Selasa, 24 April 2012

BAGAIMANA HUTANG KITA DENGAN ALLAH...BAGAIMANA KALAU KITA BANKRAP DIAKHIRAT...SEBAB BANYAK MENIBAI HAK ORANG...DAN MACAM2 TIBAI TAK KIRA HALAL HARAM....

Presiden PAS sahkan turun Bersih 3.0

Harakahdaily, 24 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengesahkan akan turun ke Dataran Merdeka bersama seluruh rakyat untuk menyertai 'Duduk Bantah' sempena himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

Dalam satu kenyataan yang dikirim oleh setiausaha akhbar beliau Mohd Nasaie Ismail, beliau berkata ianya sebagai tanda sokongan padu PAS terhadap usaha NGO yang bergabung dengan Bersih 3.0 untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

"Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turun ke Dataran Merdeka pada himpunan Duduk dan Bantah Bersih 3.0.

"Begitu juga dengan seluruh ahli PAS diminta berhimpun secara damai di Dataran Merdeka pada tanggal 28 april," katanya.

Pejabat agung PAS juga, ujarnya sudah membuat arahan kepada semua ahli untuk hadir sama ke himpunan tersebut.

Sejak Bersih mengumumkan untuk mengadakan Bersih 3.0, PAS telahpun menjalankan usaha mobilisasi ahli dan penyokongnya dari seluruh negara untuk hadir.

Semua negeri telah menyatakan komitmen sementara PAS Terengganu dan Selangor secara rasmi mengumumkan masing-masing akan mengerahkan 50,000 ahli mereka.

Sementara itu, Bersih malam tadi mengadakan mesyuarat tergempar membincangkan lokasi alternatif 'Duduk Bantah' itu selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan himpunan itu diadakan di Dataran Merdeka.

Demonstrasi: Cukuplah memperlekeh mahasiswa

Nordin,
Kenyataan sebuah Akhbar Online yang memetik tuduhan seorang Timbalan Menteri mengenai dua penuntut IPTA ditaja untuk mempelajari dan berlatih cara mengadakan demontrasi jalanan di luar negara adalah keterlaluan.

Tuduhan berkenaan seolah-olah merendahkan jati diri pelajar sehingga sanggup diperalatkan oleh orang lain. Penting sangat ke belajar cara berdemonstrasi hingga ke luar negara? Apa yang dua orang pelajar ini boleh buat apabila pulang nanti?

Dari dahulu hingga sekarang Umno terlibat dengan pelbagai demontrasi, Berapa orang Umno yang dah mengikuti kursus berkenaan? Berapa orang pula yang telah berkursus di luar negara sebelum menyertai Himpunan Bersih sebelum ini? Hasil demontrasi berkenaan yang membuatkan kerajaan terdesak untuk membuat penambahbaikan terhadap pilihanraya

Saya berpendapat tuduhan berkenaan tidak berasas langsung dan terlalu murah nilainya. Kalau ia benar sekalipun, carilah modal cerita yang berkualiti sikit. Kursus seperti itu tidak langsung mempengaruhi kejayaan tuntutan sesuatu demonstrasi. Jika ada, ambil tindakan. Itu lebih berkhemah daripada menjaja cerita menjatuhkan maruah orang lain.

Seolah-olah mahasiswa kita macam lembu dicucuk hidung dan begitu mudah untuk diperalatkan. Tak payah hendak membazir, dalam internet berlambak tunjuk demonstrasi di seluruh dunia. Setakat angkat bendera, berjalan kaki dan melaungkan beberapa ungkapan, kena pergi luar negara ke?

Jika begitulah ceritanya, kualiti mahasiswa kita memang teruk kerana mereka tidak langsung pandai membezakan sesuatu yang berfaedah. Maksudnya, mereka tidak layak diterima masuk belajar di mana-mana IPTA di Malaysia. Kalau mahasiswa kita tidak pandai siapa yang harus dipersalahkan? Pensyarah tak pandai ajar ke atau menteri yang memberi kenyataan tidak bijak.

Saya tidak nampak perlunya isu seperti ini diketengahkan kerana ia seakan membuka pekung sendiri. Bagi saya mahasiswa kita cukup bijak hinggakan kerajaan membenarkan mereka terlibat dalam menentukan hala tuju negara kita. Pengiktirafan itu cukup besar. Kenapa kita memperlekehkan kematangan mereka sedangkan kita sendiri yang memberi pengiktirafan?

Negara bankrap modal baru BN

Harakahdaily, 24 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Bankrap adalah satu  modal baru Umno BN untuk menakutkan rakyat supaya jangan memilih Pakatan Rakyat dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.
“Sebelumnya mereka menggunakan isu agama, bangsa dan raja,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) dalam satu kenyataan.

Menurutnya, oleh kerana ketiga-tiga isu itu sudah menjadi basi dan tidak laku kerana Umno mempunyai rekod yang buruk terhadap tiga perkara yang diperkatakan.

Maka, katanya Umno mengalih pemikiran rakyat dengan menakutkan isu bankrap jika Pakatan Rakyat memerintah.

Beliau menamvbah, semua tawaran Pakatan Rakyat akan dilabelkan bankrap dengan harapan rakyat tidak beralih sokongan dan meninggalkan  Umno.

“Apabila Pakatan Rakyat menjanjikan untuk hapus PTPTN, hapuskan tol, gaji minimum RM1100.00, menurun harga minyak, mengekalkan subsidi,” ujarnya lagi.

Maka, beliau menambah terdapat suara-suara sumbang mengatakan negara akan bankrap, termasuklah dari kalangan pensyarah yang menjadi pengampu kepada BN.

Apa yang pelik, kata Idris semua yang dilakukan oleh kerajaan BN tidak berani ditegur walaupun memudaratkan ekonomi negara dan membankrapkan negara walaupun mengenepikan prinsip ketelusan.

“Sebenarnya taktik pemimpin BN bermodalkan bankrap supaya rakyat lupa bahawa negara akan menjadi bankrap, kerana rekod pemerintahan Umno seperti barah di peringkat empat,” katanya.

Apa tidaknya, kata  beliau hutang negara 53%, paras bahaya ialah 55%.

Tambahnya, hutang negara melonjak dari RM146 bilion pada tahun 2002, RM242 bilion (2006) dan RM456.1 bilion pada penghujung 2011 sementara wang Felda susut daripada RM4.08 bilion (2004) kepada RM1.35 bilion (2009).

Selain itu, katanya lagi saham Bumiputera RM52 bilion lesap, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu berharga RM292 juta runtuh, walaupun hanya setahun dibina, upah Apco Yahudi Israel RM77 juta setahun, RM589 juta hutang Tajudin dihapus kira, NFC sebanyak RM250 juta.

Beliau menambah, Laporan Ketua Audit Negara 2008 menyatakan berlaku ketirisan RM28 bilion, laporan Ketua Audit  Negara 2006 pula melaporkan Kementerian Pertahanan membayar kepada kontraktor sebanyak RM943.46 juta (hampir RM1 bilion) tanpa ada baucer.

Ini, tegasnya membuktikan bahawa negara akan bankrap jika BN terus berkuasa.

“Sedangkan tawaran PR untuk membantu rakyat dengan kita memerangi rasuah, perbelanjaan berhemah insya Allah negara selamat, rakyat mendapat  rahmat,” ujarnya lagi.

Setiap bayi lahir tanggung beban harga barang

Syed Abdullah Jamalullail,
Yang menjadi masalah kepada rakyat Malaysia bukan sahaja kerana harga barang keperluan harian mendadak naik dari hari ke hari seperti ikan kembong sudah mencecah RM20 sekilogrm atau udang dan sotong sudah mencecah RM25 sekilogram tetapi juga harga bahan untuk keperluan bayi seperti susu tepung sudah menjangkau RM50 setin yang mana amat membebankan keluarga bayi yang baru lahir itu.

Mana tidaknya satu tin susu berharga RM50 itu hanya boleh bertahan untuk selama seminggu sahaja dan bayangkanlah untuk sebulan bermakna untuk biayai susu sahaja sudah mencecah RM200 dan itu tidak termasuk kira pampes yang mesti disediakan sekurang-kurangnya RM100 serta ubat-ubatannya mencecah hampir seratus juga.

Kalau ibu yang berkerja sudah tentu pula akan mendapatkan perkhidmatan pengasuh yang kini tidak kurang RM300 apabila dihantarkan ke pusat jagaan kanak-kanak sehinggalah kanak-kanak itu mencapai umur enam tahun.

Itulah keluhan suri rumah tangga kalau pendapatan bulanannya hanya tidak sampai seribu ringgit Malaysia. Bayangkanlah untuk menjaga seorang bayi dengan sempurna memerlukan sekurang-kurangnya RM800 sebulan dan jika gaji hanya RM1,000 atau RM1,500 sebulan apalah sangat yang tinggal untuk baki bagi keperluan-keperluan lain dan bayangkan lagi jika mereka yang mempunyai anak berderet yang masih kecil yang perlukan kasih sayang dan masih bersekolah.

Di sinilah puncanya mengapa masalah sosial akan timbul kerana ketidak kesempurnaan mendidik sejak alam kanak-kanak lagi dimana apabila bermasalah di dalam ekonomi keluarga dan tidak seimbang untuk mencurahkan kasih sayangnya akan timbullah berbagai kerenah membabitkan seisi keluarga dan kepincangan itu kadang kala merosakkan sistem kekeluargaan itu sendiri  seperti berlakunya bercerai berai dan anak-anak dibiarkan lepas begitu sahaja tanpa pengawasan dan penjagaan yang sempuna.

Masalahnya orang Melayu tidak suka meminta-minta kerana bagi mereka maruah perlu dijaga walauapapun keadaan sekali pun mereka tetap menjaga adat dan adap turun temurun itu. Lagi pun orang bukan hendak bersimpati sangat kerana apa yang dikeluh kesahkan itu bukannya mendapat simpati tetapi kadangkala hamburan keji dan kata nista yang dapat.
Untuk mengadu kepada Jabatan zakat atau Jabatan kebajikan prosedurnya ketat seolah-olah kita mengemis di bawah jambatan.Itulah hakikatnya di mana akhirnya kalau yang tidak mampu membiayai bayi kasayangnya itu terpaksalah dalam diam-diam diserahkan kepada ibu atau keluarga angkat yang sanggup menerimanya.

Oleh yang demikian pada hemat saya sesebuah keluarga di negara kita ini perlukan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan dan itu pun hanya cukup cukup makan' sahaja untuk meneruskan hidup berkeluarga yang harmoni dan berwawasan kalau tidak jawabnya 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' sahajalah jawabnya.

Dataran Merdeka, puisi Rendra dan AMCP

Ahmad Lutfi Othman, 24 Apr 2012
Insiden anak-anak muda yang berkhemah di Dataran Merdeka diganasi samseng upahan dan dimusnahkan simbol penentangan mereka awal 2.40 pagi 19 April lalu, terbukti langsung tidak melunturkan komitmen menuntut pendidikan percuma.

Malah, aksi bersejarah mereka berkampung sejak 14 April semakin mendapat publisiti dan perhatian ramai. Terutama di waktu malam, ia bagai destinasi yang perlu dikunjungi. Khabarnya ada kuliah  dan makanan percuma di sana (isteri saya turut mengirimkan lebih 100 bungkusan nasi Arab, petang Jumaat lalu).

Malangnya, lokasi yang berhampiran Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu -- suasana malamnya pun ceria bercahaya, diperhatikan pula pasukan polis dari jarak dekat -- boleh bertukar menjadi medan pertempuran oleh "samseng yang dikaitkan dengan Umno".


Ya, mungkin ada yang berbeda pendapat dengan tekad gerakan mahasiswa yang tulus dan berani ini -- termasuk saya -- namun semangat membara mereka mengungguli idealisme perjuangan dan kesanggupan berpanas-berembun di tengah kota raya itu begitu mengujakan.

Tentulah tuntutan agar pinjaman PTPTN dimansuhkan itu boleh didebatkan, atau diperincikan lagi, namun seperti kata Anwar Ibrahim sewaktu mengunjungi Dataran Merdeka, malam Jumaat lalu, bagi melihat dari dekat kesan tindakan samseng upahan: "Bila ajak untuk berdebat tak nak. Tapi guna kekerasan dia untuk pukul orang."

Bagi saya, biarkan mahasiswa bereksperimen, menjual dan memasarkan idea mereka, membantah atau menyokong, asalkan diasaskan kepada tradisi ilmu yang luhur, dengan kecintaan mendalam kepada hikmah dan kebenaran.

Ya, biarkan mereka mencipta impian, mengejar cita-cita, memburu sasaran, dan apa salahnya diulit mimpi yang indah, sebelum tangkas dan bingkas berusaha mengubah sejarah.

Tepat sekali ungkapan Sasterawan Negara, A Samad Said: "Saya menghadiahkan dua beg tidur kepada mereka sebagai simbolik supaya mereka tidur di Dataran Merdeka dan bermimpi yang indah-indah. Mimpilah sesuatu yang indah di hadapan, jangan tidur sahaja. Tidur sahaja tidak membawa apa-apa. Tidur dan mimpilah yang indah-indah dan laksanakan mimpi kita itu."

Tertarik saya dengan puisi penyair rakyat, Usman Awang, yang cukup terkesan dengan perjuangan mahasiswa pada dekad 60-an lagi. Mengulas peristiwa Telok Gong, tahun 1967, Usman merakamkan:

Dari ruang sudut pidato
Pecahlah kaca menara gading
Kaubelah jalan raya kota
Dengan berani berteriak
Untuk petani yang tertindas


Dalam sajak Mahasiswa, yang dilakar pada 1961, Usman memulakan rangkap pertama:

Mahasiswa dari kota tanahair
bangunlah!
angkat matamu dari buku
lampaui dinding lampaui tembok
semua menunggu
mengajakmu
bersama ke tengah jalan raya kota


Kini, selepas 50 tahun, anak-anak muda yang "ada api dalam dada" itu benar-benar menggigit keyakinan bersama, sekali gus menikmatinya, dan bersedia mengharungi  apa jua asakan, berdepan apa juga risiko.

Ketika Parlimen membahaskan beberapa pindaan dan pemansuhan akta, yang berkait rapat dengan kebebasan bersuara, misalnya Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, serta Akta Keselamatan Dalam Negeri, kelompok intelektual muda ini tidak perlu menunggu lagi ... terus saja mempraktikkannya.

Kesanggupan mereka untuk bertahan sehingga tarikh keramat, 28 April, bagi menyambut ibu segala demonstrasi, Bersih 3.0, menghimpunkan lebih 500,000 rakyat prihatin, membayangkan keazaman dan stamina yang sukar dipatahkan.

Saya kira tindakan 'occupy' tersebut bukannya satu perancangan rapi bagi menduduki kawasan hijau di tengah ibu kota itu. Malah mungkin banyak pihak menyanggah, mempersoalkan atau sekurang-kurangnya ragu-ragu, termasuk dari rakan-rakan mahasiswa sendiri, apabila dimaklumkan akan bermukim selama dua minggu di situ!

Begitulah selalunya ... adegan yang bakal terakam sebagai babak terpenting sejarah, tidak dimulai dengan penyusunan sistematik, apatah lagi perbahasan teoritikal. Ia selalunya berjalan tanpa mengikut skrip, meledak begitu sahaja, namun benih dan tunasnya bertapak di gelanggang yang subur.

Salut dan tahniah untuk orang muda yang "tiada berkepentingan" ini! Gegarkan Kuala Lumpur yang makin kontang manusiawinya ini. Bingitkan telinga sang penguasa zalim, kroni tamak dan suku-sakat lintah darat yang tidak pernah kenyang. Telanjangi dalang-dalang di sebalik samseng-samseng upahan yang mendakap imuniti itu.

Pedulikan sikap bebal Menteri Pengajian Tinggi, Mohamed Khaled Nordin, yang menulis di Twitter: "Tiada siapa pun suruh berkhemah di Dataran, bila berlaku apa-apa perkara, jangan tagih simpati." Langsung tiada terselit sekelumit ehsan dan sikap kebapaan melihat anak-anaknya dicederakan.


Saya turut terkesan dengan puisi WS Rendra, "Sajak Pertemuan Mahasiswa", yang dicipta pada 1977. Antara bait-bait sajak itu yang begitu menarik dan juga relevan sehingga kini, juga dalam konteks politik semasa:

Kita bertanya:
Kenapa maksud baik tidak selalunya berguna.
kenapa maksud baik dan maksud baik bisa berlaga.
Orang berkata: "Kami ada maksud baik."
Dan kita bertanya: "Maksud baik untuk siapa?"

... Dan kita di sini bertanya:
"Maksud baik saudara untuk siapa?
Saudara berdiri di pihak yang mana?"

Kenapa maksud baik dilakukan
tetapi makin banyak petani kehilangan tanahnya.
Tanah-tanah di gunung telah dimiliki orang-orang kota.
Perkebunan yang luas.
hanya menguntungkan segolongan kecil saja.

... Di bawah matahari ini kita bertanya:
Ada yang menangis, ada yang mendera.
Ada yang habis, ada yang mengikis.
Dan maksud baik kita
berdiri di pihak yang mana.



II.

Sejak 12 tahun lalu, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), yang saya terajui, mendesak agar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) dimansuhkan, atau sekurang-kurangnya dinyahkan segala peruntukan tidak demokratik.

Pengalaman berdepan dengan pengharaman dua majalah, Detik dan Wasilah, yang saya sewa permit penerbitannya daripada rakan-rakan, cukup memeritkan, namun ia menguatkan lagi semangat saya untuk berkempen  membebaskan cengkaman dan kongkongan pemerintah ke atas industri media negara ini.

Saya terpaksa mengusung keranda Detik di tingkat tiga, sebuah pejabat yang disewa, di Medan Idaman, Gombak sebagai bantahan terbuka terhadap tindakan zalim Kementerian Dalam Negeri itu.

Berulangkali saya bersama segelintir sahabat yang bersimpati, naik turun pejabat Suhakam, bermula di sebuah kabin, di perkarangan Wisma Putera, dengan membawa memorandum, antaranya menekankan agar ruang kebebasan bersuara diperluaskan.

Bekas Naib Pengerusi Suhakam, Almarhum Prof Tan Sri Harun Hashim sudi menerima rombongan KAMI dan membuka ruang dialog di sebuah hotel, berhampiran PWTC. Lebih kurang 20 rakan-rakan aktivis media hadir, bersemuka dengan Harun dan beberapa pesuruhjaya Suhakam lain, seperti Prof Hamdan Adnan, Prof Mehrun Sirah dan Zainah Anwar.

Stamina KAMI turut terjejas dan staminanya tidak dapat bertahan apabila saya keuzuran dalam tempoh yang agak panjang, bermula tahun 2002. Rupanya terlalu sukar untuk elit pemerintah melonggarkan sekatan dan kongkongan, sebaliknya mereka cukup rakus memperkakaskan warga media bagi mempertahankan kuasa.

Sayang sekali, tidak sedikit editor-editor kanan "media arus perdana" yang rela diperhambakan. Hilang jiwa merdeka dan minda seorang wartawan sebenar.

Sebaik selamat menjalani operasi pembedahan pintasan jantung dua tahun lalu, saya cuba menggiatkan semula KAMI. Beberapa pertemuan diatur di pejabat Harakah, khusus membawa misi pemansuhan AMCP.

Ramai memutuskan, termasuk Subky Abd Latif dan Dr Abd Aziz Bari, bahawa akta itu sudah tidak relevan lagi. Lambat atau cepat ia bisanya akan hilang begitu sahaja. Sama ada ditentang atau dibiarkan, AMCP tidak mampu lagi berdepan asakan media baru dan fenomena langit terbuka.

Apabila Najib  Razak mengumumkan beberapa langkah transformasi politik pada malam Hari Malaysia tahun lalu, AMCP hanya disebut akan dimansuhkan peruntukan yang menghendaki permit dipohon setiap tahun.

Elemen lain yang menghakis kuasa mahkamah dan memberikan kuasa mutlak kepada menteri tidak disentuh.

Bagaimanapun, apabila dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, nampak seolah-olah ruang lebih selesa  dihamparkan. Tentulah ia terhasil daripada asakan dan desakan bertali arus selama ini, di samping akta itu sendiri bagai dinasour, yang ketinggalan zaman.

Namun begitu, isu-isu asas seperti konsep permit masih terpahat kukuh. Setiap penerbitan berkala masih memerlukan kebenaran menteri. Kuasa menteri untuk mengharamkan atau menggantung permit pada bila-bila masa terus terjamin.

(Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang pernah dipenjarakan melalui AMCP ini tentu mempunyai idea praktikal bagaimana beberapa peruntukan perlu dimansuhkan. Ya, peruntukan yang menjadikan pertuduhan jenayah sebagai alat politik yang cukup berkesan!)

Editor "media arus perdana" akan tetap diganggu. Majlis Tertinggi Umno masih mengekori dari dekat, malah menentukan apa yang boleh disiarkan akhbar-akhbar utama, misalnya Utusan Malaysia.

Dan Harakah masih terkepung dengan syarat-syarat ketat sebuah "organ parti". Teringat saya, di mana agaknya borang permohonan menerbitkan akhbar harian, Purnama, yang dihantar ke Kementerian Dalam Negeri sepuluh tahun lalu?

Saya juga tidak pasti apakah Suara Keadilan akan diberikan permit selepas ini ... Tetapi saya kira rakan-rakan di sana sudah selesa menikmati cara berkarya secara "bawah tanah" itu, sementara menunggu takhta di Putrajaya digulingkan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan