Selasa, 17 April 2012

JANGAN KITA SIBUK PERJUANG KAUM MELAYU...YANG DITUNTUT MEMPERJUANGKAN ISLAM...MAKA MELAYU ISLAM DENGAN SENDIRI DIPERJUANG SEKALI...ISLAM MELARANG MEMPERJUANG KAUM..ISLAM UNTUK SEMUA...

Surat terbuka kepada pejuang Melayu

Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 16 Apr 2012
Ramai kalangan individu dan kumpulan yang mengisytiharkan menjadi pejuang Melayu, secara laungan lisan yang bersuara dan tulisan yang dicatit di dada akhabar, majalah dan sepanduk yang direntang, semuanya penuh bersemangat yang berkobar-kobar, sehingga sanggup melakukan apa sahaja. Bagi penganut Islam, yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu juga, wajiblah benar-benar ikhlas kerana Allah dan kepada Allah kembalinya, hendaklah menjadikan Islam itu satu-satunya petunjuk yang diyakini benarnya menyelamatkan manusia seluruhnya, termasuklah bangsa Melayu.

Saya ulangi kenyataan saya, bahawa tidak menjadi salah, kecintaan seseorang itu, atau kumpulannya atau bangsanya terhadap bangsanya, kerana inilah sifat semula jadi manusia yang disebut fitrah atau naluri, tetapi sifat fitrah  juga adanya dalam alam dunia ini berbagai bangsa, suku kaum, berkeluarga  yang hidup secara bermasyarakat, sehingga tidak mungkin bersendirian. Inilah ketetapan Allah pencipta alam yang dipuji setiap rakaat sembahyang. Allah berfirman (maksudnya): Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku kaum, supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al-Hujurat: 13)
Kita tidak dapat menghapuskan sifat fitrah kecintaan kepada bangsa, samalah juga tidak boleh menghapuskan wujudnya berbagai bangsa, serta tidak dapat menghapuskan wajibnya hidup bermasyarakat, sehingga Ibnu Khaldun, seorang tokoh ilmuan sedunia menegaskan ;”Manusia itu bersifat masyarakat madani secara tabiinya”.
Nabi Muhammad s.a.w yang dilantik menjadi Rasul kepada seluruh manusia juga sayangkan bangsa dan tanah air, tetapi kesayangan dan kecintaan itu diatur dengan petunjuk Islam, tanpa merosakkan hubungan kemanusiaan di kalangan berbagai bangsa dan suku kaum serta berbagai agama yang wajib hidup bermasyarakat, walaupun menegaskan hanya Islam yang diakui benarnya. Namun tidak boleh memaksa sesama manusia, kerana keperluan manusia seluruhnya dalam kehidupan dunia, sebelum berpijak ke alam akhirat, tidak boleh dihasilkan secara individu sahaja dan satu bangsa sahaja dan satu suku kaum sahaja.
Sempadannya ialah menegakkan Islam yang adil untuk semua. Sempadannya haram berlaku zalim terhadap sesiapa sahaja, sehingga zalim itu diharamkan terhadap kaum lain dan diharamkan juga membela kezaliman kaum dan bangsanya sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ  
سنن أبي داود - (ج 13 / ص 325)
Maksudnya: (Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada asabiyyah, bukan daripada kalangan kami orang yang berperang di atas tujuan asabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati di atas perjuangan asobiyyah).
Asabiyyah itu ialah fanatik terhadap kaum bangsa sendiri kerana kasih tanpa dasar yang benar dan adil sehingga menzalimi terhadap kaum dan bangsa lain dalam semua urusan cara hidup dan beragama.
Maka Islam telah berjaya menyelamatkan bangsa Arab dengan Islam, sehingga menghapuskan asabiyyah kabilah suku kaum sesama bangsa Arab yang berperang sejak ribuan tahun dan permusuhan bangsa Arab terhadap bangsa lain, sehingga bangsa Arab setelah menganut Islam berjaya menjadi kuasa besar dunia yang mengambil alih pengaruh dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom di zamannya.
Bangsa Arab yang memimpin negara kuasa besar Islam akhirnya berjaya menerima masyarakat majmuk kalangan berbagai bangsa dan berbagai agama yang berlainan dengan Islam. Walaupun penganut Islam diwajibkan berdakwah mengajak manusia kepada Islam, tetapi diharamkan memaksa terhadap penganut agama lain, diharamkan zalim, serta diwajibkan berlaku adil terhadap semua manusia, binatang dan alam seluruhnya. Akhirnya Islam berjaya mengumpulkan daripada masyarakat majmuk itu, ilmu duniawi yang memberi manfaat dari segi kemanusiaan daripada berbagai bangsa dan penganut agama, sehingga berjaya melahirkan tamadun majmuk yang menyumbang kepada dunia seluruhnya sehingga hari ini.
Kejatuhan dua kuasa besar dunia berlaku di zaman khalifah kedua  Umar bin al- Khattab r.a. Apabila khalifah dijemput datang oleh paderi besar Bait al-Maqdis yang sangat gembira dengan kejatuhan kuasa besar Rom yang zalim terhadap mereka sejak beberapa abad. Khalifah disambut oleh para pemimpin kalangan para sahabat yang berbangsa Arab menyampaikan ucapannya yang masyhur, antara lain menegaskan:
Kita adalah kaum bangsa yang diberi kemuliaan dengan Islam, sekiranya kita mencari yang lain daripada Islam untuk mencapai kemuliaan kononnya, nescaya kita ditimpa hukuman menjadi kaum bangsa yang hina.
Kenyataan ini berasaskan firman Allah: Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang bakhil, dan sesiapa yang bakhil sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri, dan Allahlah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang sangat berhajat kepada pertolongan Allah; dan jika kamu berpaling daripada menegakkan agama Allah (Islam) nescaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini. (Surah Muhammad: 38)
Firman Allah dan ucapan ini menjadi kenyataan, apabila bangsa Arab yang memimpin umat Islam tidak lagi berpegang kepada Islam kerana leka dengan kuasa yang dijadikan peluang mengumpul harta kekayaan dan kemewahan. Maka Allah menukarkan kepimpinan kepada kalangan kaum bangsa bukan Arab, penganut Islam yang berpegang dengan Islam yang sempurna secara silih berganti di kalangan berbagai bangsa yang menganut Islam dan beramal dengannya dalam seluruh cara hidup. Apabila seluruh bangsa umat Islam bersemangat bangsa masing-masing dan berpuak, Islamnya menjadi sampingan amalan peribadi masing-masing, sehingga urusan politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain dipisahkan daripada Islam, maka umat Islam dan tanah air bumi Islam dijajah oleh kuasa asing yang menindas mereka dengan hina.
Walaupun penjajah terpaksa memberi kemerdekaan pada akhirnya, tetapi mereka berjaya mengekalkan kemerdekaan di atas semangat bangsa mengatasi petunjuk Islam. Maka kemerdekaannya tidak sampai kepada matlamat yang sebenar, kerana jasad dan tanah sahaja ditinggalkan oleh penjajah, sedangkan akal fikran dan kefahaman masih dijajah, termasuk bangsa Arab sendiri yang kaya-raya dengan hasil semula jadi yang luasnya laksana laut. Apabila semangat kebangsaan Arabnya mengatasi petunjuk Islam, menjadikan mereka terus lemah dan dipermainkan oleh kuasa-kuasa besar yang berebut dan berlumba-lumba mengambil kesempatan daripada bumi Arab, sehingga Arab boleh dilagakan sesama satu bangsa dan satu agama.
Inilah juga pendekatan semangat kebangsaan Melayu yang dibawa oleh UMNO sejak lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan. Islam hanyalah satu religion atau agama, bukan al-Din yang dinyatakan oleh al-Quran. UMNO tidak mampu menempatkan dan melahirkan pemimpin yang perkasa dengan ilmu dan sakhsiah Islam, UMNO hanya berjaya melahirkan ramai pemimpin yang dicantas kerana kesalahan rasuah sesama sendiri, atau salah laku sesama sendiri dalam perebutan pertandingan kepimpinan negara apabila berjaya memimpin parti. Maka kepimpinan dianggap peluang untuk diri, keluarga dan rakan keliling, bukannya menunaikan amanah memperkasakan bangsa bersama Islam yang sempurna, dengan iman, ilmu dan akhlak dan mampu menguasai berbagai kaum dengan menegakkan Islam adil untuk semua, yang terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna. Islam mengikut pendekatan UMNO, dilaksanakan secara terpilih bagi kepentingan duniawinya, bukannya memperhambakan diri menunaikan amanah daripada Allah yang menjadikan Islam adalah rahmat kepada seluruh alam.
Agama Islam yang diterima oleh penganut agama lain menjadi agama persekutuan, kerana penganutnya adalah bangsa Melayu yang diakui oleh semua kaum kerana majoritinya, tiba-tiba tidak berjaya memuliakan bangsa Melayu sendiri dengan iman, ilmu dan akhlak, selagi pemimpin UMNO diberi amanah memimpin negara di atas nama Melayunya sahaja  dengan pendekatan Islam terpilih mengikut para pemimpin UMNO. Walaupun orang Melayu diapikan semangat kebangsaannya yang bertopengkan Islam, sedangkan isi kandungan menipu umat, dengan media upahan dan media abdi kepadanya. Akhirnya bangsa Melayu bukan sahaja tidak boleh bertahan dengan UMNO,  bahkan jatuh terhumban bersamanya.
PAS berulang kali mengajak UMNO bermuzakarah, bukan berdebat menentukan menang dan kalah, tetapi UMNO sepanjang masa tidak bersedia. Debat bukannya kerana di musim pilihanraya dan ketika terdesak, bahkan diajak  sejak berpuluh tahun. Kalau UMNO ada Biro Agamanya, ilmuan agamanya, para mufti yang berada di bawah kerajaannya  yang mampu merojak sumber Islam dengan bahasa al-Quran, bukannya yang berwajah ulama dalam UMNO tetapi buta bahasa al-Quran atau terlalu lemah bahasa al-Qurannya yang ramai dipergunakan. PAS juga ada Majlis Syura Ulama dan ahli Dewan Ulama yang terlalu ramai.
Tibalah masanya, para pejuang Melayu menyedari dan memahami bahawa slogan yang benar bukannya, pertahankan Melayu dahulu, Islam di belakangnya. Percayalah bahawa Melayu tidak selamat dengan diri mereka sendiri tanpa petunjuk Islam, sebagaimana Arab bangsa Rasulullah s.a.w porak-peranda sekarang, kerana kebangsaan Arabnya mengatasi Islamnya, tetapi yang sebenarnya ialah tegakkan Islam dan selamatkan bangsa dengan Islam, tunjukkan Islam yang sempurna, maka Melayu selamat dan semua kaum, bangsa dan penganut berbagai agama diselamatkan.
Islam yang terkandung dalam al-Quran dan hadith itu tidak menolak kasih kepada bangsa masing-masing, tetapi melarang zalim terhadap bangsa selain bangsa kita. Islam tidak menghapuskan hak sesuatu bangsa secara tabii, seperti bahasa ibunda masing-masing dan budaya kaum masing-masing, tetapi melarang menjadi jahil dan keruntuhan akhlak dan Islam melarang paksaan dalam anutan agama dan Islam mewajibkan adil terhadap semua. Islam membetulkan cara hidup seluruhnya. Di sinilah perbezaan PAS dan UMNO.


Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Melayu: Teras sambut baik saranan Presiden PAS

Harakahdaily, 16 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 16 April: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyambut baik saranan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai perjuangan Melayu yang perlu bersandar kepada Islam.
“Seperti yang telah selalu dan secara konsisten ditekankan oleh Teras, perjuangan Melayu yang tidak berdasarkan Islam adalah batil,” kata Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).

Menurutnya, membelakangkan Islam dan menomborsatukan Melayu adalah perjuangan yang tidak boleh diterima malah perlu ditolak, tidak kira yang memperjuangkannya adalah atas nama NGO atau parti politik.

“Kami sangat menyanjung tinggi mesej beliau yang mahu semua pertubuhan yang memperjuangkan bangsa Melayu memahami bahawa menyatakan kasih kepada bangsa adalah sesuatu yang tidak bercanggah dengan Islam, namun membenci dan bermusuh dengan bangsa lain sehingga menafikan hak dan melakukan kezaliman ke atas mereka adalah ditolak oleh Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Lantaran itu, katanya sangat wajar setiap pertubuhan yang mengangkat persoalan Melayu mengisytiharkan secara tegas dan jelas prinsip masing-masing, apakah benar-benar berpandukan neraca Islam sebagai asas untuk memperjuangkan bangsa atau sebaliknya.

Malah, tambahnya mengatasnamakan perjuangan mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu itu sekalipun, juga perlu bersandarkan Islam sepenuhnya.

Sesungguhnya, kata Azmi kedaulatan Raja-raja Melayu hanya sah dengan berdalilkan Islam sebagai peraturan yang memerintah, bukan yang diperintah.

Menurutnya lagi, Teras berpandangan sejak dari awal lagi bahawa memang memperjuangkan nasib bangsa sendiri demi mengangkat darjat sosioekonomi kaum sendiri agar mencapai paras yang lebih bermaruah, sangat wajar malah dituntut tetapi ia perlu berasaskan konsep, pendekatan dan matlamat yang semestinya sesuai dan menepati kehendak syariat Islam.

Katanya, konsep keadilan sebagai prinsip dalam memperjuangkan nasib bangsa mesti melepasi kepentingan yang lain.

“Dengan demikian, slogan ketuanan Melayu adalah tidak relevan kerana insan Melayu sepatutnya  hanya menerima konsep keunggulan Islam dan tidak konsep feudal membuta tuli kepada kepimpinan Melayu yang terkeluar dari landasan Islam dan berpegang kepada faham aliran sekular,” ujarnya.

Tambahnya, Teras akan menolak mana-mana pihak yang melaungkan slogan berjuang untuk bangsa Melayu berkonsepkan ‘Hidup Melayu, tidak kira benar atau salah’.

Katanya, perjuangan mana-mana kelompok atas nama Melayu yang terlepas dari prinsip kebenaran dan keadilan yang ditakrif oleh Islam tidak mungkin boleh diterima sebagai mewakili perjuangan Melayu.

Umno atur pertemuan Zakaria dengan Mat Said

Khairul Azlam Mohamad, 16 Apr 2012
MARANG, 16 April: Umno Terengganu sedang mengatur satu pertemuan antara Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan abang kepada Datuk Mustafa Ali iaitu Haji Zakaria @ Supar Ali (gambar) dalam masa terdekat ini.

Zakaria, 70, diberi peluang bertemu dengan Ahmad yang juga Menteri Besar (MB) Terengganu pada hari Rabu sekitar jam 2.30 petang, 18 April ini di Pejabat Umno Terengganu, Jalan Batas Baru, di Kuala Terengganu.

Harakahdaily dimaklumkan, pertemuan tersebut ekoran dari pertemuan yang telah dibuat oleh Haji Zakaria bersama pimpinan Umno di pejabat Umno negeri Terengganu.

Beliau menggesa agar Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu segera mengambil tindakan melaksanakan Undang-undang Jenayah Syariah Islam termasuk hudud.

Ini kerana, kata Haji Zakaria pendiriannya selama ini bahawa pelaksanaan hukum tersebut akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah ‘penyakit’ masyarakat sekarang.

“Saya (Zakaria) akan bertemu dengan Datuk Seri Ahmad Said, selaku Menteri Besar Terengganu supaya dia (kerajaan) ambil tindakan untuk laksanakan Undang-undnag Jenayah Syariah Islam termasuk hukum hudud.

“Jika tidak laksanakan hukum Islam, saya bimbang akan menghadapi masalah bencana dalam negeri kita. Macam-macam penyakit masyarakat berlaku dengan zinanya, dengan buang anaknya dan dengan maksiat yang banyak.

“Saya yang uzur ini menunggu-nunggu kerajaan menjalankan pentadbiran Islam. Masalahnya, kerajaan yang ada sekarang (BN) tidak bersedia melaksanakan pemerintahan itu,” ujarnya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Seberang Marang, semalam.

Menurutnya, pelbagai gejala penyakit masyarakat yang berlaku setiap hari tidak dapat diselesaikan dengan undang-undang yang sedia ada hari ini.

Sebelum itu, pada pertemuannya dengan pegawai kakitangan pejabat Umno negeri dicadangkan agar mengemukakan pandangan tersebut kepada Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said.

Namun begitu, beliau berharap agar ‘Mat Said’ (Ahmad) akan lebih jujur dari mantan MB Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang pernah memerangkapnya bagi tujuan kepentingan politik Umno-BN.

“Kali ini, saya harap Datuk Seri Ahmad Said ini akan lebih jujur daripada Dato Seri Idris Jusoh. Pada tahun 2007, dalam isu yang hampir sama saya diatur bertemu dengan dia (Idris).

“Waktu itu, dekat pilihan raya dan saya dibawa ke satu majlis perasmian Perkampungan Hadhari di Marang. Saya hanya membaca skrip yang disediakan dan selepas itu tidak ada apa-apa hanya untuk kepentingan politik Umno-BN sahaja,” jelasnya.

Oleh itu, kata Haji Zakaria pada pertemuannya dengan Dato’ Seri Ahmad kali ini bercadang membawa pengiring sebagai saksi perbincangan tersebut.

Beliau tidak mahu mengulangi peristiwa dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu berhubung dengan pertemuan dengan MB Terengganu.

“Pada pertemuan dengan MB kali ini, saya akan membawa pengiring saya sebagai saksi tentang perbincangan yang akan berlaku antara saya dengan Ahmad Said.

“Ini penting, supaya siapa pun tidak boleh memanipulasikan pertemuan itu untuk tujuan-tujuan lain melainkan kerana saya merasa bertanggungjawab sebagai seorang Islam, seorang rakyat di negeri ini menjadi kewajipan kerajaan melaksanakan undang-undang Islam ini.

“Sebab, manusia perseorangan tidak boleh buat dan oleh kerana negeri Terengganu, Enakmen Kanun Jenayah Syariah ini telah dikanunkan di zaman pemerintahan PAS tahun 2003, tapi tidak sempat dilaksanakan dan menjadi tanggungjawab kerajaan yang ada ini untuk melaksanakan itu,” tegasnya kepada Harakah.

Ketika ditanya, apakah jaminan yang Umno-BN tidak membuat manipulasi berhubung dengan pertemuan tersebut beliau akan meminta tandatangan bukti persetujuan tersebut.

“Saya akan meminta, apa juga persetujuan yang dipersetujui oleh Ahmad Said (MB Terengganu) ini akan ditandatangani sebagai satu bukti yang sahih komitmen untuk melaksanakan ini. Bukan cakap kosong macam Idris (bekas MB) dahulu.

“Saya harap pertemuan pada hari Rabu (18 April) ini berjalan dalam keadaan harmoni untuk kepentingan Islam, masyarakat, negeri dan negara ini,” ujarnya.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab kepada mana-mana pemerintah negeri termasuk Umno dan kerajan Barisan Nasional melaksanakan hukum Islam (hudud) tersebut.

Bahkan, katanya, jika Umno-BN tidak bersedia melaksanakan hukum Islam tersebut menjadi tanggungjawab pihak lain yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan di negeri ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab kepada mana-mana parti memerintah negeri ini. Sekarang Umno, maka Umnolah yang bertanggungjawab. Jika orang ini (Umno) tidak bersedia, adalah menjadi tanggungjawab pihak lain yang bakal mengambil tampuk pemerintahan negeri.

“Saya selalu berdoa dan bersembahyang hajat supaya diberi kemenangan kepada sesiapa sahaja yang bersedia menjalankan tugas itu.

“Saya nak beritahu pemerintah (Umno-BN) hendaklah bersedia menjalankan hukum hudud dan mengistiharkan hukum hudud di negeri ini. Saya sedia untuk mendoakan supaya Umno berkuasa dengan hukum hudud yang diistiharkan itu. Jika tidak, saya akan mendoakan kejatuhan kerajaan Umno-BN dalam pilihan raya,” tegasnya.

Beliau mendakwa pernah diperdayakan, dikhianati dan dianiya oleh pemimpin Umno yang tidak jujur dengan hasratnya bagi melihat kepentingan Islam diutamakan.

Harakah bantu pelajar Bersih 2.0 yang teraniaya

Harakahdaily, 16 Apr 2012


(Dr Syed Azman [kiri sekali] Menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang menjadi mangsa kerajaan BN Terengganu)

KAHERAH, 16 April: Harakah telah menghulurkan bantuan kepada sembilan pelajar Terengganu yang ditarik penajaan mereka oleh Yayasan Terengganu (YT).

Bantuan yang turut disumbangkan oleh pimpinan PAS disampaikan oleh Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi baru-baru ini.

Dalam kunjungan singkat sempena menjadi pemerhati Pilihanraya Presiden Mesir minggu ini, Dr. Syed Azman Syed Ahmad  telah sempat mengadakan dailog dan pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia di sana.

Beliau juga telah berkesempatan bertemu dengan sembilan anak Terengganu yang telah di ambil tindakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu yang bertindak membatalkan serta-merta penajaan pendidikan YT setelah mereka didapati bersalah terlibat dalam demostrasi ‘Bersih 2.0' di Kota Kaherah pada tahun lepas.

Dalam pertemuan di Rumah Selangor itu, Dr. Syed Azman telah menyampaikan bantuan segera kepada pelajar-pelajar yang teranaiya itu bagi pihak Tabung Harakah dan seluruh kepimpinan PAS.

Beliau telah melahirkan rasa simpati kepada pelajar-pelajar tersebut dan menegaskan pembelaan penuh pimpinan Pas kepada mereka yang dianaiya akibat tindakan yang dilihat sebagai ‘tidak matang’ dan lebih bermotifkan campurtangan politik pemimpin Umno Terengganu khususnya Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sendiri.


(Dr Syed Azman bergambar dengan lapan dari sembilan mangsa kekejaman kerajaan BN Terengganu)

Bantuan juga turut  disampaikan kepada sebahagian pelajar-pelajar yang tidak mendapat bantuan dalam bentuk zakat.

Dalam pertemuan tersebut beliau telah melahirkan kebanggaan kepada semua pelajar yang telah berhimpun dalam himpunan aman Bersih 2.0. pada tahun lepas yang juga turut juga di sertai oleh ribuan pelajar-pelajar Malaysia di serata dunia termasuk di Kota London, Paris, New York, Melbourne, Hong Kong, Dubai, Qatar dan Jakarta.

Bagi beliau semua pelajar-pelajar ini berhimpun  dengan memakai baju kuning Bersih hanya demi untuk memastikan negara yang bakal mereka curahkan bakti adalah suci dan bersih dari segala kekotoran penyelewengan, salahguna kuasa  dan rasuah.

Dr. Syed Azman turut menegaskan bahawa tindakan yang di ambil oleh kepimpinan Ahmad Said ini menyerlahkan lagi sifat beliau sebagai seorang Menteri Besar yang ‘kurang cerdik’, dan ‘kebudak-budakkan’ serta tidak mampu untuk berfikir sebagai seorang pentadbir dan pemerintah yang baik.

Tindakan ini juga jelas menyerlahkan sifat beliau yang terkenal dengan amalan politik dendam dan tidak selari dengan suara Mahasiswa dan anak muda yang mahukan perubahan.

Beliau juga menyeru agar pelajar-pelajar yang di tarik biasiswa ini bersabar menhadapi ujian besar ini akibat kekejaman pimpinan Umno Terengganu.

"PAS akan terus memberikan pembelaan kepada mereka dalam semua bidang termasuk guaman dan akan mengenakan tekanan di semua peringkat kepada kerajaan Terengganu termasuk di peringkat antarabangsa agar mereka menarik balik arahan yang kejam dan zalim ini," tegas beliau yang juga Adun Batu Buruk, Terengganu.

Dapat geran kediaman selepas 14 tahun

Harakahdaily, 16 Apr 2012
SHAH ALAM, 16 April: Penduduk Pangsapuri Kayangan kini mampu menarik nafas lega apabila penantian selama 14 tahun untuk memperolehi geran kediaman mereka akan berakhir tidak berapa lama lagi.
Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A. Samad kejayaan tersebut adalah kejayaan penduduk Pangsapuri Kayangan, lapor Media Selangorku.
"Saya nak ucapkan tahniah kepada penduduk kerana kerja ini adalah satu kerja yang rumit sebenarnya.
"Tetapi dengan usaha penduduk, JMB (Badan Pengurusan Bersama) Pangsapuri Kayangan, kerajaan negeri dan Pejabat  Tanah dan Galian telah membuahkan hasil hari ini," ujar beliau.
Iskandar turut memberitahu, mana-mana pemaju di negeri Selangor yang engkar atau sengaja melengah-lengahkan permohonan geran kepada pembeli rumah akan dikenakan tindakan saman.

"Dalam negara ini, hanya dua negeri yang telah mengambil tindakan kepada pemaju yang gagal menyerahkan geran kepada pembeli rumah dan dua kerajaan negeri tersebut adalah Selangor dan Pulau Pinang.
"Pakatan Rakyat tidak memandang ringan terhadap isu ini, tindakan tegas akan diambil," ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyerahan Strata Roll Kepada Pemaju di Pangsapuri Kayangan, Taman Sri Subang.
Menyentuh isu yang sama, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh pula  memaklumkan penyerahan geran hakmilik kini telah sampai di peringkat akhir sebelum di serahkan kepada pemilik kediaman Pangsapuri.
Menurutnya kejayaan ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang ada hari ini telah berusaha untuk menyelesaikan masalah yang ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.
Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad pula menyifatkan majlis hari ini merupakan satu program yang bersejarah kerana ianya merupakan langkah akhir sebelum penduduk boleh memiliki geran strata kediaman yang mereka beli.
Penasihat JMB Pangsapuri Kayangan, Micheal Lim Giat Eng pula memberitahu, pihak pemaju telah sengaja menambah keluasan sebenar kawasan pangsapuri tersebut yang membolehkan pemaju terbabit memperolehi keuntungan atas kutipan cukai tanah dari pemilik hartanah.
Micheal turut memberitahu dua laporan polis telah dibuat ke atas pemaju yang tidak disebutkan namanya.
Sementara itu, penduduk pangsapuri terbabit, Sue Ann, 50 tahun menyatakan rasa gembira apabila geran strata akan diperolehi dalam jangkamasa terdekat.
"Gembira, rasa tak boleh cakap sebab memang dah lama kita tunggu. Saya beli rumah di sini masa mula-mula buka dulu tetapi sudah tunggu sangat lama baru sekarang boleh dapat geran," katanya.
Terdahulu dalam majlis yang sama, wakil dari Pejabat Tanah dan Galian telah menyerahkan Master Starata Roll kepada Iskandar.
Dalam upacara yang sama, Iskandar turut menyerahkan Master Strata Roll tersebut kepada tiga wakil penduduk Pangsapuri Kayangan.
Selain Iskandar, Gwo-Burne Loh dan Nik Nazmi turut hadir dalam upacara tersebut adalah Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Kelana Jaya, Syed Shahir Syed Mohamud.

Gabenor Qom harap kunjungan erat hubungan

Salmah Mat Husain|Foto: Rizal Tahir, 16 Apr 2012
KOTA BHARU, 16 April: Gabenor Wilayah Qom, Iran, Mohamed Hussein dan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bertemu hari ini apabila pemimpin dari Republik Islam Iran itu mengunjungi Tuan Guru.

Mereka melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana akhirnya dapat bertemu.

Pelbagai pandangan, hasrat dan harapan telah dikupas bersama demi untuk kebaikan rakyat dan negara masing-masing.

“Apa yang penting saya mengharapkan hubungan pertama dengan Menteri Besar Kelantan akan menghasilkan sesuatu yang baik, apa lagi hubungan Malaysia dengan kerajaan Iran juga semakin baik,” ujar Mohamed Hussein

Mohamed juga mengharapkan hubungan dua hala dapat dijalinkan khususnya dalam ekonomi, budaya, sosial khususnya untuk masa hadapan.

Katanya, dengan kepimpinan Tuan Guru yang lebih berpegang pada ajaran Islam diharap ianya bertambah erat lagi.

Pada pertemuan itu juga Tuan Guru meminta kerajaan Iran lebih tegas dalam menangani campurtangan negara luar khususnya Amerika terhadap negara-negara Islam khususnya di Iran.

Menurutnya, Iran adalah sebuah negara yang paling berani di Asia Barat yang menentang kemaraan Amerika walaupun masih terdapat beberapa kelemahannya.

“Semoga dengan ketegasan Iran member isyarat jelas pada Amerika tidak semua Negara Islam boleh diperkudakan serta perlu mengikut telunjuk mereka,” ujarnya.

Selepas bertemu dengan Tuan Guru lebih satu jam, delegasi berkenaan turut melakukan lawatan ke Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Di sana mereka telah mendengar taklimat beberapa pelaburan yang boleh dilaburkan di negeri ini termasuk perlombongan.

Taklimat berkenaan disampai Timbalan Ketua Eksekutif PKINK, Zainal Abdul Rahim.

Selepas makan tengah hari di Perdana Resort, rombongan ini turut melakukan lawatan ke Pelabuhan Antarabangsa Tok Bali yang kini sedang dalam pembinaan.

Mereka turut mendengar taklimat pembinaan dari Pengurus Eastcoast Terminal Wan Ahmad Zaheed Wan Mohammad.

Esok hari terakhir mereka di Kelantan akan mengunjungi Bandar Baru Tunjong dan akan mendengar taklimat pembangunan yang dilaksanakan Tunjong Development Corporation (TDC).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan