Selasa, 24 April 2012

JIKA KITA TUDUH ORANG KAFIR..IA TIDAK KAFIR...MAKA TUDUHAN ITU BERBALIK KEPADA KITA...BEGITU JUGA TENTANG SESAT...JIKA KITA TUDUH ORANG SESAT...DIA TIDAK SESAT...MAKA TUDUHAN ITU BERBALIK PADA KITA KEMBALI....

Pengedar Harakah Kassim Jamal meninggal

Mohd Sabri Said, 23 Apr 2012
BUTTERWORTH: Pengedar utama Harakah kawasan Butterworth, Kassim Jamal, 57, meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya ketika sedang menunggang motosikal dalam perjalananya
ke Butterworth sekitar jam 11.00 pagi semalam.

Allahyarham meninggalkan balu Sofiah Sidol dan tujuh orang anak yang ada antaranya masih bersekolah.

Kesungguhannya mengedar Harakah sejak akhbar lidah rasmi PAS itu mula diterbitkan di penghujung tahun 1980 an sehinggalah sekarang tidak terbuat jika ketiadaan semangat yang cukup tinggi.

Kesangupannya mendaki tangga setiap bas ekspress yang berhenti atau yang bakal bertolak ke destinasi dari Stesyen Bas Butterworth setiap hari penerbitan Harakah memang satu khidmat yang amat tinggi tambahan lagi niatnya untuk mengembangkan pembacaan Harakah tanpa mengenal jemu.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Saleh Man menegaskan, pemergianya satu kehilangan besar kepada perjuangan kerana dari dulu semangatnya tidak pernah luntur sehinggalah menghembuskan nafas terakhir.

Menurutnya, Allahyarham tidak pernah kenal jemu walaupun sering diancam dengan kata-kata atau tindakan memandangkan beliau seorang pegawai Kastam dan masih menetap di Kampung Kastam, Butterworth.

"PAS negeri ucapkan takziah pada keluarga Allahyarham.  Mereka harus redha dengan kemahuan Ilahi yang lebih menyayanginya.  Bersabarlah banyak-banyak," jelasnya dalam kenyataan kepada Harakah.

Jenazahnya, dikebumikan di Masjid Kubang Buaya, Butterworth jam 10 pagi tadi.


Bersih 3.0: Pak Samad mahu kekal di Dataran Merdeka

Anis Nazri, 23 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Datuk A. Samad Said secara peribadinya mahu mengekalkan himpunan 'Duduk Bantah' diadakan di Dataran Merdeka, 28 April ini.

Mengulangi pendiriannya berulangkali, beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Samad (gambar), menegaskan beliau dan Datuk S. Ambiga  mempunyai sikap yang sama berhubung perkara tersebut.

"Setakat ini, Ambiga dan saya mempunyai sikap yang sama, iaitu mahu 'Duduk Bantah' ini diadakan di Dataran Merdeka. Tapi, kita ada jawatankuasa yang lebih ramai yang perlu dirujuk.

"Saya secara peribadinya ingin mengekalkan 'Duduk Bantah' ini diadakan di Dataran Merdeka.  Sikap saya konsisten.  Saya harapkan seluruh jawatankuasa masih bersedia untuk kekal di situ (Dataran Merdeka)," tegas beliau pada sidang media Jawatankuasa Bersih 3.0, di Dewan Perhimpunan Cina, pagi tadi.

Himpunan itu, tambah Pak Samad hanya menyaksikan hadirin duduk sahaja selama dua jam, dan ia tidak akan mendatangkan sebarang ancaman keselamatan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Bersih 3.0, Dr Subramaniam Pillay berkata jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini bagi membincangkan lokasi alternatif 'Duduk Bantah' itu.

Ia susulan penolakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membenarkan himpunan itu diadakan di lokasi bersejarah tersebut.

"Kita akan bermesyuarat malam ini bersama semua gabungan NGO.  Mungkin esok akan ada keputusan konklusif daripada kami," kata beliau.

Bagaimanapun, tegas seorang lagi jawatankuasa pemandu, Maria Chin Abdullah, DBKL tidak menawarkan alternatif kepada Bersih dalam surat penolakan tersebut.

Sambil menegaskan Dataran Merdeka adalah 'milik rakyat', Maria berkata tidak ada sebab mengapa DBKL menolak program tersebut, sedangkan pelbagai program diadakan di lokasi tumpuan pelancong itu.

Antaranya program McDonald's Olympic Day Fun Run pda 17 Julai 2011, Standard Chartered KL Marathon 2011 (26 Jun 2011), BN Youth Ride Fest 2012 (17 dan 18 Februari 2012), World Kidney Day Run 2012 (3 Mac 2012), Nestle 100 Years Celebration (18 dan 19 Mac 2012) dan Konsert DiRaja (21 April 2012).

Minggu lepas, DBKL menolak permintaan Bersih untuk mengadakan himpunan di Dataran Merdeka atas alasan ia bukan satu acara nasional.

Kadir, Catriona meriahkan makan malam PAS Titiwangsa

Harakahdaily, 23 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa akan menganjurkan Majlis Makan Malam dan Pelancaran Dana PRU ke 13 Parlimen Titiwangsa pada 30 April 2012.

Majlis yang akan bermula jam 8.30 malam itu akan diadakan di Restoran Nelayan, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Majlis tersebut akan dimeriahkan dengan kehadiran tetamu istimewa iaitu bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Kadir Syeikh Fadzir.

Selain beliau, seorang lagi adalah Puan Catriona Ross, selebriti terkenal yang telah berhijrah ke dunia dakwah.

Antara pemimpin PAS yang akan hadir pula termasuk Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, yang juga ahli parlimen angkat untuk parlimen Titiwangsa.

Selain beliau Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, timbalannya Dr Siti Mariah Mahmud serta AJK PAS Pusat Ustazah Nuridah Saleh dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Tuan Haji Mohamad Noor Mohamad.
Difahamkan Tan Sri Kadir Syeikh Fadzir yang akan menyampaikan pidatonya turut akan mengumumkan suatu kejutan pada majlis itu.

Bagi mereka yang ingin membeli kupon dengan harga serendah RM100 untuk satu kupon dan RM1,000 semeja, boleh menghubungi pihak penganjur di talian 012 4646292 atau 019 9988997.

2 soalan 'maut' bakal buat Najib 'kecut perut'

Mohd Sabri Said, 23 Apr 2012
PERMATANG PAUH: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan berdepan dua soalan maut dari wartawan dalam dan luar negara apabila menjadi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia nanti.

Soalan pertama adalah kenapa harga minyak boleh diturunkan apabila Pakatan Rakyat memerintah negara sedangkan ketika Barisan Nasional (BN), bukan hanya mustahil untuk diturunkan, malah berdepan kenaikan setiap tahun.

Soalan kedua kata Anwar, bakal ketua pembangkang itu akan ditanya adakah Malaysia akan bankrap selepas harga minyak diturunkan Pakatan Rakyat.

"Dua soalan itu pasti menjadi fokus utama takkala Najib menduduki kerusi Ketua Pembangkang.

"Wartawan seluruh dunia inginkan penjelasan Najib yang selama ini memberitahu rakyat bahawa kerajaan pimpinanya akan kekurangan wang ataupun boleh bankrap jika mengisytiharkan penurunan harga minyak, " kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Rakyat Permatang Pauh di Taman Cermai, Sama Gagah, semalam.

Menurutnya, dua soalan itu sudah memadai untuk Najib 'kecut perut' kerana selama ini dia membohongi rakyat semata-mata mahu mengekalkan kuasa dan hegemoni BN.

Adalah mustahil kata Anwar, jika pendapatan Petronas RM80 bilion setahun tidak boleh membantu rakyat dengan menurunkan harga minyak.

"Najib bila kena soalan itu pasti kecut perut sebab nak kata sokong takut Umno marah, (kalau) kata tak sokong rakyat marah.

"Begitu juga dengan persoalan tentang adakah negara akan bankrap kalau minyak diturunkan. Najib akan jadi serba salah, " ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Mengulas isu pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Anwar turut membawa contoh sikap Perdana Menteri Turki.

Menurutnya, apabila perdana menteri Turki berjaya memerintah negara, beliau membuat perubahan dengan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat dan berbeza dengan pemerintahan sebelum ini.

Adalah satu kelemahan besar bagi perdana menteri Turki jika tidak mampu berikan pendidikan percuma pada anak bangsanya.

Namun kata Anwar, Perdana Menteri Malaysia langsung tidak timbul perasaan belas kasihan terhadap pelajar yang terpaksa menanggung hutang untuk belajar.

"Perdana Menteri Turki kata dia nak letak muka di mana jika tidak boleh berikan pendidikan percuma pada rakyat sebab ramai yang berada di pedalaman Turki tidak mampu.

"Cara hutang menghadkan rakyat yang miskin memasuki univesiti. Itu baru sikap seorang pemimpin " terangnya diikuti laungan reformasi beberapa kali.

Turut serta berucap dalam program tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Saleh Man, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dan Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Haji Omar Hasan.

Juham lakukan persiapan hadapi pilihan raya

Harakahdaily, 23 Apr 2012

BANGI: Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Pusat (Juham) menganjurkan program Bengkel Sivil Juham Siri 1 berhubung petisyen pilihan raya dan semakan kehakiman sebagai persiapan menjelang pilihan raya umum ke-13.

Program untuk kumpulan 50 peguam PAS dari seluruh Malaysia itu diadakan di Bangi Golf Resort pada 21 April 2012 yang lalu.

Menurut Pengarah Program, Saudara Ahmad Tarmizi Abdullah, program tersebut juga bertujuan memperkasakan lagi ‘legal education’ peguam PAS yang kini semakin berperanan luas di dalam mempertahankan hak-hak rakyat marhain hari ini.

Program selama sehari ini diisi dengan bengkel yang dikendalikan oleh pakar perundangan serta undang-undang pentadbiran PAS iaitu Hanipa Maidin dan juga Dr. Zulqarnain Luqman.

Program ini juga memberikan pendedahan khusus kepada peguam berkenaan proses semakan kehakiman dan juga petisyen pilihanraya yang mana merupakan antara proses undang-undang yang penting dalam mengembalikan keadilan dan hak-hak masyarakat awam yang kini banyak ditindas dan dizalimi oleh pemerintah.

Program ini juga turut sama menjadi medan bagi peguam PAS membincangkan secara khusus pindaan terbaru kepada Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Mereka turut melihat ruang-ruang manipulasi yang masih wujud selepas pindaan akta itu dibuat.

Pada pilihan raya umum nanti juga, setiap peguam PAS ini akan ditempatkan di setiap parlimen bagi memantau proses pilihan raya.

Beranikah Najib turun ke Dataran Merdeka?

http://msomelayu.blogspot.com, 20 Apr 2012
Selepas perkhemahan pelajar memprotes PTPTN di Dataran Merdeka diserang oleh samseng tahi minyak upahan, Ketua Pembangkang yang bakal menjadi PM Anwar Ibrahim turun ke dataran itu untuk melihat perkhemahan itu dan memberi semangat dan sokongan.

Setelah empat malam pelajar bermukim di situ Anwar baru turun menjenguk bersama timbalan presdien PKR Mohamed Azmin Ali. Kehadiran Anwar menberi suntikan semangat baru kepada kumpulan aktivis pelajar itu. Khabarnya malam tadi lebih 1,000 orang mengunjungi perkhemahan sambil memberi pelbagai sokongan dan bantuan berupakan makanan dan sebagainya.

Sebelum ini tidak beberapa ramai pemimpin PKR turun memberi sokongan. Begitu juga di pihak Pas beberapa pemimpin kecil atau pemimpin budak mereka ikut sama turun ke dataran merdeka. Pemimpin besar sekali belum turun. Bagaimana pun tidak jelas apakah ada pemimpin DAP ikut sama turun dan memberi kata-kata semangat.

Mungkin DAP berhati-hati untuk turun secara nyata bimbang takut dikaitkan dengan perkauman kerana jumlah pelajar berbangsa Cina ramai mengambil bahagian dalam perkhemahan protes itu. Dan kalau pun pemimpin politik Pakatan Rakyat tidak menonjol dengan protes itu tidak menjadi kesalahan, kerana apa yang berlaku itu adalah atas inisiatif para pelajar itu sendiri. Mereka menuntut hak atau memperjuangkan isu yang ada kaitan dengan golongan mereka.

Bagaimana pun aktiviti mereka ada kaitan dengan Pakatan Rakyat tidak boleh dinafikan. Pemansuhan PTPTN untuk meringankan bebanan pelajar dan ibubapa yang miskin dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat. Mereka (pelajar) hanya menyambung dan terus membangkitkan isu itu saja. Sekiranya isu itu tidak relevan dengan mereka, mereka tidak 'ngo' (tolol dan bengong) untuk melakukan protes itu sampai ada yang tercedera.

Sebenarnya isu PTPTN bukan hak mana-mana pihak. Bukan hak Pakatan Rakyat, bukan hak Pas atau PKR ataupun DAP. Tetapi hak semua. Ia juga merupakan isu atau perkara yang perlu difikirkan oleh UBN. Tidak timbul di sini kalau Pakatan Rakyat hendak berniaga dengan isu itu. Kerana UBN juga boleh pertahankan mengenai kemunasabahan isu-isu berkenaan dan sekaligus menjadikan modal untuk menang pilihan raya.

Makanya apabila mahasiswa itu diserang oleh samseng tahi minyak upahan, Umno perlu ikut memberi perhatian kepada perkhemahan itu. Umno juga berhak untuk bertanya khabar mengenai apa yang berlaku. Dalam apa juga keadaan para pelajar berkenaan adalah warganegara ini yang menjadi tanggungjawab kerajaan memelihara keselamatan dan kedaulatannya sebagai warga sebuah negara.

Tidak menjadi dosa kalau pemimpin Umno menziarahi mereka. Lagipun serangan itu bukan ada kaitan dengan Umno. Sebelum ini Umno menafikan yang samseng itu bukan mereka yang upah. Ketua Pemuda tidak ada kuasa, Khairy Jamaluddin pun menafikan yang samseng itu adalah samseng tahi minyak Umno.

Kalau benar begitu, disebabkan isu PTPTN adalah isu rakyat di mana parti politik memperjuangkan isu-isu rakyat, wajar kalau pemimpin UBN ikut sama melawat perkhemahan itu. Mungkin kedatangan mereka bukan niat menggalakkan protes itu diteruskan tetapi atas rasa tanggungjawab pemimpin mereka kena prihatin kepada apa dialami pelajar berkenaan.

Pemimpin-pemimpin seperti Mohd Najib Razak, Ahmad Maslan, Shafei Afdal, Khalid Nordin atau Udin anak Yassin hendaklah berjumpa dengan mereka. Bersantai dengan mereka di Dataran Merdeka. Mereka perlu meluangkan masa berjumpa dari hati ke hati bertanya khabar apakah masalah mereka. Dalam pada itu cuba jelaskan secara rasional kenapa PTPTN perlu diteruskan dan menjelaskan secara jujur dan ikhlas ia tidak sesuatu membebankan.

Saya rasa kalau Najib turun (asal jangan bawah Rosmah sama takut kena boo), keadaan jadi lain sedikit. Para pelajar itu akan tenang dan merasa lega. Mereka rasa dipedulikan kerana seorang PM turun berjumpa dengan mereka. Kalaupun mereka tidak akan membatalkan protes itu tetapi setidak-tidaknya mereka dapat merasakan bahawa Najib adalah pemimpin yang benar-benar mendahului rakyat.

Najib kena ingat dan tidak boleh pandang remeh dengan apa dilakukan oleh pelajar berkenaan. Sesuatu protes yang besar yang akhirnya boleh meruntuhkan kerajaan atau sesebuah empayer bermula dari perkara kecil. Misalnya demonstrasi dan kebangkitan rakyat yang berlaku di Tunisia dan Mesir ia bermula dari satu titik yang kecil saja.

Kebangkitan rakyat di Tunisia sehingga menjatuhkan diktator Ben Ali bermula kerana tindakan bernai seorang pelajar bernama Muhammad Bouazizi yang membakar dirinya kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan tempatan yang melarangnya menjual sayur. Bermula dari itulah aksi pelajar itu mendapat perhatian dan simpati rakyat yang kemudian bangkit 'membakar' seluruh Tunisia yang akhirnya membakar singgahsana kekuasaan Ben Ali.

Demikian juga apa yang berlaku di Mesir. Berdekad Husni Mubarak gagah berkuasa di atas singgahsananya tidak ada siapa berani mencabarnya. Tetapi apabila sekali rakyat hilang sabar dan bangkit melawannya, akhirnya diktator Hosni Mubarak terpaksa mengaku kalah.

Demikian juga apa yang berlaku ke atas diktator Muhammar Ghadafi. Semua dunia kenal akan kekuatan dan kehebatan Muammar Ghadafi. Tetapi apa jadi ke atas maharaja ini akhirnya. Dengan kebencian rakyat akhirnya dia juga berkubur sama seperti para diktator lain.

Pemimpin UBN hari ini mungkin belum sampai ke peringkat diktator atau kuku besi. Namun ciri-ciri itu sudah semakin jelas kelihatan. Nada dan kesombongan mereka jelas. Watak dan perangai mereka juga nyata. Misalnya kata-kata Ahmad Maslan terhadap pelajar itu berbunyi; siapa suruh mereka tidur di padang orang tidur di rumah, adalah kata-kata sombong dan bongkok sedikitpun tidak melahirkan rasa simpati. Itu adalah ciri-ciri diktator.

Demikian juga kata-kata seorang lagi pemimpin Johor Khalid Nordin, yang mengatakan sekiranya PTPTN hendak dimansuhkan sila pulangkan wang pinjaman itu. Kata-kata sebegitu tidak seharusnya keluar dari mulut pemimpin yang seharusnya penuh berdiplomasi dan berhemah dengan rakyat apa lagi remaja.

Rasanya kemarahan mahasiswa dan orang ramai kepada serangan samseng tahi minyak itu masih boleh dibendung lagi dengan syarat Najib Razak turun sendiri ke dataran merdeka untuk berjabat salam dengan mahasiswa. Sekiranya Najib juga elergik untuk berbuat begitu, saya cukup bimbang golongan mahasiswa akan melebelkan Najib sebagai pemimpin yang tidak ada diplomasi dan tak mesra alam dengan golongan mereka. Natijah dari kedigilan itu Najib tunggulah apa akibatnya nanti. [wm.kl.12:29 t/hari 20/04/12]

Usrah: Beramal untuk Islam itu wajib

Nik Muhammad Nasri Nik Malek, 15 Apr 2012
Almarhun Ustaz Fathi Yakan mengingatkan umat Islam tentang kewajiban beramal untuk Islam. Beramal untuk Islam tidak hanya dalam ibadat ritual solat, puasa, zakat, haji yang difahami oleh sesetengah orang Islam tapi dalam konteks yang syumul iaitu melahirkan individu muslim sejati, keluarga, masyarakat dan negara yang tunduk kepada Allah dalam ertikata sebenar. Perkara ini dikupas dalam buku ‘Apa Erti Saya Menganut Islam’ pada bahagian 2 bab 2 dengan mengemukakan beberapa hujah. Saya membuat kesimpulan dari perbincangan usrah yang diadakan:meyakini beramal untuk Islam itu wajib (133)beramal secara individu dan jemaah, amal jihad kembali kpd mujahid (86) , wajib dari bbrp sudut (2) ,
Bahagian 2: Bab 2: Saya Mesti Meyakini Beramal Untuk Islam Itu Wajib

Sebenarnya beramal untuk Islam dalam erti kata yang sebenar ialah untuk melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan akhlak Islam, melainkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup, serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan di alam ini.
Seluruh amal ini dan lain-lain keperluan untuk amalan-amalan ini serta lain-lain perkara yang berkaitan yang dituntut oleh amal-amal ini adalah satu tuntutan syariat. Kewajipan melaksanakan tidaklah gugur kecuali setelah tertegaknya satu kuasa yang dapat mengendalikan tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum muslimin.
Selagi kekuasaan ini tidak wujud, maka seluruh kecuaian atau kecacatan para petugas amal Islam dan kecuaian orang yang tidak turut serta dalam kerja-kerja ini, menurut pandangan Islam adalah satu dosa yang tidak akan hilang melainkan orang-orang Islam bersegera bangun memikul tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja untuk menegakkan Islam.
Di antara bukti-bukti yang menguatkan bahawa beramal untuk Islam adalah wajib dan ianya bersifat wajib taklifi (difardukan), bukannya tanggungjawab yang diperintahkan melakukan secara sukarela, dapat dilihat secara yakin dari beberapa sudut:

Pertama: Wajib Dari Sudut Prinsip (Mabda’).


Beramal atau bekerja untuk (menegakkan seluruh ajaran) Islam pada prinsipnya adalah wajib kerana beramal atau bekerja adalah tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia, didahului oleh para Nabi dan para Rasul kemudian ke atas umat manusia seluruhnya hingga ke hari kiamat kelak.
Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah bermaksud:
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-Asr, Ayat: 1 – 3).
Dan firman Allah bermaksud:
Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya. (Al-Maaidah, Ayat: 67).
Dan firman Allah bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk (Al-Baqarah, Ayat: 159).
Dalam sunnah Rasulullah s.a.w yang mulia terdapat riwayat-riwayat yang mempunyai hubungan secara khusus tentang dakwah kepada kebenaran dan menentang kebatilan. Di antaranya ialah sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, dia hendaklah mencegahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu (mencegah dengan tangan – kuasa), maka hendaklah dia mengubah dengan menggunakan lidahnya (teguran dan nasihat), maka sekiranya ia tidak mampu juga hendaklah ia mengubah dengan hatinya (iaitu tidak reda dan benci) dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sebesar biji sawi”
(Hadis riwayat Tirmizi).
Sabda baginda yang lain:
“Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman kepadamu: Perintahlah (manusia) supaya melakukan perkara-perkara yang makruf (yang baik) dan cegahlah mereka dari melakukan perkara-perkara yang mungkar sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, lalu aku tidak lagi menerimanya dan kamu memohon pertolongan lalu aku tidak menolong kamu lagi”.
(Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).
Sabda Rasulullah s.a.w lagi:
“Apabila engkau melihat umatku takut untuk berkata kepada orang yang melakukan kezaliman: Wahai penzalim! Maka sesungguhnya dia telah mengucapkan selamat tinggal baginya”.
(Hadis riwayat Hakim).

Kedua: Wajib dari Sudut Hukum.


Beramal untuk Islam adalah wajib dilihat dari sudut hukum kerana tidak berjalannya syariat Allah di atas muka bumi dan penguasaan sistem dan undang-undang ciptaan manusia ke atas masyarakat manusia hari ini mewajibkan umat Islam bekerja untuk menegakkan masyarakat Islam dan mengembalikan cara hidup Islam. Umat Islam juga wajib bekerja supaya manusia tunduk mengabadikan diri kepada Allah di dalam iktikad keyakinan, akhlak dan sistem hidup mereka berdasarkan dalil dari Al-Quran yang menyebut bermaksud:
Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
(An-Nisa’, Ayat: 65).
Dan firman Allah bermaksud:
Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan). (Asy-Syura, Ayat: 10).
Begitu juga firman Allah bermaksud:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.
(Al-Maaidah, Ayat: 44).
Firman Allah bermaksud:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
(Al-Maaidah, Ayat: 45).
Firman Allah bermaksud:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.
(Al-Maaidah, Ayat: 47).
Apabila menegakkan masyarakat Islam dan melaksanakan hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah itu hukumnya wajib maka kerja-kerja yang membawa kepada kewujudan masyarakat Islam dan terlaksananya hukum Allah turut menjadi wajib berdasarkan kaedah syarak bermaksud:
‘Sesuatu perkara yang tidak dapat disempurnakan sesuatu yang wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib’
Sebahagian besar dari negara-negara (umat) Islam, kalau pun tidak dapat dikatakan seluruhnya diperintah oleh sistem-sistem ciptaan manusia yang merupakan campur aduk dari sistem undang-undang Rumani, Yunan, Perancis dan sebagainya. Demikian juga sistem ekonomi yang menguasai negara-negara tersebut adalah sistem ekonomi Kapitalisme dan Sosialisme. Ini adalah penyebab utama yang mendesak umat Islam supaya menyusun gerak-kerja untuk meruntuhkan sistem jahiliah dalam bentuk seperti ini dan kewajipan mengembalikan kehidupan Islam adalah menjadi fardu ain ke atas setiap muslim sehingga kepimpinan dan kekuasaan kembali ke pangkuan Islam.
Selain dari itu masih banyak kewajipan-kewajipan syariah yang perlaksanaan dan amalannya bergantung kepada adanya khalifah atau Imam sedangkan pelantikan Khalifah (Imam) itu sendiri sangat bergantung kepada wujudnya kekuasaan Islam. Oleh itu seluruh undang-undang yang berkaitan dengan sistem-sistem Islam sama ada di dalam bidang kemasyarakatan, ekonomi, politik malah kesemua undang-undang yang berkadengan hukum, kanun keseksaan, perdamai, peperangan, jihad, gencatan senjata, perjanjian damai, muamalat, kemasyarakatan dan ekonomi, semuanya ini dan sebagainya adalah di antara bidang-bidang Syariat Islam yang tidak mungkin terlaksana kecuali melalui sebuah negara yang teguh di atas dasar-dasar Islam.

Ketiga: Wajib Dari Sudut Tuntutan (Darurat).


Beramal dan bekerja untuk Islam juga merupakan satu kewajipan jika dilihat dari sudut tuntutan untuk menghadapi cabaran-cabaran zaman kini dan serangan musuh-musuh Islam. Ianya adalah satu kewajipan kerana dengannya dapat menyekat penularan fahaman kebendaan dan ateis (tidak percayakan tuhan) yang berusaha menggugat kewujudan Islam.
Sekiranya dilihat dengan pemerhatian yang teliti kepada nasib yang dialami oleh negara-negara umat Islam hari ini maka sudah pasti ia menjadi bukti menguatkan lagi tuntutan tersebut adalah tanggungjawab yang wajib di sisi syariat di mana umat Islam tadi seharusnya berdiam diri dan memandang ringan.
Kita dapati banyak negara-negara (Umat Islam) yang mengadu dan merintih dengan penuh penderitaan kerana dikuasai oleh keserakahan orang-orang bukan Islam (kafir) sebagaimana yang dialami oleh rakyat Palestine, Kashmir, Eitrea, Qibrash, Bukhara, Samarkand dan lain-lain.
Manakala beberapa negara lain pula menderita kerana cengkaman kuasa golongan minoriti yang berniat jahat ke atas umat Islam, mereka memerintahkan Umat Islam dengan kekuatan besi dan api.
Kita dapati juga beberapa bahagian dari negara Umat Islam yang lain mengadu mengenai penderitaan mereka yang disebabkan oleh kekuasaan parti-parti puak kiri (yang terdiri dari sosialis dan komunis) atau puak kanan (yang berkefahaman kapitalis) dalam negara mereka. Begitu juga keadaan hidup di beberapa tempat yang lain yang berada di dalam suasana pertumpahan darah yang hebat hasil dari perebutan kuasa di antara kekuatan puak kiri dan puak kanan.
Selain dari hal-hal yang tersebut di atas, sebenarnya betapa perlunya amal Islami sekalipun secara darurat, dari menyahut cabaran-cabaran dari dalam yang berupa kuncu-kuncu, tali barut dan penyokong musuh Islam. Firman Allah bermaksud:
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata.
(Al-Anfaal, Ayat: 39).

Keempat: Wajib Secara Individu Mahupun Jemaah.


Tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam dari sudut kewajipan syarak (taklifi) adalah satu tanggungjawab ke atas individu (fardi) sama seperti kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab syariat yang lain di mana ganjaran pahala diberikan apabila dilaksanakan tanggungjawab tersebut dan dibalas dengan dosa apabila ia ditinggalkan.
Firman Allah s.w.t bermaksud:
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan Neraka Saqar itu?
(Surah Al-Muddaaththir, Ayat: 27).
Firman Allah lagi bermaksud:
Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.
( Maryam, Ayat: 95).
Firman Allah lagi bermaksud:
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu.
(Al-Israa’, Ayat: 7).
Firman Allah lagi bermaksud:
Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).
(Al-An’aam, Ayat: 164)
Firman Allah lagi bermaksud:
Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri.
(Al-’Ankabuut, Ayat: 6).
Supaya orang lain itu semuanya turut serta dalam kerja-kerjanya membina masyarakat dan memakmurinya iaitu dengan membina kehidupan masyarakat atas dasar kebenaran (Al-Haq) dan memakmurkan dengan kebaikan, maka Islam telah menentukan ke atas setiap orang Islam bertanggungjawab memberikan khidmat dan pengorbanan mereka untuk Islam mengikut batas kemampuan masing-masing, selama mana insan itu berada dalam keadaan baligh, akal yang sihat dan ada kemampuan. Dari pengorbanan seperti ini akan menjadikan masyarakat Islam itu sebagai sel yang hidup dan bernyawa dalam badan. Setiap individu dalam masyarakat ini akan memberikan sesuatu malah mereka berlumba-lumba untuk berkorban.
Dari kenyataan di atas jelaslah bahawa kewajipan beramal dan bekerja untuk menegakkan Islam oleh individu adalah sama seperti kewajipan-kewajipan syarak yang lain iaitu ia adalah satu kewajipan Islam.
Oleh kerana beramal dan bekerja untuk Islam adalah kewajipan individu (fardi) dari sudut ini maka ia juga adalah satu kewajipan secara jama’ie (organisasi) apabila dilihat dari sudut tanggungjawab gerakan dan dari sudut perlaksanaannya. Kenyataan ini dibuktikan oleh realiti-realiti yang berlaku dan keadaan-keadaan yang pada dasarnya tidak dapat dipertikaikan lagi.
Di antara realiti-realiti tersebut ialah:
1. Sebenarnya taklif atau tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam adalah satu tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul oleh orang perseorangan kerana matlamat amal Islami adalah untuk meruntuhkan jahiliah hingga ke akar umbinya lalu di atas runtuhan itulah ditegakkan Islam. Tugas yang berat ini menurut pengorbanan, kemampuan dan kesanggupan yang tidak mampu dilakukan secara perseorangan bahkan tugas ini tidak mampu dipikul sekalipun dengan memerah seluruh tenaga, kegigihan dan kesanggupan menghadapi segala penderitaan. Tanggungjawab ini hanya mampu dipikul oleh gerakan yang tersusun, yang memiliki kadar kemampuan yang setimpal dari sudut kesedaran, penyusunan dan kekuatan dalam menghadapi jahiliah yang wujud.
2. Sesungguhnya usaha kerja Rasulullah s.a.w dalam rangka menghadapi serangan jahiliah dan kemudiannya menegakkan masyarakat Islam serta mengembalikan kehidupan mengikut lunas-lunas Islam merupakan dalil dan bukti bekerja secara berjemaah untuk menegakkan Islam adalah wajib. Oleh yang demikian Rasulullah s.a.w tidak menggunakan cara bekerja secara individu di dalam bertindak, malah sejak dari awal-awal lagi baginda begitu mengambil berat kepada usaha-usaha menubuhkan jemaah dengan memilih anasir-anasir pembinaannya dangan teliti. Kemudian baginda s.a.w membentuk dan membersihkan mereka sehingga menjadi satu kekuatan dalam proses perubahan yang baginda s.a.w lakukan.
Inilah yang telah dibuktikan oleh perjalanan sirah Rasulullah s.a.w dalam setiap peringkat dan lapangan.
3. Selain dari itu amal dan gerak kerja untuk menegakkan Islam dipenuhi dengan halangan ranjau dan duri, ujian dan cubaan. Halangan-halangan yang menunggu di jalannya sangatlah banyak. Kuasa-kuasa asing yang saban waktu menunggu kesempatan memukul umatnya juga adalah banyak. Semua cabaran-cabaran ini menuntut kewujudan sebuah tanzim haraki (penyusunan gerakan jemaah) yang menyeluruh dari sudut kualiti dan kuantiti untuk menghadapi segenap peringkat amal, suasana persekitaran serta kemungkinan-kemungkinan yang mendatang.
Dari ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w terdapat banyak dalil-dalil yang secara nyata menunjukkan beramal secara berjemaah yang kemas tersusun untuk menegakkan Islam adalah merupakan satu perkara penting.
Allah s.w.t berfirman bermaksud:
Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
(Surah Al-Maaidah, Ayat: 2).

Kelima: Ganjaran Jihad Adalah Untuk Mujahid Itu Sendiri.


1. Sejak awal-awal lagi para petugas yang bekerja untuk Islam mestilah memahami secara mendalam bahawa merekalah yang sebenarnya memerlukan Islam. Sewaktu mereka bekerja, berjihad dan berjuang, bererti mereka bertindak membersihkan diri dan jiwa mereka sendiri di samping menunaikan sebahagian dari hak-hak Allah ke atas mereka supaya mereka memperolehi ganjaran dari sisi Allah di hari kiamat kelak, hari di mana pandangan menjadi tunduk merendah dan hati menjadi bergetar kerana dilanda ketakutan ditimpa azab.
Mereka inilah yang beruntung sekiranya mereka mara beramal dan merekyang rugi sekiranya mereka berundur dan berpaling tadah.
Allah s.w.t berfirman bermaksud:
Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.
(Al-Ankabuut, Ayat: 6).
Allah s.w.t juga berfirman bermaksud:
Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.
(Surah Muhammad, Ayat: 38).
2. Mereka juga mesti memahami bahawa nilai dan harga diri mereka sebenarnya adalah kerana pegangan mereka kepada Islam. Mereka tidak mempunyai apa-apa nilai sekiranya tidak bersama Islam (sama seperti binatang bahkan lebih sesat dari itu). Kemuliaan dan ketinggian mereka yang sebenarnya tidak akan tercapai melainkan dengan mereka menggembleng tenaga dan melibatkan diri di dalam jemaah Islam yang memperjuangkan Islam dan terus kekal dalam jemaah yang berkenaan. Sesiapa yang mengasingkan diri dia akan keseorangan di dalam azan neraka. Sesiapa yang menyatukan dirinya secara benar dengan kumpulan tersebut bererti dia telah bergabung dengan nasab keturunan yang mulia mengikat diri dengan golongan yang mendapat petunjuk, yang terdiri daripada para Nabi dan para syuhada yang mendapat nikmat di sisi Allah s.w.t.
3. Para petugas amal Islami juga mesti menyedari bahawa terus kekal bersama dengan jemaah adalah syarat bagi mendapat pendirian yang teguh sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya serigala itu hanya akan dapat memakan kambing yang tersisih (dari kumpulannya)”.
Masyarakat yang dipenuhi dengan fitnah tidak ubah seperti malam yang gelap-gelita. Manusia tidak mungkin dapat menjalani kehidupan dengan sempurna atau tidak terjejas dengan kesan-kesan kotoran masyarakat tersebut sekiranya tidak menerima peringatan, nasihat dan ingat memperingati.
bermaksud:
Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.
(Az-Zaariyaat, Ayat: 55).
Allah s.w.t berfirman lagi bermaksud:
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Al-Asr, Ayat: 1 – 3).
Oleh yang demikian mereka mestilah hidup di bawah satu naungan keluarga yang beriman. Mereka mestilah bersama-sama dengan pasukan Tuhan yang Maha Pengasih dan terus hidup bersama mereka buat selama-lamanya.
Allah s.w.t berfirman bermaksud:
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
(Surah Al-Kahfi, Ayat: 28).
4. Para petugas amal Islami juga mestilah benar-benar memahami bahawa mereka beramal dengan bekerja semata-mata kerana Allah dan berjihad pada jalannya. Mereka juga mesti memahami bahawa jalan ini adalah jalan yang paling jauh, penuh dengan kesukaran. Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak diingini manakala mereka pula dilingkungi oleh perkara-perkara yang menarik syahwat.
Jalan ini merupakan satu jalan yang tidak sanggup dilalui oleh mereka yang hidup dalam suasana mewah, mereka yang bimbang akan kesempitan rezeki dan kemewahan hidup. Jalan ini juga tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang mementingkan kerehatan dan mengikut runtunan nafsu, tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang sempit dada dan tidak memiliki kekuatan, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang tidak sabar menghadapi cemuhan dan cacian, apatah lagi pengorbanan wang ringgit dan harta benda, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang berpegang dan berkeras dengan pendapat sendiri sahaja sedangkan dia sendiri tidak mengetahui bahawa ia tidak mengerti (kedudukan yang sebenarnya) dan jalan ini juga tidak sanggup dilalui oleh mereka yang tidak bersedia untuk tunduk kepada keputusan jemaah dan tidak sanggup pula beriltizam dengan pandangan-pandangan jemaah.
Sesungguhnya jalan ini adalah jalan pembersihan jiwa, penyucian hati dan pengawalan diri, jalan kerahmatan dan kemuliaan. Jalan kesabaran dan ketetapan, jalan kebebasan dan kehormatan dan jalan kebenaran dan keikhlasan. Sesungguhnya jalan yang mempunyai sifat-sifat seperti ini tidak akan sanggup dilalui melainkan oleh orang-orang mukmin yang hati-hati mereka mempunyai ikatan yang kukuh dengan Allah yang Maha Esa, yang menggantungkan harapan dan pertolongan kepadanya.
Allah s.w.t berfirman bermaksud:
Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(At-Talaaq, Ayat: 126).
Allah s.w.t berfirman lagi bermaksud:
Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.
(Al-Fath, Ayat: 10). - http://www.niknasri.com/

Solat jiran masjid dan isu hadis lemah

http://www.malaysiatransform.com/3/, 01 Apr 2012
Soalan ketiga Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiada solat bagi yang berjiran dengan masjid kecuali di masjid.” Apakah taraf hadis ini dan maksudnya? Bolehkah beramal dengan hadis dhaif?

Jawapan:   Hadis di atas telah diriwayatkan oleh al-Daraqutni (1/419), al-Hakim (no: 898), dan al-Baihaqi (no: 4724), melalui jalur Sulaiman bin Daud al-Yamami, daripada Yahya bin Abi Kathir daripada Abi Salamah daripada Abu Hurairah, secara marfu’.
Read More
Al-Hakim dalam al-Mustadrak tidak membuat apa-apa komentar terhadap penilaian hadis ini.

Al-Albani dalam Silsilah Dhaifah (1/332) mengatakan bahawa kecacatan hadis ini berpunca dari perawi bernama Sulaiman, dan beliau seorang yang sangat dhaif.

Ibn Ma'ien menilai perawi tersebut sebagai "tiada apa-apa".

Imam al-Bukhari pula menilainya sebagai "Munkar al-Hadis".   Al-Zahabi menukilkan bahawa Imam al-Bukhari berkata: “Sesiapa yang aku katakan sebagai Munkar al-Hadis, maka tidak halal meriwayatkan daripadanya.”

Di dalam Sunan al-Daraqutni (1/419), terdapat satu jalur hadis ini dengan lafaz yang bermaksud: “Tidak ada solat bagi siapa yang mendengar azan, kemudian tidak datang kecuali kerana sakit.”

Kata al-Albani dalam Silisilah al-Dhaifah (1/332), bahawa sanadnya dhaif kerana Abu al-Sikkin yang dihukum oleh Abu Hatim sebagai majhul (tidak dikenali).

Kemudian al-Albani membawakan beberapa nukilan ahli hadis yang mendhaifkan perawi ini.

Di dalam sesetengah riwayat, menjelaskan bahawa maksud jiran masjid ialah mereka yang mendengar azan. Al-Albani mengatakan, ia diriwayatkan oleh Ahmad sebagaimana dalam Masa’il anaknya Soleh, dengan sanad yang sahih, dan secara mauquf daripada Ali RA.

Di dalam satu riwayat yang bermaksud: “Siapa yang mendengar azan, kemudian tidak pergi, maka tiada solat baginya kecuali dengan sebab uzur.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibn Majah, al-Daraqutni, al-Hakim, al-Baihaqi dan sanad Ibn Majah dan lainnya sahih.   Ia telah disahihkan oleh al-Nawawi, al-`Asqalani, al-Zahabi dan ulama sebelum mereka seperti al-Hakim.

Penulis berpendapat, sekalipun hadis yang di atas dhaif, namun ia mempunyai syawahid (kesaksian) daripada hadis-hadis yang lain. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas dan dinilai sahih oleh ramai ulama seperti yang terdapat dalam al-Irwa’ (الإرواء).

Justeru, hadis ini sepatutnya boleh menjadi asas untuk beramal.

Ini kerana sekalipun dhaif mengikut syarat yang dikemukakan oleh ulama mustalah hadis (مصطلح الحديث) yang khilaf (خلاف) tentang beramal dengan hadis dhaif kepada tiga pendapat:

i. Tidak harus beramal secara mutlak. Inilah pendapat al-Qadhi Abu Bakr Ibn al-`Arabi, dan juga Ibn Sayyidi al-Nas menghikayatkannya daripada Yahya bin Ma`in.

ii. Boleh beramal dengannya secara mutlak. Pendapat ini disandarkan kepada Abu Daud dan Imam Ahmad.

iii. Boleh beramal dengannya berkaitan dengan fadhilat al-A’mal dan yang berbentuk peringatan, kisah-kisah dan seumpamanya yang tidak berkaitan dengan aqidah-aqidah dan hukum-hakam. Inilah yang muktamad di sisi ulama muhaqqiq.

Pendapat yang ketiga ini pula disokong oleh Ibn Abd al-Bar dengan katanya: “Segala hadis fadhail tidak berhajat padanya untuk dihujah dengannya.”   Imam al-Nawawi Rahimahullah menambah dalam al-Azkar dengan menyandarkan kepada para ahli hadis dan fuqaha’: “Harus dan sunat beramal dengan hadis dhaif dalam bab fadhail a’mal selama mana ia bukannya maudhu’ (palsu).”

Bagi menjelaskan lagi hukum beramal dengan hadis dhaif, dinyatakan di sini syarat-syaratnya.

Antaranya seperti yang disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani:

i. Ia masalah fadhilat a’mal.

ii. Kedhaifannya bukan amat ketara.

iii. Termasuk di bawah asal yang boleh beramal dengannya.

Jangan i’tiqad ketika beramal dengannya bahawa itu adalah thabit tetapi diamalkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Jangan abaikan tarbiah walaupun musim p'raya

Idris Haji Ahmad, 22 Apr 2012


Sesungguhnya keperibadian Muslim yang tulen merupakan batu bata yang menjadi tapak kepada pembinaan jamaah. Kukuhkan peribadi Muslim melalui program tarbiah fardi (perseorangan) atau secara jama’i). Jika berlaku kelemahan dan kecacatan di dalam proses pembinaan ini maka jamaah perlu dipertangungjawab kenapa perkara ini berlaku. Sekiranya jamaah sudah berusaha semaksimum mungkin mengatur program, namun sikap ahli atau pimpinan yang  tidak memperdulikan program ini, maka jamaah boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab ini.

Kerana kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan jangka panjang kepada parti Pas untuk meneruskan perjuangan, kerana  perjalanan masih jauh. Kegagalan ini akan memberi kesan jangka panjang dan keruntuhan kepada jamaah.  Mengakibatkan parti  tidak boleh melahirkan keperibadian yang bertanggungjawab dan petugas yang sanggup memikul beban tugas yang merupakan amanah. Paling malang sekali,  kesan yang paling buruk ialah mereka ini membebankan parti, bukan meringankan parti.

Sesungguhnya tabiat perjuangan itu sendiri yang perlu meletakkan asas yang kukuh kerana ia menuntut kita kepada amal jihad yang berterusan. Untuk mendapat kejayaan cemerlang, jamaah mesti melahirkan  manusia yang memiliki akidah yang betul-betul memahami Islam mengikut sistem tarbiah  yang baik untuk persediaan kepada jihad dan pengorbanan.

Imam Syhid Hassan al-Banna pernah menyatakan “Sesungguhnya lelaki bercakap bukan lelaki kerja,lelaki kerja pula bukan lelaki jihad, lelaki jihad yang semata-mata berjihad saja bukan lelaki yang bijaksana yang boleh mengeluarkan hasil yang memberi keuntungan besar melalui pengorbanan yang sidikit saja”

Tarbiah mempunyai kesan dan pengaruh jangka panjang dan pendik untuk menghadapi berbagai-bagai peristiwa dan keperluan amal di jalan dakwah, samada ketika menghdapi dugaan atau tipu helah musuh.

Tarbiah tidak sepatutnya  dibataskan untuk ahli biasa sahaja, sedangkan peringkat atasan ditinggal begitu sahaja. Ia wajib diamalkan  tanpa ada pilihan kerana setiap orang memerlukan bekalan dan bahan ingatan.

Tarbiah amat diperlukan sepanjang masa, terutama ketika suasana kritikal , seperti sewaktu pilihanraya. Suasana begini amat penting kerana unsur iman diperlukan untuk mendapat sokongan dan pertolongan Allah.

Meneruskan usaha tarbiah amat diperlukan sebagai persediaan kepada generasi akan datang untuk menyambung tugas perjuangan jihad sebagai barisan pelapis.

Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan kecuaian terhadap program tarbiah.

Sheik Mustafa Masyhur dalam bukunya “Tariq al-Dakwah Baina al-Asalah wal-Inhiraf” (Jalan Dakwah Antara Keaslian Dan Penyelewingan) telah menggariskan beberapa perkara yang boleh menyebabkan program tarbiah terencat untuk menjadi ingatan kepada kita, supaya perkara ini tidak berlaku kepada parti Pas

a. Memberi tumpuan yang lebih kepada bidang politik dan meringankan aspek tarbiah . Hal ini diatur oleh politik yang terlalu sibuk menghabiskan masa dalam menyelesaikan masalah , kemusykilan dan perhitungan.

b. Tidak menyediakan para murabbi dan para pelatih. Para murabbi hanya menumpukan kepada peringkat tinggi, dan mengabaikan peringkat bawahan. Selain itu berlebihan memberi keutamaan kepada berceramah ke merata-rata tempat kerana banyak jemputan hingga melemahkan  tugas mereka dalam aspek tarbiah.Dengan ini amat penting disediakan para murabbi  untuk mengimbangkan program  ceramah dengan tarbiah.

c. Usrah tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Usrah tidak digunakan untuk mengasah bakat dan  pembentukan peribadi dan membina akhlak.

d. Sibuk dengan bidang-bidang lain hingga mengenepikan tugas tarbiah.

Muhasabah yang diberikan oleh Sheikh Mustafa Mashur ini boleh kita mmbuat koreksi terhadap diri kita dan juga jamaah kita supaya ia menjadi jamaah yang unggul. Walaupun beliau menulis di dalam konteks negeri Mesir yang berbeza dari segi demografi dan suasana persekitaran politik. Namun beberapa saranan dan teguran beliau itu ada relevan untuk kita muhasabah diri dan parti kita.

Setiap ahli Pas mesti melatih  diri mereka mengutamakan sudut amali daripada banyak bercakap. Elakkan diri daripada terjebak dengan pencemaran riya’ yang boleh membawa kepada kerosakan dan kemusnahan amalan dan parti. Elakkan diri daripada menyebarkan diayah palsu sesama ahli jamaah

Elakkan pertengkaran dan perbalahan sesama anggota, kerana syaitan akan masuk campur dan berlakulah pertelingkahan dan permusuhan sehingga merosakkan ukhwah. Semua ini menjejaskan amal kerja untuk berdakwah. Rasulullah melarang kita dari bersifat demikian kerana ia tidak mendatangkan kebaikan.

Memanglah ukhwah sangat penting dalam berdakwah dan berjihad supaya tidak ada peluang kepada musuh menembusi masuk ke dalam saf jamaah. Kecuaian terhadap ruh atau semangat ukhwah dan kasih sayang sesama anggota akan memberi  peluang kepada syaitan dan musuh sehingga membawa kepada pertelagahan, kegagalan dan keruntuhan. Firman Allah SWT

“Dan janganlah kamu berbalahan, maka kamu akan gagal dan hilang kekuatan kamu” (Surah al-Anfal 46)

Imam Syahid Hassan al-Banna menasihat perkara ini “Masa merupakan kehidupan, dan tanggungjawab lebih banyak dari masa. Oleh itu janganlah kita sibuk dengan menguruskan kulit mengenepikan isi dan jangan sibuk dengan banyak cakap dan bertengkar tetapi mengenepikan amal.

Apa jadi dengan Awang Adek?

Subky Latif, 23 Apr 2012
APA Najib dan UMNO hendak buat dengan Dr. Awang Adek Husein yang disambung menjadi senator pada 8 April lalu?

Yang menariknya dia adalah UMNO paling kanan di Kelantan selepas Dato Seri Mustapa Mohamad. Dia calon Menteri Besar kalau Barisan Nasional menang. Atau menteri kabinet kiranya BN berkuasa lagi jika Dato Pa jadi menteri besar.

Tetapi dia dijadikan senator lagi sedang PRU 13 sudah tinggal kurang dari 100 hari.

Adakah dia tidak bertanding dalam PRU itu, memadai kekal sebagai senator? Jika BN menang lagi bolehlah jadi menteri atau timbalan menteri selama tiga tahun saja. Penggal senatorshipnya yang terakhir. Selepas tiga tahun dia tamat dan hilang kelayakan jadi menteri kecuali dia menang pilihan raya  Parlimen di mana-mana.

Kalau dia jadi calon Parlimen dalam PRU ini, dia kena letak jawatan senator. Dia tidak boleh senator lagi selepas itu kerana tempohnya sudah tamat. Seseorang hanya boleh jadi senator dua penggal.

Kalau dia kalah tetapi BN berkuasa lagi di Putrajaya, dia tidak boleh jadi menteri lagi kerana tidak layak lagi jadi senator.

Pengalaman Dato Wan Ahmad Farid Wan Salleh adalah contoh terbaik. Dia jadi Timbalan Menteri sebagai seorang senator. Sebaik senatorshipnya disambung dia meletak jawatan kerana jadi calon BN dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Tiba-tiba dia kalah. Kelayakan jadi senator sudah habis. Maka lucut jawatan timbalan menterinya. Jika dia terus jadi senator, dia boleh kekal jadi timbalan menteri hingga 7 April lalu. Tiada penggal ketiga bagi seorang senator.

Adakah Awang Adek akan letak jawatan senator untuk bertanding PRU 13 ini? Dia boleh jadi calon DUN dan boleh juga jadi calon Parlimen serentak. Bertuah kalau menang kedua-duanya atau menang salah satu. Dan mungkin juga kalah kedua-duanya.

Tiada siapa terfikir PAS akan kalah di Kelantan kecuali dengan kehendak Allah. Kalau PAS berkuasa lagi dan Awang Adek menang DUN, bolehlah  dia jadi ketua pembangkang. Tetapi jika kalah lagi di Parlimen Bachok, Putrajaya masih di tangan BN, Awang Adek hilang peluang jadi timbalan menteri atau menteri.

Kiranya dia tidak meletak jawatan sebagai senator, kiranya BN menang lagi Awang Adek boleh kekal sebagai timbalan menteri atau menteri selama tiga tahun lagi.

Jika dia memilih untuk tidak menjadi calon, berpuas hati sebagai senator, maka dia tidak kira anak jantan dalam politik. Semasa PAS tidak meletakkan calon Muslimat dulu, senator itu dikira jawatan untuk orang perempuan saja. Kiranya BN mengekalkan Awang Adek sebagai senator, maka BN mengibaratkan Awang Adek sebagai orang perempuan saja.

Datuk Seri Najib telah mensyaratkan calon BN adalah terdiri dari orang yang boleh menang. Ketua UMNO Bahagian atau Anggota Majlis Tertinggi UMNO yang dirasakan tidak menjadi calon yang boleh menang, maka dia tidak akan dicalonkan.

Tempat yang sesuai bagi calon yang payah menang itu adalah di Dewan Senat saja.  Awang Adek sudah tidak dapat mengulangi kemenangan di Bachok tahun 2008. Dia kalah dengan calon dari luar Kelantan yang bukan orang Kelantan.

Kalau dengan bukan orang Kelantan dari dari luar Kelantan pun dia pernah kalah, maka apakah dia boleh menang kalau berlawan  dengan orang Bachok sendiri?

Mungkinkah Najib mengekalkannya sebagai senator kerana dia tidak dianggap calon winnable?


Wan Ahmad Farid telah dikritik kerana menerima tawaran disambung semula kerusi senat sedang kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada masa itu sudah kosong. Kemudian dia meletak jawatan senator yang baru disambung itu untuk menjadi calon. Adakah Awang Adek akan mengulangi politik yang dilalui oleh Wan Farid?

Apa UMNO buat pada Awang Adek dengan menjadikannya senator lagi pada ambang denggi pilihan  raya sudah melanda?

‘Hok mung kata sesat ni lah tulong semayang mayat’

Nik Nasri Nik Malek,
Dialek Terengganu di atas bermakna 'Orang yang kamu katakan sesat inilah yang tolong solatkan jenazah'. Ayat ini muncul spontan apabila Umno Terengganu melalui kuasa yang ada di peringkat negeri Terengganu mengadakan wacana secara 'halal' mencop PAS sebagai Parti Ajaran Sesat. Ahli panel yang sememangnya dikenali, juga resolusi yang mungkin telah disediakan berhari-hari lebih awal mewarnai wacana sumbang dan sesat itu.

Sebelum ini Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dato' Hj Husin Awang sendiri telah membuat kenyataan yang boleh diakses di  buletinonline menjawab tuduhan Ahmad Said yang menyatakan PAS sebagai parti ajaran sesat. Jawaban itu berdasarkan fakta mengenai hakikat dasar, matlamat dan perjuangan PAS itu sendiri yang berusia sudah melebihi 50 tahun. Saya rasa ia tidak perlu diulang di sini kerana akan menjadi tahsilulhasil (perkara yang sama diulang), terutama kepada mereka yang masih bodoh dan membodohkan diri sendiri tidak mahu memahami dan mengerti perjuangan PAS ini.

Namun apabila ia diwacanakan secara 'halal', menyesatkan perjuangan Islam bagi menegakkan Islam secara syumul, maka ia adalah sesuatu yang besar. Tapi kita boleh faham, isu ini dibangkitkan dan digembar-gemburkan kerana Umno sebenarnya sudah tidak ada modal bagi menyerang PAS. Isu tahaluf siasi dengan DAP, isu undi Melayu kurang jika Umno kalah, isu PAS menjadi kuda tunggangan DAP dan lain-lain sebenarnya PAS ada jawabannya sendiri dan telah dijelaskan oleh PAS melalui media cetak atau ceramah pimpinan PAS dari semasa ke semasa.

Ahmad Said yang dikenali sebagai agak pongah dan cepat melenting pernah mencabar Pesuruhjaya PAS Terengganu sekarang, YB Hj Abdul Wahid Endut dalam sidang DUN negeri Terengganu suatu masa dahulu bertumbuk di luar dewan selepas YB Wahid Endut membangkitkan suatu isu ketika itu. Wajarkah diajak bertumbuk di luar dewan? Kepongahan itu rupanya tidak dapat dibendung. Ia dilihat oleh semua orang. Tidak malukah dengan perangai buruk itu?

Kali ini bukan sahaja pongah, tetapi sangat biadab dengan menuduh PAS sebagai sesat. Ia tuduhan tidak bertanggungjawab. Sesat adalah suatu perkara yang besar apatah lagi melibatkan PAS sebagai parti politik dan satu organisasi besar dengan keahlian yang ramai dan sokongan rakyat kepada perjuangan Islam. Bukan Islam boleh memahami perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Kenapa Ahmad Said tidak boleh faham dan sengaja membebalkan diri dan hati dari hakikat dan kebenaran ini?

Ahmad Said kena ingat. Juga penyokong-penyokong Umno yang mengiakan tuduhan ini bahawa apabila berlaku kematian, siapakah yang dipanggil untuk membantu meramaikan solat jenazah? Bukan anak-anak pondok yang menyokong PAS? Bukan ahli qaryah yang menjadi penyokong tegar PAS? Justeru, kami sebagai ahli PAS mendesak Ahmad Said menarik balik tuduhan itu, meminta maaf kepada PAS atau bersedia berdebat/muzakarah sekali lagi dengan pimpinan PAS. Itupun kalau kamu anak jantan.

Penulis ialah Ketua Lajnah Penerbitan Dan Penyelidikan Dewan Ulama PAS Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan