut mesti diteruskan.

"Kalau kerajaan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) benarkan perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, itu pelik.

"Kalau dia tak benarkan, itulah Malaysia di bawah BN (Barisan Nasional)," katanya.

Dan atas sebab yang sama jugalah perhimpunan sedemikian mesti diadakan terus-menerus bagi memastikan pilihan raya yang bersih dan adil akhirnya menjadi kenyataan supaya Malaysia yang tertindas dapat dibebaskan, kata beliau.

"Kalau tidak berhimpun dan berhimpun lagi, jangan mimpilah pilihan raya yang adil dan bersih akan diadakan di negara ini.

"Selagi pilihan raya tidak adil dan tidak bersih, tidak ada harapan sama sekali untuk melihat Malaysia yang tertindas dapat dibebaskan," katanya.

Mohamad yakin rakyat yang waras tidak sanggup lagi melihat negara ini berada di bawah BN yang bukan sahaja tidak henti-henti menyembelih kebebasan rakyat malah semakin ditakuti akan menyebabkan negara ini bankrap.

"Tengoklah bila Najib pegang Felda, rizab tunai Felda tinggal RM1.35 bilion sahaja tahun ini dan berhutang pula RM6.5 bilion dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Srdangkan sebelum Najib pegang, Felda ada rizab tunai sehingga RM4.5 bilion dan tak ada hutang.

"Bayangkanlah apa akan terjadi pada negara ini jika Najib dan Umno terus perintah," katanya.

Keadaan sedemikian, kata Mohamad, hanya boleh diubah dengan pilihan raya yang adil dan bersih.

"Sebab itulah hadir ke perhimpunan Bersih 3.0 adalah adalah tanda dan bukti rasa cinta kepada negara ini supaya penindasan serta pemunggahan kekayaan negara dapat dihentikan," katanya

Perhimpunan Bersih 3.0 esok akan mengulangi tuntutan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mula memasang penghalang di sekeliling Dataran Merdeka sekitar jam 2.30 pagi tadi - lebih tiga jam sebelum arahan awal dikuatkuasakan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail menyifatkan keputusan untuk mengadakan perhimpunan Bersih 3.0 sebagai isu keselamatan.

Beliau berkata, polis patut campurtangan membantu DBKL bagi menegakkan undang-undang.

Umno hanya tinggal jasad, roh sudah tiada

Harakahdaily, 27 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 27 April: “Ini membuktikan bahawa Umno hanya ada jasad tetapi tidak ada roh,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).


Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa ahli Umno dan pimpinan Umno tidak banyak menjawab segala tuduhan kepada Umno dan isu-isu semasa sehingga ia diambil alih oleh NGO Umno sahaja.

Idris berkata, ini ditambah pula oleh dakwaan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan timbalannya yang mengatakan bahawa mereka pun tidak sedar bilakah menjadi ahli Umno dan tidak aktif, namun nama mereka masih terdapat di dalam data keahlian Umno.

“Daripada dua fakta tersebut jelas membuktikan bahawa kualiti ahli Umno sekarang tidak ada nilai walaupun ahli Umno mencecah lebih 3.2 juta, namun mereka hanya buih,” ujarnya kepadqa Harakahdaily.

Menurutnya, penyertaan mereka di dalam Umno hanya untuk mendapat projek atau kedudukan di dalam kerajaan sahaja.

“Jika fenomena ini berlaku, apa yang hendak diharapkan untuk Umno pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau menambah, generasi muda Melayu yang terpelajar yang mempunyai idealisma perjuangan tidak lagi mahu bersama dengan Umno walaupun datuk nenek mereka berkarat dengan Umno.

Katanya, penyokong Umno tidak mampu untuk berhujah dengan fakta dan menolak tuduhan pembangkang kepada Umno.

“Perkara ini dapat dibuktikan melalui perang siber, medan ini dikuasai oleh golongan yang anti Umno BN,” ujarnya.

Abdul Aziz, Wan Ahmad cabul integriti SPR

Khairul Faizi Ahmad Kamil, 27 Apr 2012
Pendedahan yang telah dibuat oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa Pengerusi SPR iaitu Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan juga Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar adalah anggota kepada sebuah parti politik telah mengejutkan banyak banyak pihak.

Walaupun pada peringkat awalnya Pengerusi SPR cuba menafikan bahawa beliau adalah merupakan seorang ahli kepada parti politik namun apabila pendedahan dibuat berserta dengan nombor keahlian dan cawangannya maka beliau cuba berdolak-dalih dengan menyatakan bahawa berkemungkinan beliau tidak begitu mengingati bahawa beliau pernah menjadi ahli parti politik UMNO pada satu masa dahulu.

Walau apapun hujah yang dikemukakan oleh Tan Sri Abdul Aziz kepada massa berkaitan dengan keahliannya dalam parti politik, ia tetap dilihat sebagai suatu pencabulan integriti dalam sistem piliharaya di Malaysia.

Sukar untuk mempercayai bahawa Pengarah dan Timbalan Pengarah SPR akan bertindak telus dalam menjalankan tugas mengendalikan pilihanraya apabila mereka sebenarnya menganggotai salah sebuah parti yang bertanding lebih-lebih lagi parti pemerintah yang sudah pasti mengharapkan agar mereka diberikan ruang untuk mengekalkan kuasa pemerintahan.

Perkara ini sudah pasti menjatuhkan kredibiliti SPR di mata rakyat malah di peringkat antarabangsa. SPR akan menjadi sebuah badan yang tidak diyakini oleh semua pihak serta boleh mengikis kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap sistem pilihan raya di Malaysia. Tidak mustahil sekiranya Indek Persepsi Rasuah (CPI) yang bakal dikeluarkan oleh Tranperancy International (TI) nanti menunjukkan penurunan yang lebih teruk daripada sekarang kerana badan yang sepatutnya bertindak bebas dipimpin oleh mereka yang berpihak.

Perkembangan ini sudah tentu menambahkan lagi ketidakpercayaan rakyat terhadap SPR yang terus dipertikaikan seperti isu daftar pemilih yang kotor undi dan pos yang memihak kepada pemerintah.

Justeru Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR digesa agar meletakkan jawatan mereka dengan serta-merta bagi memulihkan persepsi masyarakat terhadap badan yang penting dalam menentukan parti pemerintah dan kerajaan Malaysia pada PRU yang akan datang ini.

*Penulis adalah Presiden Intelek Malaysia merangkap Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat

Bersih tidak akan langgar peraturan polis, DBKL

Hazayani Zakaria, 27 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan meneruskan perhimpunan Bersih 3.0 esok tanpa melanggar sebarang peraturan yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak polis.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan berkata demikian sebagai respons kepada perintah menghalang penganjur Bersih 3.0 dan orang awam daripada berhimpun dan memasuki Dataran Merdeka esok yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Majistret Zaki Asyraf Zubir mengeluarkan perintah itu jam 8.30 malam tadi.

Perintah larangan dikeluarkan secara ex-parte terhadap Bersih 2.0 dan diterima Ambiga kira-kira jam 12 tengahari tadi.

"Tidak ada apa-apa perubahan daripada pihak Bersih 2.0. Perintah larangan hanya untuk kita memasuki Dataran Merdeka tapi tidak di tempat lain.

"Oleh itu kita masih boleh meneruskan Duduk Bantah di tempat lain tanpa melanggar undang-undang," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, petang tadi.

Ambiga juga berkata, mereka akan cuba berada sehampir mungkin dengan Dataran Merdeka walaupun tidak dapat memasuki kawasan itu.

Jelasnya, enam-enam lokasi awal ditentukan ialah Pasar Seni, Masjid Negara, KLCC, Brickfields, Jalan Sultan dan Masjid India sebelum peserta menghampiri Dataran Merdeka.

"Kita akan Duduk Bantah tepat jam dua petang dan akan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku.

"Kita akan cuba berada paling hampir dengan Dataran Merdeka dan peserta boleh mula berkumpul di enam lokasi tersebut," katanya.

Ambiga juga yakin perintah larangan tersebut hanya akan membuatkan bilangan peserta Bersih 3.0 semakin bertambah.

"Saya tetap yakin dapat mengumpulkan 100,000 orang esok," katanya penuh semangat.

Beliau juga menegaskan, Bersih 3.0 merupakan perhimpunan aman untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Oleh itu, Bersih 2.0 tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang cuba melakukan provokasi dan huru-hara.

"Kita tegaskan Bersih 3.0 adalah perhimpunan yang aman jadi kita tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang cuba menimbulkan kekecohan.

"Pihak Bersih sendiri menyediakan pasukan keselamatan dan pasukan perubatan sendiri, jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan.

"Kita akan berjumpa esok di Duduk Bantah," katanya disambut tepukan gemuruh.

Polis, DBKL jangan tutup pintu rezeki rakyat

Harakahdaily, 27 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Pihak polis serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta tidak menghalang himpunan 'duduk bantah' Bersih 3.0 yang dijadual diadakan esok.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan menghalang itu hanya akan menyusahkan orang ramai khsusnya pengguna jalan raya serta peniaga.

"Benarkan himpunan ini berlangsung, tak perlu nak buat sekatan jalan raya di sekitar KL ini. Nanti ia hanya menyusahkan pergerakan orang ramai.

"DBKL pun sama, benarkan Bersih berhimpun di padang, mereka bukan nak berhimpun atas jalan. Kalau dibenarkan sudah tentu semuanya berjalan baik. Pihak berkuasa hanya kawal keadaan," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Mahfuz lagi, tindakan menyekat orang ramai hadir ke ibu kota esok juga ibarat cuba menutup periuk nasi peniaga, sedangkan jika orang ramai menyertai himpunan Bersih esok, peniaga akan mendapat untung berlipat kali ganda.

"Katakan setiap orang belanja RM10, kalau 500,000 orang sudah RM5 juta. Ingat senang ke nak dapat RM5 juta dalam masa sehari," katanya.

'Kalau ahli Umno, apa dibuat pasti untuk Umno'

Muhammad Faizal, 27 Apr 2012
SHAH ALAM, 27 April: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) berkata, rakyat akan terus hilang keyakinan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila mengetahui Pengerusi, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar sebagai ahli Umno.

Pada satu sidang media di pejabatnya, beliau berkata adalah amat sukar untuk meyakini keputusan yang dibuat oleh SPR apabila kedua-dua orang tertinggi dalam SPR merupakan ahli Umno.

"Sekarang semakin sukar untuk kita yakin bahawa apa yang diputuskan oleh SPR sama ada untuk kebaikan semua pihak ataupun hanya kepentingan Umno sahaja.

"Tetapi apa yang berlaku kebelakangan ini kita melihat keputusan yang dibuat oleh SPR hanya untuk memastikan kemenangan kepada Umno Barisan Nasional," jelasnya.

Tambahnya lagi, dalam keadaan SPR sebagai badan pengendali sebuah sistem demokrasi negara, mereka yang menerajuinya perlulah bebas tanpa sebarang jawatan mahupun anggota parti.

"SPR sepatutnya bebas dari ikatan mana-mana parti politik tapi ini tidak kepada kedua-dua mereka dalam SPR yang merupakan ahli Umno.

"Bagaimana kita ingin memastikan sistem pilihanraya di negara ini berjalan mengikut konsep demokrasi tanpa ada berat sebelah ataupun pelan rangka untuk memenangkan satu parti politik sahaja iaitu Barisan Nasional," sambungnya yang juga AJK PAS Pusat.

Khalid menyatakan walaupun terdapat penafian dari kedua-dua mereka tetapi tindak tanduk yang dilakukan tidak boleh diterima akal.

Malah isu yang berkaitan pengundi ragu yang tiada dalam data Jabatan Pendaftaran Negara, penambahan undi pos juga dilihat satu agenda untuk memenangkan Umno Barisan Nasional.

"Kalau dah ahli Umno apa yang mereka buat sudah pasti untuk Umno dan ini tidak boleh dipertikaikan lagi.

"Ketelusan SPR untuk memastikan pilihanraya yang adil serta telus sudah pasti tidak akan terlaksana apabila mereka yang membuat keputusan memihak kepada Umno-Barisan Nasional," kata beliau lagi.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mengikut undang-undang, tidak salah penjawat awam menjadi ahli parti politik, asalkan tidak memegang jawatan dalam parti itu.

Beliau turut memberi alasan bahawa tidak semestinya dengan menjadi ahli Umno, mereka dengan mudah akan mengkhianati amanah yang diberikan (dalam mengendalikan SPR).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan