Khamis, 26 April 2012

KES Altantuya, TAK KAN SELESAI SELAGI TAK DIKETAHUI SAPE DIBELAKANGNYA...TERPULANGLAH KEPADA ALLAH NAK BONGKAR ATAU TAK...DISINI DAKWA...DIAKHIRAT SEMUA AKAN DIDAKWA KEJAHATAN YANG DILAKUKAN DIDUNIA...

Bersih 3.0: Unit Amal kerah 4,000 petugas

Hazayani Zakaria, 26 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Jabatan Amal Malaysia akan menggerakkan 4,000 ahlinya dari Semenanjung Malaysia untuk bertugas menjaga keamanan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, Sabtu ini.

Menurut Ketua Pengarahnya, Johari Osman, Unit Amal dari Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu akan mula memasuki ibu kota seawal petang ini manakala dari negeri-negeri lain akan mula berkampung esok pagi.

"Keseluruhan Unit Amal yang akan diturunkan iaitu yang lengkap beruniform tidak kurang daripada 4,000 orang dan semuanya sudah melaporkan diri," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata, Unit Amal dari Sabah dan Sarawak tidak digerakkan ke Dataran Merdeka sebaliknya mereka akan bertugas di himpunan Bersih 3.0 yang turut diadakan serentak di sana.

"4,000 itu dari semenanjung sahaja kerana anggota kita di Sabah dan Sarawak akan menjaga perhimpunan di sana pada masa yang sama," katanya.

Johari juga berkata, Unit Amal atau sinonim dengan gelaran "Tentera Merah" akan turut bekerjasama dengan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Angkatan Muda Malaysia (AMK) dan beberapa pergerakan lain bagi melancarkan perjalanan Duduk Bantah.

"Unit Amal telah mengadakan mesyuarat dengan pergerakan-pergerakan lain bagi menyelaraskan pergerakan. Tapi tugas tetap Unit Amal adalah menjaga pimpinan utama Pakatan Rakyat selain menjaga pergerakan peserta himpunan," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua  Setiausaha Jabatan Amal Malaysia, Azuan Ismail menyeru masyarakat yang prihatin agar menghulurkan sumbangan ke Tabung  Amal yang diwujudkan bertujuan menampung perbelanjaan anggotanya.

"Saya menyeru semua para dermawan agar sama-sama dapat menyumbang ke Tabung Amal untuk membantu  petugas-petugas Jabatan Amal yang akan terlibat.

"Ada di antaranya yang bekerja kampung seperti menoreh getah, berkebun, tukang kayu dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian ke akaun Bank Islam Jabatan Amal Malaysia 140140-101-33669.

Tauliah Jais: Khalid Samad didakwa hari ini

Muhammad Faizal, 26 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah surau di Kapar, Klang, pada 16 Ogos tahun lalu.

Pertuduhan terhadap beliau dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Klang di hadapan Hakim Norafizi Fitri Ab Manaf pagi ini.

Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor dituduh mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor, dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Khalid dituduh mengajar tentang agama Islam tanpa tauliah di surau Taman Seri Sementa antara jam 10 malam hingga 11.30 malam.

Khalid diwakili oleh peguam Muhamad Burok, manakala pihak pendakwaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diwakili oleh Muhamad Saufi Mastorlani.

Mahkamah menetapkan 7 Jun ini bagi sebutan kali kedua kes tersebut dan Hakim membebaskan Khalid dengan ikat jamin RM1,500.

"Hari ini untuk pendengaran sahaja dan saya mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

"Mahkamah juga telah menetapkan pada 7 Jun nanti untuk sebutan kali kedua," jelas Khalid ketika dihubungi Harakahdaily.

AMK selar Datuk Bandar KL 'pilih bulu'

Anis Naziri , 26 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail diingatkan tidak bersikap angkuh dengan kenyataan yang hanya menunjukkan kegusaran mereka berhadapan ketidakpuasan hati rakyat.

Kenyataan Ahmad Fuad  itu juga dilihat bersifat 'mala-fide', dalam keadaan beliau bersikap selektif dalam menentukan jenis program yang boleh dianjurkan di Dataran Merdeka.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Md. Akin (gambar), berkata Ahmad Fuad sebelum ini memberi alasan bahawa perhimpunan ini bukan bersifat nasional dan berteraskan politik.

"Sedangkan, Datuk Bandar 'terlupa' apabila pada 27 Jun 2009, Dataran Merdeka juga menjadi medan pelancaran logo 1Malaysia yang jelas merupakan kempen politik berterusan BN sehingga kini," tegas beliau dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.

Selain menyelar kenyataan tersebut, Shamsul mendakwa ini jelas merupakan sekatan-sekatan politik yang dilakukan oleh BN, di mana kemungkinan 'suspek terbesar' ialah Menteri Wilayah Persekutuan dengan "memperkudakan" institusi Datuk Bandar Kuala Lumpur dan DBKL untuk menghalang dan mencetuskan provokasi awal ke atas Bersih 3.0.

Adalah amat malang, tambah Shamsul apabila agenda membersihkan sistem pilihan raya nasional daripada elemen penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan juga penggunaan pengundi-pengundi yang diragui statusnya dihalang kelancarannya.

Tindakan menghalang Bersih 3.0 itu, kata Shamsul hanya membuktikan bagaimana pihak ini sanggup menggunakan segenap kuasa yang mereka ada, termasuk menghalalkan penyelewengan pilihanraya demi memastikan BN terus berkuasa.

Sehubungan itu, AMK mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak bersikap jumud dengan menyalahgunakan agensi kerajaan seperti DBKL, sekiranya benar komited dengan agenda wassatiyyah.

Hishammuddin pengecut ‘haram’ Dataran Merdeka

Harakahdaily, 26 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Tindakan politik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berselindung di sebalik jentera kerajaan mengekang Bersih 3.0 adalah tindakan pengecut.
Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal dengan sikap berdolak dalik kerajaan apabila melarang penggunaan Dataran Merdeka sebagai lokasi Perhimpunan Bersih 3.0 ‘Duduk Bantah’ pada 28 April ini walaupun di peringkat awalnya mereka memberi lampu hijau.

“Lebih mengecewakan apabila kerajaan menggunakan agensinya iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai alasan mengekang perhimpunan ini diadakan,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar).

Menurutnya, DBKL dan PDRM tidak mungkin bertindak ganas menahan dan menghalau perkhemahan rakyat di Dataran Merdeka serta memagarinya sepanjang masa jika tidak ada arahan daripada beliau.

“Tidak mungkin Dataran Merdeka tiba-tiba diisytiharkan menjadi kawasan haram kepada orang ramai oleh DBKL jika bukan arahan dari beliau sendiri.

“Tindakan kerajaan ini memperlihatkan wajah sebenar mereka dalam menghayati tuntutan demokrasi sebenar,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Bagi DPPM, katanya sikap tidak konsisten kerajaan amat dikesali apabila menutup pintu serapatnya kepada ruang demokrasi di negara ini.

Menurutnya, hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara disekat dan dinafikan dengan pelbagai tekanan kononnya ia adalah langkah mengawal keselamatan negara dan keharmonian rakyat.

Riduan berkata, rakyat di negara ini dilayan seperti warga kelas kedua jika mereka ini bukan dari kelompok elit BN.

Beliau berkata, segala aktiviti yang melibatkan rakyat bawahan yang ‘menentang’ dasar kerajaan yang songsang, pasti akan dilawan habis-habisan.

Katanya lagi, rakyat seolah-olah golongan yang berbahaya dan menjadi musuh utama kerajaan.

“DPPM menegaskan Perhimpunan Bersih 3.0 adalah perhimpunan aman yang dianjurkan oleh NGO,” tegasnya.

Tujuannya, jelas beliau adalah menegur kerajaan dan badan yang mengendalikan sistem pilihan raya yang tidak bertindak jujur dalam sistem pilihan raya di Malaysia.

Katanya lagi, segala macam bukti kepincangan, penyelewengan sudah dikenal pasti dan didedahkan satu persatu untuk tindakan namun tidak ada tindakan susulan dibuat bagi memperbaikinya.

“Rakyat menjadi bimbang unsur penipuan akan dijayakan secara besar-besaran dalam PRU ke-13 dan pilihan raya tersebut bakal menjadi pilihan raya terkotor dalam sejarah,” katanya.

Dengan demikian, ujarnya DPPM membayangkan demokrasi di negara ini akan terus bergelap jika kuasa masih dipegang BN.

“Rakyat tidak mungkin akan mengecapi nikmat hidup dalam demokrasi sebenar jika BN terus mendapat mandat nanti pasca PRU13.

“Ketika itu, lupakan demokrasi dan hiduplah di bawah rejim BN yang memerintah sesuka hati,” katanya lagi.

‘Filem Altantuya, Scorpene’ dan ‘kerjasama’ Najib

Abdul Aziz Mustafa, 26 Apr 2012
KUALA LUMPUR: "Filem Altantuya" akan turut siap jika "kerjasama" Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyebabkan siapnya "filem Scorpene", kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

"Rasa takut yang ditunjukkan dengan begitu ketara oleh Najib dan kerajaannya terhadap perbicaraan mahkamah mengenai urusniaga kapal selam Scorpene hakikatnya adalah suatu "kerjasama" yang akan menyebabkan terbongkarnya pelbagai isu yang tersembunyi dari pengetahuan rakyat dalam pembelian kapal selam tersebut.

"Sikap Najib dan kerajaannya hakikatnya membantu menyiapkan 'filem Scorpene'," katanya.

Jika sikap Najib dan kerajaannya itu menyebabkan "filem Scorpene" disiapkan, Mohamad yakin "filem Altantuya" juga akan turut disiapkan sekaligus.

"Saya pernah kata, kalau mahu 'filem Altantuya' yang tiada kesudahan itu disiapkan, pastikan Pakatan Rakyat (PR) menjadi kerajaan dalam pilihan raya akan datang.

"Nampaknya mungkin filem itu akan siap lebih awal lagi dengan ketakutan luar biasa yang ditunjukkan oleh Najib dan kerajaan terhadap perbicaraan di mahkamah Perancis yang akan membicarakan kes bayaran komisen tidak sah dalam penjualan kapal selam itu.

"Jika PR dipilih menjadi kerajaan, saya percaya Najib akan menerima anugerah kerana kehebatan filem Altantuya itu," kata beliau.

Sebelum ini, banyak media luar negara yang mengaitkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu dengan urusniaga kapal selam Scorpene.

Najib sebelum ini enggan menjawab soalan wartawan mengenai perbicaraan di mahkamah Perancis itu dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi pula berkeras tidak mahu hadir atau menghantar wakil ke perbicaraan itu.

"Sikap Najib dan kerajaannya itu menyebabkan rakyat sudah mula mempersoalkan apa yang mereka takut sangat sehingga seolah-olah lari lintang pukang dari kes yang dibicarakan itu," kata Mohamad.

Beliau yakin, jika tidak ada sebarang perkara yang ditakuti, sudah tentu "berdegar-degar" Najib menjawab panjang lebar soalan wartawan mengenai perkara itu seperti yang biasa dilakukannya dan menteri penggantinya di Kementerian Pertahanan pula tidaklah terlalu ketara mahu melarikan diri perbicaraan di mahkamah Perancis itu.

"Orang Melayu kata berani kerana benar, takut kerana salah," kata Mohamad.

Dalam laporannya, Malaysiakini mendakwa, siasatan majistret Perancis mendapati AS$1.2 bilion (RM3.7 bilion) jualan kapal selam kepada Kementerian Pertahanan Malaysia antara lain melibatkan transaksi dengan syarikat berpangkalan di Hong Kong, iaituTerasasi (Hong Kong) Ltd.

Antara pegawai penting syarikat tersebut ialah Abdul Razak Baginda, yang dilihat sebagai orang kepercayaan perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Laporan itu juga mendakwa, siasatan percaya sekurang-kurangnya sejumlah wang daripada 36 juta euro (RM144 juta) itu disalurkan melalui Terasasi kepada Najib, yang menjadi Menteri Pertahanan dan juga Timbalan Perdana Menteri ketika dua kapal selam Scorpene itu dibeli daripada Thales International atau Thint Asia.

6 kawasan alternatif Dataran Merdeka

Harakahdaily, 26 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Aman Bersih 3.0 tetap akan diteruskan walaupun dihalang oleh pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sekiranya orang ramai tidak dapat memasuki Dataran Merdeka, mereka dikehendaki berkumpul di enam tempat alternatif yang telah dirancang.

Enam lokasi alternatif itu terdiri daripada Pasar Seni atau Central Market; Masjid Negara; KLCC; Brieckfield; Jalan Sultan; dan Masjid India.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0, Maria Chin Abdullah (gambar atas) menjelaskan, perhimpunan aman di KLCC itu adalah Himpunan Hijau, tetapi mereka yang menyertai perhimpunan di kawasan itu akhirnya tetap akan bersatu juga dengan himpunan aman Duduk Bantah Bersih 3.0.

Menurut beliau, Himpunan Hijau tidak terpisah dengan Perhimpunan Aman Bersih 3.0 kerana kesemua mereka yang menyertai kedua-dua perhimpunan itu mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk mendesak kerajaan mengadakan pilihan raya dengan bersih, adil dan telus di negara ini.

Katanya, mengikut perancangan, Perhimpunan Aman Bersih 3.0 akan diadakan di Dataran Merdeka dan pihaknya tidak sekalikali akan menukar ke tempat lain, manakala enam tempat berkenaan adalah tempat perhimpunan awal sebelum para peserta menuju ke Dataran Merdeka.

“Tetapi kalau orang ramai tak dapat sampai ke Dataran Merdeka, mereka hendaklah berkumpul dengan duduk bantah di enam tempat itu yang sekali gus menjadikannya sebagai tempat alternatif,” katanya ketika dihubungi Harakah 24 April lalu.

Laporan penuh dalam Harakah cetak di pasaran mulai hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan